#cikyu : Kisah Di Kuarters Guru

Salam warga FS. Terima kasih sebab suka post aku yang sebelum ni. Ada yang meminta aku post tentang abang aku berkomunikasi dengan makhluk-makhlus halus. Tu nanti ya, sebab aku nak kumpul cerita dari abang aku dulu. Dia pulak busy. Bila aku dah kumpul semua cerita, baru aku post. Kalini aku nak cerita pasal tempat tinggal yang keluarga aku pernah duduk. Ayah dulu guru besar di salah sebuah sekolah di Pulau Pinang, jadi dia dapat kuarters sebagai tempat tinggal. Masa tu aku umur 10 tahun, sudah cukup besar untuk memahami apa itu syaitan dan iblis dan kewujudannya.

Kuarters guru tu setingkat, rumah berkembar. Rumah sebelah jarang ada di rumah. Belakang kuarters tu hutan belantara, ada pokok buah koko. Aku ingat lagi aku dan adik beradik yang lain rajin pergi kutip buah koko kat belakang kuarters tu. Di belakang kuarters tu jugak ada buaian. Tempat kegemaran aku untuk bermain. Kiranya bila kau tengah basuh pinggan kat sinki dapur, kau jenguk ke luar tingkap, kau akan nampak buaian tu. Masa mula pindah kat kuarters tu, tengok lokasinya sahaja pun dah seram sebenarnya. Mana tak nya, belakang dan kanan kuarters tu hutan.. Belah kiri je terletaknya sekolah.

Aku ingat lagi ada satu malam ni aku dan adik beradik yang lain hampar toto dan nak tidur. Kami tidur agak lewat malam tu. Sedang kami asyik rancak berbual, tetiba dengar ada benda bergolek dari atas bumbung jatuh ke belakang dapur. Bilik kami dekat dengan dapur. Kami tak hiraukan sangat la, masing-masing buat derrkk je. Tiba-tiba bunyi perempuan menangis lah pulak.. Yang seramnya, bunyi makhluk tu menangis mendayu-dayu, bergema, dan aku pasti boleh didengari di seluruh kawasan sekolah tu. Masing-masing tengok sesama sendiri, dan akhirnya kami semua tidur rapat-rapat dan selimut tutup badan.

Tiba-tiba bunyi menangis tu beransur-ansur hilang macam kita kurangkan volume radio. Selang beberapa minit, dengar ‘dia’ dok berjalan atas bumbung pulaaakkk… Kami semua dah terketar-ketar badan sebab takut. Lepas tu dengar pintu bilik mak dan ayah terbuka, dan dengar ketukan pintu yang kuat kat pintu bilik kami. Termenjerit la aku kat situ. Rupa-rupanya ayah pun dengar benda yang sama dan mengarahkan supaya kami semua pergi tidur dalam bilik mak ayah. Kami semua berlari-lari anak sambil bawak bantal busuk masing-masing. Lepas tu kami dah tak berani nak berborak sampai ke lewat malam.

Kisah seterusnya. Aku ni masa kecik-kecik dulu suka mandi lama-lama, walaupun dileteri mak berkali-kali, aku buat endah tak endah je. Ada satu hari ni, aku mandi dalam bilik utama, disebabkan ada bathtub, lagi lama lah aku berendam. Mak cakap mak nak masak di dapur, dan dia cakap jangan kunci pintu bilik air. Aku tutup pintu, tapi terkuak sikit, cukup untuk sesiapa nak mengintai masuk ke dalam bilik air. Nak dijadikan cerita, mungkin makhluk tu marah jugak aku mandi lama-lama. Masa aku tengah khusyuk main buih air, aku ternampak satu lembaga seakan-akan mak kat pintu bilik air. Muka dia seiras mak, cuma yang ni mengerbang sikit rambutnya.

Matanya tajam sungguh tengok aku. Naif sungguh aku masa tu, aku pergi tegur pulak, tanpa tengok dia. “Mak buat apa kat situ? Mak nak join adik sekali ke?” Aku dongak kepala aku tengok ‘mak’ dah tak ada kat pintu bilik air. Aku dah tak sedap hati, aku cepat-cepat keringkan badan aku dan terus meluru ke dapur. Aku tanya mak ada mengintai adik mandi ke tadi? Mak cakap taklah, kan mak tengah masak ni. Dengar mak cakap macam tu, aku dah meremang dah. Taubat dah aku nak mandi lama-lama lepas tu. Oh ya, rambut mak masa tu pendek je dan terurus, tak macam jelmaan mak yang mengerbang rambutnya tu.

Sebenarnya makhluk kat rumah tu suka menjelma menjadi sesiapa yang tengah memghuni rumah tu. Along pernah nampak Angah tengah baring dalam bilik, walaupun pada hakikatnya masa tu Angah tengah ‘melabur’ dalam toilet. Ayah pernah nampak mak berdiri menghadap dinding bilik tidur tapi sebenarnya mak tengah tengok tv di ruang tamu depan. Macam-macam lagi lah.
Tak cukup dengan gangguan di atas ni, kami juga sering dengar orang sebelah mengalih perabut, bunyi ketuk-ketuk macam tengah guna lesung batu, walaupun pada hakikatnya pada masa tu, orang sebelah tak ada sebab pergi kursus selama seminggu.. Lama-kelamaan kami semua dah immune dengan bunyi-bunyi tersebut, dan buat tak tahu je.

Ada jugak abang aku ternampak buaian kat belakang kuarters tu bergerak sendiri, agak laju, seolah-olah ada orang tolak buaian tu. Sedangkan pada masa tu tak ada angin tak ada apa pun. Cepat-cepat dia basuh cawan dalam sinki dapur tu dan keluar dari dapur. Kami kerap diganggu sampaikan ayah mintak tolong staff gurunya, seorang ustad yang agak mahir dalm berubat orang datang tengokkan kuarters tu. Ustad tu cakap biasalah, belakang kuarters tu kan hutan, jadi kuarters ni adalah tempat persinggahan makhluk-makhluk tu. Tak tahan dengan gangguan tu, ayah mintak untuk di transfer ke sekolah di Bukit Mertajam.

Kebetulan masa tu rumah kami di Kulim baru sahaja siap diubahsuai. Dalam masa sebulan tu jugaklah kami makin kerap diganggu, seolah-olah benda tu tahu kami nak pergi meninggalkan mereka. Hehe. Gangguan seperti barang-barang kami semua misplaced (dalam BM apa ntah? Huhu), tiba-tiba kotak yang kami letak kat atas meja solek jatuh ke bawah, terburai habis semua isi dalam kotak tu. Macam-macam lagi lah. Kami pindah keluar dari kuarters tu dalam masa sebulan.

Alhamdulillah.. Tapi rumah kami di Kulim yang baru diubahsuai pun apa kurangnya. Ada juga kisahnya tersendiri.. 😉

1 thought on “#cikyu : Kisah Di Kuarters Guru”

Leave a Comment