#AhmadAkhlaqen – Jalan Pulang (Rona-Rona Si Pendosa)

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Terlebih dahulu aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Fiksyen Shasha kerana telah menyiarkan kisahku yang lepas iaitu JALAN PULANG. Aku bukanlah seorang penulis yang hebat lagi pandai berkata sastera. Aku hanya ingin berkongsi kisah seram, misteri, dan pengajaran yang pernah hadir di dalam hidupku ketika meniti rona-rona Casablanca dunia. Sebelum bermula, aku perkenalkan dahulu diri si pengembara pemotret penglipurlara ini. Aku #AhmadAkhlaqen, salah seorang hamba ciptaanNya yang sedang berkelana berpujangga mencari kedamaian dan menafsir mimpi. Seperti insan yang lain, aku juga mempunyai rimbunan kisah seram yang sentiasa menemaniku di sepanjang kedewasaan ini. Firasatku mengatakan bahawa Fiksyen Shasha adalah sebuah platform terbaik untukku memanifestasikan semula kejadian itu. Kali ini kita bertemu semula di sini dengan kisah yang sama iaitu JALAN PULANG (RONA-RONA SI PENDOSA). Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani aku gertak 10 jari-jemari untuk mencoret kisah lampauku ini.

YANG GELAP LAGI DALAM

Ingin aku jelaskan bahawa setiap kisah yang dipaparkan adalah daripada pengalaman yang pernah menimpa diriku si makhluk yang penuh hina ini. Tiada paksaan kepada pembaca untuk mempercayainya. Aku tak dapat nafikan bahawa terdapat segelintir pembaca yang meragui akan kesahihan cerita ini. Ada yang mengatakan aku menipu dan hanya mensensasikan cerita berbaur khayalan. Setiap perkara yang berlaku di dalam hidupku adalah sebuah intipati dan rencah yang telah digauli oleh kesilapanku sendiri. Aku tidak akan sesekali menyalahkan pembaca-pembaca yang menuduhku berkhayal, berfantasi, ataupun menipu sekalipun kerana hanya AKU, ahli keluarga, dan beberapa orang kenalan terdekat sahaja yang tahu akan lembaran sirah kejadian yang pernah berlaku ini. Baiklah, sebelum aku memulakan kembara dengan lebih jauh, aku ingin membuat beberapa penjelasan supaya semua pembaca faham akan peristiwa yang telah berlaku di lembaran kisah yang lepas.

  1. Ritual kemasukan sebagai seorang ahli komuniti syaitan itu sama sekali tidak melibatkan penyertaan daripada mana-mana kumpulan muzik metal tempatan.

  2. Untuk makluman semua, mantera yang tercatat itu bukanlah sebuah bacaan mantera yang dibacakan pada malam ritual kejadian, sebaliknya ia adalah frasa melayu lama yang telah digabungkan dengan angka 6 dan 9. Angka 6 adalah signatur kepada dunia iblis manakala angka 9 mewakili kesinambungan kepada jumlah 9 orang ahli yang mengangkat sumpah pada malam kejadian. Walaupun begitu aku mengaku telah melakukan kesilapan besar kerana telah menulis lafaz doa dan lafaz zikir tersebut. Aku memohon maaf di atas kebodohan dan kekhilafan tersebut. Mungkin editor Fiksyen Shasha boleh menukar lafaz tersebut kepada perkataan lain yang lebih sesuai dengan struktur ayat tersebut.

  3. Memang benar Azazil bukanlah nama sebenar kepada si raja iblis. Adalah terlalu bodoh dan dangkal sekiranya aku mendedahkan identitinya yang sebenar. Mendedahkan rupabentuk kejadiannya sahaja sudah merisikokan diri sendiri apatah lagi mendedahkan nama pengenalannya.

  4. Aku menulis naskhah ini bukan bertujuan untuk merekrut ataupun mengajak pembaca ke arah kesesatan. Bukan itu niatku. Aku hanya ingin menceritakan kembali tentang transisi kehidupanku daripada zaman kegelapan kepada zaman keinsafan. Setiap perkara negatif dan buruk yang pernah dilakukan olehku jangan sesekali ditiru dan diamalkan kerana ia bertentangan dengan syariat Islam. Jangan sesekali menyekutukan Allah. Jangan sesekali terjerumus ke lembah yang hina dengan mensyirikkanNya. Aku diberi peluang kedua kerana aku tahu bahawa Allah SWT itu Maha Penyayang dan Dia sememangnya menyayangi hambaNya yang ingin pulang ke pangkal jalan. Aku berubah bukan kerana manusia ataupun kerana makhluk. Aku berubah kerana tersedar akibat dijentik olehNya di atas beberapa peristiwa yang telah terjadi di dalam hidup ini.

  5. Tiada langsung terniat di hati ini untuk memfitnah atau memburukkan golongan pemuzik haluan kiri tempatan yang berteraskan Metal, Hardcore, Grindcore, ataupun genre-genre berat yang lain. Aku menyertai komuniti tersebut bukan disebabkan oleh kumpulan-kumpulan tersebut. Ada sesetengah pembaca yang beranggapan bahawa aku telah menyebarkan fitnah berkaitan dengan kumpulan-kumpulan tersebut. Apa yang perlu difahami adalah Muzik dan Komuniti Black Metal adalah 2 dunia yang berbeza. Ada golongan pemuzik dan pendengar yang hanya melayani konsep ataupun genre muzik black metal atas kapasiti hiburan semata-mata. Ada pula golongan yang fanatik dan taksub dengan syaitan lalu berpegang kepada ideologi syaitan sebagai pegangan hidup. Aku adalah salah seorang daripada golongan fanatik tersebut. Walaubagaimanapun semuanya bermula daripada perkenalan dengan muzik bergenre ini. Tak kenal maka tak cinta. Sifat ingin tahu itu telah menjerumuskan diriku ke sebuah dimensi yang jauh dalam daripada dunia normal.

  6. Bahasa komunikasi yang digunakan oleh kami adalah di dalam bahasa Melayu. Bukan sahaja dengan raja iblis, ataupun raja jin lain malah ketika berhadapan dengan hantu puaka sekalipun aku berhubung di dalam bahasa Melayu. Untuk pengetahuan semua, bangsa jin dikurniakan dengan akal yang cekap dan pintar. Mereka mampu menghafal dan mencedok sebarang ilmu dalam masa yang singkat sahaja. Mereka menguasai ribuan bahasa dan segala ilmu yang ada tanpa sebarang masalah.

  7. Adakah benar makhluk yang aku temui itu adalah Azazil si raja iblis? Aku yang berada di situ, aku yang melaluinya, aku yang bersamanya, aku yang berinteraksi dengannya, dan pertemuan seterusnya dengan beberapa orang raja jin Islam mengesahkan bahawa dia adalah si raja Iblis yang masyur itu. Seperti yang telah diterangkan awal tadi, aku tidak memaksa sesiapa pun untuk mempercayai ceritaku ini. Iblis adalah salah satu daripada bangsa awal makhluk yang bergelar jin. Mereka lebih jahat, dominan, dan lebih kepada merosakkan fikiran manusia berbanding dengan bangsa jin lain yang kebanyakannya mengganggu manusia secara nyata melalui pendekatan untuk menakutkan dan melukai fizikal dan mental seseorang manusia itu.

  8. Aku akui bahawa Naskhah JALAN PULANG sememangnya berat. Berat kerana bersangkutan dengan akidah dan tauhid umat Islam. Aku menulis kerana ingin pembaca semua mengambil iktibar dan membuka minda tentang kejadian-kejadian yang sememangnya wujud dan di luar batas pemikiran seorang manusia biasa. Aku adalah seorang hamba yang hina dan masih lagi merangkak mencari keredhaan daripada DIA yang satu iaitu si penguasa alam raya, Allah SWT.

  9. Hanya Allah SWT sahaja yang layak untuk menghakimi dan menentukan kedudukanku. Aku pernah dihina, dikecam, dan dibangsatkan oleh saudara seagama ketika di awal peringkat penghijrahan ini. Benar, aku pernah melakukan dosa yang paling berat lagi terkutuk tetapi layakkah bagi seorang manusia yang juga makhlukNya untuk menghakimi dan mengatakanku bahawa taubatku sukar untuk diampunkan olehNya kerana pernah mensyirikkan diriNya? Semakin banyak kecaman dan makian yang diterima semakin kuat hatiku padaNya. Aku tahu bahawa Allah SWT adalah tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia yang menguasai segalanya. Dialah tuhan yang Maha Mengampun dosa-dosa besar.

YA ALLAH YA TUHANKU, KAU AMPUNKANLAH DOSA-DOSAKU, SESUNGGUHNYA AKU TAKUT KE NERAKAMU DAN AKU TAHU AKU TAK LAYAK KE SYURGAMU.

  1. Yakinlah bahawa kita semua wujud di dunia ini kerana telah ditakdirkan sejak dari Loh Mahfuz lagi. Jalan ceritaku begini, jalan ceritamu begitu. Penghujung jalan cerita kita mungkin sama dan mungkin tidak kerana ia bergantung kepada amal dan takwa yang pernah kita lakukan ketika masih hidup. Sesungguhnya kematian itu sangat hampir dengan diri kita. Kayu pengukur kepada kekuatan amalan kita bukanlah ditentukan ketika kita masih sihat bernafas seperti sekarang tetapi ia akan terjadi ketika menjelang saat sakaratulmaut yang maha mengerikan itu berlaku. Tersungkurnya Azazil dari alam syurga hanyalah kerana setitik kesombongan yang terdetik di dalam hatinya. Hanya kerana setitik dosa itu dia dihinakan dan menjadi makhluk yang paling dibenci olehNya. Bagaimana pula dengan aku, kamu, dan kita semua? Adakah kita semua hanya mempunyai setitik dosa? Fikir-fikirkanlah wahai pembaca-pembaca budiman semua.

Baiklah semua, kita teruskan semula kepada kesinambungan kisah naskhah JALAN PULANG.

RONA-RONA SI PENDOSA

Sebagai seorang Guardian aku bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan dan pergerakan komuniti ini daripada ancaman luar. Berikut adalah struktur organisasi kepada kelangsungan komuniti kami.

I. ORGANISASI KEBAJIKAN ANTARABANGSA (IWO)
II. GRAND MASTER LODGE (GML)
III. KOMUNITI

Organisasi Kebajikan Antarabangsa (IWO) diwakili oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang rata-ratanya milik pertubuhan antarabangsa. Ia dinaungi oleh golongan kenamaan dan golongan korporat. Ia lebih kepada kerja-kerja amal dan kebajikan kepada masyarakat. Sumber dana yang diterima daripada syarikat-syarikat korporat antarabangsa akan diagihkan pula kepada Grand Master Lodge (GML). Daripada situlah komuniti yang berada di bawah kuasa GML dapat berkembang dan meneruskan kesinambungannya. Terdapat 2 komuniti berbeza di bawah bidang kuasa GML, iaitu:

A. Komuniti Freethinker

â—†Aras Pertama: Ahli bawahan yang berfahaman Atheist, berdoktrin Iblis, & Anti Agama (Islam & Kristian).

â—†Aras Kedua: Ahli pertengahan yang faham akan sistem hidup Iblis, golongan berfikiran luas, golongan profesional, & golongan yang melindungi golongan Nasionalis.

â—†Aras Ketiga: Ahli kelas atasan seperti golongan kenamaan, VVIP, dan ahli korporat yang berkhidmat di dalam GML dan IWO.

B. Komuniti Nasionalis
â—†Pejuang Hak Asasi & Kemanusiaan.
â—†Penentang Sistem Perlembagaan & Sistem Syariah.

2 komuniti ini mempunyai agenda yang sama iaitu untuk menyelewengkan pegangan agama umat Islam. Komuniti kami iaitu komuniti Freethinker bersifat lebih radikal. Kami mempengaruhi minda manusia seawal peringkat remaja sehinggalah ke peringkat dewasa melalui konsep penjajahan minda manakala komuniti Nasionalis pula dikepalai oleh aktivis-aktivis yang memperjuangkan hak serta tuntutan kebebasan bersuara, kebebasan beragama, dan kebebasan orientasi seksual. Seperti yang telah diterangkan di dalam kisah yang lepas, aku bermula sebagai seorang ahli biasa. Atas inisiatif dan kerja keras di dalam merekrut ahli-ahli baru aku dinaikkan pangkat sebagai seorang Guardian. Taat setia kepada komuniti dan kepada gerakan komuniti freethinker yang lain telah membawaku lebih jauh ke dalam sistem iblis. Aku didedahkan dan diajar bahawa hanya iblis yang layak disembah oleh kami semua. Setiap agama yang wujud di dunia ini adalah konsep hidup dongeng semata-mata. Suatu masa nanti akan muncul seorang pahlawan yang akan membanteras segala penipuan di dalam dunia ini pada akhir zaman nanti iaitu Dajal Al-Masih. Kami adalah bala tentera kepadanya apabila dia memunculkan dirinya nanti.

AKU YANG KENTAL

Kami pernah diserbu dan berulang kali ditangkap oleh pihak Polis dan Jabatan Agama Islam tetapi dibebaskan semula kerana pengaruh daripada golongan kenamaan. Memang sudah menjadi lumrah kehidupan apabila hanya ‘Ikan Bilis’ yang menjadi mangsa manakala ‘Jerung-Jerung Besar’ bebas berkeliaran. Aku bermula daripada aras pertama iaitu sebagai ahli biasa. Kemudiannya dilantik sebagai Guardian. Melihat kepada kesungguhanku yang tidak putus dan tidak berbelah bahagi dalam mengekalkan momentum dan memperluaskan kuasa komuniti kami, pihak GML telah menaikkan arasku daripada aras pertama kepada aras kedua dan pangkatku juga dinaikkan kepada Chief Manager. Aku sudah memiliki komuniti sendiri. Aku yang berkuasa sepenuhnya bagi setiap kejadian dan perjalanan komuniti ini. Ketika itu Pharduka Ifrit masih berada di takuk lama dan pangkatnya adalah jauh lebih rendah daripadaku. Dia masih lagi memegang jawatan sebagai seorang Godfather. Pergerakan komuniti kami adalah terancang, terperinci, tersusun, dan sukar untuk dibanteras kerana mendapat sokongan kuat daripada golongan elit dan kenamaan. Aku bukan lagi seorang ahli biasa yang bercelak di mata. Tidak lagi berambut panjang mengurai dan jauh sekali mengenakan pakaian gelap dan aksesori ganas untuk diperagakan kepada golongan awam. Aku telah berubah menjadi seorang manusia yang profesional. Penampilan fizikalku adalah seperti orang biasa dan kemas. Aku belajar bergaul dan bercampur dengan golongan-golongan cerdik pandai dan golongan profesional. Mereka juga sama sepertiku, berdoktrinkan Iblis. Di luar mereka disanjung tinggi dan dihormati oleh masyarakat di atas kejayaan dan pencapaian mereka tetapi apabila berkumpul bersama-sama, kami semua adalah sama. Kami adalah tentera kecil kepada iblis. Untuk lebih dikenali dan dihormati oleh golongan-golongan elit dan kenamaan aku mula menyusun strategi baru untuk mencantikkan lagi portfolio pencapaianku iaitu dengan mengibliskan seorang manusia seawal bayi lagi. Aku mengarahkan orang-orang bawahanku untuk mencari gadis-gadis yang hamil anak di luar nikah tanpa mengira bangsa dan agama. Komuniti kami akan memberikan layanan kelas pertama kepada mereka. Wang dan tempat perlindungan akan disediakan kepada mereka seselesa mungkin. Tetapi semua itu bukan datang secara percuma. Semuanya bersyarat. Anak luar nikah yang dilahirkan itu akan diserahkan kepada kami sejurus sahaja ia dilahirkan. Segala urusan perundangan telah dimeterai sebelum gadis-gadis itu bersetuju dengan tawaran kami. Anak-anak yang dilahirkan itu akan mempunyai ibu bapa daripada golongan yang bukan beragama Islam atau Ktistian. Mereka adalah golongan penentang agama yang juga berdaftar sebagai ahli di dalam IWO dan GML. Hasil daripada usaha itu, ramai golongan atasan yang mula membuka mata dan menyedari akan kewujudanku.

HIDUP DIBUAI DENGAN KEMEWAHAN

Namaku semakin dikenali oleh golongan elit dan korporat. Atas usahaku itu aku mampu membeli sebuah apartmen mewah di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur ketika aku baru sahaja berusia 25 tahun. Wang gaji yang besar ditambah pula dengan elaun dan bonus daripada pihak IWO memampukan aku untuk melabur di dalam bidang hartanah secara kecil-kecilan. Aku hidup mewah-semewahnya. Duitku tidak pernah kering. Perempuan silih berganti hadir di dalam hidupku. Aku mula berkuasa. Tiada sempadan untukku bertemu dengan sesiapa sahaja waima kerabat diraja atapun selebriti terkenal. Ramai yang menyedari akan perubahan yang berlaku padaku. Kawan-kawan dan kenalan yang pernah mengecam dan menghinaku akibat tunggang langgang ketika di zaman universiti dahulu mula merapatkan diri untuk menumpang kesenanganku. Mereka sanggup menjadi anjing peliharanku semata-mata kerana wang. Kerana wang aku mampu menguasai manusia. Aku memiliki kuasa, pangkat, dan wang kerana usahaku yang kuat dan restu daripada si Raja Iblis iaitu Yang Maha Mulia Raja Azazil. Walaupun hidupku mewah aku tidak pernah merasa erti kebahagiaan. Aku tidak pernah puas. Kadangkala aku berasa bosan dan begitu kosong. Kosong yang tidak dapat aku huraikan dengan kata-kata.

AKU DAN ALAM GHAIB

Aku telah mempunyai 4 ekor makhluk gergasi yang sentiasa berkawal untuk melindungiku. Aku juga diiringi oleh seekor jin yang bertindak sebagai pendampingku sepanjang masa. Aku kebal. Kebal dengan kuasa dari alam ghaib. Tiada sesiapa pun yang mampu untuk mendatangkan kecederaan atau kesusahan kepadaku. Pernah terjadi di mana beberapa orang manusia yang penuh dengan hasad dengki cuba untuk mengenakan sihir dengan niat untuk menjatuhkanku tetapi semuanya dapat ditangkis dengan mudah oleh pendampingku. Secara keseluruhannya aku mempunyai 5 ekor jin yang menjaga keselamatan, menaikkan kegerunan dan ketakutan kepada lawan, menaikkan seri wajah, dan sebagai perisai kebal bagi tujuan keselamatan. Aku dapat mengetahui dengan lebih awal sekiranya terdapat sesiapa yang ingin mendatangkan kesusahan kepadaku. Aku juga mampu mendatangkan kesusahan kepada sesiapa yang berbuat jahat padaku dengan mudah.

ISTERIKU ADALAH JIN

Sesuatu yang tidak patut berlaku dan melampaui norma seorang manusia adalah mempunyai ikatan perhubungan perkahwinan dengan bangsa jin. Akibat nafsuku yang terlalu kuat aku telah menjalinkan hubungan terlarang dengan mereka. Aku telah berkahwin dengan seekor jin betina dari bangsa Ifrit dan mempunyai anak haram/campuran seramai 6 orang. Ya, anak campuran di antara benih seorang manusia dan seekor jin. 2 jantan dan 4 betina. Mereka berada di dalam jagaan isteriku. Aku menjadi bertambah kuat dan berpengaruh. Sekiranya aku memerlukan bantuan aku hanya perlu membayangkan wajah mereka dan mereka akan muncul dalam tempoh sekelip mata sahaja. Kesemua anakku wujud secara ghaib, hanya aku sahaja yang mampu melihat dan berhubung dengan mereka. Isteriku itu berkulit putih, bermata sepet seperti orang Korea, bermata hijau, berhidung sedikit mancung, dan berasal daripada Indonesia. Anak-anakku pula lebih cenderung berwajah sepertiku. Mereka cepat belajar dan pintar. Wajah mereka juga agak comel.

Arahzaab tahu bahawa aku telah mempunyai keluarga dari kalangan jin ifrit dan dia telah melaporkan perbuatanku itu kepada si raja iblis, Raja Azazil. Aku telah diculik dan ditahan untuk beberapa ketika di istana tersebut.

“Hari ini kamu di dalam genggaman kami.” Tutur Arahzaab dalam suara kasarnya.

“Sebentar lagi kau akan aku persembahkan kamu kepada Yang Maha Mulia.”

“Arahzaab, mengapa kau bawaku ke mari? Kenapa kau tahanku di dalam bilik ini? Di sebelah mereka semua?” Soalku lembut ketika melihat suasana di dalam bilik kurungan yang bersebelahan dengan bilik yang menempatkan makhluk-makhluk puaka itu.

“Ini arahan.”

“Arahan daripada siapa?”

“Yang Maha Mulia.”

Atmosfera dan suasana suram di dalam bilik tersebut sangat tidak menyenangkan perasaanku. Aku menyeru pendamping setiaku untuk hadir ke situ tetapi malangnya dia tidak kelihatan. Pada tanggapanku dia tidak dapat masuk ke kawasan istana berkenaan kerana dikawal ketat oleh pengawal-pengawal istana yang memang ramai jumlahnya.

Arahzaab beberapa kali mendengus. Dia tidak bersuara ataupun bergerak. Hatiku berdebar. Penantian adalah suatu penyiksaan. Jarum jam di tangan bergerak dengan begitu lambat. Seminit dirasakan seperti setengah jam. Raungan daripada makhluk-makhluk yang berada di bilik kurungan sebelah begitu meruntunkan hatiku. Ada yang merayu supaya dilepaskan, ada teriakan yang memohon ampun kepada Raja Azazil, dan ada yang menangis akibat tidak tertanggung dengan kesakitan akibat diseksa. Sungguh aku tidak faham mengapa mereka semua dikurung sedemikian rupa.

“Arahzaab…”

“Akhlaqen?”

“Bolehkah aku bertanya sesuatu?”

“Sekiranya soalan itu kena pada dasarnya aku akan menjawabnya. Sekiranya tidak maka tiadalah jawapannya.” Santun dia menjawab pertanyaanku.

“Mengapa mereka semua dikurung di situ? Maksudku mereka semua yang berada di sebelah bilik ini. Mereka meminta untuk dilepaskan. Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh mereka semua?”

“Kamu hendak tahu?”

“Ya sahabat…”

“Mereka tidak melaksanakan perintah yang diamanahkan daripada Yang Maha Mulia. Wajar mereka menerima hukuman di situ.”

“Adakah mereka semua berbangsa Iblis seperti kamu?”

“Ya. Tetapi mereka melanggar perintah.”

“Perintah apa?” Kali ini aku mendekati dirinya. Bahang panas di badannya boleh dirasai dari jarak beberapa kaki sahaja. Sebelum ini suhu badannya adalah normal. Tetapi pada kali ini cukup terasa akan bahang panasnya itu.

“Kenapa badanmu begitu panas?”

“Api di dalam salur uratku menggelegak.”

“Menggelegak?”

“Itu kamu tidak perlu tahu.”

“Baiklah Arahzaab. Tadi kamu katakan mereka semua melanggar perintah? Perintah apa sebenarnya?”

“Perintah untuk melakukan kekacauan terhadap golongan mukmin dan golongan bertakwa.”

“Golongan apakah itu?” Soalku lagi.

“Pendokong dan pengikut-pengikut setia ajaran MUHAMMAD!”

Ketika Arahzaab menyebut nama itu, jantungku berdegup dengan begitu kuat dan kencang. Peluh berjurai membasahi pakaianku, dan dada terasa begitu sempit. Aku seolah-olah sedang mengalami serangan jantung. Aku terjatuh rebah. Arahzaab hanya mentertawakanku di situ. Aku dapat membayangkan bahawa ajalku sudah tiba ketika itu. Kepalaku pula berasa seperti hendak meletup dan ketika itu terdengar sekali lagi namaku disebut dengan kuat.

“Ahmad Akhlaqen ibni Adam, Ahmad Akhlaqen ibni Adam, Ahmad Akhlaqen ibni Adam!”

Tubuhku kembali ke keadaan normal. Tiada lagi sakit akibat serangan jantung ataupun kesakitan di dalam kepala. Arahzaab menadahkan tangannya seperti berdoa lalu menggoyangkan badannya ke kiri dan ke kanan sambil terkumat-kamit membaca doa. Doa yang tidakku ketahui maknanya.

“Akhlaqen, ayuh, Yang Maha Mulia ingin ketemu denganmu sekarang.” Tanganku direntap dengan kuat, kami keluar daripada bilik kurungan itu dan aku dipapah naik ke atas kuda hitam yang setia menunggunya di luar bilik kurungan itu.

“Arahzaab, kenapa setiap kali namaku disebut kamu akan menadah tangan dan badanmu digoyangkan sebegitu rupa? Ini sudah kali kedua semenjak pertemuan yang lepas…”

“Kami semua sedang mengaminkan doa yang dibaca oleh Yang Maha Mulia.”

“Maksud kamu doa tentang apa?”

“Kesejahteraan untuk Baitul Iblis, kerajaan iblis, kehidupan kami, dan kesejahteraan ke atas Yang Maha Mulia.”

“Oh begitu…”

Aku terus dibawa naik ke tingkat 7 iaitu tingkat dimana Raja Izrail bersemayam di atas takhtanya. Tiada lagi protokol larangan seperti yang dialami oleh kami seperti sebelumnya. Kali ini aku berjalan sendiri ke singgahsananya. Tirai penghadang dinaikkan. Raja Izrail duduk di kerusinya dengan penuh berdaulat. Aku menundukkan tubuhku ke depan sebagai tanda hormat kepadanya.

“Ahmad Akhlaqen ibni Adam, tahukah kamu mengapa beta panggil kamu menghadap pada hari ini?”

“Tidak tuanku…”

“Kamu tahu kamu sudah melakukan kesalahan?”

“Tidak tuanku…Kesalahan apakah yang dilakukan olehku?”

“Pergaulanmu dan persetubuhanmu dengan makhluk Allah yang bukan sekutu denganku!”

Ketika itu aku terbayangkan wajah isteriku yang juga jin daripada bangsa lain itu. Aku bimbangkan keselamatannya dan anak-anakku. Jujur aku cukup bimbang.

“Tetapi dimanakah terletaknya kesalahan itu tuanku?”

“Mereka bukan iblis! Bukan dari asal keturunanku! Bukan dari nasab kami yang lebih mulia!” Aku tersentak apabila hidungnya mengeluarkan asap hitam yang tebal ditambah pula dengan hentakan tongkatnya di atas lantai marmar itu.

“Maafkanku tuanku…Sekiranya aku tahu, aku tidak akan sesekali melakukan perbuatan terkutuk itu.”

“Sekarang bagaimana Ahmad Akhlaqen ibni Adam?”

“Aku tidak mengerti tuanku…”

“Isterimu dan anak-anakmu harus dilepaskan…”

“Tapi tuanku! Mereka adalah keluargaku…Tolong jangan buat begini padaku tuanku…” Ketika itu air mataku sudah bercucuran dan aku seperti hilang akal. Aku mencium kakinya dan berulang kali bersujud di hadapannya.

“Dengan satu syarat.”

“Katakan sahaja tuanku. Sanggup aku lakukan demi mereka semua…”

“Engkau juga harus menggauli wanita daripada keturunan kami. Anak-anak yang dilahirkan nanti harus diserahkan kepadaku. Mereka akan menjadi baka keturunanku yang mutlak.”

“Aku setuju tuanku…”

“Arahzaab, panggilkan anak betina kepada Tabuta sekarang.”

“Perintah dijunjung Yang Maha Mulia.”

Arahzaab berlalu pergi. Tak lama kemudian dia membawa seorang wanita yang tak kurang jelitanya ke hadapan kami.

“Engkau anak betina kepada Tabuta akanku persuamikan dengan anak keturunan Adam ini. Setuju?” Soal Raja Azazil kepada wanita itu.

“Setuju Yang Maha Mulia.” Lembut suaranya menjawab soalan tersebut. Wajahnya juga lembut seperti sehelai kain sutera yang ditiup angin.

“Engkau Ahmad Akhkaqen ibni Adam akanku peristerikan dengan anak keturunanku daripada bani Qudroh kepadamu sekarang. Setuju?”

“Setuju tuanku…”

Bermula daripada saat itu, wanita itu iaitu iblis betina yang dipanggil Qarina telah sah menjadi isteri keduaku mengikut adat istiadat dunia iblis. Aku terpaksa membawa pulang Qarina bersamaku kerana dia telah menjadi isteriku yang sah. Berat hatiku kerana aku sebenarnya telah berkeluarga dan hidupku menjadi tidak tentu arah akibat perkahwinan kedua ini. Qarina melayaniku sama seperti isteriku yang pertama. Isteri pertamaku iaitu Suraiya telah mengetahui tentang perkahwinanku itu. Tercetus satu pergaduhan besar di antara mereka berdua. Pergaduhan yang sangat dasyat di mana mereka mempamerkan kuasa dan kekuatan yang tersendiri. Aku terpaksa menggunakan khidmat pendampingku untuk meleraikan pergaduhan itu. Aku telah meletakkan beberapa syarat kepada Qarina sekiranya dia ingin hidup bersama dengan kami. Salah satu daripada syarat tersebut adalah untuk hidup aman sebagai sebuah keluarga bersamaku. Dia seakan-akan tidak mempedulikan syarat tersebut. Jadual masa untuk bersama dengan mereka juga telah dibahagikan secara sama rata olehku. Untuk beberapa ketika kami semua hidup aman dan tenteram. Ada juga masanya pergaduhan tercetus tetapi aku sudah pandai bermain rentak dengan mereka berdua. Hasil daripada pergaulanku dengan Qarina, kami telah mendapat 2 ekor anak kacukan iblis dan manusia. Kedua-duanya adalah jantan. Seperti yang telah dijanjikan pada Raja Azazil, aku terpaksa menyerahkan mereka kepadanya. Arahzaab ditugaskan untuk mengirimkan mereka kepadanya.

MUHAMMAD

Kadang-kadang nama tersebut berlegar-legar di dalam mindaku. Nama tersebut hampir menyebabkanku kehilangan nyawa ketika di istana Raja Azazil itu. Aku tidak berani melafaz ataupun menyebut nama itu kerana bimbangkan keselamatanku. Aku memulakan pencarian maklumat mengenai ajaran yang dibawa oleh Muhammad. Aku membeli beberapa buah buku mengenai dirinya tetapi belum sempat membacanya akibat kesibukan kerja dan kekangan masa. Aku juga teringatkan nama Allah. Raja Azazil telah beberapa kali menyebut nama itu di depanku sebelum ini. Apakah kaitan di antara Allah dan Muhammad?

Aku akan menyambung kisah seterusnya di coretan yang lain. Andaikata aku terkasar bahasa ataupun telah terlukakan hati pembaca-pembaca semua, diharapkan diampunkan segala butir kata dan maksud di dalam kisah ini. Aku hanya berkongsi kisah hidupku yang penuh dengan contengan yang kotor lagi hina ini. InsyaAllah kita akan bertemu lagi. Salam sayang daripadaku, #AhmadAkhlaqen untuk pembaca-pembaca semua. Assalamualaikum WBT.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Ahmad Akhlaqen

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 7 Average: 3.7]

107 thoughts on “#AhmadAkhlaqen – Jalan Pulang (Rona-Rona Si Pendosa)”

  1. Ya..kisah yg terlalu berat dan banyak konflik di sisi agama. Tak kisah sebenarnya samada kisah benar atau rekaan. Yg penting kisah anda sedikit sebanyak membuka mata tentang iblis dan syaitan. Feel tu sampai, dan bila membayangkan perkara mcm ni, rasa takut. Sampai teringatkan akhirat nanti dan kemunculan dajal.

    Reply
  2. Alhamdulilah.Nervous la ..baca punya la perlahan takut habis cepat.
    Hidayah milik Allah bro.
    Boleh cepatkan sikit tak update xsabaq chek..nak baca.

    Reply
  3. serius ni yg paling seram takut..skrg kita boleh nampak ramai yg perjuangkan segala mak nenek kebebesan ..yg terbaru comango tu..takut apa akan jadi dengan generasi baru nanti

    Reply
  4. cepat sikit sambung, bagus pengajaran dari cerita awk.. ahrazab tu memang nama betul dia ke? atau cuma rekaan? takut jugak duk sebut2.. x pasal2 muncul kang..

    Reply
  5. Setiap orang ada pendapat masing2.Aku lebih nak mempercayai bahawanini dalah fiksyen semata2.Sama macam penulis cerita Maya.(budak umur 9tahun dah pandai merogol).Apa2 pon,good job penulis.

    Reply
    • apa yg penulis ni dapat klu nk mereka reka? bkn blh dapat duit, tkenal pun. lg sakit kepala ada lah klu nk mereka reka cerita berat mcm ni bro.

      Reply
  6. yang ni feeling betul. sambung cepat sikit saudara. btw kenapa Izrrail cakap Suraiya bukan dari kaum iblis? Suraiya bukan iblis jugak ke?

    Reply
      • Penulis saja guna nama samaran drpd guna nama yg dia guna sebelum ni kot(az@zil) atas faktor keselamatan. Rasanyalah gitu.. Apa2 pun kisah ni betul2 di luar kotak dan diluar norma manusia biasa. Kalau benar kisahnya, Allah telah mengizinkan penulis melangkah ke tahap yg sgt jauh, mgkin utk sampaikan sesuatu kpd hambaNya. Semoga Allah memelihara iman semua mukminin&mukimnat termasuk penulis in shaa Allah. Teringat penulis hadi fayyadh yg bercerita(fiksyen) ttg az@zil, tp cam real je penulisan dia dan penuh pengajaran.

        Reply
  7. complicated sikit sis bace. nnt sis reread balik. serious meh izrail ? ke tersasul azazil ?

    do explain more, harap orang lain dapat pengajaran.

    semoga allah mengampunkan segala dosa-dosa & menerima taubatmu akhlaken. amin.

    regards.

    *email sis is invalid.

    Reply
  8. Sejak sy baca coretan pertama di Fs tak pernah sy nak pndang hina @ jatuhkan hukuman pada awak.Kita tak sesempurna ciptaan…ada masa akan hanyut dengan keindahan duniawi.alhamdulilah awak dapt berpatah balik ke pangkal jalan.semoga istiqamah awak lebih teguh slps ni

    Reply
    • den tolong kak yulie google..

      masa kehamilan jin tidak berkisar antara enam sampai sembilan bulan seperti yang berlaku di kalangan manusia. Tetapi lima belas bulan, dimulai dengan masa berhenti h**d yang disertai rasa sakit. Khusunya karena rahim jin kadang-kadang berisi tujuh sampai sembilan janin. Malah bisa juga terjadi kembar dua belas.

      Reply
      • Oooo…
        Gamaknye anak die 6org tu kembar2 ar kot ekkk…
        Kot 15bln sorang, mane nk dptnye 6org…
        Baru kawen kot…
        Tapi bagusnye, wpon mase tu die jahil, tapi setia pada yg satu…
        Sbb terpaksa je die kawen plak ngan Qarina…

        Reply
  9. (59) Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya dia musuh yang nyata terhadap kamu! (60) Dan (Aku perintahkan): Hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus. (61) Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf? alQuran/Ya-seen

    Reply
  10. Mmg seperti yg telah dijangkakan- keadaan di dunia ini. Pejuang2 iblis laknatullah makin lama makin menonjolkan diri (cara ini yg paling berkesan). Contohnya concept ‘influencer’ yg menular dia mana2 social network sekarang. Sangat terpengaruh kerana popularity yg tinggi, sehinggakan apa yg diorang pakai/makan/promote semua jadi kegilaan ramai. Kalau dalam diam2 diorang menyeleweng pengikut2 (instagram/facebook etc) pon orang tak sedar, kan?

    Mmg ini cara Freemasons/Illuminati bekerja. Silap2 semuanya dimulakan mereka. Belum lagi dunia entertainment. Orang2 yg lagu entah apa2 boleh melonjak naik namanya secara mendadak. Tapi kehidupan diorang kucar-kacir. Itupon jadi kegilaan ramai.

    Banyak lagi conspiracy yg terjadi seperti demonstration yg menggugat keamanan atas sebab2 seperti “Freedom of this & that”.. Dengan menggunakan kata seirama ramai pihak, mereka cuma membenarkan apa yg sememangnya dah terang2 salah. Ni cara mereka menjatuhkan lagi maruah orang2 sekeliling. Dan tiap2 tahun demonstration seperti ini diadakan. Sudah tentu ada yg organise dan sponsor, kan? Seperti di Singapore, Pink Dot event yg mempromosi Freedom of Sexual Orientation/LGBT movement….

    Fikirlah sendiri….

    Reply
  11. mmg bolehkah manusia berkawin dengan jin/iblis? bukankah dlm rukun nikah yg 5 tu syarat2nya adalah lelaki/perempuan/saksi/wali/ijab kabul? ke kawin sendiri je ni…huuu…

    Reply
  12. Betul , cerita ni mmg berat . Tpi part kahwin dgn jin dgn iblis ni , allahuu goosebumps . Biar betul bnda nii huhu but apa pun crita ni best . I like this kind of story . ?

    Reply
  13. Memang best cerita #AhmadAkhlaqen ni…Memang Dah Lama Tunggu.. Tapi Tak tahu dah disiarkan..Tq Admin?.. Saya percaya dengan kesah #AhmadAkhlaqen ni..Mungkin bagi orang² lain kesah ni dongeng semata-mata.. Bagi saya..Cerita #AhmadAkhlaqen ni memang best sangat²..Sungguh terpegun dengan jalan cerita yang disampainkan oleh #AhmadAkhlaqen.. Saya peminat kamu.. Teruskan berkarya wahai #AhmadAkhlaqen.. ????

    Kamu seorang yang kuat Dunia Sana Dan Disini.. Biarkan orang maki² Dan Hina kamu..Kita Hijrah Bukan Kerana Orang.. Tapi kerana Allah SWT.. Semoga Allah Melindungi Kamu Selalu..

    Reply
  14. ade mesej yg penulis cuba nak sampaikan.ya mediumnya mungkin disini utk kita sedar dan tahu.cuma penyampaiannya terhad,takut ada yg memerhati dlm diam.

    everything in under their control. tapi alhamdulillah kita dapat tahu agenda mereka melalui penulis ni.

    teruskan.mungkin ada sesuatu yg boleh dibuat hasil dari cerita ni.

    Reply
    • Betul…. Tah2 dyorg dah tahu. In short time, admin fiksyen syasya ni pun akan kne ganggu… One day, blog ni akan hilang gitu je… Jaga2… Kita dah xselamat….

      Reply
  15. Ye sy pun nk tny benda yg sama. Mcm mana hubungan dgn family?
    Kiranya klu manusia normal mcm kami ni x nmpk la isteri n anak2 #ahmad akhlaqeen?

    Reply
  16. salam tuan, tiada sambungan ke? ataupun tuan ada mendapat ancaman dari pihak tertentu. harap tuan dipermudahkan. tidak sabar menunggu sambungan

    Reply
  17. Dia mungkin xakan sambung lagi ceritanye… based on apa yg die critakan.. sebiji mcm kes Freemason.. n yg mane masuk freemason xsemua dapat keluar dengan selamat.. semoga Allah lindungi beliau.. amin

    Reply
  18. moga Allah lindungi awak di manapun awak ada. klu ada kesempatan, harap dpt sambung.. byk sgt ilmu dpt drpd naskah awak ni.. writing style terbaek, content padat. sy percaya semua. sy ada jgk research sikit2 psl illuminati& freemason, baca2 tentang gereja vatican, sistem riba, hiburan, kewangan & perbankan, organisasi antarabangsa & ngo dll.. sy jgk rajin amek tahu psl jin/syaitn melalui quran, baca2 merata & ikut video ruqyah & soal jwb dgn jin. jd smua yg awak tulis sni nmpk selari sgt dgn apa yg sy taw n yakin.. moga Allah mudahkn jln hidup awk & terima taubat awak & kami smua. serius curious sgt nak tahu kisah seterusnya apa jd

    Reply
  19. Menangis aku baca kisah ni….antara insaf, sedih dan kasihan. Aku juga merasa cemburu kerana Tuan Akhlaqen ini jika benar telah melalui pengalaman seperti ini, tentu sudah tahu tentang hakikat dunia yang fana’. Apalah kesudahannya kisah Tuan ini…..

    Reply
  20. bulan 3 tahun 2021 dah ni… kemanakah hilangnya penulis? harap ada rakan2 yg dapat merungkai misteri disebalik hilangnya penulis kisah ini. dari 2017 lg duk tunggu kisah ni…

    Reply
  21. First time sy baca ni masa story ni first publish umur 19 and 4 tahun kemudian masih menunggu. Semoga tuan baik2 sahaja. Risau jikalau pendedahan cerita ini menyebabkan keselamatan tuan terancam. Kami nantikan kepulangan tuan ke layar penulisan kisah tuan ini.

    Reply
  22. tahun 2023 nii… mana la tuju ahmad akhlaqen. entahkah hidup atau m**i. lagi2 covid ni byk2 yg dh m**i muda..m**i ngejut.. kalau maseh hdup silaa sambong wahai ahmad akhlaqennnnnnnnn

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.