#CikEdot – Kisah Satu Malam!

Assalammualaikum dan salam ukhwah buat semua.Terima kasih para admin FS kerana sudi publish cerita ni. Kisah benar yang aku lalui 10 tahun lepas.Tak seram pun,cuma aku berkongsi atas dasar memberi sedikit pengajaran. Adakalanya sikap berani dan suka memperlekeh, memang mendapat! Selamat membaca.

Tahun 2017
Group dari Aplikasi WhatsApp

Yanti: “Siapa tahu, ni bunga apa ya?”

Tingg!!
Gambar sekuntum bunga dengan beberapa helaian kelopak berwarna putih, di kongsi.

Siti: “Ohhh…ini bunga kemboja.Normally, kalau terbau bunga ni malam-malam elok la beredar cepat.Melainkan kalau ada kebun bunga kemboja kat situ.”

Raden: “Awat kak Siti?”

Siti: “Kemboja ni biasanya dikaitkan dengan langsuir.”

Syada: “Langsuir?”

Aku: “Bunga kemboja?Aduhh,tiba-tiba teringat satu kisah masa bujang dulu.”

Yanti: “Kisah apa tu Kak Dee?Share lah dengan kami…”

Siti: “Haah….share!”

Kak Iema: “Dee…share.Nak tahu!”

Aku: ” Okay..Macam ni ceritanya….”
******************************************
LEPAK

Tahun 2007
Lokasi: Steven Corner,Pandan Indah.

Melewati sepertiga malam,suasana di sini masih hingar dan bingit dengan suara-suara anak muda yang rancak berborak. Apa kurangnya kami? Jam segini masih galak di luar. D***h muda. Hidup bujang! Penat lelah bekerja sepanjang hari harus di bayar dengan istirehat dan sedikit keseronokan.

Malam minggu itu,akhirnya dapat juga aku berkumpul dengan sahabat-sahabat lamaku. Ekoran beberapa janji temu sebelum ini acapkali dibatalkan pada saat akhir. Jelly, Teddy, Suresh,Izza dan Boy. Yeah… perbezaan 3 kelompok kaum disitu. Berlainan agama dan kepercayaan, tetapi persahabatan yang terjalin cukup utuh!

Ukhwah yang terbentuk tanpa syarat. Dan muka-muka inilah yang setia disisi waktu aku pernah ditimpa masalah. Terima kasih untuk itu sahabat-sahabatku! Jasa korang aku takkan lupa. Sayangnya, pertemuan malam itu Mel tidak turut serta kerana dia pulang ke kampung. Kalau dia ada, pasti suasana akan jadi lebih meriah.

Setelah menghabiskan masa hampir 2 jam bermain pool sebentar tadi, kami sambung pula berborak di restoran sambil mengisi perut yang kosong. Borak punya borak,tak sedar masa berlalu.Aku melirik jarum jam di pergelangan tangan.Tepat jam 3.05 pagi. Mataku yang segar bugar tadi sudah kuyu . Dasar putih anak mata juga mula berona merah dan berair. Aku terpisat-pisat persis gaya anak kecil. Menguap – nguap menahan kantuk yang mula bertandang.

Aku:”Wei…aku nak gerak dulu lah. Mengantuk dah ni.”

Suresh:”Elehhh..Heii minachi,lepak lah dulu. Nak jumpa kau bukan senang.”

Teddy:” Yalah Dee..You kan busy je.”

Aku:”Tak boleh lah wei..Kalau ada Mel aku boleh lepak lagi.Kalau aku ngantuk, dia boleh tolong drive.Ni aku sorang.Tengah boleh kawal lagi ni lah, baik aku gerak. Karang tak pasal-pasal accident. Naya!!”

Jelly:”Choiii…Che che (kakak)..mulut you ni kan suka cakap lepas. Tak baik tau.Ikut I balik lah.Tidur rumah I ,esok baru balik.”

Teddy:” Ya lohh…ikut jelly la.Lagipun I risau you balik sendiri.Sekarang ni bulan hantu lapar.Kena hati-hati.”

Aku:” Erkk…Bulan hantu lapar? Aduhh… macam- macam lah you Teddy.”

Jelly:” Betul cakap Teddy.Bulan ni bulan ke tujuh.Kalau ikut kelendar lunar, esok adalah hari ke 14. Pintu-pintu neraka sudah terbuka luas. Semua roh akan bebas untuk balik rumah.Kami bakar kertas, wang neraka bagi diorang makan.”

Aku:”Ermm…okay- okay,aku respect kepercayaan korang.Tapi kan , kau dengan si Teddy ni apahal keluar malam? Hantu lapar tak balik cari korang ke? Tak takut?”

Teddy:”Weiii….you kan!!Jangan lah cakap. I dengan Jelly keluar pun sebab nak jumpa you lah.Kita memang plan tunggu matahari terbit baru berani balik. Sini ramai orang,so tak takut lah.”

Izza:”Ehh,Boy!! Kau hantar aku balik wei. Diorang ni boleh citer pasal hantu lapar lah.. pintu neraka terbuka lah.adoiii…”

Boy:”Boleh.Takda hal.Tapi aku rasa kita gerak lepas subuh.Seram pulak aku nak gerak sekarang.”

Aku:”Haa…kalau macam tu,korang je lah sambung lepak.Aku nak balik.Mata aku dah melekat macam ada gam gajah dah ni. Tongkat pakai batang mancis pun dah tak lut. Ada masa kita jumpa lagi.Chow!”

Aku bangkit dari duduk. Aku menyapa dan memujuk mereka dengan kata janji untuk melepak lagi lepas ni. Walaupun mereka masih merayu-rayu aku untuk stay,tapi aku tetap dengan keputusanku. Aku kan Dee… si telinga tebal! Mereka terpaksa akur.

Baru beberapa langkah kakiku hayun,aku menangkap jelas bunyi derapan kaki seolah-olah mengejarku laju dari arah belakang. Sekejapan, serasa ada tangan yang menyentuh bahuku.Aku menoleh…

Jelly:” Che che (kakak)..I nak pesan you satu hal.Nanti kalau you jumpa tanglung yang ada lilin menyala dalamnya dekat tepi-tepi jalan, Jangan pandang! Kalau nampak apa-apa, you jangan tegur pun! Itu tanda jalan untuk roh dari neraka balik rumah! ”

“Ermmm……”

Aku mengangguk dan senyum tanda faham. Jaga hati..

******************************************
TUMPANG LALU

Aku henyak tubuhku ke dalam perut kereta. Enjin si kontot dihidupkan lalu dengan pantas aku meninggalkan Steven Corner. Jalan raya tidak lah sehingar seperti di restoran tadi. Masih ada kereta tetapi jarang-jarang, boleh dibilang dengan jari. Aku menekan punat ON di radio dan memilih frekuensi 104.0.Kalau tak silap aku,masa tu lagu Bunga Angkasa dari kumpulan Terra Rossa sedang berkumandang. Aduhh,jiwa kacau. Terimbas memori lalu…

Sedang ralit lirik lagu tadi meniti dibibir, tiba-tiba dari kejauhan aku terlihat sesuatu di tengah jalan.Ya tengah jalan! Dengan pantas aku menekan brek. Mengejut! Maka tayar keretaku berdecit kuat berserta bauan hangit naik menjalar ke lubang hidung. Kuuu… semangat!! Bayangkan, aku betul-betul berhenti di tengah jalan. Cuak??Terpaku,ya!!

Di hadapan aku, ada segerombolan manusia yang berpusu-pusu melintas dari bahu kiri jalan ke sebelah kanan. Kenapa aku kata manusia? Sebab aku nampak diorang memang berfizikal kan manusia. Kalau lembu, confirm aku kata lembu. Mereka berjalan, menunduk tanpa menoleh sedikit pun kepada aku. Aku memerhati. Tekun! Pakaian mereka sedondon. Dah macam boria. Dalam hati, diorang ni baru balik show ke?

Cuma aku agak pelik tengok persalinan yang mereka pakai. Punyalah jakun, aku dem lampu semata-mata nak pastikan warna dan fesyen baju yang mereka pakai! Baju dan topi berbentuk segitiga, berwarna coklat dan nampak kasar seperti kain guni. Di sebabkan cahaya lampu kereta yang agak terang,maka mata aku tertancap kepada seseorang yang agak berlainan pakaiannya.Dia berdiri di hadapan sekali.

Seorang lelaki yang berpakaian serba hitam. Maksud aku, dari topi yang dipakai hinggalah sepasang baju yang tersarung di tubuhnya. All in black! Rambutnya pula panjang,bertocang hingga ke paras pinggang. Dia membawa sebatang kayu yang terikat tanglung di pangkalnya.Dan tanglung itu menyala!Ada lilin?Menyala?? Alamakk..kan Jelly dah pesan!

“Pinnnnn….Pinnnnn….”
“Pinnnnn….pinnnnn…”

Macam tersedar dari mimpi. Spontan aku menekan hon tanpa henti! Dalam sekelip mata, segerombolan manusia- manusia tadi hilang secara total! Berdesup! Macam magika.Masa ni jujur aku cakap,aku tak berapa takut sangat tapi…. aku lebih kepada rasa cuak dan terkejut! Mungkin atas sebab, depa tak tunjuk muka hancur, rompong,bernanah, berulat atau berlendir d***h. Waimah bau lantun kentut pun tak ada. Jadi, adrenalin aku masih terkawal. Kalau fizikal mereka tadi seumpama yang aku senaraikan diatas,harus aku pengsan!

Baru sahaja aku berkira-kira ingin meneruskan perjalanan,mata aku tiba-tiba ‘gatal’ pula hendak memandang ke arah bahu jalan sebelah kanan tadi. Damn! Masa ni, baru aku perasan ada sebuah tanglung yang bernyala terpacak kemas di situ. Terkebil-kebil.Aku pegun seketika!

Tidak semena-mena, aku dihidangkan dengan penampakan seorang wanita berpakaian cheog sam berwarna merah terang.Dia berdiri betul-betul di sebelah tanglung tersebut. Aku perasan,ada kain kecil seperti sapu tangan, terselit di jari jemarinya. Dia memandang aku tajam. Wajahnya pucat lesi.Bibirnya yang mungil bercalit lipstick berona merah. Dia tersenyum menyeringai seraya melambai-lambai ke arahku perlahan.

Tiba-tiba…ulah gadis cheong sam itu mendadak bertukar sekelip mata! Paapp!!! Bebola matanya yang tajam tadi tersembul keluar sebelum jatuh tergolek-golek diatas jalan. Mulutnya spontan ternganga hingga terbelah ke bawah telinga.Giginya yang tajam terserlah. D***h pekat hitam mula menyembur keluar.Tangan dan kakinya seolah-olah patah dan berlipat-lipat. Kemudian, batang tubuhnya jatuh dan layu menyembah ke bumi!

“Allahhuakbar!”

Aku?Apa lagi..cabut lah! dengan kaki yang menggeletar,aku tekan minyak sekuat hati. Enjin keretaku mengaum membelah sunyi pagi. Masa ni aku dah tak fikir langsung nak balik rumah bujang. Sudah lah si Mel tak ada, tak pasal-pasal tidur aku berteman kan amoi cheong sam pulak. Otak aku berkerja keras mencerna langkah seterusnya. Nak pergi mana?Nak pergi mana? Nahhhh…baru aku teringat. Rumah Alang!! Abang aku baru sahaja berpindah ke sini bulan lepas. Sini tu mana? Kampung pasir, pantai dalam.

Aku call Hp abang aku dan kakak ipar. Banyak kali aku dail, tapi panggilanku langsung tidak bersahut. Mahu atau tidak, aku terpaksa redah sahaja. Aku terus belok ke simpang Sri Petaling dan menyelusuri jalan dalam melalui OUG. Aku tembus betul-betul di hadapan balai polis petaling kemudian menyusur pula ke simpang kanan, iaitu simpang jalan masuk ke kampung pasir. Aduhh… gelap nya. Lampu jalan langsung tak berfungsi! Ermmm… jimat ke apa ni?

Sepanjang aku melalui jalan itu,aku merasa tidak betah sama sekali. Keretaku dikejar oleh beberapa ekor anjing hitam bermula dari simpang masuk sehinggalah di pertengahan jalan. Mungkin kerana lelah mengejar, akhirnya mereka berhenti secara tiba-tiba. Aku mencuri pandang melalui cermin sisi, mengintai-ngintai akan tingkah laku anjing-anjing tersebut.

Seperti seirama, mereka justeru mendongak ke langit seraya melolong. Pekikan lolongan yang sangat panjang dan mendayu-dayu. Iramanya begitu sayu hingga mencuit cuping telingaku. Walaupun ketika itu tingkap kereta tertutup rapat, lolongan tersebut cukup jelas! Jelas hingga merindingkan bulu roma. Aku menelan liur beberapa kali…

*******************************************
Tahun 2017
Group dari Aplikasi WhatsApp.

Fida: “Haaa…Kak Dee jumpa Hantu lapar ke?”

Kak Iema: “Lepas tu apa jadi Dee?”

Raden: “Haah kak Dee..Ada yang ikut ke?”

Tiya:” Kak Dee,Amoi tu ada kaitan dengan bunga kemboja ke?”

Aku: “Hantu lapar tu kira intro.Bunga kembojanya menyusul bila lepas saya jumpa Pak Akob…..

*******************************************
Tahun 2007
Lokasi: Kampung Pasir.

TUAN TANAH

Setelah mengharungi detik-detik indah bersama lolongan anjing tadi,akhirnya aku tiba di hadapan kawasan rumah abangku. Rumah yang abang aku duduki ini merupakan jenis rumah papan beratapkan zink. Ia dibina di atas tanah lot milik tuan rumah dimana rumah nya juga berada disitu. Betul-betul terletak di bahagian hadapan. Maka rumah-rumah sewa miliknya berada di bahagian belakang. Jadi untuk ke rumah abangku, aku perlu limpas dahulu rumah milik tuan tanah.

Selepas kereta siap di parkir,aku terus menuju ke arah rumah abangku. Sedang aku menyelusuri lorong tepi rumah tuan tanah, tiba-tiba aku dikejutkan oleh sesuatu! Ya… Ada seseorang yang sedang berdiri di tepi tingkap dari dalam rumah. Dia seolah-olah sedang memerhati aku. Mungkin dia ingat aku ni perompak barangkali?

Dengan sedikit bantuan cahaya lampu neon di luar rumah, aku cukup jelas untuk melihat empunya batang tubuh yang tersarung baju pagoda berona putih. Aku amati wajah si dia. Laahh… Pak Akob rupanya!Tuan rumah abangku. Aku tersenyum.Aku berhenti betul-betul depan tingkap.Dengan niat ingin menegurnya.

Aku: “Assalammualaikum,Pak Akob.”

Pak Akob: “Hurmmgghhh…..”

Aku: “Maaf ya kalau buat Pak Akob terperanjat.Pak Akob ingat saya lagi? Saya Dee, adik Azli. Saya tumpang lalu ya.”

Pak Akob: “Hurmmgghhh..”

Eikk..jawab pun acuh tak acuh je? Sebelum beredar, aku pandang wajahnya. Amboii… masam mencuka. Muncung boleh sangkut hanger dah. Batang tubuhnya masih statik tegak disitu.Dan matanya masih melirik aku.Tajam. Dalam hati…

”Lantak hang la Pak Akob. Malam-malam jumaat ni lebih baik Pak Akob layan Mak Nab tidur dari tercegat kat tepi tingkap tu!”

BUNGA KEMBOJA

Lagi beberapa langkah untuk aku tiba ke pintu rumah Alang. Ya Allah…tidak semena-mena, angin yang entah dari mana datangnya menyapa tubuhku. Sejuk… Dingin hingga menangkap ke tulang belulang. Aku memeluk tubuh erat. Cardigen yang melekat di tubuhku juga terangkat dek angin yang kuat. Aku pandang langit.Dalam hati,Nak hujan ke?

Baru sahaja hendak melangkah di hadapan pintu, sekali lagi aku disapa oleh sesuatu. Kali ini bukan angin. Tetapi bauan yang sangat kuat. Kembang kempis hidungku meratah aromanya. Ya,aku tahu bau apa. Haruman bunga kemboja! Bunga yang banyak ditanam di halaman rumah arwah moyang.

Aku terdiam. Tangan yang pada mulanya ingin mengetuk pintu spontan mengejung. Bau bunga kemboja lebih menarik minatku. Aku memandang kiri dan kanan. Mencari-cari dari mana datangnya bauan kemboja itu. Setahu aku, masa aku tolong Alang pindah rumah bulan lepas, tak ada pula aku nampak pokok kemboja. Atau mungkin aku yang tak perasan barangkali.Arghh, lantaklah. Angin yang kuat tadi berhenti secara total. Namun haruman kemboja masih kuat baunya. Tiba-tiba….

“Paapp..!”

Terangkat bahuku dek kerana terperanjat. Bunyi itu datang dari arah belakang sebelah kanan. Aku menoleh. Ada sepohon pokok rambutan rendang yang tertanam disitu. Statik. Rimbunan daun dan rantingnya tidak bergerak.Aku naik pelik. Bunyi tadi tu bunyi apa?Ranting jatuh kot? Bau bunga kemboja semakin menjadi-jadi kuatnya. Bulu di tengkuk mula merinding. Lantas aku mengetuk pintu rumah Alang sekuat hati!

“Tokk..tokk..tokk!!”
“Assalammualaikum…Alang!”
“Tokk..tokk..tokk!!”

Ketukanku tidak berjawab.Aku capai Hp di dalam bag galas.Aku mendail no Hp Alang. Tidak berjawab.Aku cuba pula mendail no Hp kakak iparku.Berkali-kali tapi hampeh!! Tetap tiada jawapan. Kemudian,aku ketuk pintu rumahnya sekali lagi.Lebih kuat dari tadi.

Sedang aku mengetuk pintu, tiba- tiba telinga kananku dicuit dari arah belakang seraya dihembus kasar!! Masa ni tak payah cakaplah. Aku terperanjat sampai melompat ke sebelah kiri.Dalam hati. Sial lah!! Main hembus-hembus pulak.Hati yang belum lega di serang sekali lagi.

“Hiiiii….hiii….hiiiiiiii……”

Allah.Mengilai pulak dah!! Tolong lah jangan reveal depan mata aku setan!! Dee…tolong jangan pengsan!

“Aaaaawwwuuuuuuuuuu…….”

Lolongan anjing bersahutan.Jauh dan sayu bunyinya.Kepala lututku jadi lemah selemahnya.Air liur ku telan laju.Terasa kesat di kerongkong.Aku terpana.Angin takda ribut takda, jelas kedengaran sesuatu di telinga. Bunyi daun dan ranting pokok rambutan bergesek kuat di belakang kananku. Rakus meliang liuk. Seolah-olah ada tangan yang menggoncang. Tak sanggup aku nak pandang!

Bulu roma bukan merinding dah tapi naik mencanak satu badan. Peluh pondan mula merinik penuh di dahi. Badanku menggigil. Seriously, aku dah mula panik dan takut. Keberanian aku total sifar.Satu ayat lazim pun,langsung aku tak ingat nak baca.Dan si hulubalang??Mana kau cilaka?Time-time macam ni tak nak pula kau timbul!

“tokk…tokkk..tokk!!”
“tokk…tokkk..tokk!!”
“Alangg…tolong!Buka pintu!”

Dengan tangan yang menggeletar, bertalu-talu aku ketuk pintu rumah Alang. Macam nak roboh!!

“Ketakk!!”

Selak pintu di tarik dari dalam. Daun pintu dibuka perlahan.Wajah alang tersembul dari balik pintu.Di tangannya aku lihat ada kayu belantan!Aku bukan perompak lah!

“Adik??”

Tak sempat aku jawab apa-apa.Meluru aku masuk ke dalam rumah sebelum di suruh. Nasib tak tertonggeng Alang bila aku redah masuk sampai terlanggar batang tubuhnya yang kurus melidi. Aku terus duduk di sofa. Kakak iparku keluar dari bilik tidur. Suis lampu kalimantang ruang tamu di petik.Terang benderang.

Alang: “Adik,kenapa ni?Sampai basah lencun baju ni haa! Sayang,ambilkan air suam untuk adik!” pinta alang pada isterinya.

Aku?Masih diam tiada jawapan.Beberapa saat kemudian,air yang dihulur aku minum. Laju melorot dari anak tekak ke perutku. Nafasku masih laju.

Kak Ipar: “Takpelah.Adik mandi dulu,lepas tu rehat. Subuh nanti akak kejut.”

Aku: “Uzur!”

Alang: “Okay.Dah pergi mandi.Esok cerita!”

Aku mengangguk faham.Aku bangkit dari duduk dan hilang ke kamar mandi.

SOAL & JAWAB

Jam 10.00 pagi.Usai bangkit dari tidur dan mandi,aku terus ke ruang tamu. Alang dan kak iparku sedang duduk di sofa. Mata masing-masing tertancap padaku. Ermm…kalau melihatkan gaya, memang menunggu sangat aku bangun. Nak tahu cerita lah tu.

Alang:” Apa jadi semalam?Kau kemana je dik pagi-pagi buta datang?”

Aku: “Adik keluar lepak dengan kawan. Mengantuk,tak larat nak drive balik.Tu yang singgah sini.”

Alang: “Melepak apa sampai pagi-pagi buta? Jadi apa-apa kan susah.Degil tak ubah-ubah.”

Aku:” Bukan selalu.”

Alang:”Tak selalu tu lah kalau tak ditegah, akan jadi kebiasaan dik”.

Aku:” Alang dengan akak pun satu,orang call tak angkat-angkat!”

Alang:” Bila masa call?? Jangan kan missed call, Hp Alang tu tak berbunyi langsung pun dik semalam.”

Aku: “Eikk,Takkan takda?Jari orang sampai bengkak kot duk call bertalu-talu. Pintu ni haa.. sampai nak roboh dah adik ketuk. Adoii, nasib tak kejung depan pintu semalam!”

Aku perasan,Alang dan kakak iparku saling berpandangan sesama sendiri. Mereka kelihatan hairan dengan pengakuanku.Dah kenapa?

Kak Ipar: “Dik,sumpah memang takda pun missed call kat Hp kami.Lagi satu, kami memang tak dengar langsung adik ketuk pintu.”

Alang: “Betul tu.Alang buka pintu semalam pun sebab dengar macam bunyi benda jatuh depan rumah.Alang hendap kat tingkap,lepas tu nampak kelibat orang.Tu sebab Alang capai kayu belantan. Mana tahu, kot-kot orang nak pecah masuk ke. Buka je pintu, tengok-tengok adik rupanya!”

Okay.Ni memang pelik.Otak aku sampai tak boleh nak cerna.Aku ketuk pintu,depa cakap tak dengar.Aku call, depa kata tak ada. Demi nak menegakkan kebenaran, aku bangkit masuk ke dalam bilik untuk ambil Hp. Aku check log panggilan. Erkkkk, Memang sah! Aku tak ada dail langsung no Alang dan kak ipar. Peliknya lah! Habis tu, nombor siapa pulak yang aku dial bagai nak gila semalam? Ermm,tak habis fikir.

Alang: “Semalam tu,dengan muka cuak, baju basah lencun.Kenapa dik?Kena kejar anjing ke apa?”

Sebelum timbul pelbagai lagi persoalan dan spekulasi,maka aku pun menceritakan segala perihal yang berlaku bermula dari aku keluar dari Steven Corner sehinggalah gangguan di depan rumah Alang.Selesai aku memperihalkan semuanya, aku lihat Alang dan kak ipar terdiam.Raut wajah kak iparku menyatakan sesuatu.Nampak sangat dia terperanjat.Tangannya melekat, meraih lengan Alang.

Kak ipar: ” Dik…betul ke adik ada jumpa Pak Akob?Adik tak tipu kan?”

Aku: ” Betul lah kak.Nak tipu apanya? Tapi tulah..pelik juga.Pak Akob tu bulan lepas adik jumpa takdalah sombong pun.Tapi semalam,muka dia memang cemberut gila.Masam,macam marah sangat.”

Kak ipar:” Dik…Pak Akob sebenarnya…. sebenarnya dia…,dia dah tak ada dik. Arwah dah meninggal dunia 2 minggu lepas. Rumahnya pun kosong dik.Mak Nab, anak sulong mereka dah ambil lepas kenduri hari ke -7.”

Gulpp!!Biar benar?Habis tu,yang aku nampak semalam tu siapa? Siap jawab “Hurmmghh..hurmmgghh..” Aduhai…

Alang:” Sebenarnya, Alang pun dah rasa tak sedap hati.Sejak 2 minggu lepas, ada juga jiran yang mengadu ada gangguan pada isteri dan anak dara mereka. Kena himpit masa tidur sampai lebam-lebam badan. Bila tengah malam je, kami akan dengar macam ada benda besar berlari-lari atas atap.Sampai melendut zink.Ada yang cakap,arwah ni membela.Wallahualam.”

Aku:” Biar betul?Bela hantu raya ke?”

Masing-masing berpandangan dan diam.

Kak ipar: ” Abang..tadi kata nak tunjuk benda tu kat adik kan?”

Aku :”Aduh,nak tunjuk apa pulak ni? Macam suspen je”

Alang bangkit dari duduknya.Dia menggamit aku ke luar rumah.Dia menunjukkan sesuatu yang bertabur di halaman.Aku terkesima.Bunga kemboja? Ya…berkuntum-kuntum bunga kemboja putih bertaburan di atas tanah.Aku cuba menghadam.Dari mana datangnya? Kemudian, Alang menunjukkan pula sesuatu di bawah ampaian.

Aku sauk selipar jepun, lantas mendekati ampaian. Aku amati benda yang ditunjuk oleh Alang tadi.Aku lihat ada gumpalan rambut yang bergulung kasar. Aku capai sebatang kayu halus yang tersandar di bawah ampaian. Gulungan rambut itu aku kuis. Dengan gigih aku leraikan sampai terhurai. Mak aiii, panjang….Memang panjang helaian rambut tu. Aku pandang Alang. Siapa punya??

Puas aku fikir,tetapi persoalan aku tiada jawapan. Selepas Pak Akob, siapa sebenarnya gerangan yang mengusik aku? Cik ponti ke? Atau pun Cik Lang? Entahlahh… Usai telinga dan otak aku jerih memikirkannya, aku terpaksa pula mengharungi slot bebelan free yang panjang berjela dari Alang. Akhirnya aku minta diri untuk balik ke rumahku. Degil-degil aku, terkesan juga lah dengan kata-kata Alang yang mana memang ada banyak kebenarannya.

Setelah berpamitan, aku memandu untuk pulang ke rumah bujang.Saat tiba di tol, aku mencapai kad touch n go di dalam dashboard. Tiba-tiba mataku tertancap pada sesuatu yang terletak kemas di atas lapik kaki sebelah penumpang.Aku menunduk dan mencapainya.Erkkk,sapu tangan?Amoi cheong sam!!

Selepas beberapa hari dari kejadian,aku mendapat mesej dari 5 orang sahabatku. Ternyata, soalan dari Jelly, Teddy, Suresh,Izza dan boy hampir sama dan menjadi tanda tanya padaku.

Izza: “Dee..lepas kau balik dari steven corner, kenapa kau call kami?Dah call tapi tak nak bercakap.Dah tu kau menangis,lepas tu mengilai! Seram doh kitorang.Boy cakap kau nak prank kami. Kami masing- masing call kau balik tapi tak dapat.Apa jadi sebenarnya??”

Gulpp!!

Tamat

Konklusinya dari kisah aku 10 tahun lalu.
1) Tak kira lelaki atau perempuan (khususnya),jangan melepak sampai ke pagi. Tak salah pun kalau nak berjimba dengan kawan2, cuma kena jaga batas waktu dan pergaulan.

2) Kita jangan perlekeh kepercayaan kaum lain.Dan jangan pula terlalu taksub,sebab kalau nak ikut membuta tuli pun takut lari akidah.Kita hanya perlu respect!

3) Bukan kita je yang hidup kat muka bumi ni.Ada makhluk lain yang berkongsi alam.Cuma kita nampak dengan tidak je. Ia adalah anugerah ataupun nasib kau tak berapa nak baik. Serious,tak best!

4) Aku tak cakap aku baik.Tapi, kau nakal atau degil macam mana sekalipun, jagalah hubungan kau dengan Allah swt. Insyaallah hubungan kau dengan manusia,Allah akan perlihara.

5) Jangan lupa pagar diri setiapkali keluar rumah atau nak tidur.Baca surah Al Fatihah, Ayatul kursi,Surah 3 Qul dan ayat 9 dari surah Yassin.Amalkan zikir ‘La hau la wala kuwwata illa billah hil aliyil azim’ dan juga Doa Nabi Yunus.

Semoga kita semua sentiasa dalam perlindungan Allah swt.Amin

Aku pendosa,
CikEdot
Writer hingusan untuk picisan-picisan dibawah:
1) Moyang
2) Moyang 2: Mak long & Nek jah
3) Moyang 3: Aku & Mereka
4) Allah kan ada!
5) Dendam Maria
6) Psycho Si Pencinta SOFEA
7) Gentayangan Wan Anum
8) Memori Ramadhan CikEdot
9) Nikmatnya Darahmu!

Kongsi kisah anda: http://fiksyenshasha.com/submit

CikEdot

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 3.5]

19 thoughts on “#CikEdot – Kisah Satu Malam!”

  1. Aiyyokk, seram!! Masa blk raya haji hari tu pn ada kwn cina pesan sruh hati2 sbb musim hantu lapar.. Baru dua hari lepas nmpak cina2 kt bukit bintang dok bakaq duit (hell currency)..

    Reply
  2. cerita paling best aku baca dlm bnyk2 cerita kat sini.
    Plot best, elemen suspen ada. seram sejuk jugak ah nak scroll baca ke bwh.
    thumbs up. kipidap

    Reply
  3. Pernah jugak nampak tanglung dan lilin tu..
    Tapi ada budak kecik duduk sebelah dia, kat tengah jalan atas divider..
    Masa tu memang bulan hantu lapar..

    Tu la degil tak dengar cakap, kepercayaan agama lain pon kena hormat tapi..
    Tapi takut lah pada yang Maha Esa

    Reply
  4. Semlm punya cerita. Blik kerja husband cerita ada eksident m**i dekat belakang rumah, moto langgar lori. Malam tu aku pergi toilet pasang lampu toilet je, lampu dapur aku tak pasang. Tengah aku dok bersih2kan apa yang patut aku dengar bunyi macam kerbau kena sembelih kat tingkap dapur, aku tengok lua gelap. Aku pasang lampu aku sambung bersih2 apa yang patut. Bunyi lagi kuat tapi makin panjang. Bunyi kerbau ke camtu susah nak explain. Last2 aku settle2 cepat2 aku tutup lampu, cuak rasa mcm ada org ikut masuk bilik. Husband tido dengan anak sebab dia dok menangis je mlm tu. Esknya aku hantar anak kat rumah pengasuh, dia bagitahu semalam excident cina naik moto besar langgar lori sampah. Berdentum kuat, muka pecah katanya ada jiran pegi tengok. Ok ak dah cuak mungkin itu not happy gost la kot ? Huhu ye la aku dalam keadaan kotorkan mungkin aku yang terkena.

    Reply
  5. Cikedot…
    Akk dah bace mse hari admin publish tau…
    Tp xde plak komennye…
    Sbb mse loading tu hs hang…

    Papepon mmg ngeriiii wooo…
    Dah mcm citer antu cina lompat2 je ekkk situasi tanglung2 tu…
    Pastu dik…
    Bertalu2 ko kena satu malam tu…
    Mmg medan magnet ko ni kuat bebenor…
    Berkenan sungguh natang2 tu ngan ko ekkk…
    Mesti mandi bunga setiap pagi ni, lariissss…
    Hahahahhahaa…

    Reply
  6. Aku baru habis marathon baca semua story cikEdot tapi tu lah..dah lama cikEdot tak hantar story kat FS

    aku memang dah baca semua karya cikEdot tp tengah bosan ne,aku marathon lah terus baca lagi

    Reply
  7. Teringat peristiwa brape bls tahun lps mase bulan hantu cina lapar..pernah tlg uncle cina sarawak(kenalan tmpt keje) dgn ank sedare dy buat persiapan untuk roh2 [email protected] kerana nakal sambil buat persiapan. Tgn pulak gatal amik biskut yg warna warni yg dah siap disembahkan(yg diletakkan ditepi jln) fuhh nasib xde pape tpi uncle siap nk jodoh kn dgn ank sdre dy…erkkk ensem tu tapi xpe la uncle hahaha

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.