Arghhhhhhh!!! Hishhh! Hishhh!! Hishhhhh!!!
Pada hari Ahad, 7 April 2001, di waktu malam ketika detik jam 12:00 — di bilik A7 di asrama Blok-A digemparkan dengan hilai tawa Pontianak!
Benarkah makhluk seram bernama Pontianak ini wujud?
Untuk menjawab soalan ini — Angah, Bob, Eid, Hai, Izz, dan Zul adalah anak-anak muda yang layak — bukan sahaja menjawab persoalan Pontianak malah, merungkai misteri kewujudan makhluk seram bernama manja Datin Seri Seharum Malam (Pontianak).
Kisah seram ini diceritakan semula oleh Eid ketika anak teruna ini mengimbau kembali nostalgia menuntut ilmu di baitulhikmah di Sagil, Muar.
Ohh… janganlah dilupa kepada peristiwa dramatik pada 31 October 2003 — baitulhikmah ini adalah sebahagian daripada tanda wawasan 2020 Dr Mahathir Mohamad yang mengosongkan kerusi Perdana Menteri pada tahun 2003 penghujung bulan October 31 — kebetulan pula Ahmad Azhar Othman (Awie Wings) memiliki bait-bait lagu: Tragedi Oktober.
Jarak di antara tahun 2003 tolak 2001 perbezaannya dua tahun — budak darjah lima boleh dapat markah penuh menjawab soalan matematik ini. Pada tahun 2001, 7 April — anak-anak muda di bilik A7 sungguh seronok kerana dapat menimba ilmu di baitulhikmah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sagil, Muar.
Setiap kali Cik Dira selesai mengajar — anak dara ini akan memandu keretanya keluar dari pintu gerbang yang terpampang tulisan besar di hadapan baitulhikmah bertitipkan nama ILP Sagil — anak dara ini adalah pensyarah IT paling mongel di ILP.
Ketika keretanya dipandu menuju ke rumah sewanya di pekan Sagil — anak dara mongel ini akan tersenyum manis memandang singgahsana rumah hikmah tatkala di alaf 2001 harga tambang bas hanya RM1.00 jika penuntut di baitulhikmah ini ingin menziarahi mahligai terindah di Gunung Ledang tempat bersemayamnya Puteri Gunung Ledang — sejarah termasyhur di alam Melayu hingga orang-orang tua di Sagil mempercayai — pahlawan kekar lagi gagah bernama Hang Tuah, cuba meredah hutan belantara dari kaki gunung hingga ke puncak bersama rombongan peminangan Sultan Melaka untuk melamar Puteri Gunung Ledang, malangnya pahlawan termasyhur ini sudah terlalu tua termengah-mengah ketika mendaki, akhirnya Hang Tuah terdampar di pertengahan jalan, tidak dapat mengetuai rombongan ini, seterusnya rombongan ini diambil alih oleh Tun Mamat hingga ke puncak gunung — sejarah termasyur ini pernah dilakonkan oleh Tiara Jacquelina sebagai Puteri Gunung Ledang yang mongel dan seksi seperti mongelnya geliang-geliut p******g Cik Dira ketika melintasi makmal IT.
Sekitar tahun 2001, baitulhikmah di ILP Sagil masih mengekalkan nama Sagil di belakang akronim ILP — kini pada tahun 2019, ILP Sagil sudah bertukar kepada nama ILP Ledang.
Pabila nama Ledang ini dikahwinkan dengan ILP — nescaya Puteri Gunung Ledang tidak sesekali ingin datang merasuk anak-anak dara yang menuntut ilmu kerana puteri mongel ini mahu cucu-cucu keturunannya menjadi manusia yang berserderhana — jangan terlalu yakni seperti yakinnya nafsu Sultan Melaka hingga sanggup memporak-perandakan rakyat jelata hanya kerana tergila-gila ingin memiliki àin yang mustahil dimiliki.
Sirah riwayat Puteri Gunung Ledang tersangat panjang untuk diperincikan — dipanjatkan doa kepada Tuhan Yang Maha Esa, moga-moga ada penulis yang akan menulis riwayat puteri mongel ini dalam versi membangkitkan ketagihan kepada sastera klasik Melayu hingga, anak-anak muda di alaf telefon pintar ini berbondong-bondong ingin berebut-rebut membaca catatan sejarah kecanduan berulamkan ganja di dalam sastera hikayat Melayu.
Wajib diketahui, selepas setahun alaf millenium (2001) — sesungguhnya di alaf 2001 ini, telefon pintar skrin sesentuh belum wujud — ini bermakna, anak-anak muda di bilik A7 di asrama Blok-A tidak memiliki budaya tergedik-gedik berselfie — justeru, anak-anak muda yang datang dari negeri berbeza-beza, menghuni bilik A7 tidak memiliki gambar-gambar kenangan bersama member-member sebilik.
Disebabkan tidak memiliki gambar kenangan bersama member-member sebilik, diharapkan struktur rekabentuk bilik A7 di bawah ini dapat menjelmakan kembali nostalgia ketika menentut ilmu di baitulhikmah ILP Sagil.
% % % % % % %
@ [3]# [2]# [1]# %
% ← RB → X
@ [4]# [5]# [6]# %
% % % % % % %
Simbol (%) merujuk kepada dinding. Simbol (@) merujuk kepada tingkap. Simbol (X) merujuk kepada pintu. Simbol (#) merujuk kepada gerobok besi. Nombor [1] hingga [6] merujuk kepada katil. RB merujuk kepada ruang mundar-mandir di dalam bilik.
Asrama di Blok-A ini berlapis-lapis setinggi tiga tingkat — bilik A7 berada di lapisan tingkat kedua di Blok-A.
Di katil bujang bernombor [1] ianya menjadi ranjang bergolek terlentang untuk Si Teruna bernama Angah (anak muda dari Kuala Lumpur).
Di katil bujang bernombor [2] ianya menjadi ranjang bergolek terbongkang untuk Si Teruna bernama Bob (anak muda dari Nogori Sombilan).
Di katil bujang bernombor [3] ianya menjadi renjang bergolek tertonggeng untuk Si Teruna bernama Eid (anak muda dari Batu Pahat).
Di katil bujang bernombor [4] ianya menjadi ranjang bergolek terjongkang untuk Si Teruna bernama Zul (anak muda dari Selangor).
Di katil bujang bernombor [5] ianya menjadi ranjang bergolek terpongkang untuk Si Teruna bernama Izz (anak muda dari Segamat).
Di katil bujang bernombor [6] ianya menjadi ranjang bergolek terpongking untuk Si Teruna bernama Hai (anak muda dari Muar).
Semua penghuni teruna di bilik A7 ini adalah anak-anak muda Muslim — mereka tidaklah warak seperti Pencetus Ummah, tetapi mereka memang hafal surah Al-Fatihah — jikalau tidak hafal surah Al-Fatihah, nescaya terbatallah solat.
Selepas tiga minggu selesai pesta orientasi — lima penghuni di bilik A7 ini menjadi manusia paling jakun, pabila melihat Angah mengeluarkan bermacam-macam khazanah ajaib daripada beg pakaiannya ketika dilonggokkan di atas katil — al-maklumlah Angah ini anak muda dari KL, tentulah mamat ini terlebih canggih mengatasi member-member sebilik dalam bab gadget abad ke-21.
Hai : Angah! Apa benda ni — nampak macam kotak tembakau jer?!
Angah : Ohh… ini bukan kotak tembakau — dalam ni ada bermacam-macam pisau pelbagai guna.
Bob : Angah! Apa benda ni — nampak macam seterika jer bentuknya, kenapa seterika ni nipis sangat?!
Angah : Ohh… ini bukan seterika — ini tapak untuk menjerang air — ini cereknya — Omputeh panggil kettle.
Zul : Angah! Apa benda ni — nampak macam batu lesung jer bentuknya?!
Angah : Ohh… ini bukan batu lesung — ini lampu LED — lampu suluh jimat voltan.
Eid : Angah! Apa benda ni — nampak macam pengorek pensel jer bentuknya?!
Angah : Ohh… ini bukan pengorek pensel — ini jam loceng — ada bermacam-macam bunyi dalam jam loceng ni — bunyi siren ambulans, siren polis, siren kereta api, siren tongkang karam, siren kapal terbang terhempas, siren meriam buluh, bunyi siren kentut kerbau pun ada.
Terkebil-kebillah mata mereka melihat bermacam-macam khazanah ajaib yang baru dikeluarkan daripada beg pakaian anak muda dari KL ini.
Eid : Angah! Kau ni ada pelihara binatang ajaib — Doremon ker?
Angah : Hahahahahaha!
Terkekeh-kekeh Angah ketawa pabila mendengar soalan kartun Doremon terpancur dari mulut Si Eid.
Di ILP Sagil — Eid menuntut ilmu kejuruteraan komputer, mamat ini memang minat sangat kepada kerumitan/sofistikated sistem operasi komputer, binary sistem 1 dan 0 — tup tup tup terlihat pula khazanah yang baru dikeluarkan dari beg pakaian kepunyaan anak muda dari KL ini — terbayang di dalam kepalanya, Si Angah ini memiliki robot binary kucing tembam — Doremon.
/Babak seram ilai tawa Pontianak/
Pada jam 11:00 malam, 7 April 2001, semua penghuni bilik A7 tidak terperap di dalam bilik kerana mereka semua gemar duduk melibur berhuha-huha di koridor tangga bersama jiran-jiran bilik sebelah-menyebelah.
Ketika ramai-ramai sedang seronok berhuha-huha — tepat pukul 12:00 malam, terdengar kuat ilai tawa suara perempuan — masing-masing yang sedang duduk berbual di koridor serta-merta terdiam membungkam pabila terdengar kuat ilai tawa seram dari rongkong suara perempuan.
Blok-A adalah asrama yang dikhaskan untuk pelajar lelaki, dari mana pula datangnya ilai tawa suara perempuan yang kuat di blok ini?
Masing-masing yang sedang seronok bersidai di koridor terus terdiam, cuak, dan meremang pabila ilai tawa suara perempuan ini tiba-tiba nyaring mengilai-ilai.
Semua penghuni di bilik A6, A7, A8, dan A9 memang menjadi rutin di waktu malam mereka pasti duduk berkumpul reramai di koridor, tetapi malam ini suasananya sungguh meremangkan kerana mereka semua merasa cuak ketika terdengar ilai tawa perempuan di tingkat dua.
Masing-masing cuba menyembunyikan ketakutan diri acah-acah hendak menyiasat daripada mana datangnya ilai tawa perempuan mengilai-ilai ini?
Melihat masing-masing sedang cuak — terpaksalah Izz memberanikan diri, waima dirinya sendiri berderau macam nak tercabut injap di jantungnya.
Si Izz ini bukanlah tahu sangat bab-bab menghalau hantu — disebabkan semua kawan-kawannya cuak mengalahkan takutnya kepada pisau Tok Mudim yang berkilat tajam, pernah memotong kulup di belalai mereka — terpaksalah Si Izz ini menjadi bidan terjun bagaikan Raja Bomoh 1Malaysia penghalau hantu.
Ketika kedengaran ilai tawa perempuan di tingkat dua ini — suasana koridor di tingkat ini cahayanya berbelam-belam kerana tatakesusilaan di asrama mewajibkan lampu penghuni di bilik-bilik asrama dipadamkan pabila jam menginjak ke detik 10:30 malam — lampu yang menyala selepas detik 10:30 malam hanyalah di tangga, di hujung koridor, dan di bilik air.
Oleh kerana ilai tawa perempuan di tingkat dua sekarang ini sedang kuat mengilai-ilai — Izz memberanikan diri menjadi Raja Bomoh untuk menyiasat.
Izz : Eid! Bob! Jom ikut aku cari dari mana datangnya suara Pontianak ni!?
Eid : Kau jangan berani sangat Izz — kena sampuk kang.
Izz : Kau ikut jer larr — takkan nak biarkan Pontianak bermaharajalela menakut-nakutkan kejantanan kita.
Izz mula melangkah dan diekori oleh Eid, Bob serta kawan-kawan dari belakang — mereka semua berjalan sambil memasang telinga dari hujung koridor menuju/mendekati ke sasaran ilai tawa Sang Pontianak yang tidak berhenti mengilai-ilai di tingkat dua ini.
Ketika Izz serta kawan-kawan yang mengekori dirinya daripada belakang menghampiri ke bilik A7 — kedengaran kuat ilai tawa Pontianak di dalam bilik ini — pintu bilik ini pula tertutup rapat.
Izz : Eid! Arr mampus — Pontianak bertandang dalam bilik kita — arr jahanam-jahanam!
Eid : Ishhh… macam manalah Pontianak boleh masuk dalam bilik ni?
Hai : Tingkap tak tutup kot.
Eid : Bilik kita ni memang tingkap tak pernah tutup.
Bob : Perghhh! Kali pertama ni aku dengar Pontianak mengilai.
Angah : Aku pun sama — seram woo.
Zul : Macam mana ni — Pontianak ada dalam bilik kita ni — siapa berani halau?
Pabila mengetahui ilai tawa Sang Pontianak datang dari bilik A7 — penghuni di bilik A6, A8, dan A9, masing-masing meluru masuk ke bilik masing-masing, tetapi kepala masing-masing masih terjulur keluar memerhatikan ke arah bilik A7 — Izz dan Eid serta member-member sebilik menggigil-gigil berdiri berhampiran pintu bilik mereka yang didatangi oleh makhluk puaka tidak berjinjang ini.
Dalam keadaan cuak menggigil-gigil ini, tup tup tup anak muda dari Segamat ini memberanikan diri untuk menyelesaikan onar ranjau bersiung terkekek-kekek mengilai-ilai tertawa seperti Maya Karin dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam.
Izz : Rileks, rileks, aku tahu macam mana nak halau Pontianak.
Masing-masing terkebil-kebil memandang ke arah Izz yang mula mengambil tempat berdiri di hadapan pintu bilik, lagaknya seperti seorang pahlawan bersemangat kekar, gagah, perkasa membuak-buak berani.
Ketika Izz berdiri di hadapan pintu bilik, tup tup tup anak muda dari Segamat ini mengangkang kedua-dua pahanya sambil melenggok-lenggokkan kedua-dua tangannya membuka bunga-bunga silat disertai sekali bacaan mantera jampi.
Izz : Tak kurisau atau sasau — takut kalau untuk menjangkau. Tak kujeran atau seram — biar lawan gagah bak syaitan. Tujuh gunung, tujuh laut, tujuh rimba, aku seberangi — alam kosong, alam misal, alam khayal, dah kutinggalkan. Pahit maung, sirih pinang, kapur gambir, habis kukunyah — ular sawa, cicak kubing, naga sakti, aku tak gentarrr!!!
Ilai tawa Pontianak di dalam bilik masih lagi kedengaran ketika Izz menghambur lantang bait-bait jampi-jampahnya.
Mendengar sahaja jampi-jampah yang terhambur dari mulut Izz, masing-masing terhinggut-hinggut bahu menahan ketawa ketika melihat mamat ini membuka bunga-bunga silat sambil lantang menghamburkan mantera mahupun jampi-jampahnya sebentar tadi.
Eid : Woi! Kau menyanyi lagu ker — kau baca jampi?
Izz : Aku baca jampi larr!
Eid : Yang kau baca tu bukan jampi — itu lag…
Belum sempat Eid menghabiskan kata-katanya — Izz terus meluru masuk ke dalam bilik ketika masih lagi kedengaran kuat ilai tawa Sang Pontianak.
Ketika Izz meluru masuk — masing-masing serentak menjerit: “IZZzz!!!!! Woooi!!!”
Masing-masing menjauhi pintu bilik pabila terdengar teriakan suara Izz: “Arghhhhhhh!!! Hishhh! Hishhh!! Hishhhhh!!!” anak muda dari Segamat ini bersilat di dalam bilik yang sudah tertutup pintunya — terdengar juga tepuk tampar Si Izz ini bersilat.
Tup tup tup terdengar katil diterajang, terdengar juga gerobok besi berdentum terhempas, terdengar juga suara Izz bertempik: “Arghhhhhhhh!!!” Dum! Damm! Dummm! Dammmm! Berdentum-dentam bunyi katil, gerobok besi, dan pintu bilik diterajang, ditumbuk, ditempeleng, didebik, ditampar, dibeduk, dipelangkung dari dalam — ilai tawa Pontianak masih lagi nyaring mengilai-ilai mencabar kegagahan serta mentertawakan keberanian Izz yang membuak-buak.
Bunyi dentuman serta dentaman di dalam bilik ini teramat pantas, tup tup tup tidak lagi terdengar bunyi dentuman: “Dum! Damm! Dummm! Dammmm!” Tidak juga terdengar suara tempikan Izz: “Arghhhhhhh!!! Hishhh! Hishhh!! Hishhhhh!!!” berpencak silat.
Tup tup tup pintu bilik A7 dibuka daripada dalam dan keluarlah anak muda ini lagaknya seperti seorang pahlawan bersemangat kekar, gagah, perkasa lagi berani yang baru sahaja selesai termengah-mengah berpencak — terlihatlah raut mukanya kelihatan garang membuak-buak marah bagaikan tersampuk syaitan — ketika Izz keluar, ilai tawa Pontianak masih lagi galak mengilai-ilai tanpa henti.
Sesudah keluar daripada bilik — Izz berdiri di hadapan pintu sambil memerhatikan member-member sebilik yang agak jauh — menjauhi dirinya.
Tup tup tup Izz menoleh kepalanya ke kiri memandang ke arah pintu bilik A8 — serta-merta penghuni di bilik A8 yang terjuntai kepala mereka terjengah-jengah di sebalik bingkai pintu — pantas memperesukkan kepala mereka ke dalam bilik seperti kuru-kura di tepi sungai Muar — berdesup cepat-cepat mereka menutup pintu.
Izz pantas menoleh semula ke arah kanan memerhatikan member-member sebilik — Eid, Bob, Hai, Zul, dan Angah yang agak jauh mengundurkan diri mereka menjauhi kebengisan raut wajah di muka Izz yang kelihatan garang dan bersedia untuk mengamuk marah.
Tup tup tup suara Izz menjerkah lantang bagaikan halilintar menyambar bumi — terjegil mata member-member sebilik melihat Izz menjerkah mereka yang sedia cuak ini sedang menggigil-gigil ketakutan di koridor.
Izz : Arghhhhhhhh!!! Kenapa permainan ni mengilai-ilai? Hawaw!!!
Terkebil-kebil mata mereka melihat di tangan Izz tergenggam jam loceng yang memiliki bermacam-macam bunyi kepunyaan Si Angah.
Ye! Ilai tawa Sang Pontianak ini datang dari jam loceng — berbakul-bakul carutan terhambur untuk Si Angah hingga anak muda dari KL ini tidak mampu menepis carutan dari belalai lelaki yang terjuntai hingga ke biji di celah kelengkang perempuan pun terpancur di mulut mereka — mentabrak cuping telinga Si Angah — berdesing-desing.
Sesudah terhambur berbakul-bakul carutan untuk Si Angah — mereka semua berdekah-dekah ketawa sambil menggayakan bunga-bunga silat, bacaan jampi-jampah XPDC serta bertempik: “Arghhhhhhh!!! Hishhh! Hishhh!! Hishhhhh!!!”
Sekian sahaja kenangan lucu penuntut-penuntut ILP Sagil, Muar, ketika berhadapan dengan peristiwa seram, ilai tawa Sang Pontianak. /// Feb 18, 2019 / Penulis Tepak Kemenyan /
aku tak paham sepatah haram kau ckp.. sorry klu yg silap tapi cara kau tulis tak proper sgtlahh…
PLS BETULKAN PERKATAAN YE TQ 😀 !!
lawaknyela…hahaha..sakit perut gelak..walau ayat memeningkan,tapi cite kelakar.hahaha.
kah3. .ntah pape pny lawak ar kn. .siyes la weyh. .wlaupn ayt bikin pening kpale tp ngn gigih aku abeskn bce. .har3. .t.t. .
Pening baca.
Skipped.
Kelakar giler….
banyak sangat merapu benda yang tiada kaitan dengan cerita. tulis diari sendiri boleh la macam ni
Ak yg baca ni tergelak sakan. Hahahahhaha mmg kelakar lh. Hahahahahha angah tu mmg ngok btol lh hahahhha
hahahaha penat gelak..