Akak Di Belakang Pintu (Kesinambungan Awek Mata Bundar)

Assalam, admin FS dan warga FS sekalian. Terima kasih saya ucapkan pada admin kerana memberi ruang pada cerita saya di Fiksyen Shasha. Terima kasih pada semua yang membaca dan menyukai cerita Tikah. Awek Mata Bundar adalah cerita Tikah. Jadi, misteri kisah Tikah berakhir di situ. Sinambungannya abe tulis dalam Akak Di Belakang Pintu. Abe akan tulis dalam bentuk part juga. Harap bersabar.

Sekali lagi abe nak bagi tahu, abe bukan Ijam Kachak. Abe terkilan dengan sesetengah orang yang ucap tahniah pada IK sedangkan cerita ini cerita abe. Tolonglah ucap tahniah pada penulis sebenar yang penat menulis tapi orang lain pula dapat nama. Terima kasih.

Akak Di Belakang Pintu

Beberapa saat selepas tu, kita orang jadi macam orang yang baru sedar dari mimpi. Terpinga-pinga macam orang bodoh. Aku, Petak, Tok Minah dan Azizah saling berbalas pandang. Macam-macam soalan bermain dalam fikiran. At least dalam fikiran akulah. Serabut. Macam-macam aku nak tanya.

Tiba-tiba kepala aku rasa berdengung. Telinga aku pun sama. Dahlah berdengung, perit pulak tu. Aku nampak mulut Tok Minah bergerak-gerak cakap apa entah kat aku. Tapi aku tak balas. Dah aku tak dengar suara dia, macam mana nak balas? Masa tu aku tak peduli kat orang lain dah sebab aku rasa penat sangat. Badan aku sakit-sakit. Terasa macam nyawa kena sedut dari badan je. Perit!

Tak tahan dah, terus aku cari bangku. Aku duduk walaupun tuan rumah tak pelawa. Dia dah ajak masuk tadi tu kira pelawalah kan. Tengok aku duduk, Tok Minah pulak duduk. Petak dengan Azizah je masih berdiri. Tengah bersandar tu, aku perhatikan je Maya yang tengah takut-takut pergi kat suami dia. Tak dapat aku bayangkan perasaan dia orang berdua. Tapi aku peliklah dengan si Hamid ni. Makan keliling. Habis kawan baik tiga orang tu disebatnya.

Astaghfirullahal’azim… siapalah aku nak persoalkan jodoh yang Allah dah tetapkan untuk dia.

“Maafkan Maya, bang.”

Aku dengar suara Maya. Dah elok balik pendengaran aku. Takde dengung lagi dah. Elok macam biasa. Syukur alhamdulillah. Kalau tak, melayang lagi duit aku. Doktor telinga cas mahal ooo…

Maya ambil tangan suami dia dan cium. Drama dah start. Allah, lupa bawa popcorn.

Hamid tak cakap apa. Dia lepaskan tangan dia yang Maya pegang, terus pergi mengadap Tok Minah. Pandai pulak dia high rank mana dia kena kipas dulu.

“Saya minta ampun, mak tok.” Hamid cuba capai tangan Tok Minah.

Dan-dan Tok Minah tarik tangan dia sorok belakang badan. Dia tarik muka dia sekali. Kekdah Nyonya Mansoor tu dibuatnya. Adeh, tak payahlah main drama, Tok Minah. Badan aku dah tak larat sangat-sangat ni.

“Kamu punya pasal, cucu aku mati.” Tok Minah cakap tak tengok Hamid. Kepala paling kat aku. Tapi dia tak pandang muka akulah. Dia pandang apa entah. Muka masam Ya Rabbi. Nasib baiklah Tuhan tak jodohkan aku dengan Azizah. Kalau tak, mesti tension ngadap muka mak tok dia hari-hari.

Hamid menangis macam budak kecil. “Saya benar-benar cintakan dia.”

Spontan aku pandang Maya. Dia pun menangis. Tak tahulah dia menangis sebab menyesal terbabit dalam cinta bersegi-segi tu ke atau menangis sebab laki dia confess cintakan perempuan lain depan muka dia sendiri.

“Cintalah sangat. Sampai kamu tak bagi aku buat post-mortem kan?” sindir Tok Minah. Sadis.

Tersirap darah aku. Terbaiklah permainan kau, Bang Hamid. Kalau polis terus buat post-mortem masa hari dia orang jumpa Tikah tu, gerenti kau kena buang kerja lepas polis habis buat siasatan kan. Si Maya dan Saleha pulak, gerenti meringkuk kat dalam penjara tak keluar-keluar lagi sampai sekarang.

“Berapa bulan?” tanya Tok Minah. Dia pandang Hamid. Tapi bila Hamid angkat muka, Tok Minah palingkan balik muka dia kat aku. Tercantum pulak mata dia dengan mata aku. Entah apa salah aku, dia pejam mata dia macam dia bengang sangat kat aku sambil palingkan kepala dia ke belah sana pulak.

Ehhh… mak tok, salah aku ke cucu kau gatal gelenyar berjimak sebelum nikah?

“Berapa bulan anak dalam kandungan Tikah?” ulang Tok Minah. Dahsyat ooo… suara dia.

“Lima. Nak masuk enam,” jawab Hamid.

“Kenapa aku tak nampak pun perut dia?” soal Tok Minah lagi.

Hebat jugak si Tikah ni nyorokkan kandungan dia. Lima bulan tu dah besar. Staf perempuan kat ofis aku, baru empat bulan mengandung tapi perutnya, ya Rabbi! Dah sama naik dengan dada dia. Jalannya pun dah mengengkang.

“Tikah kurus, mak tok,” celah Maya pulak. Dari jauh dia bercakap. Tak berani datang dekat-dekat. Takut Tok Minah belasah dia kut. “Masa mengandung tu dia tambah kurus. Bila kami tanya kenapa badan dia susut sangat, dia kata stres. Pastu dia suka pakai baju besar-besar.”

“Tak baju kurung, kebarung. Dua tu favourite arwah,” sambung Azizah.

Maya mengangguk. “Memang perut dia tak nampak. Tapi kalau pegang, dapat tekalah dia tengah mengandung.”

“Kamu!” Tok Minah layang jari kat Maya.

Kuss semangat! Berderau darah aku dengar suara Tok Minah. Tiba-tiba je menjerkah kat tepi telinga aku. Aku tengok Maya dah kecut. Aku yang takde kena-mengena pun kecut. Ni kan pulak dia. Mujur Maya duduk jauh. Kalau dia ada dekat tadi, memang terpelanting ke belakang kut kena pelempang Tok Minah.

“Aku betul-betul tak puas hati dengan kamu. Lepas cucu aku hilang, tiap-tiap hari kamu datang rumah aku. Tiap-tiap hari kamu pujuk aku. Kamu peluk aku. Kamu suruh aku bersabar. Suruh aku berdoa. Kononnya cucu aku nanti balik jugak kat aku. Kamu dengan budak Saleha tu. Pandai kamu dua orang berdrama ya! Menangis berbaldi-baldi depan aku padahal kamu tahu apa jadi kat cucu aku!” herdik Tok Minah. Dah menggeletar suara dia. Takut aku mendengarnya. Dia nak bangun tapi Azizah tarik bahu dia. Terduduk balik orang tua tu. “Kenapa kamu datang ke rumah aku masa tu? Aku nak tahu kenapa kamu berani jejak kaki kamu ke rumah aku masa tu?”

Aku rasa macam nak angkat tangan, nak jawab soalan Tok Minah. Ni aku punya teorilah. Ada dua sebab Maya dan Saleha hari-hari pergi ke rumah Tok Minah lepas dia orang bunuh Tikah. Yang pertama, nak cover line. Dia orang bertiga kan berkawan baik. Mesti orang pelik tengok dia orang tak datang jenguk keluarga kawan baik dia orang yang hilang. Kedua, sebab dia orang nak cari info. Nak tahu apa yang keluarga Tikah tahu tentang kehilangan Tikah.

“Saya minta ampun, mak tok.” Maya teresak-esak. Tunduk, tak berani pandang Tok Minah. “Saya nak bagi tahu mak tok. Tapi Leha tak bagi.”

“Pandailah kamu petik nama orang dah mati,” sindir Tok Minah. “Akal kamu mana? Tak terfikir ke lepas kamu tolak cucu aku, dia masih hidup lagi kat bawah tu?”

Semakin kuat Maya menangis.

“Kamu tu pensyarah, Maya. Tuhan bagi otak. Bagi akal. Kenapa kamu tak guna? Patutnya kamu bagi tahu polis. Bagi tahu aku. Hari kamu datang rumah aku tu kamu bagi tahu aku. Tapi niat kamu jahat. Kamu diam je. Kalau kamu bagi tahu aku hari tu, entah-entah cucu aku masih hidup sampai sekarang!” Tok Minah pulak menangis. Azizah peluk dia pun ditolaknya. Balas dendamlah kut sebab tadi dia nak bangun Azizah tak bagi.

“Masa mak tok cari Tikah kat Templer Park tu, dia orang ikut sama tak?” Aku tak tahu kenapa aku menyiram minyak ke dalam api. Tapi lepas dengar cakap Tok Minah tu, aku rasa sakit hati sangat kat Maya. Aku bayangkan Tikah terbaring berlumuran darah kat atas batu. Tikah masih hidup. Masih boleh diselamatkan. Tapi sebab Maya tutup mulut dia… eee… emo aku dibuatnya!

“Ada.” Tok Minah lap air mata dia. “Hari-hari dia ikut. Si Maya ni. Setan dia ni.” Dia tuding kat Maya. “Setan bertopengkan manusia.” Dia pandang Maya sambil menangis. Menggeletar badan dia masa tu.

Aku pun masa tu, macam nak lempang je muka si Maya. Psiko betul! Hati memang busuk dia ni. Jahat nak mampos. Kalau tak, dia takkan tergamak kunci mulut dia. Saleha tu aku fahamlah jugak. Dia marah hak dia kena caras. Tapi si Maya ni, pelik aku. Apa agenda dia tak bagi tahu kat Tok Minah atau Hamid pasal kejadian yang berlaku pada Tikah? Mata aku tiba-tiba terpandangkan Hamid. Huh! Licik permainan kau, Maya. Memang dah lama kau nakkan si Hamid ni kan?

“Macam mana Saleha dapat tahu Tikah mengandung? Siapa bagi tahu dia?” Aku pandang Maya. Dia tak jawab soalan aku. Terus tunduk.

“Saya yang bagi tahu awak Tikah mengandung.” Dah lama, baru Hamid pula bersuara. Dia pandang isteri dia. “Awak cakap saya boleh percayakan awak. Awak cakap awak nak tahu kenapa saya tinggalkan Saleha. Awak janji awak takkan bagi tahu kat Saleha. Tapi awak bagi tahu kat dia kan, Maya?” Hamid terus pergi kat isteri dia. Nasib baik Petak laju. Petak terus peluk Hamid. Gerenti si Maya kena terajang kalau takde siapa tahan Hamid tadi.

Semakin kuat Maya menangis. Rahsia dah pecah kan. Lepas ni habislah kau. Hamid takkan nakkan kau lagi. Kau ni macam Yahudi. Bunuh orang tapi bukan dengan tangan sendiri.

“Yang bagi tahu Abang Hamid Tikah pergi ke Templer Park tu siapa?” Soalan yang aku karang siang tadi, timbul balik dalam kepala aku. Masa tu Petak dah suruh Hamid duduk kat bangku. Jauh dari Maya.

“Siapa, Maya? Awak ke jugak?” herdik Hamid.

“Ya. Saya… saya yang suruh student bagi nota kat Hamid.” Tergagap-gagap Maya menjawab.

Aku dah agak dah. Dia rasa bersalahlah tu. Tapi yang kejam tu, tujuh hari kut dia tunggu baru nak bagi maklumat tu pada Hamid.

“Aku nak balik.” Malas aku nak duduk kat situ lagi dah. Semua jawapan aku dah dapat. Lagipun badan aku makin perit.

Tok Minah berdiri. Menonong je dia keluar dari rumah tu. Azizah mengekor mak tok dia. Petak macam teragak-agak. Tak tahulah kenapa. Aku rangkul bahu Petak sebab masa tu nak jalan pun dah tak larat. Masa tu baru Petak minta diri kat Hamid bagi pihak kami semua.

“Kenapa dengan kau?” Petak start enjin kereta dia dan blah dari situ.

“Entah. Tiba-tiba je badan aku sakit.” Aku mengeluh lagi. Sakit.

Petak diam je lepas tu. Aku tengok muka dia macam dia tak puas hati je.

“Kenapa dengan kau?” Aku campak balik soalan tu kat muka dia.

“Takde apa.”

“Cakap jelah. Tak baik kau simpan.” Bukannya aku tak tahu perangai dia macam mana. Kalau dia tak cakap sekarang, esok lusa mesti dia cakap jugak. Tengah mood aku tak baik ni, baik dia cakap semuanya sekarang. Esok lusa entah mood aku dah elok. Masa tu aku tak nak dia ungkit-ungkit lagi dah.

“Kau tak patut masuk campur tadi.” Dah lama, baru Petak bersuara.

“Masa bila?” Tak ingat aku bila masa aku masuk campur. Bukan aku dijemput jadi ahli panel ke tadi? Kalau dijemput, bukan masuk campur namanya.

“Soalan-soalan yang kau tanya kat Kak Maya tadi tu. Patutnya kau diam jelah.”

“Aku tanya bagi pihak mak tok.”

“Dia boleh tanya sendiri. Boleh jadi jugak dia tak nak tanya sebab dia takut runtuhkan rumah tangga orang,” jawab Petak.

“Amenda kau melalut ni?”

“Tikah dah takde. Tapi Kak Maya dengan Bang Hamid masih hidup. Dah jadi suami isteri pun. Ada keluarga lagi. Aku bukan apa. Aku takut disebabkan soalan kau tu, Abang Hamid apa-apakan Kak Maya.” Petak tarik nafas dia dalam-dalam.

Menyebal aku dengar nasihat Petak. Sejak bila dia jadi guru kaunseling pulak ni!

Sampai ke rumah aku tak bercakap dengan dia. Aku tetap dengan pendirian aku. Aku yakin aku buat benda yang betul. Niat aku melontarkan soalan-soalan tu untuk Tikah. Untuk Tok Minah. Untuk cari kebenaran. Sekarang semua dah tahu cerita sebenar. Takde rahsia-rahsia lagi dah.

Tapi masa berbaring kat atas katil, mata aku terkedip-kedip pandang siling. Cakap Petak aku ulang-ulang balik dalam kepala. Akhirnya, aku terpaksa mengaku salah. Cakap Petak tu memang betul. Aku punyalah marah kat si Maya, sampai aku tak terfikir langsung apa jadi kat dia lepas kami balik. Tak fikir langsung pasal anak dia. Pasal rumah tangga dia. Habis berpeluh badan aku bila teringat macam mana Hamid nak terkam Maya tadi. Tapi tadi ada Petak yang tahan dia. Sekarang ni, siapa nak tolong Maya?

Aku duduk. Rasa bersalah sangat masa tu. Aku berdiri walaupun kepala aku pusing. Belum sempat melangkah, aku jatuh tersungkur tak sedarkan diri.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

15 comments

  1. tak sabar nak tunggu sambungan dia..please cepat sikit untuk sambungan dia..rasa suspen dah ni..apa2 pun best cerita ni dari awal2 keluar cerita ni..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *