assalamualaikum dan salam perpaduan. Nama pena aku Min. Aku akan kongsikan kisah seram aku semasa zaman budak-budak dulu.
Kisah ni tidaklah seseram mana pun. dari dulu hingga sekarang dah umur senja ni, baru dua kali aku alami peristiwa pelik. Aku tinggal di sebuah daerah di sarawak. tempat aku ni dekat ngan sempadan Sipitang, Sabah. aku ada 5 orang adik beradik. dan aku adalah anak yang Sulung.
Pada satu subuh, sekitar jam 3-4 gitu, aku terbangun dari tidur. Oleh kerana susah melelapkan mata, aku ke dapur untuk minum air suam. Masa ni umur aku 11 tahun kalau tak silap. Bila ku menjenguk ke luar tingkap, tiba-tiba aku ternampak satu benda bulat bercahaya terbang di atas langit. Aku ingatkan bulan. Tapi takkan bulan pandai bergerak laju.
Bila ku tegur benda tersebut, tiba-tiba ianya hilang begitu saja. Dan pandangan aku terus tertumpu pada bulan sabit. Aku ingatkan ianya bertukar menjadi bulan sabit. Rupa-rupanyanya bulan sabit terlindung disebalik “bola bercahaya” berkenaan. Aku mula rasa cuak. meremang bulu roma. Tidak lama selepas tu, aku dengar bapa aku dari dalam bilik pula sedang mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Ketika ini perasaan takut mula merasukiku. Hairan juga tiba-tiba sahaja ayah membaca al-quran. Aku berlari masuk dalam bilik dan kemudian berselimut menutupi seluruh tubuhku. Agak lama juga baru aku dapat lelapkan mata pada malam tu. Takut punya pasal.
Menurut orang tua-tua, bebola api tersebut merupakan hantaran jahat seseorang. Ianya akan terbang menuju ke tempat yang telah disasarkan. Kenapa ianya terpadam dan lenyap begitu saja apa bila aku menegrnya.? Kononnya, hantaran tersebut tidak akan menjadi apabila ada orang nampak lalu menegurnya. Maksud menegur di sini adalah kita berkata-kata sendirian atau kepada orang lain tentang bebola tersebut. Contohnya, ” bola api” atau apa2 bentuk teguran. Bila ditegur, hantaran jahat tersebut konon-kononnya tidak menjadi. Persoalannya, adakah ia hantaran orang atau pun adakah ianya komet.? Selepas dari peristiwa tersebut, Aku tidak pernah lagi melihat benda-benda pelik sehinggalah aku dewasa.
Peristiwa kedua pula berlaku semasa Bulan Puasa. Masa ni aku dah berumur 18 tahun. Malam tu aku tinggal sorang di rumah. Ayah dan adik-adik ku tiada. mereka ke surau solat Tarawih. Aku tidak dapat ikut solat Tarawih kerana datang h**d. Malam tu aku duduk dalam bilik. nak tengok tv tiada mood. Aku baring-baring sambil baca buku cerita.
Dulu phone android belum ada lagi. Sekarang ni kalau boring, bolehlah buka phone dan main game atau buka facebook, atau layan grup-grup wasap. Dulu yang ada pun hanya phone rumah. Nak call kawan-kawan tapi mereka pula tiada phone rumah. Untuk menghilangkan rasa boring, aku baca buku sementara menunggu ayah dan adik-adik balik dari Tarawih.
Sedang aku sibuk membaca buku, tiba-tiba aku dengar tapak kaki berjalan dalam rumah. Aku ingatkan ayah dah balik dari tarawih. “Ayah dah balik, awal juga ayah balik?” tanyaku dari dalam bilik. Tapi tiada sesiapa yang menjawab. “Ayah tak dengar suara aku ni” Aku bermonolog.
Bunyinya cukup jelas. Bukan perlahan dan bukan juga kuat. bunyi seperti biasa apabila orang berjalan. Biasalah rumah kayu. kalau ada orang berjalan pasti jelas sangat kedengaran. Aku intai disebalik lubang-lubang kecil di bilikku. Bunyi tapak masih kedengaran tapi tiada siapa kelihatan. “Mungkin ayah dah balik dan terus masuk ke bilik dia”. aku pujuk hati.
Lantas aku keluar dari bilik untuk memastikan siapa yang berjalan dalam rumah. Aku terus menuju ke dapur kerana bilik ayah bersebelahan dengan dapur. Aku tengok bilik ayah masih tertutup. Pintu utama pula masih tertutup rapi dan terkunci. Walaupun bulan puasa ketika itu, tapi rasa takut tidak dapat dihalang. Aku mulai rasa seram dan mau saja aku lari keluar rumah. Tapi nak lari ke mana.? kalau lari ke rumah makcik di seberang jalan, risau benda tu mengikuti aku. Aku pun masuk semula ke bilik dan duduk diam.
Masa tu aku berharap sangat agar ayah dan adik-adik segera balik. Aku dah tak tahan menahan siksa ketakutan. Badan aku dah berpeluh-peluh. Angin kipas pun tidak mampu menahan titisan peluh dii badanku.
Selang dalam 10 minum begitu, pintu diketuk dan kedengaran suara ayah memanggilku. “Alhamdulillah”, aku menarik nafas lega. Aku menuju ke pintu dan segera membuka pintu. Bila ayah nampak wajah aku pucat, dia terus bertanya apa yang terjadi. Aku pun menceritakan kepada ayah tentang bunyi orang berjalan di dalam rumah semasa ketiadaan mereka.
Ayah hanya tersenyum dan meminta aku untuk menyediakan makan malam. Semasa makan, ayah memberitahu mungkin bunyi tapak tersebut hanya khayalan aku saja. Aku tahu tujuan ayah berkta demikian supaya aku tidak rasa takut. “Mana ada hantu bulan-bulan puasa ni” terang ayah. Aik-adik aku pula memandang aku sambil melemparkan senyuman sindir. “Mau kena budak-budak ni” bisik hatiku.
Selepas makan, aku dan adik-adik sambung tengok tv di ruang tamu. Tepat jam 10 malam, ayah keluar dari bilik dan mengarahkan kami semua masuk tidur. Aku ajak adik bongsu aku untuk menemani aku pada malam tu.
Siapakah yang berjalan berlegar-legar di ruang rumah aku pada malam tu. ? sehingga kini aku masih tertanya-tanya tentang bunyi tapak org berjalan tersebut.
Sekian dan terima kasih. Maaf andainya kurang seram dan ada kesalahan-kesalahan bahasa dan tatabahasa. Wassalam.
***Kisah yang diceritakan oeh Min kepada Ato. Ianya diceritakan semula atas kebenaran Min sendiri.