ASKAR TANPA KEPALA

ASKAR TANPA KEPALA

Assalamualaikum semua pembaca, Nona Manis di sini. Terima kasih FS sebab sudi siarkan kisah seram kedua yang aku tulis di sini.

Kisah kali ini aku hendak ceritakan mengenai pengalaman seram yang jiran aku lalui. Kalau semua hendak tahu, jiran aku ini merupakan seorang warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan. Waktu bekerja dia pula bermula jam 4 pagi setiap hari. Mengupas bawang, menyiapkan rencah masakan dan mengemas kedai adalah antara ruang lingkup kerja Makcik Sastri.

Kebiasaannya, Makcik Sastri akan keluar rumah pada jam 3 pagi untuk berjalan kaki menuju ke hentian bas untuk menunggu van yang disediakan tauke kedai. Makcik Sastri akan berjalan lebih kurang 20 minit setiap pagi untuk sampai ke hentian bas dan perjalanannya pula memang akan menempuh kawasan kuburan dan sungai.
Suatu pagi, jam lebih kurang 3.15 pagi sedang Makcik Sastri berjalan sendiri melintasi kuburan, dia terdengar bunyi sosok sedang berjalan di belakangnya merapat. Jauh di sudut hati Makcik Sastri berasa sedikit lega kerana ada juga peneman dia berjalan ke hentian bas awal pagi itu.

Namun, hatinya sedikit gusar, seram pun ada sebenarnya memandangkan derap kaki di belakangnya semakin menghampiri, laju seolah-olah sedang mengejar sesuatu di hadapan. Difikirannya hanya satu, cubaan merompak! Dipegang erat bag sandangnya dan dikemaskan kaki dan tangan supaya jika terjadi apa-apa dapat sekurang-kurangnya dia bertindak.

Zussss! Angin menerpa wajah Makcik Sastri, sejuk. Sekaligus terasa seperti seseorang melintasinya. Sedikit lega dan kini sosok tubuh orang yang melintasi Makcik Sastri kelihatan begitu jelas di mata. Lengkap berpakaian seperti seorang askar. Dari kepala sehingga ke kaki. Pelik, namun Makcik Sastri abaikan memandangkan memang terdapat Kem Askar berdekatan dengan kawasan hentian bas yang hendak dituju.

Tidak sampai seminit sosok tubuh tersebut melintasi Makcik Sastri satu pemikiran jahat muncul di dalam otak Makcik Sastri yang sedang ligat berjalan mengejar sosok tubuh tadi dengan harapan dapatlah dia teman bersaing sekurang-kurangnya sampai di hentian bas nanti.

‘Eh, kalau askar kenapa dia seorang sahaja? Kalau pun jogging pagi-pagi buta ini, mestilah beramai-ramai!’ getusnya. Dia pula memang cukup rapat dengan sosok tubuh tadi sehingga ternampak jelas pakaian askarnya.

‘Allah, macam pakaian askar zaman dahulu sahaja?’ berteka-teki sendiri di dalam hatinya. Sekaligus, sosok tubuh itu terus melangkah ke hadapan dan menghilang dalam pekat gelap awal pagi itu. Tetapi, tidak lama selepas itu sekali lagi dia mendengar derap kaki sosok berjalan dengan laju di belakangnya.

Sejuk! Sekali lagi angin menderu ke wajahnya. Tetapi pada kali ini alangkah terkejutnya Makcik Sastri setelah memandang ke tepi sisinya kerana sosok tubuh berpakaian lengkap seperti askar tadi berada di sebelahnya, sambil berjalan beriringan seperti bersedia untuk memintasnya tetapi sosok berbaju askar itu mengikut rentaknya berjalan bersama-sama.

Dalam keadaan terkejut melihat sosok yang berada di sebelahnya sempat dia berkata di dalam hati ‘Bukankah tadi askar ini sudah ke depan memotong aku?’ dan dengan tidak semena-mena sosok askar itu berkata kepadanya, “Kau hendak berteman denganku? Tapi aku tiada kepala.” sambil mencabut kepalanya lalu diletakkan di kanan bahunya dan terus berjalan ke belakang Makcik Sastri kemudian ke hadapan seolah-olah ingin menahan Makcik Sastri dari mara ke hadapan.

“Ya Allah!” Gumam Makcik Sastri seraya terjatuh dan terus pengsan.

Pak Kassim merenjis air ke muka isterinya, berharap isterinya itu bangun dan sedar. “Abang?” Layu suara Makcik Sastri memanggil suaminya. “Kamu kenapa Sastri? Wak Non telefon Abang beritahu orang ramai jumpa kamu jatuh pengsan di tepi kuburan sana. Dia angkat kamu dengan Si Wak Lan bawa kamu pulang ke rumah ini.”

Terus laju air mata Makcik Sastri menuruni kelopak matanya lalu menceritakan kejadian yang berlaku kepadanya awal pagi itu dan dengan rasa bersalah Pak Kassim terus berjanji akan menghantar isterinya ke hentian bas mulai hari itu agar kejadian-kejadian seram seperti yang dialami isterinya tidak berulang lagi. Kalau pun berulang sekurang-kurangnya berdua, ye dak?

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 38 Average: 4.7]
NONA MANIS

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.