#AhmadRusydi- Manusia Anjing

1995

Keadaan Kampung Alor malam itu kelihatan sedikit lain berbanding biasa. Jam sudah menunjukkan pukul dua pagi ketika semua perhatian tertumpu pada rumah kayu usang di tengah kampung itu. Kerlipan terang-benderang cahaya biru dan merah berganti-ganti menyinari dinding papannya. Garisan kuning polis kelihatan janggal ditampal pada ruang bukaan pintu.

Wajah jurugambar polis yang melangkah keluar dari rumah itu kelihatan sugul. Langsung tidak mendongak memandang sekeliling. Dia mengeluh perlahan, menggeleng-geleng. 15 tahun pengalamannya sebagai seorang jurugambar polis, belum pernah dia melihat mayat manusia diratah sebegitu. Tekaknya terasa kembang.

Beberapa orang anggota polis muda kelihatan sedang berdiri di hadapan muka pintu rumah. Mata masing-masing liar memerhati sekeliling. Seakan penyebab segala kekalutan malam itu masih berada di sekitar mereka. Dan perkara itu membuatkan mereka gerun.

Di dalam rumah kayu itu pula kelihatan tiga orang anggota beruniform sedang melaporkan beberapa perkara kepada seorang lelaki berjaket kulit yang berdiri lebih tinggi berbanding yang lain. Lelaki berjaket kulit itu mengetap giginya tanpa sedar. Bukan kerana geram. Cuma berharap agar kejadian yang berlaku di hadapannya itu sekadar mimpi ngeri. Mimpi ngeri orang lain, kalau boleh.

“Kesan gigitannya… secara kasar, macam apa?” Lelaki berjaket kulit itu berpeluk tubuh. Pandangannya bersilih ganti ke arah ketiga-tiga lelaki di hadapannya. Namun ketiga-tiganya kelihatan sedikit terganggu. “Macam apa?” Ulang lelaki berjaket kulit itu lagi. Sedikit keras berbanding tadi.

“Manusia, tuan,” jawab seorang anggota polis bermisai lebat. Lelaki berjaket kulit itu diam, mengangguk kecil. Berlagak biasa mendengar kenyataan itu. Dia sudah melihat sendiri kesan pada leher kedua pasangan suami isteri itu tadi. Memang kelihatan jelas kesan gigitan manusia pada hujung robekan.

“Tapi… terlalu kecil, kan?” Lelaki itu cuba untuk tidak membayangkan sesuatu yang terlalu sukar untuk diterima mindanya. “Mungkin juga beruk… atau mawas?”

Anggota polis bermisai lebat itu diam. “Mawas…” gumamnya sendiri. Dia mengangguk faham.

“Budak kecil tadi mana?” Teringat, lelaki berjaket kulit tadi lantas berpaling ke arah pintu bilik tidur yang terkuak luas. Warna merah pekat menyambut pandangannya. Dia sendiri sudah tidak pasti apakah sebenarnya warna cadar katil yang menjadi tempat beradu terakhir pasangan itu sebelum kejadian.

“Dalam van paramedik, tuan.”

“Berapa umurnya?”

“Berdasarkan sijil lahir yang kita jumpa, lima tahun.”

“Lima tahun… giginya penuh?”

Ketiga-tiga anggota polis tadi terdiam. Tidak mahu menjawab, kalau boleh. Namun salah seorang dari mereka mengangguk kecil.

“Dalam mulut dia… ada ke?” Tanya lelaki berjaket kulit tadi.

“Ada, tuan? Ada apa?”

“Cebisan…” kata-katanya terhenti seketika. “tak apalah. Tak ada apa-apa.”

Lelaki itu diam. Pandangannya kini tertumpu pada van paramedik yang diparkir di luar rumah. Kelihatan beberapa orang ahli paramedik sedang menenangkan seorang kanak-kanak lelaki yang sedang duduk bersimpuh di belakang van. Apa yang mengganggu fikiran Detektif Inspektor itu adalah, kanak-kanak itu kelihatan luar biasa tenangnya. Matanya kelihatan kosong merenung kaki sendiri. Dari hujung rambut sehingga hujung kakinya berlumuran d***h. Yang pasti, bukan darahnya sendiri.

Dia langsung tidak cedera.

Detektif Inspektor itu melangkah keluar, menghampiri kanak-kanak lelaki tadi. Tersedar seseorang sedang memerhatikannya, kanak-kanak itu berpaling perlahan. Langkah Detektif Inspektor itu terhenti mendadak. Keningnya berkerut. Entah mengapa timbul perasaan gerun sebaik sahaja matanya bertentang dengan mata kanak-kanak itu. Sudah lama dia tidak melihat mata yang mampu merenung setajam itu.”

“Adik okay?”

Kanak-kanak lelaki tadi mengangguk. Wajahnya tampak senang. Tidak sedikit pun kelihatan riak ketakuan, atau sekurang-kurangnya, kekeliruan.

“Adik ingat tak apa yang jadi dekat mak dan ayah adik?”

Kanak-kanak lelaki itu menggeleng jujur. Sekeliling mulutnya dibasahi d***h segar. Sejenak kemudian, dia mengukir senyuman. Baris-baris giginya diselaputi d***h pekat yang hampir kehitaman.

Detektif Inspektor mengangguk faham. Namun matanya tidak putus-putus mengamati setiap butir gigi kecil kanak-kanak tadi. Kemudian dia menggeleng. Tak mungkin.

“Adik Ashraff, kan?” Tanya Detektif Inspektor itu, sengaja mahu mendengar kanak-kanak itu bersuara.

Ashraff mengangguk.

“Umur berapa?”

“Lima…” jawab Ashraff sambil menunjukkan membuka telapak tangan kanannya ke arah lelaki itu. Suara kanak-kanak itu kedengaran serak basah. Lebih dewasa berbanding usianya.

Detektif Inspektor itu diam sejenak. Tidak perlu menjadi Sherlock Holmes untuk dia tahu apa yang berlaku sebenarnya.

Di belakangnya, dua beg mayat hitam sedang diusung keluar dari dalam rumah. Sengaja Detektif Inspektor itu berdiri membelakangi pintu rumah, betul-betul di hadapan kanak-kanak tadi. Khuatir jika dia bertanya. Terlalu berat jawapannya untuk budak seusia itu.

Kepala kanak-kanak itu dimerengkan, meninjau di sebalik tubuh tinggi lampai lelaki di hadapannya. Wajahnya tampak berminat. Tampak teringin. Cukup teringin. Kembang-kempis hidungnya memerhatikan mayat ibu bapanya diusung masuk ke dalam van polis. Sebaik sahaja pintu van ditutup, perhatiannya kembali kepada Detektif Inspektor. Wajah lelaki itu kelihatan lebih sugul berbanding tadi. Dia merenung kanak-kanak lelaki itu tidak percaya.

“Khalid!” Panggilnya deras tanpa mengalihkan pandangannya. Berlari seorang konstabel muda yang sedang berdiri di hadapan pintu tadi, menghampiri lelaki itu. “Mawas…”

“Mawas, tuan?”

“Ya, aku nampak mawas tadi. Di belakang tu,” Detektif Inspektor menuding ke arah kaki hutan di belakang rumah kayu usang itu. “Sekumpulan… besar-besar semuanya.”

“Allahu, tuan, kenapa tuan tak cakap awal-awal?”

Detektif Inspektor menjeling marah ke arah si konstabel. “Pergi sajalah buat laporan. Memang mawas. Panggil jabatan perhilitan saja. Saya nak kes ni selesai menjelang pagi!”

Konstabel itu mengangguk, kemudian berlalu pergi. Mata kanak-kanak tadi mengekori langkah si konstabel. Sebaik sahaja kelibat lelaki itu hilang dari pandangan, dia kembali memandang Detektif Inspektor itu. “Mawas tu apa, uncle?”

“Ah, tak ada apa-apa sayang. Malam ni Ashraff tidur di hospital, ya? Nanti uncle suruh kawan-kawan uncle temankan Ashraff. Diorang ada pistol, tau!”

Bersinar mata kanak-kanak lelaki itu mendengarkan perkataan pistol. Memang itulah yang selalu Detektif Inspektor itu gunakan bagi menarik perhatian kanak-kanak lelaki yang terlibat dalam kes-kes begitu. Namun kali ini dia terasa seperti sedang menggalakkan sesuatu yang dahsyat. Cepat-cepat dia mengubah topik perbualan, “nanti bila semua dah okay, Ashraff ikut uncle balik. Ya?” Tangannya menggosok lembut kepala kanak-kanak itu. Ashraff mengangguk faham.

 

2017

“Ashraff tak sakit apa-apa, uncle! Uncle saja yang paranoid! Rimas, tahu tak?! Ergh!” Ashraff menepis Detektif Inspektor itu. Bekas. Bekas Detektif Inspektor. Sudah hampir tiga tahun dia bersara. Tidak pernah berkahwin. Sejak malam kejadian 22 tahun lepas, dia banyak menumpukan perhatiannya kepada Ashraff. Kanak-kanak lelaki yang diambilnya sebagai anak angkat. Atas dasar apa?

“Memanglah Ashraff tak sakit, nak. Ubat-ubat ni cuma untuk pencegahan. Ayah… uncle risau kalau-kalau…”

“Kalau-kalau apa, uncle?”

Lelaki (kini pertengahan usia) itu diam. Tidak tergamak untuk meneruskan kata-katanya.

“Serius Ashraff tak faham kenapa Ashraff kena makan ubat-ubat ni! Tak pernah habis!”

Lelaki itu tersenyum pahit. Beberapa biji pil dan kapsul di dalam tangannya dilepaskan bertaburan di atas meja. Ya, mungkin betul kata anak angkatnya itu. Sudah 22 tahun berlalu sejak kejadian malam itu. Tidak mustahil jika naluri itu sudah m**i. Ashraff memandang wajah bapa angkatnya itu dengan penuh rasa bersalah.

“Uncle… Ashraff minta maaf. Ashraff… Ashraff stress kebelakangan ni. Hal kerja, hal duit. Macam-macam,” dia memegang bahu lelaki separuh umur di hadapannya itu. Lelaki itu sekadar menunduk, tidak mengangkat kepala. “Ashraff keluar sekejap jer. Ambil angin. Dah letih nanti Ashraff balik,” pujuk Ashraff lembut. “I need this, uncle. I need to clear my mind off things,” katanya sambil mencapai botol airnya dari atas meja.

Bapa angkatnya mengangguk faham, “yalah. Baik-baik keluar tu. Jangan balik lewat sangat.”

“Ashraff dah 27, ayah. Bukan lima tahun macam ayah jumpa Ashraff dulu,” Ashraff tersenyum mesra. Tersentuh hati lelaki separuh umur itu mendengarkan panggilan ‘ayah’ digunakan oleh Ashraff. Bukan tidak pernah berlaku, cuma jarang. Cukup jarang. Dia mengangguk, mengiyakan. Ashraff merenung sejenak ke dalam mata bapa angkatnya itu, kemudian melangkah pergi.

“Ah, Ashraff! Tunggu!”

Langkah Ashraff terhenti di muka pintu. “Ya, ayah?” Dia berpaling semula memandang bapa angkatnya itu.

“Ingat, kalau ada orang cedera atau luka, Ashraff jangan tolong! Cepat-cepat balik, ya?”

Ashraff tersenyum. “Ya, ayah. Setiap kali nak keluar, ayah pesan benda yang sama. Ashraff ingat.” Dia tersenyum lembut, cuba untuk meyakinkan hati lelaki itu.

Parti malam itu berakhir agak lewat. Entah rumah siapa, makanannya halal atau tidak, Ashraff langsung tidak ambil tahu. Yang dia tahu, apa sahaja yang mampu membuatkan dia khayal, itulah yang akan menjadi pilihannya tadi. Dia seorang lelaki gagah yang cukup sukar untuk terkesan dengan sesuatu. Biarpun ganja, arak, atau ecstasy sekalipun, dia perlu ambil berkali ganda lebih banyak berbanding orang lain. Semata-mata untuk memendamkan nalurinya. Naluri yang dia sendiri tidak faham. Ketajaman deria penglihatan, bau dan pendengarannya kian hari kian menyiksa dirinya sendiri. Deria-derianya semakin kuat. Semakin mengganggu. Treshold tubuhnya semakin tinggi. Otot-otot pada tubuhnya pula membesar tanpa dipaksa-paksa. Di mula sedar akan perkara itu sebaik sahaja tamat persekolahan. Sepuluh tahun lepas.

Ya, oleh kerana perkara itu dia menjadi kegilaan para gadis. Wajahnya yang berjambang lebat, tinggi lampai dan bertubuh sasa. Layak seorang pelakon Hollywood yang berkulit coklat Melayu. Namun dia kurang tertarik akan gadis-gadis manusia ini. Dia lebih tertarik kepada haiwan. Sejak dari dahulu begitu. Ashraff masih ingat ketika pertama kali dia sedar akan nalurinya itu. Waktu itu dia masih belajar dalam darjah lima. Mimpi basah pertama yang dialaminya berkisarkan tentang dirinya dengan beberapa ekor serigala betina. Dia masih takut untuk bercerita tentang perkara itu kepada sesiapa pun. Terlalu luar tabi’i, baginya. Terlalu gelap.

 

Selesai bersalaman dengan para lelaki dan berpeluk cium dengan para wanita, Ashraff meminta diri. Dia melangkah masuk ke dalam perut Myvi merah miliknya. Tingkap bahagian pemandu sengaja diturunkan untuk dia melayan angin malam. Sebelum gear memandu dimasukkan, sempat Ashraff membakar sebatang rokok Winston filter yang tersisip kemas pada bibirnya.

Perjalanan turun dari Bukit Tunku memang sedia bersimpang-siur, ditambah lagi dengan kesan samar-samar minuman keras yang entah berapa botol diteguknya tadi, membuatkan kepalanya terasa bingung. Putung rokokya tadi dijentik ke luar tingkap. Di kiri dan kanannya semak tebal. Lampu jalan hanya muncul setiap beberapa ratus meter. Ashraff mencapai kotak rokoknya dari atas tempat duduk penumpang. Sebatang lagi dikeluarkan.

Baru sahaja dia hendak memetik pemetik api, hidungnya menangkap bau yang cukup manis. Terlalu manis. Seakan-akan kemanisan udang segar yang dipanggang menggunakan kayu pohon epal. Tanpa berfikir, Ashraff deras memijak pedal brek. Keretanya diberhentikan di bahu jalan. Lampu hazard dihidupkan. Kembang-kempis hidungnya mengamati bau tadi. Datangnya dari luar tingkap. Dia kenal akan bau itu. Cuma tidak ingat dari mana.

Mengikut kata hatinya, Ashraff melangkah keluar dari kereta. Enjin kereta dimatikan. Pandangannya tertumpu ke arah semak samun di hadapannya. Dia berdiri sejenak, memerhati, sebelum melangkah perlahan meredah pohon-pohon renek, mengekori bau tadi. Terlalu ingin Ashraff mencari puncanya.

Semakin jauh dia melangkah masuk ke dalam kawasan semak itu, bau manis tadi semakin menusuk rongga hidungnya. Fikirannya pula semakin kosong. Dia langsung tidak teringat akan keretanya yang dibiarkan tidak berkunci di kaki semak tadi. Langsung tidak teringat akan parti liar yang dihadirinya tadi. Langsung tidak teringat akan ubat yang ditinggalkan bapa angkatnya di atas meja makan awal malam tadi. Sehinggalah seluruh tubuhnya tersengguk tiba-tiba. Dia rebah ke hadapan. Wajahnya terhentak pada akar pohon besar yang terbonjol keluar dari dalam tanah. D***h pekat mengalir membasahi hidung dan bibirnya. Serta-merta dia hilang pertimbangan. Nafasnya menderu kuat. Lehernya terasa tegang. Mulutnya tidak bisa dikatup rapat. Gusinya terasa gatal menahan lapar. Dia bangkit melangkah lebih laju, mengekori bau manis yang kini terhidu pekat sehingga ke kerongkongnya.

Langkah Ashraff terhenti di tengah sebuah kawasan yang ditumbuhi pohon-pohon besar. Di celah-celah selirat akar besar di hadapannya terbaring sekujur tubuh lelaki berlumuran d***h. Jelas tidak bernyawa. Ya, bau manis itu datang dari mayat lelaki itu. Ashraff tersenyum lebar. Matanya tidak lagi seperti tadi. Anak matanya berubah tirus. Sekeliling matanya bertukar kekelabuan. Otot-ototnya terasa bergetar menahan keinginan. Tanpa sedar lututnya dibengkokkan, bersedia untuk menujah ke hadapan.

Belum sempat Ashraff membaham mayat di hadapannya itu,

BLAMM!

Bergema bunyi das tembakan senapang patah bapa angkatnya. Ashraff berpaling. Bapa angkatnya sedang berdiri tercungap-cungap di belakangnya. Hujung senapang patah lelaki separuh umur itu dihalakan ke arah Ashraff. Ashraff tidak kelihatan gentar.

“Aku dah ingat semuanya!” Bentak Ashraff.

“Bagus,” balas si bapa angkat, “sebab tu kau kena makan ubat-ubat ni.” Lelaki itu mengeluarkan segumpal kertas tisu dari dalam koceknya. Dalam gumpalan kertas tisu itu kelihatan beberapa biji pil dan kapsul pelbagai warna.

Ashraff menggeleng. “Aku suka macam ni,” senyuman Ashraff semakin lebar, menampakkan gigi-giginya yang kini kelihatan lebih besar berbanding tadi. “Aku suka macam ni,” ulangnya tanpa sedar.

“Kau akan menyesal, Ashraff. Jangan diikutkan nafsu!”

Ashraff berpaling memandang mayat tadi, kemudian ke arah bapa angkatnya semula. Dia melangkah perlahan ke arah lelaki itu. Faham akan keadaannya, lelaki itu mengacukan kembali senapang patahnya ke arah Ashraff.

“Kenapa kau kutip aku dulu, orang tua?”

“Sebab kau sama macam aku,” jawab lelaki tua itu tanpa teragak-agak. Seakan jawapan itu sudah bermain-main di dalam fikirannya selama ini. Cuma menanti masa untuk Ashraff sedar dan bertanya. “Aku mahu kau sembuh macam aku! Aku mahu kau jadi manusia normal. Aku mahu orang-orang macam kita…”

“Normal? Apa maksud normal? Atau itu cuma perkataan yang manusia reka untuk menggalakkan diskriminasi?!”

“Ashraff, fikiran kau tak stabil. Cuba kosongkan fikiran kau.”

“Tak stabil?! Heh, aku tak pernah rasa sehebat ni! Mental dan fizikal. Yang aku perlukan sekarang cuma makanan.”

“Ya, dekat rumah ada banyak makanan. Kau nak makan apa? Ayah… uncle sediakan.”

Ashraff tidak menjawab. Dia kembali berpaling ke arah mayat tadi. Air liurnya meleleh tanpa sedar. Bapa angkatnya itu mengeluh kecewa, “baiklah. Mari, ikut aku. Takkan kau mahu makan mayat tu? Banyak penyakit.”

Ashraff tergamam mendengar kata-kata bapa angkatnya itu. Keningnya terangkat, menanti penjelasan seterusnya.

“Mari…” senapang patahnya diturunkan, “aku ajar kau cara memburu yang betul. Kau akan dapat daging segar,” dia menjenguk ke arah mayat berlumuran d***h di belakang Ashraff dengan riak jijik, “bukan macam tu.”

Ashraff diam merenung bapa angkatnya. Lelaki separuh umur itu tidak lagi kelihatan gerun. Kini wajahnya lebih kelihatan kecewa. Ashraff menderam keras. Bapa angkatnya berpaling lalu melangkah ke arah jalan besar. Ashraff mengekor dari belakang.

“Kalau kau tipu aku, nahas kau, orang tua!” Bentak Ashraff dari belakang. Sekali-sekala dia menoleh ke arah kawasan di mana mayat tadi berada. Namun apabila terdengar akan daging segar, bau mayat itu dirasakan kurang manisnya berbanding tadi.

“Kenapa aku nak tipu kau? Kau anak aku. Aku pun…” kata-katanya terhenti sejenak. Dia menelan air liur, “aku pun dah lama tak dapat daging segar.”

Sebaik sahaja mereka berdua sampai ke jalan besar, kelihatan kereta bapa angkatnya diletakkan di belakang keretanya.

“Macam mana kau tahu aku dekat sini?”

“Alat pengesan,” lelaki itu menuding ke bahagian bawah kereta MyVi merah di bahu jalan itu.

“Kau!”

“Kau anak aku, Ashraff! Aku yang jaga kau sejak kecil! Aku ada hak.”

Ashraff diam.

“Baik, sekarang kita balik dulu. Kita ambil apa yang patut, kemudian kita keluar berburu. Aku nak call polis tentang…” lelaki separuh umur itu merenung Ashraff, menduga-duga. “Kau tak b***h lelaki tu, kan?”

Ashraff menggeleng. Lelaki separuh umur itu kemudian mengeluarkan telefon bimbit dari dalam koceknya. Ashraff menanti tidak sabar.

“Code Seven, Homo-Canis. Kilometer 16, Bukit Tunku,” kata bapa angkatnya itu kepada seseorang di hujung talian.

“Kod apa tu?” Soal Ashraff curiga.

“Itu kod polis. Maksudnya, ada mayat ditemui,” jawab bapa angkatnya itu tanpa memandang wajah Ashraff. “Kau sabar, Ashraff. Tahan naluri kau. Sampai polis selesai, kemudian kita makan.”

Ashraff diam mengangguk. Jantungnya dirasakan berdegup lebih kencang berbanding tadi. Urat-urat leher dan lengannya semakin menegang. Sesekali dia mengesat hidungnya yang masih berdarah. Bau manis darahnya sendiri membuatkan dia semakin lapar. Dia gelisah. Pintu keretanya dibuka kasar. Kotak rokok tadi dicapainya. Dia menghulurkan sebatang kepada bapa angkatnya. Lelaki itu mencapai selamba. Mereka berdua duduk di atas hood kereta Volvo hitam milik bekas Detektif Inspektor itu. Bau asap rokok yang menari-nari dalam sinar berbalam-balam lampu jalan meredamkan sedikit rasa lapar Ashraff.

Beberapa minit berlalu tanpa sepatah kata. Banyak yang mahu ditanyakan kepada bapa angkatnya itu, namun entah kenapa lelaki itu asyik berdiam diri selepas panggilan telefon tadi. Ashraff mencuri pandang ke arah telefon bimbit di dalam tangan bapa angkatnya itu. Itu bukan telefon bimbit yang biasa lelaki itu gunakan.

“Homo-Canis…” Ashraff menggumam perlahan. Wajah bapa angkatnya berubah sedikit. Dia mengalihkan pandangannya dari Ashraff. Ashraff pula merenung bapa angkatnya itu dalam-dalam. “Uncle bukan polis lagi. Kenapa uncle tak payah kenalkan diri masa buat panggilan tadi?”

Bapa angkatnya menghenjut bahu, “entah. Diorang masih simpan nombor telefon aku. Aku selalu call diorang tentang hal-hal biasa.”

Ashraff langsung tidak mengalihkan pandangannya. Wajahnya kelihatan tidak berpuas hati. Dadanya terasa berbahang tiba-tiba. Hatinya panas. “Homo-Canis,” gumamnya lagi. “Homo, manusia. Canis, anjing… atau serigala.” Dia bangkit dari duduknya. Otot lehernya diregang lenturkan. “Kau cari nahas, orang tua.” Mata kelabunya kelihatan bersinar di dalam gelap. Serta-merta lelaki separuh umur itu menjeling ke arah senapang patah yang disandarkan pada pintu kereta. Ashraff menjeling ke arah yang sama. Namun ternyata pergerakan Ashraff lebih tangkas. Tangannya pantas mencapai senapang patah itu. Dengan mudah dia membengkokkan senapang itu dengan lututnya. Lelaki separuh umur itu tergamam.

“Kau khianat aku!” Ashraff menghempas senapang patah tadi ke atas jalan. “Kau khianat anak kau sendiri!”

Bapa angkatnya itu diam. Bersedia. Namun selepas merenung tajam ke arah lelaki itu buat sejenak, Ashraff berlalu pergi tanpa sebarang kata. Dia melangkah pantas, kembali meredah semak-samun tadi. Bukan untuk mencari mayat tadi, sekadar memendam rasa kecewa. Dia tahu sebentar lagi pihak polis atau apa sahaja pihak yang berkaitan akan tiba. Dia tidak berminat untuk mengapa-apakan sesiapa. Dia cuma mahukan penjelasan. Dan bapa angkatnya itu ternyata tidak jujur memberikan penjelasan.

Lelaki separuh umur itu masih tercegat di hadapan kereta Volvonya. Dia langsung tidak berpaling ke arah semak-samun yang diredah Ashraff. Dia lebih berasa kecewa dengan dirinya sendiri. Anak angkatnya itu masih muda. Masih belum berpengalaman menahan nalurinya sendiri. Matanya tertumpu pada telefon bimbit di dalam tangannya. Jam detik pada skrin telefon menunjukkan angka 05:32:02. Lima minit lagi sebelum pihak berkuasa tiba. Dia mendial semula nombor tadi.

“Homo-Canis in Bukit Tunku was a false alarm. My mistake. Sorry.” Talian dimatikan. Dia mencapai selamba kotak rokok yang ditinggalkan Ashraff atas hood keretanya.

Sebatang rokok ditarik keluar. Dengan tenang di membakar rokok itu. Tangannya langsung tidak menggeletar. Asapnya ditarik dalam-dalam, membuatkan bara di hujung batang rokok itu menyala terang. Dia menjeling ke arah senapang patahnya yang tergeletak hodoh di atas jalan. Dia tidak perlukan senjata itu. Matanya dipejamkan.

Rokoknya tadi tersisip kemas di sisi bibir. Nafasnya ditarik sedalam mungkin. Dia dapat merasakan sesuatu bergerak-gerak di dalam dadanya. Sesuatu yang sentiasa ada di situ, cuma tidak dibangunkan. Dengan satu hembusan nafas panjang yang menderu kuat, mata putihnya berubah kelabu. Anak matanya pula semakin mengecil sehingga tinggal hanya satu bintik hitam kecil di tengah-tengah. Cukup berbeza dengan mata Ashraff, namun serupa peliknya. Nafasnya bergetar. Otot-otot tubuhnya mengeras pelik. Urat-urat yang berselirat di leher dan lengannya semakin kelihatan.

Tidak seperti Ashraff, dia kekal tenang. Jika tidak kerana matanya, orang mungkin akan menganggap bahawa dia hanyalah seorang lelaki separuh usia yang bertubuh tegap. Asap rokoknya dihembus lembut ke udara. Otot rahangnya bergerak-gerak setiap kali dia membuka mulut. Sudah lama dia tidak berubah bentuk.

Sekali lagi lelaki separuh umur itu menarik nafasnya sedalam mungkin. Serta-merta bau Ashraff menusuk ke dalam hidungnya. 350 meter, arah selatan. Tangannya pantas mencapai kotak rokok tadi. Sebatang lagi dibakar. Langkahnya dimulakan dengan satu tujahan kuat ke atas tanah. Langkah yang seterusnya diserahkan kepada momentum. Dia sudah berpengalaman mengawal tubuh Homo-Canisnya itu. Setiap pergerakan ototnya dikawal rapi dan teratur bagi menjimatkan tenaga. Bau manis mayat tadi ditinggalkan jauh ke belakang. Kini hanya tinggal bau Ashraff yang menjadi fokusnya.

300 meter… 250 meter… 100 meter… derianya mengesan bau lain…

Langkahnya terhenti 30 meter dari Ashraff. Bau Ashraff berhenti bergerak. Ada sesuatu yang tidak kena. Hidungnya kembang kempis mengamati partikel-partikel di dalam udara. Tidak salah lagi, dia terhidu bau Homo-Canis lain berhampiran Ashraff. Langkahnya dibuka seperlahan mungkin. Jika benar terdapat dua lagi Homo-Canis di hadapannya, risikonya untuk dikesan adalah sangat tinggi.

Memang seorang Homo-Canis yang sedang keliru akan sentiasa tertarik untuk menghampiri Homo-Canis yang lain secara naluri. Namun tak sangka ada seorang lagi seperti dirinya dan Ashraff di dalam hutan itu. 20 meter… bau Homo-Canis tadi semakin hampir dengan Ashraff. Dia menggenggam penumbuk, bersedia untuk menyerang sekiranya Homo-Canis tersebut bertindak ganas. Bukan semua Homo-Canis mampu mengawal naluri seperti dirinya. Bisa sahaja mereka berbunuhan antara satu sama lain.

Kelihatan Ashraff sedang menunduk tercungap-cungap. Tidak hairanlah. Dia berlari terlalu laju untuk kali pertama dalam hidupnya. Mata lelaki separuh umur itu liar memerhati sekeliling. Dia tahu Ashraff sedar akan kehadirannya. Namun terlalu letih untuk berkata-kata.

“Kau terlalu laju, Ashraff. Ini kali pertama kau berubah bentuk. Kau perlukan latihan,” kata lelaki itu.

Ashraff diam, pura-pura tidak mendengar.

“Ada Homo-Canis lain dekat sini,” katanya lagi.

Ashraff mengangguk pendek. “Ya, aku perasan tu,” suara Ashraff kedengaran serak.

Mereka berpaling serentak ke arah kawasan berpohon renek yang terletak beberapa meter dari situ. Kelihatan daun pohon-pohon renek di kawasan itu bergerak-gerak. Telinga Ashraff ternaik sedikit, mengamati sebarang bunyi yang terhasil. Kedengaran deruan nafas lemah seseorang di sebalik kersikan daun-daun itu.

Ashraff berdiri gagah. Baru sahaja dia hendak membuka langkah sebelum dihalang bapa angkatnya. Lelaki separuh umur itu menggeleng. Ashraff diam menurut. Namun matanya tajam memerhati setiap pergerakan dedaunan tadi.

Sesaat kemudian, muncul seorang lelaki berbadan tegap dan berjambang melangkah keluar dari jajaran pohon renek itu. Tiada sehelai benang pun di atas tubuh lelaki itu. Bebola matanya berwarna kelabu gelap. Anak matanya pula berbentuk tirus seperti Ashraff. Lelaki itu jelas kelihatan takut dan keliru. Dia memandang Ashraff dan bapa angkatnya bersilih ganti sebelum giginya ditayang garang. Nafasnya deras bergetar. Deraman garau lelaki itu memecah kesunyian. Ashraff dan bapa angkatnya saling berpandangan. Bapa angkatnya menggeleng. Ashraff menurut. Mereka berdua berundur sedikit. Ashraff tidak pasti kenapa. Dia cuma mengikut nalurinya. Sebaik sahaja mereka berundur setapak, serta-merta suara deraman lelaki tadi diperlahankan. Namun baris giginya masih ditayangkan.

“Tenang, kawan. Kami sama seperti kau!” Ujar lelaki separuh umur itu.

“Sama apa? Apa maksud kau?!” Soal lelaki itu kuat. Suara garaunya seakan mampu menggetarkan embun-embun di atas dedaunan pohon hutan itu.

“Lihat saja diri kau, kawan. Kau bukan manusia biasa.”

Ashraff mengangguk, bersetuju dengan kata-kata bapa angkatnya itu. Lelaki tadi memandang Ashraff atas bawah. Tubuh Ashraff memang tegap, namun tidak setegap dirinya. Lelaki separuh usia di hadapannya pula tampak tenang. Tidak menerbitkan aura ancaman. Dia meredamkan suara bertarungnya.

“Macamlah aku tak tahu yang aku bukan manusia biasa. Korang siapa?” Tanya lelaki itu jujur. Suaranya kedengaran lain berbanding tadi. Lebih seperti seorang manusia.

“Tak ada siapa-siapa. Cuma kita sama species. Itu sahaja.”

“Kau datang dari mana?” Tanya Ashraff pula. Lelaki itu menjeling ke arah Ashraff, berkira-kira untuk menjawab.

“Dari atas sana. Aku… aku terbau sesuatu yang manis. Tapi aku tak jumpa puncanya,” lelaki itu menuding ke arah puncak Bukit Tunku, di mana terletaknya rumah yang menganjurkan parti yang Ashraff hadiri tadi.

“Tak mungkin kau boleh hidu bau mayat tu dari atas sana…” bapa angkat Ashraff mengangkat keningnya. Lelaki bertubuh tegap tadi mengangkat bahunya. “Kau terhidu bau kami tak?” Tanya bapa angkat Ashraff lagi.

“Ya, cuma aku tak pasti bau apa. Terlalu banyak bau baru yang tak pernah aku hidu sebelum ni.”

Bapa angkat Ashraff meraba-raba kocek seluarnya. Kotak rokok Winston filter Ashraff tadi dikeluarkannya lalu dihulurkan kepada lelaki itu. “Ini dapat meredamkan sedikit naluri kau,” katanya.

Lelaki itu diam. Dalam keadaan teragak-agak dia mencapai kotak rokok dari dalam tangan bapa angkat Ashraff. Lelaki separuh umur itu sekadar mengangguk, menggalakkan. Sebatang rokok dikeluarkan lalu diselitkan di celah bibirnya. Bapa angkat Ashraff memetik pemetik api, membakar hujung rokok itu. Lelaki berbadan tegap itu menarik nafasnya dalam-dalam. Urat-urat yang timbul di atas dahinya kelihatan semakin kurang ketara. Wajahnya kelihatan sedikit tenang berbanding tadi. Asap rokoknya dihembus deras ke sisi. Dia mengangguk berterima kasih.

“Macam mana rasanya?”

“Semuanya masih jelas. Cuma… cuma tidak terlalu berserabut. Lebih tersusun, mungkin.”

“Asap rokok mengandungi toksin yang mampu meredamkan deria haiwan. Namun tidak terlalu kuat sehingga mampu meredamkan sepenuhnya deria Homo-Canis. Kau akan berasa lebih tenang nanti.”

Ashraff mencapai kotak rokok tadi dari dalam tangan bapa angkatnya. Sebatang dihulurkan kepada lelaki separuh umur itu. Sebatang lagi diselitkan di celah bibirnya. Belum semput dia memetik pemetik api, kedengaran jelas salakan anjing dari arah jalan besar. Ketiga-tiganya berdiri tegak, mengamati bunyi salakan itu. Memang terhidu jelas bau beberapa ekor anjing bersama manusia. Anjing pengesan!

“Uncle… unit yang uncle panggil tadi!” ujar Ashraff gabra.

“Aku dah batalkan. Tak mungkin diorang…” lelaki separuh usia itu kemudian berpaling ke arah lelaki berbadan tegap tadi. “Kau… kenapa kau berbogel? Mana baju kau?”

“Aku… aku memang hidup macam ni.”

Kening Ashraff terangkat mendengarkan kata-kata lelaki itu. “Kau hidup dalam zoo ke, tak pakai baju?”

“Kau jangan kurang ajar!”

“Diam!” Bentak bapa angkat Ashraff. Mereka berdua menurut. “Sekali lagi aku tanya, kau dari mana?”

“Dari atas sana. Aku dah cakap, kan.”

“Ada apa di atas sana?”

Lelaki itu diam. Hidung bapa angkat Ashraff kembang kempis mengesan bau dari tubuh lelaki itu. Kemudian dia mencampak putung rokoknya ke atas tanah.

“Kau dari makmal, kan?!” Jerkah bapa angkat Ashraff. Lelaki itu mengangguk mengiyakan. “Bodoh!” Jerkah lelaki separuh usia itu lagi, “kenapa kau lari dari makmal?!”

“Makmal apa ni?!” Soal Ashraff keliru.

“Manalah aku tahu makmal apa! Patutlah aku terhidu bau bahan kimia pada badan dia.”

Lelaki itu kelihatan serba-salah menggaru kepalanya. Bunyi salakan anjing-anjing tadi kedengaran semakin hampir.

“Jadi, dia ni bahan ujikaji?” Soal Ashraff.

“Sekarang bukan masanya untuk bincang tentang benda ni. Aku cukup pasti, siapa saja yang bawa anjing-anjing tu, pasti bersenjata. Kita kena bergerak sekarang!” Lelaki separuh umur itu memandang kedua lelaki di hadapannya bersilih ganti, “korang larat nak lari?”

Kedua-duanya mengangguk mengiyakan.

“Bagus,” ujarnya ringkas, “ikut aku!” Langkahnya dimulakan dengan tujahan kuat seperti tadi. Tidak sampai beberapa saat, mereka bertiga kini sedang berlari meredah hutan tebal. Sekali-sekala haluan mereka terpisah bagi mengelak dari terlanggar pohon-pohon besar.

“Gunakan berat badan sendiri untuk momentum!” Arah bapa angkat Ashraff sebaik sahaja laluan mereka kembali bertemu. Ashraff dan lelaki berbadan tegap tadi mengangguk faham. Mereka dapat mendengar derapan kaki beberapa ekor haiwan liar berlari bertempiaran menjauhi laluan mereka. Semakin jauh mereka masuk ke dalam hutan itu, keadaan sekeliling mereka menjadi semakin gelap.

“Suasana semakin gelap. Fokuskan minda pada deria penglihatan. Jangan tersadung akar pokok!”

“Baik, ayah!” Ujar Ashraff spontan. Bapa angkatnya tidak berpaling, namun tersenyum.

Lelaki berbadan tegap tadi pula jelas kelihatan gabra. “Aku tak nak balik makmal tu lagi!” Laungnya tiba-tiba. Langkahnya dibuka lebih luas. Tujahan kakinya membawa lelaki itu ke hadapan lebih laju berbanding dua orang rakannya itu.

“Hoi! Tunggu!” Laung Ashraff ke arah lelaki itu. Serentak itu juga kaki lelaki itu tersadung akar pokok besar yang berselirat di atas tanah. Jauh lelaki itu terhumban ke hadapan. Bergegar tanah di bawah kaki mereka menerima hentaman tubuhnya yang besar. “Bodoh!” Jerkah Ashraff.

Seperti dirancang-rancang, Ashraff mencengkam lengan kanan lelaki itu, manakala bapa tirinya pula mencengkam lengan sebelah kiri. Tubuh lelaki itu terangkat, lalu diseret ke hadapan oleh kedua-duanya. Tanpa memberhentikan langkahnya, bapa angkat Ashraff menolak belakang lelaki itu agar dia kembali berdiri. Sebaik sahaja imbangan tubuhnya kembali, lelaki itu membuka langkahnya semula. Namun kali ini lebih teratur. Dia berlari sedikit perlahan berbanding tadi. Jelas kakinya tercedera.

“Ayah, Ashraff dah tak dengar bunyi anjing-anjing tu.”

“Ya, aku perasan jugak. Tak apa, 100 meter lagi, kemudian kita berhenti rehat,” kata bapa angkat Ashraff termengah-mengah, “aku nak periksa kaki dia.”

Seperti yang dikatakan, langkah ketiga-tiganya terhenti di sebuah kawasan lapang. Kelihatan jelas tiga pasang kesan seretan kaki di atas tanah tempat mereka berhenti mendadak. “Kita rehat di sini dulu,” ujar lelaki separuh umur itu. Ashraff mengangguk faham.

Tanpa berkata apa-apa, lelaki tadi terus berbaring tercungap-cungap. Wajah dan jambangnya dibasahi peluh. Dia mengerang kesakitan apabila telapak tangan bapa angkat Ashraff menyentuh pergelangan kakinya. Terdapat bengkak kemerahan sebesar bola tenis pada bukulali kaki kanannya. “Kau cedera. Kalau kita teruskan, aku risau otot kau terkoyak.”

Ashraff berjalan mundar-mandir di sekeliling kawasan itu sementara bapa angkatnya cuba membalut kaki lelaki tadi. Sekali-sekala hidungnya diangkat tinggi, cuba untuk mengesan sebarang bau yang mencurigakan. Nafasnya tersekat-sekat menahan senak pada perutnya. Otot perutnya dirasakan keras. Mungkin kerana larian tadi.

“Aku… ergh… aku tak mampu teruskan. Kalau korang nak lari, lari saja. Tinggalkan aku… ergh… tinggalkan aku dekat sini,” kata lelaki itu separuh mengerang.

“Tak boleh. Kau seorang Homo-Canis, sama macam kami. Aku takkan buat macam tu dekat kau.”

“Homo-Canis… aku tak pernah tahu pun itu nama species macam kita ni. Mereka… ergh… mereka dekat makmal anggap aku macam haiwan! Aku hanya boleh… ergh… aku hanya dibenarkan keluar untuk memburu ayam atau kambing yang dilepaskan dalam sangkar. Selain… ergh… selain dari tu, aku hidup dalam kurungan. Dipaksa berlatih mengangkat beban-beban berat.”

“Berlatih angkat beban-beban berat?” Bapa angkat Ashraff menjeling ke arah bahu dan lengan lelaki itu. Tidak hairanlah jika tubuhnya menjadi sesasa itu. “Untuk apa?”

“Aku tak tahu… ergh!”

“Sabar. Sikit saja lagi,” carikan kain baju yang digunakan untuk membalut kaki lelaki itu diikat kemas. “Baik, sudah. Sekarang, cuba kau bangun.”

Lelaki itu cuba untuk berdiri dengan bantuan bapa angkat Ashraff. Dia mengangguk-angguk, cuba untuk meyakinkan dirinya sendiri. Dia boleh berdiri seperti biasa sekiranya tumpuannya dialihkan dari bengkak pada kakinya itu. “Rokok… aku perlukan rokok,” pintanya lemah.

Ashraff meraba-raba kocek seluarnya mencapai kotak rokoknya tadi. Kotak rokok dibuka. Riak wajahnya berubah serta-merta, “maaf, kawan. Rokok dah habis.”

“Ah, tak apalah.”

“Aku rasa kita dah selamat. Tak ada dah bau anjing-anjing tu,” kata bapa angkat Ashraff. “Kalau kau dah boleh berjalan, baguslah. Sekurang-kurangnya kita boleh bergerak kalau keadaan memaksa. Tapi buat masa sekarang, kita bersembunyi di sini dulu.”

Ashraff menjeling jam tangannya. Subuh hampir tiba. Dia merebahkan punggungnya. Belakang badannya disandarkan pada sebatang pokok besar. Bapa angkatnya pula sekadar berdiri sambil berpeluk tubuh. Matanya ditumpukan ke arah dari mana mereka datang tadi. Jelas sedang berjaga-jaga. Fizikal Ashraff terasa terlalu letih. Dia melelapkan matanya, cuba untuk menghadam setiap perkara yang berlaku malam itu.

“Malik,” lelaki berbadan tegap tadi bersuara tiba-tiba. Ashraff membuka separuh mata, memandangnya. “Nama aku Malik,” ulang lelaki itu.

“Aku Ashraff,” ujar Ashraff selamba.

Bapa Ashraff diam sejenak. Namun dia seakan dapat merasakan Malik sedang merenungnya. “Panggil aku Jalal,” katanya tanpa berpaling. Ashraff menjeling ke arah bapa angkatnya. Jarang lelaki itu memperkenalkan dirinya kepada orang luar. Mungkin kerana terbiasa hidup dalam kerahsiaan kerja.

Malik mengangguk perlahan. Dia berbaring semula. Lengannya diletakkan ke atas dahi. Dadanya masih berombak. Sekali-sekala derapan ranting yang jatuh membuatkan dia tersentak. Setiap kali itu juga dia berasa begitu berterima kasih kepada Jalal dan Ashraff kerana membantunya. Ashraff nampaknya sudah terlena manakala Jalal masih berdiri di tempatnya. Mata Malik terasa berat. Degupan jantungnya semakin perlahan. Tidak sederas tadi.

Bersambung…

P/s: terima kasih admin, jika cerita ini disiarkan. Saya dah hantar sambungannya dan berharap agar pihak Fiksyen Shasha boleh terus siarkan sambungan tersebut. Terima kasih sekali lagi, tuan/puan.

Assalam.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

21 thoughts on “#AhmadRusydi- Manusia Anjing”

    • AHMAD RUSYDI
      Cerita yang sangat menarik!Cara penyampaian cerita dalam kisah yang dikongsikan sangat mudah untuk difahami.Susunan ayat dalam cerita juga sangat teratur,ia memudahkan lagi pembaca untuk menghadam setiap ayat dalam cerita.Syabas! Teruskan berkarya dalam dunia penulisan!Berusaha.

      Terima kasih kerana sudi berkongsi cerita di FS!😬
      Waalaikumussalam

      Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.