- -1948, Kota Bharu, Kelantan-
“Assalamualaikum!” laung makcik Jah. Belum sampai tangga rumah lagi, dia dah sibuk bagi salam. Termengah-mengah wanita tua itu membetulkan kain sarungnya yang mahu terlorot. Maklumlah. Perut dah makin besar. ‘Grip’ kain kat pinggang pun tak kuat.
“Allahuakbar!” laung Cik Jah terkejut. Terkejut melihat si Aisha yang duduk berteleku di beranda.
“Kau buat apa tu, Aisha?”
“Aisha tunggu Abang Jalal balik, Cik Jah.” Ujarnya sopan. Cik Jah – tukang urut terkenal di Kampung Batu 48. Dari urut bersalin sampailah ke urut patah, dia tahu. Tapi kes patah hati macam si Aisha, dia tak mampu menolong. Dia menggeleng kepala. Selendang di kepala dibetulkan.
“Mak kau ada?”
“Ada Cik Jah.” Ujar Aisha, masih memandang kejauhan. Menanti sesuatu.
Cik Jah menggeleng. Sempat, dia mengusap kepala Aisha. Menepuk lembut belakang wanita itu, sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.
Aisha tahu, semua fikirnya gila. Semua fikirnya tak betul. Tapi dia lebih tahu, Jalal masih hidup. Jalal masih hidup! Dia menggigit bibir. Anak Cina Kelantan itu menunduk. Dia lengkap berbaju kurung, menyarungkan kain sarung tidak berjahit di kepala, menutup auratnya labuh hingga ke siku.
Waktu Jepun datang ke Kota Bharu, keluarganya disembelih Jepun. Dendam mereka pada China masih berbekas, walaupun kaum cina Kota Bharu itu sudah berasimilasi dengan budaya melayu. Sudah pandai makan nasi cicah budu, sudah pandai menyertai sekali main teri (Main Puteri), sudah pandai duduk sekali bila nampak latar wayang kulit dipacak.
Seluruh keluarga Aisha – Cina muslim yang datang dari tanah besar China disembelih. Diseksa. Aisha disorok Jalal dan keluarga mertua, dan gadis bermata sepet itu mengongoi bila mengetahui baba dan mamanya yang sudah tua itu diseksa Jepun. Dia hampir gila apabila membayangkan adik-adiknya yang berumur dalam lingkungan 15-9 tahun itu ditikam hinggai terburai usus.
Kini, Jalal pula dipanggil menyahut seruan berbakti kepada negara. Sekali lagi, Aisha menangis. Mereka baru beberapa bulan berkahwin. Jalal, anak pemain silat terhandal itu mengikut ayahnya, Pak Jamri. Berbakti untuk negara. Petualang harus dihalau. Malam itu, sebelum Jalal bertolak, dia meminta Aisha menceritakan padanya kisah Aishah r.a. Jalal minta Aisha bercerita kisah Fatimah. Kisah taatnya isteri Nabi Ayub. Aisha menurut dalam linangan air mata. Jalal minta Aisha ceritakan kisah-kisah Sulalatus Salatin, terutamanya kisah penaklukan Majapahit ke atas Singapura. Itu kisah kegemaran Jalal.
Aisha menurut. Sepanjang malam, Aisha bercerita pada Jalal, mengenggam tangan kasar suaminya erat.
“Dinda bijak orangnya. Kalau ada apa-apa berlaku, dinda jaga ibu kanda, ya.”
Aisha mengangguk dalam sebak. Pagi itu, Jalal mengucup tangan ibunya. Memohon ampun, mohon halal semua. Pagi itu, alam turut bersedih.
Tak sampai beberapa bulan, Aisha dan ibu mertuanya menerima perkhabaran sedih. Seluruh platun Jalal m**i. Tiada yang terselamat. Aisha yang menyambut ibu mertuanya dari jatuh terhantuk ke lantai. Aisha yang mengesat air mata di pipi tua itu. Aisha yang memapah ibu mertuanya bangun untuk mandi. Untuk makan. Berhari-hari tubuh tua itu enggan makan.
“Ibu jangan macam ni bu. Aisha takdok ore lain doh. Aisha sore doh atah dunio ni. Ibu jah nyawo Aisha leni.” Tangis Aisha apabila ibu mertuanya menolak makan.
Mungkin disuntik kata-kata Aisha, Salmah bangkit kembali. Dia bangun memasak lempeng kelapa kegemaran anak menantunya tiba-tiba, pagi itu. Aisha yang baru habis solat Subuh berlari-lari anak ke dapur apabila dia mendengar bunyi bising. Aisha merangkul erat badan tuanya, apabila melihat ibu mertuanya kembali seperti asal. Salmah jadi begitu, kerana takut sebenarnya. Dia takut Aisha akan tinggalkan dirinya suatu hari nanti. Aisha masih muda, baru menginjak umur 19 tahun. Tak adil untuk Aisha berkorban untuk dirinya, si tua yang menanti m**i.
“Aisha tak nak tinggalkan ibu. Abang Jalal dah amanatkan ibu pada Aisha.” Ucap menantunya itu, waktu Salmah sibuk mencanai lempeng di dapur.
Kini, mungkin badan kecil Aisha itu tidak tertahan mendengar mulut orang kampung. Kata mereka platun Jalal hancur. Kepala d*******l. Diseksa sebelum m**i. Kuat mana seorang manusia itu? Aisha tak mampu. Sudahlah keluarga pun menemui ajal dengan cara yang sama. Kini anak menantu Salmah cuma termenung di beranda, menanti pulangnya Jalal. Jalal m**i tidak berkubur. Awalnya Aisha kuat. Awalnya Aisha yang memimpin Salmah. Kini, Aisha kalah.
“Dia dah makan belum, Salmah?” cuit Cik Jah. Salmah mengeluh.
“Dia masuk untuk solat. Mengaji. Kemudian dia keluar balik. Makan pun cubit sikit-sikit saja, Jah.” Salmah mengeluh.
“Dia jadi begini, sebab apa? Sebab dia mimpikan Jalal?” tanya Cik Jah. Membantu Salmah mengupas bawang. Cik Jah adalah kakaknya si Salmah.
Salmah mengangguk.
“Ceritanya Jalal datang dalam mimpinya berturut-turut. Yang dia masih hidup. Dia selamat. Tapi Jalal tersesat.”
Cik Jah menggeleng kepala. “Ini salah penduduk kampung juga. Duk bercerita cara arwah m**i. Allahuakbar, kalau aku pun Mah – aku pun rasa separuh gila.” Cik Jah mengesat air mata. Entahlah bahana air bawang atau dia turut sebak sendiri. Salmah mengangguk. Hatinya kesal dengan orang kampung. Mahu sahaja dia membawa Aisha lari dari Kampung Batu 48, lari jauh-jauh. Tapi ke mana? Dia sebatang kara. Yang dia ada cumalah Jah kakaknya. Anak-anak Jah semua merantau. Tinggallah mereka berdua.
Malam itu, Aisha bermimpi lagi. Jalal sedang berlari dengan kaki cedera, lari jauh ke dalam hutan. Askar-askar Jepun mengejarnya di belakang.
Lelaki kesayangan Aisha itu tidak putus-putus berzikir. Mengulang nama Allah. Aisha cuba berteriak memanggil Jalal, tetapi lidahnya kelu. Lidahnya terkunci!
Jalal berlari di lantai hutan yang berselirat. Dia tersandung, sebelum jatuh terguling ke bawah cerun bukit.
Jalal ternampak sebuah pokok besar, dengan tumbuhan bergayutan dari pepohon. Di batang pokok itu ada huruf jawi yang diukir. ‘Hu’. Tidak berfikir panjang, Jalal menuju ke pokok sebesar lima pemeluk orang dewasa itu, menyorok di belakangnya.
Waktu itu, Jalal tiba-tiba lenyap.
Lalu Aisha terjaga.
Aisha kenal hutan itu, hutan itu dipinggir kampung ini sahaja. Senyap-senyap, Aisha ke dapur. Diambilnya beberapa buah pisang. Sebalang air.
Wanita itu merenung sayu pada tubuh tua yang sedang tidur di lantai. Dia mengucup lembut tangan Salmah.
“Maafkan Aisha ibu. Tapi Aisha kena pergi. Aisha pasti, Abang Jalal masih hidup.”
Dalam pekat malam, gadis itu menarik kuda tua milik Jamri. Sudah lama kuda tua itu tidak ditunggang. “Mari, Merah. Kau kena bawa aku cari Abang Jalal.” Bisik Aisha. Kuda itu berbunyi lembut.
Waktu Salmah terjaga pagi itu, Aisha sudah tiada.
Aisha berjumpa dengan pokok besar itu menjejak Subuh. Segera, Aisha menunaikan solat Subuh. Usai dia mengucapkan salam, dia dengar Si Merah meringking ketakutan.
Aisha mendongak.
“Allahuakbar!” Jerit Aisha. Di atas pokok, bergayut seekor makhluk bertubuh burung hantu. Kepalanya adalah perempuan bermata lapan seperti labah-labah. Makhluk itu tidak berbibir, mukanya cengkung. Merenung Aisha garang.
“Kau siapa?” jerkah Aisha dalam gentar.
“Aku Tsa. Aku penjaga gerbang.” Ucapnya, memusingkan kepala seperti burung hantu. Aisha menelan air liur.
“Kau nampak suami aku, Jalal?” Tanya Aisha tanpa berkias.
“Ya. Aku yang benarkan dia masuk.”
“Masuk ke mana?”
“Alam bunian!” Tsa menyeringai.
“Suamiku manusia. Dia bukan bunian!” Bentak Aisha. Dia benar. Jalal masih hidup!
“Huuu, huu.” Tsa berbunyi seperti burung hantu. Dia melompat dari dahan ke dahan. “Tapi dia membayarku darahnya. D***h dari kakinya!”
“Kau silap. Kaki suamiku tercedera! Dia tak berniat mahu ke dunia bunian!” jawab Aisha. Rasa takutnya hilang apabila mengetahui Jalal masih hidup.
“Huu! Huu! Tsa sudah tersilap. Tapi dia tak pernah keluar. Manusia takkan keluar apabila mereka tinggal di alam bunian!” Makhluk aneh itu mengepak-ngepakkan sayapnya. Aisha menggeleng.
“Tsa, kau boleh tolong aku masuk? Aku mahu bawa suamiku pulang.”
Tsa menyeringai.
“Kau kena bayar dahulu!”
“Aku tiada wang.”
“Aku mahu darahmu!”
“Oh, tak boleh. Darahku tak boleh.” Geleng Aisha. Tsa memusing kan kepalanya. Mengelipkan kelapan-lapan matanya.
“Kenapa tak boleh?”
“Kau tak tau ke aku apa?”
“Kau apa?”
“Aku perempuan.”
“Jadi?”
“Perempuan manusia tidak berdarah. Mereka berdarah sekali sahaja sebulan.”
Tsa mengepakkan sayapnya resah.
“Aku pernah dengar itu! Jadi kau tak berdarah?” Ujar Tsa.
“Ya. Aku tak ada d***h. Kau kena tunggu sepurnama lagi, baru aku berdarah.”
“Tsa lapar!” Nyaring makhluk aneh itu berbunyi.
“Kau tak pernah tinggalkan tempat ini untuk mencari makan, Tsa?”
“Tak. Kaum bunian arahkan aku duduk disini selagi tanah tidak bertukar menjadi emas.”
“Kasihan kau, Tsa.”
“Kau kasihankan aku?”
“Ya.” Aisha memancing. “Kalaulah aku boleh berkongsi makanan yang aku bawa, tapi kau cuma makan d***h, kan Tsa?”
“Tak! Aku juga makan benda lain. Apa yang kau bawa?”
Aisha menunjukkan sesikat pisang tanduk. Tsa merenung pisang itu kelaparan. Kepalanya digerakkan ke kanan, ke kiri.
“Aku mahu!” Tsa terbang ke bawah. Aisha mengundur, terperanjat. Dari dekat, Tsa kelihatan lagi menakutkan. Dia berdiri setinggi tujuh kaki, mata-mata di kepalanya merenung Aisha tidak berkelip.
“Aku boleh bagi kau, Tsa. Tapi syaratnya, kau kena bagi aku masuk.”
“Nanti, kaum bunian marah Tsa!”
“Kau bagi suamiku masuk. Kaum bunian tak marah. Kalau suami boleh masuk, tentu isterinya boleh. Kan?” Ujar Aisha bermuslihat.
Tsa mundar-mandir. Kehulu, kehilir. Berjalan terkangkang-kangkang seperti burung.
“Huu, huu! Aku benarkan kau masuk. Tapi jangan cakap aku yang bagi!”
“Allahu. Terima kasih Tsa. Ambillah.” Ujar Aisha.
Tsa mengambil pisang itu dengan kakinya yang lebar. Muncul segaris cahaya biru di bawah pokok Hu itu.
“Kau masuk, jangan lupakan nama kau. Jangan lupakan nama suami kau. Nanti kau tak boleh keluar!” Cicip Tsa.
Aisha mengangguk. Tudung kain sarung corak batik Terengganu itu diperkemas.
Tunggu dinda, kanda!
Waktu Aisha melangkah masuk, dia terpana. Alam itu sama dengan alam manusia. Aisha mendongak, matahari yang sama kelihatan. Wanita itu menelan air liur. Keadaan dunia ini, tiada beza. Hutan yang sama. Pokok yang sama. Cuma dihadapannya adalah satu denai kecil, muat-muat untuk dua manusia dewasa berjalan seiringan.
Sekarang, dia perlu mencari Jalal. Dia membetulkan selendangnya, sebelum membisikkan basmalah.
“Kau beragama Islam rupanya.” Terpacul satu suara dalam seorang lelaki. Pantas, Aisha memusingkan badan.
Tiada sesiapa.
“Siapa itu?” ujar Aisha.
“Aku penjaga gerbang kedua. Tsa benarkan kau masuk,kah?” ujar suara tidak bertuan itu. Aisha masih memandang sekeliling, mencari tuan empunya suara.
“Aku sudah bayar secukupnya pada Tsa. Jangan apa-apakan dia. Tunjukkan diri kamu! Aku tidak berniat jahat.” Aisha memegang erat tudungnya.
“Aku tidak nampak sebarang luka di badan mu. Kau gadis yang bijaksana. Apa namamu?” seru suara itu lagi.
Baru sahaja Aisha membuka mulut, dia teringat pesanan Tsa.
“Kau masuk, jangan lupakan nama kau. Jangan lupakan nama suami kau. Nanti kau tak boleh keluar!”
Aisha menutup mulutnya kembali. Bagaimana kalau makhluk ini memaksanya melupakan namanya sendiri?
“Nama ku… nama ku Asiah.” Jawab Aisha tegas. “Kau siapa?” Sambung wanita itu lagi.
“Aku, Lam.”
“Lam?”
“Ya.”
“Lam, seperti huruf hijaiyah itu?” Tanya Aisha hairan.
“Ya, betul. Itu namaku. Sama dengan Tsa.” Jawab suara tidak bertuan itu lagi. Aisha memiringkan kepala, masih mencari-cari suara itu.
“Kau makhluk apa? Sama seperti Tsa, kah?”
“Bukan, aku dengannya tidak sama. Fizikal kami lain.”
“Kau kenal kalimah basmalah. Kau menganut agama Islamkah?”
“Ya, aku Islam.”
“Tapi kau tidak kelihatan di mataku.” Aisha berkata hairan.
“Aku tak tahu. Ini memang janjiku dengan kaum bunian. Dengan mereka juga, aku tak kelihatan.”
“Mana kau?”
“Betul-betul dihadapanmu.”
Aisha merenung hadapannya yang kosong. Lantas, dia mengeluarkan balang airnya. Dicuah separuh isi ke tanah berdebu.
“Berdiri di sini. Aku mahu lihat kakimu.” Pinta Aisha. Suara itu menurut, berdiri dalam lecak air.
Sepasang tapak kaki manusia kelihatan, mendap ke dalam tanah lecak.
“Kau manusia!” kata Aisha teruja. Suara itu diam seketika, mungkin terkejut melihat kakinya.
“Bukan, aku rasa aku bukan manusia. Aku lain.” Balas suara itu lagi.
“Jadi, kamu bunian?”
“Aku tak tahu. Yang aku tahu, aku perlu menjaga gerbang ini.”
“Aku mahu mencari seseorang.”
“Siapa?”
“Suamiku.” Balas Aisha.
“Lupakan hasratmu. Kembalilah ke dunia manusia. Alam Zara ini bukan tempat kau.”
Aisha menggeleng.
“Aku perlu cari suamiku. Aku tahu, dia ada disini. Tolonglah bantu aku, Lam. Aku tak berniat jahat.”
Suara itu diam sebentar.
“Kau tak faham hati budi bunian, Asiah. Mereka bukan seperti manusia.”
“Tolonglah Lam. Kau lihat, aku datang sehelai sepinggang sahaja. Kasihanilah ibu mertuaku. Jalal itu satu-satunya anaknya.”
Sekali lagi, suara itu terdiam. Lama. Apa yang memastikan Aisha suara itu belum beralih – adalah tapak kaki yang masih mendap di hadapannya.
“Maafkan aku, Asiah.” Kata suara itu. “Tapi aku tidak boleh benarkan kau lepas dari sini.”
“Apa bayarannya?”
“Bayaran?”
“Ya. Dengan Tsa, dia kenakan bayaran. Apa bayaran kamu?”
“Aku mahu bebas. Aku tidak mahu ‘ghaib’ seperti ini.
Aisha menggeleng. “Itu tidak mampu aku lakukan. Siapa yang boleh bebaskan kau? Ada yang mampu?”
“Ada. Kau kena minta dengan Raja Bunian.”
“Ah.” Aisha mengangkat kening. “Bagaimana aku mahu meminta Raja Bunian untuk lepaskan kau, sekiranya aku tak boleh melalui gerbang ini?”
Aisha mendengar Lam tertawa.
“Kau? Perempuan manusia, mahu meminta dengan Raja Bunian?”
“Mengapa?”
“Tiada apa. Cuma jarang dibuat.” suara Lam menjawab bersahaja.
“Apa kau dah buat, hingga Raja menghukum kau sebegini rupa?” soal Aisha hairan. Wanita itu merenung hadapannya yang kosong.
“Aku sendiri tidak tahu. Aku tak pernah tinggalkan gerbang ini untuk bertanya.” Lam berkata bingung.
“Pelik tu. Kenapa baru sekarang? Kenapa bila aku muncul, baru kau tergerak hati mahu dapatkan tubuh badan kau balik?”
Senyap seketika. Aisha memiringkan kepala, menanti jawapan Lam.
“Aku tak dapat tinggalkan gerbang ini, selagi tiada makhluk yang mengajak. Itu salah satu sumpahan ku.”
“Tiada bunian lain pernah mendekati gerbang ini kah?” Soal Aisha tidak puas hati.
“Tiada. Mungkin mereka ditegah.”
“Apa maksudmu dengan mungkin?”
“Aku… aku tak tahu. Semuanya samar-samar. Yang aku tahu, aku kena duduk disini. Selagi tiada makhluk mengajakku pergi, aku tak boleh tinggalkan gerbang ini.” Ujar Lam sedih.
Aisha menghela nafas.
“Jadi, marilah. Kita kembalikan tubuhmu. Kita cari suamiku. Ya?”
“Baik. Tapi, aku tak boleh lepas kau begitu sahaja. Harus ada cagaran.”
“Cagaran?”
“Cagarannya, adalah nama suami kau.”
Aisha termengkelan. “Tapi tujuan aku masuk ke sini adalah untuk selamatkan suami aku. Kalau kau ambil namanya, bagaimana aku mahu keluar?” sambung wanita itu.
“Aku akan kembalikan, sebaik sahaja aku memiliki tubuhku kembali. Bagaimana? Kau setuju?”
Aisha mengetap bibir.
“Kau janji, Lam?”
“Aku tak pernah memungkiri janji aku.”
“Aku dengar, jin itu sejahat-jahat manusia, Lam.” Aisha menguji. Lam tertawa.
“Habis tu, untuk apa Allah hisab kami di akhirat nanti? Masukkan sahaja semua bangsa jin di neraka. Tak perlu dihisab. Kami ni jahat.” jawab Lam dalam tawanya. Aisha tersenyum.
“Baiklah. Aku terima.” ujar Aisha dalam gementar.
“Hulurkan tanganmu.”
Aisha menurut. Dari telapak tangan Aisha – timbul cahaya kalimah jawi yang tertulis Jalal. Aisha memerhati penuh takjub sewaktu ia terapung dari telapak tangannya, dan huruf-huruf hijaiyah itu mula terpisah, bercerai-berai, kemudian ia lenyap.
“Itu sahaja?” gumam Aisha.
“Ya. Itu sahajalah. Kau nak apa lagi?” Lam menjawab hairan. Aisha merenung tangannya kosong. Dia kini lupa wajah suaminya. Suaranya. Dia cuba mengingati kembali – tapi yang muncul di benak fikirannya hanyalah bayangan seorang lelaki tinggi dengan muka berkabus.
“Aku… Aku tak dapat ingat muka suami aku.” bisik Aisha sedih.
“Itulah yang berlaku bila namanya aku ambil. Sekarang, biar aku bukakan hijab kau.”
“Mana boleh!” Aisha memegang erat tudungnya.
“Bukan hijab itulah. Hijab mata kau.” Aisha terdengar senyuman di suara Lam.
“Oh.” Jawab Aisha, merasa sedikit bodoh. “Untuk apa?”
“Kaum bunian tak akan tunjukkan diri mereka pada manusia, Asiah. Kau kena faham tu.”
“Mereka akan tahu aku ini manusia?” Aisha berkata sedikit gusar.
“Ya.” Lam menjawab.
Aisha menunduk. Berkerut mukanya, memikirkan sesuatu. Seketika kemudian, dia mengangkat muka.
“Baiklah Lam. Aku percayakan kau. Bagaimana aku harus membuka hijab mataku?”
“Berikan balang airmu.” Ujar Lam. Aisha menurut. Aisha memandang aneh terhadap balang yang terapung di udara. Penutupnya dibuka, dan Aisha lihat air itu dituang ke dalam penutup.
“Nah. Sapukan air ini ke keningmu.” Penutup berisi air itu disua kepada Aisha.
“Apa yang kau dah buat pada air ini, Lam?” Ujar Aisha penuh minat.
“Adalah. Ikut sahaja kata-kataku.” Ujar Lam. Aisha mengikut. Wanita itu mencelup jari-jemari halusnya ke dalam air tersebut, menyapu kedua belah keningnya.
Aisha termengkelan. Penutup itu jatuh bergolek.
Hutan itu – yang awalnya diam tidak berpenghuni, seakan dipetik suis; bunyi-bunyi binatang menerpa telinga Aisha. Dari celah pokok-pokok menghijau, sekumpulan rusa putih dengan tanduk seakan ranting kayu yang bercabang-cabang mengintai mereka malu-malu. Di atas pohon, tupai-tupai berwarna merah gelap dan putih berlari-lari riang, burung-burung aneh dengan pelbagai warna pelik berkicauan bising.
“Allahuakbar. Allahuakbar…” Bisik wanita itu, menghela nafas.
“Dah, jangan kau tenung lama-lama. Kau mahu keluar juga dari Alam Zara ini kan? Sehari disini bersamaan tujuh hari di dunia manusia.” Ujar Lam. Aisha dengar dia melangkah ke hadapan, mendahului Aisha.
“Allah. Tujuh hari?” Ujarnya terkejut.
“Ya. Bila suami kau mulai hilang?” Tanya Lam. Aisha menuruti Lam di belakang.
“Tahun 1941, waktu Jepun mula menyerang. Tahun 1942, dia hilang. Ini, dah tahun 1948.” Jawab Aisha. “Di dunia manusia, dia sudah hilang selama enam tahun. Jadi, kalau dikira, suamiku sudah menetap di sini hampir setahun.” Sambung Aisha lagi, mencongak-congak pantas.
“Enam tahun itu tempoh yang lama. Apa kau tidak mencari lelaki lain?” Lam berkata dalam hiruk-pikuk bunyi hutan yang menenangkan. Sesekali bunyi laungan monyet mencelah perbualan mereka.
“Tidak. Aku sendiri tidak pernah berjumpa dengan mana-mana qhadi.” Aisha menjawab ringkas.
“Jadi kau dan dia masih suami isteri yang sah.” Ujar Lam. “Kau sangat setia.” Sambung Lam lagi, selepas diam seketika.
“Kita mahu kemana ya, Lam?” Tanya Aisha.
“Berjumpa Raja. Satu lagi, Asiah. Disini, apa kau fikir, bunian boleh dengar.” Lam berkata. Aisha membuntangkan mata.
“Jadi, jangan menipu nama kau, AISHA.” Sambung Lam. Aisha mendengar suara Lam seakan tersenyum lucu. Memerah pipi wanita bermata sepet itu.
“Maafkan aku.” Ujar Aisha malu.
“Tak ada masalah. Nasihat Tsa itu betul. Tapi disini, kalau kau tak mahu fikiran kau dibaca, jaga hati kau. Banyakkan zikrullah. Ulang nama Allah seiring degupan jantungmu.” Ucap Lam lagi. Aisha mengangguk.
“Kau kata, suami kau sudah disini hampir setahun ya?” Tanya Lam.
“Ya.” Aisha menjawab ringkas.
“Anehnya, aku disumpah menjaga gerbang itu, hampir setahun juga.” Lam berkata. Aisha terdiam. Mengulang nama Allah seiring jantungnya.
=======
“Raja Bunian yang kita nak jumpa ini, Raja bagaimana?” Aisha memecahkan kesunyian selepas sekian lama mereka berjalan.
“Khalifatullah Umar Satria. Dia Raja kawasan ini.”
“Kawasan?”
“Ya. Kawasan puak.”
“Aku kurang faham, Lam.”
“Kau bayangkan negara kau sahajalah. Ada negeri-negeri kecil yang membentuk negara. Bunian ini, mereka ada puak-puak. Kawasan ini milik puak Kabilah Ahmar dan Kabilah Aswad. Tiap Kabilah ada raja.”
“Dua puak?”
“Ya, kerana aku dengar, Kabilah Aswad itu rajanya sudah tiada. Jadi raja Kabilah Ahmar yang mengambil alih, kerana Kabilah Aswad tidak tinggalkan pewaris.”
Aisha mengangguk. Bunyi-bunyi hutan kian berkurang. Jalan mereka lalui itu kian luas.
“Kita sudah hampir sampaikah?” Tanya Aisha.
“Ya. Kita akan sampai ke pekan mereka. Sampai di sana, mereka akan bertanyakan hasratmu. Kau beritahu sejujurnya. Jangan menipu. Kaum bunian sangat pentingkan hak. Tekankan hak kau sebagai isteri.” Ujar Lam. Aisha mengangguk.
“Kau jangan tinggalkan aku, Lam. Kau sudah berjanji.” Wanita itu merenung hadapannya yang kosong. Lam tertawa pendek.
“Aku tak pernah memungkiri janjiku. Sekarang, bersedia.” Lam berkata. Aisha menggenggam tudungnya erat. Mereka sampai ke penghujung jalan yang ditutup semak samun.
“Pergilah Aisha. Aku dibelakangmu.” bisik Lam. Aisha mengangguk. Tangannya dihulur, menyelak semak-samun yang merimbun.
Cahaya yang menyimbah tiba-tiba menyilaukan mata Aisha. Wanita itu memicingkan mata, sebelum membukanya perlahan.
Aisha termengkelan.
“Zikrullah Aisha, zikrullah.” Bisik Lam. Aisha menurut. Nama Allah diulang-ulang dalam hati.
Mereka kini sampai ke sebuah pekan yang sibuk. Kedai-kedai kain, makanan, buah-buahan, gerai-gerai kecil yang menjual makanan panas. Aisha memerhati takjub. Penduduknya, bunian itu, mungkin manusia-manusia paling cantik Aisha pernah lihat. Telinga mereka meruncing, tajam. Yang lelaki tinggi lampai, tidak terlalu kurus, tidak terlalu gemuk. Sama seperti wanitanya yang berkulit putih mulus, menyarung selendang di kepala. Pekan itu yang awalnya riuh-rendah – kini perlahan-lahan terdiam. Menyedari kehadiran Aisha.
“Manusia. Ada manusia.” Mereka berbisik sesama sendiri. Aisha menelan air liur.
“Dia nampak kitakah? Bagaimana dia masuk ke sini?”
“Shh. Tengok, dia pandang kau. Dia nampak tu.”
“Dari mana dia datang? Siapa dia ni?” suara berbisik itu bercampur baur. Berpuluh pasang mata biru, hijau dan jingga yang cemerlang memerhatinya kini. Dia terasa kerdil sekali, dengan baju kurungnya yang lusuh, dan kain tudung batiknya yang lama. Berbeza dengan mereka yang berpakaian kemas. Aisha menarik nafas, mengumpul kekuatan.
“N… namaku Aisha. Aku tiada niat jahat. Aku mahu berjumpa raja kalian.” ujar Aisha gementar. Bunian-bunian itu berpandangan sesama sendiri, sebelum muncul dua bunian lelaki yang berpakaian dengan lagak hulubalang. Pedang tersisip di pinggang mereka.
“Apa urusanmu?” Ujar lelaki bunian berambut hitam panjang, diikat. Aisha mendongak. Nama Allah diulang-ulang dalam hati sebanyak mungkin.
“Suamiku tersesat ke alam bunian. Aku datang mahu menuntut hak aku sebagai isterinya.” Ujar Aisha.
“Apa nama suamimu?” Lelaki berambut emas pendek bertanya.
“Ini urusan antara aku dan raja. Aku mahu bercakap dengannya sendiri.” Aisha menjawab. Menyembunyikan gentar dalam suaranya.
“Bagaimana kau masuk ke sini?”
“Itupun, hanya urusan aku dan raja.” Jawab Aisha lagi. Kedua-dua lelaki itu saling berpandangan.
“Baiklah. Mari ikut kami.” Ujar lelaki berambut hitam panjang. Dia tinggi, dengan aura seorang yang serius. Seorang pemimpin. Aisha menurut.
“Sekurang-kurangnya, bagitahu kami nama kau.” Ujar lelaki berambut emas, bertelinga runcing.
“Aisha.”
“Islam?”
“Ya, aku Islam, bermazhab Shafie.” Jawab wanita itu, membetulkan anak rambut yang terkeluar. Aisha melihat lelaki berambut panjang itu mengangguk. Mereka diam selepas itu, menelusuri jalan-jalan pekan, direnungi para bunian yang bereka bertembung – hinggalah Aisha melihat berbalam sebuah istana dari jauh. Istana itu berkilau, seumpama dibina dengan kristal biru. Aisha menghela nafas, takjub.
Mereka melangkah masuk istana yang tersergam indah itu – dengan cahaya biru malap memancar hebat dari seluruh pelusuk istana. Langsung tiada lampu, tetapi istana itu bercahaya sendiri. Aisha memandang sekeliling terkesima, hampir sahaja dia melupakan Lam di belakangnya.
“Kita dah sampai.” Lelaki berambut hitam berkata pendek. Aisha mengintai dari balik bahu lelaki berambut hitam. Di belakangnya – tersergam sebuah singgahsana yang indah. Seorang lelaki duduk di singgahsana tersebut – wajahnya dibayangi oleh lelaki berambut hitam yang tinggi.
Lelaki berambut hitam dan emas – mengangkat sembah separas dahi. Aisha mengikut, menunduk takut-takut.
“Ampun tuanku. Patik pacal yang hina datang mengadap.” ujar lelaki berambut hitam.
“Apa kehendakmu, Maalik? Siapa gerangan perempuan manusia ini?” balas suara lelaki serak-serak basah.
“Ampun tuanku. Kita jumpa dia di pinggir bandar. Katanya, suaminya ada di Alam Zara.” Lelaki berambut emas pendek berkata.
Aisha mengintai. Raja itu – Khalifatullah Umar Satria, berwajah mulus, dengan kedutan di tepi mata. Rambutnya memutih bak salji, matanya biru cemerlang. Mahkotanya berupa tanduk rusa yang dihiasi emas.
“Kemari, wahai anakku. Kedepan.” Ujar raja tua itu. Aisha menurut, mengangkat sembah.
“Ampun Tuanku beribu ampun, sembah patik harap diampun. Patik cuma rakyat manusia biasa, ingin meminta sekelumit masa mendengar bicara manusia biasa ini, yang makan padi huma cuma. Merafa’ sembah ke bawah Duli Tuanku Sultan serta sekalian Raja-Raja, Ampun Tuanku.” ujar Aisha, sopan. Walau gentar dalam hatinya, hanya Allah yang tahu. Dia mengulang lagi zikrullah dalam hatinya, seakan bunyi loceng yang berdenting, gemanya tidak berhenti.
“Apa benar, suamimu di sini?”
“Ampun tuanku. Patik pacal yang hina ini, sudah beberapa kali suami patik yang dianggap m**i itu; datang bertandang melalui mimpi. Mimpi itu memimpin patik ke pokok Hu milik tuanku, dan seterusnya mendorong patik untuk berkelana di bumi bunian ini. Ampun tuanku, patik tiada berniat jahat, patik bukan petualang celaka, patik cumalah seorang isteri yang merindukan suaminya, yang datang bagi pihak bonda mertua patik, yang merindukan anakandanya, seandainya benar dia di Alam Bunian ini.” Aisha berkata sebak. Lelaki bunian berambut hitam dan emas itu berpandangan dengan wajah kasihan.
“Bukan calang-calang manusia yang nampak Pohon Hu milik beta. Malah, kau juga dapat melepasi si Tsa.” Raja itu mengangguk. “Jadi, anakku, apa nama suamimu? Hulubalang beta, Maalik dan Shiddiqin pasti akan dapat membantumu.”
Aisha menggeleng.
“Ampun tuanku. Atas beberapa sebab, patik tidak dapat kemukakan nama suami patik. Nama itu, sudah patik cagarkan pada penjaga gerbang kedua, Lam.”
“Penjaga gerbang kedua?” Maalik, si bunian berambut hitam berkerut dahi. Aisha mendongak, mengangguk.
“Anakku.” Raja itu berkata hairan. “Hanya satu sahaja penjaga yang beta ada. Si Tsa. siapa gerangan Lam yang kamu khabarkan ini?” Ujarnya lagi.
Muka Aisha berubah pucat.
“Lam?” ujar Aisha ke belakangnya. “Lam, Lam. tolonglah menyahut.”
Sunyi. Aisha merenung wajah Maalik dan Shiddiqin. Kedua-duanya merenung Aisha dengan wajah kasihan.
“Tidak. Dia di gerbang kedua. Pasti ada tersilap.” Ujar Aisha tergagap. “Dia ada. Dia minta saya cagarkan nama suami, kerana dia mahukan badan dia kembali.” sambung Aisha lagi, merenung Maalik seakan mahu menangis.
Maalik menggeleng dengan muka bersimpati.
“Aisha, aku tidak pernah dengar nama Lam ini. Hanya Tsa, si penjaga gerbang pertama.” kata Maalik.
Aisha terduduk.
“Mungkin itu jin kafir yang menyesatkan. Kasihan.” Geleng Maalik. Aisha menangis teresak-esak. Dia menekup mukanya.
“Sudahlah tu nak. Maalik, perkenankan dia sedikit hadiah untuknya. Bawa dia ke jalan keluar.” Ujar Raja itu bersimpati. Aisha menggeleng-geleng kepala.
“Tidak, tuanku. Patik pasti, Lam tak akan mungkir janji.” tangis Aisha. Waktu itu, beberapa dayang istana muncul dengan pakaian mereka yang indah, memimpin Aisha keluar dengan tangan mereka yang lembut.
“Tolonglah, tuanku, dengarkan patik.” Aisha merayu lagi, sewaktu dayang-dayang itu membawa Aisha keluar. Dia menangis pilu. Wajah suaminya langsung tiada di kepala. Suaranya. Sentuhannya. Langsung, tiada.
==========
Aisha diberikan emas, permata. Emas dalam uncang itu kecil-kecil, seperti pasir yang berkilau. Dalam tangisannya, Aisha dipimpin ke jalan tadi oleh Maalik dan Shiddiqin. Alam bunian itu sedang meraikan sesuatu, sesuatu yang Aisha sendiri tidak pasti. Kenapa dia sangat bodoh? Percaya bulat-bulat?
“Kami sedang meraikan perkahwinan Maalik dan Puteri Raudhatina Balqis yang bakal menjelang. Kau bukan bodoh. Ini bukan alam kamu, mana-mana manusia sahaja mudah tertipu.” Shiddiqin, lelaki bunian berambut emas berkata simpati. Aisha mengangguk, memandang pada Maalik yang merenungnya dari tadi.
“Tahniah.” Aisha berkata, dalam sebak.
“Terima kasih.” Maalik membalas hormat.
Maalik dan Shiddiqin tiba-tiba berhenti. Maalik memegang hulu pedangnya, begitu juga Shiddiqin.
“Kenapa?” Tanya Aisha.
Satu suara dasyat – memenuhi ruang angkasa. Mereka mendongak.
Tsa!
Jembalang itu sedang dipanah oleh berpuluh panah berapi. Sebaik sahaja panah itu singgah di kulit Tsa – ia bernanah, membengkak penuh ngeri – sebelum terkatup kembali. Jembalang gergasi itu menjerit kesakitan sebelum jatuh berguling di hadapan Aisha.
“Ya Allah, Tsa!” Ucap Aisha terkejut.
“Apa ini? Apa yang kalian buat?” Jerkah Maalik kepada hulubalang yang membawa panah.
“Arahan raja.” mereka berkata ringkas. Bertalu-talu, anak panah itu menghujani tubuh Tsa. Jembalang itu langsung tidak melarikan diri, malah duduk diam, menjerit kesakitan. Pasti, kerana janjinya kepada kaum bunian.
“Sudahlah!” Tangis Aisha. “Aku yang salah! Bukan dia!” Aisha menangis lagi. Tsa menjerit-jerit kesakitan, memandang wajah Aisha meminta tolong.
Aisha mengambil emasnya. Ditabur ke tanah.
“Tsa!” laung Aisha. “Tsa! Lihat tanah!” Aisha berkata lagi.
Tsa berpaling.
“Tanah… sudah bertukar menjadi emas.” Bisiknya, melihat tanah yang bercampur gaul dengan butir emas.
“TSA SUDAH BEBAS!” Tsa melaung. Jembalang bertubuh burung hantu, berkepala manusia itu berbunyi nyaring; dasyat, seakan bunyi helang. Dia bangkit, mengibas kepaknya gagah, membuatkan bunian-bunian terpelanting dengan kibasannya yang kuat.
Waktu itu, seorang lelaki muncul. Lelaki itu, berkulit sawo matang, dengan rambut keemasan, mata emas bersinar – dan kepala bermahkota tanduk rusa.
“Aisha!” jerit lelaki itu. Aisha kenal suara itu. Itu Lam!
“Aisha! Kau sudah bebas. Aku sudah bebas dari sumpahan! Bawa suamimu pergi, cepat!” laung Lam, yang pantas menunggang Tsa.
“Tuanku!” Sembah Tsa terhadap Lam.
“Tak… tak mungkin. Itu Raja Kabilah Aswad! Khalifatullah Abdussalam!” ujar Shiddiqin terkejut.
Aisha terpinga-pinga. Dari tangan Lam, bercahaya satu bentuk kalimah ; Jalal.
“Dinda?” Bisik Maalik. Dia merenung Aisha tidak percaya.
Aisha terpempan.
“Allahuakbar. Allahu…” Bisik Aisha dalam linangan air mata. Maalik adalah Jalal!
Dalam hiruk pikuk itu, satu gerbang terbuka luas – menarik Aisha dan Jalal keluar. Terpelanting di pinggir hutan.
Mereka kembali ke dunia manusia.
“Dinda. Ampunkan kanda. Kanda… langsung lupa…” Ujar Jalal tergagap. Aisha menggeleng kepala dalam linangan air mata. Diraih tangan suaminya, dikucup lembut.
Kampung Batu 48, kecoh-sekecohnya.
==============================
“Khalifatullah Umar Satria – dia mempergunakan kanda, apabila raja Kabilah Aswad datang melamar Puterinya.
Raja Kabilah Aswad, Khalifatullah Abdussalam dan tunggangannya, Tsa itu – diperalat raja waktu mereka di pinggir hutan. Umar Satria mahu kuasa kedua-dua belah Kabilah. Dan kanda, kanda diperalatkan, ingatan kanda dipadam, kanda menjadi pak sanggup.
Ampunkan kanda. Kanda langsung lupa. Kanda tak berniat sebegitu.” cerita Jalal, sewaktu mereka duduk-duduk di beranda. Aisha menggeleng.
“Tidak mengapa kanda. Yang penting, kanda di sisi dinda sekarang.” Ujar Aisha, tersenyum.
“Kanda masih bermimpi bunian lagi?” Tanyanya. Jalal menggeleng. “Sudah berkurang.” Dia meraih Aisha dalam pelukannya.
Aisha menutup mata, bahagia. Namun, ada satu masalah.
Lam, tidak sempat menutup kembali hijabnya!
-TAMAT-
Terima kasih admin sekiranya sudi menyiarkan kisah ini.
Terima kasih kalian, kerana sudi membaca.
-nil
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
FIRST!!!
Diva suka…
Kisah yang lain dari yg lain.. Unik…
terbaik
Saya dah baca, best lain daripada yang lain.
Cerita ni best, harap2 ada sambungan cerita ni 🙂
BEST!!
best baca cerita ni,lain dari biasa.
Woww
Best jalan cerita ni..teruskan menulis
Well Nil. The best fiksyen writer yg wujud dekat FS ni. Fiksyen story dari Nil memang tak penah menghampakan. Serius ckp, kalo la aisha dibukukan, aku org pertama yg order. Baca sikit mcm ni pun tak puas, rasa nak lagi dan lagi. Good luck Nil. Btw..rindu siri pahlawan, suria dan salju. Huhu
Terbaekkkk
Best gilaaaaa..tak puas baca..bukan sahaja baca tapi menghayati…seperti di bawa ke alam satu lagi..congrats NIL..
memang terbaik. tak puas bace. gudjob NIL!
Best. Idea untuk membukukan AISHA mcm best. Sy akan menunggu sambungannya Nil. 🙂
“dobby is free!” – ni je aku terbayang. haha sorry
Best…nice story..
seronok aku baca cerita ni. bagus. keep it up.
Fuhhh…seronok bace.. lain dari yang lain…
best!!!
best giler…syok jer bace..
BEST..Mcm real
Best cerita ni..
Tahniah
best gilerr..bekarya lagi ye..
Best nak m**i 💕
BEST GILA! Saya bagi 5 bintang. Teruskan berkarya!
best sgt… khayal bc.. rs mcm msk dalam cerita.. 😀
5 bintang dr sy…
Best sgt!lain dari yg lain…
Bak kata boboiboy…terbaik! ⭐⭐⭐⭐⭐
Daebak !
Please post banyak lagi cite2 macam ni…best giler
seyes…best giler cite ni
best mkcik syuker
#cumel
baca sampai habis!! terbaik