Huh … Baru selesa sedikit selepas mandi. Baru rasa segar. Aku mengelap rambutku yang basah dengan tuala yang aku sangkut di leher. Selepas keluar dari bilik air, aku menuju ke bilik yang hanya bersebelahan dengan bilik air. Tapi yang peliknya, pintu aku sudah terbuka separuh.
Maya sudah balik? Tidak pernah – pernah dia balik bilik selepas pukul 12 tengah malam. Siapa sahaja yang tidak tahu perangai penakut dia itu. Aku ingatkan dia sudah tidur di bilik Lina.
” Aik, kau kat bilik? Aku ingat kau tidur bilik Lina, ” ujarku selepas masuk ke dalam bilik. Maya duduk di depan meja belajar sambil melihat ke luar tingkap. Dia menoleh dan memandang aku sambil tersenyum.
” Kau tak tidur lagi ke? Selalunya waktu begini, kau sudah tidur, ” kataku lagi dengan nada pelik. Aku menjenguk jam di handphone, pukul 12.30 tengah malam.
Dia berdiam sahaja. Langsung tidak menjawab soalan aku. Kenapa Maya nampak lain? Maya tidak pernah seperti ini. Selalunya, ada sahaja ideanya hendak berbual ataupun bergosip dengan aku. Maklumlah, geng makcik bawang.
Hurmm … Mungkin dia baru habis bergaduh dengan Ijai. Sebab selalunya kalau dia moody macam ni, dia baru bergaduh dengan teman lelakinya itu. Setelah mengelap rambut hingga hampir kering, aku terus mencapai telekung dan memakainya.
” Kau nak buat apa? ”
” Solatlah. Aku belum solat isyak lagi ni, ” jawabku. Dia merenung aku tajam.
” Janganlah solat kat sini, ” katanya dingin. Aku mengerutkan dahi, pelik. Kenapa pula? Maya tidak pernah melarang aku solat.
” Eh, kenapa pula? Habis tu, aku nak solat kat mana? ”
Dia bangun cepat – cepat dan mendengus marah. Setelah itu, dia terus keluar bilik dan menghempas pintu. Eh, kenapa dia sebenarnya? Angin semacam sahaja.
Aku hanya menjongketkan bahu melihat perubahan dia. Period kot? Kata aku dalam hati. Malas hendak ambil pusing, aku terus menghamparkan sejadah dan memakai telekung untuk solat isyak.
Seusai habis solat isyak, aku terus berbaring di atas katil. Sempat aku mebuka aplikasi Whatapps dan membaca mesej – mesej yang tidak sempat aku baca sejak petang tadi. Tiba – tiba pintu ditolak, aku terus menoleh, memandang ke pintu. Maya masuk ke bilik bersama sejambak bunga.
” Siapa bagi bunga tu? Ijai ke? ” Tanyaku. Dia tersenyum dan mengangguk.
” Kau kenapa? Lain macam je aku tengok. Gaduh dengan dia ke? ”
” Haah. Dia keluar dengan Intan. Manalah aku tak mengamuk. ”
” Dia kan satu kumpulan dengan Intan. Diaorang buat kerja sama – sama kot, ” kataku.
” Tapi aku jealous, ” balasnya sambil duduk merenung ke luar tingkap.
Lama dia duduk termenung memandang ke tingkap. Kedudukan katilku berada sebelah meja belajarnya dan berhadapan dengan katil Maya. Jadi aku boleh nampak jelas wajahnya yang suram itu. Pada mulanya aku buat tidak endah sahaja, tapi semakin lama semakin aku berasa pelik. Dia duduk statik memandang ke luar tingkap, tanpa mengerdipkan mata walau sekali.
Aku berusaha untuk menyedapkan hati. Mungkin dia ada masalah lain yang dia pendam. Walaupun Maya tidak pernah begini, tapi mungkin dia ada alasannya sendiri untuk tidak memberitahu aku. Lagipun, aku memang sudah terlalu penat hari ini, jadi aku malas nak fikir perkara lain. Selepas aku memasang alarm tepat pukul 6 pagi, aku meletakkan handphone di sebelah bantal. Aku terus melelapkan mata.
” Asha, ” panggil Maya. Aku terus membuka mata memandang dia.
” Aku nak tidur sebelah kau boleh tak? ” Soalnya tiba – tiba. Sekali lagi aku mengerutkan dahi. Kenapa pula? Dia ada katil sendiri kan? Kenapa Maya nak tidur dengan aku?
Belum sempat aku berkata apa – apa, dia telah menutup langsir dan lampu, lalu datang dan berbaring di sebelahku. Rambutnya dilepaskan. Semerbak bau bunga mawar dari rambutnya. Setahu aku, dia tak pernah memakai syampu yang berbau bunga ros.
Aku mengesot ke tepi untuk memberi dia ruang untuk tidur. Dia bernafas kuat, sampai aku pun mampu mendengar hembusan nafasnya. Tapi aku diamkan sahaja sebab dah mengantuk sangat.
Aku menutup mataku. Dalam keadaan separuh sedar, tiba – tiba aku rasakan seperti ada yang memeluk aku. Ah, mungkin sahaja Maya yang sudah tertidur tidak sedar yang di sedang memeluk aku. Biarlah dia. Aku terus sahaja melayan mata yang memang mengantuk ini.
Tiba – tiba aku merasa kuku yang dileret – leret di lenganku. Mula – mula dileret lembut. Tetapi lama – lama, makin keras dan menyakitkan. Aku menahan kesakitan. Aku cuba bersuara, tetapi entah kenapa aku rasakan yang mulutku terkunci. Jangankan bergerak, hendak membuka mata pun aku tidak boleh!.
” Aku dah lama nak tidur dengan kau, Asha, ” bisik Maya ditelingaku. Aku berusaha untuk bergerak, tetapi masih tidak boleh. Malah, bau harum bunga mawar tadi berubah menjadi bau busuk dan hamis!.
Tiba – tiba aku rasa sesuatu menghempap tubuhku. Nafasku sesak. Leretan kuku tadi berubah menadi cengkaman yang kuat. Aku merasa lelehan d***h dari kulitku yang dicengkam kuat. Tiba – tiba Maya ketawa mengilai – ngilai. Aku menangis ketakutan. Aku berusaha untuk membuka mata, tetapi aku masih tak mampu. Damn it! Maya dah bertukar menjadi pontianak!.
Dalam ketakutan dan sesak nafas. Aku membaca ayat kursi dan dua terakhir surah al – Baqarah. Ustadz aku pernah berkata, ayat kursi dan ayat dua terakhir surah al – Baqarah ini kuat. jadi, aku membacanya berkali – kali di dalam hati.
” Lebih baik kau diam, bodoh! Atau aku akan makan kau! ” Jerit pontianak itu. Dia semakin mengganas dan mengorak kulitku dengan ketajaman kukunya. Aku menangis semahuku. Aku nak menjerit meminta tolong, tapi aku tak mampu.
Aku merasa satu gigitan mencengkam di pangkal leher aku. Aku mahu menjerit kesakitan, tapi tidak boleh!.
Aku dapat merasa, dia menyedut darahku. Syottt … Syottt … Dia mengeluarkan bunyi penuh nikmat. Desahan suaranya kuat di telingaku. Aku memangis kuat. Tapi hanya linangan yang mampu aku keluarkan.
” Lepaskan akulah, setan! Aku berlindung kepada Allah, daripada syaitan yang direjam. Pergi kau dari aku! ” jerit aku dalam hati.
Peluh, d***h dan air mata habis membanjiri rambut dan bajuku. Aku berdoa kepada Allah, supaya dia menyelamatkan aku. Aku menyerahkan segalanya tentang diriku pada Allah. Diriku semakin lemah kerana aku kehilangan banyak d***h. Dan pontianak itu, dia masih lagi enak melahap d***h aku.
Tiba – tiba aku dapat satu kekuatan. Aku mampu membuka mata dan menggerakkan tubuh. Aku terus membuka mata dan aku melihat, ‘ Maya ‘ sedang menindih aku dengan rambutnya yang gerbang serta giginya yang bertaring – taring panjang. Wajahnya kelihatan cengkung dan penuh dengan ulat yang memenuhi di mata, hidung dan mulutnya. Patutlah dia berbau busuk dan hamis sangat!.
Aku terus menolak dia sampai dia jatuh ke bawah katil. Aku memegang leher yang sedang berlinangan dengan d***h. Cepat – cepat aku buka pintu bilik dan terus membuka langkah seribu melarikan diri.
… BERSAMBUNG …
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Chapter 1 tajuk apa? tak jumpa pon
nice… tp chapter 1 nya mana? gak jumpa… huhuhu