Aku mengenali Man Cina sejak sekian kecil lagi. Dia bukan hanya sekadar kenalan biasa, tetapi hampir seperti saudara. Fazley, adik sepupuku, merupakan anak susuan ibunya. Hubungan itu menjadikan aku dan Man Cina rapat. Dia menetap di Manjung bersama ibu bapanya, dan aku sering berjumpa dengannya kerana aku selalu ke rumah Fazley.
Zaman remaja kami sama sama nakal, dia terlibat dengan sub budaya punk dan aku pula terpengaruh dengan muzik grunge yang sedang menggila ketika itu. Selepas zaman itu berlalu, dia aktif pula dalam NGO persaudaraan dan persilatan, malah telah dikenali kerana kebolehannya mengubat orang.
Man Cina mempunyai hobi mengumpul barangan lama seperti cincin, senjata, dan pelbagai benda antik yang sekali lihat pun aku sudah tahu ada aura mistiknya. Aku tidak pernah bertanya tentang barangan miliknya itu namun suatu hari, aku tertarik pada salah satu cincin miliknya. Cincin itu kelihatan biasa, hanya batu berwarna kelabu seperti batu jalan. Namun, seperti ada sesuatu yang menarik perhatian aku, seolah-olah ia memanggil aku untuk memilikinya.
“Cincin ni macam ada ‘barang’ sahaja, bagilah aku.” Kataku kepada Man Cina yang sedang asyik membelek kerambit kesayangannya yang berbentuk naga.
Pada mulanya, Man Cina keberatan memberikannya, tapi akhirnya dia menyerahkan juga cincin itu setelah dipujuk separuh hari.
“Jaga baik-baik cincin ni, Am.” pesannya pendek.
Beberapa hari selepas itu, aku dan sahabatku Hambali, menunggang motosikal dari Ipoh menuju ke Teluk Intan pada waktu malam. Kami melalui jalan lama dari Batu Gajah ke Kampung Gajah. Ketika melintasi satu kawasan perkuburan, aku ternampak sesuatu. Ianya seperti bayangan tubuh manusia berbungkus kain putih di celah-celah batu nisan, pocong.
Pada mulanya makhluk itu aku lihat di tengah kawasan perkuburan, tapi dalam sekelip mata ia sudah berada di tepi jalan. Jelas dapat kulihat wajah pocong itu seperti tengkorak yang berdarah. Aku segera memalingkan mukaku dari memandangnya. Hambali yang dari Ipoh hanya membawa motorsikalnya dibelakang, tiba tiba memotong motorsikalku dan terus memecut laju. Aku mengekorinya dengan kelajuan yang sama sambil mulutku membaca ayat ayat suci. Sesekali aku memandang cermin sisi, untuk memastikan pocong itu tidak mengikut kami.
Sampai di Kampung Gajah, kami berhenti di sebuah stesen minyak. Aku terus berkata kepada Hambali.
“Eh Mali, tadi aku macam nampak…”
Belum sempat aku menghabiskan kata kaku, Hambali cepat memotong, “Nanti sambung kat rumah Ached.”
Sampai di rumah Ached di Sungai Manik, barulah kami berkongsi cerita. Menurutnya, dia melihat pocong itu berguling laju ke arahnya, sebab itulah dia memecut motosikalnya. Ached, seorang lagi sahabat baik aku hanya ketawa kecil mendengar cerita kami.
“Adalah sebabnya pocong tu muncul dan tunjukkan diri dia.” Kata Ached, aku perasan yang matanya memandang tepat kepada cincin pemberian Man Cina yang sedang aku pakai. Mungkin dia tahu sesuatu kerana dia juga boleh serba sedikit dan pandai dalam ilmu ilmu mistik ini. Hambali tiba tiba gelisah, dia meraba raba perutnya.
“Laparlah, jom Gulam Rasul” katanya dan diikuti dengan ketawa dari aku dan Ached. Kami terus bergerak menuju ke restoran pilihan Hambali itu. Malam itu aku tidur di rumah Hambali di Kampung Bahagia.
Satu malam yang lain, aku dan keluargaku menziarah bapa saudaraku di Banting. Dan kami sekeluarga bermalam di rumahnya. Ketika sedang diulit lena, tiba tiba aku terasa seperti dihempap sesuatu yang berat. Aku tidak mampu menggerakkan badanku. Aku cuba membuka mata sedikit, apa yang aku dapat lihat hanyalah satu sosok lembaga hitam dan berbulu lebat. Wajahnya samar samar, aku tidak dapat melihatnya dengan jelas.
Aku cuba bertenang sambil membaca surah Al Fatihah dan Ayat Kursi beberapa kali, memohon kepada Tuhan agar aku dilindungiNya dari gangguan makhluk hitam dan berbulu itu. Aku lihat ada satu tangan menghulur dari atas, lantas aku menggenggamnya. Dalam sekelip mata juga, lembaga hitam itu hilang.
Aku mahu memanggil Abah yang tidur di sebelahku, tetapi sebelum sempat bersuara, bapa saudaraku keluar dari biliknya.
“Am, okay tidur?” tanyanya. Aku hanya mengangguk perlahan. Sebagai tanda hormat kepada bapa saudara,, aku tidak bercerita tentang kejadian itu kepadanya.
Tidak lama selepas itu pula, aku terlibat dalam penggambaran filem di sebuah flat lama yang terbiar. Aku dipanggil kenalanku yang merupakan penolong pengarah bagi filem itu untuk membuat kerja P.A yang mana aku langsung tidak tahu cara kerjanya kerana sebelum itu aku hanyalah seorang propman. Pengambaran itu dijalankan pada waktu malam hingga ke pagi.
Pukul dua pagi, aku sedang mencangkung di bawah tangga selepas membuang air kecil disitu. Aku tidak pula meminta izin seperti yang selalu dipesan orang orang lama kalau nak membuang di tempat tempat yang tidak sepatutnya kita ‘buang’.
Sambil menghisap rokok, aku memejamkan mata sebentar bagi menghilangkan penat.
Tiba-tiba, aku mendengar suara memanggil. “Hoi… hoi…”
Aku takt ahu kenapa aku menjadi berang. “Aku pun ada nama!” desisku dalam hati. Tetapi sebelum sempat aku membuka mata, badanku terasa berat. Aku cuba hendak menjerit, tetapi suaraku tersekat. Tubuhku pula tidak mampu bergerak. Dalam kesamaran, aku terdengar walkie talkie kru penggambaran berbunyi,
“Ada budak dah kena.”
Kemudian, aku merasakan tangan seseorang menjabat tanganku sambil memberi salam. Mata aku terbuka. Di hadapanku berdiri seorang penyanyi yang menjadi pelakon utama dalam filem tersebut. Dia memeriksa cincin di jariku dan bertanya, “Dari mana dapat cincin ini?”
“Kawan bagi,” jawabku pendek.
Dia menggeleng. “Cincin ini ada ‘barang’, ada penjaganya. Lebih baik awak buang.”
Menurut pelakon itu, ada seorang nenek tua sedang memukul belakang badanku dengan sebatang tongkat, namun ada satu sosok yang melindungi aku dengan menutup badanku. Atas sebab itulah aku tidak dapat bergerak.
“Hanya Tuhan Yang Maha Esa sebaik baik pelindung. Bukan kepada makhluk kita berserah.” pesannya lagi. Pelakon dan penyanyi itu sememangnya aktif dalam rawatan alternatif, dan selepas dari tahun itu dia terus menyepi dari dunia seni.
Dalam keadaan lemah, aku menuju ke kawasan belukar tidak jauh dari situ dan mencampakkan cincin itu. Aku dihantar pulang, dan keesokannya aku tidak pergi ke set pengambaran filem itu. Walaupun dipujuk oleh penolong pengarah itu untuk datang dan mengambil bayaran, aku memohon maaf dan menghalalkan bayaran untuk satu hari kerja itu.
Aku ke Manjung menemui sepupuku Fazley. Dia meminta bantuanku untuk menjadi sessionist bermain gitar untuk persembahan bandnya. Seperti kebiasaannya, aku mengajak Fazley untuk singgah ke rumah Man Cina. Sebaik dia melihatku, dia terus masuk ke dalam rumah dan kembali dengan cincin, cincin yang sama, yang telah aku buang ketika di set pengambaran filem.
“Nah, ambil balik. Orang dah bagi, dibuang-buang pula. Dulu nak sangat pakai yang ada ‘barang’.” katanya dengan tersenyum, cincin itu dihulurkannya kepadaku.
“’Barang’ ni aktif sangat, macam magnet. Ada saja yang nak lekat.” Jawabku sambil memegang cincin itu.
Fazley yang datang bersamaku menyampuk, “Kalau kome tak nak, kasi aku lah.”
Aku memandang Man Cina, dia menganggukkan kepalanya tanda setuju lalu aku menyerahkan cincin itu kepadanya. Selepas dari hari itu dan sehinggalah ke hari ini, Fazley masih memakainya. Biarlah dia pula memakainya. Sesekali dia bercerita tentang beberapa pengalaman misteri yang dialaminya, tetapi aku tahu dia mampu menghadapinya.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit