Kisah seram saya berlaku sekitar 2012 ketika bertugas sebagai pengajar di salah sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur.
Tahun itu adalah giliran sekolah (school/fakulti) kami menjadi penganjur kepada satu program tahunan di kolej. Acara ini melibatkan para pelajar, sudah tentunya, dan diadakan di luar kawasan kolej.
Pada tahun itu, kami mengambil keputusan untuk mengadakannya di Kuala Selangor di salah sebuah kem/hostel di sana. Untuk konteks, saya tidaklah mempunyai ‘keistimewaan’ untuk nampak makhluk halus, tetapi pernah melalui pengalaman ‘ternampak’ semasa di sekolah dahulu.
Sebelum program berlangsung, kami sebagai urusetia melakukan lawatan bagi memastikan semua kemudahan lengkap seperti yang dijanjikan.
Melangkah masuk, tidaklah saya mengalami perasaan seram atau ngeri, biasa sahaja. Semasa perbincangan secara berterus-terang saya bertanya kepada pengurus kem tersebut, “Pernahkah berlaku insiden mistik di sini?”.
Beliau yang agak terkejut dengan soalan saya, tidak terus menjawab, memilih perkataan dengan berhati-hati, “Sepanjang pengetahuan saya, di dalam kawasan ini tidak ada berlaku insiden tu, InsyaAllah sini selamat, kalau di kawasan luar, wallahualam,” sambil tersenyum kelat.
Memandangkan kami juga sudah kesuntukan masa kami teruskan program setelah memastikan semua peralatan, kelengkapan dan kemudahan untuk para pelajar telah disediakan dengan baik.
Sebelum pulang ke kolej, saya meminta izin untuk ke tandas. Ketika ini, perasaan seram mula menerjah memandangkan tandas agak gelap dan ketika itu pula saya sedang dalam keadaan uzur yang ‘heavy’.
Rasa ngeri menjelma, saya teruskan niat, sambil berzikir “Bismillahilazi La Yadurru Maasmihi Shaiun Fil Ardi Wa La Fis Samaaie, Wahuwas Samiul Alim” di dalam hati.
Alhamdulillah, tiada apa yang berlaku.
Tibalah hari program. Permulaannya berjalan dengan baik. Kami berjaya menjalankan semua aktiviti yang telah dirancang.
Setelah semua aktiviti tamat, masa untuk berehat. Rakan-rakan urusetia yang lain dengan pantas tidur lena, tinggal saya terkebil-kebil. Puas memusingkan badan kanan dan kiri untuk mencari rasa mengantuk, namun hampa walaupun siangnya banyak aktiviti yang dibuat.
Mata menggelibas seluruh bilik, atas bawah kiri kanan. Sesekali menjenguk rakan di kiri dan kanan katil (bilik 3 katil bujang), masih tidur lena. Tengkuk sudah mulai panas dan berpeluh dan saya merasakan seperti ada yang memerhati.
Perasaan takut yang teramat menyelubung, mulut tidak berhenti berzikir. Akibat terlalu takut sehingga saya usaha mencari ‘apa’ yang memerhati dengan memandang ke setiap ruang bilik. Orang putih kata ‘to get it over and done with’. Namun saya tidak nampak apa pun.
Menjelang subuh baru saya dapat melelapkan mata. Bangun pagi itu untuk menyempurnakan aktiviti pada hari tersebut.
Semua modul akhirnya berjaya disempurnakan dan kami pulang semula ke kolej.
Semasa berborak-borak santai selepas program, saya bertanya kepada rakan-rakan jika mereka ada mengalami apa-apa insiden seram semasa di sana.
‘Kak, malam tu, saya nampak benda tu banyak kat bawah rumah (bilik-bilik penginapan, diperbuat dari kayu seperti rumah panjang, termasuk bilik yang saya inap). Subuh hari kedua tu, saya nampak akak bertelekung duduk di baris belakang sekali.’
Saya uzur, jadi tidak ke surau, lagipun kan malam tu saya hanya dapat lelap menjelang subuh, memang tidak sedar pun masuk waktu subuh.
Terus d***h naik ke kepala dan teringat betapa ‘berani’nya saya cuba mencari ‘apa’ yang memerhatikan saya di bilik pada malam itu.
Bayangkan jika ia menjelmakan diri. Harupiah!
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit