Cerita Mistik di Kampung Santubong 1995

Kisah seram ini berlaku pada tahun 1995 di sebuah kampung terpencil di Santubong, Sarawak. Kami sekeluarga ketika itu menyewa rumah melayu lama yang terletak di hilir kampung dan di belakang rumah tersebut tersergam indah Gunung Santubong. Selang tiga buah rumah dari rumah sewa kami pula terdapat pantai yang seingat saya dinamakan sebagai Pantai Puteri. Kampung tersebut memang indah kerana masih lagi diselubungi hutan-hutan yang ketika itu masih lagi belum diterokai.

Saya masih ingat kejadian seram ini berlaku pada malam ketika umat Islam merayakan Hari Raya Aidilfitri yang ketujuh. Ketika itu, kami adik –beradik masih lagi 05 orang semuanya, dan seorang lagi adik perempuan masih 05 bulan dalam kandungan emak. Saya masih di darjah lima, kakak dalam tingkatan empat, abang dalam tingkatan tiga, adik lelaki di darjah empat manakala adik perempuan (masih bongsu ketika itu) baru berusia 3 tahun. Selepas makan malam dan berbual bersama keluarga, emak, bapa dan adik bongsu terus masuk tidur termasuk abang. Saya, kakak dan adik lelaki pula masih di depan tv menunggu siaran filem pada jam 11 malam. Biasanya siaran tv di malam-malam hari raya sering menyiarkan filem-filem melayu yang menarik.

Selepas beberapa minit menonton tv, tiba-tiba kami mendengar ketukan di pintu rumah utama. Ketukan tersebut tidaklah terlalu kasar atau terlalu kecil bunyinya, tetapi tidak pula mendengar bunyi orang memberi salam. Saya bangun dan terus membuka pintu, namun tiada apa-apa cuma hanya ada derusan angin. Saya segera menutup pintu dan menyambung menonton tv. Perkara tersebut sering berlaku di rumah sewa tersebut, disebabkan itulah saya tidak memikirkan apa-apa. Keseronokan menonton tv cuma berlangsung beberapa minit apabila kakak tiba-tiba bertanya sesuatu kepada kami berdua;

“ Ada dengar sesuatu tak?” tanya kakak dalam nada suara yang rendah. Saya dan adik lelaki menggeleng kepala.
“ Aku dengar ada bunyi macam orang menyapu kuat di bilik emak dan bapa…Macam bunyi penyapu lidi…Kuat. Korang tak dengar ke?”

Adakah kerana terlalu fokus menonton filem melayu (bertajuk Imigran seingat saya) menyebabkan saya dan adik lelaki tidak mendengar apa-apa bunyi, atau kakak sekadar bergurau? Namun melihatkan riak wajah kakak ketika itu tidak pula menunjukkan dia bergurau. Saya mulai terasa seram termasuk adik lelaki yang mulai merapatkan duduknya dengan kakak. Melihatkan kami begitu, kakak pun memujuk dan mengalihkan perhatian kami kepada televisyen. Jam di dinding menunjukkan 11.30 malam, dan kami akhirnya terus melupakan kejadian tadi.

Tiba-tiba kami terdengar bunyi tangisan mendayu-dayu dan setelah beberapa ketika, bunyi tersebut rupanya datang dari bilik emak dan bapa. Kali ini, saya memang ketakutan kerana bunyi tangisan tersebut semakin kuat. Tanpa membuang masa, kakak terus menerpa ke bilik emak dan bapa dan mengetuk pintu bilik dengan kuat. Saya dan adik lelaki sememangnya sedang ketakutan tidak berenggang dengan kakak. Beberapa minit kemudian, pintu bilik dibuka dan keluar bapa sambil membebel;

“Itulah korang tak jaga hati emak, sekarang emak dah nangis pula”
“Kenapa mak menangis?” tanya kakak. Saya cuba mengingat kejadian sebelum mereka semua masuk tidur. Memang ada sedikit pertelingkahan berlaku antara emak, abang dan kakak namun semuanya sudah diselesaikan dan mustahil pula emak masih menyimpan perasaan kecil hati kerana setahu saya emak bukan begitu perangainya.

Bapa tidak menyahut dan selepas menghidupkan lampu bilik, kami melihat emak masih baring di katil sambil mengongoi. Kelihatan air matanya keluar berjujuran, seolah-olah hatinya terlalu sedih namun yang peliknya mata emak masih terpejam, seperti dia menangis dalam keadaan tidur. Melihatkan keadaan pelik tersebut, kakak terus memujuk emak sambil mengurut-urut tangannya. Tetapi emak masih lagi mengongoi dan menangis hiba. Tanpa membuang masa kakak cuba membaca ayat-ayat suci di telinga emak.

Kakak yang masih belajar di sekolah agama di Kuching sememangnya berpengalaman dalam hal-hal seperti ini lebih-lebih lagi dia selalu bercerita di sekolahnya yang ketika itu terletak jauh dari bandar selalu berlakunya kejadian mistik. Tambahan lagi kakak bolehlah dikatakan mempunyai naluri ke enam atau Sixth Sense. Kerana itu dia dapat mendengar bunyi sapu pada mula-mula tadi walaupun saya dan adik tidak mendengar apa-apa.

Setelah dibacakan ayat-ayat suci di telinga, emak terus terbangun tetapi masih dalam keadaan duduk melunjur di katil. Terus dirabanya kedua-dua kakinya dan mengucap berkali-kali. Melihatkan keadaannya sudah sedar, kami semua berasa lega. Nampaknya emak bukan menangis kerana perbuatan kami, tetapi mungkin emak bermimpi buruk. Dalam keadaannya yang masih cuba bertenang, emak terus mengarahkan kami mencari sebiji bawang merah, minyak masak, jarum, benang hitam dan kain baldu. Setelah barang-barang tersebut dapat dikumpul, emak terus membuat uncang dari kain baldu (yang dikoyaknya dari songkok adik lelaki) yang terlebih dahulu dimasukkan bawang merah bercampur minyak masak. Sambil menjahit, saya melihat mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu.

Saya tahu emak sememangnya tahu sedikit ilmu tradisional melayu Sarawak kerana nenek saya (sudah arwah) merupakan seorang bekas tukang urut. Namun saya pasti apa yang dibacakan emak adalah mantera yang dicampur sedikit ayat-ayat suci Al-Quran kerana saya pernah mendengar nenek mengajarnya. Emak juga boleh mengurut ibu-ibu yang meroyan dan menyediakan air rempah atau kami panggil sebagai ‘air masak’. Saya turut dipaksa minum air masak sehingga meningkat remaja dan hasilnya saya tidak lagi diserang senggugut setiap kali datang bulan tiba.

Sambil menyiapkan uncangnya, emak menceritakan mimpi yang dialaminya di mana dia sendiri merasakan mimpi tersebut benar-benar berlaku. Dia bermimpi ditarik seorang wanita tua ke Pantai Puteri, yang tidak jauh dari rumah sewa kami. Wanita tua tersebut menariknya sampai ke gigi air laut sambil menjerit bahawa dia mahukan anak dalam kandungan emak. Emak menangis-nangis sambil cuba melepaskan cengkaman wanita tua itu yang kuat menarik tangannya. Keadaan sekelilng ketika itu sangat gelap menyebabkan emak tidak melihat jelas akan rupa wanita tua itu tapi dari rambutnya yang mengerbang dan suaranya, seolah-olah wanita tua itu sudah berumur ratusan tahun. Baru sahaja kakinya mencecah air laut, tiba-tiba tangan sebelahnya ditarik kakak dari arah darat. Maka berlakulah adegan tarik-menarik antara wanita tua itu dan kakak namun kekuatan kakak sedikit demi sedikit berjaya menarik emak jauh dari wanita tua itu.

Setelah cengkaman wanita tua itu terlepas, emak pun terjaga dari mimpinya. Oleh kerana berasa mimpi tersebut benar-benar terjadi, emak meraba-raba kakinya kerana dia berfikir kakinya masih terasa basah disebabkan air laut. Bapa pula menceritakan ketika mendengar emak menangis, dia terus menyuruh adik bongsu memeluk emak kerana menyangka emak bersedih hati. Tidak pula disangkanya emak bermimpi buruk, selain bapa juga tidak mendengar bunyi sapu yang didengar kakak itu. Nampaknya hanya kakak sahaja yang dapat merasa sesuatu sepanjang malam itu. Saya ketika itu yang masih budak-budak tidak menyangka bahawa kejadian seram malam itu rupa-rupanya tidak berhenti setakat itu….

Setelah berasa semuanya telah kembali kepada normal, saya terus keluar bilik untuk menyambung menonton tv. Bapa, emak, kakak dan adik lelaki dan adik bongsu masih di dalam bilik berbual-bual mengenai kejadian tadi. Keluar sahaja dari bilik, tiba-tiba tergerak hati saya untuk menoleh ke tandas yang bersambung dengan dapur rumah. Rumah sewa tersebut tidaklah besar dan disebabkan itulah saya dapat melihat tandas hanya dari ruang luar bilik tidur emak dan bilik tidur kami adik beradik.
“Eh, abang tengah buat apa tu? Kencing ke? Kenapa tak tutup pintu?” kata saya dalam hati. Nasib baik saya hanya melihat belakang abang dan terasa pelik juga kerana abang tidak pernah tidak menutup pintu tandas semasa menggunakannya.

Beberapa ketika, saya melihatnya berjalan dengan keadaan terhuyung-hayang keluar dari tandas dan seterusnya menuju ke biliknya. Saya sempat menegurnya tetapi abang diam membisu. Matanya kelihatan merah, mungkin baru bangun dari tidur, sangka saya. Selepas masuk ke biliknya, abang terus menutup pintu dengan kuat. Tanpa berlengah saya terus memberitahu keluarga yang lain akan keadaan abang kerana saya khuatir abang mungkin mengambil dadah. Tidak mustahil juga bagi remaja yang tengah naik seperti abang mencuba benda-benda baru di sekolahnya.

Kami semua terus menyerbu ke bilik abang. Emak dan kakak mengetuk pintu abang berkali-kali sambil memujuknya keluar. Saya melihat bapa cuma diam tidak berkata apa-apa, mungkin juga kesal dengan perbuatan abang apabila mendengar cerita saya tadi mengenainya. Adik bongsu berpeluk kuat dengan bapa, manakala saya dan adik lelaki berpaut di belakang kakak. Ketika itu saya mendengar angin menderu-deru di luar rumah, seperti ribut namun tidak pula turun hujan. Beberapa minit kemudian, kami mendengar abang membuka kunci pintu dan pintu bilik dibuka sedikit. Kelihatan dia menjenguk sedikit dan ketika itu saya dapat melihat matanya masih merah.
Tanpa membuang masa kami semua terus masuk ke bilik abang.

“Kenapa dengan kau nak? Kau hisap gam ke? Atau kau kecil hati pasal tadi??” soal emak bertalu-talu, nampaknya emak paling risau dengan keadaan abang. Saya melihat abang baring di katilnya dalam keadaan membelakangkan kami tapi beberapa minit kemudian saya terkejut….kami mendengar abang menangis teresak-esak…Abang menangis ke? Setahu saya sepanjang saya membesar bersama abang, saya tidak pernah melihat abang menangis walaupun pernah ditampar bapa suatu ketika dahulu. Namun kali ini abang menangis seperti budak kecil, sampaikan badannya terhinggut-hinggut menahan esak tangis. Kami kekagetan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Kakak cuma mampu memujuk abang memandangkan kakak belum dapat mentafsir kejadian yang berlaku itu.

“Takkanlah dia kecil hati dengan hal tadi? Setahu saya dia ni bukan jenis suka merajuk sampai menyimpan dalam hati. Ni siap menangis pulak” kata kakak sambil memandang bapa. Emak pula tidak dapat menahan emosi, hampir-hampir ikut menangis kerana menyangka abang menjauh hati tetapi segera ditegur bapa.

“Dia ni bukan nangis pasal tadi, ni macam nangis lain macam”
“Menangis macam apa pulak, entah-entah dia kecil hati kita tuduh dia hisap gam” sahut emak sambil mengurut-urut belakang abang. Apabila emak cuba memalingkan badan abang, tiba-tiba abang berhenti menangis. Kelihatan matanya merah dan terbeliak melihat ke satu arah. Kemudian abang terus duduk bersila di katil dan mengeraskan tubuhnya. Melihatkan keadaan abang begitu, kakak terus ke tandas mengambil wuduk.

Kemudian kakak mencapai tudung dan kitab Al-Quran dan terus membaca surah Yasin sambil menggengam tangan abang. Kerana terlalu takut, saya dan adik lelaki mengiring kakak dari dia ke tandas dan kembali ke bilik abang.

Kakak mengalunkan bacaan yasin dengan suara yang separa nyaring. Apabila tiba ke hujung surah, tiba-tiba tangan abang bergegar dan gegaran itu cuba beralih ke tangan kakak. Ketika kakak perasan tangannya bergegar seperti sesuatu mahu merasuknya, kakak menguatkan bacaannya dan barulah tangannya berhenti bergegar. Saya melihat kakak berpeluh-peluh setelah selesai membaca surah yasin tetapi dia tidak berputus asa, kakak mengalunkan pula azan di telinga abang. Seperti yang dilakukan kepada emak tadi, segala surah telah dibaca di telinga abang namun masih tidak memberikan apa-apa kesan malah abang kembali menghempaskan dirinya di katil dan terus menangis. Bapa syak bahawa makhluk yang merasuk abang memang sengaja berbuat begitu agar kami semua berasa risau.

Kakak kelihatan penat dan terpaksa menyerahkan kepada bapa untuk bertindak selanjutnya. Kali ini, abang tiba-tiba berhenti menangis. Saya lihat bapa mengambil minyak urut dari biliknya, dan mula mengurut kepala abang. Diurutnya bermula dari dagu dan ditarik ke atas kepala. Beberapa minit diurut, masih tiada tindak balas ke atas abang. Kemudian, bapa mengambil lada hitam di dapur dan menenyeh di ibu jari kaki abang sambil membaca sesuatu. Di kaki sebelah kiri tiada tindak balas, tetapi apabila ditenyek di ibu jari kaki sebelah kanan, tiba-tiba abang menjerit kuat.

“Siapa kau?!” tanya bapa.
“Kau siapa?!” jerkah abang pula dengan disertai wajahnya yang bengis. Abang kembali baring dan terus menangis teresak-esak. Kakak terus berbisik ditelinga abang, mengajaknya solat bersama. Saya tidak faham apakah tujuan kakak itu. Setelah saya dewasa, baru saya faham tujuan kakak itu adalah untuk menyedarkan abang sekiranya roh abang masih ada di dalam badan abang atau telah dibawa pergi oleh makhluk tersebut.

Ketika dibisik itulah abang kembali senyap. Begitulah keadaan abang, sekejap menangis dan sekejap mendiamkan diri. Saya gentar melihat matanya merah terbeliak seperti bukan abang lagi. Oleh kerana ketika kejadian saya masih lagi budak-budak, saya tidaklah berasa terlalu takut atau terlalu berani malah terasa seronok pula memandangkan pertama kali menyaksikan kejadian mistik sebegitu. Dalam keadaan kelam kabut itu, saya cuba membawa anak kucing saya ke bilik tersebut.

Belum lagi melepasi bendul bilik, kucing saya mengiau kuat ke arah abang dan terus melepaskan diri dari pegangan saya. Saya agak kucing tersebut dapat melihat makhluk di sebalik abang.
Malam semakin menganjak ke tengah malam, keadaan cuaca di luar kelihatan seperti mendung namun hujan belum juga turun. Angin menderu-deru di luar rumah seolah-olah rumah sewa tersebut dikelilingi sesuatu. Dari rumah sewa, saya dapat mendengar deru ombak Pantai Puteri menandakan air sedang pasang.

“Hmm…nampaknya abang kau ni memang sudah jauh dari sini” ujar bapa. Maksud bapa itu, roh abang saya sudah jauh dibawa lari dari makhluk yang merasuk badan fizikalnya dan oleh itu sukarlah mahu memulihkannya. Emak tidak putus-putus mengurut belakang abang, manakala saya dan adik-beradik yang lain cuma dapat melihat sahaja. Adik bongsu sentiasa bersama bapa khuatir makhluk itu mengapa-apakannya. Kakak keluar dari bilik dan beberapa minit kemudian masuk semula membawa segelas air kosong. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu dan setelah meniup ke dalam gelas tersebut, disuakannya ke mulut abang.

“Minum air ni, telan airnya jangan dibuang” pujuk kakak sambil gelas disua ke mulut abang. Namun abang hanya berdiam diri, tidak pula menepis air tersebut. Setelah disuakan air ke mulutnya, kelihatan air tersebut mengalir keluar tanda abang tidak menelan seteguk pun air yang telah dibacakan. Kakak mengeluh, bapa pula mulai resah gelisah apabila segala usaha memulihkan semangat abang tidak berjaya.

“Kita bawa abang ke kampung sebelah hulu. Ada seorang dukun mungkin boleh membantu. Kalau dibiarkan nanti entah apa lagi dibuatnya kat abang korang ni” ujar bapa.
“Kamu semua bawa abang ke kereta, bapa nak hidupkan enjin kereta dulu”
Arahan bapa dipatuhi serta –merta. Yang mengangkat abang adalah saya, emak, kakak dan adik lelaki.

Pada mulanya sukar untuk menggerakkan walau seinci tubuh abang dari katil. Setelah beberapa kali ditarik dan dipujuk kakak barulah abang dapat digerakkan. Apabila abang dapat diangkat, kami mengalami kesukaran kerana terasa membawa berat bertan-tan. Itu pun baru beberapa langkah melepasi katil, tiba-tiba abang jatuh rebah di depan pintu bilik. Kebetulan terdapat bantal besar di depan bilik abang yang kami gunakan semasa menonton tv tadi, di situlah badan abang mendarat. Melihatkan keadaan itu yang tiba-tiba berlaku, kami semua terkejut dan terus memegang abang khuatir abang tiba-tiba lari melepaskan diri atau mengamuk.

“Eh, apa ni?! Pegang-pegang ni? Apahal korang ni?”
“Kau nak ke mana? Kau kan sakit? Kami nak bawa kau berubat ni di kampung hulu”
“Eh, aku tak sakitla..aku sedar-sedar kena pegang korang sedangkan aku baru balik dari merayau di kampung hulu”

Mendengarkan penjelasan abang, kakak menyuruh abang mengucap dan abang berjaya melakukannya. Abang kembali berdiri dan dari gayanya seperti sudah kembali normal. Bapa yang berada di luar sedang menghidupkan kereta pun dipanggil, dan setelah diuji bapa sendiri dan disahkan abang tidak sakit lagi, kami membatalkan niat menghantarnya ke kampung hulu.

******
Kejadian malam itu umpama telah berlangsung berjam-jam lamanya walhal sebaik saja abang sedar, jam baru menunjukkan 12 tengah malam. Beberapa minit kemudian barulah saya mendengar hujan turun mencurah-curah. Setelah diberi air dan keadaan abang sudah tenang, barulah abang menceritakan apa yang terjadi ke atasnya.

Cerita abang bermula apabila abang masuk tidur selepas kami sekeluarga berbual di meja makan. Memang abang ada bangun sekejap ke tandas, tetapi dia terasa seperti terawang-awang macam kemabukan. Segala peralatan di dapur dilihatnya tunggang terbalik, cerek air di atas meja terbalik, pinggan dan cawan berpusing dan terawang-awangan. Setelah kembali di katil, dia terdengar ketukan bertalu-talu di pintu utama. Disebabkan tiada siapa yang membuka pintu rumah, abang terus angkat dan keluar untuk membuka pintu tersebut. Mungkin masih ada jiran tetangga yang mahu datang beraya fikirnya.

“Kenapa korang tak buka pintu tu? Mana tau ada jiran nak datang beraya” bebel abang apabila melihat kami bertiga hanya duduk di depan tv dan langsung tidak bergerak untuk membuka pintu rumah. Hatinya semakin mendongkol apabila kami bertiga langsung tidak melayan pertanyaannya.
Sebaik sahaja pintu rumah dibuka, tiada sesiapa yang berdiri menanti di luar rumah melainkan abang melihat di perkarangan rumah sewa, terdapat beberapa kumpulan pasangan lelaki dan perempuan berkumpul.

Masing-masing memakai helmet dan jaket hitam, namun tidak pula kelihatan motosikal di luar rumah. Memang abang maklum juga di rumah sewa tersebut selalu di singgahi oleh penunggang motosikal disebabkan dihadapan rumah sewa itu terdapat beberapa tong drum minyak kosong dan rumah kecil seperti kedai. Tuan rumah dahulunya mendirikan rumah kedai tersebut untuk pengunjung-pengunjung Pantai Puteri tetapi tidak tahu pula kenapa rumah itu disewakan.
Beberapa minit menunggu dan tiada sesiapa yang muncul, abang pun mahu masuk ke rumah tetapi terkejut apabila seseorang memberi salam. Apabila dia menoleh ke arah suara tersebut, dilihatnya sepasang kaki berdiri di serambi rumah. Hanya sepasang kaki namun tiada tubuh badan. Mungkin disebabkan malam pekat, abang tidak nampak dengan jelas tetapi setelah diamati betul-betul, memang dilihatnya sepasang kaki yang memanjang sehingga mencecah ke langit. Disebabkan terlalu tinggi, tubuh pemilik kaki itu diselaputi kabus hitam. Abang berasa sedikit gentar, tetapi segera ditegur makhluk berkaki panjang tersebut.
“Adik, kami ni dah kehabisan minyak petrol. Ada jual lagi ke minyak petrol di sini?” laung makhluk tersebut dengan suara yang bergema-gema disebabkan saiznya terlalu tinggi sehingga menjulang ke langit. Penunggang-penunggang motosikal di belakang makhluk tersebut masih lagi menunggu tetapi tidak pula berbual sesama mereka.
“Dah lama kedai di rumah ni tutup bang. Tong minyak depan rumah tu sebenarnya sudah kosong. Abang carilah di tempat lain ye”
“Nak cari kat mana ye? Dah larut malam ni, kami semua pun tak tahu sangat kawasan kampung ni…”
Abang cuma berdiam diri cuba mencari kedai di kawasan kampung tersebut yang mungkin ada menjual minyak petrol.
“Kalau abang pergi ke kampung hulu, ada beberapa buah kedai cina yang mungkin ada menjual minyak petrol”
“Kat mana tu?”
“Abang jalan keluar balik sampai simpang tu, abang terus lurus ke sebelah kanan. Kalau sudah jumpa sekolah rendah tak jauh tu ada nampak rumah kedai”
“Baiklah. Tapi bagus lagi kalau adik tunjukkan jalan”
“Tak susah cari tu bang, dah lewat malam jugak ni saya tak dapat nak keluar lagi”
“Alah, takpala..sekejap je. Adik tolong tunjukkan jalan dari simpang tu je, lepas tu adik boleh balik”
Setelah berfikir panjang, abang pun bersetuju. Setelah berkata demikian, dilihatnya penunggang-penunggang motosikal tersebut sudah tiada. Kawasan sekitar rumah sewa sudah kosong, tanpa ada kesan pernah dilawati penunggang-penunggang motosikal tadi. Abang bertanya kepada makhluk di depannya yang sudah pun berada di depan jalan masuk ke rumah sewa namun makhluk tersebut menjelaskan bahawa kesemua penunggang motosikal tersebut sudah pergi membeli minyak di kedai yang disebut oleh abang. Tanpa banyak berfikir, abang pun menurut jejak langkah makhluk tersebut. Baru beberapa langkah, abang berhenti.
“Kenapa berhenti?” tanya makhluk tersebut yang sudah jauh sedikit dihadapan abang.
“Saya tak pakai selipar dari tadi rupanya, saya balik dulu nak ambil selipar”
“Tak payahlah. Guna kaki ayam, barulah adventure sikit” pujuk makhluk tersebut. Oleh yang demikian, terpaksalah abang berlari-lari anak dengan berkaki ayam mengejar makhluk tersebut yang sudah jauh meninggalkannya. Ini disebabkan langkah makhluk tersebut sangat jauh, satu langkah sudah melintasi lebih kurang empat ke lima buah rumah kampung. Kata abang, dia memang terasa penat tetapi tidak pula berasa takut menghadapi makhluk tersebut.
Sekali lagi abang berhenti di tengah jalan. Apabila makhluk tersebut bertanya, abang memberi alasan bahawa dirinya lupa menukar baju yang lebih sesuai kerana dia sedang memakai baju t-shirt nipis dengan seluar pendek.
“Tak payahlah tukar. Dah sesuai tu. Lagipun kita kena cepat, nanti kedai tutup pula”.
Mereka kemudiannya meneruskan perjalanan. Setelah melintasi sempadan antara kampung, abang berhenti lagi.
“Kenapa lagi?”
“Saya baru ingat, mak bapak saya tak bagi saya keluar rumah. Dah lewat malam sangat ni bang” abang cuba memberi alasan lagi, tetapi makhluk tersebut memarahinya dan menggesanya agar tidak lagi berhenti selepas ini. Disebabkan makhluk tersebut sudah marah, abang tidak berani untuk berhenti berjalan walaupun hatinya meronta-ronta mahu pulang ke rumah. Kata abang lagi, terasa dia ditarik-tarik untuk balik ke rumah tetapi entah mengapa makhluk tersebut umpama sudah menguasai dirinya.
Sepanjang perjalanan ke kampung hilir, suasana amat gelap dan sunyi. Setiap rumah kampung yang dilintasi abang, tidak pula kelihatan cahaya lampu seperti kebanyakan rumah yang sedang merayakan Hari Raya Aidilfitri. Setelah sampai di hujung kampung, makhluk tersebut berhenti di sebuah rumah kayu usang yang terdapat di sebelah perkuburan lama Islam di kampung tersebut. Kelihatan hanya rumah tersebut bercahaya. Makhluk tersebut menyuruh abang masuk ke rumah tersebut, dan dia kemudiannya menghilang. Tanpa berlengah, abang pun masuk ke rumah tersebut.
Benda pertama yang dilihatnya ialah seorang lelaki diurut kepala oleh seorang tua. Di sisi lelaki yang diurut itu terdapat jarum peniti disusun secara menegak sehingga mencecah atap rumah. Masuk ke dalam sedikit, abang melihat sekujur tubuh diselimuti sehingga ke paras dada terkujur di atas lantai. Disebelahnya, duduk seorang lelaki berkopiah sedang mengalunkan azan di telinga lelaki tersebut. Selesai diazankan, lelaki berkopiah pun berbisik di telinga tubuh yang terkujur itu.
“Mari kita solat Isyak. Sekarang dah masuk waktu”
“Eh, aku tadi ada bisik di telinga kau, aku cakap nak masuk waktu subuh, nak ajak kau balik, bukan waktu Isyak. Kenapa semua yang kami lakukan kat kau, beralih ke badan orang lain?” tanya kakak mencelah cerita abang. Abang memang tidak tahu segala perbuatan yang dilakukan oleh kakak ke atasnya kerana dia merasakan bahawa apa yang dialaminya adalah kejadian benar.

Abang menyambung kembali ceritanya. Setelah beberapa minit menyaksikan semua itu, abang dipaut oleh seseorang, seorang lelaki separuh umur. Lelaki tersebut mengajaknya minum di bilik belakang rumah itu. Abang mengikut, dan dilihatnya beberapa lelaki duduk dilantai dalam keadaan membulat. Abang duduk di antara lelaki-lelaki tersebut. Dihadapan semua yang duduk, terdapat segelas air seperti air kopi dan masing-masing meneguk air yang dihidangkan. Abang diberi segelas, dan dilihatnya warna air tersebut hitam pekat seperti air longkang. Terlalu geli dan was-was, abang tidak meminum air tersebut.

“Tadi kami memang ada beri kau air yang telah dibacakan ayat-ayat suci tetapi kau tak minum air tu” kata kakak seperti sudah memahami apa yang telah terjadi ke atas abang.

Abang kemudian keluar dari rumah tersebut dan menunggu di sebelah perkuburan lama disebelah rumah tersebut. Dia tidak tahu sama ada makhluk tersebut akan muncul lagi tetapi kerana takut dimarahi lagi, abang sabar menunggu di sebalik surau yang terdapat di pinggir kubur tersebut. Dalam masa menunggu itu, terfikir juga abang kerana dia langsung tidak mengenal penduduk kampung yang berada di rumah tersebut.

Tiba-tiba, dilihatnya cahaya berbalam-balam datang dari arah perkuburan lama. Apabila diteliti, rupa-rupanya penduduk kampung menziarahi kubur-kubur dengan membawa sebatang lilin ditangan masing-masing. Pelik, setiap penduduk kampung tersebut tidak pula membaca Surah Yasin atau doa tetapi mereka hanya merenung dekat-dekat kubur-kubur disitu dengan lilin didekatkan ke kubur. Perbuatan pelik tersebut membuatkan abang terasa seram, dan dikala itulah abang terdetik hati untuk balik segera ke rumah.

“Ah! Tak kisahlah kalau dia marah ke, yang penting aku mesti balik sekarang!” dan segera abang berlari jauh dari tempat tersebut. Setiap langkah abang kali ini semakin cepat dan jauh, seperti langkah makhluk tersebut yang dapat melintasi empat atau lima buah rumah penduduk kampung. Beberapa minit sahaja abang berjaya sampai ke rumah. Dilihatnya bapa sedang menghidupkan kereta dan seperti bersiap sedia untuk keluar rumah. Apabila abang melangkah masuk ke rumah, tiba-tiba dia merasakan dirinya dipegang oleh kami semua. Ketika itu dia seperti sedar semula, tetapi hairan apabila kami semua kelihatan risau dan bimbang.

Daripada cerita abang, kakak membuat penilaiannya sendiri. Setiap perasaan abang mahu berpatah balik ke rumah sebenarnya ketika itu kakak yang sedang berzikir dan membaca ayat-ayat suci di telinga abang tetapi segera dipintas oleh makhluk tersebut. Segala kejadian yang dilihat abang di rumah usang tersebut adalah usaha yang dilakukan kakak dan bapa untuk memulihkannya namun makhluk tersebut berjaya memperdayakan abang. Namun kejadian di perkuburan lama itu tidak dapat ditafsirkan oleh kakak mahupun bapa. Saya tahu kawasan perkuburan lama tersebut disebabkan sekolah saya pernah mengadakan gotong royong membersihkan masjid baru di kampung tersebut. Disebelahnya terdapat perkuburan lama dan surau lama.

Tidak disangka bantuan Allah kepada kami semua rupa-rupanya berjaya membawa abang balik ke rumah. Abang balik semula ke rumah pun sungguh cepat dan mudah, apabila Allah membantu. Semuanya adalah doa kepada Allah dan sekiranya kami membawa abang ke dukun ke hujung kampung pun belum tentu abang berjaya dipulihkan tanpa bantuan Allah S.W.T. Cuma sudah dewasa barulah saya dapat mengambil iktibar dari kejadian yang menimpa abang ini.

Malam tersebut kami semua tidur di ruang tamu. Khuatir abang diganggu lagi. Tetapi sehingga ke pagi tidak terjadi apa-apa. Apabila diberitahu kepada abang kejadian yang menimpa emak, abang memberitahu dia tidak tahu apa-apa. Tetapi petang pada hari kejadian, abang terjumpa satu lembaga di tepi bilik tidurnya. Ditegurnya kerana abang fikir mungkin orang itu mahu menziarahi rumah. Selepas itu lembaga tersebut hilang. Abang tidak pula berfikir apa-apa, terus sahaja masuk ke rumah. Abang memang sifatnya tidak mudah ketakutan atau hilang semangat terutama melibatkan hal-hal mistik. Mungkin kerana itu dia boleh balik ke badannya sendiri kerana semangatnya yang kuat. Itu yang dikatakan emak, namun semuanya adalah atas kehendak Tuhan jua. Tidak lama selepas kejadian mistik tersebut, kami berpindah ke daerah lain pula.

Saya selalu melihat abang dan kawan-kawannya pergi mendaki gunung Santubong, sehinggakan diceritakan kakak, abang pernah terjumpa sebuah meriam kecil di sebelah khemah apabila bangun pagi. Meriam kecil itu dibawa ke rumah tetapi hilang dicuri oleh pekerja yang memunggah barang kami ke lori semasa proses berpindah dilakukan. Kampung tersebut sememangnya menyimpan banyak sejarah dan ceritanya tersendiri. Di Pantai Puteri terdapat batu boyak atau buaya terdampar di pesisir pantai. Saya selalu melihat bekas colok disekeliling batu tersebut semasa bermain di kawasan pantai itu.

Di kampung hulu terdapat sebuah bukit dan diatasnya tersergam rumah agam keluarga British. Rumah tersebut selalu diceritakan berlakunya kejadian pelik-pelik dan ditinggalkan kosong tanpa diurus. Saya tidak pernah lagi melawat ke rumah tersebut kerana selalu dilarang emak. Tidak jauh dari kampung tersebut, terdapat sebuah perkuburan keluarga diraja dari Brunei. Beberapa meter dari perkuburan itu, barulah terdapat pantai perlancongan terkenal iaitu Pantai Damai dan Rumah Budaya Sarawak.
Sehingga sekarang rumah sewa tersebut tidak lagi didiami.

Saya tidak pasti sama ada kejadian mistik pada malam itu terjadi kerana abang ditegur makhluk dari gunung Santubong atau makhluk yang sedia berada di rumah tersebut. Saya pernah melihat setiap tiang seri rumah tersebut diselit beberapa kain berwarna merah, kuning dan hitam. Walau bagaimanapun, tidak pernah pula saya diganggu teruk seperti abang selain pintu rumah diketuk dari luar. Semasa kecil memanglah suasana kampung seperti itu sangat seronok untuk diterokai tetapi setelah dewasa tidak pula mahu mendiami rumah sebegitu.

Sehingga dewasa abang tidak lagi diganggu apa-apa. Namun saya pernah menyaksikan adik bongsu (ketika ini sudah menjadi anak kelima dari tujuh adik-beradik) dirasuk. Itu cerita lain pula. Saya berdoa semoga keluarga kami sentiasa dilindungi Allah dari godaan syaitan dan iblis..sememangnya kejadian tersebut memberikan banyak hikmah kepada saya.

TAMAT

.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

15 comments

    1. ko ni bole jdi contoh klo kat youtube tu 1000 org like, pastu ade 2/3 ekor yg dislike. Ha….mcm tu la lebih kurang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.