Awek Mata Bundar (Part 5)

Assalam, admin FS yang dikasihi dan warga FS sekalian. Terima kasih, admin sudi up cerita aku dan terima kasih warga FS sudi baca. Minta maaf pada yang menyampah sebab aku buat cerita sambung-sambung. Kalau sebab aku buat cerita sambung-sambung ni aku dilabel sombong, aku tak tahu nak cakap apalah. Terima ajelah.

Lagi satu aku nak minta maaf sebab tak sempat balas komen. Kalau sebab tu jugak aku dilabel sombong, sekali lagi aku terima jelah sebab memang aku tak nyempat sangat-sangat nak balas komen. Tapi aku baca komen korang. Terima kasih pada yang suka baca cerita aku dan bagi sokongan membina.

Hans Clarify Dominates, terima kasih memahami. Dan aku bukan IK. Kebetulan je kut cara penyampaian tu ada serupa tapi aku gerenti tetap tak sama. Selamat membaca. Harap bersabar. Ada 30 episod semuanya. Sebab lima tahun punya story kan. Sekali lagi aku minta maaf kalau nyusahkan korang. Please enjoy the story.

Awek Mata Bundar Part 5

“Pendrive yang Mr. Ong bagi saya tadi, hilang,” adu Dahlia. Berbisik. Dia takut orang lain dengar kut. Malulah, baru second day dah hilang pendrive. Gerenti kena salai punya.

Sedih pulak aku tengok muka panik dia. Mata takut. Bibir dah mencebik. Muka berpeluh-peluh. Kening sampai bercantum. Tapi walaupun dalam keadaan tu, dia tetap merecik.

Mujur dia baru sampai ke tahap panik je. Kalau dia menangis, memang aku terus bangun peluk dia nak pujuk. Dahlah berdiri pun dekat sangat dengan aku.

“Pendrive apa?” Sajalah aku tanya. Padahal aku tahu pendrive apa yang Mr. Ong bagi kat dia. Sebab Mr. Ong ni ada satu perangai. Bila dia assign kau buat satu job tu, dia akan bagi kau satu pendrive. Dia akan kata, this is the only copy. Protect it more than you protect your life.

Tak jahanam ke wasiat dia tu? Mau Dahlia tak menggelabah.

“Pendrive job yang dia assign kat saya. Pagi tadi dia bagi, balik lunch tadi saya tengok dah hilang.” Bibir Dahlia ternguit-nguit. Aku paling muka ke arah lain. Tak tahan tengok.

“Dah tengok kat dalam handbag?” Kutlah dia terbawa pendrive tu ikut kami pergi dating tadi. Eh! Dating ke tadi? Cia cia cia.

“Tak.”

“Pergilah tengok dulu.” Aku pandang dia balik. Cara aku cakap tu, rasa macam aku dengan dia laki binilah pulak. Manja sangat dia ni dengan aku. Padahal baru hari ni jumpanya.

“Takde kat dalam handbag.” Dahlia menggeleng. Kat atas meja aku mata dia merayap. Eh, kalau kau letak pendrive tu merata-rata, memang kau ni jenis cuailah.

“Mana taukan kut tercicir.” Mata aku pulak merayap kat atas meja aku. Siap angkat blueprint yang berlipat banyak-banyak kat situ. Kutlah masa dia duduk kat sini tadi, dia tertinggal pendrive tu kat sini.

“Tak! Saya simpan kat dalam laci. Saya kunci laci tu sebelum kita keluar tadi.”

Habis tu yang mata kau merayap kat atas meja aku tu tadi pasal apa? Bikin aku gabra je. Baiklah kau tengok muka aku. Gerenti nampak syurga.

Aku tarik nafas dalam-dalam. Tahu dah siapa yang pedajal Dahlia. Tikahlah ni. Siapa lagi yang pandai main silap mata. Curi barang dalam laci berkunci. Dia sekor jelah. Sebab tu dia tunjuk muka dia kat aku tadi. Tunjuk perasaanlah tu. Lepas tu dia hilang. Nak suruh aku cari dialah tu. Haih, akulah dengan hantu sekor ni.

“Mohsin, saya nak buat macam mana ni, Mohsin?”

Alamak… Dahlia merengeklah pulak. Haih, kau cakaplah elok-elok. Payah aku nak berdiri ni.
Aku buat-buat berfikir. Padahal aku nak meredakan ketegangan.

“Jom kita pergi jumpa Mr. Ong.” Dah reda gabra, aku pun berdiri. Masa tu barulah aku tahu sekalian umat kat dalam ofis ni, masing-masing tengah makan popcorn. Tadi aku tak nampak sebab ada partition hadang.

Dia orang tersengih-sengih macam kerang busuk bila nampak aku. Sorang pun tak buat kerja. Aku ngadu kat Jennifer karang, menangis korang kena potong gaji.

“Eh, tak naklah.” Dahlia pandang pejabat Mr. Ong. “Nanti apa kata dia.”

“Jumpa dia dululah baru kita tahu apa dia nak kata.”

“Eehhh… tak naklah. Takpelah. Saya cari dulu.” Dahlia nak tinggalkan aku. Eh, tak bolehlah macam tu. Aku dah berdiri ni.

“Saya ikut sekali. Jom.”

“Tak naklah. Nanti dia marah.”

“Memanglah kena marah. Tapi saya kan ada. Jom. Dia ada simpan duplicate. Kita mintaklah pinjam kejap. Jom.”

Aku terus jalan. Aku biar je dia mengekor kat belakang. Aku kan khalifah. Kenalah jalan kat depan.

Tuk! Tuk! Tuk!

Aku ketuk pintu Mr. Ong. Dia angkat muka lepas tu tunduk balik.

“Ada apa, Mohsin?”

Aku masuk. Lepas Dahlia pulak masuk, aku katup pintu. Nak jaga air muka dia sebab gerenti dia kena marah punya. Tapi sekurang-kurangnya bila aku tutup pintu tu, busybody-busybody kat luar sana nun tak dengar.

“Bos. Pinjam pendrive duplicate job number…” Aku pandang Dahlia.

“2246.” Suara Dahlia menggeletar. Tangan dia pun menggeletar. Kalau aku ni jenis tak peduli halal haram, dah lama aku pegang tangan dia tu.

Mr. Ong tak cakap apa lagi. Angkat muka pun tak. Dia sain-sain, tulis-tulis, baca-baca, lepas tu tarik penutup pen dari bontot pen dia, tutup mata pen dia, letak pen kat atas meja, lepas tu baru dia angkat muka dia pelan-pelan. Terus tenung muka aku.

Eh, kenapa aku pulak yang kena?

“Bukan saya sudah bagi ke tadi?” Mr. Ong tanya aku.

Pasal dia tanya aku pulak ni? Terang-terang Dahlia yang buat. Aku syak Mr. Ong pun tak berani nak tatap muka Dahlia. Takut lemah jantung.

“Misplaced la, bos. Dia sembunyi kat mana pun tak tahu. Tak sempat nak save dalam hard drive. Cari-cari tak jumpa. Sekarang nak buat kerja tak boleh. So, pinjam dulu duplicate tu, bos. Dah siap kerja nanti, kami cari balik yang hilang tu.” Selamba je aku cakap. Depan awek kan kenalah tunjuk tenang. Aku nak tunjuk kat Dahlia sebenarnya yang aku kamceng dengan Mr. Ong. Padahal tak pun.

“Macam mana awak boleh misplace? Sudah bagi tahu jaga elok-elok, lagi boleh hilang. Ni… ni… yang ni kalau saya bagi yang ni, yang ni pun hilang macam mana?” Mr. Ong menjerit dah. Tapi tu lah. Dia jerit kat aku sorang je. Ilmu apa Dahlia pakai?

“Tak hilang, bos. Janji. Kami ambik, save siap-siap dalam hard drive, pastu kami pulangkan balik kat bos.” Dengan berani aku hulur tangan. Mintak pendrive tu.

Mr. Ong pandang je aku. Tak percaya aku berani hulur tangan kat dia. Aku pun tak percaya. Mana berani buat sebelum ni. Sebab Dahlia ada kut kan. Tiba-tiba je terserlah kejantanan aku. Kalau aku sorang-sorang je tadi, memang tak buatlah.

Lepas tu Mr. Ong mengeluh. Dia ambik pendrive dari dalam laci, hulur kat aku.

“Kalau awak bagi hilang lagi, awak sendiri pergi mintak kat Raine & Horne!” Mr. Ong bagi amaran masa dia letak pendrive tu kat atas tapak tangan aku.

“Tak hilang, bos. Kejap lagi saya hantar balik.” Sekali lagi aku janji. “Jom.” Aku cakap kat Dahlia.

“Terima kasih, bos.” Dahlia tertunduk-tunduk.

“Hmmm. Kerja bagus-bagus.”

La ilahaillallah! Siap bagi semangat kat Dahlia pulak dia. Padahal perempuan tu yang hilangkan pendrive tu. Tapi aku tak boleh salahkan Dahlia. Tikah yang bersalah. Balik rumah kejap lagi aku nak seru hantu sekor tu. Melampau sangat aih.

Aku sebenarnya sejak semalam, tertanya-tanya pasal Tikah. Aku rasa dia ni bukan hantu. Roh ke? Kalau roh, maknanya dia mati bunuh diri ke? Sebab tu roh dia tak diterima dek langit dan bumi. Kalau betullah, aku kena tanya Tok Minah dengan Azizah. Tak puas hati aku selagi aku tak tahu cerita sebenar.

“You’re my knight in shining armour,” puji Dahlia. Pelan je suara dia. Senyuman dia, kemain lagi. Masa tu kami tengah jalan balik ke meja.

Aku pandang dia dengan muka blur. Sebab masa tu aku tengah fikir macam mana nak sembang dengan Tok Minah malam karang.

“You’re my hero.” Sekali lagi Dahlia puji aku. Senyum lagi. Herolah. Aku yang kena marah, bukan kau.

“Jom pergi ke meja awak dulu. Save copy kat hard drive awak dulu.” Tegas je suara aku. Tak tahulah pasal apa. Tapi fikiran aku memang terganggu masa tu.

“Awak marah saya ke?” tanya Dahlia, mencebik. Senyuman dia dah padam.

“Mana ada? Sapalah berani marah awak. Tengok Mr. Ong pun tak berani.” Aku sebenarnya nak compliment dia. Tapi bila keluar, lain pulak bunyinya.

“Awak nak kata apa ni? Tak payahlah sindir-sindir.” Dahlia pecutkan langkah. Tinggal aku kat belakang. Dia sampai dulu kat meja dia pun bukannya boleh buat apa. Pendrive duplicate tu ada kat tangan aku.

Aku suruh Dahlia save copy design tu dalam hard drive dia. Masa benda alah tu tengah downloading, aku cakap kat Dahlia yang aku takde niat perli dia. Tapi dia buat tak tahu je kat aku. Lepas tu aku bagi balik pendrive tu kat Mr. Ong. Kotakan kata. Tak puas hati je dia pandang aku. Aku senyum jelah. Jangan tanya apa-apa. Karang banyak pulak cakap dia.

Dari bilik Mr. Ong, aku naik ke tingkat atas. Nak bagi MC kat Jennifer. Aku tekan butang lif.

Lif bangunan ni lif lama. Nak naik satu tingkat pun slow giler. Tapi malas aku nak panjat tangga naik ke atas. Sambil menunggu tu, aku perhati keliling. Kut-kutlah Tikah tengah mengintai aku. Bolehlah aku panggil dia kejap. Cewah! Macamlah berani sangat.

Ting! Pintu lif terbukak perlahan-lahan. Semput menunggunya.

“La ilahaillallah!” Terkejut aku tengok Atikah dah ada kat dalam lif tu. Nasib baiklah muka cantik dia pakai tapi mencebik. Muka orang merajuk.

Aku pun masuk dalam lif. Berdiri peluk tubuh betul-betul kat depan pintu. Kalau pintu lif tu terbukak, selangkah je dah keluar. Tak payah nak hayun langkah banyak-banyak. Kau nampak tak aku takut kat dia. Kah kah kah. Bulu roma tegak dah masa tu tapi takde siapa nampaklah sebab aku pakai baju kemeja lengan panjang.

Tikah kat belakang aku. Biarkan. Tak kuasa aku nak berdiri kat sebelah dia.

“Pulangkan balik barang yang kau ambik kat dalam laci Dahlia,” kata aku. Tapi Tikah tak jawab. Dia senyap je. Aku pun palinglah ke belakang. Tengok dia dah takde.

Tunjuk perasaan lagilah tu. Jadi aku paling balik ke depan.

“Allahuakbar!” Siutlah menempek kat pintu lif tu. Terlompat ke belakang aku dibuatnya. Dahlah lif ni lif tua. Dibuatnya lif ni jatuh, tak pasal aku arwah. “Kau ni dah kenapa? Haih, ya Allah…” Aku gosok-gosok dada.

Tikah keluar dari pintu tu. Pelan-pelan dia keluar sampai dia jadi seketul balik. Dia tak cakap apa. Hulur tangan dia je. Pendrive Dahlia ada kat atas tapak tangan dia.

Nak ambik ke tak ni? Jenuh aku fikir. Takut kena rasuk lagi kalau aku sentuh dia. Last-last aku hulur tangan aku. Suruh dia letak pendrive tu kat atas tangan aku.

“Terima kasih. Tapi jangan buat lagi. Tak payah kacau oranglah. Ni tempat aku kerja. Tempat aku cari makan. Kau pergilah lepak kat tempat lain.” Aku marah dia.

Ting! Lif berhenti. Dah sampai. Tapi pintu lif tak bukak lagi.

“Kau nak apa dengan aku sebenarnya? Cuba kau cakap. Tak payahlah rasuk-rasuk ke apa. Cakap je. Aku nak tolong kau. Kalau kau tak nak cakap kat aku, aku tanya kat mak tok kau malam karang.” Ugut sikit.

Masa aku tengah cakap tu, pintu lif dah terbukak sikit. Tikah tiba-tiba ghaib. Kat depan aku tercongok Jennifer. Bulat mata dia pandang aku.

“You cakap sama siapa?” tanya Jennifer.

“Takde sapa,” jawab aku. Mata Jennifer masa tu tengah melilau tengok dalam lif. Aku tengok bulu roma dia dah tegak. “Eh, you nak pergi mana? I nak jumpa youlah. Nak kasi MC.”

“Jom, jom, jom.” Jennifer jalan laju balik ke ofis dia.

“Eh, you tak nak masuk lif ke?” Aku sengih je tengok jalan dia. Macam itik serati.

“Kasi you isi borang dulu.”

Aku gelak diam-diam. Dia tak berani masuk lif tu. Tengok karang, dia ikut tak aku.

Betul tekaan aku. Lepas aku isi borang sain bagai, dia terus tutup fail. Letak kat atas meja. Tak simpan pun. Lepas tu dia jalan laju kejar aku.

“Eh, Mohsin, you mau pergi mana?”

“Naik atas.” Saja aku ngusik.

“Bukan ofis you kat bawah ke? You turun bawah dululah.”

“I punya ofis kat ataslah, Jen.” Aku tekan butang lif.

“Eh, betulkah? Mana ada. Kalau you all pindah, I mesti taulah.”

Habis tu yang kau tanya lagi pasal apa? Muka dia pun dah pucat aku tengok.

“Tadi tu, dalam lif, you cakap sama siapa?”

“Mana ada. You ni… I sorang-sorang je lah dalam lif tu tadi.”

Pintu lif terbuka.

“Ladies first.” Aku persilakan dia masuk.

“You masuk dululah.”

Tergelak-gelak aku masuk. “Nanti you nak naik atas semula macam mana, Jen?”

Dia diam tak berkutik. Dia berdiri betul-betul depan pintu. Macam yang aku buat tadilah. Sepanjang lif tu turun, dia tak sembang pun dengan aku. Masa pintu lif tu bukak pelan-pelan, dia siap tolak pintu tu.

“Mohsin, nanti you teman I naik atas,” kata Jennifer lepas kami keluar lif.

“Tak bolehlah, Jen. I ada kerja tau.”

“I tau you cakap sama hantu tadi. You boleh nampak dia ka? Tadi pagi dia kacau sama I lorr.”

Patutlah pucat lesi amoi ni. “You tanya Mr. Ong dulu.”

“Tak payah tanya dialah. I punya title manager lagi besar dari dia punya.”
Kah kah kah… pull rank terus!
Jennifer pergi jumpa Mr. Ong. Aku balik ke meja aku. Aku tolehlah, pandang Dahlia. Dia tengah kerja. Tapi nampak sangat dia tengah avoid aku. Kejap lagi aku pujuklah balik.

Masa aku duduk, aku tengok skrin komputer aku dah padam. Aik? Tak pernah-pernah ni. Hard drivenya hidup. Aku tekan butang hard drive tu lama-lama. Kasi padam. Lepas tu aku cuba hidupkan balik. Lega tengok kat skrin keluar cahaya.

Tq90ba[erqpldaq0nblera’ba[ahd’ahbay;jpjyrwxhyq/qgydnbayaa/ayqanh]sha]aauayanh/hsjaaha;aydj,dqq,wuhbazf./haeueajmn/ahaa//a[an/zpah/shanaaa/ a/ahabga[nb;/

Mula-mula aku ingatkan format software ke apa. Kutlah pc aku tengah reboot. Tapi lama-lama aku sedar, ada orang tengah kacau komputer aku. Aku baca a’uzubillahiminassyaitonirrojim lepas tu aku hembus kat keyboard dan skrin komputer aku. Dekat sepuluh kali hembus baru dia berhenti.

Panaslah jugak hati aku ni kan. Sebab aku dah cakap tadi, jangan kacau aku kat tempat kerja. Tapi dia kacau jugak. Dia nak apa sebenarnya. Aku tanya dia tak nak jawab.

Pc aku elok balik. Masa tengah buat kerja tu, handphone aku pulak dia kacau. Ada incoming call. Keluar nama Atikah. Padahal nombor dia aku dah buang. Tak nak dia kacau lagi, aku bukak bateri handphone aku tu.

Ingatkan dah senyaplah. Tapi handphone aku bunyi balik. Aku pandang je. Tergamam. Sebab baterinya kat sebelah aku letak. Bukan kat dalam. Tak tau nak buat macam mana, aku simpan handphone aku tu kat dalam laci. Baru aman.

Balik kerja tu aku ceritalah kat Petak apa jadi kat ofis aku.

“Dia ikut kau sampai ke ofis?” Petak ketawa. Macam tak percaya je bunyinya. Ke dia jeles.

“Aku rasa dia ni roh.” Aku bagi tahu firasat aku kat dia. Sebab tak masuk akal Atikah tu setan. Perangai sebijik macam manusia. Kuat merajuk.

“Roh ke, jin ke, kau nak buat apa?”

“Tak tahulah.” Garu leher pandang skrin tv yang pecah. “Tv ni dapat bonus nanti aku ganti.”

“Ikut kaulah.”

Selalunya Petak kata kita chip in lah 50-50. Tapi petang ni dia biar je aku tanggung semua kos. Yalah. Aku faham. Memang salah aku tv dia pecah. Dia pun nak bertunang hujung minggu ni. Mesti banyak nak pakai duit.

“Malam ni aku nak jumpa Tok Minah.”

“Eh, kau ni… fikirlah sikit perasaan dia. Cucu dia kut Atikah tu. Apa dia rasa kalau kau tanya soalan pelik-pelik? Kau mesti nak tanya macam mana Atikah tu mati kan? Kalau kau orang tanya macam tu apa kau rasa?” Berjela pulak nasihat si Petak ni.

“Takdelah. Bukan apa. Aku tak nak dia kacau aku lagi.” Sebab aku rasa macam Atikah tu tengah mintak tolong aku settle masalah dia je. Dia kacau aku sorang je pun. Tak kacau orang lain. Kecuali Jen pagi tadi. Tapi boleh jadi hantu lain yang kacau Jen tadi. Masa ni baru aku teringat balik kat Jennifer. Takde pulak dia suruh aku teman dia naik ke atas. Dia suruh orang lain temankan dia kut.

“Kau cari ustaz yang powerlah. Tak payah kacau Tok Minah tu. Tempat makan kita tu. Karang dia tak bagi kita makan kat situ lagi, jauh pulak kita kena merempit.” Petak cuak dah. Dia memang creature of habit. Kalau kat situ, kat situ je dia makan. Bila suruh ubah sikit, mesti banyak songeh.

“Aku tanya kat Azizah.”

“Eh, kau jangan! Bini orang tu.”

“Habis tu macam mana aku nak tahu pasal Atikah ni?” Rasa nak bergaduh pulak aku dengan si Petak ni. Menentang kuat sangat ni apa hal? Aku yang nak tanya kat Tok Minah kut. Bukannya dia. Selama ni aku sokong dia nak buat apa. Tak pernahlah aku menentang. Tapi bila aku perlukan sokongan dia, boleh pulak dia nasihat panjang-panjang.

Agaknya dia dengar suara aku dah lain macam kut, dia ubah taktik. Takut aku mengamuk lagi kut.

“Okeylah, macam ni. Kau mintak nombor telefon Budin. Adik Azizah. Kau tanya pasal Atikah. Mesti dia tahu jugak kan.” Petak bagi cadangan.

Bagus jugak cadangan dia tu tapi aku rasa lebih baik aku bercakap dengan Azizah. Sebab Budin tu budak lagi. Budak macam dia tak ambik tahu punya. Atikah mati sepuluh tahun lepas. Budin masa tu berapa tahun? Lima kut. Dia tak ambik tahu punya. Gerenti!

“Okeylah, Sin. Aku nak mandi. Kita keluar awal sikit boleh tak? Lepas maghrib. Aku ingat nak cari tv. Tengah ada sale ni, baik beli sekarang.”

Tu dia. Hati aku tersenyum dah. Petak rasa bersalahlah tu buat aku marah. Dia nak chip in 50-50lah tu.

Petak masuk dalam bilik dia. Aku pulak ubah tv yang dah pecah tu, letak kat lantai. Kalau hantar kedai pun tak guna. Baik beli baru. Lebih kurang je harganya.

Malam tu jadi jugak kita orang beli tv. Aku sempat usha handphone baru. Tapi sebab tiga ratus lebur beli tv, aku beli simkad baru jelah ganti simkad aku yang dah kena haunt dengan Atikah tu. Lepas tu kita orang pergi ke warung Tok Minah. Masa tengah lepak, aku panggil Budin. Aku hulur kertas yang aku dah lipat dua. Dalam kertas tu aku tulis nombor telefon baru aku. Lepas tu aku bagi isyarat mata, suruh dia bagi kat kakak dia.

Memang dia bagi kat Azizah kertas tu. Aku angkat handphone aku masa Azizah pandang ke arah aku. Azizah macam faham je. Dia mengangguk.

Tapi on the way nak balik ke rumah, ada tiga orang lelaki tahan kereta kami. Petak pun berhentikan kereta dia sebab mamat-mamat tu nampak macam bukan gengster. Senjata pun takde. Tapi rupanya bapak gengster dia orang tu. Elok je aku keluar kereta, salah sorang mamat tu terus cekak leher baju aku.

“Kau dah kenapa, hah? Kau tak sayang muka ke? Perempuan lain bersepah, bini aku jugak kau nak kacau!” Muka dia rapat betul dengan muka aku. Dia ni tak gosok gigi ke apa? Busuk betul bau mulut dia. Tahan pulak si Azizah ya.

“Bro! Bro! Nanti dulu, bro!” Petak nak pergi kat aku. Tapi dua orang lagi lelaki pegang dia.

“Bro, kau salah faham, bro.” Aku pegang pergelangan tangan laki Azizah.

“Salah faham apanya? Kau ingat aku tak nampak kau selalu usha bini aku?” Disentapnya leher baju aku. Samseng giler laki Azizah.

“Aku ngaku. Memang aku bagi nombor telefon aku kat Azizah tadi sebab aku nak tanya dia pasal sepupu dia Atikah.” Aku bagi tahu dia betul-betul. Mungkin dia boleh tolong aku bawa Azizah jumpa aku.

“Kau kalau nak temberang pun…”

“Tak, bro. Tak. Aku tak temberang. Aku janji aku tak temberang. Aku tahu Atikah dah mati. Tapi dia kacau aku, bro. Aku panggil ustaz dah. Tapi dia masih kacau lagi. Tadi dia kacau aku kat ofis. Semalam kat rumah. So, aku nak tahulah apa cerita Tikah ni sebenarnya. Aku tak berani tanya Tok Minah. Tu pasal aku bagi nombor telefon aku kat Azizah.”

Lama jugaklah baru laki Azizah lepaskan aku. Mujurlah dia ni jenis boleh hadam cakap orang.

“Kau nak tahu apa pasal Atikah?” Dia keluarkan kotak rokok. Hulur kat aku. Tapi aku tolak.

“Aku nak tahu cerita dialah. Boleh tak aku sembang dengan bini kau ke, dengan adik-beradik dia yang tahu pasal cerita Atikah ke? Aku mintak izin ni. Sekali ni je aku sembang dengan Azizah. Lepas tu aku tak kacau dia lagi dah.”

Dia pandang aku. Hembus-hembus asap rokok kat muka aku. Siut betul. Macam manalah Azizah boleh terpikat kat jantan sial macam ni.

“Okey.” Last-last dia setuju. “Kejap lagi, lepas mak tok balik, aku panggil kau.”

Terkejut aku. Tak sangka boleh dapat info tu malam ni jugak. Aku pandang Petak. Dia buat signal dengan kepala dia. Tanda setujulah tu.

“Okey. Nombor aku ada pada…”

“Aku tahulah!” Laki Azizah membentak. Masih bengang lagilah tu.

Kita orang pun bersurai. Masuk ke dalam kereta, aku tengok Atikah dah ada kat dalam kereta. Duduk kat belakang. Dia menangis. Akulah… ya Allah. Meremang bulu roma aku dengar rintihan dia. Tapi Petak tak dengar kut. Sebab aku tengok dia rileks je. Tapi dia senyap je tak bercakap apa pun. Ke dia dengar tapi buat tak tahu?

“Kau marah ke apa ni?” soal aku. Mengajak Petak bersembang. Tak sanggup aku dengar rintihan Atikah lagi. Dia nak menangis apa pun aku tak tahu. Aku nak tolong dia. Bukan aku nak buat apa dengan dia.

“Tadi je aku marah. Tapi dah okey dah sekarang.”

“Kau faham kan apa yang aku buat ni?” Aku perhati muka Petak. Aku boleh tahu kalau dia menipu.

“Aku faham.” Petak pandang aku semacam.

Masa tu baru aku tahu, dia pun dengar tangisan Atikah. Tapi dia cool je. Tak nak Atikah efek dia jugak kut. Tak boleh bayangkan apa jadi kalau kami dua-dua kena rasuk serentak.

“Aku harap lepas ni aku boleh bagi ketenangan kat arwah.”

Makin kuat pulak si Atikah ni merintih. Macam dia tak nak aku tahu kisah dia je. Mulalah aku fikir yang bukan-bukan. Kematian dia ada kena-mengena dengan Azizah ke apa?

Sampai rumah, Atikah tak keluar. Dia duduk je kat dalam kereta. Lantak dialah kan. Tapi suara tangisan dia kuat. Sampai dalam rumah boleh dengar.

“Sekarang aku faham, Sin. Sian kau.” Petak tepuk-tepuk bahu aku.

Kita orang pun pasang tv baru. Cantik giler gambar dia. Baru-baru kan. Dah lama esok malap jugak. Dah lepas tengah malam, baru laki Azizah call aku. Suruh datang ke warung. Kita orang pun bersiaplah. Keluar rumah, nampak Atikah dah duduk kat dalam kereta. Ke dari tadi dia tak keluar-keluar. Tapi masa kita orang tengok tv tadi, dia tak menangis dah. Dalam perjalanan ke warung pun dia tak menangis. Tapi nampak nervous. Ke mata aku nampak macam tu.

Tok Minah dah balik rumah dengan Budin. Tinggal Azizah dengan laki dia dan dua orang lelaki tadi je. Kita orang pun duduk semeja dengan Azizah dan laki dia. Mamat yang dua orang lagi tu lepak kat meja lain.

“Tikah ada kat dalam kereta.” Terus je aku bagi tahu Azizah.

“Hah, mana?” Azizah menjenguk pandang. Dari terkejut, muka dia jadi pucat. Aku rasa Tikah tunjuk diri dia kat Azizah.

“Sekarang awak tahu kan kenapa saya kena tanya pasal Atikah. Apa jadi sebenarnya pada dia?” Intro-intro tak main dah. Terus je direct to the point. Dah tengah malam kan. Esok pagi kena kerja.

“Saya baru belasan tahun masa Tikah mati. Jadi saya tak tahu apa jadi sebenarnya. Rasanya kami semua tak tahu cerita sebenarnya,” kata Azizah. Masih terjenguk-jenguk kat kereta. “Lepas malam hari tu, saya tengok balik album Tikah. Saja tengok-tengok gambar dia. Kita orang takdelah rapat sangat sebab dia lebih tua dari saya. Dia dah kerja dah masa tu. Bila dia mati tu, orang tua-tua jelah yang tahu cerita. Kami yang muda ni, dengar macam-macam versi. Yang mana satu betul pun kami tak tahu.”

Meleret-leret pulak intro si Azizah ni. Tapi jelaslah, dia takde info yang aku cari. Frustlah jugak. Nampaknya aku kena tanya terus kat Atikah. Bila dia Whatsapp aku ke, telefon aku ke, aku akan sembang dengan dia.

“Minta maaf sangat tak dapat tolong,” kata Azizah lagi. Muka bersalah habis.

“Takpe. Terima kasih.” Aku bangunlah nak balik. Nak buat apa tunggu lagi. Jelas dia takde info yang aku nak. Tak pun dia tak nak bagi tahu aku. Tak kisahlah. Tikah ada. Aku tanya dia nanti.

Kita orang mintak diri. Bila aku tengok kat kereta, Atikah dah takde.

Sabar jelah kan.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

86 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *