BALIKLAH
SELALUNYA Aku akan menjadi penghuni terakhir yang akan pulang dari bilik pejabat jabatanku di tingkat empat. Maklumlah tugas sebagai Ketua Jabatan menuntut komitmen yang tinggi. Kerja memang tidak pernah habis. Kadang-kadang menjelang Maghrib baru Aku pulang ke rumah. Tambahan lagi waktu ada tugasan yang diminta oleh atasan dan perlu disiapkan segera. Pasti Aku balik lambat. Sendirian. Itu perkara biasa padaku.
Biasanya teman-teman setanggungjawab, sebagai ketua jabatan yang lain, ramai yang balik lewat juga. Jadi sebenarnya Aku tidaklah sendirian di bangunan itu. Ada teman dalam diam. Cuma lokasi lain-lain. Ada lah rakan ketua jabatan yang prihatin tu sms. “Saya masih belum balik juga.” Sms Suy Ketua Jabatan sebelah. Jadi tenanglah kami buat kerja di bilik masing-masing.
Di saat rakan-rakan sejabatan telah berada dalam pangkuan keluarga kami Ketua Jabatan masih gigih bersengkang mata di pejabat menyelesaikan apa yang penting.
Sehinggalah peristiwa petang itu. Di luar hujan gerimis namun masih ada sinar matahari. Aku sedang asyik menaip tugasan di komputer ribaku. Aku duduk membelakangi tingkap di bilikku. Memang aku atur landskap bilik kerjaku begitu. Aku tidak minat memandang arah tingkap. Nanti terganggu fokus kerjaku. Sebelah luar tingkap ialah koridor laluan para pensyarah dan pelajar untuk ke kelas. Tingkap bilikku sentiasa bertutup kerana mengelakkan mesyuarat tingkap.
Waktu aku selak langsir jendela bilikku petang itu, aku nampak ada pelangi indah melingkari langit petang. Patutlah detik hatiku. Hujan panas. Terkenang lagu kegemaranku. Lagu Pelangi Petang nyanyian almarhum Sudirman. Aku kembali duduk menghadap komputer riba sambil menyanyikan lagu Pelangi Petang perlahan-lahan.
Tiba-tiba aku dengar bunyi tapak kaki di luar tingkap menghampiri bilikku. Aku agak mesti pelajar dari kelas sebelah atau jabatan di sudut hujung bangunan. Tetapi sampai di tepi bilikku bunyi tapak kaki itu semakin perlahan dan berhenti. Derapnya tidak kedengaran lagi. Aku menunggu. Siapakah gerangan pemilik tapak kaki itu?
Kemudian dia bersuara “Nazaaaa, baliklaaahh…dah lahhhh tuuu.” Aku senyum sendiri. Nyanyianku terhenti. Mesti temanku Suy Ketua Jabatan sebelah tu yang mengusik aku. Dan aku kenal sangat suaranya sebab kami memang selalu bersembang. Sembang hal yang baik-baik sahaja. Itupun waktu makan di kafe. Bukan di tingkap bilikku.
Aku pun bangun dari kerusi. Langsir aku kuak. Aku intai sambil senyum. Tak nampak sesiapa pula. Tingkap sliding aku tolak untuk membuka. Agak ketat tingkap itu sebab jarang dibuka. Apabila berjaya, aku jengukkan kepala intai ke luar. Tiada sesiapa juga. Hatiku teruja. Mesti rakanku Suy bergurau denganku. Mesti dia menyorok di pintu depan pejabatku.
Aku pun santai melenggang keluar dari bilikku sambil meregangkan badan yang penat setelah seharian bekerja. Aku buka pula pintu luar jabatanku. Menjengukkan kepala mengintai ke belakang pintu. Tiada orang. Aku hala pandangan ke arah tangga mencari pemilik suara nakal yang ingin bercanda petang-petang begitu. Tetapi aku terlambat agaknya. Tiada bayangan sesiapa pun di sana. Sepi sahaja suasana. Gerimis sudah berhenti. Bau tanah selepas gerimis kurang menyenangkan.
Aku menutup pintu dan kembali ke bilikku. Hatiku berkata-kata. “Mesti budak Suy itu berjalan pantas menuruni tangga tadi agar aku tidak sempat melihat dia”. Aku sambung menyanyikan lagu Pelangi Petang. Sampai pada lirik…engkau tibaaa bagaikan pelangiiii…, Aku terhenti.
Tiba-tiba angin dingin menderu masuk daripada tingkap bilikku yang terbuka. Tadi aku lupa tutup kerana bergegas keluar mengejar Suy. Cepat aku tutup daun kaca tingkap sliding itu. Mengah juga sebab agak ketat daun tingkap itu. Langsir itu aku tarik rapat kembali. Entah kenapa bulu romaku meremang bila aku memandang ke luar tingkap. Suasana di luar seolah-olah telah malam. Pelangi petang yang indah telah tiada. Angin dingin itu pula membawa aroma yang kurang kusenangi. Waah…ini sudah luar biasa, cetus hati kecilku.
Aku tinggalkan semua kerja. Sambar tas tangan. Matikan semua punca elektrik. Kunci pintu, sarung kasut dan turun tangga perlahan-lahan. Kerana kakiku yang baru patah jemarinya tidak memungkinkan aku melompat turun tangga. Ikutkan hati memang aku ingin melompat turun terus ke lobi. Mulutku kumat kamit membaca ayat Qursi hinggalah aku punch card dan menapak masuk ke kereta. Di tempat letak kereta, aku jeling ke arah ruangan parkir Suy di sebelah hujung. Memang kosong.
Sambil memandu aku buka surah al Baqaroh. Merdu alunan suara Mishary. Perasaanku tidak menentu. Sesampai di rumah, aku membersihkan diri dan mendirikan solat Maghrib. Selepas mengaji sementara menunggu Isya, Aku capai telefon dan sms rakanku Suy ketua jabatan sebelah.
“Salam Suy. Tadi petang dalam jam 6.30 kau lalu sebelah bilik aku kan? Pas tu kau usik aku. Kau suruh aku balik. Lepas tu kau cepat-cepat menyorok dan turun tangga kan?”
Tidak lama kemudian Suy membalas smsku
“Waalaikum salam. Eh…taklah Naza….Hari ni aku tak sihat. Aku balik cepat. Kul 4.30 tadi aku terus balik. Tadi tak lalupun kat bilikmu. Aku lalu ikut sebelah pejabat”
“Habissss tuuu….siapa yang panggil nama akuuu? Kemudian suruhhh aku balikkkkk cepattt tu??? Balasku.
“Sumpah Nazaaa…bukan akuuuu,” smsnya lagi.
Allahu…
Hantar kisah anda ; fiksyenshasha.com/submit
SMS? Tahun berapa ni Dr Naza? Sbb, zmn skrg ni, org gne whatsapp je.
Tu mungkin jin baik tu, atau mungkin juga beragama Islam. Sb tu selama ko bertugas kat situ baru sekali tu dia tegur kan? dia cuma sruh balik je Sb dah x de org lain selain ko kat situ.
Lain kali selalulah ingat kat Allah SWT. Bawak berzikir, puji pencipta seluruh alam agar mereka yg menghuni tempat tu tau ko punya iman dan kepercayaan terhadap Allah SWT.
Begitu banyaknya menaip ‘Ketua Jabatan”…aduhai….
👍👍👍👍👍👍
🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Cerita yang menarik dan tersusun. Penulisan penulis membuatkan saya dapat membayangkan situasinya. Tahniah!