CELENG IRENG

CELENG IRENG.

Turun naik nafas Buang berdengus menahan kesakitan. D***h dari luka semakin keluar mengalir laju. Bisa dari cakaran mulai menjalar ke seluruh badan. Berdenyut-denyut bagai ditusuk di setiap tarikan nafas. Buang mula m**i akal.

Lolongan anjing semakin dekat, suluhan lampu kian kelihatan. Buang tahu semua orang mula menjejakinya. Apakan daya kakinya cedera dibaham ganas tadi. Mujur Buang sempat berpaling dan menyiung tepat ke matanya.

“Jangan kau hampiri Pak Belang, itu adalah musuh mu yang nyata!” Terngiang-ngiang pesanan Tok Bijan di telinga. Nasi sudah jadi bubur. Kerana terlalu tamak, Buang terlepas pandang pesanan penting itu. Ikutkan logik akal, mustahil tempat itu di bawah jagaan Pak Belang.

Azan Subuh mula berkumandang, Buang masih lagi di belukar menyorokkan diri. Tertidur dia keletihan sewaktu persembunyian. Buang tidak sedar dia telah melanggar pantang; siluman perlu pulang ke sarang sebelum colok terpadam kehabisan.

***

Salmah hanya mampu diam, tak pernah dia nak mengungkit apatah lagi mahu membangkit. Sebelum kahwin lagi dia sudah tahu Buang memang miskin. Dan semua penduduk kampung tahu Salmah juga dari keluarga yang miskin. Kais pagi makan petang, kais petang makan malam.

“Bersyukurlah Bang, apa lagi yang dirungutkan tu?“ Salmah cuba berani menegur suaminya.

Buang diam tak membalas. Direnung tajam muka isterinya. Serba salah Salmah diperlakukan begitu. Cepat-cepat dialihkan pandangan matanya ke tempat lain.

“Apa yang kau tahu Salmah? Harga barang semua sudah melambung. Beras gula susu semua sudah mahal. Kuasa membeli kita semakin lemah!”

“Sebab tu saya suruh Abang bersyukur. Syukur kita ada tanah dan rumah pusaka. Tak perlu berhutang sana sini. Makan minum pun cukup untuk kita tiga beranak.”

“Syukur… syukur… itu sahaja ayat awak! Langsung tak membina!” Buang tiba-tiba melenting. Marah bebenar dia pada Salmah yang langsung tak menyokongnya.

Giliran Salmah pula diam. Malas dia hendak bertikam lidah dengan suaminya yang pemalas. Sudahlah tidak bersyukur, syirik pula tu. Bukannya dia tidak tahu Buang sering ke busut menyeru nombor. Tak habis-habis dengan ungkapan “Kita akan kaya… kita akan kaya.” Entah bila nak kaya pun Salmah tidak tahu.

Asam gelugur pucuk keladi, makin ditegur makin menjadi. Kerja malas tapi mahu senang segera. Harapkan jualan sayur di pasar sahajalah mereka tiga beranak dapat mengalas perut. Bergenang air mata Salmah mengenangkan sikap suaminya.

Mengerling dia sekilas ke bilik tidur, memastikan anak di dalam buaian lena berdengkur. Sudah jatuh ditimpa tangga. Bukan hendak mengeluh, acapkali dipujuk hatinya ini adalah ujian. Sudahlah dapat suami yang pemalas, dikurniakan pula anak yang OKU.

Teringat Salmah sewaktu kelahiran pertama dahulu, bayinya didapati m**i sewaktu dari dalam perut lagi. Buang tiada di sisi ketika Salmah berjuang menyabung nyawa. Biarpun puas dilarang Salmah agar jangan keluar rumah malam itu, Buang tetap keras kepala dengan misi busut jantannya.

Penuh kepayahan Salmah meneran keseorangan, lemas terbelit bayi kelambatan dalam kandungan.

Mujur Mak Yam laki bini datang ke rumahnya tengah malam itu. Kelam kabut mereka berusaha mengeluarkan bayi yang sudah pun menjadi mayat dari rahim Salmah. Berbelit-belit tali pusat melingkari leher bayi. Salmah yang kepenatan hanya mampu mengalirkan air mata sahaja.

“Terima kasih Akak datang membantu.” Sayu Salmah menyantuni Mak Yam di tepi katil.

“Kau berehatlah dahulu Mah. Uri kau ni biar Akak sahajalah yang uruskan.” Mak Yam mula mengelap d***h yang tumpah ke lantai sewaktu cuba menyambut kelahiran tadi.

“Bayi saya macam mana Akak? Perlu letak nama tak?”

“Ermm…Abang cakap tadi tak perlu, sebab matinya ketika di dalam rahim lagi. Urusan pengebumian pun kau tak perlu risau Salmah, malam ini juga katanya akan ditanam.”

Terhutang budi Salmah pada Mak Yam laki bini atas pertolongan yang diberikan. Harapkan suaminya Si Buang memang jauh panggang dari api. Langsung tak bertanggungjawab, masuk angin keluar asap!

Pun begitu, Salmah tetap bersyukur menerima kehadiran Hassan. Biarpun hanya terbaring lemah sahaja dalam buaian, kasih sayang pada anaknya lah yang telah menyelamatkan rumahtangganya daripada terus berantakan.

***

Matahari semakin meninggi. Buang masih lagi menjilat luka di kakinya. Sekali sekala ekornya melibas badannya sendiri, menghalau lalat dan langau yang cuba menghampiri. Matanya meliar memerhati persekitaran, bimbang akan tempat persembunyiannya dihidu anjing yang liar berkeliaran.

M**i akal Buang sendirian. Apa yang dikejarnya semua tak dapat. Yang dikendong pula habis jatuh berciciran. Macam tak berbaloi pula dirasakan; dapat hujung pangkal lesap, dapat pangkal hujung berasap.

Buang tak tahu lagi mana hendak dituju. Buang sedar dia sudah melanggar pantang siluman. Dia tidak boleh kembali semula ke bentuk manusia. Kekal lah dia selama-lamanya dalam bentuk b**i.

B**i tunggal berwarna hitam.
Berkaki pendek bersiung panjang.

Tiba-tiba wajah isteri dan anaknya muncul di ingatan. Apa boleh buat, nasi sudah menjadi bubur. Ketamakkan telah menguasai segalanya. Menitis air mata mengenang Salmah dan Hassan. Rindu yang mendalam mula dirasakan pada keduanya.

Berfikir Buang untuk kembali ke rumah pusaka. Tak sabar mahu melihat dan memeluk kedua ahli keluarganya. Fikiran Buang tiba-tiba terhenti, bagaikan baru sahaja tersedar yang mereka berdua sudah pun tiada lagi.

Hanya nisan sebagai pengganti diri, itupun tidak sempurna anggota jasad m**i dikebumi. Sesalan Buang kian menebal. Menyesal tak sudah dia memikirkan. Kenapa lah dia tidak berfikir panjang. Kalau lah dia berfikir dua kali.

Berfikir dua kali?

Jangankan dua kali, malah lebih dari seribu kali Buang sudah fikirkan. Sudah jemu dia dengan kemiskinan, sudah bosan dia dengan kesusahan. Buang sedar akan kesan dan akibat; bukan hanya pada diri sendiri, bahkan ahli keluarga juga akan terlibat.

Buang seolah terlupa apa itu kesabaran.

***

Salmah semakin hairan, hatinya mulai perasan. Suaminya semakin kerap ke kebun sayur belakang rumah mereka. Sebelum Subuh dan sesudah Maghrib. Dua waktu inilah Si Buang akan ke belakang rumah sebelum menyendal pintunya dari luar.

Salmah juga perasan, tiada lagi serangan siput b**i pada kebun sayurnya. Kesan kunyahan lintah bulan juga tidak kelihatan. Jualan sayurnya di pasar juga semakin laris, ramai yang membeli jualannya kerna daun dan batang sayurannya gemuk-gemuk dan cantik-cantik.

Mereka tahu Salmah tidak akan menggunakan racun perosak pada tanamannya. Bukan kerna Salmah mendukung kempen bumi hijau, tapi mereka tahu Salmah terlalu miskin untuk membeli racun yang mahal harganya.

Apabila ditanya pada suaminya, hanya senyuman tanpa bicara sahaja yang diterima sebagai jawapannya. Pernah juga Salmah terfikir cuba menghendap tabiat baru suaminya, tapi apakan daya pada kedua waktu itulah Si Hassan memerlukan perhatian yang lebih darinya.

Tambahan pula Buang pasti akan menyendal kemas selaknya dari luar. Seolah menghalang dia dari cuba menjenguk keluar ke belakang pada kedua waktu itu.

Salmah cuba berlapang dada, lagipun bukannya ada busut di kebun belakang rumahnya. Salmah bersyukur rezeki jualannya kian bertambah. Tambahan pula Si Buang sudah mendapat pekerjaan baru sekarang. Jadi kuli ikut Aziz menanam kabel elektrik.

***

Termenung Buang malam tu keseorangan. Sesekali tangannya menepuk-nampar menghalau nyamuk dan agas. Tak disangka Si Aziz menolak lagi ajakannya. Buang pun tidak pasti kenapa Aziz tiba-tiba sahaja berubah hati.

Satu kampung sudah lama tahu hubungan gelap mereka berdua. Kaki tikam nombor ekor yang paling sohor di dalam kampung. Surat khabar berbahasa Melayu sentiasa di tangan; muka depan yang menayangkan waktu solat diabaikan, muka belakang yang tertera keputusan nombor itu yang ditumpukan.

Menang kalah belakang cerita, pokoknya mesti perlu ada usaha.

Dan usaha mereka berdua ialah menurun di hadapan busut jantan. Sering kali waktu bulan mengambang dipilih mereka untuk melakukan pemujaan. Sehati sejiwa kedua mereka bersama. Kumpau itu pasti, sambar itu rezeki.

Aziz lah yang telah memperkenalkan Buang pada Tok Bijan. Kemiskinan hidup yang sekian lama Buang hadapi telah berjaya membutakan mata hati dan nurani. Dosa pahala habis kesemuanya ditolak tepi. Istilah sabar telah lama dibuang sejauhnya dari dalam kamus diri.

Jarang tikaman mereka tak kena. Tak menang besar, pasti menang kecil. Tak menang kecil, pasti menang saguhati. Semuanya tergantung sewaktu proses menurun dilakukan. Pantang-larangnya pula tidaklah sesukar yang disangkakan.

Tidak boleh meletakkan dahi separas tapak kaki.

Itu sahaja pesanan Tok Bijan pada mereka berdua suatu ketika dahulu sewaktu menuntut ilmu menyeru. Syarat yang begitu mudah untuk Buang dan Aziz laksanakan. Keputusan seruan pula biasanya lebih memberansangkan jika dilakukan secara berjemaah.

Tapi…kini sudah tiga hari Buang keseorangan tanpa Aziz.

***

Pagi itu gempar sekampung rumah Tok Penghulu kecurian barang. Merah padam muka Tok Penghulu menahan marah dan geram. Si maling bagaikan tahu ruang simpanan yang tersorok di sebalik gantungan gambar sebelah tiang.

Yang anehnya… tiada tanda pecah masuk diperhatikan. Anggota polis yang datang menyiasat juga gagal menemui sebarang petunjuk dan cap jari suspek.

Takkan lah orang dalam? Mereka tinggal berdua sahaja laki bini. Anak menantu semua di bandar. Kehilangan besar Tok Penghulu kali ini. Habis semua wang tunai dan barang kemas isterinya lesap bagaikan asap. Hilang begitu sahaja tanpa sebarang kesan.

“Abang, kerja toyol ke?” Mak Yam cuba merungkai persoalan.

“Bukan… bukan kerja toyol.” Dingin Tok Penghulu menjawab pertanyaan isterinya.

“Saya yakin kerja toyol ni. Abang tak tahu ke kampung sebelah sudah kecoh diserang toyol sebulan dua ini?”

“Bukan… toyol hanya ambil barang berharga sahaja. Ini sekali beg kulit Abang pun dirembatnya.

“Mujur beg tangan Yam dalam almari tak diusiknya.”

“Samalah… dompet di dalam seluar Abang juga tak berusik.”

Tok Penghulu cuba menenangkan diri. Habis kesemua barang di dalam peti dibawa hilang dibawa lari. Terasa menyesal pula di hati disimpan cucunya itu di dalam peti. Terus… di mana lagi harus disorokkan kalau bukan di situ?

***

“Celaka kau Aziz! Ini kerja kau?!”

Terkejut Aziz disergah begitu. Kelam kabut tangannya cuba menutup wang tunai dan barang kemas yang bersepah di atas tikar. Pun begitu Si Buang sempat merampas beberapa utas rantai emas yang berkilauan sinarnya.

“Kau memang bangsat lah Aziz! Patutlah sering menolak ajakkanku!”

Aziz diam terketar-ketar. Matanya memandang sekeliling risau-risau ada mata lain yang memerhati. Buang masih lagi menggenggam rantaian emas tadi, matanya merah menyala-nyala kemarahan.

“Sabar Buang, duduk dahulu kita bincang.” Aziz cuba memujuk rakannya.

“Sampai hati kau makan sorang ya, ini pasti kepunyaan Mak Yam kan?” Buang mengangkat tinggi rantaian emas itu dengan tangan kanannya. Tangan kirinya pula membelek-belek buah loket rantai yang besarnya sehampir sekepal penumbuk budak.

Satu kampung tahu Mak Yam bini Tok Penghulu ini memang cantik berhias orangnya. Potongan badan umpama kerengga, melenggang lenggok mengundang selera. Pun begitu Mak Yam tetap mendapat tempat di hati masyarakat kampung. Kemahirannya menyambut kelahiran secara tradisional benar-benar menjadi rebutan dan pilihan.

Dan perkhidmatan bidannya adalah percuma tanpa sebarang bayaran.

Mak Yam juga gemar melaram. Kebetulan Tok Penghulu adalah orang yang paling kaya di kampung, boleh tahan persembahan Mak Yam membalut tubuhnya dengan kilauan emas padu. Kiri kanan tangannya merelip berpasung emas dan perak, berjuntaian di leher sarat berbuai keberatan buah loket.

Itu yang Buang dapat menangkap segera Si Aziz tatkala melihat berkotak-kotak barang kemas di atas tikar. Tak pernah lagi tauke nombor ekor menawarkan emas permata sebagai hadiah utama.

“Ok aku cerita…tapi kau seorang sahaja kan ke sini? Tiada yang mengikut kan?” Muka Aziz semakin cuak. Dahinya berpeluh-peluh dingin ketakutan.

“Hoi… pangkin ini kau dan aku sahaja yang tahu. Kalau tak aku, pasti engkau. Kalau tak engkau, pasti aku. Kita berdua yang bina pangkin ini. Dan kita berdua sahaja yang tahu pangkin ni!” Geram pula Buang dengan Aziz yang cuba berdolak dalik melengahkan masa.

“Ya, memang kotak-kotak ini Mak Yam yang punya. Aku yang mengambilnya. Wang tunai yang berkepuk-kepuk tu pula semua milik Tok Penghulu.”

“Kenapa kau tak ajak aku?!” Buang masih lagi tidak berpuas hati. Sampai hati rakannya mengabaikannya.

“Aku takut kau tak sanggup.”

“Maksud kau?”

Aziz bingkas bangun menuju ke para. Sebatang colok diambil dan dicacak ke atas bekasnya. Bersila semula dia di atas lantai dan bibirnya mula terkumat-kamit membaca serapah. Colok yang dicacak tadi dicucuh nyalaannya manakala lampu ayam yang sedia ternyala sebelumnya dipadamkan pula.

Sekonyong-konyong Si Aziz mula menggelupur perlahan. Dengusan nafasnya semakin kuat dan kasar bunyinya. Tubuhnya mula mengerekot berguling-guling kiri dan kanan. Telapak tangan dan kakinya dilihat mengecut dan mengeras sebelum membentuk telapak dua kuku.

Bulu-bulu kasar keluar tumbuh di seluruh badannya. Hidung dan mulutnya semakin memuncung ke hadapan. Dari celahan bibirnya yang menebal, timbul keluar dua siung meruncing sekira-kira dua inci panjangnya.

Dari sinaran cahaya bulan yang menerangi pangkin, tergamam Buang melihat Aziz yang sudah berubah bentuk. Kelu lidahnya tidak terucap apa-apa. Di hadapannya kini bukan lagi Aziz yang bertubuh manusia. Tetapi seekor b**i tunggal yang kehitaman, sebesar anak lembu besarnya!

Giliran Buang pula yang berpeluh-peluh dingin ketakutan.

***

Selesai solat Maghrib, Salmah mula menyediakan makan malam di atas meja. Suaminya masih di belakang rumah menjenguk kebunnya. Tangannya pantas mencedok nasi dan lauk ke dalam pinggan.

Kini Salmah sudah mampu tersenyum. Sejak Buang menggantikan tempat Si Aziz yang m**i akibat kemalangan, rezeki mereka semakin bertambah. Kalau dahulu nak makan daging ayam memang cukup payah, telur sepapan di dapur pun sudah boleh dianggap mewah.

Cuma Salmah pelik sedikit dengan perangai lakinya. Kerja menanam kabel hanya boleh dilakukan pada waktu malam sahaja. Itu pun bukan setiap malam dia pergi bekerja, perlu tunggu bulan gelap gelita katanya.

Bila ditanya kenapa, Buang hanya senyum seperti biasa. Pun begitu, Salmah tidak berkecil hati. Bersyukur dia ke kepada Tuhan atas limpahan rezeki. Asalkan suaminya tidak lagi pergi ke busut, baginya itu pun sudah memadai.

Tiba-tiba pintu belakangnya terbuka, muncul Si Buang dari sebaliknya. Seperti biasa, tangannya pasti akan kotor bertanah. Begitu juga kakinya… suka sangat berkaki ayam ke belakang rumah.

“Jemput makan Bang, Mah masak gulai ayam ni.”

“Hmm…mana Hassan?”

“Sudah tidur lepas azan Maghrib tadi.”

Laju suaminya menyuap hidangan ke mulut. Kelihatan gelojoh bagai orang yang kelaparan. Bertaburan nasi di atas meja serta kuah yang berjejehan. Salmah buat tidak tahu dan tidak mahu menegur kelakuan suaminya.

Sejak bekerja seorang diri tanpa Arwah Aziz, selera makan suaminya semakin luar biasa. Satu periuk nasi yang ditanak juga boleh dihabiskan tanpa sisa. Bukan sekadar selera di meja makan, selera di kamar tidur pun boleh tahan. Termengah-mengah Salmah melayani kebuasan Buang yang begitu bertenaga.

“Hieerrrk…sedap kau masak Mah. Tapi lain kali jangan letak bawang putih dan lada hitam. Hidung aku tak tahan.”

Salmah hanya mengganguk kecil. Matanya menjeling ke periuk gulainya. Licin…! Hidung tak tahan konon,langsung tak bersisa dihabiskan. Berjalan dia menghampiri meja, bersiap sedia untuk mula mengemas.

Pun begitu, Salmah tetap bersyukur. Suaminya juga sudah hampir sebulan berhenti merokok. Tak tahan bau busuk tembakau katanya. Pahit jika terkena lidahnya. Perubahan yang amat ketara.Semenjak dua menjak ni deria bau suaminya memang sensitif.

“Abang kerja tak malam ini?”

“Ya… dah lama bulan tak gelap ni. Duit belanja pun dah makin kurang.”

“Hati-hati ya Bang. Risau pula saya.”

“Eh… kenapa pula?”

“Iyalah… Abang kan kerja seorang. Teringat Arwah Aziz yang rentung terbakar direnjat elektrik.”

“Jangan disebut pasal Si Aziz tu, orang tamak memang itu balasannya!” Keras nada Buang membalas.

Salmah tersentak dengan jawapan suaminya. Tak disangka kedua rakan karib itu ada perbalahan rupanya. Semua orang sudah sedia maklum, mereka berdua memang rapat bagaikan belangkas. Tambahan pula Arwah Aziz yang menawarkan pekerjaan pada Si Buang. Hendak ditanya lebih lanjut bimbang pula suaminya akan naik marah.

“Err…lagipun di kampung kita ini sekarang ada ganguan kecurian. Abang hati-hati ya.” Bersantun Salmah mengambil berat akan keselamatan suaminya.

“Kerja toyol lah tu… macam kampung sebelah. Apa yang nak ditakutkan. Tabur sahaja kacang hijau.” Acuh tak acuh Buang membalas. Gelas di tangan diteguk habis sekali hirupan.

“Bukan toyol Bang, ini angkara siluman.”

“Siluman…? Mana kau tahu?!” Terkejut Buang mendengar jawapan isterinya.

“Tok Penghulu yang khabar. Lagipun sudah lebih sebulan kampung sebelah tiada gangguan toyol.”

***

“Tolonglah saya Tok, saya sanggup lakukan apa jua syarat.” Menyerah diri Buang memulakan rayuan. Dia sudah berfikir panjang sedalam-dalamnya. Sedangkan halal haram pun sanggup ditolak tepi, inikan pula dosa pahala yang sememangnya Buang langsung tak peduli.

Tok Bijan menarik dalam sedutan sigupnya. Berkepul-kepul asap tebal dilepaskan di udara. Nyanyian cengkerik semakin rancak kedengaran. Kemenyan di dupa ditambah lagi beberapa ketulan bakaran.

“Tolonglah Tok, saya merayu ni.” Buang masih lagi mencuba nasib. Berharap benar dia agar Tok Bijan berubah fikiran sudi membantunya.

“Hei Buang! Kau faham ke tidak?! Biar selaut d***h kau sembahkan. Biar segunung mayat kau korbankan. Syaratnya tetap sama! Tiada dua selain satu! Dialah yang satu tiada yang lain! Yang memelihara kawanan! Yang menguasai kawasan!”

Menggigil badan Tok Bijan menahan marah. Sudah dikhabarkan banyak kali pun Si Buang masih lagi degil merayu. Celeng Ireng hanya satu sahaja. Tiada dua selain satu. Dialah satu tiada yang lain. Tunggal menguasai kawanan, bukannya bersatu membentuk sekutu.

“Melainkan Si Aziz m**i, barulah kau boleh menggantikannya.”

Tersenyum Buang mendengar, jalannya untuk menjadi siluman kini bagaikan sudah terbuka. Sakit di hatinya mula terubat. Otaknya mula ligat merancang strategi. Ketamakkannya mula menguasai diri.

Sudah lama Buang tidak berpuas hati dengan Aziz. Sejak malam pertama lagi Buang berasa dirinya dipergunakan. Pembahagian harta curian daripada Aziz benar-benar tidak dipersetujui Buang. Biarpun Aziz yang memainkan peranan besar, Buang yakin dirinyalah yang telah membuka jalan.

Tok Bijan memerhatikan Buang yang berlalu pergi. Tangannya mengeluarkan semula beg kulit yang diserahkan Aziz malam tadi. Menggeleng kepalanya berulang kali.

***

Tok Penghulu termenung di jendela. Merenung jauh ke luar laman rumahnya yang luas terjaga. Berkecamuk fikirannya dengan masalah yang melanda. Tak sedar dia dengan kehadiran Mak Yam yang semakin menghampiri.

“Abang, sudahlah tu. Berserah sahajalah.”

“Hmm…” Ringkas Tok Penghulu menjawab.

“Abang janganlah risau pasal barang kemas saya tu, saya redho tak kisah.” Mak Yam kembali memujuk suaminya. Gusar hatinya melihat Tok Penghulu yang dilanda kemurungan sejak rumah mereka berlaku kecurian. Hampir sepurnama jugalah.

“Abang pening ni Yam… makin lama makin ramai yang mengadu menjadi mangsa. Dah bermacam usaha Abang buat, semuanya tak menjadi. Abang pula yang dipersalahkan orang kampung kerna gagal mengawal keadaan.”

Mak Yam mendengar sambil tersenyum. Baginya harta benda emas permata boleh dicari, yang penting asalkan dirinya pandai menghias diri mengikat suami itu sudah memadai.

“Jangan-jangan toyol kampung sebelah yang datang ke kampung kita? Iyalah… dengar cerita hampir sebulan kampung jiran tiada gangguan.” Berspekulasi Mak Yam cuba menduga.

“Bukan Yam…. Sudah banyak kali Abang cakap bukan kerja toyol. Puaka kecil itu tidak akan mengambil semua, pasti ditinggalkan sedikit buat si mangsa. Lagipun kau pun tahu kan Yam; peti besi Abang ni istimewa tempaannya, kedap udara!“

“Habis tu kerjaan siapa Bang?”

“Siluman… Abang pasti setiap rumah yang menjadi mangsa pasti akan punyai tanda yang sama. Termasuk rumah kita.”

“Tanda apa itu Bang?” Tak sabar Mak Yam nak mendengar jawapan dari suaminya.

“Di setiap rumah yang menjadi mangsa, pasti ada bekas lubang tanah yang digali.”

“Ishhh…ye ke Bang? Pagi petang saya menyapu laman tak perasan pula lubangnya.”

“Bukan di dalam laman rumah, Yam. Di luar pagar laman, di dalam semak. Dah macam tempat berkubang pun iya juga.”

“Macam mana Abang tahu semua ini?”

“Abang ada seorang kawan, namanya Bijan.”

Berubah air muka Mak Yam, tak disangka suaminya bersahabat dengan Tok Bijan rupanya.

***

“Awal pula kau tandakan Buang?” Aziz kehairanan melihat Buang pulang awal ke pangkin. Baru jam enam petang.

“Bukan susah pun, letak dan kambus sahaja kan?” Acuh tak acuh Buang menjawab.

“Maksud aku, kau yakin ke dengan apa yang kau tanda tadi? Kau dah siasat tuannya? Jangan nanti kau pertikaikan pula dengan habuan yang sedikit malam nanti.” Aziz bagaikan tidak berpuas hati dengan kerja Buang.

Buang mengetap bibir menahan geram. Tak gemar dia dipersoalkan sedemikian. Rasa diperkulikan pula disuruh sana sini ditanya itu ini. Habuan yang diterima pula sedikit berbanding Aziz. Pun begitu lebih mudah cara begini berbanding menurun. Lumayan!

Dan berbaloi!

Kerjanya mudah sahaja. Cari rumah orang kaya dan tanda. Cara menanda pula ialah hanya gali sedikit lubang di luar pagar laman mangsa. Kalau boleh biarlah di dalam semak belukar agar tiada yang syak atau wasangka. Letakkan isi siput b**i di dalamnya dan kambus kembali.

Isi siput b**i yang dibaca mantera akan mengeluarkan aroma yang menarik selera Si Celeng Ireng, sekaligus sebagai kunci pembuka gerbang ghaib yang akan menghubungkan lubang itu dengan peti simpanan besi milik mangsa.

Sebaik sahaja berubah, Celeng Ireng akan meluru keluar dari pangkin dan terus ke menuju ke arah aroma yang ditanda tadi. Siungnya akan digunakan untuk membongkar tanah yang terkambus tadi bagi mengeluarkan isi peti besi mangsa yang telah ditarik secara ghaib.

Apa sahaja yang tersimpan di dalam peti simpanan, kesemuanya akan ditarik secara ghaib ke lubang yang digali.

Lebih panjang siungnya, lebih dalamlah lubang yang digali. Lebih dalam lubang yang digali, lebih banyaklah harta dari peti besi akan dibawa lari. Mencuri secara ghaib, sangat berbeza modus operandinya dengan si toyol.

Kesemua harta di dalam peti besi akan diambil dan digonggong bawa lari ke pangkin semula. Untuk berubah semula ke manusia, Celeng Ireng perlu memadamkan nyalaan colok yang dibakar awalnya tadi dengan lidahnya sendiri.

Awas jika tidak dipadamkan atau terbiar padam sendiri, maka kekallah dia selamanya di dalam keadaan b**i.

Itu yang selalu diungkitkan Si Aziz, kerjanya lebih sukar berbanding Si Buang. Kerna itulah setiap kali pembahagian harta curi, Si Aziz akan menentukan dirinya harus mendapat bahagian yang lebih besar.

Penentuan itulah yang menjadi punca mereka berbalah. Penentuan yang menyebabkan dengki Buang pada Aziz mulai bercambah.

***

“Tok, kenapa harta yang digali saya hanya sedikit sahaja?” Buang bagaikan tidak berpuashati. Jenuh disondol dikuis namun harta yang ditarik tetap tidak terkeluar seolah melekat kuat pada tanah yang amat liat.

“Hahaha… ilmu baru panjang sejengkal, ada hati melampaui akal.” Tergelak besar Tok Bijan mendengar luahan Buang.

“Ajar saya Tok, bagaimana Si Aziz dahulu boleh pula menggali dalam? Banyak pula habuan yang dibawa pulang.”

“Eh… Aziz tak ajar ke sebelum dia m**i kau b***h?” Tok Bijan merenung tajam mata Buang.

Terdiam malu Buang pada Tok Bijan yang ketahuan. Terkedu dia berfikir bagaimana orang tua ini boleh tepat menduga. Walhal bersusah payah dia merancang kejadian pembunuhan ini seolah ianya hanyalah sebagai kemalangan maut di tempat kerja.

“Untuk menggali lubang yang lebih dalam, kau hanya perlukan siung yang besar dan panjang.” Tok Bijan mula serius memberi tunjuk ajar.

“Dan untuk membesar dan memanjangkan siung itu, kau hanya perlu menghirup d***h. Itu sahaja.”

“D***h apa Tok?”

“D***h daging sendiri!”

Termenung Buang seketika mendengarnya. Siung yang dipunyainya sekarang memang kecil dan pendek. Dan memang penuh kepayahan baginya cuba menyondol keluar harta dari tanah yang keras dan liat.

Tok Bijan tersenyum melihat Buang yang sedang berkira-kira. Benarlah kata pujangga; manusia tidak akan pernah puas biarpun sudah memiliki sebukit emas, pasti akan diminta sebukit lagi.

***

Tersenyum Buang melihat nyalaan colok di hadapannya mulai beransur padam. Padamnya ia bukan kerna kehabisan, padamnya ia bukan kerna sengaja dipadamkan.

Padamnya ia terpadam sendiri. Terpadam di pertengahan bakaran biarpun ada lagi sisa berbaki.

Tahulah Buang bahawa nafas Aziz sudah terhenti. Helah yang dirancangnya kini sudah menjadi. Tak disangka Aziz begitu mudah mempercayainya bulat-bulat.

Aziz langsung tidak menyedari lubang yang disondolnya adalah jerangkap yang telah disamarkan. Sengaja Buang menanda palsu meletakkan isi siput b**i di laluan talian penghantaran elektrik bervoltan tinggi. Aziz yang rakus menyondol dan gigih menggali langsung tak menyedari bahaya yang menghampiri.

Aziz memang percaya sepenuhnya pada Buang, yang bertindak sebagai penanda lubang di siang hari dan penjaga colok di malam hari. Sejak sebulan dirinya menjadi siluman, Buang adalah orang kepercayaan. Tetapi kepercayaan yang diperolehi telah disalahguna dan dimanipulasi demi untuk kepentingan diri. Sudah lama Buang merancang dan mengatur strategi.

Satu letupan kuat meletus tatkala siung Aziz mula menembusi penebat kabel elektrik. Kilauan cahaya yang menyilaukan mata mengiringi kepulan asap tebal ke udara. Satu kampung bergelap keputusan bekalan elektrik seketika.

Rentung terbakar Aziz serta merta di situ. Perlahan-lahan tubuhnya yang kehangusan bertukar semula ke bentuk manusia. Penduduk kampung semakin ramai yang datang mengerumuni.

Dan Buang juga ada di antara mereka yang datang melihat, tersengih sendirian di bibir terukir senyuman jahat.

***

Pihak polis menyambung pemeriksaan di belakang rumah pula. Terbukti benar pelakunya masuk dari belakang, pintu belakangnya pecah bagai dirempuh sesuatu. Berlubang agak besar juga bawahnya, sekira-kira muat untuk seekor anak lembu jantan membolosi.

Sementara itu di dalam bilik, anggota paramedik mengesahkan Si Salmah sudah pun m**i ketiadaan nadi. Salmah dijumpai terlantar dalam keadaan tidak sedarkan diri serta tubuhnya yang berlumuran d***h. Bunyi bising yang amat meragukan ketika Maghrib tadi telah memaksa jiran-jirannya menghubungi pihak berkenaan.

Luka yang diterimanya terlalu besar. Pehanya koyak memanjang ke atas bagai tersiat. Tulang sikunya terkeluar pecah menembusi daging. Perutnya terburai mengeluarkan usus yang panjang berjuntaian.

Jantungnya pula hancur luluh bagai dikunyah sebelum diluahkan bertaburan di atas lantai. Tunggang langgang perabot jatuh berselerakkan, seolah berlakunya pergelutan sebelum ajal tiba dijemput kematian.

Nasib yang lebih buruk buat si anak kecil yang jasadnya masih di dalam buaian. Kasihan Hassan tubuhnya hancur bagai dimamah. Darahnya merah pekat mengalir, matanya terbeliak lidahnya terjelir. Apalah nasib malang si anak diperlakukan demikian. Sampai hati si pelaku sanggup memisahkan kepala Hassan dari badan.

Tok Penghulu dan Mak Yam saling berpandangan.Berusaha keduanya mengawal ketenangan menghalang penduduk kampung yang cuba masuk ke rumah mangsa. Masing-masing sibuk ingin tahu hal kejadian.

Mereka lebih berminat akan hal misteri kematian berbanding hal mangsa yang pernah hidup susah kemiskinan.

Anggota polis memanggil Tok Penghulu masuk ke dalam. Mak Yam mengikut rapat suaminya di belakang. Bau hanyir kuat menusuk hidung. Penuh di lantai kesan d***h yang mula mengering.

“Tok tahu tak tapak apa ini?” Anggota di belakang rumah menyuluh sesuatu di atas tanah.

“Telapak dua kuku. Itu tapak kaki b**i tunggal, Tuan.” Dahinya berkeriut memikirkan hubung kaitnya. Mak Yam juga menunjukkan reaksi yang sama.

“Aneh… Tiada tanda isi rumah digaledah. Rantai dan gelang emas Arwah juga masih di tubuh. Pasti kerjaan Si B**i yang naik minyak menceroboh masuk dan menyerang kedua beranak di dalam bilik tidur. Tapi kenapa?”

Tok Penghulu diam tidak menjawab. Perlahan dia berpaling ke Mak Yam di sebelahnya. Mak Yam bagaikan faham apa yang difikirkan suaminya. Matanya mula meneliti perhiasan dan perabot di dalam rumah Salmah.

Cantik dan mewah!

Langsung berbeza sewaktu mereka berdua datang membantu lima tahun dahulu. Atapnya dahulu bocor, dindingnya retak dan lantainya pecah. Duduk pun bersila sahaja tanpa kerusi atau meja. Jangankan TV atau peti sejuk, kipas meja dua belas inci saiznya pun tiada.

“Tok, tahukah di mana suaminya berada?”

“Tidak tahu Tuan, mungkin bekerja di luar kawasan.”

***

Buang masih lagi berdiri biarpun teksi yang dinaiki sudah berlalu pergi. Pandangannya tetap terpaku pada bank di hadapannya yang kuning kehitaman warna pengenalannya. Bersinar-sinar biji matanya mengadun harapan. Suatu impian yang tak mustahil Buang akan laksanakan.

Buang yakin dirinya mampu lakukan.

Siungnya semakin meruncing panjang dan besar sesudah disirami d***h. Penggaliannya semakin dalam dan makin begitu mudah. Sayangnya harta penduduk bukanlah banyak sangat. Tambahan pula tak ramai yang menyimpan harta di dalam peti besi.

Lagi pun di kampungnya kecoh semua lapisan membicarakan hal kematian isteri dan anaknya. Langsung tenggelam hal kematian Aziz yang keras kerentungan ketika bertugas. Mereka lebih berminat pada yang misteri berbanding logik akal fikiran.

Buang yakin dihadapannya kini adalah lubuk kekayaan yang perlu diterokai. Matanya meliar mencari tanah yang bakal ditanda dan digali. Hampa… kesemuanya batu yang sudah berturap dan kepingan mozek jubin yang cantik ditampal rapi.

Buang bernasib baik tatkala mula berjalan ke belakang bagunan. Satu taman permainan kecil terjaga bersih menyejukkan pandangan. Setelah pasti tiada yang melihat, pantas tangannya menguis tanah di tepi pokok hiasan.

Isi siput b**i yang sejak tadi dikemam di dalam mulut, diluahkan kesemuanya biar jatuh ke dalam lubang. Seiring dengan lintasan mantera di hati, lubang kecil itu dikambus kembali. Sebagai pengakhiran, lendir dari lintah bulan dikahakkan keluar dari tenggoroknya sebagai azimat penguat seruan.

***

Tok Bijan masih lagi buat tidak tahu, sigupnya ditarik dalam lagi seperti biasa sebelum asapnya dilepaskan semula. Malas dia hendak melayan sebenarnya. Sifat tamak Buang memang benar-benar menyusahkan. Dan apa yang lebih teruk, Tok Penghulu bagaikan sudah tahu yang dialah dalang sebenar yang memainkan peranan.

Sudah dikhabarkan jangan masuk ke kawasan Pak Belang, memang buruk padah yang akan diterima nanti. Ketamakkan Buang bukan sahaja membutakan hatinya sahaja, malah kedua biji matanya juga bagaikan terhijab. Takkanlah Buang tak perasan logo yang digunakan oleh bank tersebut?

Kesemua pengamal ilmu hitam tahu, setiap bank akan dikawal oleh penunggunya yang tersendiri. Dan setiap penunggunya akan digambarkan pada logo atau maskotnya. Pun begitu, ada juga yang tertipu dengan kecomelan yang diiklankan.

Ramai yang tewas dihambat puaka belaan sewaktu cubaan memecah masuk. Tak pernah lagi dalam sejarah perbankkan negara, mana-mana institusi kewangan berjaya diceroboh secara ghaib. Kesemuanya gagal menembusi, biarpun dekat sudah menghampiri.

Tok Penghulu masih diam menanti jawapan dari rakannya. Sesekali kakinya menendang biar tertolak jauh kepala Buang yang cuba menggesel kakinya. Terasa kurang selesa dengan b**i hutan yang cuba bermanja dengannya.

Buang tidak berputus asa, berpatah semula dia ke busut jantan di belakangnya. Berusaha dia mendaki busut itu ke atas agar dapat memujuk Tok Bijan yang sedang bersila di puncaknya.

Gagal… Gagal Buang mendaki, kaki belakangnya bagaikan tidak berfungsi akibat dibaham Pak Belang malam semalam. Penuh lukanya dihurung lalat dan langau yang cuba menghirup darahnya yang semakin kering dan hitam.

Menyondol lembut Buang di kaki busut meminta simpati. Membuat dia akan bunyi agar Tok Bijan memahami dan menolongnya. Sesekali badannya yang berbulu hitam dan kasar itu akan digeselkan pada busut, biar hilang kegatalan menggigit badan.

Tok Penghulu memang tak menyangka Buang menuntut ilmu siluman. Dan tak disangka Buang tergamak m******h ahli keluarganya sendiri demi kemajuan ilmu hitamnya. Mujur dia perasan gelang yang dipakai Si Salmah itu adalah milik Mak Yam walaupun bukan hak isterinya yang sebenar.

Tok Penghulu yang menjumpai Celeng Ireng yang terhincut-hincut berjalan di hujung kampung pagi tadi. Hatinya yakin mengatakan yang b**i tunggal hitam itu adalah Buang. Segera diikat badan Buang dan ditarik paksa hingga ke tempat Tok Bijan. Dan Buang memang tidak melawan, cuma pergerakannya agak perlahan.

“Bukan aku tidak mahu terima, si tamak ini banyak menyusahkan orang. Dia sudah melanggar pantang!” Tok Bijan bengis menolak saranan Tok Penghulu.

“Tak mengapalah Bijan, yang lepas itu biarkanlah lepas. Aku tidak akan mengungkit hal yang lepas. Asalkan dapat kembali hak aku pun sudah memadai.”

Tok Bijan merenung dalam mata rakannya. Tawaran daripada Tok Penghulu itu memang ada asasnya. Buang yang mendengar perbualan mereka berdua hanya mendengus lembut. Sesekali ekornya melibas rawak ke badan menghalang hinggapan.

“Baiklah… tapi jangan lepas ini kau cuba mengungkit pula. Aku tak mahu disebabkan si tamak ini kita berdua pula berseteru. Kau dengan urusan kau dan aku dengan urusan aku.”

Tok Penghulu mengangguk tanda bersetuju. Rahsia tetap rahsia. Perjanjian lisan akhirnya tercapai. Penerimaan semula Tok Bijan akan silumannya bermaksud Tok Bijan harus menyerahkan kembali cucu Tok Penghulu.

Tersenyum lebar Tok Penghulu tatkala menerima kembali cucunya. Pantas dibuka beg kulit yang diterimanya. Hampir tiga purnama cucunya tidak diberi makan. Dan hampir tiga purnama juga kampung sebelah aman tanpa gangguan.

Yang paling penting, rungutan penduduk kampung terhadap kecurian selama tiga bulan ini juga akan ditamatkan. Tak di sangka sebulan yang pertama itu adalah angkara Aziz sebelum legasi Celeng Ireng itu diteruskan oleh Buang untuk dua bulan berikutnya. Pening Tok Penghulu melayan aduan yang tiada kesudahan.

Bersungguh-sungguh cucu kesayangannya menyonyot ibu jari yang disuakan. Sayang benar Tok Penghulu pada cucu yang satu ini. Bukan mudah mendapat kematian bayi sulung yang masih dalam kandungan. Mungkin kebetulan malam itu memang sudah tertulis rezekinya mendapat cucu baru.

Ini adalah cucunya yang kedua. Cucu yang pertama dahulu sudah m**i kerana kecuaiannya sendiri. Sebab itu Tok Penghulu tidak hairan melihat kealpaan Si Buang yang dihambat Puaka Harimau. Dirinya dahulu pernah juga terkena.

Kasihan jika dikenang kembali nasib cucu awal belaannya dahulu. Hancur tubuh tulang berkeriuk dijerut sekuatnya sebelum dihempas kasar ke lantai. Putus nafasnya tengkuk dipatahkan apabila lehernya dibelit kuat tanpa kasihan.

Tak disangka bank kepunyaan orang Bugis itu dijaga rapi oleh Puaka Kurita. Seekor sotong raksasa yang sentiasa kemerahan menahan kemarahan dalam senyuman. Menjerit meraung Tok Penghulu meratapi kesedihan atas apa yang berlaku.

Sejak daripada peristiwa itu, Tok Penghulu tidak lagi memilih premis bank sebagai sasaran. Dan dia juga tidak menyasarkan penduduk kampungnya sendiri sebagai mangsa. Dia semakin lebih berhati-hati di setiap modus operandi. Serik di hati kehilangan belaan yang banyak mendatangkan rezeki.

Nasib malam itu ada kematian sebelum kelahiran di kampungnya. Bayi yang m**i itu pula mujur sempat dilarangnya daripada dinamakan. Tiga hari tiga malam mayat bayi itu diperasapkan hingga kering cecair jasadnya.

Asap yang dijana dari pembakaran tulang anjing hitam memang ampuh sewaktu seruan. Punyalah susah Tok Penghulu mencari anjing hitam di kampung Melayu, tapi hasil yang diperolehi memang berbaloi.

Dalam masa yang singkat, kekayaan harta penduduk kampung sebelah berpindah kepadanya. Tanpa perlu usaha dan syak wasangka, cukup sekadar beberapa hirupan d***h dari belaan kecilnya.

Tok Bijan hanya diam melihat rakannya itu melayan cucunya. Tergelak kecil dia melihat bekas calitan yang sudah kehitaman di tengkuk Tok Penghulu. Mungkin sebab itulah dia tak perasan wajah isterinya sudah pun mula menggerutu bagaikan hantu.

***

“Mak Yam…ooo Mak Yam!”

Terkial-kial Mak Yam bangun menuju ke pintu. Tok Penghulu mengosok-gosok mata membuang sisa tahi mata. Mengerling dia sekilas ke jam dinding… pukul dua belas tengah malam. Pun begitu, Tok Penghulu menyambung semula tidurnya semula.

Langsung dia tak kisah akan lelaki yang menyeru nama isterinya. Langsung di hatinya tiada cemburu atau ingin tahu. Biarpun dia tahu isterinya adalah yang paling cantik menawan penuh godaan, hatinya yakin kasih Mak Yam padanya tidak akan pernah berbelah bahagi.

Dan dia juga begitu kasih pada isterinya, semakin hari semakin kuat sayangnya. Sayangnya bermula sejak dari hari pertama lagi dia mengenali Mak Yam. Yang mana kebetulan juga pada hari itu adalah hari pertama dia mula dilantik sebagai Penghulu.

“Maaf Mak Yam, isteri saya sakit nak bersalin ni. Air ketubannya dah pecah.”

Mak Yam tersenyum mendengar berita. Langsung tiada terkilan di hatinya dipanggil selewat malam begini. Sudah lama dia menunggu panggilan membidan, generasi muda sekarang ramai yang lebih percayakan klinik kerajaan.

“Sebentar ya Mak Yam bersiap.”

“Maaf ya Mak Yam sudah tengah malam. Jangkaannya lagi dua hari sepatutnya.”

“Tak mengapa, Mak Yam faham. Janganlah kamu berasa bersalah.”

Terketar-ketar Mak Yam menuruni tangga. Kedinginan bayu malam memaksanya mengenakan selendang putih agar hangat kekal membaluti tubuh dan kepala.

“Errr…berapa anggaran upahnya Mak Yam? Tengah bulan ni terus terang saya cakap memang tak punya wang.”

“Eh…jangan risaulah. Mak Yam tak pernah mengenakan bayaran. Cuma biarkan sahaja uri anak kamu itu Mak Yam yang tanam.”

“Jangan susah-susah Mak Yam. Saya boleh ta….”

“Biarkan sahaja uri anak kamu itu Mak Yam yang tanam!!!”

Terkejut lelaki itu itu mendengar Mak Yam menengking. Dan bertambah terkejut dia lagi apabila selendang yang menyelubungi kepala Mak Yam jatuh ke bahu.

Mak Yam yang gah dahulu akan kecantikkannya kini bagaikan nenek tua yang sangat hodoh wajahnya. Rambutnya jarang dan beruban keputihan. Hidungnya tidak lagi mancung, pipinya pula tidak lagi tegang. Kulitnya menggerutu!

“Aku mahu uri itu, kamu faham tak?!!!”

Tersenyum Mak Yam melihat lelaki itu mengangguk ketakutan. Teringat dia akan pesan gurunya dahulu bahawa uri yang sudah bersentuh tanah tidak lagi akan berkesan. Harus diratah dan dikunyah segera tanpa bilasan.

Tak disangka Tok Bijan juga turut mahir dalam hal petua kecantikan wanita. Petua itu diajar secara percuma sewaktu membeli sebotol Minyak Calit Bayang Kepayang dari Tok Bijan. Setiap kali uri segar ditelan, Mak Yam pasti akan dapat merasakan perubahan. Bagaikan dilahirkan semula, dirinya dirasakan begitu muda dan bertenaga.

Mulus dan gebu kulitnya tegang.
Muda menggoda cantik dipandang.

Hidung mancung bagaikan seludang.
Ramping kerengga ukuran di pinggang.

***

Buang semakin laju meredahi denai menuju ke kampung. Hari semakin gelap, matahari kian terbenam. Ligat otaknya berfikir arah menuju ke masjid jamek. Bingung dia seketika. Kenapa perlu jamek?

“Ada satu cara untuk membatalkan sumpahan siluman ini. Kau harus berendam selama sepurnama di dalam kolah masjid jamek. Tanpa diketahui, tanpa disyaki.”

Buang yang sedang duduk di kaki busut bingkas bangun. Mendengus dia kegembiraan atas nasihat Tok Bijan.

“Ingat tu Buang, masjid jamek. Bukan surau atau masjid biasa.”

Sampai di selekoh Sungai Plong, azan Maghrib mula kedengaran. Buang meluru laju ke arah laungan suci itu. Dirinya kini berada di pintu pagar utama. Hatinya begitu yakin masjid di hadapannya ialah masjid jamek.

Di sebalik belukar, Buang mendengus kecil menunggu peluang. Matanya meliar mencari kedudukan kolah untuk direndami. Berhampirannya sekumpulan kanak-kanak bermain bola menunggu iqamah.

Tiba-tiba ada budak yang perasan akan persembunyiannya tatkala masuk ke belukar mengambil bola. Dirinya mula dibaling batu dan kayu dari kesemua arah. Buang tiada pilihan. Biarpun tidak sakit, geram dan sakit hati diperlakukan sedemikian.

Segera dirinya meluru keluar ke hadapan sebagai amaran. Dikejarnya kanak-kanak tadi hingga terlajak masuk ke dewan solat. Buang terlupa akan dirinya adalah seekor b**i hutan yang perlu bertindak dalam kerahsiaan.

Menyedari akan kesilapannya, segera Buang keluar dari dewan untuk melarikan diri. Sempat dia menjeling ke belakang memerhatikan wajah jemaah yang bagaikan tidak berpuas hati. D***h dari luka kakinya juga terpalit merata-rata pada dinding dan karpet masjid akibat sondolan membabi butanya tadi.

BAM! … BAM!

Tersungkur Buang mencium tanah.

Semua jemaah keluar dari dewan datang dekat merapati. Pak Imam menggeleng kepala melihat seekor b**i hutan kehitaman yang tergolek kaku. D***h hitam mengalir deras keluar dari luka tembakan di kepalanya.

“Terima kasih Bijan. Mujur kamu bawa senapang.”

Tok Bijan diam tak membalas. Tersenyum pahit dia melihat semakin ramai jemaah Muslim yang mula mendatangi masjid. Dirinya perasan; semenjak Pak Imam dilantik sebagai Jawatan Kuasa Agihan Zakat, semakin kurang orang miskin berjumpanya meminta pertolongan

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 4.7]
Zuraidah Aqil Aqila Danish

21 thoughts on “CELENG IRENG”

  1. Terima kasih untuk penulisan yang sangat kemas, menarik dan teratur. Saya sangat suka dan tertarik dengan gaya penceritaan, gaya bahasa yang digunakan, susun atur ayat dan penggunaan bahasa melayu klasik semasa mengolah ayat. Cerita berunsurkan kepercayaan, pengkhianatan, pemujaan dan syirik. Pandangan awal saya sebagai pembaca terhadap tok penghulu dan Mak Yam adalah mereka berdua ini orang yang baik, namun meleset di akhirnya. Terima kasih Zuraidah sekali lagi untuk penulisan yang sangat menarik ini. Gambaran dua bank yang dijaga penjaga amat menggerunkan.
    10/10

    Reply
  2. Wow!Ni kalau buat buku,boleh jadi best seller ni.Gaya bahasa menarik.Ada penggunaan bahasa klasik.Bahasa beritma,rasa seronok bila membaca.Sangkaan saya,Tok penghulu dengan Mak Yam tu orang yang baik tapi meleset.Jalan cerita pun tersusun dan mudah difahami.Teruskan Menulis! 😁
    (Teringin nak menulis macam awak,ada tips ka?)

    Reply
    • Setiap kali admin post story, awak selalu comment yang ala kadar je. Minat sangat ke trophy buat top commentor tu? Serik dah aku tngok muke kau tu. Dah la rambut ala jepun, muke tu dok muke melayu. Belek jubur tu, dah ada daki

      Hilang mood aku baca article cantik ni sambil tengok muka awak

      Reply
  3. Adakah benar setiap bank ada penunggu? Tu sebab duit juta2 susah makhluk ghaib nak curi..kalau tak..
    tentu hari2 toyol gi bank..musykil gak ni…

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.