Atuk

Salam! Hai, Katcha# kembali! Perkongsian kali ini adalah pengalaman daripada orang yang paling aku sayang dalam dunia, Atuk.

Penunggu Tanah.

Tahun 1982, abang aku baru lahir dan menjadi cucu sulung Atuk. Waktu tu juga Atuk baru pindah rumah. Tanah tempat Atuk berkampung sebelum tu telah di ambil kerajaan. Kalau siapa-siapa selalu pergi AEON Tebrau City, itu lah bekas tapak estet tempat umi membesar. Tapak rumah baru Atuk adalah jauh di dalam sebuah kebun sawit. Atuk buat rumah. Bila siap, sekali sekala umi datang bertandang bawa abang yang masih bayi ketika itu.

Malam pertama di rumah baru, abang menangis tak henti-henti. Jam dah pukul 12.00 tengah malam. Tahun 1982, apa pun tiada. Kiri kanan rumah atuk hanya pokok-pokok sawit yang rendang baru nak naik. Gelap, hanya riuh dengan bunyi unggas malam. Masuk pukul pukul 1.00 tangisan abang tak berhenti. Puas umi dan atuk pujuk. Dalam keadaan kalut, tiba-tiba pintu rumah Atuk di gegar. Sekali, dua kali, tiga kali. Gegaran terjadi seolah-olah pintu rumah Atuk di langgar sesuatu. Atuk bangun, buka pintu. Tiada sesiapa kecuali pokok-pokok sawit yang kaku tegak berdiri.

Sebaik sahaja pintu di tutup semula. Rumah Atuk mula dihujani dengan lemparan batu-batu dari setiap penjuru rumah. Bumbung rumah Atuk juga menjadi mangsa. Bunyi sesuatu benda yang berat dan besar bergolek-golek di atas bumbung rumah dan juga bunyi injakkan dari satu tapak kaki yang besar seolah-olah sengaja di lakukan oleh sesuatu yang tidak dapat dipastikan. Rumah Atuk diserang dari semua arah. Nasib baik rumah Atuk, rumah batu beratap zink jika tidak pasti dah leper rumah Atuk di kerjakan.

Kali ni Atuk hanya berdiam terkumat kamit membaca surah-surah menghalau gangguan. Umi pula diam memeluk erat abang. Abang dah berhenti menangis tapi mata dia melilau-lilau ke atas siling rumah. Serangan lemparan batu-batu semakin kendur bila Atuk mula melaungkan azan dari tengah rumah. Selepas azan, Atuk jerit kuat-kuat. “Jangan kacau keluarga aku! Kalau aku salah masuk tempat kau, aku minta maaf. Aku hanya nak tumpang berteduh. Ini bumi tuhan. Kau jaga keluarga kau, aku jaga keluarga aku!”. Esok pagi, bila umi buka pintu, umi terkejut, laman rumah Atuk dibanjiri oleh tanah liat yang dikepal-kepal sebesar penumbuk dewasa.

Seorang sahabat Atuk memberikan pendapat, “Yang mengacau tu penunggu tanah tu. Dia cuma nak berkenalan dengan kau… malam ni, tepat pukul 12, kau keliling rumah kau dalam keadaan bogel sambil laung azan”. Bila aku tanya, “Atuk buat ke?” . Atuk aku hanya ketawa…

Hantu Lampu

Sebelum berpindah ke rumah baru (kisah Penunggu Tanah), Atuk duduk di kawasan estet dimana getah menjadi komoditi utama kawasan itu. Atuk seseorang penoreh getah yang berdedikasi. Sentiasa berlumba-lumba dengan penoreh lain untuk menjadi orang paling awal sampai di kebun getah pada setiap awal pagi. Rutin Atuk sebagai penoreh getah; mula menorah seawall 4.30 pagi. Peruntukan seorang penoreh adalah 100 batang pokok getah setiap seorang.

Tapi Atuk ambil sehingga 200 batang sehari. Pukul 10 habis menorah, Atuk berehat sekejap sebelum mula memungut susu getah pada pukul 12.00 tengahari dan kemudian di bawa ke bangsal pemprosesan getah.

Suatu hari, Atuk terjaga di awal pagi bila terdengar bunyi motosikal Wak Jupi meninggalkan laman rumah. “Wah, Jupi dah pergi noreh! Tak boleh jadi ni!” Atuk bingkas bangun, mandi, pakai uniform menorah dan terus menonong keluar dari rumah. Atuk jeling rumah jirannya Wak Jupi, gelap. Atuk capai motor, start, terus memecut ke kebun. Dia tak nak menjadi orang terakhir memungut susu getah pada tengahari nanti ketika Wak Jupi dan penoreh lain sudah mula memproses getah di bangsal nanti.

Sampai di kebun, keadaan sangat gelap. Tapi Atuk dah biasa. Dia pun ambil perkakas menorah, pakai topi dan buka lampu kecil di kepalanya. Hanya itu lah sumber cahaya yang atuk ada. Cukup lah untuk menyuluh batang pokok getah.

Jarang sekali Atuk berjaya menjadi penoreh terawal yang sampai di kebun kerana biasanya bila Atuk sampai di kebun, dia akan Nampak dua tiga orang penoreh-penoreh lain yang telah memulakan tugas mereka lebih awal. Walaupun gelap, Atuk tahu kehadiran mereka melalui cahaya lampu yang terdapat pada topi mereka. Untuk mengenal siapa rakan-rakannya yang sedang menorah itu, atuk akan menegur, “Wuiii… awal keluar?” Atuk hanya menegur berbasa basi kerana apabila rakannya itu menjawab, Atuk dapat mengecam individu itu melalui suara.

Tapi pagi itu Atuk pelik. Sampai di kebun, Atuk tak nampak sesiapa. Motosikal Wak Jupi pun Atuk tak Nampak. Atuk abaikan perasaan tu dan mula menoreh. Makin lama Atuk menoreh, Atuk makin pelik. Hampir sejam tapi Atuk masih tak jumpa sesiapa. Keadaan pun masih gelap. Sepatutnya dah mula cerah. “ Nak hujan agaknya…” atuk sedapkan hati. Atuk tiada jam tangan.

Belum mampu beli. Tak lama lepas tu, dalam jarak 100m Atuk nampak cahaya lampu. Atuk lega. Atuk nak jerit menegur tapi terlalu jauh. Atuk tangguhkan hasrat. Tunggulah dah dekat sikit. Saat Atuk toreh pokok yang hampir dengan cahaya tersebut Atuk menegur, “ Woi Jupi! Engkau ke?”. Tiada sahutan. Atuk panggil lagi Wak Jupi. Senyap. Pelik.

Keadaan cahaya lamp tersebut statik tanpa sebarang pergerakan. Atuk tak sedap hati. Atuk berhenti menorah dan berjalan mendekati cahaya tersebut sambil mulutnya memanggil, “Jupi, ko baik-baik aje kan? Kok, dipanggil tak nyahut?”

Tiba-tiba cahaya tersebut terpadam. Serentak dengan tu, pokok-pokok getah di sekeliling Atuk bergoyang keras seperti ada tangan besar yang menggegarkan pokok-pokok tersebut. Waktu itu juga Atuk terdengar satu suara yang sangat garau bertempik kuat menggegarkan seluruh kebun getah. Apa lagi, bertempiaran Atuk lari tak cukup tanah.

Habis semua perkakas menorah terpelanting entah ke mana. Segala semak samun Atuk redah. Nasib baik Atuk dah hafal laluan dalam kebun jadi tiada masalah atuk lari terus keluar dari kebun. Mulut Atuk terkumat kamit berzikir. Keluar dari kebun, capai motor, Atuk pecut balik rumah. Jauh tertinggal di belakang Atuk dapat dengar sayup-sayup suara tersebut ketawa berdekah-dekah. Kuat. Seperti bergegar seluruh kebun. Atuk tau itu bukan suara manusia.

Sampai rumah, Atuk masuk dan Nampak nenek sedang menjerang air. “Awak ke mana bapaknye? Pag-pagi dah hilang.” Nenek bertanya pelik. Atuk jeling jam di dinding, pukul 3.15 pagi.

Setengah jam selepas itu, terdengar suara Wak Jupi terbatuk-batuk dari arah bilik air yang terletak di halaman rumah yang dikongsi bersama Atuk. Pagi tu, semua orang tak keluar menoreh sebab hujan turun dengan lebat tepat pukul 4.30 pagi. Cerita Atuk bangun pukul 2 pagi dan pergi menorah seorang diri di kebun sehingga di jerkah dengan hantu lampu menjadi bahan bualan utama di warung kopi pagi tu. Sejak itu, mahsyur lah nama Atuk dengan cerita hantu lampunya di seluruh pelusuk estet.

Pemilik Bunga Cempaka

Ada suatu hari, Wak Jupi, jiran atuk jatuh sakit. 100 batang pokok getah bahagian Wak Jupi dilelong untuk di toreh. Atuk ambil 50 batang. Bahagian pokok Wak Jupi agak jauh ke belakang berhampiran sempadan hutan. Tiada orang yang sanggup ambil kawasan tu melainkan Atuk. Kawasannya agak semak dan jauh dari orang. Selain dari entiti halus, benda yang paling ditakuti oleh penoreh-penoreh adalah kehadiran Pak Belang. Tapi bagi Atuk, selagi belum ajal, selagi itu lah kudrat dikerah mencari rezeki yang halal. Sebab itu lah Atuk di sayangi pengurus estet dan dilantik menjadi mandur tidak lama selepas itu.

Pukul 12.00 tengahari atuk masih menoreh. 250 batang pokok dapat dihabiskan sebelum pukul 1.00 dengan bantuan nenek. Atuk arahkan nenek untuk kerjakan pokok di bahagian-bahagian ‘selamat’ iaitu pokok-pokok dibahagian ‘depan’ kebun manakala Atuk menoreh di kawan yang lebih dalam termasuk kawasan pokok Wak Jupi. Kawasan terakhir adalah beberapa batang pokok di sempadan kebun dengan hutan. Setahu atuk sempadan kebun di tandai oleh sebatag anak sungai yang mengalir jernih. Tetapi, pada tengahari itu, Atuk tak jumpa sungai tersebut.

Walaupun tanpa sungai, atuk yakin barisan pokok yang di toreh adalah pokok di hujung sempadan kebun berdasarkan tanda calitan cat merah yang di buat pada batang pokok sebelum ini.
Sedang ralit menoreh, Atuk terpandang satu kawasan yang sedikit berlembah.

Sesuatu yang menarik perhatian atuk adalah kawan itu kelihatan sangat bersih tanpa daun-daun kering yang gugur. Tambahan pula kawasan itu telah terkeluar dari sempadan kebun. Di tengah-tengah lembah kecil itu, Atuk Nampak sepohon pokok bunga cempaka yang agak besar dan rimbun sehingga boleh meneduhkan kawasan di sekitarnya.

Yang lebih menarik adalah, susah untuk Atuk lihat daun-daun pokok tersebut kerana ia ditupi oleh bunga-bunga cempaka berwarna putih bersinar di panah cahaya matahari. Bunga-bunga itu terlalu banyak menjadikan pokok itu kelihatan sangat cantik. Bau wangi semerbak serta merta. Atuk terpukau. Dia menghampiri pokok tersebut, mengutip bunga-bunga segar yang jatuh dan menghidunya.

Atuk terkhayal seketika. Atuk kutip bunga-bunga tersebut, masukkan dalam plastik dan membawanya pulang. Sepanjang jalan keluar dari kebun, tubuh atuk berbau harum bunga cempaka.

Petang tu, hujan turun. Atuk tak sempat nak kutip kesemua getah yang di toreh termasuk pokok getah Wak Jupi yang di torehnya pagi tadi terutama sekali di kawasan yang berdekatan dengan pokok bunga cempaka cantik di sempadan kebun tadi. Atuk redha. Bunga cempaka yang atuk kutip tadi dimasukkan ke dalam cawan dan di letakkan dalam bilik atuk bersama nenek. Serta-merta bilik mereka wangi. Nenek memang suka dengan bunga cempaka. Tak habis-habis nenek memuji atuk. Cuma bila ditanya Atuk ambil bunga tu di mana, Atuk diam tak beri jawapan.

Malam tu nenek tidur dalam bilik seorang diri. Atuk pula tidur di ruang tamu. Menjelang tengah malam nenek terjaga tanpa sebab. Sedang memaksa mata untuk tidur, nenek dengar bunyi dinding bilik digarit sesuatu. Ngilu. Garitan yang di lakukan secara perlahan tetapi cukup nyaring bunyinya. Nenek sangka kucing, tetapi cara kucing mencakar lain daripada bunyi yang sedang nenek dengar. Dari celah-celah papan dinding yang renggang, nenek Nampak ada pergerakan di luar. Nenek bersedia untuk bangun, capai batang penyapu dan memukul kepala ‘si perompak’. Tiba-tiba nenek terkaku bila dia dengar bunyi tangisan sayu dari arah luar dinding bilik nenek.

Tangisan suara seorang wanita yang cukup sedih diselang seli dengan bunyi garitan atau cakaran nyaring pada dinding bilik. Sekali sekala nenek dengar ‘wanita’ itu bersuara merayu: ‘ .. huuuu…. Bagi balik barang akuuuu…..” Nenek ketakutan. Semua bacaan nenek berterabur.

Atuk di ruang tamu, lain pula. Badannya berpeluh kepanasan. Atuk balikan badan sana sini masih lagi tak boleh lena. Tiba-tiba atuk dengar bunyi sesuatu pada pintu rumah. Bukan bunyi ketukan tapi bunyi seperti kain yang dilibas kuat pada pintu rumah. Dalam pada itu bunyi seretan pada bumbung zink rumah Atuk kedengaran semakin nyaring.

Makin lama makin kuat sehingga pintu rumah bergegar serentak itu juga suara hilaian yang kuat kedengaran sampai atuk tutup telinga dia sendiri. Arah hilaian tu seolah-olah menunjukkan makhluk tersebut berlegar-legar di atas bumbung rumah. Mulanya atuk diam membatukan diri, tapi makin lama atuk mula marah. “ tak boleh jadi ni, kalau di biar, mau roboh rumah aku!” Atuk bangun, capai pedang samurai merah yang atuk gantung jadikan hiasan pada dinding. Sebelum buka pintu, atuk baca Ayat Qursi, hulu pedang atuk pegang kejap-kejap. Atuk nekad untuk libas makhluk tu dengan pedang samurai tersebut.

Atuk kata, makhluk tu tak boleh di layan sangat. Makin di layan, akan jadi makin naik ‘lemak’ pula dia.
Dengan lafaz suci, atuk buka pintu berjalan ke serambi, atuk lompat 5 mata tangga sebelum mendarat di atas tanah lagak pendekar. Belum sempat atuk pasang kekuda, satu libasan kain putih terkena pipi atuk. Atuk jatuh, pipi atuk panas membara. Atuk pantas bangkit dan berlari mengejar kain putih yang terbang laju ke atas bumbung rumah Wak Jupi. Di situ, atuk Nampak..

Nun di tengah-tengah bumbung rumah Wak Jupi, makhluk tersebut berdiri dengan hampir sebahagian besar baju lusuh putihnya menutupi bumbung rumah dan rambutnya menggerbang menyembunyikan separuh daripada tubuhnya. Mata makhluk tersebut bersinar memandang atuk. Ketika itu juga atuk dengar makhluk tersebut menjerit marah ke arahnya, “ bagi balik barangg akuuuuu!!!!!!!” dan atuk pengsan…

Esoknya, seluruh estet sekali lagi riuh pasal Wak Jupi jumpa atuk pengsan di halaman rumah ketika nak pergi menoreh. Nenek pula di dapati hilang dari rumah sebelum dijumpai tertidur di bawah katil dalam biliknya.

Atuk tamatkan kisahnya dalam keadaan tergantung. Aku tak puas hati. Aku Tanya nenek apa yang terjadi selepas itu? Nenek kata, selepas kejadian tu, nenek marah atuk kaw kaw sebab berani-berani ambil bunga dari hutan, bawa balik, letak dalam bilik nenek dan biarkan nenek tidur seorang pada malam tu. Nenek kata bunga cempaka itu ada pemiliknya.

Dia datang untuk minta bunga itu di pulangkan. Aku Tanya nenek lagi, “siapa pemiliknya nek?” “ Nenek tak tahu, mungkin Pontianak atau langsuir… Tapi atuk kata die dengar bunyi seretan kasar atas bumbung. Nenek rasa itu langsuir. Langsuir biasanya terbang menghadap langit. Bila dia terbang atas bumbung, rambut kasarnya terseret di atas bumbung dan menghasilkan bunyi.” Nenek kata lagi, sebab atuk la nenek kena ganggu pada malam tu. Bila aku kata pada nenek, “ Bukan nenek je yang kena malam tu. Atuk pun kena, lagi teruk…” Nenek hanya ketawa dan jawab, “Padan muka atuk kau! Ha hahah haha”.

Pst: Nenek ada cakap juga, dia pun tak ingat macam mana die boleh masuk bawah katil.. hahahah

#katcha

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 3.7]

17 thoughts on “Atuk”

  1. Paling suka baca cerita pengalaman orang lama-lama. Ini cerita yang paling baik setakat ini di ruangan Fiksyen Sasya ini. Terima kasih atas perkongsian anda, Katcha. Kalau ada lagi pengalaman lain, harap sudi kongsi dengan kami lagi, ya. Lagi pun, anda memang ada bakat menulis cerita dengan baik.

    Reply
  2. yelah org2 dahulu bnyk pnglaman misteri yg lagi best..kawasan di kampung dgn cerita2 pasal dukunnya lagi bidan,hantu2 belaan dgn makhluk2 yang suka dgn suasana kampung ni fuhh meremang bulu roma weyhh

    Reply
  3. Penceritaan yg sangat baik dan tepat.senang difahami.Teringat zaman masa dulu pergi ikut menoreh getah dgn mak dn bapa.
    kembali nostalgia lama.

    Reply
  4. Haah la… Tok ngah saya pernah cakap, dulu kat AEON Tebrau Tu kawasan estet. Org panggil estet Timur. Kawasan ladang getah situ besar. Budak2 die sekolah area jb. Naik bas kat jalan Tebrau. Masuk estet jalan kaki. Tapi xtau plak kalau tok ngah saya pernah duduk situ.. bila saya ajak die jln2 area mount Austin, Bandar dato onn, die terkejut tengok tempat 2 Tu sekarang dah maju. Dah jadi Bandar. Die ckp tempat2 Tu semua ladang getah. Seronok berbual dgn org2 lama ni. Bila Kita bawak die jln2 Ada je sejarah2 temat2 Tu die cerita.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.