Bersuamikan lelaki diselubungi misteri

Assalamualaikum… 

Kami sudah 12 tahun menikah, dan dijodohkan melalui match maker. Tiada perkenalan panjang. Selepas beberapa bulan dikenalkan, kami menikah.

Rezeki kami, aku bunting pelamin, sejak itu bermulalah episod misteri yang susah aku nak hadam. Kerana aku sangat skeptikal orangnya. Tak percayakan dunia mistik dan santau.

Ketika kandungan berusia 3 ke 4 bulan, pada suatu malam suami (A) bangkit dari katil dan meloncat ke lantai selayaknya pesilat. Dengan mata masih tertutup dia bersilat dan mulutnya sedang memarahi sesuatu. Aku sampai menangis ketakutan. Dah kenapa pula suami ku ni? Ada penyakit gila ke?

Bila dia tersedar dia duduk dan meraup muka. ” Ada makhluk hitam berbulu besar nak ambil anak di dalam kandungan.”

Keadaan aman seketika sampailah anak pertama lahir. Anak ini lahir dan boleh nampak makhluk halus sampai umurnya lebih kurang 4 tahun. Pernah sekali aku ajak berbaring di sebelahku, setelah kepenatan pulang dari kampung, dia enggan dan berlari,

“Ada ultraman baring sebelah ummi.” Katanya. Aku duduk dan membaca ayatul kursi berulang kali sehinggalah dia mengatakan benda tu dah tak ada. Sampai dia umur 9 tahun, dia dibukakan hijab dapat melihat pelawat yang hadir (tidak nampak dengan mata kasar kita) sewaktu ayahku meninggal dunia. Malah dia nampak harimau yang berkeliaran di sebuah pusat peranginan di Selatan tanah air, walhal kami semua dan pengunjung lain tak nampak.

Lahir anak kedua, sedari kecil dia paling kuat menangis sehingga ada kereta peronda polis berhenti di depan rumah, bertanyakan asbab anak menangis tak berhenti-henti. Mungkin ada pihak buat aduan kes penderaaan. Dia memang kerap bertukar pengasuh, tak ada yang sanggup menjaganya.

Sehinggalah suami terpaksa berhenti berniaga dan menjaga anak ke2 di rumah. A ada memberitahu, keanehan seperti buaian anak seperti ada yang membuainya, pantas aku respon mungkin angin atau gegaran. Kerana tak berpuas hati, A merakam video buaian anak seperti ada tenaga yang membuainya tapi tidak kelihatan di mata kasar,

Anak ke2 membesar dengan jayanya tanpa sebarang keanehan sehinggalah umurnya 5 tahun, dia tiba-tiba terkena sawan. Ketika tidur pun dia boleh terkena sawan. Dalam tempoh 1 bulan, dia dimasukkan ke hospital sebanyak 4 kali. Selesai semua ujian yang perlu, doktor swasta dan kerajaan tidak dapat memberi diagnosis yang tepat kenapa dia terkena sawan. Tiada demam, tiada jangkitan, tiada abnormaliti dengan scan otaknya. Semua pun bingung.

Sehinggalah salah seorang sahabat menyarankan berubat secara Islam, kami mencari perawat. Untuk memendekkan cerita, anak ini terkena serpihan sihir yang ditujukan kepada A, bahkan bukan dia seorang, anak sulong yang sudah berusia 10 tahun, juga jatuh sakit, pengsan dan dirasuk dengan jin yang menggelar dirinya sendiri al Hasad. Dia mula mengalami mimpi mimpi aneh, termasuk mimpi memerangi Dajjal, pemanah dan pembawa panji panji hitam. Dia mulai sakit sehingga terpaksa mengengsot kesana ke mari.

Adiknya pula, setelah itu dibukakan hijab dapat melihat jin yang cuba menggangu, termasuk jin yang menekan kaki abangnya. Rawatan dijalankan termasuk mandi dengan 7 air kolah masjid. Di ruqyah oleh sekumpulan ahli dan sekumpulan ustaz datang membacakan al baqarah di rumah, sebagai salah satu usaha.

Sebelum serangan sawan berlaku, saya sendiri bermimpi bertarung dengan ular hitam, tetapi tidak memberitahu A, dan tanpa pengetahuan saya, A juga bermimpi bertarung dengan ular hitam yang besar, dan dia tercedera. Di situlah bermulanya episode selanjutnya, sehingga semua anak dan A sakit, saya bercuti hampir 2 bulan untuk menjaga mereka.

Semua serangan sihir ditujukan kepada suami, bahkan mengikut guru kami, A sudah disihir semenjak dia bujang lagi, terlalu lama. Apa yang mengaktifkannya dan menyerang dengan ganas, tidak dapat kami pastikan.

Barulah A teringat dia pernah bermimpi di suatu malam, dia jatuh sakit dan didatangi beberapa pemuda yang bercahaya dengan niat untuk mencabut nyawanya pada malam itu.
A merayu rayu minta diberikan penangguhan, dan para pemuda itu berkata kami akan datang lagi dalam tempoh 30 tahun. Samada itu malakul maut atau apa, Allahu a’lam. Tapi ketika kematian ayahku, anak sulung memberi gambaran yang serupa, berdiri di belakangku, wajahnya bercahaya dan pakaiannya putih seputihnya tidak pernah dilihat.

Saya suka menitipkan pesan perawat kami, menurutnya, para jin dan syaitan sudah semakin mengganas untuk merosakkan ummat Muhammad kerana dunia sudah hampir kiamat, jadi objektif mereka untuk merosakkan dan menyesatkan seberapa banyak ummat islam. Jaga hati, jangan tuduh menuduh dan berprasangka buruk, Inilah yang dia nak. Jangan sampai tercabut iman dan jangan putus asa dalam berubat.

Rasanya sampai disini saja penceritaan aku untuk kisah ini… Sampai jumpa lagi… sekian..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 3.8]
Teja

3 thoughts on “Bersuamikan lelaki diselubungi misteri”

  1. Meremang baca perkongsian yang ini. Good sharing, good reminder. Bolehkan Teja terus berkongsi apa pengalaman lain yang Teja dan keluarga boleh jadikan pengajaran kepada saya atau kita semua.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.