Daging Pun Sedap Bahagian 3

BAHAGIAN 3

“Kenapa kau ganggu budak-budak ni?!” tanya ustaz Shafiq. Suaranya tenang namun tegas nadanya. Ditangannya kemas memegang seutas tasbih berwarna coklat.

Pertanyaan ustaz Shafiq dibiarkan sepi. Malah Sue mengeluarkan bunyi seakan sedang menderam.

Badannya mengengsot ke kanan dan kiri seolah-olah seperti seekor singa yang sedang mempersiapkan diri untuk menerkam sang mangsa. Namun ustaz Shafiq sudahpun berada dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kau nak aku guna cara lembut ke cara kasar?” tanya ustaz Shafiq lagi. Kali ini dia memberi amaran.

“Jiah yang jemput aku masuk.. Hihihi..” hampir gugur jantung mendengar namaku dipetik. Bila masa pula aku jemput dia masuk?

“Apa maksud kau dia yang jemput?” mungkin ustaz Shafiq faham riak wajahku yang kebingungan. Dia bertanya bagi pihakku.

“Jiah dah lupa ke..? Tiap hari Jiah bagi Mimi makan daging. hihihi… Sedap..Mimi suka…”

Bergetar suara Sue saat mengucapkan perkataan ‘sedap’ itu. Seperti tengah membayangkan kelazatan daging yang dia makan.

”Mimi?!” kali ini wajahku jelas terkejut. Nama itu betul-betul dekat dihatiku.

“Jiah.” aku tersentak. “Kamu ada buang daging kat mana-mana ke? Atau mungkin kamu ada beri makan daging kat binatang?” tanya ustaz Shafiq bertalu-talu.

Aku berfikir sejenak. Baru aku teringat, setiap hari selepas magrib aku akan bagi lebihan daging mentah yang aku p****g kepada kucing liar di belakang rumah. Kucing hitam yang suka datang setiap hari.

Semuanya bermula sejak kejadian itu.

*****

LIMA HARI SEBELUM KEJADIAN

“Astaghfirullahalazim.. kerja siapa ni? Tak senonoh betul lah! Otak letak kat mana?!” bentakku sekuat hati. Mana tidaknya, masuk je dalam tandas aku ternampak segumpal d***h pekat di atas lantai.

“Dah tahu datang bulan tu, cucilah elok-elok d***h h**d sendiri. Duduk menyewa dengan orang takkan takda common sense?!” omelku sendirian sambil membersihkan sisa kotoran itu. Terpaksa! Takkan nak tunggu sampai berbau dan kering. Loya anak tekak dibuatnya.

Sedang aku gagau di bilik air, terdengar bunyi bising di halaman belakang yang berdekatan dengan tandas. Bunyi seperti ranting-ranting kayu patah dipijak sesuatu.

”Ada orang ke kat belakang?” aku pantas meninjau dari birai tabir tingkap di luar tandas. Gelap. Tiada sesiapun di situ. Ku lihat jam tangan G-shock kepunyaanku, sudahpun menjangkau pukul 7.40 malam. “Seramlah pula. Dah la waktu ni hanya aku seorang yang baru balik.”

DUM!!

Aku terpekik. Bunyi pintu yang dihempas kuat benar-benar meragut semangatku. ”Insan bertuah mana yang tutup pintu macam nak bergaduh ni?” desis hatiku. Ku urut-urut dada agar dikembalikan kekuatan.

Kemudian aku melangkah ke ruang dapur. Cuba mencari punca pintu yang dihempas kuat tadi. Namun pencarianku sia-sia. Aku sendiri tidak pasti.

”Ish. Takda ribut, takda petir, tiba-tiba pintu boleh terhempas kuat macam tu. Tak boleh jadi ni.”

Otak sudah mula memikirkan yang bukan-bukan. Aku sudah berkira-kira mahu keluar dari rumah apabila pintu dapur dibelakangku tiba-tiba terbuka perlahan.

KREEEEETTTT….

Meleret saja bunyinya. Ditambah lagi dengan kesunyian malam. Seriau! Aku pegun di situ.

Dengan perlahan aku palingkan badan ke arah pintu yang kini sudahpun terbuka sepenuhnya. Menampakkan suasana halaman belakang yang gelap dan bersemak samun. Hanya samar-samar cahaya dari lampu dapur yang menerangi.

Aku tarik nafas sedalamnya. “Mungkin angin kot. Tak pun ada yang lupa tutup pintu ni pagi tadi.” hatiku memujuk.

Orang kata, kalau kita sedang behadapan dengan masalah, cubalah berfikiran positif dan rasional. InsyaAllah dipermudahkan. Tapi kalau masalah itu melibatkan hal mistik, bagaimana pula?

Cepat-cepat ku tangkis tanggapan itu. “Takda benda la.” kataku yakin.

Mungkin kerana rasa ingin tahu yang menebal, aku langkahkan juga kaki menuju ke luar rumah. Aku berdiri di halaman belakang bersebelahan dengan pintu dan cuba meninjau keadaan sekeliling.

Rumah teres satu tingkat yang kami sewa itu mempunyai ruang halaman belakang yang luas. Namun ditimbuni dengan rumput-rumput tebal yang jarang ditebas. Masing-masing sibuk dengan peperiksaan akhir yang bakal bermula tidak lama lagi. Tiada masa untuk bergotong-royong membersihkan rumah.

Sedang aku tercari-cari, aku terperasan sesuatu dibucu pagar sebelah kiri. Ku sepetkan mata, cuba memaksimakan penglihatan.

“Apa benda tu?” tanyaku sendiri. Nampak seperti susuk tubuh sesuatu sedang duduk menegak sambil merenung ke arahku. Tapi bentuknya kecik. Macam… seekor kucing.

“Miauw…”

“Opocot mak engkau!!” aku terlompat.

Mana tidaknya, sedang leka melihat benda itu, tiba-tiba ia bergerak dan mengiau. Berlenggang ia menuju ke arahku. Bulunya hitam sehitamnya. Berderau d***h dibuatnya.

“Miauw…”

Sekali lagi ia mengiau setelah duduk dihadapanku. Ia memandang kehairanan. Comel!

Ya, aku sememangnya seorang pencinta kucing. Tak kisahlah kucing itu baka apa, aku suka semuanya. Malah pada tika itu, perasaan takutku terus menghilang melihatkan kecomelannya.

Pantas aku mencangkung dan membelainya. Bulunya halus dan baunya wangi.

“Kucing siapa agaknya ni. Mesti selalu dimandikan.” tekaku.

Kalau betul itu kucing peliharaan, apa ia buat kat sini malam-malam? Tanpa dipinta, kucing itu menggesel-geselkan badannya di kakiku seperti mahu bermanja. Hatiku tersentuh.

“Jinaknya.”

Baru aku teringat yang aku ada membeli daging mentah untuk dimasak malam itu. Lalu aku masuk ke dapur dan memotong sedikit cebisan daging untuk diberikan kepada kucing hitam tadi.

Dari ekor mata, ku lihat kucing itu hanya duduk memerhatikan tingkahku dan sabar menanti seolah-olah tahu aku ingin memberinya makan. Aku tersenyum.

Selesai memotong, aku letakkan isi daging itu didalam mangkuk plastik dan segera berpaling.

PRANG! PANG! PANG!

Mangkuk ditangan jatuh melantun. Bertaburan isi-isi daging yang aku p****g tadi. Ya Allah aku benar-benar terkejut. Semasa berpaling aku lihat dengan jelas wajah kucing hitam tadi berubah menjadi wajah seorang wanita. Pucat mukanya dengan mata yang terbeliak memandangku.

Cepat-cepat aku berishtighfar. Namun bila aku toleh semula ke arah kucing itu, bayangan wajah tadi sudahpun hilang. Berkhayalkah aku? Kucing itu pula langsung tidak terkesan dengan keadaan itu dan matanya tertumpu ke arah daging yang berada di lantai.

Selalunya naluri seekor kucing akan segera meluru ke arah makanan tapi lain pula dengan kucing seekor ini. Mungkin benarlah ia jinak dan terlatih. Mungkin tuannya mengajar agar makan hanya apabila diberi.

Malas berfikir bukan-bukan, aku mengutip semula cebisan-cebisan daging tadi dan memasukkannya semula ke dalam mangkuk. Kemudian, aku menapak keluar dan meletakkannya di atas lantai. Lahap sekali ia meratah isi daging itu.

Seketika kemudian, aku kalihkan pandanganku ke arah tempat kucing itu muncul tadi. Ku lihat dipenjuru pagar. Kelihatan seperti longgokan tanah yang baru dikorek.

“Mungkin kerja kucing tu kut.” aku membuat teori.

Sedang aku leka melayan kucing itu, telingaku menangkap bunyi pintu bilik seperti dibuka. “Ada yang dah balik ke?” tanyaku pelik. Tapi tidak pula kedengaran pintu geriji rumah dibuka.

Aku segera melangkah masuk ke dalam untuk memastikan.

“Eh Jiah!” Aku terperanjat. Sue yang berdiri di depan pintu biliknya turut sama terkejut.

“Ya Rabbi Sue.. Kau dah balik dari tadi ke? Senyap je, kau buat apa?” tanganku sudah ralat mengusap-usap dada yang sesak. Boleh kena sakit jantung macam ni.

“S..sorry. Aku tidur kat dalam bilik. Aku tak sihat, sakit perut..”

“Kau period eh?”

“Err..a ah.”

“Okay tak ni? Pucat je muka kau. Nak aku hantar kau pergi klinik?”

“Eh takyah. Aku nak minum air je.” Sue menolak.

Apabila Sue ingin melangkah menuju ke dapur, dia terhenti. Aku jadi pelik.

“Kenapa?” tanyaku.

“A..apa tu?” Sue balas dengan pertanyaan sambil pandangannya mengarah ke arah kucing hitam tadi. Riaknya jelas takut.

“Tu? Kucing tu ke?” tanyaku lagi. Tapi aku faham kenapa dia bereaksi seperti itu. Aku tahu Sue tidak suka pada kucing.

“Hmm.. Aku masuk bilik dulu la. Selamat malam.”

“Eh, Sue! kata nak minum.”

Namun Sue tidak menghiraukan panggilanku dan laju berlalu ke dalam bilik.

“Mungkin sakit benar agaknya.” fikirku. Aku terus saja kembali ke arah kucing tadi. Ia masih setia menunggu. Ku usap-usap kepalanya dan setelah itu dengan sendirinya ia mengundurkan diri dan hilang dalam kepekatan malam.

Sejak dari itu, ia akan datang setiap kali selepas magrib dan menunggu di depan pintu. Aku turut memberikannya nama. Mimi. Aku suka nama tu.

Mimi tidak pernah cuba masuk ke dalam rumah walaupun pintu rumah terbuka. Malah aku sendiri tidak pernah menjemputnya masuk ke dalam kerana tahu ada yang tidak suka pada kucing. Biasalah, apabila duduk menyewa beramai-ramai, haruslah ada sikap bertimbangrasa.

Tapi entah mengapa, malam ini aku tergerak hati untuk ‘menjemput’ Mimi masuk ke dalam rumah. Mungkin kerana aku berasa bosan dan sunyi duduk seorang diri.

Memang kebiasaannya, akulah orang pertama yang akan sampai ke rumah kerana aku malas menelaah di perpustakaan. Adakah Mimi aku yang makhluk itu maksudkan? Jikalau benar, maknanya kucing yang selama lima hari aku peluk dan belai itu adalah jelmaan syaitan?!

Ya Allah, berderau seluruh tubuhku.

Bersambung…

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Jenja

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 5]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.