Hai semua, nama aku Iris. Kisah yang aku ingin ceritakan adalah berkenaan hubungan cinta dua dunia. Maaf kalau kalian rasa ini bukan kisah hantu sebab antara aku dan ‘Nuh’. Kejadian ini berlaku kira-kira 7 tahun lepas sewaktu aku baru bekerja di sebuah syarikat swasta.
Pada mulanya aku berat hati untuk menerima tawaran bekerja di syarikat ini kerana lokasinya yang jauh dari rumah dan bangunan luar tampak usang. Bangunan pula terletak di lorong belakang. Tetapi demi pengalaman dan wang, aku terima juga. Lagipun, aku yang rela hati memohon untuk bekerja di situ.
Hari pertama berjalan lancar. Masuk hari kedua, staff meja sebelah mula buka cerita. Katanya dekat office aku ni ada ‘penghuni’. Dah ramai yang nampak kelibat, terutama yang datang awal pagi atau pulang paling lambat. Ada yang terus demam atau terus berhenti kerja.
Macam biasa, walaupun aku penakut tapi aku jenis hati cekal. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Kalau nak kerja lama, hati kena kental. Itu prinsip aku. Lagipun, aku bukan staff yang datang paling awal. Dan, aku yang paling gelabah nak balik awal. Yelah, jarak ke rumah 30 minit.
Tetapi semuanya bermula selepas seminggu bekerja. Entah kenapa, hari itu aku boleh cepat sampai. Traffic lancar. Bila aku masuk ke office, aku nampak Jenny dan Pai berjalan menuju ke arahku.
“Iris, kami nak keluar beli breakfast. Mau pesan apa-apa?” Soal Jenny.
“Tak mau la.. Kenyang tadi sudah makan di rumah.” aku menjawab sambil tepuk perut.
Selepas Jenny dan Pai keluar, aku berjalan ke mejaku dan duduk melepaskan lelah. Masih awal. Aku buka Facebook dan tengok sahaja apa-apa kiriman yang lalu di wall Facebook.
Sedang aku ralit melayan Facebook, aku terdengar bunyi orang basuh gelas atau pinggan kaca di sinki pantri. Dengar jelas kaca berlaga macam kita tengah basuh pinggan. Aku berhenti tengok phone dan pusing ke belakang.
Dari luar aku lihat ada cahaya lampu. Ruangan pantri kelihatan terang.
“Oh, ada orang lain jugak.” aku berkata dalam hati. Aku fikir aku seorang diri di office.
Aku pantas mencapai sebungkus kecil Milo 3in1 di atas meja lalu menuju ke pantri. Niat aku untuk buat secawan air panas.
Sesampainya di ruang pantri, aku nampak seorang lelaki berbaju putih sedang duduk di salah sebuah kerusi. Di hadapannya ada secawan teh panas. Aku hairan sekejap sebab selama seminggu aku bekerja, aku tidak pernah nampak wajah lelaki ini. Mungkin department lain?
“Duduklah.” Lelaki itu bersuara dengan senyuman manis. Aku mengangguk dan menarik kerusi yang paling hujung. Dia hujung sana, aku hujung sini.
Aku menghirup air yang aku buat tadi tanpa menghiraukan lelaki itu. Dari ekor mata aku tahu dia sedang pandang aku.
“Iris, kan?” Lelaki itu bertanya.
Aku mengangguk. Entah dari mana dia tahu nama aku.
“Staff baru juga ke?” aku pula tanya. Kalau aku diam nampak macam sombong pula.
Dia tersenyum dan geleng.
“Dah lama di sini. Cuma Iris tak perasan saya.” jawabnya.
Aku angguk faham. Mungkin betullah dia dari department lain. Aku sahaja yang tak kenal semua orang lagi. Cuma hairan kenapa dia guna pantri dekat office aku. Sebab setiap department ada pantri masing-masing.
Tanpa sedar, kami berborak panjang. Aku memang genatik peramah kalau dah kenal orang. Dari topik kerja hingga ke topik makanan kami borak. Dia siap suggest supaya aku makan dekat kedai nasi goreng udang selambak di seberang jalan.
Kami berhenti borak selepas aku dengar suara riuh dari luar. Mesti budak office dah datang. Aku cepat habiskan air dan keluar menuju ke meja. Aku lihat lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Nuh itu turut bangun ke sinki untuk basuh cawannya.
“Iris, borak dengan siapa tu? Dengar macam orang bercakap kat dalam tadi.” tanya Zura, staff meja sebelah yang baru datang.
“Dengan Nuh. Dia department lain kot. Dia ada lagi kat dalam, tengah basuh cawan.” jawabku ringkas sambil membuka buku nota untuk lihat kerja yang aku perlu siapkan.
Sewaktu aku berkemas nak balik, aku nampak Nuh sudah terpacak di depan pintu office. Dia melambai dengan senyuman. Cair betul aku. Aku cepat-cepat punch out.
Kami berjalan turun tangga sama-sama sehingga ke kawasan parkir. Aku bertembung dengan Zura yang sedang bersandar di kereta Myvi miliknya.
“Tak sangka kita parking sebelah-sebelah hari ni.” aku menyapa Zura. Zura tersenyum.
“Awak parking kat mana?” aku tanya Nuh.
“Rumah saya dekat. Saya jalan.” Nuh menjawab lalu meminta diri. Aku melihat Nuh berjalan pergi.
Aku nak tumpangkan tetapi segan sebab ada Zura. Nanti apa dia fikir sebab aku staff baru.
Entah kenapa sejak pertemuan pertama, aku asyik terfikirkan Nuh. Malam tu aku terbayang wajah Nuh, suara Nuh. Sampai aku rasa tak sabar nak masuk kerja esok. Tak tahu kenapa aku tak dapat kawal diri.
Malam tu aku terus mimpikan Nuh. Nuh datang dengan senyuman dan dia serahkan sekuntum bunga. Bahagianya mimpi aku.
Apabila tersedar waktu subuh, bilik aku semerbak bau bunga. Kuat menusuk hidung. Tapi tak ada bunga dalam bilik aku. Bila azan subuh berkumandang, bau itu hilang serta merta.
“Hai!” Suara Nuh menyapa ketika aku keluar dari kereta.
Nuh seperti semalam. Berbaju kemeja kosong warna putih, rambutnya rapi dan sangat wangi. Aku tak tahu nak gambarkan kepada pembaca semua macam mana bau Nuh tetapi wangi sangat. Boleh buat aku terbuai.
Kami beriringan naik ke office dan berpamitan depan pintu. Nuh dari department logistik. Aku department marketing. Jadi, office Nuh selang beberapa pintu.
Sesampainya di meja, aku lihat Zura dah ada. Dia sedang berborak dengan Jenny dan Pai. Mereka pandang aku dan menegur bau aku sangat wangi. Pelik aku dengar sebab aku bukan jenis pakai minyak wangi yang kuat. Sekadar spray di tangan sahaja. Itu pun bau yang tak kuat.
Sepanjang waktu kerja, aku rasa tak tenteram. Aku jadi rindu. Aku terbayang wajah Nuh. Sampaikan aku gigih cari nombor telefon Nuh dalam group WhatsApp syarikat. Tetapi aku tak tahu yang mana satu. Nak tanya Zura rasa malu.
“Iris, d***h.” Zura menegur. Dia tarik tangan aku.
Aku terperanjat lalu mengucap panjang. Rupanya sambil aku scroll cari nombor telefon itu aku menggigit kuku. Tanpa sedar, jari aku dah luka. Kata Zura dia nampak aku menggigil seperti penagih dadah. Menakutkan.
Waktu pulang, seperti biasa Nuh akan tunggu untuk kami berjalan bersama. Entah kenapa aku tak terucap untuk minta nombor telefon dia. Mungkin aku rasa lelaki yang patut mulakan dahulu. Jadi, kami berpamitan di kereta. Dia menolak pelawaan aku untuk menghantar dia pulang.
Malam itu, Nuh muncul lagi ke dalam mimpi aku. Kali ini, dia pegang tangan aku dan beri sekuntum bunga. Dalam mimpi itu Nuh mengajak aku berkahwin dan tinggal bersamanya. Tetapi aku tidak memberikan jawapan.
Waktu pagi, bau bunga itu datang lagi. Aku tersenyum seronok. Dapat mimpi Nuh pun aku cukup bahagia. Aku rasa semangat datang kerja awal.
Sedar tak sedar dah sebulan aku berkawan rapat dengan Nuh. Lama kelamaan aku macam lupa diri, lupa sekeliling. Aku seolah-olah wujudkan dunia antara aku dan Nuh sahaja. Setiap masa aku rindukan Nuh.
Paling tak masuk akal apabila aku sanggup keluar rumah pukul 6 pagi. Sedangkan office aku mula kerja pukul 9 pagi. Aku duduk di kawasan parking berbual panjang dengan Nuh. Aku tak pernah terfikir macam mana Nuh sentiasa muncul sebaik sahaja aku sampai.
Setiap kali aku keluar kereta, Nuh pasti dah menunggu. Aku langsung tak pernah tanya. Yang aku tahu, aku nak jumpa Nuh dan menghabiskan masa bersama. Gila, kan?
Waktu cuti paling aku resah. Aku tiada nombor Nuh. Aku sanggup tipu ayah dan ibu cakap nak keluar dengan kawan. Padahal aku bawa kereta meronda kawasan sekitar office. Aku berharap terserempak dengan Nuh. Memang parah keadaan aku ketika ini.
Pernah sekali tu aku dalam perjalanan balik ke rumah dari hospital, hantar kakak aku. Dalam 10 minit aku gerak, kakak aku call minta aku patah balik sebab dia tertinggal barang dalam kereta.
Tak banyak cakap, aku pun patah balik. Aku tengok kakak dah terpacak menunggu. Aku cepat-cepat ambil barang dia dan keluar dari kereta.
“Cuai betul. Nanti bayar duit minyak aku ye.” sengaja aku bergurau senda.
“Kau singgah ambil kawan ke tadi?” Kakak aku menyoal. Dia kata ada lelaki dalam kereta aku. Sempat dia warning akan mengadu dekat ayah kalau aku buat benda tak senonoh.
Malas nak layan, aku pun balik. Aku langsung tak fikir pasal kata-kata kakak aku. Entah kenapa aku asyik bayangkan Nuh. Pantang aku duduk seorang diri, aku akan teringatkan Nuh.
Tanpa aku sedar, aku dah melencong ke tempat lain. Aku tak jadi balik rumah, sebaliknya aku menuju ke office. Dapat tengok bangunan, dapat tengok kawasan parking pun jadilah. Aku tersenyum-senyum.
Tiba-tiba aku nampak sosok tubuh orang sedang duduk di kaki lima kawasan parking. Eh, Nuh! Aku cepat-cepat keluar kereta.
“Nuh, buat apa sini?” aku terus bertanya.
Nuh tersenyum pandang aku. Dia langsung tak nampak terkejut.
“Rumah Nuh kat kawasan sini. Iris cari Nuh?”
Aku sedikit malu. Akhirnya kami duduk berbual berdua. Hati aku memang berbunga-bunga. Tanpa makan, tanpa minum, tanpa mandi, tanpa solat, aku ibarat orang yang keasyikan. Sedih bila ingat semula.
“Pergi mana sekarang baru balik? Hantar kakak awal pagi, petang baru balik rumah! Ibu call pun tak angkat.” sampai sahaja di rumah, ibu terus marah.
Aku pandang jam di tangan. Eh, dah dekat pukul 5 petang? Lama betul aku duduk borak dengan Nuh!
“Iris pergi mana? Dah makan?” ayah pula bertanya. Ayah lembut sikit daripada ibu.
Aku gelengkan kepala lalu masuk ke bilik. Aku biar sahaja ibu mengomel seorang diri. Yang penting aku bahagia dapat jumpa Nuh.
Malam itu, Nuh datang lagi ke dalam mimpi. Nuh bawa aku jalan-jalan ke suatu tempat. Aku tak dapat bayangkan tempatnya sebab kelihatan kabus tebal. Kami berborak, ketawa dan sangat seronok bersama. Tetapi semuanya berakhir bila tiba waktu pagi.
“Tak payah pergi kerja!” ibu melarang tegas.
“Kenapa pula? Iris kerja hari ni.” aku membentak geram.
“Nak pergi kerja dengan diri serabai macam tu? Badan lebam semua tu?” ibu mula meninggikan suara.
Aku bingung sekejap. Serabai? Lebam?
“Ayah dah panggil ustaz. Hari ni biar ustaz rawat Iris. Ayah tengok Iris dah teruk ni.” Ayah mengusap kepala aku. Ayah memang paling rapat dengan aku berbanding ibu dan kakak.
“Tapi Iris tak sakit…” aku menangis. Lama kelamaan suara tangisan aku makin kuat. Sampai satu masa, aku tak sedarkan diri.
Sepanjang aku tak sedarkan diri (sepanjang sesi rawatan), Nuh muncul dalam mimpi. Nuh menangis. Katanya dia begitu sayangkan aku. Dia mahu hidup bersama aku di alam dia.
Kali ini mimpi aku lebih jelas. Aku berada di halaman sebuah rumah kayu yang besar dan indah. Macam rumah tradisional tetapi sangat besar. Di hadapan rumah aku lihat ada seorang lelaki berbaju putih, berjanggut dan dua orang perempuan memakai baju kurung warna hijau.
Nuh beritahu itu ayah, ibu dan adik perempuannya. Mereka juga sangat sukakan aku. Nuh mahu mendengar persetujuan aku untuk hidup dengannya. Jika aku setuju, aku akan dibawa ke rumahnya dan tinggal bersamanya.
Entah kenapa mulut aku terkunci. Aku tak dapat bercakap langsung. Sedar sahaja, aku sudah berada di ruang tamu. Aku terbaring sambil ditemani ibu, ayah, kakak, pakcik aku dan perawat iaitu Ustaz Zainol.
Aku terus menangis. Aku seolah-olah tahu apa yang berlaku. Aku seperti terpaksa merelakan sesuatu untuk pergi.
“Teman yang dampingi kamu selama ini bukanlah dari dunia kita. Alam kita tak sama. Bila dia dah suka kamu, kamu pun dah balas cinta dia, dia mula kawal diri kamu. Lama-lama kamu lupa semuanya. Kamu tak sedar apa jadi kat sekeliling.” kata Ustaz Zainol.
Ibu memberitahu bahawa aku berubah setelah dua minggu bekerja. Mulanya ibu tak syak apa-apa sebab ibu fikir aku penat kerja. Lama kelamaan aku banyak kurung diri dalam bilik, termenung, senyum seorang diri.
Balik kerja terus masuk bilik, tak mandi, tak makan malam. Esoknya bangun pergi kerja. Kadang mandi, kadang tak. Bila ibu tegur, aku tak bercakap. Macam dalam dunia sendiri. Subuh pun aku dah mula tinggalkan.
Ibu dan ayah mula risau apabila mereka nampak keadaan aku lesu dan serabai. Leher dan lengan aku ada lebam. Kawasan lain pun ada tapi terlindung dengan pakaian. Sebab itu mereka syak aku terkena gangguan dan mencari perawat.
Memang aku terkejut. Sebab aku tak rasa aku lesu. Sepanjang masa aku rasa bertenaga dan excited nak jumpa Nuh. Jadi, selama ini aku hidup dalam dunia fantasi yang dicipta oleh Nuh. Aku rasa aku sihat sedangkan orang sekeliling nampak aku sakit.
Hari pertama aku dirawat, aku dah mula sedar yang aku bukanlah jatuh cinta. Aku seakan-akan dipukau. Aku langsung tak sedar kelakuan aneh aku.
Aku mulai takut dengan Nuh. Aku tak terfikir pun dia bukan manusia. Penampilan, cara bertutur, memang sama seperti manusia normal. Tapi paling aku rasa nak menangis dan dalam masa sama rasa nak ketawa bila teringat Nuh mengiakan ketika aku bertanya adakah dia dari department logistik. Dan, dia janji nak makan nasi goreng dekat seberang jalan dengan aku bila gaji nanti. Dah tentulah aku ingat dia manusia!
Selepas beberapa kali rawatan, aku hampir pulih. Nuh pun tak lagi datang dalam mimpi. Dan, aku berhenti kerja terus. Tak sanggup aku kembali ke situ. Bimbang ternampak kelibat Nuh. Kata Ustaz Zainol, Nuh tak akan ganggu aku lagi. Tetapi aku tetap berwaspada.
Beberapa orang kawan office datang melawat. Salah seorangnya ialah Zura. Rupanya Zura dah detect dari awal yang aku terkena gangguan. Akhirnya satu per satu Zura cerita.
Katanya kejadian pertama masa dia datang office dan aku dekat pantri. Dia dengar aku borak. Bila aku beritahu borak dengan Nuh, dia nak beritahu yang tiada staff nama Nuh dekat syarikat itu. Tetapi setiap kali dia nak cakap, dia nampak kelibat putih lintas laju. Jadi, dia takut.
Zura dan staff lain selalu nampak aku borak seorang diri. Dari keluar office hingga ke parking. Sama juga kalau datang waktu pagi. Ada yang tegur tetapi aku tidak menjawab. Aku hanya berborak berkenaan kerja.
Lagi satu, mereka perasan ke mana-mana aku berjalan pasti melekat bau wangi bunga. Padahal mereka kata aku datang office dalam keadaan serabai. Tanpa gosok tudung, tanpa make up. Muka yang dulunya ceria, dah berubah pucat seperti orang sakit. Tapi, bau aku sangat wangi.
Kata Zura, dia sangat takut bila aku bercakap dengan Nuh dekat parking. Sedangkan dia tak nampak dengan siapa aku bercakap. Memang bos pun tahu tentang kejadian pelik aku ni, cuma mereka tak tahu nak tegur macam mana.
Setelah aku habis rawatan, Ustaz Zainol minta aku jaga solat, baca Quran, baca ayat pendinding diri. Katanya memang susah kalau jin dah suka ni. Kebetulan kawasan bangunan office aku tu perkampungan ‘mereka’. Belakang tu hutan belukar.
Sekarang aku sudah berhijrah ke tempat lain. Aku pun sudah memiliki teman hidup. Nuh tak lagi muncul. Sewaktu rawatan pun aku tak mengalami histeria dirasuk seperti kebanyakan kisah seram. Cuma, aku pulihkan semula semangat yang hilang. Mungkin Ustaz Zainol sudah berunding dengannya dan dia faham tak boleh ada cinta antara dua dunia.
Maaf kalau cerita aku tak seram, tak ada hantu. Tetapi percayalah benda ini sangat menakutkan jika berlaku dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Terima kasih kerana sudi baca ya.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit