Hazimah memandang wajah Adibah yang kelihatan penat itu. Kasihan. Sepanjang hari menjaga sahabatnya di hospital. Sahabat mereka, Aliah, yang belajar bersama-sama mereka di kolej selama empat tahun, tiba-tiba jatuh sakit, meracau tak henti-henti seperti dirasuk. Dibawanya ke hospital, doktor segera menidurkannya dengan ubat penenang dikhuatiri dia akan cuba mencederakan dirinya dan orang lain. Sebab apa? Doktor tidak mampu menjawab soalan tersebut. Segala macam ujian telah dilakukakn. MRI, CT Scan, ujian d***h dan lain-lain, normal. Kadangkala kerosakan di bahagian otak atau demam panas boleh menyebabkan seseorang itu meracau atau sawan kecil. Tetapi, demam pun tiada, dan kerosakan otak juga tidak dapat dikesan walaupun dengan MRI. Nak tak nak, doktor terpaksa melaporkan penyakit yang dialami itu sebagai gangguan mental atau tekanan perasaan yang serius. Hazimah dan Adibah agak kecewa dan sukar menerima diagnosis itu. Mereka mengenalinya empat tahun lamanya. Dia seorang yang sangat ceria. Semua yang duduk atau rapat dengannya pasti merasa senang dan selesa kerana dia seorang yang sangat positif dan mesra. Cuma permulaan semester baru sejak 3 minggu yang lepas ini sahaja kelihatan Aliah mula berubah. Dia lebih suka menyendiri dan kurang berbual dengan mereka walaupun tinggal di bilik yang sama. Hazimah dan Adibah menganggap bahawa mungkin Aliah agak sibuk kerana projek tahun akhirnya melibatkan kajian yang sukar. Tetapi, anggapan mereka meleset apabila satu malam, Aliah menjerit-jerit dan meracau, cuba untuk melompat dari tingkap biliknya di tingkat empat itu.
Hazimah dan Adibah kembali ke bilik mereka malam itu. Sebelum mereka tidur, mereka pergi ke bahagian bilik Aliah. Terdapat banyak lukisan dan tulisan comot di atas meja Aliah. Hazimah membelek-belek kertas-kertas tersebut sambil diperhati Adibah.
“Cuba kau tengok ni Adibah, siapa yang cuba kacau Aliah ni sebenarnya?” Hazimah bertanya Adibah apabila melihat beratus helaian kertas di atas meja Aliah yang tertulis “JANGAN KACAU AKU!”
Adibah menggelengkan kepala. Wajahnya sugul. Tidak bermaya. Mereka berdua kembali ke bahagian bilik mereka masing-masing. Selesai membersihkan diri, mereka merebahkan diri ke atas katil masing-masing. Tiba-tiba telefon Adibah berdering.
“Hello?” Adibah menjawab.
“Ini Cik Adibah ke? Saya telefon dari hospital ni. Cik Aliah dah tersedar. Dia dok panggil-panggil Cik Hazimah dan Cik Adibah. Kami dah beritahu kamu akan datang esok pagi. Tapi dia berkeras nak jumpa juga kamu berdua malam ini.”
Demi sahabat tercinta, Hazimah dan Adibah segera pergi ke hospital yang perjalanannya sekitar 30 minit dari kolej mereka. Setibanya di hospital, mereka pergi ke katil Aliah. Melihat mereka, Aliah menjerit kegembiraan. Adibah dan Hazimah memeluk Aliah dan bertanya bermacam soalan sebelum diisyaratkan oleh jururawat di situ untuk bercakap dengan perlahan.
“Korang kena tolong aku. Dia taknak lepaskan aku.” Kata Aliah.
“Siapa Yah? Siapa yang tak nak lepaskan kau ni?” Hazimah bertanya.
“Dia tu. Kau nampak tak? Dia tu.” Aliah berkata sambil menunjukkan ke arah satu penjuru hospital itu. Tiada siapa pun di situ.
“Takda sapa pun kat situ Yah.”
“Ada. Kau nampak tak lelaki tu. Aku takut Yah. Dia kata dia suka aku. Dia nak kahwin dengan aku. Boleh tak kau tolong halau dia. Kadang-kadang dia baring kat sebelah aku. Aku takut. Korang tolong aku.” Aliah berkata. Suaranya bergetar-getar ketakutan.
Hazimah dan Adibah memandang satu sama lain. Wajah masing-masing penuh pertanyaan. Mereka membuat keputusan untuk memanggil Dr. Halim, salah seorang pensyarah kolej mereka yang pernah mengikuti kursus perubatan Islam. Mungkin dia boleh membantu.
Keesokan paginya, Dr. Halim datang berjumpa dengan Aliah. Aliah kelihatan lebih baik dari sebelumnya. Wajahnya masih pucat dan kelihatan ketakutan, tetapi dia sudah mula boleh bercakap tanpa meracau. Dr. Halim meminta Aliah menceritakan segala perkara yang berlaku.
“Hari pertama semester baru bermula, saya, Haz dan Dibah masuk bilik baru. Tiap-tiap hari saya dapat nota ‘i love you’ bertulis dengan tulisan berwarna merah atas meja bilik saya. Saya tanya Dibah dan haz, mereka kata mereka tak tulis semua tu. Tiap-tiap malam saya akan nampak seorang lelaki di luar tingkap bilik saya melambai-lambai ke arah saya seolah-olah dia sedang berdiri di atas angin Saya takut dan saya akan berselubung dengan selimut. Saya buka selimut saya, dia duduk di sebelah saya atas katil saya….saya takut…” Aliah mula menangis.
Hazimah dan Adibah memandang satu sama lain. Mereka terkejut dengan penjelasan itu.
“Kenapa kau tak pernah cita benda ni kat kitorang?” Adibah bertanya.
“Aku takut korang ingat aku gila.” Aliah berkata lagi sambil menangis.
Dr. Halim menelefon warden asrama, Puan Rohaiza kolej kami untuk meminta kebenaran datang ke asrama kami. Dia meminta semua pelajar wanita untuk berpakaian sopan atau duduk di bilik masing-masing semasa di datang. Puan Rohaiza pun datang bersama semasa Dr. Halim datang ke bilik kami. Dr. Halim terlebih dahulu masuk ke dalam bilik kami. Dia masuk ke dalam ruang bilik Aliah dan memeriksa setiap bahagian. Kami tunggu di luar bilik sekadar melihat apa yang sedang dilakukan oleh Dr Halim dari luar.
Jam menunjukkan pukul 8.30 malam. Dr. Halim mengajak kami untuk makan malam bersama beliau di kedai mamak di luar kampus kami.
“Macam inilah Dibah, Hazimah, saya tak nampak apa-apa yang pelik pun di bilik kamu. Kamu rasa Aliah cakap benar ke? Mungkin dia putus dengan boyfriend dia ke ape ke? Saya rasa dia menipu.” Dr. Halim memulakan kata-katanya dengan terus terang. Adibah dan Hazimah tergamam. Tidak mereka menyangka Dr. Halim jenis yang begitu berterus terang. Hazimah agak marah dengan tuduhan Dr. Halim itu, tetapi atas dasar hormat dengan pensyarah mereka, dia menahan perasaannya.
“Dia takde boyfriend pun Dr. Dia tak pernah ada.” Hazimah menjawab.
“Awak ada boyfriend tak, Haz. Awak pun cantik saya tengok.” Dr. Halim berkata. Lidahnya terjelir keluar. Hazimah dan Adibah terkejut.
“Dr Halim ni apa pasal miang gatal sangat ni?” Hazimah tidak boleh lagi mengawal perasaan marahnya.
Dr. Halim menenung wajah Hazimah dengan tenungan yang tajam. Kemudian dia ketawa berdekah-dekah. Beberapa pelanggan kedai mamak itu memandang Dr. Halim dengan reaksi pelik.
“Kau ingat Dr kau ada lagi ke? Aku ni Razman. Bukan Halim. Aku dah jatuh cinta dengan Aliah sebelum ini. Sekarang baru aku perasan kau lagi cantik. Aku dah suka dengan kau pulak.” Suara garau tetapi lembut keluar dari mulut Dr. Halim. Adibah dan Hazimah sedar yang mereka bukan tengah bercakap dengan Dr. Halim sekarang ini, tetapi makhluk ghaib yang menganggu Aliah sebelum ini. Sesuatu telah berlaku pada Dr. Halim semasa dia memeriksa bilik mereka. Adibah dan Hazimah segera berlari keluar dari kedai mamak itu balik ke kampus mereka. Mereka tidak berani kembali ke bilik mereka. Mereka pergi ke bilik rakan mereka yang lain untuk bermalam di situ.
Adibah menelefon Ustaz Razif, warden asrama lelaki dan memberitahu apa yang berlaku. Ustaz Razif berjumpa mereka di bilik kaunseling pelajar malam itu juga ditemani dua tiga orang pelajar lelaki. Mereka berjalan ke arah pagar kampus dan melihat kereta Dr. Halim sedang bergerak masuk ke dalam kampus. Tetapi yang memandunya bukan Dr. Halim, tetapi seorang lelaki berpakaian lusuh dengan wajah yang kusut masai. Dia memandang Ustaz Razif dengan tajam, tetapi apabila pandangannya beralih ke Hazimah, wajah garang tadi bertukar jadi wajah mesra. Hazimah dan Adibah yakin inilah Razman, makhluk ghaib yang telah menguasai Dr. Halim dan mengganggu Aliah.
Dr. Halim keluar dari kereta itu berjalan menuju ke arah Hazimah. Ustaz Razif menangkap dan memegang Dr. Halim dibantu oleh beberapa orang pelajar lain. Ayat-ayat suci al-Quran dibacakan untuk menghalau Razman keluar dari badan Dr. Halim. Dr. Halim menjerit kesakitan setiap saat ayat Quran dibacakan.
“AKU AKAN B***H HALIM DENGAN ALIAH!! AKU AKAN BAWA ALIAH BERSAMA-SAMA AKU!!!” jerit Razman dalam kesakitan itu. Hazimah dan Adibah menangis. Mereka tidak pernah melihat Dr. Halim dalam keadaan sedemikian rupa.
Setelah beberapa lama, Dr. Halim pengsan. Dia tersedar setelah beberapa jam dan gaya percakapannya menunjukkan bahawa Razman tidak lagi menguasainya.
Ustaz Razif datang kepada Hazimah dan Adibah lalu berkata,
“Ustaz yakin jin ini sama ada dah terbakar atau dah pergi dari sini. Tapi langkah berhati-hati ialah, kamu pindahlah ke bilik lain dan banyakkan membaca ayat-ayat perlindungan.”
Hazimah dan Adibah mengangguk.
Seminggu kemudian, Aliah telah kembali pulih dan mereka bersama-sama duduk di bilik lain di kolej kediaman lain atas ehsan warden asrama. Aliah telah kembali ceria seperti sediakala. Malam itu mereka berbual tentang kejadian yang berlaku dan bagaimana ianya terjadi. Selesai perbincangan itu, mereka berjanji bahawa mereka tidak akan buka lagi cerita itu selepas ini. Masing-masing balik ke ruangan bilik mereka untuk tidur.
“Hai Hazimah. Rindu tak dengan aku.” Satu suara yang sangat dikenali oleh Hazimah datang dari tingkap biliknya. Hazimah perlahan-lahan membuka matanya. Satu tangan menariknya keluar dari tingkap itu dan dia jatuh ke atas lantai keras di bawah dari tingkat empat. Razman telah menunaikan janjinya, tetapi bukan Aliah yang dibawa bersama, Hazimah yang dibawa bersama.
-THE END-
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI
Ha ha
Motif??
cerita rekaan ka nie?
rekaan ni, emmm kena pikiaq ke luaq kotak npak gayanya…peniang2
Kesian Haz…
X pepasal akhirnya jd mangsa tetibe…
Tapi…
Serius akk geli geleman bile memule bace ustaz tu mengggatei siap main lidah bagai…
Ghupenyer ustaz pon leh kena sampuk…
Adooiiii…
seolah olah rekaan, tapi betul2 menyeramkan. terbayang!
aduh tragis sgt kisah ni walaupun rekaan semata2
mcm cita betul. fuhhh hebat