#CarlitoRocker – HANTU ASKAR JEPUN

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh dan Salam Sejahtera kepada semua pembaca-pembaca cerita seram di page Fiksyen Shasha ini. Terima kasih aku ucapkan kepada pihak Fiksyen Shasha kerana telah menyiarkan cerita-ceritaku yang lepas iaitu PONTIANAK DI DEPANKU, SI ABANG POCONG, LANGSUIR, BUNIAN, & BUNIAN (TAMADUN). Untuk sambungan kepada kisah BUNIAN, aku harap korang semua dapat bersabar dahulu kerana pengisiannya yang berat memerlukanku untuk beristirehat seketika sebelum menyambungnya kembali. Untuk edisi ini aku akan menceritakan tentang pengalamanku tentang HANTU ASKAR JEPUN. Seperti biasa aku mulakan dahulu dengan kalimah agung lagi suci Bismillahirrahmannirahim.

HANTU ASKAR JEPUN
Apabila membicarakan tentang hantu ini aku percaya bahawa terdapat segelintir masyarakat yang skeptikal dan beranggapan bahawa mereka semua adalah penjelmaan semula roh askar Jepun yang tidak aman akibat d*****h ataupun t******h di tanah Melayu pada era penjajahan mereka dahulu. Secara amnya ianya adalah sejenis hantu yang amat terkenal di kalangan rakyat Malaysia ini. Kebanyakan saksi yang pernah terserempak dengan entiti ini mengakui bahawa mereka pernah ternampak dan digganggu oleh hantu askar Jepun ini di lokasi yang sama iaitu di sekolah, universiti, di bangunan-bangunan lama, di padang sekolah, dan juga di hotel-hotel lama. Adakah ia sememangnya sudah ditakdirkan untuk berada di kawasan-kawasan sebegitu? Hari ini aku ingin berkongsi pengalaman mengenai HANTU ASKAR JEPUN dari sudut pandangan halusku sendiri.

DI SEBALIK WAJAH
Mereka hanyalah sejenis jin seperti jin-jin yang lain tetapi ia gemar menjelmakan dirinya di dalam bentuk seperti askar Jepun ataupun sebagai lelaki yang berjubah berkelubung hitam. Bunian juga pada asalnya adalah daripada jin tetapi difitrahkan berbentuk seperti manusia biasa manakala hantu askar Jepun pula bukanlah secara azalinya berkeadaan begitu. Asal kejadian mereka yang sebenar-benarnya sebelum menjelma menjadi seperti askar Jepun adalah seperti seekor beruang, berbadan kurus, berjalan seperti manusia, bermata sepet merah, dan selalu mengaum tanpa sebab. Bunyi ngaumannya adalah seperti seekor harimau yang sedang mengamuk. Habitat asal mereka adalah di dalam hutan belantara dan di kawasan berbukit.

Aku gelarkan mereka sebagai jin beruang disebabkan oleh ciri-ciri mereka yang lebih menyerlah sebagai seekor beruang. Apabila korang berada di dalam hutan dan tiba-tiba terdengar seperti bunyi ngauman harimau maka ada beberapa kemungkinan yang sedang berlaku ketika itu. Mungkin ianya adalah ngauman daripada seekor harimau yang sebenar, ataupun ngauman dari harimau jadian, ataupun ngauman jin beruang, ataupun ianya adalah ngauman daripada seekor pontianak yang sedang tercekik biji buah nangka/cempedak/durian (Buah-buahan kesukaan Pontianak). Seperti biasa jangan panik dan beredarlah ke tempat lain yang lebih selamat kerana mungkin mereka akan melintasi kawasan tersebut selepas itu.

Sekiranya ianya adalah seekor harimau maka tenunglah matanya sambil melaungkan kalimah Allahuakbar beberapa kali sehingga ia beredar. Sekiranya ia masih berada di situ dan terus memerhatikan korang sambil mengaum beberapa kali, jangan takut, teruskan melaungkan kalimah Allahuakbar berulang-ulang kali dan berdoa semoga dilindungi oleh Allah. Jangan berlari ataupun bertindak pandai dengan mengacah-acah menakutkannya kerana dibimbangi korang hanya akan menjadi sebuah tinggalan sejarah yang tragis. Berundurlah dengan perlahan-lahan sambil berzikir Allah Hu sehingga harimau tersebut hilang dari pandangan mata korang. InsyaAllah korang akan selamat.

TRANSFORMASI MANIFESTASI
Faktor demografi dan sejarah sesuatu tempat memungkinkan mereka mengadaptasi visual penjelmaan sesuatu imej itu. Jika diimbas kembali, Jepun pernah menduduki Malaya ketika era perang dunia kedua dahulu. Markas-markas mereka kebanyakannya dibina di dalam hutan tebal dan di kawasan bukit-bukau. Sekolah-sekolah dan bangunan kerajaan dijadikan sebagai pusat pentadbiran mereka dan sejarah telah mencatatkan bahawa pertumpahan d***h telah berlaku di kawasan-kawasan tersebut yang melibatkan kehilangan ribuan nyawa askar-askar mereka. Jin beruang pula aku boleh kategorikan sebagai sejenis jin yang mudah mengeksploitasi demografi keadaan setempat.

Mereka telah berjaya mengadaptasi segala watak yang pernah wujud ketika era tersebut. Masyarakat kita yang begitu takut dan gentar dengan gerila askar Jepun ketika itu telah membuatkan jin beruang untuk kekal menjelma sebagai hantu askar Jepun sehingga sekarang. Aku pernah beberapa kali melihat mereka kembali ke bentuk asal selepas puas mengacau manusia. Mereka akan kembali ke tempat asal mereka dan menjalani rutin harian mereka seperti biasa selepas itu. Apabila mereka ingin mengacau manusia, mereka kembali di dalam bentuk kejadian tersebut. Kadangkala mereka akan menghadirkan diri ke dunia nyata dengan sengaja untuk menunjukkan kekuatan dan kekuasaan mereka.

GERIK, 2009
Penampakan mereka sedang berkawad dan menjerit-jerit di dalam bahasa Jepun ketika aku berada di dalam hutan Gerik pada suatu ketika dahulu cukup menggerunkan. Banzai! Banzai! Korang bayangkan ketika itu aku dan kumpulan ekspedisi perkhemahan yang berjumlah seramai 16 orang sedang lena diulit mimpi di dalam khemah masing-masing. Kemudiannya aku terjaga dengan sendirinya akibat terasa gegaran yang kuat di atas tanah sambil terdengar bunyi percakapan manusia di dalam bahasa Jepun. Aku agak musykil kerana setahu aku pada waktu itu tiada seorang pun daripada ahli kumpulan kami yang berasal dari negara Jepun dan tiada seorang pun yang mampu untuk berkomunikasi di dalam bahasa Jepun itu. Bunyi percakapan tersebut semakin rancak seperti sebuah debat politik yang hangat membicarakan tentang isu-isu semasa.

Untuk lebih kepastian aku keluar dari khemah sambil mengintai-intai di sekeliling tapak perkhemahan itu untuk mengenal pasti siapakah gerangan manusia yang sedang berdebat itu. Aku menyuluh lampu di sekitar kawasan tersebut dan ketika itu aku nampak beberapa orang berpakaian seragam seperti askar Jepun sedang berbincang sambil menconteng peta yang dilekatkan pada pokok di tempat penyimpanan bekalan makanan kami. Aku yakin bahawa itu adalah hantu askar Jepun seperti yang selalu diceritakan oleh masyarakat kita pada sebelum ini. Pedang samurai dan senapang patah tersemat di sisi pinggang masing-masing. Kemudian entah dari mana munculnya segerombolan besar askar mereka sedang berkawad sambil menyanyikan lagu di dalam bahasa Jepun.

Aku berasa begitu takjub dan semangat patriotik tiba-tiba sahaja mengalir di dalam jasadku. Bayangan mengenai strategi Leftenan Adnan dan unit-unit regimen askar tanah Melayu ketika memerangi dan menyembelih askar-askar Jepun mula bermain di mindaku. Pada waktu itu aku beranggapan bahawa mungkin mereka tidak nampak ataupun perasan dengan kehadiranku di situ serta aku juga mengganggap mungkin mereka tidak menyedari bahawa aku mampu melihat kewujudan mereka semua lalu aku mengambil keputusan untuk terus menonton aksi mereka semua sambil menghisap beberapa batang rokok Dunhill dan mengamati betul-betul wajah serta aksi-aksi yang sedang dilakukan oleh mereka semua. Ada yang terputus kepala, putus tangan, perut terburai, dan ada juga yang terputus sebelah kaki juga masih mampu berkawad tanpa sebarang masalah.

Dalam masa yang sama juga aku ternampak kelibat seekor pontianak sedang bergayut di atas pokok rambutan dan ia juga sedang menyaksikan latihan kawad kaki oleh hantu-hantu askar Jepun itu. Tersengih aku seperti kerang busuk apabila menyaksikan gelagat pontianak itu. Rupa-rupanya bukan aku seorang sahaja yang takjub dengan suasana itu, pontianak pun ralit memerhatikan hantu askar Jepun itu. Sementara itu ahli-ahli kumpulan yang lain sedang nyenyak tidur dibuai mimpi dan tak lama kemudian, sahabatku iaitu Azmir yang sekhemah denganku tiba-tiba datang dan menjerit dalam kemarahan bertanyakan tentang kehilangan rokoknya. Aku tersentak dengan soalannya kerana rokoknya bukanlah rokok yang sama jenama denganku, ianya berbeza dari jenama rokokku dan mana mungkin aku mengambil rokoknya itu. Sedang kami khusyuk bertekak, datang seorang askar Jepun berdiri di sebelah kami sambil memegang batonnya dan dia seperti mengamati butir percakapan kami itu.

Pada pendapatku askar tersebut adalah pegawai kelas atasan kerana bajunya sedikit gelap serta dipenuhi dengan pangkat di atas bajunya itu. Aku kini tahu bahawa mereka sebenarnya nampak akan kehadiran kami tetapi pada awalnya mereka seakan-akan tidak menghiraukanku. Hanya aku seorang sahaja yang mampu melihat kewujudan mereka semua manakala Azmir waima ahli kumpulan lain tidak tahu dan tidak nampak akan kehadiran askar-askar Jepun tersebut. Akibat terlalu seram ditambah pula dengan kebimbangan mengenai keselamatan kami, aku mengajak Azmir untuk masuk ke dalam khemah dan mencari semula rokoknya yang dikatakan hilang itu. Aku mengikuti Azmir dari belakang sambil menghisap rokok dalam keadaan terketar-ketar seperti orang yang mempunyai penyakit Parkinson.

Aku kirakan apabila kami sudah beredar dari kawasan tersebut, askar atasan itu tidak akan mengikuti kami tetapi tanggapanku tersasar jauh. Dia juga menuruti pergerakan kami dan dia berada hanya beberapa kaki di belakangku. Peluh mula membasahi bajuku, mukaku pucat lesi akibat ketakutan. Keseramannya makin terasa apabila dia mengeluarkan pedang samurainya lalu mengheret pedang tersebut di atas tanah sambil menebas-nebas daun-daun kering yang berada di luar khemah kami. Bunyi heretan pedang tersebut seakan-akan bunyi seperti besi yang sedang bergesel di atas lantai simen. Aku menyuruh Azmir supaya senyap sambil membaca surah-surah lazim yang dia tahu kerana aku telah memberitahu padanya bahawa aku ternampak penampakan hantu askar Jepun dan Pontianak di kawasan perkhemahan tersebut.

Dia menurut sahaja arahanku. Aku tahu dia sedang ketakutan dan aku memberitahunya supaya bertenang dan jangan panik. Walaupun kami berada di dalam ketakutan tetapi aku ingin menceriakan suasana seram tersebut dengan cuba menghiburkan hantu-hantu askar Jepun tersebut. Aku memberitahu rancanganku pada Azmir dan dia menegahku daripada melakukannya. Aku memberitahunya bahawa sekiranya rancangan tetsebut gagal dan sesuatu yang buruk berlaku, aku akan menjerit dengan sekuat hati dan dia harus mengejutkan ahli kumpulan yang lain secepat mungkin untuk menyelamatkanku. Akhirnya dia akur dengan kehendakku itu.

RANCANGANKU
Aku meminjam telefon bimbit Azmir lalu aku keluar dari khemah tersebut dan pergi semula ke kawasan tempat askar-askar tadi berada. “Mereka masih berada di situ, ini peluang baik, baik punya peluang…Hahaha.” Monologku dalam tawa.

Aku membuka aplikasi Music Player lalu aku tekan butang play untuk memainkan lagu Mirai E (Kiroro) dan aku kuatkan volume sekuat mungkin sambil duduk di situ memerhatikan gelagat-gelagat askar Jepun di situ. Mereka semua diam seribu bahasa sambil merenungku dalam penuh makna. Begitu sayu wajah mereka ketika itu. Aku anggapkan ia sebagai sebuah hiburan untuk mereka kerana aku tahu bahawa mungkin mereka sangat tertekan kerana askar-askar Melayu sudah lama tidak muncul memerangi mereka semua. Aku sebenarnya takut tetapi dalam masa yang sama aku tahu bahawa mereka hanya ingin menyakatku sahaja. Mereka tidak merbahaya dan tidaklah begitu angker seperti Langsuir. Bagiku rating keseraman untuk hantu askar Jepun adalah 2/5 sahaja. Mereka lebih kepada menunjukkan kegarangan muka, mempamerkan aksi bermain pedang, menembak, dan berkawad sahaja.

Sebenarnya itu semua hanyalah ilusi semata-mata. Aku telah ditetak oleh askar atasan tersebut ketika sedang memainkan lagu tersebut tetapi sakitnya adalah seperti dilibas dengan kain sahaja. Aku tidak berkomunikasi langsung dengan mereka kerana aku tidak faham sepatah haram pun bahasa Jepun. Sebaik sahaja lagu tersebut sudah habis dimainkan, aku mengepal segenggam tanah di situ lalu membacakan ayat Qursi sebanyak 7 kali dan aku melempar sedikit demi sedikit ke arah hantu-hantu askar Jepun di situ. Mereka berasap dan hilang membawa diri di dalam hutan Gerik tersebut tanpa meninggalkan sebarang pesan. Aku kembali ke khemah dan memberitahu tentang kejayaan rancangan tersebut kepada Azmir dan kami ketawa berdekah sehingga ke Subuh akibat penangan lagu Mirai E itu.

Aku memberitahunya tentang kelebihanku itu dan aku juga melarangnya daripada memberitahu ahli-ahli kumpulan yang lain tentang kejadian tersebut. Misteri yang tidak terungkai sehingga sekarang adalah mengenai kehilangan rokoknya itu. Siapakah gerangan makhluk yang telah merembat rokoknya itu? Adakah ianya perbuatan daripada ahli kumpulan kami sendiri ataupun ianya telah diambil secara ghaib oleh bunian ataupun jin-jin yang lain? Kes itu masih tergantung sehingga sekarang.

Kadang-kadang apabila kita selalu mendongak ke langit kita terlupa dengan bumi yang sedang kita pijak. Aku bukanlah seorang manusia yang begitu berani ketika berhadapan dengan mereka semua tetapi aku belajar cara untuk mengawal ketakutan dan emosi berdasarkan daripada pengalaman-pengalaman terdahulu. Aku berani dalam takut dan takut dalam berani. Mereka semua memang berkeliaran tidak kira masa dan tempat selagi mana kita memikirkan tentang diri mereka dan kewujudan mereka itu. Ada yang bernasib baik menjadi calon bertuah untuk menyaksikan kewujudan mereka dan ada juga yang tidak nampak langsung kehadiran mereka semua tetapi percayalah bahawa alam ghaib itu wujud.

Ada yang sedang menemani korang tetapi korang tidak merasakannya dan ada juga yang sedang bergayut ataupun menumpang di bahagian-bahagian tertentu badan korang. Mungkin masanya belum tiba untuk mereka menjelmakan diri mereka di hadapan korang tetapi percayalah bahawa mereka memang berada berhampiran dengan korang semua. Akhir kata dari saya Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Jazzakallah Khaira Khatiro.

-Carlito Rocker 2017-

CarlitoRocker

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 7 Average: 4.1]

33 thoughts on “#CarlitoRocker – HANTU ASKAR JEPUN”

  1. “pontianak yang sedang tercekik biji buah nangka/cempedak/durian (Buah-buahan kesukaan Pontianak).”

    tak tau pulak itu buah2 kegemaran nye…kesimpulannye, makhluk tu memang berminat pada buah2 yang ade bau wangi ke??

    Reply
  2. Salam. Memang diorang makan buah2 tu. Buah2 tu bau tajam dan masam. Tak tahu pulak saya Durian/Nangka/Cempedak tu wangi. Pontianak ada makanan dia ug tersendiri…darah2 kotor/makanan basi/bangkai2 pun diorang makan. Same goes to the other creature. Saya cerita based dari saya punya experience.

    Reply
    • Bg setengah org bau durian ,nangka n cempedak wangi.sy suka bau durian bg bau durian sgt sdp.tp utk klu bt perfume durian sy xpakai la.hahahahaha

      Reply
  3. Ye ke ni pengalaman sendiri?? mcam citer rekaan jer..siap boleh tgk hantu sambil hisap rokok..pastu hantu tengok gelagat hantu lain?? bukak mp player bagi hantu dengar?? pastu rasa seram plak..tinggi benor ilmunya tuh~~

    Reply
  4. Salam. Guys, sorrylah kalau cerita yang aku share kat atas tu agak tidak relevan daripada pandangan & pemikiran korang semua. Aku just reveal balik apa yang pernah terjadi kat situ masa tu. Ada yang boleh terima & ada yang tak boleh terima. It’s a subjective matter. So wanna bash me? Silakan.

    Reply
    • Salam, xyah la mik ati. Dorang test je tu.. Lagipun yang rasanye awak sorang, jadi xleh marah dorang sebab tak jadi kat dorang perkara ni. Cuba hijab dorang dah terbuka. Separuh gila mau.

      Reply
    • Biasa lah tu. Mereka akan rasa cerita tu rekaan selagi tak mengalaminya sendiri. Dulu aku pun salah satu org yang “wtf is hantu? there’s no such things in this world. wake up!”. Bila dah kena sendiri, rasa macam orang sekeliling cakap “told you.”
      Nak-nak pula bila kau punya penulisan tu sebagus novel. Lagi la diorang kata kau reka cerita.

      Reply
      • Aku just share je bro…bnda dari aku sendiri…ilmu yg manfaat boleh jd bekalan tambahan utk aku di sana nanti. Dalam FS ni aku plg respek kau #SiCelupar, #DeeFen, #Maya, & writer Makhluk Halus Benci Aku. Cerita yang real + gaya yang sempoi = Epik Mahabharata.
        Kipidap SiCelupar.

        Reply
    • Dah lama nak tanya. Apa maksud zikir Allah hu ya? Dan apa dia punya kekuatan? Saya nak amal tapi tanpa tahu maksud takut tak menjadi.

      Reply
    • Betul tu. Tayah le amik ati. Manusia ni selagi tak kena kat batang idung sendiri, selagi tu lah dia kata karut marut, berkhayal banyak, merepek dan macam-macam lagilah. Btw, rasa berbunga-bunga hati ni bila dua favourite writer berkomunikasi, semoga kalian tak jemu nak share pengalaman, sekurang-kurangnya kami tahu ada manusia seperti kami kat dunia ni. Sekian, terima kasih.

      Reply
  5. Nice one bro , I memang follow sharing u dari yang 1st sampai sekarang.Sharing u mcm “Wikipedia for supernatural entity”.
    Diharapkan teruskan kongsi ilmu anda dgn kami semua.Thank you

    Reply
    • I agree….bukan senang kite nak dpt pengalaman/ilmu dengan orang yg di beri anugerah mcm carlitorocker nie….tak semua ada tau!!

      Reply
  6. Lengkali pasanglah lagu Doraemon…
    Barulah ceria semua askar jepun tu…
    Psg lagi Mirae buat diorg sedih stress tingatkan kampong jer…

    Reply
  7. Gua rase, gua pun salah seorang yg blh nampak bende2 halus ni. Gua selalu je nampak kelibat pelik2 kalo blk lewat mlm. Ad satu mlm tu, gua blk lewat mlm. Sampai rmh gua nampak ad satu lembaga bertengek mencangkung atas bumbung rmh jiran sebelah. Sejibik mcm org tua ddk mencangkung. Kali ni gua nekad betol2 nk tau jgk, Bende yg gua selalu nampak tu, real ke x. Skali gua mengendap pelahan2 nk tengk pe bende yg ddk atas bumbung jiran sebelah tu. Cisssss.. Sekali piring astro daa. Hihihi. Gua lupa. Selalu2 gua nampak bende2 tu, gua tengah stone ganja. Hahahaha

    Reply
  8. Soalan

    Asalamualaikum ustaz. Boleh tak ustaz jelaskan adakah terdapat zikir yang berbunyi هو sebab setahu saya kalimah هو bermaksud dia. Harap mendapat penjelasan dari ustaz?

    Jawapan

    Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

    Zikir adalah satu istilah yang suci dari Ilahi. Seperti yang didefinisikan oleh Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di, zikir secara umum adalah meliputi segala perkara yang mendekatkan seseorang hamba dengan Allah SWT dari segi aqidah, pemikiran, amalan hati, amalan badan atau pujian ke atas Allah atau mempelajari ilmu berfaedah atau mengajarinya atau seumpama dengannya. (Lihat Al-Riyadh al-Nadhirah, hlm. 245)

    Secara khususnya pula, zikir merujuk kepada lafaz-lafaz tertentu yang disyariatkan oleh Allah SWT seperti membaca al-Qur’an, menyebut nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi dengan bibir atau di dalam hati sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur’an, atau pun lafaz-lafaz yang disyariatkan menerusi lidah Rasulullah SAW yang memberi erti pujian, penyucian, pengudusan dan pengesaan terhadap Allah SWT. (Lihat Al-Zikr wa Atharuh fi Dunya al-Muslim wa Akhiratih, hlm. 17-20) Ibn ‘Allan pula menyimpulkannya sebagai apa yang kita ibadahkan berdasarkan lafaz-lafaz yang ditentukan oleh pembuat syariat (Allah SWT) bertujuan bagi mengagungkan Allah SWT dan memuji-muji-Nya. (Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyyah Syarh al-Azkar al-Nawawiyyah, 1/396)

    Ini bermakna, zikir pada asasnya adalah sesuatu yang amat dituntut di dalam agama. Bahkan ayat-ayat al-Qur’an banyak menyentuh tentang perintah supaya kita berzikir kepada Allah SWT. Ada antara perintah tersebut berbentuk wajib seperti berzikir mengingati Allah SWT melalui solat lima waktu sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Toha ayat 14,

    إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي

    Maksudnya: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku”.

    Manakala ayat-ayat yang menyebut tentang perintah berzikir tanpa menyebut bentuk ibadah tertentu adalah tersangat banyak. Cukup dinyatakan di sini ayat 41 dalam surah al-Ahzab yang memerintahkan kita supaya memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT secara umum. Allah SWT berfirman dalam ayat tersebut:

    يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا (41) وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

    Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya”.

    Dengan itu, tidak diragukan lagi kepentingan berzikir kepada Allah SWT. Sesiapa yang menolak kepentingan berzikir, golongan tersebut boleh dikategorikan sebagai fasiq. Ini kerana zikir adalah termasuk dalam salah satu kaedah penting dalam mendekatkan diri seseorang hamba kepada Allah SWT. Dalam disiplin keilmuan Islam, ilmu berkenaan hal ehwal mendekatkan diri kepada Allah SWT disebut sebagai tasawuf. Kerana itu Imam Malik pernah mengatakan bahawa, barang siapa yang berfekah tanpa bertasawuf maka dia telah menjadi fasiq. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 1/478)

    Oleh yang demikian, soal kepentingan berzikir tidak perlu dibahaskan lagi kerana ia tidak menjadi isu. Apa yang menjadi persoalan adalah berkisar perkara yang dizikirkan, bagaimana ia dipersembahkan dan iktikad di sebalik pengamalan sesuatu zikir. Ini kerana, tidak mustahil sesuatu zikir itu boleh berubah daripada amalan terpuji kepada tercela jika ia tidak mempedulikan garis panduan yang ditentukan oleh syarak.

    Menurut kajian Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), tidak kurang juga kesesatan yang berpunca daripada masalah berzikir. Ada yang berpunca daripada kalimah atau ungkapan zikir yang tidak difahami makna seperti berzikir dengan kalimah “ah..ah..ah” atas sangkaan kononnya ia termasuk dalam zikir zat sebagaimana yang diamalkan oleh pengikut ajaran Hakikat Insan bawaan Ahmad Laksamana. (Lihat Diskusi Isu Aqidah dan Pemikiran Semasa, hlm. 40)

    Begitu juga memasukkan ungkapan-ungkapan berunsur syirik seperti memohon pertolongan dengan rijal al-ghaib (orang-orang ghaib) dengan menggunakan kalimah “aghithuuna min ajlillah ya hu” (bantulah kami kerana Allah wahai dia) seperti mana yang terdapat dalam Aurad Muhammadiyah pegangan kumpulan al-Arqam yang telah diharamkan. (Lihat Kompilasi Muzakarah MKI 2016, hlm. 4)

    Dalam hal berzikir dengan lafaz “hu”, tidak dinafikan bahawa sebahagian ulama tasawuf mengatakan ia merupakan salah satu bentuk lafaz zikir yang disyariatkan. Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali mengatakan zikir dengan kalimah tauhid itu terbahagi kepada tiga jenis mengikut martabat atau maqam masing-masing. Pertama, zikir dengan nafi dan ithbat iaitu, “La ilaha illah”. Kemudian nafi tanpa ithbat iaitu zikir dengan nama, “Allah”. Seterusnya isyarat dengan dhamir atau kata ganti nama, “hu”. Yang pertama bertujuan untuk memberi kesedaran dan keluar daripada kelalaian. Kedua untuk memperkukuhkan kehadiran dan ketiga sebagai sebab untuk keluar daripada apa yang selain-Nya. (Lihat Al-Burhan ‘ala Manzilah al-Ihsan, hlm. 77)

    Oleh yang demikian, kami amat menghormati ulama tasawuf yang rabbani lagi alim dengan ilmu yang mungkin mengamalkan beberapa zikir seperti yang ditanya dengan maksud hakiki adalah kembali kepada Allah SWT, bukan hanya kepada dhamir yang memberikan maksud “dia” kerana sesiapa pun boleh menjadi “dia” termasuk makhluk yang lain. Ini kerana “hu” termasuk dalam dhamir ghaib. Justeru amat perlu menerima zikir sebegini daripada tokoh yang benar-benar memahami ilmu tauhid seperti yang dikatakan oleh Junaid al-Baghdadi.

    Kesimpulannya, berzikir dengan menggunakan dhamir atau kata ganti nama seperti “hu” adalah HARUS jika ia benar-benar jelas merujuk kepada Allah SWT dengan bimbingan guru yang alim lagi rabbani. Walau bagaimanapun, apa yang terbaik dalam berzikir dan beribadah kepada Allah SWT adalah kembali kepada jalan yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Semakin hampir cara amalan kita dengan Rasulullah SAW, semakin berkurangan risiko untuk kita melakukan kesilapan dan kesalahan dalam beramal. Akhirnya, kami mengesyorkan agar kita merujuk kepada kitab-kitab yang muktabar dalam mengamalkan zikir dan wirid seperti kitab al-Azkar karangan Imam al-Nawawi, al-Ma’thurat karangan al-Syahid Hasan al-Banna dan Azkar al-Yawm wa al-Lailah karangan Mustafa al-‘Adwi. Semoga dengan mengamalkan zikir-zikir yang muktabar, amalan kita akan diterima oleh Allah SWT tanpa ragu lagi. Wallahua’lam.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.