Awek Mata Bundar (Part 2)

Salam admin FS yang dihormati. Nama aku Abe Krambit (bukan nama betul). Minta maaf, yang part 1 semalam tak bagi penghargaan. Excited sangat nak letak cerita kat sini. Terima kasih awal-awal kalau siarkan cerita aku ni. Aku nak kongsi cerita yang jadi kat aku lima tahun lalu. Sekarang ni aku masih lagi berubat. Cerita ni tak seram sangat tapi aku harap boleh dijadikan panduan.

Part 2

Demam terus aku malam tu. Esok ada presentation pulak tu. Tapi nak buat macam mana, nak bangkit pun tak larat, macam mana nak pergi kerja. Nak tak nak, esoknya aku terpaksa ambil MC.

Berapa banyak Panadol dah aku telan tapi demam tak kebah-kebah jugak. Mujur dah boleh berjalan. Berselubung dengan toto aku pergi ke dapur. Perut lapar. Badan aku ni pulak, sejuknya lain macam. Tutup kipas, aku panas. Bila buka kipas, menggeletar satu badan macam duduk kat Alaska. Buka kipas je pun. Belum buka air-cond lagi.

Lepas makan roti sekeping, minum kopi yang Petak buat, aku baring kat depan tv. Televisyen terpasang tapi aku tak tengok pun. Sibuk melayan sendu badan yang sakit-sakit. Mata berair je. Kepala panas, badan panas. Sekejap berpeluh, sekejap sejuk. Tak selesa aku dibuatnya.

Lama-lama aku mengantuk. Dah tak buat apa. Masa mata nak terpejam tu, aku ternampak susuk tubuh orang berjalan kat dalam rumah. Tak nampak clear. Mata aku kabur. Tapi aku nampak dia pakai baju serba putih.

‘Tikah!’ Dalam hati memang aku dah agak dia, siapa lagi. Petak kerja.

Aku tak senang duduk dah masa tu. Tapi nak buat macam mana, nak lawan aku tak larat. Bukan aku je. Bulu roma aku pun tak larat nak meremang dah. Telefon aku pulak tertinggal kat dalam bilik. Pasrah jelah.

Aku perhati je Atikah berjalan kat ruang tamu tu. Dia jalan macam orang tengah naik eskalator kat Tesco. Terawang-awang. Kaki tak gerak langsung. Dia kemas ruang tamu. Macam-macam dia buat. Nak tunjuk kat aku kut konon-kononnya dia tu memang wifey material.

Jadahnya aku nak menikah dengan hantu?

Dia tepuk-tepuk kusyen, bersih habuk kat tv, kat meja, lepas tu dia main selak katup langsir. Bengang betul aku. Dahlah kepala aku sakit berdenyut-denyut, dia pergi kacau pulak.

Tiba-tiba muka dia betul-betul terpampang kat depan muka aku. Jadahnya? Sakit jantung aku terkejut.

“Mohsin demam ya.”

Dia pegang dahi aku. Sejuk Ya Rabbi tangan dia. Terus aku pejamkan mata. Tak berani aku tengok muka seram dia tu. Tak macam Atikah yang aku nampak malam kelmarin. Atikah yang tu cantik. Yang ni pucatnya lain macam.

“Tikah jaga Mohsin ya.”

‘Tak nak!’ Aku jerit tapi suara aku tak keluar. Tersekat kat kerongkong.

Lepas tu aku rasa dia dah takde kat sebelah aku lagi dah. Aku buka mata, tengok dia tengah terawang-awang pergi ke dapur. Aku dengar bunyi air. Kelentang-kelentung dia tumbuk lesung batu. Nak masak apa pun aku tak tahu.

Aku gagah bangkit, nak masuk ke dalam bilik tidur nak ambil telefon bimbit. Aku kena panggil Petak jugak. Tak boleh biarkan hantu Si Atikah ni buat rumah aku macam rumah sendiri. Nanti dia tak nak keluar, naya je kita orang berdua.

Elok je aku sampai kat depan pintu yang ternganga, tiba-tiba je daun pintu bilik tu terhempas. Berdentum bunyinya. Nyaris kena muka aku. Aku cuba buka pintu tapi tak boleh. Aku goncang-goncang pintu tu, tak boleh jugak.

“Aku tak panggil kau, aku tak izinkan kau masuk dalam rumah aku, napa kau masuk jugak kacau aku?” Naik angin dah aku.
Tiba-tiba semua diam. Tak dengar dah bunyi air, bunyi lesung batu ke bunyi apa. Takde. Aku cuba buka pintu bilik tidur aku. Dah boleh buka. Aku masuk, aku ambil handphone aku, terus aku telefon Petak. Aku kena bagi tahu Petak kisah macam mana hantu Si Atikah ni boleh kacau aku. Bukan salah siapa. Salah aku jugak. Kalau aku tak usha dia malam tu, takdenya jadi macam ni.

“Petak, kau busy tak?” Pelan-pelan aku pergi balik ke depan tv.
“Tak. Napa? Kau dah okey dah?”

“Belum kebah lagi. Aku nak bagi tahu kau satu benda ni. Aku demam ni sebab aku kena sampuk.”

“Sampuk? Kena sampuk dengan apa?”

“Kau nampak tak aku sembang ngan Azizah dan Tok Minah malam tadi?”

“Ha, apahalnya tu?”

Aku pun ceritalah pada Petak apa yang aku dah buat dua malam lepas, sampailah apa jadi siang ni. Petak diam je.
“Benda tu masih ada kat rumah kita ke?” tanya Petak.

“Takde kut.”

Prang! Bunyi bising berekor-ekor dari dapur. Bunyi benda jatuh. Benda pecah. Semua ada. Tegak bulu roma aku.

“Apa tu?”

“Entah.” Berkerut-kerut muka aku nak bangkit dari bangku. “Jap aku tengok.”

“Biar jelah. Lunch time kejap lagi aku balik.”

Aku tak pedulikan cakap Petak. Aku pergi ke pintu dapur, nak tengok apa benda yang bising sangat tu.

“Ya Allah…”

“Kenapa, Sin?” tanya Petak.

Bangku meja makan tunggang terbalik kat atas lantai. Pintu peti ais terbuka. Laci kabinet dapur terkeluar-keluar, ada yang dah tercampak kat atas lantai. Ada yang pecah. Pili air terbuka sehabis-habisnya. Sudu, garpu habis berselerak merata-rata.

“Sin! Cakap kat aku, Sin. Apa jadi?” Petak dah hilang cool.

“Hantu kena reject mengamuk.” Aku bagi tahu dia.

Lepas aku cakap tu, depan mata aku pinggan terangkat. Lepas tu terhempas ke lantai.

Prang! Habis pecah.

“Heh, setan! Kau ingat ni rumah mak bapak kau ke? Suka-suka hati je nak pecah-pecah barang orang. Kau keluar dari rumah aku ni sekarang! Keluar!” Laju aku berjalan ke pintu belakang. Dari mana entah aku dapat kekuatan.

Aku buka pintu belakang tu, lepas tu aku suruh Atikah keluar.

“Kau jangan cari pasal dengan aku!” Aku tuding ke arah luar.

Atikah melawan balik. Dia jelmakan diri dia. Rambut dia panjang, tutup muka dia. Dia datang dekat aku, lepas tu dia selak rambut dia, tayang muka pecah dia depan muka aku. Provok aku. Buruk Ya Rabbi muka dia. Berdarah-darah. Mati eksiden ke apa dia ni dulu?

“Kau ingat aku takut dengan kau?” Aku mengherdik. Sebenarnya aku memang takut pun masa tu. Tak tahulah macam mana aku boleh jadi berani melawan dia. “Kau masuk rumah aku tak berjemput. Sekarang keluar! Keluar kau, setan!”

“Azan, Sin. Azan.” Petak bagi cadangan.

Sebab setan kat depan aku ni macam berlagak sangat dengan aku, aku azan.

“Allahuakbar Allahuakbar…”

Banyak kali aku azan, baru dia hilang. Aku tutup balik pintu dapur, tutup paip singki. Pandang lantai, lepas tu aku terus ke depan. Tak kuasa aku nak mengemas. Serabut!

“Hilang dah dia?” tanya Petak.

“Dah.” Pelan-pelan aku baring balik kat atas bangku panjang. Badan aku sakit-sakit balik. “Aku tak larat nak kemas, Tak.”

“Biarkan. Balik nanti aku kemas,” kata Petak.

Waktu makan tengah hari, Petak balik ke rumah. Ofis dia dekat je dengan rumah sewa kami. Setengah jam kalau naik kereta tapi sepuluh minit je naik motor. Aku tengah tidur masa tu. Bila dengar bunyi bising semasa dia buka pintu gelangsar, terus aku terjaga.

Dia bawa balik dua bungkus nasi ayam. Letak bungkusan nasi tu kat atas meja ruang tamu. Kemudian dia ke dapur.

“Ya Rabbi…” Petak menggeleng bila tengok keadaan dapur. “Balik petang karanglah aku kemas.”

Dia datang balik ke depan. Bagi aku sebotol air mineral dan sudu.

“Cerita lagi sekali,” kata Petak.

Aku pun ceritalah sambil makan. Tergeleng-geleng kepala Petak.

“Kau kan memang tak boleh nampak awek cantik. Sampai hantu pun kau nak sapu.” Petak ketawa.

“Manalah aku tahu dia hantu…”

“Bukan salah kau.” Petak sumbat nasi ke dalam mulut dia. Lama aku terpaksa tunggu nak dengar sambungan cakap dia. “Aku tanya ustaz kat ofis aku tadi. Dia kata, bila kau jadi target, memang kau tak boleh beza dah.”

“Memang cun habis! Muka dia macam muka Azizah.”

“Kau pulak memang suka kat Azizah.” Petak menyampuk. Sesudu lagi nasi dia sumbat ke dalam mulut. Nak cepatlah tu. “Memang sepupu kan dia orang.”

Aku mengangguk. “Aku nak tanyalah Tok Minah, macam mana Tikah mati.”

“Tak payah cari pasal.” Petak menggeleng, tak setuju.

“Takdelah. Aku nak tanya je macam mana Tikah mati. Muka dia pecah. Eksiden ke apa. Jatuh bangunan ke apa? Entah-entah dia bunuh diri.”

“Tu setanlah. Bukan pompuan tu.” Petak gogok air mineral sampai habis separuh.

“Aku nak tanya macam mana dia mati je. Bukan tanya apa.” Aku berdegil. Sebabnya, aku rasa macam ada cerita di sebalik kematian Atikah. Apa kesnya, aku naklah jugak tahu.

“Suka hati kaulah. Tapi tanya bila kau dah baik demam. Sekarang ni jangan lagi. Lagi teruk demam kau tu nanti.”

“Sayang jugak kau kat aku.”

“Bukan sayang. Jumaat ni aku nak kau jadi pilot aku balik kampung.” Petak bangun. Kotak polisterin nasi ayam dia yang dah kosong, dia masukkan ke dalam plastik dan bawa ke dapur. “Aku dah mintak ustaz tu datang petang ni. Dia nak tengok kau. Takut kau kena badi ke apa.”

“Okey.”

“Hurm… aku kena balik ofis ni. Kau takpe ke tinggal sorang-sorang?” Petak periksa jam tangan dia. Aku pulak tengok jam kat dinding. Dah dekat pukul satu tengah hari.

“Takpe. Tak beraninya dia datang balik.”

“Mulut jangan celopar sangat.” Petak ingatkan aku. “Kau berehatlah. Tak payah kemas dapur tu. Balik nanti aku buat.”

Tinggal sorang-sorang, aku telan nasi ayam tu sampai habis walaupun rasanya pahit. Bukannya aku ada bini nak layan kalau perut aku berkeroncong balik karang.

Lepas habis makan tu aku duduklah kejap. Tengok tv. Lama-lama aku tertidur. Aku terjaga bila aku rasa ada tangan tengah belai-belai rambut aku.

“Ya Allah!” Terus aku berdiri. Adoi, sakit kepala aku sebab terus berdiri lepas bangun tidur. “Kau nak apa, setan?” Aku pegang dinding sebab kepala pening.

“Mohsin, kenapa marah Tikah?”

“Kau bukan Tikah. Kau setan.”

“Ni Tikahlah. Tikah!”

Lepas menjerit tu, dia terus ghaib. Apa masalah dia pun aku tak tahu. Pelan-pelan aku duduk balik. Kepala berdenyut sakit. Aku tak berani tidur. Takut dia muncul balik. Tapi mata aku ni dah tak larat nak celik dah. Pelan-pelan aku terlena balik.

Bila aku jaga, aku tengok ramai orang berkumpul kat dalam rumah aku. Petak dengan abang sebelah rumah je yang aku kenal. Yang lain aku tak pernah tengok.

“Apa jadi?” Aku tanya Petak. Tak pernah-pernah orang berkumpul ramai-ramai kat rumah kami. Ada benda jadi ni sebab skrin televisyen pecah. Kusyen berterabur merata-rata. Aku pulak terbaring kat atas lantai. Terhegeh-hegeh aku cuba duduk. “Tikah mengamuk lagi ke?”

Masa aku cakap tu, semua orang macam berbalas-balas pandang. Makin kuat aku nak tahu.

“Kejap lagi aku tunjuk. Kau kena rehat dulu.” Petak tolak bahu aku, suruh aku baring semula.

“Kau nak tunjuk apa kat aku?” Aku keraskan badan aku. Selagi dia tak bagi tahu aku, selagi tu aku tak nak baring semula.

“Boleh ke tunjuk kat dia, ustaz?” Petak tanya pada lelaki yang pakai t-shirt dan seluar jean kat sebelah aku. Ustaz rupanya. Ingatkan gengster mana.

“Tunjuk jelah,” kata ustaz tu.

Petak bagi aku telefon bimbit tapi bukan dia punya. Dia suruh aku tengok video dalam telefon bimbit tu.

“Astaghfirullah…”

Bhg. 1: http://fiksyenshasha.com/awek-mata-bundar/

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

24 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *