Ketika api padam, azan Maghrib berkumandang dari masjid kampung. Suara azan itu terasa begitu damai, namun pada masa yang sama, keheningan yang menyusul selepasnya terasa begitu tegang. Ustaz menarik nafas panjang lalu mulutnya terkumat kamit membacakan surah 3-Qul.
Kami berempat kembali masuk ke dalam rumah dan segera mandi membersihkan diri. Aku mandi ala kadar kerana air kolah rumah ini sangatlah sejuk menggigit tulang. Hanya dua tiga jirusan sudah cukup. Namun, disaat aku menjiruskan air gayungan, aku terasa bulu romaku meremang dan gerak hati aku asyik menyatakan bahawa aku sedang diperhatikan. Suasana makin terasa lebih seram dan suram walaupun gangguan dasyat tadi aku kira seolah-olah telah diselesaikan.
Langit di luar semakin gelap, dan bayang-bayang malam mula menyelubungi rumah. Ustaz memanggil kami semua untuk bersiap sedia solat berjemaah.
Selepas solat, Ustaz bertanya,
“Di mana bilik tidur Abah kamu?” Aku menunjukkan bilik tidur arwah Abah.
Seraya kami melangkah masuk, Ustaz kemudian menuding ke arah lantai di satu sudut bilik,
“Di bawah lantai sini, ada satu lagi tangkal. Tapi kita tak boleh ambil, ia tertanam dalam simen konkrit,”
Perasaan pasrah dan redha menyelimuti hati kami. Tangkal terakhir itu tak boleh dikeluarkan, hanya Allah yang mampu melindungi kami semua.
Ketika kami sedang berbincang,
“Assalamualaikummmm,”tiba-tiba terdengar suara perempuan tua memberi salam dari luar.
Suara itu jelas dan kami semua kenal—itu suara Mak Yong, kakak sulung Abah. Sambil lantang menjawab salam, aku bangun hendak pergi membuka pintu, tapi Ustaz menahan.
“Siapa yang beri salam tadi?” tanya Ustaz dengan wajah tegang.
“Itu Mak Yong, kakak Abah,” jawabku dengan yakin.
Wajah Ustaz serta merta berubah. Kelihatan sangat terkejut. Dia terdiam seketika sebelum berbisik, “Jangan buka pintu,”
Namun, Mak Yong terus gegas melangkah masuk ke dalam rumah dengan tanpa dijemput. Dia sekonyong konyong ternonong nonong berjalan langsung ke bilik tidur Abah, dan kami hanya mampu memandang. Mukanya sedikit bengis. Seperti memendam perasaan marah kepada kami. Perasaanku sangat tidak enak, namun aku tidak menzahirkan apa-apa. Aku hanya asyik cuba menenung matanya dalam. Namun dia cuba melarikan matanya bertentang denganku. Aku kuat merasakan ada sesuatu yang tidak kena tapi aku tidak tahu mengapa.
Walaupun begitu, Mak Yong cuba berbual dan berbasa basi dengan kami, tapi nadanya dingin. Dia seperti tidak selesa berada di situ. Ustaz kemudian mengajak kami dan Mak Yong solat Isyak berjemaah, dan ketika kami hendak memulakan solat, Mak Yong tiba-tiba bergegas pulang tanpa sepatah kata. Kami berempat hanya mampu berpandangan sesama sendiri lalu pergi mengambil wudhu’.
Malam itu, selepas solat Isya’ berjemaah, kami membaca Yassin dan melakukan tahlil ringkas bersama. Kemudian, Ustaz duduk bersama kami, mengelilingi meja makan yang kosong. Kami memutuskan tidak mahu makan malam di rumah tersebut kerana sudah pun mengalas perut semasa singgah di RnR Lebuhraya PLUS petang tadi. Hanya kudap kudap seperti kekacang dan roti serta air kosong menemani kami.
Namun, aku langsung tidak berselera kerana perasaan seram yang masih berlegar-legar di kalangan kami tiga beradik. Sangat dingin kurasakan di dalam rumah ini. Mungkin kerana malam semakin larut, atau mungkin kerana cerita-cerita yang baru saja dikongsi oleh Ustaz tentang gangguan makhluk halus yang sudah lama menghantui rumah kami.
Ketika Ustaz bertanya,
“Pernah tak kalian semua alami gangguan di rumah ini?” semua senyap.
Masing-masing seolah-olah teragak-agak mahu menjawab. Aku tahu kami semua ada cerita, tapi takut untuk membicarakannya kerana ia seakan-akan menjemput ‘mereka’ semua kembali datang untuk mengganggu kami. Trauma gagak m**i, pontianak, kejadian pertarungan Ustaz dengan jin, bunyi pinggan pecah dan bau busuk serta bisikan bisikan halus semasa membakar tangkal senja tadi pun masih kuat berlingkar lingkar dalam benakku. Aku teramat penat. Cukup cukuplah, fikirku pada mulanya. Namun, aku tahu, untuk mengatasi gangguan ini, kami perlu berani menghadapinya.
Aku berubah fikiran.
“Kalian semua tidak usah takut. Mereka tidak lagi mampu mengapa-apakan kita semua. Insha Allah,”
Ujar ustaz cuba meyakinkan kami semua.
Aku memandang sekeliling meja makan yang sederhana besar itu. Kak Long dan Kak Lang diam membatu, hanya memandang ke arahku. Riak wajah mereka terzahir kepenatan yang teramat kukira. Aku menarik nafas panjang, cuba mengumpul ketenangan dan kekuatan.
“Biar saya mulakan, ya,”Aku memulakan cerita.
“Pada satu malam, beberapa tahun lepas…” suaraku memecah keheningan malam.
“Malam tu, Abah dan Emak tak ada di rumah. Abah masa tu sedang dirawat di HUKM,” Suaraku terhenti sejenak, kenangan lama itu mula kembali menghantui.
“Saya seorang diri tidur di bilik Abah,”
Kak Long mengerutkan dahi, dahinya basah dengan peluh halus.
“Kenapa tidur kat bilik Abah? Bilik kau kan ada?”
Aku menggeleng perlahan.
“Masa tu, saya fikir tak ada apa-apa. Malam tu saya pun cirit birit. Bilik Abah je ada tandas dalam bilik. Senang nak ulang alik,” Aku cuba senyum, tetapi senyumanku hambar.
Sebenarnya, aku sendiri tak tahu apa yang mendorong aku untuk tidur di bilik itu pada malam itu.
Mereka masih menunggu, mata tertumpu pada aku. Aku diam seketika, menelan air liur, seolah-olah mahu menghapuskan ketakutan yang semakin menular dalam hati.
“Masa saya tidur saya bermimpi,” kataku dengan suara yang semakin perlahan.
“Dalam mimpi tu, saya nampak bilik yang sama, katil yang sama. Segalanya nampak serupa, seolah-olah saya masih berada dalam realiti. Tapi ada sesuatu yang tak kena,” Aku terhenti lagi.
“Apa yang kau nampak? Eeeeeeiiii, cepatlah cerita, janganlah berhenti-henti camni. Kau ingat suspen sangat?” Kak Lang tiba tiba bersuara.
Nadanya sedikit tinggi. Mungkin berasa sedikit jengkel denganku dan dia sudah mula menggigit hujung jarinya, sesuatu yang sering dilakukannya bila perasaan takut mula meresap.
“Pontianak. Serupa sangat dengan apa yang kita lihat tadi,” jawabku.
“Dia berdiri di hujung katil. Bajunya putih lusuh, berkain batik warnanya pudar, tapi yang paling jelas rambutnya panjang, hampir menyapu lantai. Muka pucat gila,”
“Pontianak tadi?” Ustaz menyelangi, nadanya tenang tapi aku dapat rasakan soalan itu lebih dari sekadar pertanyaan.
Seolah-olah Ustaz sudah meneka apa yang bakal aku ceritakan.
Aku mengangguk perlahan.
“Ya. Dia hanya berdiri di situ, memandang saya dengan mata yang kosong. Tapi cara dia senyum, seram gila!”
Kak Long menggenggam tanganku, mungkin untuk memberikan sedikit kekuatan atau mungkin dia sendiri mencari ketenangan. Aku menyambung,
“Kemudian dia mula bergerak. Mula menari, tapi gerakannya pelik. Lambat, seolah-olah dia meliuk-liukkan tubuhnya dalam satu irama yang tak wujud,”
Kak Lang menelan air liur. “Dia menari?”
Aku mengangguk lagi, kali ini dengan lebih yakin.
“Ya, sambil menari, dia mula ketawa. Mengilai-ngilai, semakin lama semakin kuat,” Aku berhenti sejenak, memejamkan mata, cuba menghilangkan bayangan mengerikan itu yang mula kembali menjelma di minda.
“Saya cuba nak gerakkan badan, tapi tak boleh. Kaku. Seolah-olah seluruh tubuh saya dipasung, hanya mampu tengok makhluk tu menari, mengilai di hadapan saya. Semakin lama, dia semakin dekat. Suara ketawanya begitu kuat, macam nak menembusi kepala saya. Rasa nak pekak,”
Kak Long memandangku dengan sedikit simpati, tetapi juga dengan rasa gerun yang jelas terpamer di wajahnya.
“Masa tu kau tak boleh jerit?”
Aku menggeleng.
“Tak. Saya cuba nak menjerit, tapi suara tak keluar. Saya cuba nak bangun, tapi tak mampu. Pontianak tu makin dekat, makin hampir dengan katil, dan saya rasa macam ada sesuatu yang sangat berat menekan seluruh badan saya,”
Suasana di meja makan itu sunyi. Hanya bunyi angin dari luar rumah yang menderu, menghempas daun-daun di halaman.
“Dan tiba-tiba, saya terjaga,” Suaraku tersekat.
“Tapi bila saya terjaga, pontianak tu masih ada. Dia masih menari, mengilai di hujung katil. Kali ini bukan dalam mimpi. Dia betul-betul ada di situ, di alam nyata,”
“Allahuu!” Kak Lang menutup mulutnya, terkejut mendengar kisahku.
Kak Long pula semakin kuat menggenggam tanganku.
Aku menghela nafas panjang, cuba menenangkan diri.
“Benda tu tak hilang walaupun saya dah terjaga. Saya tak tahu berapa lama saya terbaring macam tu, hanya mampu tengok makhluk tu menari dan ketawa, sambil saya tak mampu buat apa-apa. Akhirnya selepas entah berapa lama, dia hilang, macam angin. Tiba-tiba saja lenyap, dan barulah saya boleh bergerak,”
“Sejak bila benda tadi mula datang?” tanya Ustaz, nadanya lembut, tetapi penuh rasa ingin tahu.
Aku mengerutkan dahi, cuba mengingat kembali setiap detik yang telah berlalu.
“Entahlah Ustaz. Saya pun tak pasti. Tetapi, sejak malam tu, setiap kali saya tidur di bilik Abah, pasti ada gangguan. Tak pernah tak ada. Kadang-kadang cuma bunyi. Kadang-kadang benda lain. Tapi yang paling jelas pontianak tu selalu datang,”
“Apa yang dia buat?” Kak Long bertanya dengan cemas.
Aku menyambung cerita,
“Kadang-kadang dia cuma berdiri di hujung katil. Kadang-kadang saya rasa ada tangan sejuk menyentuh dan mencakar halus tapak kaki saya. Rasa sejuk sangat, dan tajam. Bila saya buka mata, dia ada di situ. Sama macam sebelum ni. Cuma berdiri, memandang saya dengan mata kosong, hitam gelap,”
Ustaz menunduk sejenak, kelihatan berfikir.
“Allahuakbar. Gangguan abah kamu dan kamu semua hadapi ini bukan sekadar biasa-biasa. Ia dah lama bertapak dalam rumah ini, lebih-lebih lagi di bilik Abah kamu. Sebab itu, bila Abah kamu sakit, ia bukan hanya sekadar penyakit fizikal. Gangguan makhluk-makhluk halus ini yang membuatkan badan Abah kamu semakin lemah, dan akhirnya menjadi asbab kanser itu datang,”
Aku hanya mendengar kata-kata Ustaz dengan perasaan bercampur baur—takut, geram, sedih. Aku tahu gangguan ini bukan perkara baru. Abah sendiri selalu menceritakan kisah-kisah seram yang dia alami sejak kami berpindah ke rumah ini.
Aku cuba menenangkan diri dengan meletup-letupkan jari-jemariku sebelum menyambung,
“Ada satu lagi…” Suaraku sedikit bergetar. Gugup pula aku bila ingin bercerita kisah ini.
Mata semua orang yang duduk di meja makan ini terus tertumpu padaku. Kak Long, yang tadi sudah tampak cemas, kini menggigit bibirnya sendiri, mungkin cuba menahan perasaan takut yang semakin menguasai dirinya. Kak Lang pula memeluk tubuh, seolah-olah cuba melindungi dirinya daripada sebarang gangguan yang mungkin muncul.
“Abah pernah cerita,” aku mula dengan perlahan, menatap wajah-wajah yang semakin kelihatan takut di sekelilingku.
“Pada minggu pertama kami pindah ke rumah ini, Abah kena kacau teruk,”
Kak Lang yang tadi berpeluk tubuh, kini melonggarkan pelukannya. “Teruk? Apa maksud kau?”
Aku mengerutkan dahi sedikit, mengingat kembali cerita Abah yang pernah dia sampaikan, lebih dari sepuluh tahun lalu.
“Abah cerita, masa tu Abah terjaga dari tidur dan nampak Emak,” Aku terhenti sejenak, menelan air liur, merasakan seluruh tubuhku meremang.
“Tapi bukan Emak yang biasa Abah nampak. Abah nampak Emak di sebelah dah jadi rangka tengkorak,”
“Astaghfirullah…” Kak Long memegang mulutnya, wajahnya jelas tergamam.
Aku mengangguk perlahan.
“Daging Emak cuma bersisa sikit, melekat kat tulang-tulang. Mata dah tak ada, hanya rongga gelap. Kulitnya yang dulu elok jadi macam plastik cair, menempel sikit kat tengkorak. Abah punyalah terkejut sampai jatuh dari katil,”
Kak Lang yang tadi menggigit hujung jarinya kini terus menahan nafas. Suasana di meja makan itu terasa semakin sunyi. Bunyi cengkerik di luar rumah pun bagaikan terhenti seketika.
“Lepas tu, apa jadi?” Kak Long bertanya dengan nada yang lebih perlahan, seolah-olah tak mahu mendengar jawapannya, tapi tetap tak mampu menahan keinginan untuk tahu.
“Abah keluar bilik, ambil wuduk. Abah cakap, Abah rasa takut gila tapi dia kuatkan hati. Lepas wuduk, Abah duduk di tepi katil, baca surah Yassin tepi Emak,” Aku berhenti sejenak, melihat reaksi mereka.
“Tapi masa Abah baca Yassin, dia dengar suara lain…”
Kak Lang kelihatan semakin tertekan.
“Suara apa? Ish, kau ni! Cerita lah terus. Takyah berhenti henti boleh?!”
“Suara halus. Macam bisikan, tapi jelas. Suara tu ikut bacaan Yassin Abah, satu-satu ayat, diulang macam nak mempermainkan Abah. Sesekali suara tu ketawa kecil. Abah kata, dia rasa macam ada sesuatu tengah berdiri di belakang dia,”
Kak Long menelan air liur, wajahnya pucat lesi.
“Ada benda kat belakang Abah?”
Aku mengangguk.
“Ya. Tapi Abah kuatkan hati, habiskan bacaannya sampai habis. Dia tak pandang ke belakang, langsung tak mahu tengok apa yang ada,”
Kak Lang menggeleng perlahan, seolah-olah cuba membayangkan situasi itu.
“Berani jugak Abah buat macam tu. Kalau aku, tak tahulah…”
“Ha, kau tu kalau dengar bunyi pintu dapur berkeriut pun dah lari!” Kak Long menyampuk, cuba menceriakan suasana, walaupun wajahnya masih cemas.
Kami semua tergelak kecil.
Aku tersenyum nipis, tapi dengan cepat kembali ke nada serius untuk meneruskan ceritaku,
“Lepas Abah habis baca Yassin, keadaan tiba-tiba berubah. Wajah Emak yang tadi jadi rangka, kembali macam biasa. Macam tak pernah jadi apa-apa. Selepas itu, Abah mengejutkan emak dari tidur dan mengajak Emak solat tahajud bersama. Selesai solat tahajud, abah menceritakan apa yang terjadi, dan emak hanya terdiam, macam tak percaya,”
Kak Long dan Kak Lang terkebil kebil memandang aku dan kemudiannya mengalihkan pandangan ke arah Ustaz seolah olah meminta Ustaz memberikan ulasan beliau.
“Tapi Ustaz, kenapa gangguan ni tak pernah berhenti? Apa yang benda tu nak sebenarnya?” Aku spontan memberanikan diri bertanya, walaupun sebenarnya aku sendiri takut akan jawapannya.
Ustaz memandangku dengan mata yang tajam, tapi lembut.
“Memang tugas iblis untuk menyesatkan anak dan cucu cicit Nabi Adam. Dia sudah bersumpah. Tetapi, lagi malang bila ada umat manusia yang mahu bersekongkol dengan iblis laknatullah ini. Kaum kerabat iblis ini dipuja puja. Tangkal yang kamu bakar itulah wakilnya. Dipuja dan diseru untuk mengganggu dan melemahkan Abah kamu,”
Aku terdiam, merenung kosong ke arah lantai.
“Gangguan di rumah ini memang berat. Namun, dengan izin Allah, kita usir semua makhluk ini dan putuskan hubungan mereka dengan rumah ini,” Ustaz cuba memberi kami semangat lagi.
“Saya pun ada cerita di rumah ini,” tiba-tiba Kak Lang bersuara, memecah keheningan di ruang makan.
Wajahnya yang dari tadi kelihatan pucat kini sedikit berubah, seolah-olah dia teringatkan sesuatu. Semua orang memandang ke arahnya, termasuk aku yang sudah terbiasa dengan cerita-cerita pelik di rumah ini. Namun, kali ini, aku tahu Kak Lang akan menceritakan sesuatu yang kami sendiri mungkin belum pernah dengar.
Kak Lang menarik nafas panjang sebelum memulakan ceritanya.
“Hari itu, saya sorang je kat rumah. Korang semua keluar, entah ke mana, saya pun dah tak ingat. Saya malas nak ikut sebab badan rasa penat sangat, jadi saya duduk kat rumah,” Kak Lang memulakan kisahnya dengan suara yang tenang.
Memang aku masih ingat hari itu. Memang kami semua ada urusan masing-masing dan Kak Lang memilih untuk tinggal di rumah. Kami fikir tak ada apa-apa yang pelik. Lagipun, Kak Lang selalu kata dia tak mudah takut. Tapi hari ini, wajahnya tampak lain, seolah-olah ada sesuatu yang benar-benar telah menghantuinya.
“Saya ingat lagi, tengah hari tu saya makan nasi panas dengan ikan goreng sambal tumis, sambal yang Kak Long buat pagi tu. Best betul makan sorang-sorang, aman damai je rumah ni. Tak ada apa-apa gangguan. Hanya bunyi kipas berpusing kat dapur, mengisi ruang rumah yang sunyi,”
Kami semua mendengar dengan penuh perhatian. Kak Long tersenyum kecil, mungkin teringat betapa Kak Lang selalu suka makan bersendiri bila semua orang sibuk di luar. Tapi senyuman itu hanya sekejap sebelum kembali serius mendengar cerita Kak Lang.
“Tiba-tiba, BAMM!!!” Kak Lang sedikit menjerit dan menepuk meja, mengejutkan kami semua yang mendengar.
“Ada bunyi kuat sangat dari ruang tamu, TV kat ruang tamu tu tiba-tiba terpasang sendiri, volume dia pulak macam ada orang putar ke tahap maksimum. Rumah yang tadi sunyi terus jadi bising gila! Suara TV tu bergema satu rumah, macam ada orang sengaja nak bagi terkejut!”
Kak Long memandang Kak Lang dengan mata terbeliak.
“Kau tak pengsan ke? Kalau aku, dah lama lari keluar rumah!”
Kak Lang senyum tawar,
“Masa tu saya memang terkejut habis, hampir jatuh gelas air kat tangan. Jantung macam nak pecah, mulut ternganga, d***h macam tak sampai ke muka,”
“Lepas tu, saya rasa ada yang tak kena. Masa tu saya cuba tenangkan diri, fikirlah mungkin TV tu rosak ke, ada short ke, tapi dalam hati, saya tahu ini bukan masalah short-short,”
Kami semua semakin tertarik dengan ceritanya. Kak Lang menarik nafas perlahan, seolah-olah cuba mengingati setiap detik yang berlaku dengan jelas.
“Bulu roma dah naik masa tu. Tak sedap hati langsung. Tapi saya cuba kuatkan diri, bangun perlahan-lahan dari kerusi, jalan perlahan-lahan ke ruang tamu. Langkah terasa berat, macam ada sesuatu yang tengah memerhati,”
Aku dan Kak Long saling berpandangan. Memang rumah kami agak besar, dengan banyak ruang kosong yang selalu rasa sunyi. Setiap ayat yang Kak Lang ceritakan, seolah-olah dapat dirasakan macam benar benar berlaku.
“Sampai kat ruang tamu, saya nampak TV tu masih bising, tapi peliknya, tak ada siaran. Skrin TV berkelip-kelip, tapi yang keluar cuma bunyi statik yang sangat kuat. Macam ada suara-suara halus bercampur-campur, seolah-olah ada orang tengah bercakap dalam bahasa yang kita tak faham,”
Aku meremang mendengar cerita Kak Lang. Suara halus? Suara-suara dalam TV? Itu memang bunyi yang tak normal.
Kak Lang menyambung,
“Saya cuba nak capai remote TV yang ada kat atas rak TV tu. Tapi masa hulur tangan… TV tu terus terpadam sendiri,”
Ustaz tiba tiba tergelak kecil, cuba mengurangkan ketegangan barangkali.
“TV tu nak main-main dengan kamu kot,”
Namun, Kak Lang langsung tidak ketawa. Wajahnya serius. Jenaka Ustaz tidak menjadi tampaknya.
“Lepas TV tu terpadam, rumah kembali sunyi. Tapi saya tahu saya rasa ada sesuatu yang tak kena,”
Aku faham. Kak Lang memang bukan jenis yang mudah terkesan dengan perkara-perkara pelik. Kalau dia rasa ada sesuatu yang ganjil, memang ada yang tak kena.
“Tapi masa saya nak balik ke dapur, tiba-tiba bau sesuatu. Bau wangi sangat, macam bau bunga kemboja, datang dari arah ruang tamu,”
Aku rasa d***h dalam tubuhku seakan beku. Kak Lang terus bercerita.
“Dan masa saya toleh ke arah sofa, kat situ, kat hujung sofa,saya nampak pontianak,”
“Pontianak jugak?” Kak Long bertanya, wajahnya kini kelihatan benar-benar takut. Tiada lagi jenaka hambarnya.
Kak Lang mengangguk perlahan.
“Dia berdiri, pakai kain batik. Baju putih lusuh, lusuh sangat sampai hampir koyak. Rambutnya panjang, hitam pekat dan hampir mencecah lantai. Dia tak bergerak, hanya berdiri dan memandang dengan mata yang sangat tajam. Muka dia pucat, pucat sangat. Dan dia senyum. Senyum yang buat d***h rasa macam berhenti mengalir,”
Aku cuba menelan air liur, namun tekakku terasa kering.
Kak Lang menyambung dengan suara yang bergetar.
“Lepas tu dia mula bergerak. Tapi bukan berjalan dia macam terapung. Kakinya tak jejak lantai. Dia bergerak datang ke arah saya, perlahan-lahan sambil senyum. Rasa nak jerit, tapi suara tersekat. Bulu roma dah naik habis, tapi saya kaku tak boleh gerak. Air mata ja laju turun,”
“Lepas tu kau buat apa?” Kak Long bertanya, matanya terbeliak.
Kak Lang menelan air liur.
“Saya tak tahu apa yang bagi saya kekuatan, tapi saya terus lari laju laju masuk bilik dan tutup pintu kuat-kuat. Lompat atas katil, baring dan pejam mata kuat-kuat, baca segala surah yang saya tahu,”
Bersungguh kali ini Kak Lang bercerita. Dalam seram, aku mengagumi cara dia bercerita.
“Lepas tu, dia hilang ke macam mana, Kak Lang?” soalku ingin tahu.
“Pontianak tu mula-mula ikut Kak Lang sampai depan pintu bilik! Dia main ketuk ketuk pintu. Macam nak roboh dia ketuk!”sambung Kak Lang bercerita dengan muka separuh takut dan separuh kelakar.
“Nasib baik dia tak ikut masuk baring sekali dekat katil kan?”sampuk Kak Long nakal.
Riak wajah Kak Lang berubah serta merta. Dari sedikit ceria terus tampak takut takut. Kelihatan Kak Lang teragak-agak menyambung ceritanya.
“Siapa cakap dia tak ikut baring? Bila bunyi ketuk pintu dah berhenti, saya rasa lega gila. Lepas tu kan, mula dah bau lagi sekali bunga kemboja. Kali ni kuat sangat. Masa tu saya baring menghadap dinding, saya ada rasa tak sedap hati sangat sebab macam rasa ada orang baring kat sebelah. Sekali bila saya kerling kerling di belakang saya nampak macam dia tengah baring sebelah! Perasan sebab rambut tuuuuu,”hampir menangis Kak Lang menyambung ceritanya ini.
“Haaaaaaaa??” aku dan Kak Long serentak terkejut. Namun, Ustaz tetap tenang tersenyum memandang Kak Lang.
“Lepas tu saya dengar korang pun ramai ramai dah balik dan bagi salam masuk rumah. Serta merta dia hilang. Terus hilang macam tu je. Nasib baik. Sejak kejadian tu memang taklah saya nak tinggal sorang sorang kat rumah ni,” sambung Kak Lang lagi menutup ceritanya.
“Eh, iyalah. Aku ingat hari tu. Aku ketuk pintu bilik kau dan lepas masuk, aku nampak muka kau pucat gila Lang. Aku tanya kenapa. Kau geleng geleng macam nak menangis taknak jawab. Aku pun taknak tanya dah lepas tu terlupa terus nak tanya. Hahahaha,”bilang Kak Long mengingatkan kembali detik detik itu.
“Saya memang taknak bercerita, Long. Dah dekat 5 tahun dah, baru ada kekuatan nak bercerita,”ujar Kak Lang sambil bangun pergi mendapatkan telefon pintarnya.
Cerita-cerita seram kami terhenti di situ pada malam itu. Tetapi malam itu, malam ketika kami tiga beradik dan Ustaz berada di kampung, Emak pula mengalami sesuatu yang lebih menyeramkan—sesuatu yang membuatkan kami terlopong bila mendengarnya.
Malam ketika kami membawa Ustaz pulang ke kampung untuk membersihkan rumah dari gangguan makhluk halus, (Emak tidak ikut serta. Dia tinggal di HUKM menemani Abah yang ketika itu sedang terlantar sakit). Seperti malam-malam sebelum ini, Emak akan duduk di tepi katil Abah, membaca Yassin sambil menunggu Abah tidur. Malam itu tidak ada apa-apa yang aneh pada mulanya, namun suasana mula berubah ketika azan maghrib berkumandang.
Seusai solat maghrib, Emak memulakan bacaan Yassin seperti biasa, matanya tertumpu pada helaian buku surah Yassin itu. Abah pula tidur dengan tenang di sebelahnya. Di tengah-tengah kekhusyukan membaca, tiba-tiba Emak tercium bau yang sangat kuat—bau bunga kemboja yang seolah-olah memenuhi seluruh bilik wad itu. Bau itu menusuk hidung, begitu tajam dan aneh. Emak mengangkat wajahnya perlahan, cuba mencari sumber bau itu. Dan ketika dia mendongak, jantungnya hampir terhenti.
Di sebelah katil Abah, berdiri seorang pontianak. Pontianak itu memakai kain batik yang kusam, dengan wajah yang samar-samar dilitupi rambut panjang. Dia tidak bergerak, hanya berdiri kaku, wajahnya tidak jelas. Emak tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan perasaannya waktu itu. Jantungnya berdegup kencang, kakinya terasa berat dan kaku. Mata Emak terpaku pada pontianak itu, namun mulutnya tidak mampu mengeluarkan suara.
Pontianak itu hanya berdiri di situ, diam. Tanpa sepatah kata, tanpa sebarang gerakan. Emak cuba menelan air liur, tekaknya terasa berpasir. Dia ingin bangun, ingin menjerit, namun seluruh badannya terasa lumpuh. Satu-satunya perkara yang dapat Emak lakukan hanyalah menatap makhluk itu dengan perasaan takut yang amat sangat.
Beberapa detik yang terasa seperti jam berlalu, dan tiba-tiba pontianak itu lenyap. Begitu sahaja, tanpa sebarang tanda atau bunyi. Bau kemboja pun hilang bersama bayangannya. Emak terpaku di tempatnya, peluh sejuk mengalir di dahinya. Walaupun pontianak itu sudah hilang, perasaan seram itu masih ada. Dia tidak berani menceritakan hal itu kepada Abah, yang masih lena di sebelah. Tapi dalam hati, Emak tahu, makhluk yang muncul tadi bukan sekadar ilusi. Itu adalah salah satu dari gangguan yang menghantui rumah dan keluarga kami.
Malam itu juga, Ustaz menutup cerita di meja makan dengan mengingatkan kami untuk tidak meninggalkan solat dan terus berdoa serta jangan sekali-kali mensyirikkan Allah. Dosa syirik tidak akan diampunkan-Nya. Kami semua tahu ini adalah ujian dan gangguan jin syaitan iblis yang mahu menyesatkan umat manusia, dan selagi kita beramal dengan ajaran Islam, insya Allah kita akan dilindungi oleh Allah SWT.
Esoknya, bila kami sudah sampai di KL, Emak menceritakan perkara itu kepada kami. Walaupun kami semua terkejut, namun dalam hati, kami memang benar benar yakin bahawa gangguan yang kami alami bukan sekadar permainan minda atau kebetulan. Mungkinkah pontianak yang dilihat Emak di HUKM itu adalah makhluk yang sama yang bergayut di alang bumbung dan bertukar menjadi jin dan pernah mengganggu aku dan Kak Lang dahulu? Apakah gangguan ini berkait dengan tangkal terakhir yang masih tertanam di bawah rumah? Soalan-soalan itu bermain di fikiran, menambah lagi perasaan takut yang sudah lama bersarang.
Arwah Abah pulang ke Rahmatullah dengan tenang setelah 17 bulan bertarung dengan kesakitan penyakit kanser. Setelah kematiannya, kami adik beradik tidak lagi diganggu dengan perkara perkara aneh dan mistik. Rumah kami di kampung telah pun dijual beserta tanah kebun bersebelahannya. Dan, semoga pelaku yang menghantar tangkal tangkal tersebut diberi hidayah dan petujuk oleh Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Semoga roh arwah Abah tenang di sana dan ditempatkan di kalangan orang orang yang beriman. AL-FATIHAH.
SEKIAN.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit