Awek Mata Bundar (Part 4)

Assalam, admin FS dan warga FS sekalian. Terima kasih jadikan Awek Mata Bundar Part 1, 2 & 3 sebagai cerita paling popular. Tq. Tq. Terima kasih admin kerana siarkan cerita saya. Jemput baca Part 4. Fresh from the oven.

Awek Mata Bundar Part 4

Memang aku tidur tak hengat. Sampai ke pagi lenanya. Takde gangguan, sedaplah tidur. Mimpi pun tak. Tidur mati gamaknya. Nasib baik tak mati terus.

Aku rasa-rasa badan aku. Dah okey nampaknya. Tak dedar dah. Tapi aku nak MC lagi hari tu. Malas pulak nak pergi kerja. Tapi tengah hari sikitlah aku pergi jumpa doktor panel nak mintak MC. Semalam tak sempat.

Capai tuala, nak mandi. Petak ada bilik air sendiri. Bilik dia master bedroom. Aku kena guna bilik air belakang. Buka-buka pintu…

“Allahuakbar!”

Mengong betul hantu seekor ni. Betul-betul depan pintu bilik aku dia berdiri. Tunduk dengan rambut panjang dia jurai-jurai ke depan. Pelan-pelan dia angkat muka dia. Drama sungguh lahai! Nasib baik dia pakai muka cantik dia pagi ni. Tapi dia buat muka sedih gitu. Merajuk kut sebab aku tak layan Whatsapp dia malam tadi. Ingat dia aku nak pujuk ke? Sorry!

Aku azan. Depan muka dia aku pekik. Tak peduli dah dia merajuk ke apa. Dia hantu kut. Kalau manusia memang aku pujuk dah. Tapi kalau manusia, apa hal anak dara pagi-pagi buta masuk rumah anak teruna?

“Allahuakbar, Allahuakbar!” Aku azan lagi. Biar dia tahu aku tak berminat. Dahlah semalam suka hati dia je rasuk aku. Sampai pecah skrin televisyen aku dibuatnya. Dia ingat murah ke televisyen LED tu? Yang kecik pun dekat RM800 harga dia.

Aku terus azan. Entah berapa kali aku tak kira. Sampai dia ghaib baru aku berhenti. Degil nak mampos hantu seekor ni. Pagi-pagi lagi dah buat aku bengang. Spoil plan aku je. Tak jadi aku MC hari ni. Ingatkan bolehlah nak round-round Shah Alam tengok tv baru.

Keluar pergi kerja bersama Petak. Maksud aku, masa keluar rumah tu je sama-sama dengan dia. Pergi kerja naik kenderaan masing-masing.

“Kau nak ke mana? Ada klinik bukak ke pagi-pagi ni?” Petak sarung full face helmet dia. Sebijik helmet Iron Man. Tapi motor kapcai je.

“Lourdes bukak 24 jam.” Aku sarung helmet aku pulak. Helmet biasa je. Tak berani aku pakai helmet macam Petak tu sebab motor aku pun kapcai jugak. Bukan tak teringin nak bergaya. Teringin. Tapi aku sedar diri. Dan aku tak sanggup jadi bahan rider lain. Walaupun dia orang pandang je tak kata apa, tapi cara dia orang pandang tu boleh mendatangkan kemurungan abadi. Petak lain. Spesis hati kering dia tu.

“Dah tukar Lourdes ke doktor panel kau?” Petak panjat naik pelana motor dia. Jari dah letak pada punat nak start enjin. Tapi tak tekan lagi.

“Taklah. Aku nak pergi ofis.” Jauh Ya Rabbi Klinik Lourdes dari ofis aku.

“Dah kebah ke?”

“Dahlah. Jom.” Aku start motor dan terus jalan. Petak ikut kat belakang. Dia tak tanya pun pasal apa aku azan tadi. Tak dengar kut. Dia tengah mandi kut masa tu.

Dalam perjalanan ke ofis tu takde pulak si Atikah mengekor aku. Ke dia mengikut tapi tak tayang diri. Takde kut. Motor ringan je. Hmmm… suka hati kaulah, labu. Buang masa aku je fikir pasal kau.

Lepas sarapan kat gerai bawah tu, aku masuk ofis. Tengok kat meja aku ada sorang perempuan duduk. Meja aku tu kedudukannya membelakangkan pintu. Jadi belakang perempuan tu ajelah yang aku nampak. Tengok body, aku tak kenal. Body-body staf perempuan kat situ semua aku dah cam. Mantap-mantap belaka. Yang dara, yang emak orang, yang janda, sama je bergetahnya. Kaki makan supplement semuanya. Berlawan-lawan siapa cantik. Kadang body emak orang dengan body janda lagi cantik terjaga daripada body anak dara. Fakta ni. Jangan pulak terasa.

‘Siapa dia ni?’ Tertanya-tanya aku dalam hati. Cuak jugaklah. Management ofis aku ni kadang suka main gila. Ada peluang je, habis kau kena cantas. Tapi dah tiga tahun aku bekerja kat situ, KPI aku cemerlang sokmo. MC pun, tahun ni baru sekali ni aku ambil. Takkan MC sehari pun tak boleh dah sekarang?

‘Tikah ni!’ Aku serkap jarang. Terus menggelegak hati aku. Tapi perempuan tu pakai tudung. Huh! Hantu seekor ni kuat berdrama. Whatsapp pun dia ada. Apa sangatlah bertudung bagai tu.

Aku terus pergi dekat dia. Baru nak marah, perempuan tu dongak pandang aku. Ya Rabbi… manusia ke bidadari? Dia senyum sambil menjeling. Cair aku dibuatnya.

“Awak buat apa kat meja saya ni?” tanyaku, lembut. Tapi tetap kontrol macho. Kalau dia kata dia suka duduk kat situ, aku rela pindah ke meja lain.

“Encik Mohsin ye? Encik Ong suruh saya cek design for rectification work tu. Dia orang nak hand over kat klien esok.”

“Dah siap dah. Tapi awak siapa?” Macam mana pulak dia tahu password komputer aku? Mesti Mr. Ong bagi ni. Dia sorang je ada password aku. Tiba-tiba aku terasa muka aku panas. Password aku: terunarebutan. Patutlah minah ni senyum semacam je tadi.

“Tau. Saya double check je. Saya Dahlia.” Minah tu bangun. Terpaksa aku undur selangkah. Takut aku tercium dia pulak. Macam tu punya rapatnya. Dia hulur tangan. Tapi aku tak sambut. Kutlah masih available, naik saham aku nanti.

“Staf baru ke?” soalku. Dah kahwin? Anak berapa? Ke anak dara lagi? Tapi mesti dah ada pakwe kan. Orang cantik macam awak mesti cepat je orang rembat. Macam Azizah. Kalau single lagi, boleh tak kita berkenalan. Heh, apa benda yang aku mengarut ni?

“Saya baru start semalam. Encik Mohsin demam.”

“Panggil Mohsin je.” Nak panggil Abang Mohsin pun boleh. Lagi saya suka. Aku pandang dia dengan muka takde perasaan langsung. Padahal masa tu, jantung aku macam nak melompat keluar dah. Laju sangat berdegup.

“Baiklah.” Dahlia tersenyum lagi. Aku rasa macam nak pitam kejap. “Mr. Ong kata Encik… errr… Mohsin demam semalam. Dia bagi password terunarebutan tu, suruh saya double check design yang dah siap tu.”

Masa dia sebut password aku tu, perlahan je suara dia. Renungan dia dengan senyuman dia semacam je. Nakal dia ni. Naik geram aku dibuatnya. Dah kahwin ke belum ni? Haih!

“So?” Aku tunjuk eksyen. Padahal rasa nak tumbang dah aku.

“Semua perfect.” Dahlia senyum. Buat muka innocent pandang aku. Haih, budak ni!

“Kalau macam tu, pergi balik meja awak.”

“Owh!”

Dia macam terkejutlah dengar arahan aku tu. Berubah sikit muka dia. Adeh, jangan merajuk, please. Abang Mohsin eksyen je tadi.

“Extension saya 244.”

“Okey.” Aku jawab sepatah. Eksyen sungguh lahai! Aku tarik bangku dan terus duduk. Nak tumbang sangat dah aku masa tu. Kaki dah jelly sangat dah.

Dahlia balik ke meja dia. Aku buat tak tahu je tapi tangan catat nombor extension dia kat kertas. Lepas tu aku pandang skrin komputer. Kononnyalah. Sebenarnya mata aku mengekor ke mana dia pergi. Tapi tak jelaslah. Nampak sipi-sipi je. Tengah ralit cek semula design yang nak submit kat klien tu, telefon meja aku berbunyi. Tak pandang dari mana, terus aku angkat.

“Eeeeeeiiiii…” Melengking suara mengilai kat corong telefon. Marah nadanya.

Terkejut, terus aku berdiri sambil campak gagang telefon. Menggeletar satu badan dibuatnya. Hai, hantu Atikah ni memang celaka betullah! Aku dah agak dah. Dia mesti mengekor aku punya. Benganglah kut tengok aku flirting dengan Dahlia tadi.

“Mohsin!”

“Ya?” Aku pandang Dahlia. Terkejut dia berani panggil aku. Dia dah berdiri dekat meja dia. Pandang aku.

“Kenapa?” tanya Dahlia. Muka dia concern sangat. Orang lain dalam ofis tu pandang aku, lepas tu pandang dia.

“Takde apa. Buat kerja. Buat kerja.” Aku duduk balik. Malu dengan kawan-kawan sekerja yang lain. Ada yang dah tersengih-sengih. Masaklah aku kejap lagi, jadi bahan.

Aku ambil gagang telefon yang terjuntai kat sisi meja, letak kat tepi telefon. Biar kat situ. Letak betul-betul karang kena kacau lagi.

Tengah ralit bekerja, Mr. Ong datang kat aku.

“Apa pasal letak kat bawah? Tempatnya ada kan?” Mr. Ong letak balik gagang telefon ke tempatnya.

“Sorry.” Aku tengok Mr. Ong bawa blueprint. Mesti dia nak bincang sesuatu. Aku siapkan evaluation aku, lepas tu aku ikut Mr. Ong ke meja besar kat tepi tingkap. Kat situlah kita orang berbincang.

“Dah baik demam ke?” tanya Mr. Ong.

“Dah.”

“MC jangan lupa bagi kat Jennifer.”

“Okey.”

Mr. Ong bentang blueprint kat atas meja besar tu. Masa tengah berbincang tu, suara aku tinggi sikit. Diskas dengan Mr. Ong mesti nak gaduh punya. Dia nak menang je. Last-last kalah jugak. Mr. Ong tu bukan apa, banyak sangat projek yang dia handle. Sampai tersilap-silap.

“Okey. Okey.” Mr. Ong gulung balik blueprint tu. Dia blah. Sikit pun dia tak mintak maaf sebab buang masa aku. Benda tu dah terang lagi bersuluh lagi mau tanya.

Aku balik ke meja aku. Sempat jeling Dahlia. Alamak! Dia tengah tengok aku rupanya. Dengan senyuman lagi. Macam senyuman makwe yang bangga dengan pakwe dia. Habis panas rasa badan aku. Aku tak balas senyuman dia tu. Buat tak tahu je sebab banyak mata busybody yang tengah perhati. Aku duduk balik kat bangku aku. Terus sambung kerja.

Waktu makan tengah hari tiba. Staf lain dah bersiap-siap nak keluar makan.

“Tak makan ke, Sin? Ke nak dating.”

Mulut puaka betullah. Kan dah kena bahan.

“Aku nak pergi ambik MC lah…”

“Yalah tu!” Dia orang ketawa beramai-ramai.

Tahankan ajelah. Nak buat apa lagi. Aku biarkan je dia orang keluar. Dah lengang, baru aku bangun.

“Encik Moh… errr… Mohsin. Nak keluar makan ke?”

Terkejut aku kena sergah macam tu. Dahlia, berdiri kat meja dia pandang aku. Dia ni tunggu aku ke apa?

“Tak. Nak pergi jumpa doktor panel.”

“Saya ikut boleh?” Dia sangkut handbag dia kat bahu.

Berkerut muka aku pandang dia. Aku nak jumpa doktor kut. Bukan nak pergi makan. “Awak tak nak makan ke?”

“Masa awak jumpa doktor, saya makanlah. Saya tak tahu klinik doktor panel kita kat mana.”

Masuk akal alasan dia tu. “Jom. Eh, tapi saya bawa motorlah hari ni. Lain kalilah ya.”

Aku sendiri frust. Helmet ada satu pulak tu.

“Takpe. Naik kereta saya.”

Naik kereta lambat sampai. Tapi aku tak sempat nak protes sebab Dahlia dah menonong ke pintu. Dia punya lenggang-lenggok, telan air liur dibuatnya.

Dalam kereta, aku bagi alamat klinik doktor panel. Dahlia key-in pada GPS kereta Myvi dia.

“Dulu kerja kat mana?” tanya aku masa dalam perjalanan.

“Kat Wangsa Melawati.”

“Dari Wangsa Melawati. Jauhlah travel nak pergi kerja.” Naik kereta pulak tu.

“Eh, taklah. Dulu kerja kat sana. Saya orang Shah Alam. Seksyen 2.”

Aku toleh pandang dia. Kalau duduk Seksyen 2, mesti dia tahu Klinik Azmi tu kat mana. Tengok dia drive pun konfiden je. Tak pandang gps pun. Saja je dia ni nak mengikut aku.

“Takpe ke bawa saya ni? Kang ada orang mengadu kat suami awak pulak.” Test market. Bukan apa.

“Saya tak kahwin lagi.” Selamba je dia jawab. Tak pandang aku pun. Tapi dia senyum. Dia tahu aku tengah test market.

“Pakwe?”

Dia senyum lagi lebar. “Pun takde.”

Aku duduk bersandar dengan hati yang sangat tenang. Aku pandang ke luar tingkap. Tak tahan nak senyum. Aku tak tahu nak cakap apa lagi dah lepas tu. Dia pun diam.

Sampai di Klinik Azmi, aku mendaftar. Dahlia entah pergi mana. Semasa menunggu giliran, Dahlia masuk klinik bawa tiga ketul Karipap King Kong. Air kotak dua.

“Berapa semua?” Menyenget duduk aku. Nak keluarkan dompet.

“Takpe. Saya belanja.”

“Eh! Biar saya bayar.” Aku protes. Malulah orang perempuan belanja. Tak gentleman langsung.

“Kalau awak nak bayar jugak, saya tak nak makan.” Dia main ugut pulak. Mulut mencebik. Haih, geram aku dibuatnya.

“Lain kali saya pulak belanja.”

“Okey. Jom makan kat luar.” Dahlia tarik tangan aku. “Tak best makan kat sini. Semua orang tengok.”

Omai! Aku rasa dia memang dah plan nak pegang tangan aku. Omai!

Sambil berdiri kami makan. Aku makan satu, dia makan satu. Makan kat kaki lima. Tak sembang apa pun. Tengok orang lalu-lalang kat kaki lima tu. Kadang-kadang bila mata bertembung, kami senyum.

“Nah.” Dahlia hulur karipap ketiga kat aku.

“Eh, takpelah.”

“Kerat dua. Bukan suruh ambik semua.”

Tersipu-sipu aku dibuatnya. Memang nakal dia ni. Aku kerat dua karipap tu, aku bagi dia separuh, yang separuh lagi aku makan sampai habis.

Masa tengah bahagia tu, aku ternampak Atikah berdiri kat sebelah pokok. Merah oi mata dia tenung aku. Bila sedar aku nampak dia, dia ghaib. Tak senang hati, aku ajak Dahlia duduk dalam klinik.

Sekejap je aku jumpa doktor. Ambil MC je. Keluar dari bilik doktor tu, Dahlia tersenyum manis sambut aku. Langsung aku terlupa masalah Atikah.

“Sakit tak?” tanya aku kat Dahlia masa nak balik ke pejabat.

“Sakit apa?”

“Jatuh dari syurga.” Cia cia cia… kemain lagi aku.

Pipi Dahlia dah merah. Hidung dia pun sama. Senyuman dia meleret-leret. Sampai ke ofis dia senyum. Macam orang lain jugaklah, tersenyum-senyum pandang aku. Dia orang nampak kut aku keluar dengan Dahlia tadi.

Baru nak mulakan kerja, Dahlia datang ke meja aku. Muka pucat pasi.

“Kenapa?” Dalam hati aku dapat teka dah kenapa. Aku pandang merata. Nampak Atikah berdiri kat tepi almari fail. Lepas tu dia hilang.

‘Apa pulak hantu sekor ni buat? Adehhh…’

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

59 comments

  1. Bro.. lincahlah settlekan,. aku kat opis nie dah tepu tunggu cerite kau..
    terus habis sampai penutup.. aku tak sanggup untuk menuggu.

  2. CERITA FIKSYEN SERONOK LA KAU KEMBANGKAN YE ABE KERAMBIT

    Aku anti betul orang claim cerita fiksyen sebagai real.
    Dulu IK. Now AK??

    CERITA BEST. TAPI TAK PERLULAH CLAIM 5 TAHUN TU..

    HANTU WHATSAPP..CERITA OLAHAN PADU.

    Tahniah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *