#Dammerung- Kuala Lumpur, Kuala Lumpur

Sekitar tahun 2009-2010, aku pernah aktif dalam forum antarabangsa yang fokus membincangkan hal-hal teori konspirasi. Masa itu aku tengah dalam musim berminat dengan illuminati, new world order, freemason, rothschild/rockefeller, bohemian grove dan sebagainya. Penglibatan aku lebih kepada jadi silent reader dan ada masa aku reply secara sporadik kalau ada post atau reply melibatkan Malaysia. Beberapa bulan aku melepak kat situ, aku berkenalan dengan seorang forumer menggunakan handler ‘mike_awang’. Aku balas postnya kerana dia orang Malaysia dan bukan senang nak jumpa orang Malaysia dalam forum tersebut. Setelah bertukar-tukar pendapat, dia menceritakan satu pengalaman yang takkan dilupakan sampai bila-bila yang juga antara sebab kenapa dia mendaftar di forum tersebut.

Kisah ini merupakan ekstrak dari teks perbualan aku dan Mike pada bulan Oktober 2010.

Mike berusia 25 tahun ketika kejadian terjadi dan bekerja sebagai technical support untuk sebuah syarikat IT di ibukota. Seperti kebanyakkan pekerja-pekerja lain dalam industri ini, Mike jenis tak pernah tengok matahari, keluar rumah waktu subuh dan malam-malam buta baru balik. Hujung minggu pula dihabiskan dengan melepak di rumah kerana tidak mempunyai kehidupan sosial mahupun rakan-rakan, kiranya lone ranger lah si Mike ni.

Dia menyewa bilik di Bangsar dan menaiki motorsikal ke ofis terletak di Midvalley. Tuntutan kerja membuatkan dia terpaksa masuk kerja seawal pukul 5 pagi kerana masuk kerja ikut waktu negara klien. Walaupun atas kertas dia bekerja 8 jam sehari tetapi disebabkan komplikasi tugasan yang diterima, Mike sering bekerja sehingga 12-15 jam sehari. Dia pun tak kisah sebab nak balik rumah cepat-cepat pun bukannya ada apa.

Hari kejadian ialah Ahad, raya ketiga Aidilfitri 2007. Orang lain syok berhari raya bersama famili, dia hari raya kedua dah kena kerja. Ofis takdalah ramai Melayu tapi yang peliknya Cina pun bantai cuti raya panjang juga. Disebabkan Mike tak sampai setahun bekerja dan juga masih bujang, terpaksalah dia jadi korban kena kerja waktu hari raya.

Selain dari orang sales di tingkat atas, ofis boleh dikatakan kosong, jadi kerja pun tak banyak mana lah. Pukul 4:30 dia dah cabut balik. Bukan senang nak dapat peluang macam itu jadi Mike menggunakan masa dengan bersiar-siar dengan motorsikal EX5 nya.

Dari Midvalley dia menuju ke Subang, kemudian ke Shah Alam. Patah balik masuk KL putar-putar kawasan Bukit Tunku dan Taman Tasik Perdana. Mike tiba di kawasan stesen KL sekitar waktu senja dan rintik-rintik hujan semakin deras sebaik dia berada di bulatan stesen keretapi KL.

Ketika menanti hujan reda di bawah flyover, Mike melihat facade stesen keretapi KL. Dia yang mengagumi senibina bangunan lama amat menyukai stesen tersebut dan menganggap bangunan itu beserta ‘adiknya’ iaitu ibupejabat KTMB, terletak bertentangan sebagai struktur paling cantik di KL, malah lebih cantik dari bangunan Sultan Abdul Samad.

Sedang asyik cuba meneliti kehalusan rekabentuk Indo-Saracenic Revival, Mike terpandang papan tanda ‘Heritage Hotel’ di salah satu tiang stesen. Dia dah lama tahu kewujudan Hotel Heritage dan memang menyimpan hasrat untuk melihat seni dalaman bangunan hasil rekaan mendiang Arthur Benison Hubback cuma niat itu tenggelam timbul di sebalik kesibukan kerja.

Inilah masa paling sesuai untuk mencapai hasrat tersebut dan tanpa bertangguh-tangguh lagi, Mike meredah hujan memasuki perkarangan stesen. Dua pintu dipisahkan peti surat merah klasik menyambut kedatangannya. Dia menuju ke lobi dan seorang wanita tua sibuk congcengcongceng di telefon tak menghirau kehadiran Mike yang basah kuyup.

“Bilik apa mau?” tanya wanita itu pada Mike sambil menutup corong telefon.

“Apa bilik ada?” pertanyaan tidak dijawab wanita itu seraya menolak sekeping lanyard berwarna-warni ke arahnya.

Sayu Mike melihatnya, pilihan bilik untuk hotel klasik seperti itu hanya dipaparkan seperti menu kedai makan tepi jalan. Sebuah bilik dimana pemandangan tingkap merangkumi dua lagi bangunan bersejarah iaitu bangunan Sultan Sulaiman (sekarang jadi KLRCA) dan juga ibupejabat KTMB menjadi pilihan.

Sementara menunggu urusan penginapan, Mike mundar-mandir depan lobi. Sepertimana perasaannya ketika mendaftar bilik, begitu jugalah perasaannya tatkala melihat keadaan hotel tidak terjaga. Dinding putih berlumut dengan siling-siling berlubang ditambah pula dengan gerbang-gerbang berciri Art Deco disulami pengaruh Mughal yang sudah terkopek akibat kurang penyelengaraan.

“Bang! Bang!” Mike dipanggil seorang lelaki dari kafetaria yang boleh dikatakan hidup segan m**i tak mahu.

“Makan dulu la bang” Jemput lelaki muda pertengahan 30an dengan senyuman tak putus-putus. Juadah mee goreng dan bihun goreng disediakan secara buffet tidak menyelerakan langsung tapi harga 1 ringgit sepiring di tambah pula milo ais cuma 50sen, kena pula tengah lapar masa itu, Mike tak fikir panjang dan terus melantak.

Selain dia ada 4 lelaki duduk di meja terletak hujung kafe. Ada masa dia ditenung oleh empat lelaki itu sehingga timbul rasa tak selesa.

Setelah check-in dengan membayar sekitar 100 ringgit dia naik tangga yang mengingatkannya pada Grand Staircase dalam filem Harry Potter untuk ke bilik hotel. Keadaan bilik, Mike pernah menginap bilik hotel yang jauh lebih bagus dengan kadar lebih murah. Tak mengapalah, satu malam sahaja kata Mike dalam hati. T-shirt polo company dan jeans digantung dalam bilik air selepas mandi dengan harapan akan kering pagi besok.

Dengan hanya berseluar dalam, Mike terus tertidur sebaik baring atas katil.

Mike dikejutkan oleh bunyi bingit seperti hon yang amat kuat. Cahaya terang disebalik langsir menandakan dia dah terlambat pergi kerja. Tengah kelam-kabut itulah handphone pula entah mana perginya. Cari punya cari tak jumpa padahal dia yakin letak atas meja. Nak kata bilik kena pecah masuk, siapa pula nak curi handphone NOKIA 3310?

Sementara tengah fikir mana perginya handphone, dia menuju ke bilik air. Nak tarik flush, tak jumpa penariknya.

Mungkin masih mamai, Mike gosok-gosok mata. Terkejut apabila melihat jamban bilik yang dah bertukar rupa. Mata menyorot tiang besi yang bercantum dengan bekas tadahan air terlekat di dinding dekat siling. Seutas tali gangsa dengan pemegang diperbuat dari marmar tergantung di sebelah.

Teragak-agak dia menarik tali tersebut ke bawah. Gila, fikir Mike. Kali terakhir dia lihat jamban sedemikian waktu masih kecil di kampung lewat 80an dulu.

Berputar-putar kepala melihat sekitar ruang bilik air sampai berkali-kali keluar masuk.

β€œPelik. Aku salah masuk bilik ke ape?” kata Mike sendirian.

Lantai dan dinding marmar dah berganti dengan dinding simen dan lantai tiles kecil-kecil warna hitam putih. Kepala paip perak bertukar jadi gangsa dengan tombol pemutar besar. Jamban pula siap ada tali flush yang bersambung dengan kotak takung air terletak tinggi kat atas. Paling tak boleh blah, di sudut bilik air sebelah shower head ada tong gas besar gedabak.

Kemeja putih dan seluar tergantung di dawai ampaian bilik air dan bukannya t-shirt polo merah dan seluar jeans. Dari mana pula datangnya kemeja putih dan seluar slack hitam ni? Baju dan seluar siapa? Dia berundur lalu terlanggar apa sepatutnya ialah kasut boot jenama Weinbrenner.

Sepasang kasut kulit oxford hitam terletak kemas di sebelah almari betul-betul tempat dia letak kasut bootnya malam tadi. Mike terbaring, kepala pening berdenyut-denyut. Dia mengurut-ngurut dahi. Apa benda yang aku dah makan malam tadi niiiiii?

Tengah terbaring atas lantai baru sedar yang jangan kata TV, aircond pun dah hilang. Di siling kipas bilah besi berputar perlahan. Puas dia cuba ingat betul ke ini bilik yang dia masuk malam tadi? Penat sangat agaknya sampai tak teringat kot, kata Mike dalam hati.

Nafas ditarik dalam-dalam dan dia pergi ke laci. Kalau wallet dia pun hilang tak tahulah nak kata apa. Masa itu dia baru perasan helmet atas meja pun dah hilang, tapi tak mengapa, relax dulu kerana apa-apa pun wallet…

Laci ditarik dan lega hati melihat dompet hitam dalam ruang laci kosong. Baru nak lega, panik datang menyerang. Dompet hitam? Sejak bila pula dompet dia warna hitam? Dari zaman universiti, dompet dia cuma ada satu je, wallet nylon Ocean Pacific warna biru putih yang ada velcro tu.

Terjelepuk jatuh di tirai laci. Okay, okay bertenang, bertenang. Mike pejam mata serapat-rapat dua tiga kali, bermimpi agaknya takpun mungkin masih mamai lagi. Dia cuba tak menghiraukan kepelikan yang berlaku dan berharap semua akan okey lepas mandi. Atas sinki tersiap berus gigi, Colgate, sikat dan juga Brylcreem dalam bentuk tiub.

Mike mandi pagi itu pakai air sejuk sebab tak tahu macam mana nak hidupkan water heater. Ketika dia menyarung pakaian barunya, pelik juga apabila baju, seluar dan kasut semua muat macam betul-betul ikut saiz dia. Ambil wallet dalam laci dan terus menuju ke pintu bilik.

Dia capai kunci bilik tergantung di dinding dan terkejut tengok kunci tembaga besar macam kunci antik, rasanya malam tadi dia masuk pakai access card, tapi tak apa, semua keanehan akan terungkai bila dia bersemuka dengan pengurusan hotel sebentar lagi. Suara orang berborak dalam bahasa Inggeris kedengaran di luar. Dalam fikirannya itu mesti backpacker-backpacker mat salleh yang menginap di situ juga.

Buka pintu, benda pertama yang dilihat adalah ramai sangat mat salleh di luar. Bukan malam tadi lengang nak mampus ke? Lagi aneh, semua smart bukan main dengan kemeja, seluar slack dan kasut kulit. Wanita pula pakai sundress siap bertopi bagai. Dalam ramai-ramai itu tiada satu pun orang tempatan, jangan kata Melayu, Cina dan India pun tak nampak, semua orang putih.

Mike turun ke lobi yang tiba-tiba dah bertukar rupa. Kalau malam tadi sendu macam kantin kilang, tapi pagi ini macam kafe di negara orang putih pula siap ada pelayan India beruniform kolonial dan misai lentik, sedia menerima arahan.

Belum sempat dia nak proses apa yang sedang dilihat, seorang lelaki melayu berumur menegurnya.

“Tuan, drebar sudah shiap tunggu diluar” Kata lelaki itu dengan mata terkulat-kulat. Mike malas nak fikir panjang dan terus menuju ke luar hotel. Sebaik diluar, Mike terpaksa tampar dan cubit diri berkali-kali untuk memastikan yang dia tak bermimpi.

Dihadapannya, KL kelihatan…kosong.

Laluan pejalan kaki, kawasan parking kenderaan, pagar, tiang lampu pendek kata semua yang kita biasa lihat di Jalan Tunku Hisamuddin tu tak ada.

Lapang selapang-lapangnya.

Apa yang dia masih ingat, selain dari bangunan KTMB di depan, terdapat deretan pokok pinang memisahkan jalan dua hala dan banyak basikal lalu-lalang. Beberapa kereta klasik lampu bulat yang macam kita tengok dalam filem-filem P.Ramlee muncul setiap 1-2 minit.

Paling mengejutkan, flyover dari Jalan Loke Yew menuju ke Dataran Merdeka tu pun dah hilang. Yang ada cuma bulatan stesen keretapi tapi tampak lebih lebar.

Bunyi hon dari stesen keretapi memecah ketenangan kemudian disusuli deruman dan desisan dari apa dirasanya adalah keretapi. Sepanjang dia hidup, itulah pertama kali dia dengar keretapi menjerit dengan kuat, biasanya komuter atau LRT, walau enjin diesel sekalipun tak kuat macam itu bunyinya.

Sebuah Mercedes klasik berwarna putih berhenti di depan dan pemandu teksi memanggil-manggil dari dalam. Mike berjalan menuju ke arah kereta dan derapan setiap tapak yang diambil membuatkan dia melihat ke bawah. Turapan tar telah berganti dengan batu-batu kerikil yang memenuhi kawasan stesen. Sempat juga dia melihat ke arah tempat dimana dia parkir motornya yang kini telah jadi kawasan lapang. Pagar sebelah dia parkir motor diganti dengan tiang-tiang batu pendek yang hanya dihubungkan dengan tali kapal.

Pintu belakang kereta dibuka dan Mike masuk ke dalam.

“Selamat pagi tuannn” Lelaki Melayu sebaya bapanya menyambut Mike.

“Errr…selamat pagi pakcik” Jawab Mike teragak-agak. Pemandu itu tergelak.

“Boleh panggil saya Sudin saja tuan” Kata pemandu dengan mesra.

“Sudin..hari ini hari apa?” Tanya Mike. Dengan kejadian surreal yang sedang dialami ketika itu, dia dah tak pasti hari itu hari apa.

“Hari Rabu tuan”

“Berapa haribulan?”

Sudin mengambil surat khabar di tempat duduk penumpang hadapan dan memeriksa tarikh yang tertera.

“15 Julai”

“Julai?” Mike kehairanan. Bukan sekarang bulan Oktober ke?

“Ye tuan, 15 Julai 1964” Kata Sudin.

“Hah? Cuba ulang sekali lagi?”

“Lima belas Julai Saribu Sambilan Ratus Enam Puluh Ampat”

Mike tersandar.

Masa itu dia fikir macam kena Punk’d oleh, tak tahu siapa. Mungkin jadi mangsa rakaman rancangan baru prank yang waktu itu tengah hangat dengan DJ-DJ radio buat panggilan prank jadi tak mustahil benda mengarut itu dah melarat jadi siri TV pula. Macam-macam lah dalam kepala otaknya.

“Tuan?” pertanyaan Sudin mengejut Mike dari lamunan.

“Kenape Sudin?”

“Saye tanya tuan banyak kali tadi, tuan mau kemanaa?”

“Oh..okey, bawa saya ke Bangsar” Mike hanya terfikir mahu pulang ke rumah sahaja saat itu.

“Baik Tuan” Kereta memasuki jalan raya. Di kala meninggalkan stesen keretapi, sempat dia melihat papan tanda putih di kaki jalan tertera nama ‘Victory Avenue’.

Mercedes mengelilingi bulatan kecil dan matanya terpaku pada tugu batu di tengah bulatan tersebut. Kelihatan sangat familiar tapi tak dapat ingat dari mana dia pernah tengok tugu itu. Mereka melewati semula bangunan ibu pejabat kereta api Persekutuan Malaysia. Persekitaran kawasan itu dipenuhi dengan pohon-pohon rendang dengan pokok-pokok renek terjaga kemas memenuhi bahu-bahu jalan dan laluan pejalan kaki. Dia tergamam melihat keindahan landskap yang boleh dikatakan hampir pupus di KL sekarang.

Sebuah lagi bulatan terdapat di hujung jalan. Pokok Jati yang mungkin baru berumur beberapa tahun tertanam di tengah bulatan dan kalau ikut apa yang boleh diingat, sepatutnya ada lampu trafik di kawasan bulatan tersebut. Bangunan putih dengan papan tanda ‘Government Printing Office’ tersergam depan bulatan dan Sudin keliling bulatan dan keluar ke simpang ketiga. Mike melihat ramai orang terbongkok-bongkok badan menoreh batang-batang pokok di sepanjang estet getah merangkumi kedua-dua belah jalan.

Sudin memacu Mercedesnya memasuki perkarangan kompleks bangunan terletak di atas bukit dan berhenti di bawah gerbang apa kelihatan seperti pintu masuk utama.

“Eh Sudin kita kat mana ni?” tanya Mike terpinga-pinga.

“Tadi Tuan bilang mau ke hospital”

“Hospital?” Mike semakin keliru. Dia yakin cakap ‘Bangsar’ tadi, mana pula datangnya hospital?

“Sudin, tadi saya cakap pergi Bangsar kan?”

“Iya Tuan, ini kita sudah sampai?”

“Kita kat mana ni?”

“Hospital lah tuan mana lagi” suara Sudin agak tinggi. Mungkin dia bengang dengan pertanyaan dan ketidakpastian Mike tentang hala tujuannya. Menyedari nada marah dalam suara Sudin lagilah Mike naik angin.

“Sudin. Ko dah nyanyuk ke? Bangsar dengan hospital sama ke bunyinya?” Perli Mike membuatkan Sudin sentap sampai berputar badan pakcik itu ke belakang.

“Tuan, kita sekarang di estet Bunge-Grisar. Orang mau datang sini sebab mau menoreh getah, atau ke hospital orang putih ini atau tuan mau ke Malayan Film Unit di hujung jalan sana?”

Termangu Mike dengar penjelasan Sudin. Jururawat berketurunan Cina seperti menunggu di pintu masuk sambil melihat ke arah Mike.

“Tuan?” Tanya Sudin meminta kepastian.

“Tak apalah Sudin, tolong bawa saya ke Kuala Lumpur semula”.

Sudin melambai tangan ke arah jururawat dan berlalu meninggalkan perkarangan hospital. Mereka menyusuri jalan berturap yang diapit pokok-pokok getah tertanam secara sistematik sebaris demi sebaris. Penoreh-penoreh berketurunan India berselerakan sibuk mengeluarkan susu getah untuk dijadikan getah sekerap.

Waktu ini otak Mike sudah tak mampu nak memproses rasional dan logikaliti situasi yang sedang dihadapinya.

“Kemana tuan?” tanya Sudin.

Mike tidak menjawab dan hanya melihat lelaki mungkin sebaya ayahnya yang sedang memandu itu. Dia mula sedar akan sesuatu.

“Sudin?”

“Iya tuan?”

“Siapa suruh ambil saya di stesyen tadi?”

“Itu tuan mandur di ofis besar” Jawapan Sudin memberi idea kepada Mike. Jika ‘Tuan Mandur’ boleh menyediakan kenderaan kepadanya bermakna orang yang mengarahkan Sudin ini pasti ada jawapan tentang dunia surreal ini. Mike menerpa ke ruangan antara tempat duduk hadapan.

“Sudin. Bawa saya ke ofis besar”

“Baik Tuan” Sudin meningkat kelajuan Mercedes merentasi estet getah menuju ke ibukota.

Deretan kedai Cina di sepanjang jalan mengingatkannya pada kampung halaman di Muar. Kereta-kereta klasik berlampu bulat banyak di jalanan. Wanita-wanita berkebaya dengan stail rambut tebuan mundar-mandir di laluan kaki lima depan deretan kedai, macam dalam filem P.Ramlee, Masam Masam Manis.

Mike masih tak dapat menerima yang dia dah kembali ke tahun 1964 kerana secara teknikalnya ia adalah mustahil jadi satu-satu penjelasan logik yang boleh difikirkan adalah semua ini satu gurauan berskala besar. Dia menunggu krew TV berlari ke arahnya dengan mengatakan dia telah di prank dengan menunjuk ke arah kamera-kamera tersembunyi sambil ketawa besar. Apa-apa pun siapa yang bertanggungjawab cepat lah menunjukkan diri kerana dia dah nak menangis dah ni.

Hari semakin tinggi dan bahang tengahari membuatkan baju putih yang dipakainya basah kuyup.

“Ohh ini motokar belum pasang karen ais Tuan” Kata Sudin apabila Mike minta dihidupkan penghawa dingin, malah untuk menerangkan tentang aircond pun dekat 10 minit.

Apa yang mampu dibuat adalah memutar engkol tingkap untuk membenarkan angin masuk. Kipas angin mini di dashboard hanya menghembus bahang.

Kalau benarlah dia kembali ke tahun 1964 di Kuala Lumpur, keadaan ibukota pada zaman 60an seperti pekan-pekan kecil yang biasa kita lihat di Malaysia dengan deretan kedai kaki lima tepi jalan. Sampah-sarap yang biasa kita lihat di sepanjang jalan tak wujud pada zaman itu, mungkin kerana plastik dan polisterin masih belum tercipta.

Anggota polis trafik berseluar pendek khaki dan bertopi pula berdiri dalam kandang bulat tengah simpang mengawal trafik dengan tiupan wisel. Mike masih ingat kegigihan anggota polis memberi isyarat trafik dengan baju uniform basah kuyup di tengah panas buta.

Kereta meninggalkan kesibukan kota dan kembali melalui jalan sunyi. Kalau tadi kesunyian disebabkan berada dalam estet ladang getah tapi kini memang betul-betul dalam hutan.

Sudin mengemudi Mercedes memasuki satu simpang menaiki bukit. Rumah-rumah banglo kelihatan jarang-jarang di antara hutan-hutan tepi jalan. Mereka memasuki perkarangan sebuah rumah banglo dua tingkat. Tingkat bawah diperbuat dari batu dan tingkat atas pakai papan. Rumah tersebut di cat warna putih dan warna biru di cat secara minimalis di tiang-tiang, bingkai tingkap dan juga tulang bumbung.

Terdapat pagar dawai mengelilingi kawasan rumah banglo itu dan di pintu pagar terdapat satu simbol seolah dua V terbalik atas dan bawah.

Sudin berhenti depan tangga batu depan rumah untuk menurunkan Mike sebelum memandu Mercedes masuk ke garaj terletak di sebelah banglo. Kedatangan Mike disambut seorang lelaki Melayu muda yang tak habis-habis tersenyum melihatnya.

“Selamat datang Encik Mikael Hafstrom (bukan nama sebenar)” terpinga-pinga Mike apabila nama penuhnya disebut lelaki itu. Tanpa mengenalkan diri lelaki itu memegang bahu Mike dan membawa masuk ke dalam.

“Encik Mikael mesti laparkan?” tanya lelaki misteri lagi.

“Ahh ye ye” masa itu jugalah terasa perut kosong. Kata Mike seluar dah ketat gila masa itu sebab perut kembung masuk angin.

Ruang tamu yang luas dihias ringkas dengan beberapa perabot rotan dan kayu. Sebuah meja bulat dengan terhidang lauk dan nasi amat-amat menyelerakan.

Seorang wanita Melayu berpakaian kebaya mempersilakan Mike duduk siap nasi disendukkan.

“Encik mau air puteh atau Stout?” Mike masih ingat pertanyaan lelaki itu. Belum sempat dia nak bertanya, itu dia, sebotol Guinness Stout besar gedabak di letak atas meja. Buih sampai tumpah keluar bila di tuang ke dalam gelas tinggi.

“Air putih je. Takpe hehe” kata Mike malu-malu.

“Masih awal buat encik ya?” tanya lelaki itu sambil ketawa. Bir dari gelas diteguk sehingga tinggal separuh.

Mike tak kira dah masa itu. Tahun 1964 ke, 1994 ke 2004 ke yang penting dia dah kebulur dan melahap tak ingat dunia punya.

Lelaki yang masih tak diketahui nama itu tidak menyertai Mike, cuma giat hisap rokok sambil tonggang bir.

Selesai makan, Mike di persila beristirehat. Sekotak rokok berjenama Diplomat di hulur ke arah Mike. Tanpa segan-silu di ambil sebatang dan dinyalakan oleh lelaki tersebut.

“Hari ini ramai ke rumah Tunku mahu lihat Bob Kennedy. Tinggal saya sama Aton sahaja”

Mike angguk sahajalah. Dia masih tak tahu nak kata apa.

“Macam mana Encik Mikael? Suka dengan tahun 1964?” Mike terbatuk-batuk sampai tercampak rokok mendengar kata-kata lelaki di hadapannya.

“Okay. Hari ini saye tak tahu apa yang dah jadi dan saya berhak tahu” kata Mike serius.

“Atooooonnn” wanita muda yang menghidang makanan tadi datang ke ruang tamu membawa fail berwarna hitam.

“Encik Mikael. Saye akan bertanya beberapa soalan dan encik cuma perlu jawab ya atau tak sahaja”

Soalan tiu bukannya ‘beberapa’ tapi ‘beberapa ratus’. Banyak gila sampai tak teringat butirannya. Antara soalan yang dia masih ingat adalah;

“Adakah encik rasa sedang bermimpi?”

“Adakah persekitaran terasa nyata?”

“Adakah encik datang dari masa depan?”

Lelaki itu mencatat sesuatu setiap kali Mike memberikan jawapan. Ada masa Mike bengang juga sampai tanya “Banyak lagi ke encik?” tapi tak dijawab, cuma tersenyum sahaja. Mengenangkan dia pun tak tahu dimana, baiklah dia sabar sahaja.

Lebih kurang tiga jam kemudian, fail tersebut ditutup dan lelaki itu bertanya sekiranya Mike ada apa-apa pertanyaan.

“Ye. Saye nak balik” kata Mike.

“Takda siapa halang encik mahu pulang” kata lelaki itu sambil ketawa tak habis-habis. Tak tahulah apa benda yang kelakar sangat.

“Saye tak nak cakap banyaklah. Saye nak balik dan awak tahu apa saye maksudkan” ketegasan kata-kata Mike menghentikan ketawa lelaki itu.

“Kami akan pulangkan encik sebaik encik kembali ke hotel dan tidur. Bangun tidur besok encik akan kembali”

Mike tak nak tanya lebih-lebih walaupun dalam kepala pelbagai soalan mahu dilontarkan tapi dia tak nak ambil risiko. Ini dibagi ‘pulang’ pun dah cukup bagus.

“Sudin akan jadi drebar untuk satu hari ni. Bila encik dah puas, boleh minta Sudin hantar pulang”

Lelaki itu kemudiannya membongkok seperti mahu memberitahu rahsia kepada Mike.

“Saye nasihatkan encik gunalah peluang berada di dunia ini sebaik-baiknya, bukan semua beruntung macam encik”

Lelaki itu berdiri seolah menyatakan bahawa ‘sesi’ mereka sudah tamat. Mike diiring ke luar rumah dimana Sudin dah siap menunggu.

Sebelum beransur, lelaki itu pegang bahu Mike dan mengulang nasihat supaya menggunakan ‘peluang’ sebaik-baiknya. Mike kata dia siap gurau cakap “Saye takde uang encik”

“Betul ke?” kata lelaki itu sambil tersenyum sinis.

Mereka bersalaman dan Mike masuk ke dalam perut Mercedes. Dia meraba kocek belakang dan mengeluarkan dompet hitam. Bila dah pegang baru perasan dompet tebal semacam. Buka je, berkepuk wang kertas tertera “Sa-ribu Ringgit”.

“Kemana kita Encik?” tanya Sudin.

“Sudin. Bawa saya ke tempat paling bagus di sini” kata Mike sambil mengenggam dompet. Dia tersenyum sendirian.

“Kau pernah tengok pokok kelapa kat tengah KL?” tanya Mike pada aku.

Aku balas dengan huruf ‘x’.

“Aku pun tapi masa Sudin bawak pergi tempat alah ni, banyak gile pokok kelapa”

Tempat yang dimaksudkan Mike ialah Bukit Bintang. Dia teruja dan terasa lucu melihat Bukit Bintang asalnya kawasan perkampungan dipenuhi pokok kelapa. Mereka masuk ke pekan Bukit Bintang, iya ‘pekan Bukit Bintang’ dimana terdapat deretan rumah kedai Cina di sepanjang simpang empat. Dari apa yang dilihat, Bukit Bintang dah jadi tempat berjimba sejak zaman dulu lagi.

Dalam pekan kecil itu ada dua pawagam, Cathay dan Majestic manakala bar dan pub memenuhi deretan kedai. Dari hematnya, Bukit Bintang memang jelas dimiliki kaum Cina kerana apa yang dia dapat lihat diluar tingkap kereta, kalau tak orang Cina mesti premis perniagaan milik Cina.

“Mana pergi orang Melayu Sudin?” tanya Mike apabila dia mula merasakan macam dah dekat Hong Kong dengan papan tanda bertulisan Cina berjejeran di dinding dan tiang deretan kedai.

“Orang Melayu tak ramai datang sini tuan” jawab Sudin.

Sudin berhenti depan sebuah kedai dan berlari ke arah pintu belakang untuk membukakan pintu untuk Mike. Sebaik dia berdiri, sekumpulan wanita Cina seksi bermekap dan berambut tebal menyambutnya.

“Mari tuan, mari tuan” kata amoi-amoi mulus itu.

β€œWhatever happens in 1964, stays in 1964” kata Mike dalam hati. Lagipun dia sendiri tak yakin yang semua ini ada realiti. Jadi apa salahnya berfoya-foya, besok dia dah ‘balik’ ke dunia sebenar!

Ada empat amoi yang dirasakan mungkin generasi pertama GRO. Pelik juga baru pukul 5 petang dah mula kerja, bukan GRO kerja malam ke? Anyway, lantak lah. Dalam kehidupan sebenar, Mike tak pernah merasa pun nak ada girlfriend, apatah lagi dibelai oleh gadis-gadis seksi. Empat orang pula tu.

Mula-mula semua cakap broken Malay dengan pelat Cina tebal. Tapi bila Mike mula berbicara dalam bahasa Inggeris, makin rancaklah mereka melayan Mike. Lagi-lagi bila dia mengeluarkan nota seribu ringgit, apa nak menjerit semua. Kata Sudin yang turut serta mengelus amoi-amoi, harga Mercedes tuannya yang dibawa itu sekitar 5 ribu ringgit jadi bayangkanlah betapa besarnya nilai seribu ringgit pada tahun 1964.

Kali ini dengan mamasan pun keluar sekali melayan Mike dan Sudin. Itulah kali pertama dia teguk segala jenis alkohol. Dari bir, ke vodka, whisky dan bermacam-macam lagi sampai termuntah-muntah. Sudin memberitahunya, dia mungkin orang pertama dalam Kuala Lumpur yang berjaya memulakan parti bogel seawal pukul 6 petang.

Lebih kurang waktu senja, Sudin memapah Mike yang dah mabuk kepayang keluar dari pub. Mike dibaringkan ke tempat duduk belakang.

“Tuan, tuan” panggil Sudin kepada Mike antara sedar tak sedar.

“Jangan tidur dulu, ada lagi tempat kita mau pergi” kata Sudin dengan penuh teruja. Iyalah, ada orang sponsor berjimba, mau dia tak happy.

Mike paksa dirinya bangun. Kepala terasa berat macam nak demam. Apa-apapun betul kata Sudin. Dia kena menggunakan peluang ini sebaik-baiknya. Terasa menyesal pula pergi all-out sebentar tadi. Tapi tak mengapa, dia masih ada kudrat.

Sudin berhenti di sebuah kedai kopi Cina berdekatan dan memesan kopi hitam pekat campur telur ayam. Kata Sudin ‘ini obat mujarab untuk hilang mabok’. Nak enjoy punya pasal, Mike ikut teguk one-shot secawan kopi dan terus pecahkan telur terus ke dalam mulut. Dia tak pasti samada betul-betul berkesan atau cuma placebo effect, adalah rasa okay sikit lepas itu.

Kuala Lumpur masih belum mencapai taraf bandaraya pada era 60an dan boleh dilihat apabila matahari mula terbenam. Lampu-lampu jalan menerangi jalan yang lengang. Bangunan-bangunan pejabat gelap dan kedai-kedai Cina mula merapatkan pintu besi masing-masing.

Satu-satu tempat di KL yang terang-benderang waktu itu ialah Bukit Bintang. Mereka singgah di salah satu premis yang pada mulanya diingatkan restoran. Secara teknikalnya memang restoran tapi bila jam menunjukkan pukul 9 malam, ia bertukar jadi kelab malam.

Walaupun Mike tak pernah masuk disko/club tapi dia tahulah macam mana keadaan dalam club. Tapi nightlife tahun 60an memang lain dari zaman sekarang, para clubbers lebih ‘sopan’.

Untuk makan malam Mike melantak steak apabendatah. Sementara tengah menjamu makan malam, para pengunjung dihiburkan dengan nyanyian opera, pertunjukan silap mata dan juga lawak jenaka macam stand-up comedy. Seperti biasa, majoriti pengunjung adalah berketurunan Cina dan adalah mat salleh sekumpulan dua. Boleh dikatakan Mike dan Sudin sahaja orang Melayu.

Sekitar pukul 8:45 malam, sekumpulan lelaki berpakaian suit kilat-kilat siap dengan spek hitam dan rambut remos berkilat naik atas rostrum. Mereka menghidupkan alat muzik masing-masing dan bila lagu dimainkan, semua mula berdiri terkinja-kinja menari.

Sudin memang betul-betul eksploit Mike untuk enjoy sepuas-puasnya. Entah dengan siapa lah dia ‘dansing’. Mike hanya duduk di kerusi menyaksikan aktiviti disekelilingnya. Lagu-lagu pop Cina didendang satu persatu oleh kugiran dengan penuh semangat. Bayangkanlah dalam panas-panas itu semua selamba berjoget dengan baju sequin, heavily sprayed hair dan paling tak boleh blah, pakai spek hitam dalam kelab waktu malam.

Lebih kurang sejam, pengunjung bertepuk tangan tanda persembahan kugiran dah selesai. Mike hairan apabila masing-masing mula beransur meninggalkan kelab sambil meletakkan duit atas meja.

“Kelab sudah mau tutup tuan” kata Sudin dengan muka berkilat dan baju basah kuyup dek peluh.

Kali ini kata Mike dia tak boleh tahan gelak dah. Disko jenis apa pukul 10 malam dah tutup? Mike bagi baki dari nota seribu yang masih banyak pada Sudin untuk menguruskan pembayaran makan malam mereka.

Mike tunggu di luar kelab sementara Sudin mengambil kereta. Dia mendongak ke atas, menghirup udara KL yang masih segar. Di kala dia melihat bintang-bintang di langit, Mike merasakan, Kuala Lumpur tahun 1964 takdalah teruk sangat, malah lebih ‘menyeronokkan’ dari zaman dari mana dia berasal.

Tahun itu ayah dan mak baru berusia 14 tahun dan nun jauh di Muar. Setahu dia memang takda ahli keluarga atau sanak saudara yang menetap di KL pada tahun 60an. Kalau tak teringin juga dia nak jumpa.

Mercedes putih berhenti di depan.

“Sudin, mana lagi tempat kita boleh pergi?” tanya Mike. Dia tak mahu malam itu berakhir.

“Sudah tak ada tuan, tapi kalau tuan mau itu di Carcosa masih ada acara tapi untuk orang-orang putih sahaja”

“Orang Melayu tak boleh masuk ke?”

“Ada tapi untuk orang bangsawan”

“Sudin. Aku nak pergi Carcosa” kata Mike dengan yakin. Kalau dalam kehidupan sebenar memang tak adalah dia nak gung-ho macam itu. Pergi open house classmate pun dia segan, inikan nak gatecrash parti mat salleh.

“Baik tuan”

Mereka melewati kawasan tasik dan taman yang kelihatan cantik walaupun dalam kegelapan malam. Jalan kecil diapit hutan rimba membawa mereka ke sebuah banglo atas bukit. Penjaga keselamatan menahan kereta tapi membenarkan mereka masuk selepas Sudin menunjukkan surat yang diambil dari compartment dashboard.

Mike tak tahu bagaimana dan surat apa begitu berkuasa sampai membenarkan mereka memasuki kawasan yang ketika itu dimiliki oleh kerajaan British.

“Saya tak masuk tuan. Tunggu di luar sahaja” jelas Sudin dari dalam kereta apabila Mike bertanya kenapa tak ikut sekali.

Pada mulanya teragak-agak juga nak masuk, tapi mungkin kesan alkohol masih berlarutan, perasaan malu terbenam oleh perasaan ingin tahu. Sebaik dia masuk ke lobi, seperti biasa dia seorang sahaja orang Melayu dalam lautan mat salleh. Mike kata dia buat bodoh je dan menonong masuk macam dia berhak berada disitu.

Tak tahu kenapa, mat salleh-mat salleh seperti tak kisah dia mundar-mandir di lobi. Tiada siapa tanya malah pelayan-pelayan berketurunan India pun lebih sibuk melayan tetamu.

Selamba tak selamba pun naik juga segan tu bila macam terbodoh-bodoh kat situ.

“Hello?” suara wanita menegur dari belakang

Gadis mat salleh yang tersangat ayu berumur mungkin sekitar 17 – 18 tahun berambut hitam dan memakai dress melihat Mike dengan dahi berkerut.

“Who are you?” tanyanya lagi.

“Mika..Michael”

“I don’t know you and you don’t belong here” kata gadis cantik itu dengan tegas.

“Please help yourself out and I will make sure you’ll not stealing any bottles” seorang lelaki India, mungkin pembantu rumah siap dengan uniform berdiri di sebelah gadis itu.

Mike malas nak berdrama jadi dia pun angguk dan cakap “Thank you and fuck your party” sebelum beredar. Sempat dijatuhkan salah satu pasu hingga pecah berderai sebelum terkekek-kekek bergegas masuk ke dalam Mercedes.

Sudin disuruh berhenti berdekatan tasik yang bergemerlapan disinari cahaya bulan. Mike keluar melepak tepi tasik menikmati keindahan malam. Dia masih tak puas dan terkilan baru nak layan kehidupan zaman silam tapi tempoh dah nak berakhir. Sudin sampai naik tension tengok Mike boleh pula melepak sebab dia nak balik rumah.

Setelah dirayu beberapa kali, Mike dengan berat hati beralah untuk dihantar pulang ke hotel. Sepanjang perjalanan, baru dia boleh menghargai keindahan Kuala Lumpur yang masih tak banyak bangunan, tiang LRT dan monorel pun tak wujud, tebing sungai Klang yang masih hijau berumput dan Masjid Jame’ yang masih lapang tak tenggelam di apit pencakar langit.

Sudin menurunkan Mike depan pintu masuk hotel. Semakin dekat dengan bilik, makin berat kepalanya. Kelopak mata macam ditarik-tarik. Mengantuk teramat sangat. Dia tak ingat macam mana boleh sampai bilik dan terbongkang atas katil.

Sedar-sedar je dia mula periksa satu-persatu keadaan dalam bilik.

Aircond, check.

TV, check.

Helmet atas meja, check.

…dan bila alarm handphone berbunyi barulah dia yakin sudah pulang ke zaman nyata. Jam menunjukkan pukul 6 pagi. Walaupun lega tapi disudut hati dia nak kembali semula ke tahun 1964.

Mike check-out lebih kurang pukul 7 pagi. Dia malas nak masuk office. Masa checkout, aunty yang jaga malam tadi dah diganti dengan macha.

Tergerak dihati nak tanya pasal bilik tapi dibatalkan sahaja niat kerana dia semacam yakin receptionist itu tak tahu apa-apa pasal bilik hotel. Sebelum meninggalkan hotel sempat dia menjeling ke arah kafetaria yang gelap.

Pengalaman kembali ke tahun 1964 membuatkan Mike rasa rindu sangat dengan zaman tersebut. Perasaan nostalgia itu agak parah sampai bila tengok bangunan-bangunan lama di KL mula lah rasa sebak, lebih-lebih lagi bila dia cuba jejak semula tempat-tempat yang dia pernah singgah macam kelab malam Bukit Bintang yang sekarang dah jadi kedai nasi ayam Chee Meng.

Banyak kali dia cuba kembali ke tahun 1964. Sekali sebulan dia akan bermalam di Hotel Heritage, di bilik yang sama tapi tak terjadi apa-apa. Terdesak punya pasal Mike juga pernah beberapa kali cuba recreate semula hari kejadian dengan pakaian sama, buat semula aktiviti yang dia buat pada hari tersebut sehingga ke tahap memastikan hari dan cuaca pun sama pada hari bermalam di Hotel Heritage (juga dibilik yang sama), tapi malangnya tak jadi.

Tiga tahun berturut-turut dari 2007 hingga 2009 Mike akan meluangkan satu malam tidur di Hotel Heritage setiap bulan. Bukan setakat bilik kejadian tapi setiap bilik di hotel dia pernah bermalam. Aunty dan mamat yang ajak makan di kafetaria pada malam kejadian sudah tidak kelihatan selepas hari tersebut. Bila tanya staff hotel semua tak kenal siapa yang Mike maksudkan, malah menurut pengurus hotel, tak pernah pihak pengurusan hotel mempunyai pekerja wanita cina berumur menjaga kaunter.

Hotel Heritage ditutup pada tahun 2009 dan sejak dari itu Mike mula mencari jawapan di sekitar Kuala Lumpur, bermula dengan banglo putih dimana dia bertemu lelaki misteri. Oleh kerana perbezaan amat ketara di antara 1964 dan 2000an, Mike tak dapat jejak lokasi banglo tersebut tapi simbol di pagar yang begitu jelas di ingatan menjadi penunjuk utama.

Dari carian ringkas di internet membawa ke pelbagai penjelasan, menambah lagi kepada persoalan dan merungkai jadi teori akhirnya membawa Mike kepada forum teori konspirasi dimana dia berkenalan dengan aku.

Mike yakin bahawa ada teori konspirasi disebalik pengalaman kembali ke tahun 1964. Dia merasakan terlibat dalam eksperimen rahsia kerana kehadirannya seolah-olah dirancang, terutamanya lelaki misteri di banglo putih dan juga Sudin.

Mike memberitahu aku, dia ada terbaca teori hipnopsis untuk kembali ke zaman silam dimana jika kita ‘tipu’ minda mengatakan dunia adalah tahun 1964, maka minda akan mula ‘membina’ struktur-struktur dan memori kehidupan tahun 1964. Dia mahu mencuba teori tersebut keesokan harinya dan maklumkan aku hasilnya.

Dan itulah kali terakhir aku dengar khabar dari Mike. Dimana pun dia berada samada 2017 atau 1964, aku harap dia gembira di sana.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

dammerung

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 3.7]

42 thoughts on “#Dammerung- Kuala Lumpur, Kuala Lumpur”

  1. BEST! πŸ˜€

    Teruskan berkarya!

    Cerita yang dikongsikan berkelainan dari yang lain!Ini membuatkan seluruh jalan cerita yang dihasilkan unik.Seumpama susah untuk dijumpai.Penggunaan ayat yang kemas dan teratur juga mampu membuatkan pembaca yang lain mudah untuk memahami cerita.Syabas!teruskan berkarya dalam dunia penulisan.Kalau ada kelapangan,kongsilah lagi ya😊

    Terima kasih kerana sudi berkongsi cerita di FS!😬
    Assalamualaikum

    Reply
  2. Fuhh..cerita Dammerung ni xpnh mngecewakan.akak salute.antara writer yg mnulis smpai ke tgkai jantung.kipidap!! Cerita lg.
    5🌟🌟🌟🌟🌟

    Reply
  3. 2 hari aku cover baca semua cerita Dammerung dekat forum.
    Memang kagum la dengan minat dammerung yang rekod semua cerita seram yang dia dengar and curahkan balik dalam bentuk penulisan.
    Thanx for sharing all these awesome stories. I really love all of them.

    Reply
  4. tak pernah tak best tawww…

    lagik best dari citer Fazura tunggu Fattah kat tepi toilet sebab tak tahan menanggung rindu…

    Diva bagi 5 bintanggg!!!

    muahhh

    Reply
  5. Best cite Dammerung ni kalau tak sabar nak tengok pengakhiran cerita terus tengok di Forum! Cerita yg tak penah membosankan, lain dr yg lain.. mmg best! πŸ™‚

    Reply
  6. Amboi, sempat lagi mile berjimba! Dalam dunia realiti tak dapat merasa ye. Tahun 1964 mak ayah baru umur 2 tahun huk3 kalau dapat ulang ke belakang nak jugak jumpa arwah ayah. Cari rumah kat kampung tu pon kalau jumpa la.

    Seronok baca cerita ni. Akal dan nafsu mana yang datang dulu??

    Reply
  7. ‘Mike memberitahu aku, dia ada terbaca teori hipnopsis untuk kembali ke zaman silam dimana jika kita β€˜tipu’ minda mengatakan dunia adalah tahun 1964, maka minda akan mula β€˜membina’ struktur-struktur dan memori kehidupan tahun 1964. Dia mahu mencuba teori tersebut keesokan harinya dan maklumkan aku hasilnya’…so ade sambungan ke apa ni…apa hasilnya…

    Reply
  8. wow enjoy sgt cita ni…dpt balik ke tahun 1964….saya pun teringin nak pergi tahun 1400…nak tgk keadaan Tanah Melayu ketika itu…tahniah Dammerung..cita ko semua best2…

    Reply
  9. Wowww! Da best! 10/10. Habis aku g google smua tmpt tu. Lepastu,rasa sedih bila terbayang zaman dlu,tgk2 gmbr lama dlm google.. Wlupn aku lahir 90an tp terasa jgk perubahan besar tu

    Reply
  10. Dammerung …
    Hebat salah satu karya unggul beliua nih …
    ada banyak lagi sebenarnya ..antara yang menarik Kisah si Rishi security guard Nepal tu …..
    setakat aku khatam karya2 Dammerung memang Awesome semua dan semua kisah Nyata dan benar pun …
    Kisah ni tiada sambungan pon …
    Sekarang Dammerung telah berkerja Luar Negara sudaaa …

    Reply
  11. Best cerita ni. huih hebat bleh tahan jgk ya geng illuminati/freemason ni cipta mesin masa nk ulang alik utk jayakn planning jahat depa. πŸ€” tp plg hebat & bijaksana tu bila mangsa yg dipilih jenis skema, nerd & lone ranger yg lonely huhu.. ksian dia jenuh berusaha nk balik ke masa tu… kan best klu mangsa pilihan tu pun mmg kaki pgkaji teori konspirasi jgk ke apa huhu..

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.