Antalogi dari seberang (dari penulis ‘orang minyak kunyit’)

Kehadapan pembaca-pembaca sekalian. Selepas kejayaan karya agung ‘Orang Minyak Kunyit’ yang disiarkan pada 30 Januari 2017 (pautan: https://www.facebook.com/fiksyenshasha/posts/401318240210734), aku kembali lagi untuk menulis pengalaman lain yang terjadi pada diri aku. Perlu aku nyatakan dan tegaskan bahawa kisah orang minyak itu adalah benar dan tiada modifikasi penambah perisa dilakukan. Pautan itu aku juga share kepada rakan sekolah serta Jebon; kami puas bergelak tawa dan memaki orang minyak itu beramai-ramai. Namun yang masih menjadi tanda tanya – Jebon ini masih single sampai sekarang walaupun dah cecah 3 series hmmmm…

Aku masih ingat ketika aku menulis kisah orang minyak itu, aku hanyalah seorang penanam anggur yang berjaya, baru bergraduasi dalam ijazah IT dan mencari kerja. Ramai abang-abang dan kakak-kakak telah memberi komen supaya menghubungi mereka. Dipendekkan cerita, 2 minggu selepas itu aku diterima dan dihantar ke negara jiran untuk berkhidmat di sana. Jadi aku ingin berkongsi pengalaman aku sebagai karyawan(pekerja) IT di salah satu perusahaan Surabaya selama 2 tahun sahaja. Maaf, agak panjang penulisan kali ini. Jika ada permintaan lagi, saya akan menulis lagi.

Prolog
Aku membawa satu bagasi dan beg galas saja ke sana. Gembira bercampur gugup, sebatang kara di sana. Penerbangan dijadualkan pada pukul 10:00 pagi, pukul 7:00 lagi aku terpacak dekat sana. Al-maklumlah, tidak sabar untuk menggunakan kemahiran bertutur bahasa Indonesia selepas seminggu ber-marathon beberapa sinetron secara intensif. Aku tiba di bumi Surabaya sekitar pukul 2:00 petang, benda pertama yang aku cari ialah simkad, untuk kemudahan komunikasi. Terus, mengambil khidmat taksi untuk dihantar ke apartment yang telah disediakan oleh perusahaan.

Keadaan apartment begitu bagus, terdapat 20 buah apartment studio (10 buah di tingkat atas dan 10 buah di bawah). Apartment aku ditingkat bawah, nombor 2. Setelah sampai di sana, aku meletakkan beg serta bagasi dan mengemas sedikit, lantas membuka aplikasi Uber untuk pergi sebuah mall yang berhampiran kerana perut sudah kelaparan.

Sampai di sana, aku terus mencari food-court untuk mencari makanan asli Indonesia. Sedikit aneh, aku lihat senarai menu di setiap signboard itu ternyata ada campuran menu halal dan tidak halal, namun pekerjanya aku lihat semuanya bertudung. Yang paling popular adalah bakso vavi/ bihun vavi. Terus putus selera dan nasib sedikit baik kerana ada stall yang menjual makanan Timur Tengah dan penjualnya juga orang Timur Tengah. Maka makanan sulung aku disana adalah kebab dan nasi mandy kambing.

Antalogi 1 – Hantu Guli
Aku pulang dari mall kekenyangan, berbaring melepaskan lelah. Jam menunjukkan waktu sudah senja. Aku bangun lalu membuat sedikit persiapan untuk esok iaitu hari pertama aku ke kantor. Diam tak diam, sudah menjelang tengah malam dan badan mula lesu serta keletihan. Untuk pengetahuan anda, studio yang aku diami ini tidaklah besar dan luasnya mungkin sebesar bilik master, ada bilik air juga katil dan set meja untuk membuat kerja.

Sekitar pukul 2:00-3:00 pagi, aku tersedar apabila terdengar seakan larian lompat kijang dari rumah no.12 tingkat atas. Mungkin penghuninya berbadan besar jadi ada bunyi yang terhasil agak kuat dan terasa gegaran. Aku abaikan dan meneruskan pejaman mata. Minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, aku mula menyesuaikan diri dan berkenalan dengan jiran sekitar namun aku belum pernah bersua muka dengan jiran no.12 hinggalah suatu hari aku sempat bertemu dengan MasJoyo (rumah no.11), seorang pengamen musisi jalanan.

Aku: Mas Jeo Yeo, apa khabar?

Mas Jeo Yoe: Iya baik-baik aja, mari ngopi dulu di warong hujung sana.

Brengs*k, ternyata aku tertipu. Dengan selambanya MasJoyo mengeluarkan ukulele dan memainkan lagu popular saat itu – Surat Cinta Untuk Starla dan menyuruhku menyanyi kerna dia tidak punya uang untuk ngopi. Selepas 2-3 lagu aku men’sumbang’kan, baru Masjoyo berhenti memainkan ukulelenya dan mengajakku untuk mengambil tempat di warong.

Mas Jeo Yeo: Iya order aja apa yang loe mau Pak Haz.

Aku: Bu, mau ayam penyet sama murtabak sama cendol ya!

Mas Jeo Yeo: tuuudiaaaa bakhangg.

Aku: Mas aku mau tanya, kamu kan tinggal di row atas, siapa yang tinggal di rumah no.12.
Seminggu tu ada 2-3 kali dia berlari marathon dalam tu. Hairan juga studio tu kecil, marathon nya macam luas.

Mas Jeo Yeo: Eh loe gila, rumah no.12 enggak ada orangnya, udah 2 tahun Pak Wes meninggal.

Aku terdiam, dan tak banyak lagi menyoal. Hanya lebih fokus kepada ayam penyet dan cendol. Sekarang sudah terjawab persoalan aku, aku fikir hanya di Malaysia saja ada, di Indonesia pun ada juga hantu tingkat atas ni. Selepas habis makanan, aku meminta diri untuk pulang dan didalam perjalanan aku telah berhenti di sebuah toko menjual permainan kanak-kanak lalu membeli sepaket guli (20 biji guli).

Apabila sampai dikawasan apartment, aku terus naik ke tingkat atas dan cuba-cuba mengintai kedalam rumah no.12. Ada sedikit lubang di tingkap kaca yang pecah, jadi boleh melihat ke dalam. Ternyata, didalam sana kosong dan tidak ada tanda ada orang masuk kerana banyak habuk sana-sini. Dengan ruang kecil yang ada di tingkap itu, aku melontarkan satu-satu guli kedalam hingga habis dan terus pulang kerumah.

Seperti yang aku jangkakan, sudah tidak ada lagi gangguan hantu marathon sampailah aku pindah balik ke Malaysia. Ini kerana hantu itu telah bermain guli pula dan ini lebih bagus kerana bunyi lantunan guli yang perlahan dan tidak menggangu.

Antalogi 2 – Hantu Pijat
Industri pijat (urut) juga memainkan peranan penting dikawasan situ. Ini kerana di Surabaya terdapat banyak kilang-kilang yang menggunakan tenaga kasar. Aku yang kerja IT yang duduk atas kerusi empuk 6-7jam sehari ni pun boleh sakit pinggang, inikan pula golongan tenaga kasar yang kena berdiri dan bekerja 12jam. Jadi sakit sendi, sakit urat dan lenguh-lenguh sering ada untuk pekerja. Untuk melegakan kesakitan dan keperitan, khidmat tukang pijat akan dipanggil.
Aku tidak pernah menggunakan khidmat mereka, kerana kulit aku over-sensitive. Aku cucuk pinggang sendiri pun boleh geli, inikan pula untuk benarkan orang lain mengurut. Memang akan auto gelak tak berhenti.

Suatu malam di dalam bilik yang gelap, aku sedang enak berbaring melayan mata untuk tidur. Hanya ada lampu jalan yang masuk di celah bawah pintu. Tiba-tiba aku terdengar ketukan dipintu.

Tukang pijat: Pak, pijat pak.

Aku: Bila masa pula aku order, mesti salah rumah ini (dalam hati)

Tukang pijat: Pak, pijat pak.

Aku: Salah rumah bu, enggak ada order (aku melaung)

Tukang pijat: Betul pak, rumah no.2.

Lalu aku ke pintu, melihat dari lubang pintu (door viewer), aku terpesona.
Jackpot! Tukang pijat ini cantik sekali ni, kalu beginilah aku rela dipijat dan memijat. Aku memandang kebawah untuk membuka chain-lock tetapi aneh. Tiada pula bayang kaki tukang pijat tadi apabila aku lihat di lampu celahan pintu. Bayang pokok yang dibelakang itu ada, tetapi bayang kaki tukang pijat tu tiada. Seharusnya bayang tukang pijat itu ada juga. Aku cuba melihat sekali lagi melalui door viewer namun tidak nampak bahagian kaki, hanya boleh lihat bahagian pinggang keatas saja. Aku juga baru perasan, pakaian tukang pijat itu bukan gaya trend moden, mirip kepada tradisional Bali. Sambil menjawab pertanyaan soalan dalam fikiran, tiba-tiba;

Tukang pijat: Enggak nampak kaki ya Pak?

Aku: Sh*t!

Dia berkata-kata tetapi mulut tidak bergerak. Terus, terasa angin dingin umpama angin dari Alaska menerpa muka dan badan membuatkan aku jatuh tergolek macam nangka busuk. Pantas aku bangun dan membuka pintu kerana ingin mengamuk kerana kejantanan aku tercabar; namun hampa diluar hanya kosong berserta laungan anjing menyalak sahut menyahut sayup-sayup kedengaran.

Antalogi 3 – Santet
Tempat aku bekerja adalah sebuah kilang, memuatkan lebih 4000 karyawan bermula dari tenaga kasar hinggalah tenaga professional. Disana, foreigner ada dalam 10-20 orang namun kesemua mereka memegang jawatan yang besar. Bila aku berjalan di kawasan kilang, para pekerja lain semua menunduk hormat kepada aku. Mereka tahu dan cakap muka aku ini bukan muka orang Indonesia. Mungkin masa itu aku masih jambu dan kacak, tetapi bukan ini aku ingin membahaskan dan janganlah kita bergaduh. Di dalam pemikiran mereka, orang foreigner ini adalah yang memegang jawatan besar walhal hanya aku yang tersesat, hanya eksekutif biasa, siap package fresh-graduate lagi.

Lama-kelamaan aku mula berasimilasi, aku lebih suka berkawan dengan pekerja bahagian pembuatan kerana mereka ini ada 2 golongan. 1 ialah golongan yang muda (umpama baru habis SPM) dan juga 1 lagi ialah golongan yang tua (60 tahun keatas). Golongan muda biasanya hanya sekejap saja kerja sementara tunggu panggilan ke pengajian tinggi, tetapi golongan tua ini biasanya ada 5-10tahun sudah bekerja disana.

Setiap kali waktu makan tengahari, kilang akan membunyikan siren untuk memberitahu yang mesin akan mula dihentikan dan pekerja boleh mula rehat. Aku suka turun ke pantry bahagian pembuatan kerana disana lebih feel sambil mendengar cerita-cerita mereka berbanding ke pantry bahagian atas yang lebih suka bercakap mengenai politik pejabat dan kerja.

Suatu hari, sedang enak menikmati juadah nasi padang tiba-tiba seorang pekerja baru datang ke pantry dan membuka peti ais lalu meminum air kotak yang ada didalamnya. Belum sempat dia keluar dari pantry, tiba-tiba dia berkata yang dia sakit perut lalu terus muntah d***h di lantai dan terus tidak sedarkan diri. Pihak safety telah datang dan terus memanggil ambulans untuk dihantar ke rumah sakit. Selang 2-3hari, aku mendapat perkhabaran yang pemuda itu telah meninggal dunia.

Seminggu kemudian, aku turun lagi ke pantry bahagian pembuatan. Sambil menjamu selera, aku mula bertanya kepada salah seorang senior disana yang dikenali sebagai Pak RejoAlgojo.

Aku: Pak, yang kelmarin meninggal itu kenapa ya, apa sudah expired es jeruk yang diminum?

Pak Rejo: Bukan pak, itu terkena kiriman santet. Sihir.

Aku: Kok bisa?

Pak Rejo: Disini emang begitu pak, kalau ngambil barang tanpa ijin, bisa terkena. Semua barang ini ada penjaganya. Jangan suka-suka ambil. Dua bulan lepas udah jadi sekali, mencuri roti yang di punya orang.

Aku: Takutlah kalau begitu.

Pak Rejo: Enggak usah takut Pak, enggak ada buat salah.

Selepas itu aku pergi ke komputer, terus akses pangkalan data pekerja dan mencari nama pemuda yang meninggal. Aku lihat di sistem telah dilabel sebagai ‘m**i mengejut’ lalu aku filter lagi berapa ramai lagi yang ‘m**i mengejut’ 12 bulan yang lepas. Resultnya menakutkan, lebih kurang 30 orang meninggal atas sebab yang sama. Sejak dari itu aku mula berhati-hati dalam pertuturan juga tidak mengambil barang orang sesuka hati. 2 tahun berkhidmat di sana, aku melihat hampir setiap bulan ada kes sebegini, moga dijauhkan.

Epilog
Meja aku dikantor menghadap tingkap dan dari situ aku dapat melihat pagar utama untuk keluar masuk ke kawasan kilang. Pagar itu lebih kurang 3-4meter saja luas, disitu lah lori, kereta, motosikal, basikal dan pejalan kaki keluar masuk. Setiap kali waktu shift bertukar atau waktu pulang, aku akan dapat melihat suasana yang aku tak boleh brain sampai sekarang.

Pada waktu pulang, aku rasa ada lebih kurang 2ribu orang menggunakan pagar tersebut dan ditengah-tengah pagar itulah adalah pedagang bakso dengan stallnya parking disitu, pedagang jamu lagi dan lain-lain. Yang aku tak boleh terima lagi ada pula yang memberhentikan kenderaan mereka dekat situ untuk membeli dan menunggu. Sudahlah jalanraya pun macet(traffic jam), nak keluar pagar pun macet. Aduhh

Abe Haz

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 12 Average: 4.9]
Abe Haz

2 thoughts on “Antalogi dari seberang (dari penulis ‘orang minyak kunyit’)”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.