#AbamKiko – JANGAN CAKAP ABANG TAK PAYUNG (ABAM & PEAH)

Assalamualaikum & Salam Perkenalan semua. Terlebih dahulu aku nak ucapkan terima kasih kepada admin FS kerana menyiarkan cerita ini. Di sini aku perkenalkan diri ini sebagai #AbamKiKo. Ada banyak peristiwa seram yang pernah menimpa diri abam sepanjang hidup ini. Abam akan berlagak selamba walaupun dihimpit ketakutan apabila bersua dengan mereka semua (Hantu Puaka).

Prinsip abam adalah kita semua haruslah sentiasa berada di dalam keadaan selamba walaupun tengah bersedih, sakit hati, seram, takut, ataupun panik. InsyaAllah kita semua akan selamat. Abam bukanlah seorang hero, abam cuma ingin hidup gembira seperti orang lain, selamat, dan aman tenteram. Adakalanya abam nampak akan kehadiran mereka, adakalanya haram tak nampak, dan adakalanya nampak sepanjang masa. Intro panjang-panjang pun tak guna. Jom layan cerita pertama dari #AbamKiko OK?

ABAM KIKO & PEAH

Kejadian ini berlaku pada awal tahun 2014. Ketika itu abam bekerja sebagai seorang pemandu Jentera Pengangkat Garpu (Forklift) di sebuah kilang kayu di Kuala Lumpur. Abam bolehlah dikategorikan sebagai pekerja harapan syarikat disebabkan oleh kerajinan dan disiplin masa yang agak tinggi. Pekerja lain tiba di kilang pada jam 8 pagi, abam pula sudah tercongok di dalam kilang menunggu pekerja-pekerja lain seawal jam 7 pagi lagi.

Bos abam berbangsa Cina dan bernama Koo Lian tetapi dipanggil Ah Liang. Dia sangat mementingkan kualiti dan ketepatan hasil kerja. Jikalau tersilap, pekerja tersebut akan dimaki dan dicarut olehnya. Abam pun selalu dimaki tetapi abam pekakkan sahaja telinga ini. Tugas abam adalah untuk mengangkat kepingan-kepingan kayu dan papan lalu dimuatkan ke dalam lori ataupun treller pelanggan. Syok kerja seperti ini. Abam rasa macam robot. Angkat kayu letak kayu, angkat kayu letak kayu. Itulah rutin harian abam sepanjang bekerja di sini.

Abam ada 2 orang sahabat baik di sini. Mereka berdua berasal dari Bandung, Indonesia. Merekalah yang menjadi peneman setia abam. Mereka selalu bercerita mengenai kisah-kisah seram yang pernah berlaku di kilang tu. Kononnya mereka hendak menakutkan abam tetapi abam bukanlah seorang manusia yang jenis mudah dipermainkan. Fizikal abam yang agak bulat pula selalu sahaja dijadikan bahan ketawa oleh mereka.

Abam: Rudy, kamu sudah makan tengahari ke?

Rudy: Belum lagi. Loe sudah makan?

Abam: Belum lagi. Jom kita keluar makan.

Rudy: Sebentar ya. Irwan, yok kita makain.

Irwan: Sebentar.

Begitulah rutin harian kami apabila menjelang waktu makan tengahari. Sambil-sambil makan, kami akan bercerita tentang pelbagai topik. Kebiasaannya topik seramlah yang paling hangat dibincangkan.

Rudy: Irwan, loe kasi cerita dengan abam apa yang kita nampak minggu lepas dalam kilang itu.

Abam: Nampak apa? Kamu nampak apa?

Irwan: Sabar, sabar. Makain dahulu.

Abam: Ceritalah Irwan…

Irwan: Loe kasi ceritalah Rudy. Gue nyantap ini.

Rudy: Hmmm.

Abam: Rudy…

Rudy: Kamu masih ingat petang khamis minggu lalu?

Abam: Petang khamis? Minggu lepas…Tak ingat. Kenapa?

Rudy: Si botak (Bos-Ah Liang) itu marahkan Rahman (Pekerja Bangladesh) kerna tersilap susun layer kayu.

Abam: Pastu?

Rudy: Gampang dia maki Rahman. Waktu itu gue dan Irwan tengah berkemas untuk pulang. Tiba-tiba…

Abam: Tiba-tiba apa?

Irwan: Tiba-tiba sebatang kayu jatuh di hadapan si botak. Gue perhatikan tidak mungkin kayu itu jatuh dari atas kerna kayu itu muncul entah dari mana.

Abam: Mungkin jatuh dari kawasan timbunan kot…

Rudy: Waduh waduh…Nggak bisa mungkin abam. Kami sendiri terlihat kayu itu tiba-tiba ada di situ.

Irwan: Si botak tanpa usul terus menuduh Rahman menjatuhkan kayu itu. Gue sudah panas masa itu. Mau saja gue tunjal kepala si botak. Rahman pula yang dituduhnya.

Rudy: Nasib baik ini negara Malaysia, kalau tidak bisa saja kami mengajar si botak si dasar oportunis itu.

Abam: Dah tu celah mana yang misterinya? Kayu jatuh?

Rudy: Loe cerita lagi Irwan. Gue seram bangat.

Irwan: Masa kami hendak pulang kami ternampak sosok seorang wanita berambut mengerbang di dalam loe punya forklift. MasyaAllah…Seram gue.

Abam: Kamu ni biar betul Irwan?

Abam terkejutlah. Sebab diorang cakap ada orang perempuan duduk dalam forklift abam. Terus abam hilang selera makan.

Irwan: Sumpah. Gue nampak depan mata gue sendiri. Rudy pun sama. Loe berhati-hati.

Abam: Kenapa korang baru hari ni nak cerita kat abam? Dahlah abam kena overtime hari ni.

Irwan: Gue terlupa abam. Sorry. Hehe.

Abam: Argh…Korang ni saja je nak takutkan abam.

Irwan: Demi Allah abam. Gue tidak bermaksud begitu. Loe yang beria bertanya. Kami sampaikan yang benar aja.

Abam: Argghhhhhhh!

Pada hari kejadian abam terpaksa bekerja lebih masa kerana banyak kayu yang perlu disusun. Rudy, Irwan, dan pekerja-pekerja yang lain sudah pulang pada lewat petang itu. Abam pula mereput bekerja seorang diri. Bos abam iaitu Ah Liang @ Si Botak mengarahkan abam untuk pulang pada jam 10 malam. Abam berseorangan di situ. Untuk tidak membuang masa abam pun bekerja seperti biasa. Penat memang penat tetapi demi rezeki sesuap nasi, abam tadahkan sahaja.

Pada kira-kira jam 9 malam abam berhenti sebentar untuk minum. Ketika itu abam merasakan seperti diperhatikan oleh seseorang. Abam memerhatikan seluruh kawasan kilang. Tiada sesiapa yang berada di situ. Kemudian abam terdengar seperti bunyi ketukan besi di bahagian luar pintu kilang. Abam meluru ke arah pintu tetapi tiada sesiapa yang berada di situ. Abam berdiri agak lama di situ. Kemudian terdengar pula bunyi kayu jatuh di bahagian dalam kilang. Abam gagahkan juga diri abam untuk melihat apa yang sedang berlaku di dalam itu. Abam bimbang sekiranya terdapat pencuri ataupun penyamun yang cuba untuk melakukan rompakan. Abam mengambil sebatang paip besi sebagai perlindungan diri.

Sesampainya di situ abam terkejut dan hampir pitam apabila ternampak seorang wanita di dalam pakaian serba putih sedang memerhatikan abam. Peluh berjurai-jurai, jantung hampir pecah, manakala otak abam terasa begitu besar. Abam berlagak selamba dalam ketakutan. Sesungguhnya bentuk fizikal abam yang agak bulat ini mampu menyembunyikan tangan dan kaki yang sedang terketar-ketar ketakutan ketika itu. Abam tahu abam akan kalah sekiranya dikejar oleh perempuan itu. Abam membaca ayat Qursi dan surah-surah yang diingati sebagai perlindungan. Abam tahu perempuan itu adalah pontianak. Hampir 5 minit juga pontianak itu berdiri memerhatikan abam. Abam berpendapat mungkin dia berada di situ kerana itu adalah kawasannya lalu abam berjalan keluar dengan selambanya untuk menutup pintu kilang.

Sedang abam berjalan, pontianak itu terbang di sebelah kanan abam. Kelajuannya sama seperti kelajuan abam berjalan. Ya Allah, mukanya putih, mata merah berdarah, rambutnya panjang mencecah lutut, bergigi taring, dan berkuku sepanjang 7-8 inci. Mata sisi abam bertemu dengan mata sisi pontianak itu. Dalam ketakutan itu abam terfikir sejenak, sebenarnya siapa yang ingin menakutkan siapa ketika itu. Mungkinkah dia takut pada abam? Ataupun mungkinkah dia sekadar ingin menguji ketakutan abam? Pandangan mata sisinya seakan-akan ingin merungkai rahsia abam. Lalu abam dengan selamba bodohnya berhenti dan menampar pipi pontianak itu. Dia terperanjat lalu melompat di depan abam. Abam agak terkejut dengan tindakannya itu. Dia melompat seperti katak dan duduk bercangkung betul-betul di hadapan abam. Abam cuba untuk menyepaknya tetapi tidak sampai kerana kaki abam agak ketot. Abam berdialog dengannya untuk mengetahui punca sebenar dia mengganggu abam.

Abam: Apa kau nak? Aku tak kacau pun kau! Aku cari rezeki je. Kau kacaulah orang lain.

Pontianak: Sini rumah aku.

Abam: Mana kau tahu tempat ni rumah kau?

Pontianak: Sudah lama aku tinggal di sini.

Abam: Sebelum ni aku tak pernah nampak pun kau.

Pontianak: Aku tinggal di situ.

Pontianak itu menghalakan tangannya ke arah tapak pokok Ara di belakang kilang itu. Ketika itu barulah abam faham apa yang dimaksudkan olehnya itu.

Pontianak: Kau seksa aku tadi.

Abam: Itu pengajaran. Yang kau terbang sebelah aku pastu kacau aku kenapa?

Pontianak: Aku ingin berkawan.

Abam: Berkawan dengan aku? Kau dah kenapa?

Pontianak: Aku kesunyian. Bolehkah kau berdamping denganku?

Abam: Huh…Aku panggil kau Peah boleh?

Pontianak: Boleh…

Masa itu abam dah kurang takut sebab abam geram sangat. Dia nak berkawan dengan abam. Dia tak tahu yang abam ini anti hantu, iblis, syiah, pondan, raver, justin bieber, fattah amin, neelofa, sajat, lipas, ular, macai, kaki rasuah, penipu, orang yang makan harta anak yatim, dan kawan yang lupakan kawan. Pontianak itu mendatangkan kemarahan kepada abam kerana berkata begitu.

Abam: Peah, kita tak boleh berkawan. Kau hantu puaka. Aku manusia. Kau dunia kau, aku pulak dengan dunia aku. Faham?

Pontianak: Grrr grrrr….

Abam: Aku tanya ni. Kau faham tak?

Pontianak: Aku kesunyian. Tolong aku.

Abam: Aku tak boleh nak tolong kau sebab kita tak sama. Aku harap kau jangan kacau aku lagi dan kembalilah kat tempat asal kau tu.

Pontianak itu masih mencangkung di depan abam. Dia seperti menagih simpati.

Abam: Peah, aku boleh tolong kau…

Pontianak: Grrr Grrr.

Abam: Ada seorang manusia yang ingin berkawan dengan kau.

Pontianak: Siapa manusia itu? Tunjukkan.

Abam: Dia takde kat sini sekarang. Esok dia ada. Peah, kau dengar baik-baik. Manusia itu tidak berambut, berkepala botak licin, berkulit putih, dan bermata sepet. Dia tinggal di dalam bilik itu, berhampiran rumahmu.

Pontianak: Kau berdusta!

Abam: Aku bercakap benar, dia memang teringin berkawan denganmu. Takkanlah aku nak berdusta?

Peah merenung tajam mata abam. Renungannya sangat mengerikan. Dia berdiri dan mengapungkan dirinya.

Pontianak: Apa namamu manusia?

Abam: Ermm Ermm…Rudy

Pontianak: Rudy, aku pegang kata-katamu, akanku tinggalkanmu di sini.

Abam: Kau jangan sesekali kacau aku lagi Peah!

Pontianak: Grrr Grr…Baiklah Rudy.

Ah Liang @ Si Botak memang patut diperdajalkan kerana mulutnya yang begitu lancang memaki dan mencarut. Orang yang tidak bersalah juga menjadi mangsa makiannya. Abam merasakan Peah layak untuk berkawan dengan Ah Liang yang dilaknat itu. Kesilapan besar abam adalah menggunakan nama Rudy untuk menyamar. Abam berdebar menantikan hari esok kerana Ah Liang bakal menjadi mangsanya. Abam mengambil keputusan untuk bercuti sakit selama 3 hari untuk mengelakkan diri daripada bertembung dengannya. Jujur abam katakan bahawa abam menggigil ketakutan ketika pulang ke rumah di sebabkan gangguan Peah. Abam menghubungi Ah Liang sejurus sampai di rumah untuk memohon cuti sakit.

Abam: Ah Liang, abam nak mintak cuti sakit 3 hari start esok.

Ah Liang: Lu ni gemuk punya pemalas. Wa kasi potong lu punya gaji baru lu tau.

Abam: Jangan macam tu Ah Liang. Abam sakit demam ni. On the way ke klinik dah ni.

Ah Liang: Lu mau masuk balik bila?

Abam: Hari Jumaat.

Ah Liang: Ok. Lu kasi inform sama Madam Mui nanti. Cakap wa approve you punya cuti.

Abam: Thank you Ah Liang. Bye.

Pada hari kedua cuti iaitu hari Rabu, abam menerima panggilan daripada Irwan yang menyatakan Ah Liang meracau-racau dan terpaksa dibawa ke hospital akibat demam panas. Abam agak gembira apabila terdengar berita tersebut. Pada hari Jumaat itu abam telah kembali bekerja seperti biasa. Abam nampak jelas Peah berada di dalam bilik Ah Liang. Abam hanya memerhatikan dari jauh. Nampaknya janjinya untuk tidak mengganggu abam telah ditepati. Beberapa hari kemudian Rudy pula yang menjadi mangsa gangguan Peah.

Rudy: Sial brengsek. Gue diganggu tadi.

Abam: Kenapa?

Rudy: Loe ingat lagi perempuan yang kami nampak di dalam forklift kamu tempoh hari?

Abam: Hmmm. Ya kenapa?

Rudy: Gue diganggu. Mampos. Loe temani aku sih malam ini.

Abam: Sorry Rudy, abam ada hal malam ni. Suruh Irwan temani kamu.

Rudy: Mampos…Irwan juga tiada malam ini.

Abam: Hidup biar selamba Rudy. Jangan takut, Allah itu sentiasa melindungi hamba-hambanya. Berdoa sahaja.

Rudy: Abam……

Abam: Maafkan abam sebab memang abam ada hal penting malam ni. Assalamualaikum.

Rudy: Waalaikumsalam.

Abam lihat wajah Rudy begitu tertekan. Bagi abam Peah tidaklah merbahaya seperti pontianak-pontianak lain yang pernah abam temui. Dia hanyalah seekor pontianak yang kesunyian. Rudy tidak diganggu pada malam tersebut. Daripada ceritanya dia memberitahu bahawa dia telah melakukan solat hajat dan berzikir sepanjang malam ketika bekerja lebih masa pada hari tersebut. Rudy mula berubah ke arah kebaikan. Kepalanya selalu ditutupi dengan ketayap dan lebih banyak mendiamkan diri semenjak peristiwa diganggu Peah. Abam hanya sempat bekerja di situ selama 3 bulan sahaja. Irwan, Rudy, Rahman, dan Ah Liang masih bekerja di situ. Peah? Wallahualam.

InsyaAllah abam akan berkongsi lagi kisah-kisah seram abam di sini. Semoga kita semua beroleh rahmat dariNya, InsyaAllah. Sekian Assalamualaikum WBT.

Abam Kiko
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

12 comments

  1. abam ni kelakar la…leh dia tampar ponti tu…huuu…tp kan mmg betul apa..dengan makhluk halus jgn tunjuk rasa takut…beranikan diri…mrk pun bengap jugak…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.