Awek Mata Bundar (Part 7)

Assalam, admin FS dan warga FS semua. Terima kasih siarkan pos saya. Selamat membaca Part 7. Kalau terkurang, mintak maaflah yer sebab abe tak sempat semak. Enjoy.

Part 7

Kejap-kejap tu dengar bunyi siren. Kami nampak ambulan sampai, disusuli sebuah jentera bomba, kereta polis dan sebuah kenderaan awam. Anggota polis dan bomba terus naik ke atas bawa stretcher. Ambulan tengah adjust kedudukan supaya bontot dia menghala ke pintu masuk. Kawan Petak yang pegawai polis tu, datang menaiki kenderaan awam. Dia mendekati kami. Masa tu aku tengah cari kelibat Atikah. Kut-kut dia mengintai macam yang dia selalu buat tu. Tapi aku tak nampak pun dia.

Lepas bersalam-salam dan ucap terima kasih kat kawan Petak, kami sembang dengan dia pasal Dahlia. Info yang dia terima, orang Asli yang pantau kawasan ni pada waktu malam, nampak Dahlia panjat trek naik ke atas. Dia orang nampak Dahlia ada ‘peneman’. Dia orang tak kacau sebab dia orang tahu ‘peneman’ Dahlia tu bukan manusia. Tikahlah tu. Siapa lagi.

Dia orang ingatkan Dahlia nak buat benda kurafat. Dahlah perempuan. Berani pulak datang ke situ seorang diri di tengah malam buta. Apa lagi yang dia orang nak fikirkan? Jadi, dia orang ikut je Dahlia sampai dia naik ke air terjun ketujuh. Tapi dia orang ikut dari dalam hutan. Dahlia naik ikut trek. Dia orang nak tengoklah Dahlia buat apa. Buang jin ke, seru jin ke, dia orang nak tengok sebab memang ada je yang datang ke situ malam-malam buat kerja syirik tu.

Lepas tu dia orang dengar Dahlia menangis. Dahlia cakap kat peneman dia tu, jangan apa-apakan dia.

“Dia nampaklah peneman dia tu ya?” potong Petak.

“Dari cerita orang Asli tu, macam dia nampak,” jawab pegawai polis tu. Aku mampu ketap bibir je.

Masa nampak Dahlia merayu-rayu kat peneman dia tu, dia orang mula syak yang Dahlia ni sebenarnya dah jadi hostage peneman dia tu. Lepas tu dia orang nampak Dahlia telefon seseorang. Dia cakap kuat-kuat, mintak tolong kat orang nama Mohsin.

“Awak ke Mohsin?” Pegawai polis tu pandang aku.

Aku angguk. “Ya.”

Masa Dahlia telefon aku, orang Asli kata Tikah tiba-tiba je ghaib. Dia orang teka Tikah dah masuk dalam tubuh badan Dahlia sebab Dahlia mula berlawan cakap sorang-sorang. Kadang-kadang dia menjerit marahkan aku, kadang-kadang dia merayu. Sambil bercakap dengan aku tu, Dahlia dah mula panjat batu. Masa tu orang Asli start merapat. Bila nampak macam dia nak terjun, dia orang terus tackle dia.

Pegawai polis tu mengakhiri cerita dia. Aku pulak, setimbun carut aku menyumpah si Tikah dalam hati, bila dengar Dahlia kena tackle. Kesian Dahlia. Mesti sakit kena tackle atas batu.

Habis cerita Dahlia, Petak dengan kawan dia bersembang pasal benda lain pulak. Aku diam je sebab gemuruh tunggu anggota bomba bawa Dahlia turun. Sejam lebihlah jugak tunggu baru dia orang tiba ke bawah. Aku terus pergi kat Dahlia. Dia pengsan. Dahi dia berdarah.

Kita orang ikut sampai ke hospital tapi tak boleh jumpa Dahlia. Esok pulak nak kerja. Jadi, Petak ajak aku balik. Berat hati aku nak balik. Takut Tikah kacau Dahlia lagi tapi aku terpaksa ikut Petak sebab mana boleh bukan keluarga tunggu kat hospital malam-malam.

Masa jalan nak ke kereta Petak, aku dah nampak kelibat perempuan berambut panjang duduk kat dalam kereta. Kadang pakai tudung, kadang free hair si Tikah ni. Suka hati dia je.
“Binawe tu ada kat dalam kereta.” Aku bagi tahu Petak. Dan-dan Petak tarik nafas lepas tu dia lepaskan dengan kuat. Benganglah tu.

Kita orang masuk dalam kereta. Muka Petak stres. Aku lagilah. Aku rasa macam nak cekik-cekik leher si Tikah. Sakit betul hati aku dengan dia.

“Malam esok aku nak jumpa Tok Minah.” Aku cakap kat Petak. Aku buat-buat macam aku tak tahu Tikah ada kat dalam kereta. Ugutan aku tu bukan sekadar cakap je. Aku dah nekad. Ni je cara yang terfikir dek akal aku nak lepaskan diri dari Atikah. Cara lain aku rasa memang tak jalan dengan si Tikah ni. Dia, dengan orang lain je yang dia berani pedajal. Keluarga dia, pandai pulak dia jaga.

“Kau nak bagi tahu Tok Minah apa jadi ke?”

“Yup! Aku nak cerita kat Tok Minah apa Tikah dah buat kat Dahlia. Lepas tu aku nak pulangkan balik gambar yang Azizah bagi tu kat Tok Minah. Suruh Tok Minah sendiri cari Hamid. Sebab aku rasa Hamid tu tahu macam mana Tikah mati,” kata aku lagi. Memang nekad dah aku masa tu. Kau kalau nak menyusahkan orang, kau susahkan ahli keluarga kau sendiri.
“Cerita je. Biar padan muka si Tikah tu,” sokong Petak.

Masa tu tiba-tiba je Tikah sua muka dia dari belakang, ikut celah bangku aku dengan bangku Petak. Dia pandang aku.

“Allah!” Aku terjerit kecil. Terkejut aku tengok muka pecah dia. Berdarah-darah.

“Napa, Sin?”

Belum sempat aku jawab soalan Petak, Tikah dah menjerit dulu. Nyaring giler. Lepas tu dia terbang keluar ikut cermin depan.

“Allahu! Hawau punya betina,” jerit Petak. Nyaris kita orang terbabas. “Kau kena halau gak hantu ni, Sin. Aku naik meluat dah dengan dia ni.”

“Memang aku nak halau pun.” Aku pun dah fed-up sebenarnya dengan si Tikah ni. Apa dia nak dengan aku pun aku tak tahu. “Betul kut cakap aku, Tak. Hamid memang ada kena-mengena dengan kematian Tikah. Entah-entah dia yang bunuh Tikah. Kalau tak takkan Tikah menjerit lepas aku sebut nama Hamid tu tadi.”

Sampai ke rumah, Petak ambik air mineral dalam botol besar dari dapur. Dia baca al-Fatihah tujuh kali dan ayat Kursi pun tujuh kali kat mulut botol air mineral tu.

“Kau nak buat apa dengan air tu?” Terkebil-kebil aku pandang dia. Lagak macam ustaz-ustaz je.

“Aku tak nak dia masuk dalam rumah ni lagi.” Petak isi air jampi tu ke dalam botol spray yang kita orang guna untuk sembur air kat baju masa nak sterika. “Kau ikut aku. Pegang bahu aku. Sama-sama kita baca ayat Kursi.”

Aku blur. Tak faham satu benda pun yang dia cakap. Tapi aku tak tanya banyak-banyak. Aku ikut je suruhan dia. Petak sembur kat dinding rumah. Pagar rumah tu dari Tikah. Kami mulakan dari pintu masuk rumah tu, sembur ke kiri. Ikut pusingan tawaf. Mulut kami tak henti-henti baca ayat Kursi masa Petak sembur air jampi tu, hinggalah kami sampai balik ke tempat kat mana kami mulakan tadi.

Lepas tu Petak keluar. Kereta kita orang, luar dalam pun dia sembur. Masuk dalam rumah, dia sembur kat muka aku. Habis satu badan aku basah. Tak tahulah betul ke tak cara dia tu tapi kalau boleh halang Tikah mengacau aku, aku on je. Lepas tu dia suruh aku sembur kat badan dia pulak. Dari hujung rambut sampai hujung kaki aku sembur air jampi tu. Memang nekad kami tak nak kena ganggu lagi malam tu. Last sekali, Petak azan kat empat penjuru rumah tu.

Malam tu kita orang tidur tenang. Takde gangguan.

Siang tu Dahlia tak masuk kerja. Aku dah agak dah. Mesti dia trauma. Staf lain tertanya-tanya tapi aku cerita kat Mr. Ong sorang. Tu pun aku bagi versi pendeknya aje. Dahlia sakit sebab dia kena rasuk lagi malam tadi. Tu je aku cakap kat Mr. Ong. Cakap panjang-panjang karang, panjang pulak dia tanya.

Habis kerja petang tu, aku pergi melawat Dahlia kat hospital. Rupanya dia dah balik rumah. Aku pergi ke rumah dia kat Seksyen 2. Tapi aku tak dapat jumpa dia.

Malam tu kita orang pergi ke Warung Tok Minah dalam pukul sebelas sebab aku nak jumpa Tok Minah dan Azizah. Pergi awal, kena tunggu lama.

Masa aku ngan Petak tengah makan, aku nampak Tikah duduk kat meja hujung. Dia pandang je aku. Dia nak tengok, kut betul aku nak cerita kat Tok Minah pasal dia kacau Dahlia semalam. Memang aku nak cerita. Aku tunggu masa Azizah tak sibuk je. Siaplah kau, Tikah. Aku cerita habis perangai buruk kau kat mak tok kau. Kurang ajar sangat perangai siapa suruh.

“Kau betul ke tak jadi cari kawan-kawan hantu tu? Kalau tak jadi, aku nak cancel cuti aku,” kata Petak.

“Terpaksa batalkan. Kalau tak dia kacau Dahlia lagi.” Aku pandang je Tikah masa aku cakap tu. Bengang je aku dengan dia.

Lepas ni mesti Dahlia tak nak kat aku lagi dah. Tadi pun, masa mak Dahlia sambut aku, manis je senyuman dia. Bila aku bagi tahu nama aku, terus muka mak dia berubah. Terus kata Dahlia tak nak jumpa sesiapa. Kecewa aku.

Cakap jelah tak nak jumpa aku. Kan senang. Takpe. Aku faham. Dahlia marah. Sebab orang lain, dia dapat sakit. Kalau jadi kat aku pun mesti aku marah.

“Lusa aku nak balik kampung. Nak berubat buang badi si Tikah ni dari badan aku. Kau nak ikut?” Masa aku cakap ni, aku pandang Tikah. Muka dia sedih je. Hah, padan muka. Suka-suka hati je ikut aku. Nyusahkan aku. Rosakkan hubungan aku. Ingat aku suka?

“Tak dapatlah, Sin. Hari Ahad aku kena hantar tunang aku ke KLIA.”

“Dah nak balik Scotland ke?” Tunang Petak masih belajar di Scotland. Tiga tahun lagi baru habis.

“A ah.”

“Kirim salam kat dia.”

“Insya-Allah.”

Aku bagi tahu Budin, aku nak jumpa kakak dan mak tok dia lepas dia orang habis kerja. Laki Azizah pun ada kat situ. Dia pandang aku semacam je. Yalah. Hari tu aku dah kata aku takkan kacau Azizah lagi. Masalahnya, kalau hantu sepupu bini dia tak kacau aku, takdelah aku kacau bini dia.

Bila Azizah dan Tok Minah duduk semeja dengan aku, laki Azizah angkut kerusi nak duduk dengan kami. Tapi Tok Minah suruh dia main jauh-jauh. Berbunyi jugaklah dia, tak puas hati sebab kena halau. Tapi Tok Minah memang power. Siap ugut laki si Azizah sampai mamat tu terpaksa blah dari situ.

Lepas drama tu, aku pun bagi tahu kat Tok Minah dan Azizah apa Tikah buat kat aku dan Petak. Masa tu aku nampak muka Tikah semakin sedih. Tau pulak kau malu bila keluarga kau tahu perangai buruk kau.

“Kat situlah dia mati,” kata Azizah bila aku cerita pasal Dahlia pulak.

“Shhh!” Tok Minah siku Azizah.

“Sebab apa dia mati? Dia bunuh diri ke?” Aku tanya kat Tok Minah. Takde nak berlapik-lapik lagi dah. Tok Minah ni spesis simpan pekung keluarga. Memang semua orang pun macam tu. Aku tak nafikan. Tapi kalau pekung keluarga kau dah nyusahkan orang lain, kau kena buat sesuatu.

“Mulut kamu tu jaga sikit.” Tok Minah bagi amaran kat aku.
“Masalahnya, Tok Minah dia nak apa dengan Mohsin?” Petak masuk campur. Tak takut lagi dah Tok Minah blacklist dia. Bangga aku dengan dia. Alah, Petak, banyak lagi kedai makan kat Shah Alam ni. Nak heran apa kalau kita kena blacklist!

“Tok Minah, saya tak tahu apa arwah cucu Tok Minah nak dengan saya. Saya nak balik kampung berubat. Nak buang badi dia kat saya. Saya nak Tok Minah pun buatlah sesuatu supaya roh dia aman,” kata aku.

“Kamu nak suruh mak tok buat apa?”

“Saya tak tahu, Tok Minah. Tok Minah pergilah jumpa ustaz mana-mana mintak tolong supaya Tikah tak kacau orang lain lagi dah lepas ni. Ni.” Aku hulur gambar Atikah yang Azizah bagi aku hari tu. “Tok Minah cari lelaki ni. Saya rasa dia boleh tolong Tok Minah.”

Tok Minah belek gambar tu. “Ni macam muka si Hamid.”

“Tok Minah kenal dia?” Aku terkejut. Dan-dan aku yakin si Tikah memang ada skandal dengan si Hamid ni. Sebab takkan Tok Minah ingat lagi kat lelaki tu kalau dia orang kawan biasa je. Benda dah lama jadi. Sepuluh tahun yang lalu. Mustahil Tok Minah ingat.

Masa tu Tikah datang pelan-pelan kat aku. Mata dia merah menyala merenung aku. Dah menggigil badan aku dibuatnya. Tapi aku kuatkan semangat sebab aku rasa tekaan aku tepat kena sasaran. Memang Hamid ada kena-mengena dengan kematian Tikah. Pasal apa pulak Tikah nak marah kalau tekaan aku tu salah.

“Kawan-kawan Tikah ni. Hamid, Saleha, Maya,” kata Tok Minah lagi. Dia terbalikkan gambar tu. “Ha betullah. Masa Tikah hilang hari tu, seminggu budak-budak ni berulang ke sini nak tanya khabar berita Tikah. Masuk hari ketujuh, Hamid datang ke rumah cari mak tok. Dah malam dia datang. Kata dia, ada anak murid bagi tahu dia yang Tikah pergi berkelah kat Templer Park. Hari yang dia hilang tu dia pergi. Malam tu Hamid sendiri bawa mak tok ke balai. Buat report polis. Tiga hari tiga malam kami cari Tikah kat sana. Lepas kami buat solat hajat, baru Tikah timbul. Dah takde rupa dia dah masa tu. Baju dia je mak tok kenal.” Tok Minah kesat air mata dia.

Menyesal pulak aku buat dia menangis. Tikah pun meratap sambil peluk mak tok dia. Tapi aku rasa dia bagi aku sorang je nampak dan dengar suara dia sebab yang lain rileks je. Hawau! Sengaja nak bagi aku rasa bersalahlah tu.

“Polis nak buat post-mortem.” Tok Minah gosok-gosok lengan dan bahu dia. Bulu roma dia aku tengok dah meremang. Dia dapat rasa kut Tikah tengah peluk dia. “Tapi Hamid nasihat tak payah,” sambung Tok Minah.

“Kenapa pulak dia tak bagi?” Cepat je aku potong cakap Tok Minah. Aku pandang Petak. Pelik aku dengan si Hamid ni. Pasal apa pulak dia beria-ia tak bagi hospital buat post-mortem pada mayat Tikah? Ada apa-apa ke?

“Hamid cakap nanti roh Tikah terseksa. Sebab nanti hospital belah badan dia, belah kepala dia, keluarkan isi perut dia, otak dia. Hamid cakap, dah selesai nanti, hospital bukannya masukkan balik isi yang dia orang keluarkan tu kat tempat dia. Semuanya dia orang sumbat dalam perut lepas tu jahit.” Tok Minah dah mula teresak-esak. “Mak tok tak sampai hati buat Tikah macam tu. Cucu kesayangan mak tok tu. Sama macam Ejah. Sama macam Budin.” Tok Minah tarik kepala Azizah. Lama jugak dia dengan Azizah menangis sambil laga kepala. Budin yang duduk tak jauh dari kami, terus tunduk. Dari mula tadi dia tunduk. “Dahlah Tikah mati dengan cara macam tu. Mak tok tak sampai hati seksa mayat dia lagi. Jadi, mak tok ikut cakap Hamid.”

“Polis cakap tak punca dia mati?” tanya aku sambil pandang Atikah. Kepala dia terlentok kat atas bahu Tok Minah.

“Polis cakap, Tikah jatuh tergelincir lepas tu dia terhempas kat atas batu. Sebab tu muka dia pecah,” jawab Tok Minah.

“Memang betul ke dia terjatuh?” Tak puas hati aku dengan jawapan Tok Minah tu. Kalau eksiden, apahal si Tikah ni mengekor aku?

“Itu mak tok tak tahu.” Tok Minah menggeleng.

“Apa maksudnya?”

“Polis tu cakap, sebab mak tok tak bagi buat post-mortem, dia orang tak tahu apa jadi sebenarnya. Jadi, dalam report tu dia orang tulis Tikah mati terjatuh.” Ratapan Tok Minah sama sendu dengan ratapan Atikah dan Azizah.

“Tak boleh buat apa-apalah sekarang?” omel aku seorang diri.

Tok Minah menggeleng. “Tak boleh dah. Dah lama sangat. Hari kami kebumikan Tikah, polis tu datang lagi. Dia cakap kalau mak tok nak ubah fikiran nak buat post-mortem, masih boleh lagi. Lepas tiga bulan, tak boleh dah. Kes tu tak boleh dibukak balik lepas tiga bulan. Sekarang ni dah sepuluh tahun. Lagilah tak boleh. Polis tu macam nak suruh mak tok buat post-mortem je. Dia kata, biar kematian Tikah terbela. Tapi bila dia cakap, kalau nak buat post-mortem kena korek kubur Tikah, kena bawa keluar jenazah dia, tu yang mak tok tak jadi tu. Baru je tanam dah nak korek balik. Buat apa nak seksa dia lagi.” Tok Minah mengeluh panjang. “Satu je yang mak tok tertanya-tanya sampai sekarang. Siapa yang bawa Tikah pergi ke air terjun tu? Dia berkelah dengan siapa? Sebab kereta dia ada kat rumah sewa dia. Tapi polis tu kata, dia orang tak boleh siasat sebab mak tok tak nak buat post-mortem.”

“Tikah ada kat sini. Mungkin dia boleh jawab.” Aku pandang Tikah. Siapa lagi yang boleh jawab soalan tu selain dia?

Atikah angkat kepala dia dari bahu Tok Minah. Dia punya marah kat aku, dia tunjuk muka buruk dia. Hawau betul! Demam balik rasanya aku malam ni, terkejut tengok bola mata dia sebelah dah tercabut dari soket. Tergantung-gantung je kat pipi dia. Mata sebelah lagi bulat takde kelopak.

Dah bagi aku trauma, lepas tu Tikah terus hilang.

“Betul ke dia ada kat sini?” Tok Minah pandang merata. Muka dia pucat lesi.

“Tadi dia ada. Sekarang dah hilang,” kata aku, tak berani nak bagi tahu Tok Minah yang selama ni Tikah peluk dia. Pengsan pulak orang tua tu karang. “Tok Minah, kalau boleh Tok Minah cari Hamid ni. Saya tak boleh cari dia sebab saya tak nak Tikah kacau Dahlia lagi.”

“Kat mana mak tok nak cari dia?”

“Internet. Zizah, kau ada Facebook?” Aku tanya kat Azizah. Idea tu baru datang kat aku.

“Ada.” Azizah mengangguk.

“Kau scan gambar ni. Kau masukkan kat dalam Facebook kau. Kau tanya kat universiti tempat dia mengajar dulu. Mesti ada orang tahu kat mana Hamid sekarang.” Aku mengajar Azizah.

“Baiklah, bang.”

Aku dengan Petak mintak diri lepas tu. Tikah tak ikut pulak kita orang balik. Mungkin dia tengah mengubati hatinya yang luka. Atau menyorok sebab takut rahsia dia dah nak pecah. Whatever it is, Tikah, aku akan pastikan kau tak mengekor aku lagi dah lepas ni.

Sampai rumah, Petak terus pagar rumah macam semalam. Tujuh malam berturut-turut dia kena buat. Seeloknya pagar sebelum maghrib.

“Patutnya aku buat sama waktu macam semalam. Tak larat aku nak tunggu jam 3 pagi,” kata dia.

Aku pun tak larat. Siang nak kerja. Malam nanti aku nak gerak balik kampung. Lima jam perjalanan. Sorang-sorang pulak tu.
Lepas Petak habis azan kat empat penjuru, aku mandi. Basah-basah badan je sebab tak baik mandi tengah malam buta. Keluar dari bilik air, aku ingat nak terus tidur. Tapi aku dengar suara tv kat ruang tamu. Siapa pulak yang pasang tv ni? Berdebar jantung aku langsung hilang ngantuk. Setahu aku Petak dah tidur sebab tadi dia masuk bilik terus katup pintu. Selalunya dia masuk tidur kalau dia siap katup pintu. Tikah punya kerja ke? Memang tak lut ke pendinding yang kami buat tadi?

Fuh! Lega aku bila nampak Petak tengah main laptop dia kat ruang tamu. Tengok porn ke? Pasang tv tapi tutup lampu.

“Sin!” Petak paling kepala dia panggil aku.

Aku duduk kat sebelah dia.

“Kau bagi aku idea tadi.” Dia tunjuk aku apa dia dah buat. Dia masuk grup universiti tempat Tikah pernah mengajar dulu, lepas tu dia contact admin grup tu. “Tunggu dia balas je.” Petak tutup laptop dia.

“Otak kau memang geligalah.” Aku puji dia. Bukan senang aku nak puji orang. Lagi-lagi Petak.

“Harapnya dia kenal Hamid.”

“Kalau dapat cari Hamid, aku nak pergi jumpa dia.” Aku buat keputusan. Memang tadi aku nekad tak nak masuk campur dalam hal Tikah lagi dah tapi dah sampai tahap ni, mestilah aku nak tahu apa jadi dengan Tikah. Jangan Hamid kata dia tak tahu apa-apa sudahlah. Tapi aku yakin sangat, Hamid tahu apa jadi kat Tikah.

Kita orang masuk tidur. Macam malam semalam, kita orang tidur nyenyak. Tapi pagi tu aku tengok ada Whatsapp daripada Tikah masuk.

Tikah: Tak payah tak payah tak payah tak payah tak payah tak payah tak payah tak payah tak payah tak payah tak payah tak payah tak payah tak payah tak payah tak payah tak payah tak payah tak payah tak payah tak payah tak payah…

Aku teka dia tak bagi aku cari Hamid. Dia dengar kut perbualan aku dengan Petak malam tadi. Tercongok kat luar rumah kut pasang telinga.

Aku: Tak payah apa?

Tikah: Hamid

Aku: Bukan aku yang carilah. Mak tok kau yang cari.

Tikah: Tak payah! Aku kacau Dahlia.

Aku: Aku cakap kat mak tok kau!

Diam terus dia lepas tu. Dia ingat dia sorang je pandai ugut!
Hari tu aku pergi kerja naik kereta. Sebab habis kerja nanti aku nak terus balik kampung. Tak sabar dah aku nak pergi berubat. Dahlia dah masuk kerja tapi sikit pun dia tak nak tegur aku. Seboleh-bolehnya dia mengelak bercakap dengan aku tapi kalau terpaksa jugak, suara dia serius je masa tanya itu ini. Tak manja macam dulu. Aku sedihlah jugak orang layan aku macam tu tapi yalah. Aku faham. Tapi sempatlah jugak aku suruh dia cari ustaz yang power tolong buatkan pendinding untuk dia. Atikah dah bagi ugutan. Aku takut dia betul-betul kacau Dahlia lagi.

On the way balik kampung, Atikah tak kacau aku. Tak pastilah sama ada dia ikut aku ke tak sebab kereta aku tak berat. Tapi masa aku singgah kat RnR, ada sorang budak kecik ni menangis-nangis lepas dia pandang kereta aku. Seram siut aku dibuatnya. Terpaksa aku tunggu orang kereta sebelah masuk dalam kereta dia, baru aku berani masuk kereta aku. Sekurang-kurangnya masa gerak tu aku tak sendirian.

“Jangan kacau aku. Aku tak kacau kau, kau jangan kacau aku,” kata aku masa nak start enjin kereta. Bertingkat-tingkat ayat Kursi aku baca hingga aku sampai ke rumah ibu. Sampai-sampai, ibu tanya soalan yang buat aku rasa macam nak jual je kereta aku tu.

“Kamu balik dengan siapa?” Ibu terjenguk-jenguk ke luar rumah. Dah lepas tengah malam dah masa tu.

“Yang tulah kacau Cin tu, bu.”

“Elok pulak pakai tudung, ya.” Ibu geleng kepala. Tutup pintu.

“Rumah ni berpagar tak, bu?”

“Bapak besar punya pagar kat luar tu…”

“Bukan pagar itulah!” Ibu aku kalau buat lawak bodoh, memang nombor satu.

“Insya-Allah makhluk halus tak boleh masuk rumah ni.” Ibu meyakinkan aku. “Dah makan?”

“Dah tadi. Nak tidur je.”

“Basuh sikit badan kamu tu. Ambik wuduk baru tidur.”

Esoknya ibu bawa aku pergi berjumpa dengan ustaz yang memang power kat kampung kami. Aku cerita kat ustaz tu dari A sampai Z.

“Dia ada kat luar tu,” kata ustaz tu. “Mana kamu dapat perempuan garang macam tu?” Ustaz ketawa mengusik.

“Bekas lecturer tu,” kata aku.

“Patutlah kuat memerintah.” Ustaz picit-picit leher aku, bahagian antara tulang belikat aku. “Dia pernah masuk dalam badan kamu tak?”

“Pernah.”

“Dia dah tinggalkan tanda dalam badan kau,” kata ustaz tu. “Dia berkenan kat kamu. Masa kamu mandi kat air terjun tu, kamu sopan sangat. Mintak izin dia nak mandi kat situ. Dia terpikat.”

“Mana ada?” Lepas jawab baru aku teringat. Masa aku naik ke air terjun ketujuh dengan beberapa orang staf lelaki, aku mintak izin nak terjun dari atas batu, kat sorang perempuan yang duduk kat atas batu tu. Aku teringat aku mintak maaf kat dia kalau air terpercik kat dia.

Masa tu aku tak nampak muka dia sebab dia tunduk je. Hari pun dah dekat nak senja. Lepas tu aku tak ingat langsung kat dia sebab seronok sangat mandi-manda.

“Ingat dah?” Ustaz tu tersengih-sengih. “Dia dah berkenan kat kamu,” ulang ustaz tu sekali lagi.

“Tolong buang tanda tu pada badan saya. Saya tak nak dia kacau saya lagi,” kata aku.

“Bereh.”

Mandi air limau aku pagi tu. Lepas tu ustaz tu ruqyah aku dan bagi aku ayat untuk diamalkan jadi pendinding. Aku kena amalkan ayat tu tak boleh putus.

“Dia pesan jangan kacau Hamid,” kata ustaz tu lepas selesai mengubati aku.

“Siapa kacau siapa dulu, ustaz?” Aku balas balik.
Ustaz tu sengih je.

Petang esoknya, aku balik semula ke Shah Alam. Lepas solat maghrib kat RnR, aku masuk lebuh raya balik. Masa tu aku terima panggilan telefon daripada Petak.

“Aku jumpa dia, Sin,” kata Petak.

“Hamid?”

“Yup!”

Hati aku berdebar-debar. Teruja. Takut. Semua ada.

“Kau bila balik?”

“Lagi dua jam sampai. Kalau sempat kita makan kat Warung Tok Minah.”

Selesai bercakap, aku tersenyum. Akhirnya, misteri Atikah akan terungkai.

Tiba-tiba cermin depan kereta aku berkabus. Aku dah tak sedap hati. Aku baca ayat Kursi sebab ayat pendinding yang ustaz bagi semalam tu aku belum hafal lagi. Sekuat hati aku baca ayat Kursi tu sambil lap kabus belah dalam cermin dengan tapak tangan aku. Cari kain tak jumpa.

“Allahu!”

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

39 comments

  1. Jujur aku ckp penulis ni baik orangnya..
    Ada hikmah beliau diuji sebegini…
    Allah Maha Melihat .. sebab tu orang2 masjid cakap makin dasyat dugaan orang tu semakin kuat imannya… Allah menguji berdasarkan kemampuan seseorang..Allahuakhbar!!!
    Teruskan sambungan please …..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *