#CikEdot : Gentayangan Wan Anum

Assalammualaikum..

Bismillahhirahmanirrahim…
Terima kasih buat admin kerana sudi siarkan kisah kali ini. Buat sahabat2 yang sudi baca cerita-cerita saya sebelum ini, terima kasih banyak2. Untuk kisah kali ini ada sedikit kelainannya. Bagaimana dan kenapa kisah ini terlakar? Mohon dibaca hingga hujungnya. Coretan kali ini tidak panjang. Yang paling pendek setakat ini. Jujur.Selamat membaca ?

“Ampunkan Anum Mak…”
“Ampunkan Anum Bapak…”

Pak Jageh menolak keras pautan tangan Anum di kakinya. Hatinya berbalam duka dengan rasa amarah yang tidak terperi. Sampai hati Anum menconteng arang di mukanya. Anum satu-satunya anak dia dan Wan Ratna. Dua belas tahun lamanya mereka menanti cahaya mata, akhirnya Allah kurniakan Anum sebagai penyeri rumahtangga. Ditatang bagai minyak yang penuh. Tidak pernah sekalipun Anum diherdik apatah lagi dipukul. Tetapi akhirnya anak ini merenyuk pundak hati tuanya. Madu yang diberi, tuba pula yang dibalas…..

Pak Jageh:”Anak tak sedar di untung. Dari kau berbuat begini lebih baik kau racunkan kami. Bagaimana hendakku nampakkan muka pada orang-orang kampung? Mereka memandang serong pada aku dan mak kau. Dasar anak sial!!”

Pak Jageh melemparkan kata-kata amarahnya. Dadanya turun naik. Bungkam hatinya. Tanpa berlengah dia meluru ke arah dapur. Kayu api yang masih berbara dari jerangan air di ambil lalu dibawa ke hadapan. Di besit kayu bara itu ke tubuh Anum bertalu-talu. Dia nekad.

“Aduhh…sakit bapak. Tolong Anum bapak. Tolong Anum Mak. Aduhhh..”

Anum terpekik terlolong menahan sakit dan pedih. Kulitnya luka dan melecur akibat bara. Dia menangis meronta-ronta. Merayu -rayu agar perbuatan bapanya dihentikan. Namun, rayuannya tidak berbekas di hati Pak Jageh. Hayunan demi hayunan rakus menyinggah tubuh mungil anak gadisnya.

Wan Ratna:”Abang, sudahlah. Kasihanilah anak kita bang. Paling tidak pun, kasihanilah saya bang..” menggugu tangisan Wan Ratna melihatkan tindakan suaminya terhadap Anum. Biar pun besar kesalahan yang dilakukan, memukul Anum tidak akan bisa menyelesaikan masalah ini. Nasi sudah menjadi bubur…. Hendak atau tidak, mereka perlu laluinya.

Tangisan Wan Ratna singgah di telinga Pak Jageh. Runtun hatinya. Selama lebih 27 tahun mereka bersama, tidak pernah sekalipun Wan Ratna mengalirkan air mata. Pukulannya pada Anum dihentikan. Kayu api tadi dilempar jauh. Tubuhnya jatuh tersorot ke lantai. Kepalanya menunduk. Lama, sehinggalah terlihat batang tubuhnya terhingut-hinggut menahan sebak yang bertunas. Airmata jantannya mengalir deras. Ohh anak….
………………………………………………………………

3 Bulan sebelumnya..

Andika melangkahkan kakinya perlahan sambil menyelusuri denai kecil untuk ke pasar pagi, Kampung Silanar. Pertama kali dia menjejakkan kaki di sini. Udaranya begitu nyaman. Khazanah alam masih utuh terpelihara. Kercipan unggas kedengaran indah di halwa telinga. Dia berasa betah walaupun baru sehari dia disini. Andika merupakan salah seorang anak kapal nakhoda yang mengiringi pelayaran Tun Seri Utama dan beberapa orang laksamana Istana menuju ke Pulau Temasik. Kapal mereka singgah sebentar di perkampungan kecil ini untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan lain.

Matanya meliar. Suasana pasar pagi yang begitu meriah dengan kehadiran orang-orang kampung. Pelbagai jualan tersedia. Ada tembikar, tikar mengkuang, kain pasang bermacam corak, selendang, aneka juadah dan pelbagai jualan lagi. Dia memandang sekeliling, mencari-cari barang keperluannya sambil mencari juadah buat melapik perut. Dalam dia ralit melayan kemahuannya, anak matanya tersorot pada sebujur wajah ayu seorang gadis di hadapannya. Jiwanya bergelora. Dia mengukirkan senyuman. Niatnya di pasak.

Lalu tangkal yang tersemat kemas dilehernya diusap perlahan. Mantera penunduk dibaca perlahan lalu ditiup ke arah gadis itu. Beginilah roman sebenar Andika bila bertemu gadis cantik. Nafsu berahinya sukar untuk ditegah. Ilmu yang dituntut dari Wak Sirat bukan sahaja ilmu penunduk, bahkan ilmu batin juga bertujuan memberikan kekuatan padanya untuk berlawan dengan musuh. Tidak hairanlah jika dia mudah disenangi orang-orang di sekeliling. Usai tamat bacaan mantera, dia mengatur langkah mendekati gadis itu.

Andika:”Wahai si cantik jelita. Siapakah namamu?”

Gadis yang pada mulanya tidak endah kemudian mendongak melihat Andika. Bagaikan terpanar dengan suara lunak dan kekacakan si jejaka. Gadis itu terpaku. Dia membalas senyuman seraya menjawab..

“Namaku Wan Anum..panggil saja aku Anum. Saudara pula?”

“Aku Andika. Aku baru sahaja tiba di kampung ini. Jika tidak keberatan, mari ikut aku ke hujung denai. Kita berbual saling kenal sesama kita. Aku berniat baik, saudari.”

Senyuman dilemparkan Andika. Bukan senyuman kosong tetapi berisi! Bagaikan kerbau dicucuk hidung, Anum lantas mengekorinya tanpa banyak bicara. Raga yang berisi sayur terlepas dari genggaman dan jatuh ke tanah.

Hari ketiga…

Anum menanti penuh debar di bawah pohon jejawi yang cukup rendang. Akarnya berselirat. Anum melabuhkan punggungnya di atas akar yang teguh kekar. Dia mengelamun panjang melayan indahnya perasaan dihati. Entah kenapa, sejak dari pertemuan dia dan Andika selama 2 hari berturut-turut, serasa mandinya tidak basah, makannya juga tidak lalu. Setiap saat wajah Andika bermain-main di minda waimah di dalam tidurnya juga dia bermimpikan Andika. Adakah ini dinamakan cinta? Malang bagi seorang gadis yang bernama Wan Anum. Rasa yang berputik adalah berpunca dari mantera penunduk Andika semata, bukanlah cinta seperti telahannya….

Beberapa ketika berlalu,

Andika:”Anum sayang, sudah lamakah kau menunggu? Maaf, ada urusan yang perlu aku segerakan sebentar tadi. Kau marah?”

Anum:”Tidak Andika. Masakan aku marah pada kau, malah aku rindu padamu”. Anum menunduk muka. Pipinya jelas berona merah. Lancar benar bibirnya berkata rindu…Ahh,malu.

Andika menyimpul senyum. Hatinya berbicara……”Haha…, akhirnya jerat mengena. Ku sangkakan arnab tetapi pelanduk yang kudapat. Lumayan. Hari ini pasti hajatku tertunai kerna esok kapal yang berlabuh bakal berangkat belayar. Harap-harap aku dapat gading bertuah. Dara sunti penyedap rasa, bertambah ampuh ilmuku kelak”.

Pagi yang indah….

Dari hanya berbual mesra, mereka mula terbuai rasa. Dua batang tubuh akhirnya tewas dalam nafsu. Mereka bersatu dalam lembah zina yang terlaknat. Maka bertepuk tamparlah iblis Al’Awar meraikan… Pohon-pohon meliang rakus, dedaunan kering berterbangan. Penghuni alam bagaikan menemplak dan mengeji perbuatan mereka. Bukan sekali tetapi berkali-kali perbuatan itu diulangi hingga mereka puas. Disaat mereka menyulam cinta, ada sepasang mata begitu ralit melihatkan perbuatan hina mereka. Si Kalang, anak bongsu Tok Ketua…

Hari ke Empat…

Wan Anum berjalan sedikit perlahan. Perih terasa di pangkal peha. Dia cuba untuk berlari anak namun kesakitan membataskan pergerakannya. Cakap-cakap orang kampung di Pasar Pagi sebentar tadi terngiang-ngiang di halwa telinga. “Kapal Nakhoda sudah selamat belayar!!” Dia berbicara dalam hati…”Oh, Andika. Jika benar kata mereka, tergamaknya dirimu pergi tanpa kata. Bagaimana diriku kelak?”. Anum tiba di tebing kuala, dari jauh dia melihat kapal Nakhoda sudahpun jauh ke tengah lautan. Runtun hatinya. Tubuhnya jatuh terjelopok ke tanah. Tangisan pilu mendayu-dayu bersaksikan tebing air dan hutan belantara…

“Andika….” Sebutnya hiba.

3 bulan berlalu….

Anum tiba di rumah dengan keadaan yang lemah longlai. Tubuhnya makin hari semakin lesu. Selama 3 bulan ini dia tidak pernah jemu berdiri di tebing kuala dari terbitnya fajar hingga terbenam mentari. Niatnya hanya satu. Dia mahu menantikan kepulangan Andika. Walaupun dia sedar hal itu seakan mustahil, namun dia tetap menaruh harapan.

Masuk hari ini, sudah 3 hari Anum dilanda sakit kepala dan mual-mual. Sehinggakan dia tidak henti-henti muntah di awal pagi. Dia kehilangan tenaga. Tekaknya pula tidak mahu menerima apa jua makanan melainkan buah pauh yang berjuntaian di tepi jalan menghala ke rumahnya. Emaknya, Wan Ratna nampak kelainan pada anaknya…

Wan Ratna:”Anum, kenapa kau nak? Emak lihat kau seperti kurang sihat. Kau sakit?”

Anum:”Entahlah mak. Tubuh Anum sakit, kepala Anum pula terasa berat benar. Barangkali Anum kemasukan angin mak. Emak jangan risau ya, nanti baiklah Anum. Anum turun sidai jemuran dahulu ya mak.” Anum pamit meninggalkan emaknya yang duduk bersimpuh di ruang legar. Baru dua tiga langkah, Anum tumbang. Matanya gelap. Dia pengsan.

Wan Ratna:”Allah, Anum!!!”

Usai sedar dari pengsan, Anum melihat emaknya sedang menangis disisi sambil membelai rambutnya lembut. Bapanya, Pak Jageh juga ada. Tetapi wajah bapanya kelihatan bungkam. Tubuh bapanya tegak menghadap jendela sambil tangannya mencekak pinggang. Anum membuang pandang ke sebelah kiri. Kelihatan kelibat Nek Luong juga ada. Orang tua itu menunduk. Matanya terpasak ke lantai kayu rumah. Anum kaget. Dia berbicara dalam hati, “Apa yang mak bidan buat disini? Aku kenapa?”

Pak Jageh:”Nek Luong sudah boleh beredar. Ini wang obatnya. Berikan aku ruang. Aku ingin selesaikan perkara ini dengan Anum. Satu yang aku pinta, jangan lah diheboh-hebohkan tentang perkara ini.”

Nek Luong mengangguk.Lantas dia beredar meninggalkan tiga beranak itu.

Pak jageh:”Anum!!! Bangun!!! Ke mari kau!! Katakan pada aku, siapa jantan yang buntingkan kau?Cakap!!”

Anum terkesima. Tubuhnya bergetar menahan takut yang mula menjalar. Aku mengandung? Andika!!
……………………………………………………………..

Dua hari berlalu….

Berita tentang kehamilan Anum menjadi pekung yang dijaja dari mulut ke mulut hingga telinga ke telinga. Nek Luong!! Dasar mulut tempayan .Hambur Pak Jageh dalam hati. Sudah puas badan Anum dibesit Pak Jageh dengan kayu api, namun anaknya itu langsung tidak mahu bersuara. Siapa agaknya gerangan jantan durjana yang membuntingkan Anum??

Pak jageh duduk di atas tangga rumah sambil menghisap lenteng. Hatinya masih bungkam dengan hal yang berlaku. Otaknya masih tumpul mencari jalan penyelesaian. Dalam dia sendirian mencongak kata, tiba-tiba dia dikejutkan dengan kehadiran Tok Ketua, Si Kalang dan anak-anak buahnya. Wajah masing-masing kelihatan tegang seperti menyimpan amarah yang bukan kepalang.

Tok Ketua:”Jageh! Dimana anakmu, Anum? Bawakan dia ke sini!”

Pak Jageh:”Ada apa Tok Ketua mahu bertemu Anum? Dia ada didalam, dia kurang sihat.Nanti-nantilah bertemu dia.”

Pak Jageh cuba berdalih. Niat hatinya, bila senja mula melabuh tirai dia mahu membawa lari Anum ke kampung seberang menaiki kolek ke rumah adiknya. Dia takut kalau-kalau Anum akan diapa-apakan tetangga. Mereka sangat menjaga keharmonian kampung dan kesucian agama. Ketegasan mereka adakalanya melampaui batas. Ada yang suka membuat hukuman sendiri. Adakah dia terlambat??Anum….

Tok Ketua:”Sudah! Jangan kau berpura-pura Jageh. Kami orang kampung sudah tahu akan perihal sumbang anakmu. Anakku Si Kalang juga sudah menceritakan hal yang berlaku di denai. Sudahlah berzina, mengandung anak luar nikah pula. Kalau kau tidak mahu bawa dia keluar, anak-anak buahku akan heret dia hingga ke tanah.”

Mendengarkan riuh rendah diluar rumah, Wan Ratna dan Anum keluar melihatkan keadaan. Terkejut bukan kepalang bilamana mereka melihat kehadiran Tok Ketua dan anak-anak buahnya. Dari jauh, dua beranak ini juga sudah terlihat akan kelibat orang-orang kampung beramai-ramai datang menghampiri rumah mereka. Anum menjadi takut. Tubuh emaknya dipeluk erat. Tangisnya mula berlagu pilu…

Tok Ketua:” Haa..tangkap dia!! Jangan dibiar lepas!”

Pak Jageh:”Jangan!! Jangan di apa-apakan anakku!”

Dua orang jejaka berbadan kekar berlari naik ke atas rumah. Tubuh Anum di tarik kasar dan terlepas pautannya dari Wan Ratna. Wan Ratna hanya mampu menjerit dan menangis sebelum tubuhnya longlai jatuh ke lantai. Manakala Pak Jageh yang sedang meronta-ronta itu dipegang oleh tiga orang anak buah Tok Ketua.

Tok Ketua:”Bawa perempuan ini ke tanah lapang. Kau Si Lumai, korek tanah separas dada. Pasakkan perempuan ini ke dalamnya.” Arah Tok Ketua.

Maka, berkumpullah orang-orang kampung menyaksikan Anum diikat tangannya di belakang sambil lebih separuh badannya sudah tertanam di dalam tanah. Sedikit pun tidak ada rasa belas yang terzahir di wajah mereka, malah mereka seakan-akan terlalu benci akan Anum.

“Zina!!zina!!zina!!”

“Rejam!Rejam!Rejam!Rejam!!”

Laungan orang-orang kampung bingit kedengaran. Tanpa disuruh-suruh masing-masing mengutip batu-batuan sebesar penumbuk di atas tanah. Niat mereka hanya satu. Anum perlu dihukum.Dia perlu direjam! Pembuat onar! Tiada tempat orang sepertinya di kampung mereka.

“Paap!!” Balingan pertama.

“Aduhh..Emak….bapak…tolong Anum!”

“Paap..paap..paap!!”
“Paap..paap…paap!!!”

Balingan mula bertimpa bak hujan. Suara esakan Anum semakin kuat dan sampai ke halwa telinga Pak Jageh dan Wan Ratna. Mereka turut diheret ke tanah lapang untuk diperlihatkan seksaan ke atas Anum. Tangan mereka diikat. Mereka menangis pilu. Hanya mampu menyaksikan penderitaan yang dialami satu-satunya zuriat mereka. Allah… kasihanilah anak kami. Hentikanlah penderitaannya.. Ampunkanlah dosa-dosanya. Rintih hati Wan Ratna dan Pak Jageh. Mereka menunduk. Memandang tanah yang menelan anak mereka. Air mata jatuh berjuraian….

Berjam-jam berlalu…

Wan Ratna dan Pak Jageh bangun mendekati Anum selepas semua orang kampung beredar. Wan Ratna tidak mampu menahan pilu. Ledakan tangisnya mula memecah kesunyian alam bilamana melihatkan jasad Anum yang sudah terkulai. Wajahnya hancur!! Anak matanya pecah dan tersembul keluar. Bibirnya terbelah-belah. Kulitnya bagai disiat-siat. D***h pula tidak henti-henti menghambur keluar. Nadi Anum terhenti. Dia sudah pergi dalam keadaan yang mengerikan……

Wan Ratna:”Ya Allah, anakku. Abang, anak kita bang, anak kita.”

Dalam tangis menahan hiba, Pak Jageh bingkas berlari ke rumahnya. Dia mengambil cangkul. Tujuannya hanya satu. Dia mahu bebaskan anaknya dari pasakan tanah. Kasihan anakku…

Sebulan berlalu……

Pak Jageh dan Wan Ratna sudah pergi meninggalkan Kampung Silanar membawa bersama kenangan pahit dan duka dihati. Apa yang berlaku sangat-sangat meninggalkan kesan. Wan Ratna hampir tidak siuman. Baju kurung putih kepunyaan Anum dicium dan menjadi peneman sepanjang masa. Jasad Anum di tanam di bawah rumah mereka. Orang-orang kampung tidak mengizinkan mereka menyemadikan jenazah Anum di tanah perkuburan. Kemudian, mereka dihalau dari kampung. Rumah mereka dibakar. Hangus. Tinggal abu. Kubur Anum juga tiada bertanda….

Di tebing kuala…..

Sekujur tubuh bergentayangan di sini. Berbaju kurung putih, lusuh. Berselendang jarang. Itulah pakaian terakhirnya. Dia merintih. Dia menangis. Anum masih lagi setia menantikan cinta matinya, Andika. Dia mengusap-usap lembut perutnya….

“Pohon jejawi akarnya bersirat..
Dinginnya denai bersama noda…
Semilir angin membelai keringat…
Bawakan perih rinduku padanya…”

Ini lembaran perdu hatiku.

-Tamat-

Aku..

Beberapa hari lepas, saya berada di hospital. Masuk hari ke 3 warded, saya didatangi mimpi seorang gadis berbaju kurung putih, lusuh. Berselendang jarang. Entah kenapa, begitu tajam matanya memandang. Auranya begitu keras. Negative. Saya langsung tidak betah.

Baru saja mata terlelap, kaki saya direntap kasar! Gadis itu berada di hujung kaki dan kemudiannya hilang. Saya toleh ke kanan, Kelibat Putih Si Hulubalang terlihat disisi. Seperti biasa dia berbisik “Seru aku Tuan!”…Tidak sama sekali hulubalang. Titik.

Keesokan harinya, Gadis itu datang lagi. Kali ini dia membawa senyuman yang merindingkan bulu roma. Senyuman berisi dendam. Tidur saya tidak mahu lena. Surah Al-Baqarah menjadi perisai sepanjang malam hingga saya terlelap sendiri.

Pulang dari hospital. Seluruh badan saya naik kemerah-merahan. Gatal dan pedih. Wajah saya lebih teruk. Rasanya seperti dihiris-hiris. Waimah terkena air sekalipun, Allahhu pedihnya bukan kepalang. Nasihat dari seorang sahabat untuk saya mencucinya dengan campuran air, ais, garam dan cuka buah berserta doa Nabi Sulaiman. Terima kasih sahabatku Laksamana Sunan Sunan diatas perkongsian.

Malam.
23.05.2017

Saya baru sahaja melayan kantuk dan terlena. Tiba-tiba saya dihimpit. Sesak yang menyesakkan. Gadis itu datang lagi!! Maka benarlah kata Daeng Kasturi, bahawa “gadis itu ikut akak pulang”. Senyumannya menyakitkan hati saya. Sinis!! Beberapa saat kemudian, suasana bertukar wajah. Saya dibawa masuk ke kampung Silanar dalam mimpi…

Coretan diatas merupakan layar cerita yang saya dapat dari mimpi. Jangan tanya saya, adakah kisah ini benar?? Maaf, saya sendiri tak punya jawapan. Walaupun pelbagai andaian yang berlegar di minda. Tetapi saya yakin bahawa iblis memainkan peranannya. Sesat lagi menyesatkan.

Ambillah kisah ini sebagai pengajaran. Terlihat akan sikap membuta tuli mengenakan hukuman ke atas pesalah. Apatah lagi, hukuman yang diterima gadis itu tidak sama sekali dengan pelaku zina ghairu Muhsan. Kerakusan manusia itu sendiri menjadikan nafsu sebagai tunggangan bilamana sanggup menggunakan ilmu hitam untuk memperdaya. Apabila mata, mulut dan telinga mendahului akal, maka kesannya sangat memudaratkan.

Buat para sahabat, anggap sahaja coretan saya kali ini adalah sebuah fiksi yang tercetus dari mimpi dan ingin dikongsikan kepada semua. Buat Anum… semoga rohmu mendapat keampunan dari Allah dan tenang di alam sana…

Selamat menyambut bulan Ramadhan. Mohon dimaafkan andai punya salah dan silap selama kisah saya ditulis. Semoga kita peroleh ibadah yang lebih baik dari sebelumnya dan diterima Allah swt.amin.

Saya juga mendedikasikan ucapan terima kasih buat sahabat2 saya, Siti hajar (mama jebat), bonda Noraziah Amdan, Laksamana Sunan, Putera katak, Mohd Sallehudin, Daeng kasturi, Ekin Tokey tart nenas, Hasnizah, Cataleya, suhana mat lazim, Nadey, Daun kering, Annie dan ramaiii lagi untuk disebut, kerana sentiasa mendoakan saya dan memberi nasihat. T.kasih ?

‘Hasbunallah wani’mal wakil,Wani’mal maula wani’man nasir”

Salam sayang,
CikEdot? untuk entry2 dibawah;
1) Moyang
2) Moyang 2: Mak long & Nek jah
3) Moyang 3: Aku & Mereka
4) Allah kan ada!
5) Dendam Maria
6) Psycho Si Pencinta SOFEA

CikEdot

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

27 thoughts on “#CikEdot : Gentayangan Wan Anum”

  1. Hm, gaye bercerita mcm seseorg yg sy pnh bace coretannye. Nak tnye cik edot, xrase nk tulis novel dan bukukan kisah2 cik edot ke? Mungkin sbgai pengajara.

    Reply
    • Wahh..siapakah gerangan penulis tersebut? Cuba share mana tau kot2 sy peminat tegar beliau.huhuhu

      Pernah bermimpi utk jadi penulis dan punya karya yg diterbitkan..cuma saya belum ada kekuatan atau lebih tepat,masih belum layak.Banyak yg sy perlu pelajari..mana tahu satu hari nanti tercapai.wallahualam..doakan ya ?

      Reply
  2. emmm…xtau nak ckp best ke hape sbb geram dgn andika tu xdpt balasan… die yg jaat org lain yg jd mangsa… emm emm emmm.. geram akuuuuu

    Reply
    • T.kasih kak gee.Hulubalang ni tebal telinganya.degil.puas dah halau…datang balik.kalau besar anak kucing boleh gak bela.ni dah besar anak gajah…seremmm??

      Reply
  3. Bestnya hasil tulisan cik edot!
    Smoga cik edot diberikan kesihatan yg baik dan dipermudahkan segala urusan, ameen..

    Reply
  4. Maklong awak masih berdendam pada awk lagi ke ? Hulubalang masih mengganggu awk ? Kesihatan awk mcm mana sekarang?

    Reply
    • Sejujurnya,saya dan maklong dah lama tak berjumpa..saya pun tak pasti bgaimana keaadaan dia sekarang.kadang tertanya pada diri,kejam ke sya sbg anak saudara bila tak menjenguk dia….entahlah.

      Mungkin satu hari nanti bila ada kekuatan untuk berjumpa..saya akan pergi.soal dendam dia pada saya,wallahualam.saya pun x pasti.cuma mengikut dari ustaz yg ubatkan saya,saya tiada lagi gangguan sihir hanya tinggal saka.

      Reply
  5. Geramnya dengan Andika….senang2 aje belayar lepas rosakkan anak dara orang…ni org kg tak usul periksa terus hukum…eeeeee….

    tp kan kenapa hantu menyerupai Wan Anum jumpa Cikedot lak eh? apa hajat dia? yg hulubalang tu nak jadi pendamping Cikedot ke? jgn terima Cikedot…kdg2 sebab pendamping mcm tu la jodoh seseorang lambat sampai…yg takde pendamping dan diminati jin2 pun sama juga…susah jodoh…

    Reply
  6. apa kata awk bwk si hulubalang masuk islam (dari situ bole terlerai ye perjanjian antara hulubalang dgn moyang awak) … mana tau si hulubalang ni membantu awk bukn sebab bertuan-hamba tp dia membantu kerana Allah… memberi bantuan sbgai membantu saudara islam… itu terpulang awk allahualam

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.