Hi warga FS sekalian. Terima kasih kepada admin FS jika sudi siarkan cerita aku. Nama aku Emma. Selama setahun lebih aku menjadi ‘silent reader’ sehinggalah mendapat anugerah ‘top fan’, baru aku terbuka hati nak kongsi cerita ini. Untuk pengetahuan semua, nama di dalam cerita ini bukan nama sebenar untuk tujuan tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak. Maaf jika kurang menyeramkan tapi bagiku pengalaman ini cukup membuat bulu romaku meremang setiap kali aku terfikir kisah ini.
Kisah ini berlaku kira-kira 10 tahun yang lalu. Waktu itu aku dalam usia cinta-cinta monyet gitu hehe. Cuti sekolah sudah bermula dan ia menjadi kewajipan untuk aku dan sepupu sepapat aku datang bertandang di rumah nenekku. Kalau semua dah berkumpul makin meriah lah rumah nenekku. Padahal cuti p*****l saja.
Nak dijadikan cerita, malam itu aku dan sepupuku, Sha berhasrat untuk mengulang kaji pelajaran. Memang menjadi kebiasaan untuk kami bersengkang mata malam-malam mengulang kaji pelajaran. Selepas kenyang menghentam dua keping ‘thosai’, kami naik ke salah sebuah bilik tidur yang terletak di tingkat atas. Rumah nenek aku ni ‘double storey’. Ada lima buah bilik, tiga di atas, dua di bawah. Bilik yang kami nak ulang kaji ni terletak bersebelahan dengan bilik mak cik aku dan bertentangan dengan tangga berserta dengan tingkap bilik yang menghadap jalan.
Lebih kurang pukul 11.30 malam, kami mula mengulang kaji pelajaran sambil borak-borak kosong. Kira-kira sejam kemudian, rumah nenekku mula terasa sunyi. Agaknya semua dah tidur lah kot. Walaupun terasa mengantuk, aku dan Sha masih tekun menghadap buku. Dalam kami sibuk belajar, aku terdengar bunyi loceng gelang kaki sayup-sayup di luar rumah. Aku beranggapan mungkin jiran sebelah lalu depan rumah nenekku dan aku tak ambil peduli nak buka tingkap bilik untuk melihat gerangan siapa yang lalu.
Selepas beberapa saat, kedengaran lagi bunyi loceng gelang kaki. Aku diam tak berkutik. Terasa suara tersekat di kerongkong. Takkan lah jiran nak berulang alik depan rumah nenekku tengah malam kot kan. Sha mula bersuara dengan suara terketar-ketar, “weh, kau dengar pape tak?”
Aku bertanya kembali, “emm, dengar apa ya?”
“Bunyi loceng gelang kaki”,bisik Sha.
“Ya.” Hanya sepatah yang aku jawab sebab aku dah rasa lain dah. Bulu roma pun dah meremang.
Kami masing-masing dah cuak dah. Kami terus menutup buku dan melompat atas katil. Bunyi tersebut tidak kedengaran lagi dan kami menarik nafas lega dengan beranggapan memang jiran yang lalu. Sangkaan kami meleset apabila kami mula mendengar bunyi loceng gelang kaki berserta dengan bunyi hentakan tapak kaki. Bunyi ni bukan dari luar lagi ya, ni dah masuk rumah siap naik tangga. Degupan jantung terasa makin laju apabila kami terasa tapak kaki tersebut menuju ke bilik kami. Berdentam-dentum bunyi tapak kaki berselang seli dengan bunyi loceng gelang kaki.
Kami mula fikir yang bukan-bukan. Nak jerit minta tolong pun ada. Dan yang paling tak masuk akal, kami terfikir nak buka pintu bilik dan lari ke bawah. Tapi memang tak lah. Nak-nak pula ada yang menjelma depan pintu bilik, masuk hospital lah gamaknya. Sha dah mula menangis kerana bunyi itu masih kedengaran di luar bilik kami. Terasa seperti seseorang berjalan mundar-mandir depan bilik kami sambil hentak kaki. Kami mula menggigil ketakutan. Aku mula pujuk sepupuku agar bersabar dan cuba berdoa walaupun ketika itu minda kami terasa kosong sebab takut yang amat. Terfikir juga kami jika entiti itu dapat melolos diri melalui pintu bilik kami, tetapi kami bernasib baik kerana selepas beberapa minit, bunyi itu tidak kedengaran lagi. Kami bersyukur kerana keseraman kami habis di situ saja.
Menjelang pagi, kami segera menuju ke bawah dan mula bertanya kepada semua samada mereka mendengar bunyi-bunyi yang pelik. Hampir kesemuanya berkata tidak mendengar sebarang bunyi. Tidur m**i agaknya. Tetapi kemudian mak cik aku yang duduk bilik sebelah kami berkata memang hampir setiap malam, bunyi itu akan kedengaran dan hanya dia yang boleh mendengar bunyi itu. Dia juga berkata dia pernah membuka pintu bilik untuk melihat siapa gerangan orang itu tetapi tidak kelihatan apa-apa yang mencurigakan dan bunyi itu juga akan hilang serta merta. Mengikut mak cik aku, kemungkinan besar itu adalah penunggu rumah tersebut, di mana ia hanya mahu menjaga rumah yang diduduki nenekku.
Itu saja kisah aku kali ini. Kalau nak tanya apa dah jadi dengan rumah tersebut, nenek aku dah berpindah ke rumah lain selepas beberapa tahun. Lagipun, rumah itu hanya rumah sewa nenekku tetapi dah lebih 10 tahun duduk sana. Terima kasih kerana sudi membaca kisahku. Ada masa lapang, akan ku cuba untuk kongsi kisah mistik lain.
Sekian.
Xla seram. Biasa je.
Apesal teruk sangat standard cerita dekat FS sekarang ni? Main tangkap muat je. Tak kisah walaupun isi macam hampeh, tulisan merapuĀ². Cerita tak seram langsung. Gambar hiasanpun guna font yang sama je. Kami nak balik admin lama please. Tolong pecatlah admin intern ke apa yang sekarang ni. Memburukkan FS je. Tak reti buat kerja!!
setuju!!
Woi kau apehal bising2??
tak suka x payah masuk sini lah..
Mujur ada yang sudi kongsi cerita. Dapat jugak aku baca.
Aku seram je citer ni.. Sib baik rumah sewa je lega sikit aku baca.. Makcik dia power