#DeeFen – HIKAYAT LAKI-LAKI YANG TAK PUNYA APA-APA UNTUK BERSANDAR

Laman Facebook penulis https://www.facebook.com/deefen.df

Nama aku Fakhri Azli. Nama glamer Pakli. Nama tak glamer Fak. Aku tak kisah kawan-kawan panggil aku Fak, aku cool je. Tapi bunyi dah sebiji macam mencarut, aku rasa segan juga bila kawan-kawan panggil aku kat tempat terbuka dan ada ramai orang.

Dulu ada seorang kawan jerit panggil aku dalam shopping complex. Aku tengah berjalan kat tingkat bawah, member aku tu kat tingkat atas. Selamba ja dia jerit “FAK! FAK! Woi Fak oii!” .

Semua orang dah mula memanjangkan leher nak pandang dia. Orang mesti ingat dia mencarut, meroyan pakej sawan. Penyudahnya aku buat bodo atau dengan kata lain buat dunno. Malu nak mengaku kawan. Tak pasal-pasal nanti orang ingat aku berkawan dengan orang sasau.

Sebenarnya aku ada satu kisah hitam yang seram suam-suam kuku. Tak ramai yang tau sejarah hidup aku kecuali famili dan kawan-kawan rapat aku. Tapi di hari Selasa yang indah ini (aku taktau korang hari apa sekarang, punya pasal kat aku la), aku ingin berkongsi kisah hidup aku. Kisah yang aku simpan kemas di lubuk hati sanubari aku yang mulia ini.

Kisah ni berlaku beberapa belas tahun yang lepas. Masa tu aku di tingkatan 4. Aku memang nakal kat sekolah. Disebabkan kenakalan aku yang tahap infiniti, aku diturunkan kelas sampai kelas nombor 7 daripada 8 buah kelas. Aku ingat lagi bait-bait kata Cikgu Su berbisik kat telinga aku.

“Fakri, saya tau awak bijak, tapi sebab kenakalan awak, semua cikgu suruh awak duduk di kelas belakang. Dorang takmau budak-budak kelas atas terpengaruh dengan perangai awak.” Lembut pertuturan Cikgu Su yang bersuara husky sambil berlenggang masuk ke dalam bengkel kemahiran hidup.

Cikgu Su merupakan cikgu kelas aku semasa di tingkatan 4. Sebelum menghilang di sebalik pintu, dia menjeling dan melepaskan satu senyuman yang penuh makna.

Aku hanya terbata di koridor. Air hujan yang mencurah jatuh ke dalam longkang kecil memercik mengenai kasut sekolah. Hati terdetik rasa sayu. Rasa bersalah, rasa macam loser gila. Kemudian perasaan marah turut menerjah ke dalam hati aku. Bercampur baur segala jenis perasaan aku ketika tu.

Longlai aku melangkah ke arah bengkel kemahiran hidup. Pintu panel kayu diketuk. Berkeriuk pintu bila dibuka.

“Ya ada apa lagi Fakri? Masuklah.” Jari-jemari Cikgu Su menari-nari menggamit akan kehadiran aku.

“Eh takpa la cikgu. Saya just nak minta maaf saja kalau selama ni saya menyusahkan semua cikgu.” Aku berkata sambil sedikit menunduk. Walaupun aku nakal, tapi dalam diri aku tetap ada perasaan hormat kepada orang lain. Dalam hati ada taman.

“Alaa masuklah dulu. Jangan dok buat sedih-sedih. Hujan lebat tu, awak bukan boleh balik rumah lagi. Mai makan apam dengan roti hotdog. Saya ada beli lebih kat kantin tadi. Meh, meh duduk sebelah saya.”

“Hmmmm… Takpalah. Saya berdiri sini ja.” Aku menolak sopan walaupun dalam hati melonjak-lonjak yang apam tersebut nampak menyelerakan. Hujan-hujan, memang lapar.

“Itu la awak. Nakal sangat. Nasib baik awak kena turun kelas je tau. Masa mesyuarat guru pertengahan tahun hari tu, nama awak naik kat list guru disiplin. Dia memang nak ambil tindakan tatatertib kat awak. Ada pelajar lain yang report pasal kelakuan awak. Nasib baik saya back-up awak masa tu. Kalau tak, mungkin awak dah kena gantung sekolah.”

Entah kenapa perasaan marah aku memuncak masa ni. Geram kat budak yang report tu. Tombol pintu digenggam erat menahan perasaan geram. Rahang diketap berkali-kali. Mata aku bundar tak berkelip.

“Amboi Fakri, fikir apa tu sampai tak berkelip mata. Muka macam geram ja. Geram tengok saya ka? Hahahahaha.” Sakan Cikgu Su berdekah. Kalah hantu mengilai.

“Hmmm.. Takpa cikgu. Saya takdak apa lagi nak cakap. Terima kasih atas tunjuk ajar cikgu selama setahun ni,” ujar aku perlahan sambil tersenyum kambing. Aku tak pasti macam mana kambing senyum, tapi aku mencuba sehabis baik untuk mengkambingkan diri agar simpulan bahasa ‘senyum kambing’ tercapai maknanya.

Aku berlalu pergi dari bengkel kemahiran dengan seribu satu perasaan. Kata-kata Cikgu Su atau nama penuhnya Cikgu Supardi masih terngiang di telinga aku. Ya, Cikgu Su seorang lelaki. Berumur 50 tahun mungkin. Berbadan sasa tapi buncit. Orang-orang tua pesan jangan makan bersulam air, nanti perut boroi.

Tapi kan, aku pun tak pasti kenapa semua orang panggil nama dia Cikgu Su. Kalau orang yang tak kenal, mesti ingat dia tu cikgu perempuan.

Di kalangan pelajar yang satu tingkatan dengan aku, tak dinafikan aku memang terkenal dengan kenakalan aku. Aku serta partner in crime iaitu Apit dan Bob memang sering menjadi bualan di kalangan cikgu. Setiap minggu ada saja hal yang kami buat. Kenakalan kami kadang-kadang mengalahkan budak-budak kelas belakang.

Penyudahnya kami semua diturunkan kelas semasa nak masuk ke tingkatan 5. Daripada kelas nombor 2, aku turun ke kelas nombor 7. Manakala Apit dan Bob turun ke kelas nombor 8. Sebab utama kerana kami sering menganggu ketenteraman pelajar-pelajar semasa proses pembelajaran berlangsung. Ada saja karenah kami dalam kelas.

Ok maaf dah melalut. Nak bercerita pasal kisah seram suam-suam, tapi tercerita kisah Cikgu Su la pulak. Maafkan bete.


Al-kisahnya semasa aku di tingkatan 5, masa tu dah lepas pertengahan tahun dah. Dan tak berapa lama lagi dah nak mula percubaan SPM. Masa ni aku memang sangat menikmati kehidupan sebagai senior kat sekolah.

Masa aku baru pulang dari sekolah, nenek aku tiba-tiba ajak aku balik kampung. Ajak tengok ayah kepada nenek aku. Kira dah pangkat moyang la bagi aku. Katanya moyang dah sakit tenat. Aku diminta segera bersiap sebab bapa saudara aku yang dipanggil Pak Ngah akan datang jemput kami.

Sepanjang aku hidup dan melakukan kerosakan di atas muka bumi ni, aku rasa pernah dua kali ja aku balik ke kampung moyang aku tu. Sekali dengan arwah ayah dan mak aku, masa tu aku sekolah rendah. Dan sekali lagi dengan nenek aku, masa aku tingkatan 2 kalau tak silap.

Lepas daripada tu memang aku dah tak balik kampung moyang aku. Nenek ja yang akan balik dengan bapa saudara aku. Aku malas ikut sebab rumah moyang aku tu memang rasa lain macam sikit.

Lagipun aku tengah melalui zaman remaja, bulu ketiak pun baru mula tumbuh subur. Mana nak layan balik-balik kampung ni. Tak rock la weh kalau balik kampung. Noob.

Nak ke rumah moyang aku ni memakan masa lebih kurang 2 jam lebih perjalanan. Melalui jalan-jalan kampung. Sepanjang perjalanan tu, aku membuta ja. Kami ada berhenti sekejap di gerai untuk minum petang.

Rasa menyesal pula lepas habis waktu sekolah aku balik rumah terus. Tak pasal-pasal kena ajak pi balik kampung. Selalunya aku akan merayap dulu dengan kawan-kawan. Merokok, pi cyber café main game Starcraft atau Half-Life. Pukul 6 petang baru balik rumah. Kalau nenek tanya pi mana? Aku jawab study group. Simple.

Jam dah pukul 5 lebih bila kami sampai ke destinasi. Sesampainya di rumah moyang aku, kelihatan beberapa ketul manusia yang aku kenali. Tak tahu la pulak kot-kot ada terselit makhluk bukan manusia kat situ.

Semua yang aku kenali tu berpangkat bapa saudara, nenek dan datuk saudara. Ada juga yang aku tak kenal. Mungkin jiran atau mungkin juga saudara jauh aku.

Rumah moyang aku ni terletak di hujung sekali di perkampungan ni. Di belakang rumah ada dusun yang memang besar. Dusun ni terbentang luas sampai ke kaki bukit. Tanah dusun ni semuanya milik moyang aku.

Sebaik aku turun daripada kereta, Pak Ngah berbisik kat telinga aku. “Ni yang ramai datang ni mungkin nak harta moyang hang tu ja. Masa dah sakit tenat macam ni, semua kalut nak tunjuk muka. Berlakon konon-konon penyayang dan ambil berat kat moyang.”

Nenek dengan Pak Ngah dah masuk ke dalam rumah. Aku malas nak masuk sebab nampak macam ramai mak cik bawang dan pak cik rewang dalam rumah. Semua orang lebih tua daripada aku. Aku takda geng nak borak. Jadi aku cadang lepak luar je bawah pokok rambutan yang tengah berbuah ranum. Lagipun aku memang tengah sangap rokok.

Lepas menghadiahkan senyuman yang tak berapa nak ikhlas kat tetamu yang dok berkerumun kat pangkin, aku berjalan perlahan ke arah perdu pokok rambutan. Beberapa tangkai buah rambutan terjuntai separas kepala aku.

Sebelum cucuh rokok Surya, aku capai sebiji rambutan dan ditokak untuk mengupas kulit. Isinya manis gila. Sedap. Dah tu, isi lekang daripada biji. Memang favourite aku. Terus terbantut aku nak hisap rokok. Makan buah lebih heaven buat masa sekarang ni.

Lepas sebiji, sebiji, buah rambutan aku kokak. Sampai habis semua yang mampu aku capai dengan tangan. Tinggal buah yang tinggi-tinggi ja. Lepas dikira, ada la dalam 20 biji aku makan. Sampai sekarang aku tak jumpa lagi buah rambutan sesedap tu.

Sedang aku cuba mencucuh rokok, tiba-tiba terdengar jeritan yang kuat dari arah dalam rumah. Aku tersentak dan terpempan sampaikan aku tak sedar aku dah tercucuh sikit hidung aku.

“OMAKKAU #&$*(%^&**%()#.”

Lancar kata-kata carutan mengalir keluar dari bibir aku yang mulus ini. Semua yang berada kat pangkin menoleh serentak ke arah aku sambil usha panas. Untuk cover malu, spontan aku buat-buat terjengket-jengket dan menampar betis aku.

“Bodoh punya kerengga! Sakit tau tak hang gigit aku! Dah la busuk!”

Tak pasal-pasal aku meletakkan kesalahan pada kerengga. Padahal kat pokok rambutan tu seekor semut pun aku tak nampak. Hingus dan air mata dah mula mengalir deras akibat tercucuh api tadi. Pedih sangat terasa kat hujung hidung aku. Mesti hidung aku merah gila masa tu.

Kemudian terdengar lagi jeritan yang kuat dari dalam rumah. Lain macam punya jeritan. Meremang bulu dada aku. Dengan rokok masih di mulut, aku segera menuju ke arah tingkap. Cermin tingkap berjenama Nako itu aku kopak sedikit supaya lebih terbuka dan aku dapat melihat dengan lebih jelas ke dalam rumah.

Aku nampak moyang tengah baring di tengah ruang tamu. Dia di kelilingi oleh beberapa orang yang memegang moyang aku daripada terus meronta. Dengusan garau sesekali terbit dari mulut moyang. Sah mesti ada yang merasuk moyang aku. Dia punya kuat lain macam perginya.

“HUH! Suruh dia balik! Aku tak mau dia mai!” Moyang aku bersuara tiba-tiba. Macam suara penyanyi heavy metal dah suara dia.

“Sapa dia tu?” Salah orang yang sedang memegang moyang bertanya kembali.

“TUUU!”

Moyang menunding jari tepat ke arah aku yang tengah menghendap melalui celahan tingkap. Mukanya bengis dan mata terbuntang tanpa kelip.

Terkejut monyet aku. Mulut dah ternganga, jantung dah luruh. Semua orang dah memandang ke arah aku. Ada yang mula berbisik-bisik. Aku rasa sangat kekok dan pucat dah masa tu.

Apa salah aku? Aku tak buat apa-apa pun.

“Aku tak kira! Aku nak dia balik! ARGHHHhHHHhhh!!” Moyang aku semakin dahsyat meronta-ronta. Beberapa lagi orang lain terpaksa turut membantu memegang moyang agar tak terlepas.

Aku dah mula berundur beberapa tapak ke belakang. Rokok dah dibuang di tanah. Cuak sebab aku yang tak tahu-menahu apa-apa tak semena-mena boleh terlibat dalam hal moyang aku pula. Menggelabah abah la aku masa tu.

Tiba-tiba dari arah belakang terdengar orang bagi salam. Aku segera menoleh dan kelihatan seorang lelaki berserban dan berjubah. Berumur mungkin awal 50-an. Dia diekori oleh 3 orang pemuda. Aku membuat tanggapan yang dia tu mesti ustadz yang datang untuk merawat moyang.

“Jangan bagi dia masuk rumah! Bodoh! Bodoh!” Jerit moyang aku sambil jarinya menunding ke arah ustadz yang baru tiba tersebut.

Serta-merta aku berasa lega sebab yang moyang tunding jari awal tadi adalah kepada ustadz. Bukan kepada aku. Tahap kelegaan dalam hati aku tu macam orang baru selesai akad nikah kot. Aku capai balik rokok yang aku buang tadi. Menggigil lagi beb tangan aku.

Ustadz tadi terus segera memulakan sesi rawatan. Dipendekkan cerita, lepas meraung sini, bersilat situ, bergaduh sana, maka proses rawatan pun berakhir selepas hampir sejam dorang bertungkus-lumus.

Semasa proses rawatan berlangsung, aku dah melarikan diri ke arah pangkin. Aku tak sanggup tengok muka moyang aku sebab nampak terlalu seram. Memang muka tu bukan macam muka dia. Aku dah la jenis spesis penakut.

Aku cuba hilangkan rasa takut masa tu dengan memancing semut. Lepas tu aku cabut sesungut dan biar semut tu wrestling sesama dorang.

Lebih kurang hampir pukul 8:30 malam, moyang aku pun meninggal dunia. Nenek suruh aku balik rumah dulu dengan Pak Ngah. Ambilkan pakaian dia dan benda-benda yang perlu, esok pagi baru gerak datang balik rumah moyang aku ni.

Sepanjang perjalanan balik, Pak Ngah bercerita pasal moyang aku.

“Azli, hang tengok ka moyang hang dok berubat tadi?” Tanya Pak Ngah selepas beberapa minit kami memulakan perjalanan balik.

“Saya tengok yang mula-mula ja Pak Ngah. Lepas ustadz mai, saya terus lari duduk kat pangkin. Tak berani nak tengok. Takut,” ujar aku jujur. Memang aku penakut. Buat apa nak mengaku berani pula kan.

“Hang tau tak yang saka moyang hang tu dok cari pewaris?”

“Saka? Moyang ada saka?”

“Ya. Yang ustadz dok berlawan tadi tu dengan saka moyang hang la. Kalau ikut logik akal, orang dah berumur 100 lebih tahun macam moyang hang tu mana la kuat lagi nak bersilat bagai.”

“Fuhh biar betul umur moyang dah 100 lebih?!!! Tapi betul juga kan. Nenek pun dah umur 70 lebih tahun dah.”

Aku terdiam sambil mencongak tahun kelahiran moyang. Moyang lahir awal tahun 1900! Dah dua kali perang dunia dia lalui. Dia beruntung dapat merasa pelbagai zaman yang sangat berbeza. Zaman mundur, zaman perang dan zaman teknologi mula meledak.

“Habis tu Pak Ngah, sapa yang sudi terima saka arwah moyang tu?” Tanya aku penuh minat.

“Takdak sapa.” Ringkas jawapan Pak Ngah sambil menjeling ke arah aku.

“Habis tu macam mana saka tu sudi keluar daripada badan arwah moyang?”

“Ustadz tu berjaya halau. Tapi Pak Ngah rasa memang saka tu sendiri nak cari tuan yang baru. Mungkin sebab dah bosan kot dok lama sangat dengan moyang. Lagipun moyang dah tua. Dah tak mampu menyara kehendak saka tu.” Terang Pak Ngah panjang lebar.

“Maknanya saka tu tengah berkeliaran la mencari tuan yang baru? Gitu?”

“Ya.”

“Setahu saya, saka ni akan cari ahli keluarga tuannya yang terdekat untuk jadi tuan baru dia. Betul tak?”

“Betul tu.”

“Fuhh lega rasanya. Saya ni cicit dia. Memang jauh pertalian d***h. Tak mungkin saka tu nak kat saya. Lagipun ramai lagi anak cucu dia yang ada. Entah-entah saka tu berminat dengan Pak Ngah tak? Hahahaha.” Usik aku terhadap Pak Ngah. Pak Ngah sekadar tersenyum sinis menoleh ke arah aku.

“Tak semestinya. Saka ni dia tak kisah nak pilih sapa-sapa pun. Asalkan daripada susur galur keluarga bekas tuannya. Ada pertalian d***h. Jaga-jaga Azli. Tah-tah dia berminat dengan hang.” Kali ini giliran Pak Ngah pula menyakat aku. Aku sekadar menelan air liur. Harap-harap bukan aku.


Malam tu lepas dah kemas semua barang yang dipesan oleh nenek, aku pun tertidur depan TV. Sengaja aku biar terbuka TV dan lampu semua bilik. Sebabnya dalam kepala otak aku dok terfikir lagi pasal keseraman kat rumah moyang petang tadi.

Malam tu, macam-macam aku bermimpi yang ngeri-ngeri. Bila dah pagi aku bangun rasa tak puas tidur. Rasa macam lesu.

“Ni mesti sebab aku terbawa-bawa dengan kejadian rumah moyang.”


Semasa di rumah moyang sebelum pengebumian, aku selalu macam terperasan ada bayang-bayang melintas laju di ekor mata aku. Lebih kurang selang 5 minit mesti aku terperasan. Memang sangat kerap.

Kadang-kadang aku rasa macam ada orang dok perhati aku. Aku jadi tak senang duduk. Akhirnya aku jadi tak betah dan ambil keputusan melepak luar rumah je la. Boleh hisap rokok sambil-sambil makan rambutan.

Masa aku lepak kat luar, aku nampak satu benda hitam, rupabentuk macam manusia tapi sedikit besar. Diam tak bergerak langsung. Tapi sesekali aku terperasan macam ada silauan cahaya merah kat kedua-dua mata benda tu. Seram. Meremang bulu telinga aku beb.

Disebabkan benda tu berkedudukan jauh di dalam dusun di belakang rumah, berjarak mungkin 50 meter, maka aku tak dapat pastikan dengan jelas apakebenda menatang itu. Aku nak ja tanya orang kat situ yang dorang nampak ke tak apa yang aku nampak. Tapi aku cancel la. Segan la nak tanya.

Tengah ralit aku dok makan rambutan sorang-sorang, ada la beberapa orang brader rewang dok lepak bawah pangkin. Semua dok sembang macam topik yang serius. Aku yang dah bosan, mula bergerak perlahan-lahan ke arah pangkin. Boleh gak pasang telinga dengar apa yang dorang tengah borak.

Rupa-rupanya dorang tengah sembang pasal saka moyang. Fuhh memang agak menarik topik ni walaupun aku sejak azali penakut nak mampus. Konon bajet gengster, tapi takut hantu. Gengster taik kucing!

Maka aku pun berlakon macam takda apa-apa hal berlaku, buat-buat tengok buah rambutan kat atas pokok sambil menghisap rokok. Padahal aku dok pasang telinga baik punya.

“Hangpa tau ka sapa yang dapat saka tu?”

“Tak tau.”

“Awat ustat semalam tak bVnuh ja saka tu?”

“Hang ingat senang ka? Dengar cerita, saka tu dah berbelas-belas keturunan dah.”

“Ustat tu dah halau kan? Dia boleh datang balik ka?”

“Boleh. Selagi takdak perjanjian yang betul-betul membuatkan saka tu tak kembali.”

“Hangpa agak-agak la kan, sapa yang saka tu berkenan?”

“Payah nak cakap. Sebab saka tu ikut suka dia ja memilih nak keturunan yang mana satu.”

“Pendapat aku, dia akan pilih yang paling dekat dengan si m4ti.”

“Aku tak setuju. Bagi aku dia akan pilih yang muda-muda, yang sihat lagi. Tak kisah la cucu, cicit, piut, miut. Asalkan muda, lagi la syok dia nak berdamping.”

Berderau d***h bila dengar ayat tu. Aku muda lagi. Adakah aku bakal jadi pilihan makhluk durjana lahanat bergelar saka tu? Jantung aku berdegup kencang. Rasa tak sedap hati. OTK! (Oh Tuhan Ku!) Ini petanda tak baik!


Selepas beberapa hari pengebumian moyang, aku selalu memikirkan pasal saka tu. Entah kenapa aku jadi sedikit risau pasal perihal saka tu sedang mencari tuan yang baru. Kadangkala aku selalu buat teruk. Jadi paranoid. Padahal takda apa-apa pun. Mungkin sebab aku jenis penakut hantu kot.

Selepas seminggu daripada tu, hampir setiap malam aku dapat mimpi ngeri. Bukan setakat malam, tidur petang pun aku mimpi. Aku selalu mimpi binatang berbisa kejar aku. Selalunya ular dengan kala jengking.

Kala jengking tu sebesar rumah. Bapak besar! Memang aku terpaksa pecut untuk melarikan diri. Aku tak tau la masa aku tengah mimpi tu, aku berlari setempat atas katil ke, lari pusing dalam bilik tidur ke camna, aku tak pasti la. Tapi yang pastinya, aku terjaga tidur je mesti berpeluh satu badan.

Tak pasal-pasal cadar katil cepat je bau kepam. Dah la bangun pagi rasa penat badan. Hangin betul aku masa tu. Aku rasa la kalau hari-hari mimpi lari macam ni, mesti badan aku jadi fit. Stamina tip top. Kalaulah aku gemuk, mesti aku dah kurus sikit dah sekarang.

Disebabkan aku masih lagi mentah, cuma ajet-ajet dewasa, aku taktau pun pasal tanda-tanda gangguan jin saka sakau semua ni. Aku pun tak cerita kat nenek. Jadi aku layan je la mimpi-mimpi buruk yang menghiasi setiap malam aku.

Selepas lebih kurang dua minggu, mimpi tu tiba-tiba berhenti. Dah aman damai tidur aku. Aku dapat rasa nikmat tidur. Masa tu mata aku dah bengkak tahap mamat K-Pop punya sepet. Mana tidaknya, dua minggu tidur aku terganggu. Kejap-kejap terjaga.


Mimpi-mimpi seram ni kembali semula bila aku dah setengah tahun di tingkatan 5. Semuanya bermula di suatu malam pada hari Khamis. Aku ada tuisyen matematik tambahan yang aku pi sebanyak 4 kali masa awal tahun saja.

Bulan-bulan seterusnya sampai ke SPM aku ponteng tapi duit yuran tuisyen yang nenek aku bagi semua aku kelepet buat beli rokok dan main game kat cyber cafe. Lihatlah betapa kurang asamnya aku dulu.

Berbekalkan motosikal Yamaha Sukan peninggalan arwah ayah, aku merempit balik rumah kira-kira jam 11 malam selepas selesai “tuisyen” dan melepak di padang permainan. Tapi sebelum tu, aku kena hantar Bob balik rumah dia dulu.

“Siiiiiiiiiaapaaaaa sejambak mawar merahhhhh! Harum di kamar hati mu.. Hingga diriku disingkirkan…..”

“Oi Pakli! Hang jangan nyanyi kuat sangat. Malu weh orang dengaq.” Tegur Bob sambil menempeleng kepala aku sebanyak 2 kali. Rumah Bob terletak di taman perumahan tak jauh dari rumah nenek aku. Rumah nenek aku pula rumah kampung tanah lot biasa ja.

“Redup senja… di kaki awan… menghilangkan, padang dan lalang… dan cintaku bagaikan… berkasihani…” Aku melalak tanpa menghiraukan larangan Bob. Walaupun aku tak berapa ingat lirik, tapi aku tetap mencoba.

“Bangang la hang ni! Dah la lirik bersepah!” Marah Bob betul-betul kat telinga aku. Dia kembali meneruskan penempelengannya ke kepala aku bertubi-tubi.

“Ha laaa! Ha laaaa! Aku tak nyanyi dah! Gelabah la lu brader! Gua memang susah la der nak control volume suara gua! Bob, aku rasa la kan… masa depan aku sebagai penyanyi agak cerah. Sedapkan suara aku?”

“Hotak hang! Nah hambik ni!”

Dusyum!

Ketika melalui satu selekoh yang mana di kiri dan kanan jalan semuanya bertanah merah yang baru ditolak untuk dibangunkan kawasan perumahan yang baru, aku terperasan ada satu sosok tubuh besar tegap hitam di kiri jalan. Kemudian kami ditegur dengan satu suara garau yang cukup kuat.

“HOI PAKLI!!”

Yang sangat menggerunkan sebab dia tegur nama aku. Nama aku weh! Bukan nama Bob. Mana dia tau nama aku? Suara tu sangat kuat macam orang pakai hailer. Dia tegur masa aku tengah dok ambil selekoh dengan kelajuan sedang-sedang aja.

Ya rabbi aku punya terkejut tu rasa macam aku dah kena mild heart attack. Nasib baik kami tak berterabur kat atas jalan. Aku punya skill tunggangan dan pengawalan motosikal di kala terdesak dan memerlukan refleks pantas adalah sangat membanggakan.

Bob yang membonceng di belakang dah memeluk erat dengan pipi dia dah berlaga pipi aku. Seumpama pasangan songsang yang bahagia kami waktu tu. Sesiapa memandang pasti rasa cemburu akan keintiman kami.

Aku terus drop 1 gear. Lancar. Tiada senggukan enjin yang ketara. Terus aku memulas pendikit secara berkala. Tidak terlalu pantas untuk mengelakkan wheelie yang tidak perlu yang hanya akan merugikan masa. Hamburan kuasa daripada enjin terus memacu kami pantas ke hadapan.

Walaupun aku rasa geli-geleman bila Bob memeluk erat aku kat belakang, tapi perasaan takut aku melebihi segala-galanya. Tapi sesekali rasa geli tu akan datang bila moto tersentak akibat jalan tak rata, maka pipi kami akan bergesel berulangkali. J*****t dan minyak muka kami telah bersatu.

“Laju weh! Laju!” Jerit Bob menggelabah. Aku yang terdengar suara Bob menggelabah, maka aku jadi lebih menggelabah. Aku sendiri tak pasti ‘makhluk’ yang tegur kami tadi tu ada mengejar kami atau pun tak.

“Bob, baca ayat kursi! Ayat apa-apa pun boleh lah!”

“Hang la baca!”

“Aku tak ingat! Aku dok fokus bawak moto ni! Hang la baca Bob!”

“Aku lupa jugak! Aku pun tengah dok fokus dengan ketakutan aku ni!”

“Bongokkkk!”

Kelajuan kami masa tu memang tak terbayang. Bingit daripada ekzos Yamaha Sukan memecah kesunyian malam yang gelap tanpa malap bulan. Segala selekoh 45 darjah, 60 darjah mahupun corner patah 90 darjah semuanya ditibai selamba oleh aku. Mencicit tayar sotong cuba mencengkam jalan.

Akibat terlalu ralit memfokus penunggangan, aku hampir terlepas rumah Bob. Tapi belum sempat betul-betul aku dah perlahankan moto, Bob dah terjun!!! Bob ni kadang-kadang suka buat kerja bodo lagi bangang.

Bila aku toleh ke belakang, aku nampak terguling-guling mamat tu atas tar depan rumah dia. Belum habis golek beliau dah terkocoh-kocoh bangun lalu panjat pagar rumah. Aku pulak dah serba-salah nak lepak rumah Bob dulu atau terus balik ja.

Tapi memandangkan aku pun dah lapar dan belum makan malam lagi, aku ambil keputusan terus balik ja. Sekali lagi aku memecut balik rumah. Asap berkepul-kepul keluar daripada ekzos. Aku harap dengan asap yang banyak keluar daripada ekzos akan mengaburkan pandangan ‘makhluk’ tadi dan dia tak nampak jalan untuk mengikut aku balik rumah. Sungguh optimistik walaupun bangang.

Sepanjang perjalanan balik rumah, mulut aku terkumat-kamit membaca apa sahaja ayat yang terlintas kat otak aku. Segala jenis doa aku baca. Doa makan, doa sebelum belajar, doa tidur, doa masuk tandas semua aku bantai baca.

Walaupun sepanjang perjalanan balik tu ada ja brader-brader dan pakcik-pakcik dok melepak depan rumah, tapi aku tetap paranoid. Aku anggap antara dorang tu mesti ada yang bukan manusia. Menyamar jadi manusia. Kalau aku bawa slow mesti dia tiba-tiba terkam aku. Itulah apa yang aku dok fikirkan.

Aku terpaksa melalui mini tar untuk ke rumah nenek. Jarak antara rumah tak terlalu jauh tapi agak menggerunkan sebab lampu jalan yang malap dan jarang-jarang jaraknya. Ditambah dengan pokok yang besar dan ranting merendang menunduk jalan, memang setiap kali aku balik malam-malam akan terasa seram.

Tapi… Tapi malam ni lebih seram sebab baru ja disergah tadi.

Sebaik saja aku tiba di jalan nak masuk rumah nenek, mata aku tertacap pada sosok hitam betul-betul di tepi jalan masuk. Itupun sebab lampu moto tersuluh lembaga tu. Dia ada kat laluan titi masuk.

Ini bermakna aku terpaksa menunggang lalu melepasi sebelah dia. Ini memang kerja gila! Aku terbayangkan makhluk durjana tu melompat dan membonceng moto sambil memeluk erat pinggang aku. Lepas tu dia kata, “Adik tumpang ye banggggg. Nak balik kubor tapi tak larat nak jalan.”

Macam-macam imaginasi aku.

Aku yang panik terus terjun moto dan berlari melompat melepasi tali air yang berkelebaran 3 meter lebih. Segala teknik sukan lompat jauh yang aku pelajari semasa kelas Pendidikan Jasmani, aku praktikkan dengan jayanya. Pasti cikgu PJ berbangga akan pencapaian aku. Sepanjang hidup, aku tak pernah melompat sejauh itu.

“ARGGGHHHHHHHHHHHH!!!!!!!”

Panjang jeritan aku sepanjang larian pecut menuju ke pintu rumah. Kedua-dua belah selipar jepun aku pula putus masa landing hasil daripada lompatan Olimpik tadi. Namun keduanya masih terselit di buku lali. Sesekali aku hampir terjatuh kerana keberadaan selipar tu menganggu teknik larian aku.

Sebaik tiba di pintu rumah, tiba-tiba pintu rumah terbuka sendiri sebelum sempat aku menghulurkan tangan pada tombol. Tercegat di depan aku seketul makhluk hitam berbadan gempal, berperut buncit dan bertetek layut.

“Omakkau hantu gemok!” Aku melatah sekonyong-konyong terlihat makhluk gempal tersebut. “TEPI! Aku nak masuk! Nah amik kau!” Spontan tindakan refleks aku mengambil selipar yang tersangkut pada buku lali dan terus membalik tepat ke muka makhluk tersebut.

“B**I!!! Sakit la muka aku bodo!”

Baru aku perasan, rupanya makhluk hitam gempal tu adalah abang aku yang lebih terkenal dengan panggilan Jon Gemok. Makin berlemak dia sekarang. Abang kandung aku ni bekerja di negeri bersebelahan. Sebulan sekali dia akan pulang rumah nenek.

“Hang pasaipa menjerit macam orang gila?!” Soal abang aku, Jon Gemok.

“Aku nanananampak hahahahahahahahahaha…”

“Hahahahahaha apa?!!” Tingkah Jon Gemok akibat kegagapan luar biasa aku dikala itu.

“Hahahahantu!”

“Huhh mana?”

“Jajajajajalan mamamamamasuk tutututututu,” ujar aku dengan sekadar memberi isyarat ibu jari menunjuk ke arah belakang. Aku langsung tak berani nak menoleh. Risau makhluk tu ada tercegat belakang aku. Mau terberak aku kat situ juga.

“Dok tututututututu apadia? Sekali aku backhand muka hang baru hang tau!”

Abang aku memanjangkan leher memerhatikan ke arah titi jalan masuk rumah nenek ini. Mukanya selamba, kening diangkat dan bibir dijuihkan – tiada apa-apa.

Aku yang berasa lembik lutut terus berpaut dan memeluk paha abang aku. Bergetar teruk kaki aku. Aku dah tak mampu nak berdiri dah ni. Rasa lemah seluruh badan aku.

“Weh takdak apa-apa pun. Hang silap tengok kot,” abang aku bersuara lepas dia berpuas hati meng-usha tempat aku kena ganggu tadi.

“Memang la takdak. Takkan mambang tu nak tunggu kot. Dia pun takut tengok rupa hang yang tak hensem lagi gemok tu!”

“Bagero! Dah la sakit muka aku kena selipar jepun keras Tat Sing hang tu. Ni kutuk pulak rupa kejadian aku!”

Aku memberanikan diri menoleh perlahan-lahan ke arah titi. Aku tekup muka aku dengan jari-jemari runcing dan melihat melalui celahan jari. Aku punya la penakut masa tu.

Dari arah dalam tali air, kelihatan samar-samar cahaya kuning memancar menyuluh lalang yang tumbuh meliar di tebingan. Kelihatan begitu aneh kejadian itu. “Mana datang cahaya dari dalam tali air? Benda apa yang ada dalam tali air yang memancarkan cahaya?” Persoalan ini terus bermain di kotak fikiran aku.

“MOTO!!!!” Aku menjerit dengan bebola mata yang dah terbuntang.

Terkocoh-kocoh aku berlari ke arah tali air dengan dibontoti oleh abang aku. Memang tepat telahan aku, motosikal lejen tu telah melongkangkan dirinya. Abang aku dah mula terbahak-bahak gelak sambil memegang perut dan sesekali menunding jari ke arah motosikal.

“Dejei betoi la. Sudah-sudah la gelak sakan tu!” Tegur aku yang makin menyampah tengok gelagat abang aku. Lemak-lemak perut dan buah dadanya berhinggut mengikut nada dia ketawa. Meluat.

Mata aku meliar memandang ke arah tempat makhkluk durjana berdiri tadi. Dah tak ada. Dalam hati menyumpah seranah mambang tu sebab menyusahkan hidup aku. Dah jadi satu hal nak tarik motosikal lejen tu naik atas pulak.

“Bang! Tolong aku tarik moto ni naik,” ujar aku kepada abang aku yang sedang mengelap air mata yang merembes.

“Esok je lah. Dah tengah malam dah ni. Malas aku. Lagipun manatau ada ulaq ka bewak ka boya ka dalam tu. Tak memasal masuk hospital.” Termengah-mengah abang aku bercakap. Sesekali kedengaran dia mengekek ketawa lagi.

“Yelah. Aku nak matikan enjin dulu.” Aku perlahan-lahan turun ke dalam tali air dengan dibantu kemalapan cahaya lampu jalan yang menyinar dari kejauhan. “Harap-harap tak hujan lebat malam ni. Tak pasal-pasal hanyut moto ni sampai dalam bendang.”

“Aku harap hujan lebat la malam ni. Kahkahkahkahkah! Aduh! Sakit kepala. Gelak sampai sakit kepala!” Sekali lagi abang aku kembali ketawa terbahak-bahak. Menjengkelkan betul perangai abang aku sorang ni. Geram je rasa nak starlight ja dahi dia.

Sebelum aku masuk rumah aku londeh semua seluar dan baju. Aku gantung kat ampaian di halaman rumah. Tinggal boxer ja.

“Ni hang pasaipa dok separuh bogel kat luar rumah ni? Buang tebiat apa pulak dah hang ni!” Tegur abang aku yang pelik melihat kelakuan aku. “Kena sampuk dah?”

“Orang tua-tua cakap, kalau kena tegur dengan makhluk halus, sebelum masuk rumah, londeh baju seluar atau pakai terbalik. Kalau tak, nanti dia ikut masuk rumah. Ngeri weh kalau dia ada dalam rumah ni. Nak berak pun tak aman,” jelas aku panjang lebar.

“Suka hati hang la. Awat tak bogel terus? Londeh sekali dengan boxer tu. Segala jenis jembalang pun lari tengok hang. Kehkehkehkeh.”

“Haa suka la tu kan? Mambang tu ikut hang pulak baru tau. Biaq dia kokak telinga hang waktu tidoq. Padan muka.”

Nak dijadikan cerita, awal pagi tu memang hujan lebat. Resah gelisah aku tak boleh tidur memikirkan motosikal. Nasib baik bila aku check lepas subuh motosikal tu ada lagi kat situ. Tersangkut kat tiang titi. Dia berjaya berpaut daripada hanyut. Memang lejen.


Kira-kira dua hari selepas kejadian aku jumpa mambang tu, aku mula dapat semula mimpi yang pelik-pelik. Kali ni paling kerap aku selalu dikejar makhluk berbulu hitam lebat. Gaya bentuk badan macam beruk. Tapi agak besar.

Mimpi tu memang akan terjadi dalam waktu yang sama setiap hari. Tepat jam pukul 3:30 pagi aku mesti terjaga daripada mimpi kena kejar dengan beruk tu. Berpeluh satu badan.

Mula-mula tu memang aku takut, berdebar semua cukup. Tapi lepas dua minggu asyik mimpi yang sama ja, aku jadi mangli. Terjaga 3:30 pagi, kuatkan kipas sebab berpeluh-peluh, sambung tidur. Dah malas nak layan.


Lepas daripada mimpi kena kejar beruk makye hitam tu, mimpi aku masuk episod yang berlainan pula. Aku mimpi ada tangan menghulurkan bayi kat aku. Bayi tu dibalut dengan kain warna hitam.

Aku setiap malam menolak bayi tu dengan kata-kata. “Aku belum kahwin. Ini bukan anak aku. Aku takmau terima.” Macam tu la ayat aku setiap malam. Sampailah lebih kurang seminggu. Mungkin sebab aku dah menyampah kot asyik hari-hari mimpi yang sama, akhirnya aku sambut bayi tu.

Bila aku selak je kain yang menutup muka bayi, aku terpempan. Menggigil lutut aku.

Bayi tu berwajah hitam, berbulu. Tak ubah macam beruk yang aku mimpi sebelum ni. Cuma dia ajet-ajet membuat wajah comel bayi. Buat-buat menangis suara nyaring. Konon cute. Lahanat betul. Gugur jantung aku.

Aku terus lempar bayi tu dan berkata dengan suara yang keras. “Aku takmau bayi ni!” Terdengar nyaring tangisan bayi tu. Syahdu la kononnya. Bila aku terjaga dari tidur, terngiang-ngiang lagi suara tangisan tu macam ada kat luar rumah nenek aku ni ja. Seram beb.

Selepas tu, aku mimpi orang nak bagi keris. Siap menari-nari kat udara dan berasap-asap keris tu. Entah keris keramat sakti apa entah. Tapi aku tetap tak terima.

Lepas keris, setiap malam bermacam-macam benda pelik yang cuba tangan tu hulurkan kat aku. Antaranya batu geliga apa entah bercahaya warna merah, tepak sirih tembaga, tembikar lama, kain kuning dan hitam, cermin lama yang dah sopak, kerambit, kalung emas dan telur ular. Mungkin ada benda lain yang aku dah lupa, tapi semuanya benda pelik-pelik. Dan satu pun aku tak terima, semuanya aku tolak.

Akhirnya aku ceritakan mimpi aku tu kat nenek. Tak pasal-pasal aku kena bebel sebab lambat bagitau dia.

“Hang awat lambat bagitau aku? Hang tau tak yang tu mungkin saka moyang hang dok cari pendamping baru!” Tegas nenek aku dengan wajah bengis. Marah betul dia. “Aku tak mau cucu-cucu aku ada saka-saka ni. Semuanya menyusahkan dan boleh merosakkan akidah.”

“Mana la Pakli tau. Pakli ingat mimpi biasa-biasa ja.”

“Dah dah. Lepas ni kalau mimpi orang bagi benda pelik-pelik lagi, hang jangan terima! Aku tak mau hang ada masalah kemudian hari.”

“Kalau Pakli terima barang tu, maksudnya Pakli setuju untuk terima saka tu la?”

“Ya betul.” Ringkas jawapan nenek.

Berderau d***h aku. Aku risau aku terterima ja saka tu. Aku bukannya boleh kawal segala pergerakan aku dalam tidur, dalam mimpi.

“Mana aci main bagi barang dalam mimpi! Kita bukannya boleh control otak kita masa dalam mimpi.”

“Bukan macam tu. Kalau amalan hang cukup, sembahyang cukup, doa dan pendinding diri kuat. Secara automatiknya hang akan tolak saka-saka tu walau dalam mimpi. Selalunya la. Tapi ada juga orang yang terpaksa terima. Mungkin saka tu jenis yang kuat.”

“Habis tu Pakli nak kena buat apa sekarang?”

“Solat jangan tinggal. Sebelum tidur baca doa dan berwuduk. Doa dengan Allah minta perlindungan. Hang tu dah la solat ikut suka hang ja. Jenuh aku nak perhambat baru nak solat. Hish!”

Keesokannya tu, nenek ada pergi jumpa ustaz ambil air apa entah. Buat aku minum dan renjis-renjis di sekeliling rumah.

Lepas daripada tu, memang aku pastikan solat aku tak tinggal. Sebelum tidur mesti segala jenis doa aku baca siap-siap. Siap mengaji lepas solat maghrib. Bila aku fikir balik sekarang, aku pun tak pasti masa tu aku lebih takutkan Allah atau saka durjana laknat lahanat tu.

Gangguan dalam mimpi tu akhirnya terhenti. Lega rasa hati aku. Aku fikir mesti saka tu dah putus asa nak berdamping dengan aku. Mesti dia dah berambus cari keturunan yang lain.

Makanya, aku pun dah kembali malas nak solat dan baca doa sebelum tidur. Kalau rajin aku buat la semua tu. Zaman jahiliah aku masa tu, solat memang kurang ambil berat.


Hinggalah pada suatu malam di hujung minggu, nenek aku dia pi bermalam di rumah saudara untuk buat persediaan kenduri kahwin. Aku malas ikut sebab aku dah agak mesti semua geng mak cik gosip dan pak cik sembang nak up ja yang ada situ.

Aku dah bagitau siap-siap kat Apit dengan Bob supaya dorang datang teman bermalam kat rumah aku. Masing-masing dah ada rancangan baik punya malam tu. Nenek aku tak ada, memang makin panjang la kaki aku nak pi merayap.

Tapi semua rancangan tu gagal sebab hujan lebat bermula dari petang. Langsung takda tanda-tanda nak berhenti. Apit dan Bob pun cancel nak datang. Semua pakat tak nak redah hujan lebat. Aku pula duduk sorang-sorang berselubung dengan kain pelikat depan tv.

Perut dah berbunyi sakan. Sejuk-sejuk macam tu kalau ada ayam goreng KFC atau pizza memang sangatlah memenuhi kehendak selera aku. Aku bangun malas menuju peti sejuk kat dapur. Tengok ada nugget. Aku keluarkan nak bagi defrost dulu. Ada sebuku roti Gardenia atas meja.

“Makan nugget dengan roti je la aku malam ni. Hai lah nasib. Baru petang plan nak makan tomyam kat restoran Jenab Lawa & Wow.” Gerutu aku berseorangan.

Sementara menunggu nugget mencair, aku berlalu ke beranda di sebelah depan rumah. Niat nak menghisap rokok dulu barang sebatang dua. Nenek tak ada, memang line clear la aku nak hisap rokok kat rumah. Kalau tak, pasu kesayangan dia tu pun dia sanggup hempuk kepala aku.

Aku ingat lagi kata-kata nenek aku. “Aku tak kisah pasu kesayangan aku ni pecah sebab tibai hang. Asalkan hang jadi orang baik. Aku lagi sayang cucu-cucu aku daripada semua harta kat dunia ni.”

Masa aku dok bersidai kat beranda, mata aku meliar perhati kat persekitaran rumah. Hujan lebat terus membasahi bumi tanpa tanda-tanda akan berhenti dalam waktu terdekat. Sesekali angin dingin bertiup menghembus asap rokok Surya aku ke setiap pelusuk beranda.

Dalam kesamaran malam dan hujan, mata aku terdorong nak melihat ke arah jalan masuk di seberang titi. Panahan kilat dari kejauhan sedikit memberi cahaya ke persekitaran rumah. Setiap kali terdapat lebih sedikit cahaya, aku rasa macam terpandang ada satu sosok yang berdiri kat situ.

Sosok tubuh tu berdiri di tempat yang sama, dalam cara yang sama macam aku nampak beberapa minggu sebelumnya. Meremang bulu roma seluruh badan aku. Kepala dah rasa kembang. Cepat-cepat aku alihkan pandangan sambil beristighfar dan membaca beberapa p****g ayat suci.

Aku yakinkan diri yang itu hanya khayalan aku. Perlahan-lahan aku toleh kembali ke arah sosok tu. Aku mengecilkan kelopok mata – cuba meneropong untuk menghapuskan kegusaran hati. Setelah beberapa ketika aku memfokuskan pandangan, sosok itu tidak kelihatan.

“Khayalan aku je la tu. Hisap rokok Surya ni kot yang buat kepala jadi weng!” Kataku di dalam hati. Cuba menyedapkan hati yang mana keyakinan diri dah mulai rapuh. Berkali-kali aku cuba fikir positif dan memberanikan diri sendiri.

Aku menjentik-jentik bara api rokok. Memadamkan bara rokok yang baru setengah batang aku hisap. Nak hisap rokok pun dah tak feel. Lantas aku terus masuk ke dalam rumah. Pintu dan tingkap ditutup rapat semuanya.

Sekarang ni nak pi dapur dan tandas pun dah takut. Memang aku seorang yang penakut. Masa nenek ada pun aku takut nak pergi tandas malam-malam sorang-sorang. Inikan pula aku tinggal sorang-sorang. Padahal tandas bukannya berada kat luar rumah pun.

“Aduhhhh menyesal aku tak paksa Apit dengan Bob datang jugak malam ni. Nak telefon rasa segan la pulak dah memalam cenggini.”

Aku pun dah buntu tak tau nak buat apa. Nak masak nugget di dapur – aku penakut. Akhirnya aku baring depan TV layan drama. Tapi sebelum tu aku buka semua lampu dalam rumah siap-siap.

Aku pastikan takda ruang gelap yang kelihatan dari sudut pandangan mata. Aku selalu berimaginasi di ruangan gelap tu ada makhluk yang berdiri memerhatikan aku. Fobia. Takut pada benda yang belum pasti wujud. Tapi baik aku ambil langkah berjaga-jaga dulu sebelum aku kena sergah dengan mambang yang tak diundang.

Akibat langsung tak ada rancangan yang menarik, akhirnya aku tertidur kat depan TV.

Semasa tertidur, aku bermimpi yang aku berasa sangat lapar. Memang logik la mimpi lapar sebab aku tak makan apa lagi malam itu. Aku mimpi yang aku berlari-lari ke sana sini cari makanan. Setiap kali aku jumpa makanan dan nak ambil, tiba-tiba makanan tu hilang.

Aku merangkak-rangkak mencari makanan. Dengan haus yang melampau. Tenaga aku dah hampir habis. Tekak terasa perit. Perut berkeroncong tanpa henti. Tangan dan kaki dah terketar-ketar. Sampaikan tak mampu lagi nak berdiri.
Dalam ketika aku terduduk lesu tak bermaya, tiba-tiba ada tangan yang menghulur ke arah aku. Tangan tu menghulurkan beg plastik putih yang aku sendiri tak pasti apa isinya. Di dalamnya seperti ada sebuah kotak berbentuk segiempat. Samar-samar pada beg plastik, tertera muka orang tua yang sangat aku dikenali.

“Colonel Sanders?? KFC!!!”

Hati aku melonjak riang. Umpama mengantuk disorongkan bantal, macam tu la juga aku masa tu. Tengah lapar, orang hulur KFC. Tunggu masa nak bedal ja. Berdasarkan kotak yang kelihatan, aku dah boleh agak yang dalam tu mesti set Lunch Plate ataupun Dinner Plate.

Aku terus menerima beg plastik dan membuka kotak kertas makanan yang sekian lama dah aku idamkan nak makan. Bau harum ayam goreng menusuk hidung. Di dalamnya terdapat roti, dan dua bekas kecil tertutup. “Pasti yang tu coleslaw dengan mash potato.”

Namun apa yang peliknya adalah ayam goreng itu berwarna hitam. Tak ubah macam ayam selasih. “Eh! Sejak bila KFC keluarkan menu ayam goreng selasih ni? Ayam ni kan mahal. Ah, lantaklah! Janji aku dapat makan.”

Aku terus melahap ketulan ayam yang pertama. Sedap ya ampun! Tak pernah aku rasa ayam KFC sesedap yang ni. Punya sedap sampai bebola mata hitam aku ternaik ke atas. Haaa gitu feeling dia. Melampau-lampau betul.

Ketulan pertama telah licin aku baham. Sebaik aku menggigit ketulan yang kedua, aku terasa pelik. Kali ni rasa macam ayam basi. Perlahan-lahan bau bangkai menusuk hidung. Bila aku perhati tempat aku gigit tu, kelihatan dipenuhi ulat renga. Jadah!!!

Terasa ada benda bergerak-gerak dalam mulut aku. Aku luahkan dan nampak beribu-ribu ulat menggeletik. Terus aku cuba memuntahkan kembali ayam yang aku makan tadi. Kembang tekak.

Sayup-sayup aku terdengar suara ketawa. Sesekali suara tu mengilai panjang. Sekejap suara besar, sekejap suara kecil nyaring.

Aku dah menggeletar seluruh badan. Manik-manik peluh mulai memercik daripada segala celahan bulu roma. Suara ketawa tu semakin lama semakin mendekat. Pada ketika tu, aku berharap sangat aku dapat segera tersedar daripada mimpi.

“Macam mana aku nak sedar daripada mimpi ni?!!”

Aku menampar pipi aku. Tak berjaya sedar. Kali kedua aku tampar lebih kuat. Tetap tak berjaya. Aku terus menampar ke kiri, kanan, kiri, kanan berulang kali. Apa yang aku dapat hanyalah pedih, air mata bergenang dan hidung yang berhingus cair. Sadis sekali.

“Mungkin ada pintu untuk keluar. Macam dalam filem Hollywood tu.”

Bila aku memerhati keadaan sekeliling, aku rasakan suasana semakin kelam. Mata aku meliar cuba mencari jalan keluar. Tak tahu arah mana nak keluar dari mimpi ni. Berputar-putar aku kebingungan. Di sekeliling bagaikan tiada berpenghujung – saujana mata memandang.

Aku tertunduk. Menangis – macam budak-budak.

Aku menjeling ke arah kotak KFC tadi. Sebaik mata aku tertancap kembali pada kotak KFC tadi, logo orang tua Colonel Sanders dah bertukar menjadi muka beruk hitam. Menyeringai menampakkan taring. Mata berwarna merah, sepet, panjang dan tirus.

“B**I!! Dubur wuwuwuwu!!! #%$&#(&&$#&(#&(#$&(% wuwuwuwuu”

Aku mencarut dengan bersungguh-sungguh. Tak pernah aku begitu gigih mencarut sebegitu rupa. Mencarut dalam keadaan aku masih teresak-esak menangis.

Hilaian tawa yang kedengaran sekarang berada betul-betul di sebelah telinga aku. Badan menggigil tahap maksimum. Kalau diukur dengan skala Richter, mungkin dah 10.0. Perfect 10.

“Pakli”

Satu suara garau memanggil nama aku dari arah belakang disertai dengan tepukan pada bahu. Naluri spontan membuatkan aku segera menoleh.

Mata aku terbeliak. Mulut ternganga. Jantung bagaikan terhenti. Pandangan aku mulai gelap…

“Celaka punya beruk…”


Aku tersedar daripada mimpi ngeri tu dengan badan yang berpeluh – lembab habis karpet. Jari-jemari tangan aku masih menggigil. Tekak masih lagi terasa loya. Sesekali aku terbayang umpama ada lagi ulat yang bergerak di dalam mulut.

Tiba-tiba cahaya terang menyinari tingkap Nako berpunca dari arah luar rumah. Letrik terputus. Blackout!

Guruh berdentum kuat. Bunyi yang terhasil daripada kilat yang menyabung membelah udara sangat bingit sehingga terasa gegendang telinga bergetaran kuat. Aku terpaksa menekup kedua-dua belah telinga lantaran tak tahan akan kebingitan guruh tersebut.

Gelap-gelita di dalam rumah. Hanya bunyi hujan yang menimpa atap rumah yang menghiasi suasana. Aku mula terfikirkan perkara-perkara yang menyeramkan.

“Dahlah tak hilang lagi rasa mimpi seram tadi, ni boleh blackout pulak!”

Aku rasa berbelah-bagi sama ada nak pergi ON balik letrik kat suis utama atau duduk ja mengerekot kat sini sampai siang esok. Aku risau ternampak benda-benda angker ja masa on the way nak buka suis.

Buatnya masa aku nak petik suis tu, aku tersentuh sesuatu yang sejuk, lembik dan berlendir. Huih! Ngeri! Punya la penakut aku ni. Padahal suis utama tu berjarak tak sampai 10 meter pun.

Lepas beberapa minit berfikir sambil menonggeng dengan muka ditekup ke bantal, akhirnya aku buat keputusan nak redah ja ON suis utama. Memandangkan nak siang lambat lagi, takkan aku nak menonggeng macam ni berjam-jam.

Lagipun aku risau kalau tertidur semula, aku akan mimpi lagi beruk makye KFC tu. Entah makanan apa pula dia nak bagi aku makan. Mungkin cendol durian? Cendol dibuat daripada kahak hijau pekat si beruk tu. Terasa lemak-lemak masin. Slurrrppp! Meleleh di tepian bibir aku. Uwekkk!

Perlahan-lahan aku bangun menghala ke arah suis utama. Mula-mula agak teraba-raba aku dalam gelap. Tapi setelah mata dapat menyesuaikan diri dengan kegelapan, aku mula dapat melihat samar-samar suasana rumah.

Aku cuba memfokuskan mata aku hanya pada suis utama. Kedua-dua tangan aku membuat seperti teropong. Ini untuk mengelakkan ekor mata aku daripada terpandang makhluk angker.

Akhirnya aku berjaya membuka semula suis. Lega. Terang-benderang rumah aku disinari pendarflour. Dalam kepala aku mula dah memikirkan aku nak layan tengok TV sampai pagi. Dah pagi baru aku tidur.

Baru tiga langkah, kilat sekali lagi menyabung.

KTAKKK!!

Bunyi daripada suis utama. Blackout sekali lagi! Hati yang baru lega tadi kini panik semula.

Ketika bunyi guruh menggegarkan rumah, kilat yang kedua menyabung. Bercahaya seluruh kawasan luar rumah. Cahaya yang masuk melalui tingkap membuatkan aku terpandang sesuatu yang sangat-sangat aku ingat elakkan.

Betul-betul di pintu dapur, berdirinya satu sosok hitam memandang ke arah aku. Tegap dan tinggi separas dengan pintu. Bulu-bulu kasar jelas kelihatan.

“Makkkkkkkk!”

Dengan kekuatan yang ada sedikit bersisa, aku berpusing untuk membuka semula suis utama. Lembik lutut masa melangkah. Rasa terhuyung-hayang macam nak jatuh terjelepok.

Berkali-kali aku cuba membuka suis tapi setiap kali dibuka, ia tetap menendang kembali. Air mata mula mengalir.

Dari arah belakang bunyi tapak kaki berjalan. Setiap langkahan berbunyi seperti gumpalan kain basah yang dipijak. Makin lama makin mendekat. Dengusan nafas yang kasar makin jelas kedengaran. Tuhan ja tahu betapa paniknya aku masa tu.

Aku berharap aku segera pengsan. Aku dah tak sanggup nak hadapi ketakutan yang terlampau ni. Tapi setiap detik yang berlalu, aku makin kecewa. Sebab aku tetap tak pengsan.

“Arghhhh bodo la! Bila nak pengsan ni? Tolong la pengsan. Tolonglah!”

Setelah berpuluh-puluh kali suis tu dipetik, akhirnya aku berjaya. Itu pun macam dah nak tertanggal suis tu dibantainya aku. Bila aku menoleh ke belakang, sosok hitam tu dah tak ada.

“Takleh jadi ni. Aku kena keluar dari rumah ni. Kalau stay sorang-sorang lagi, mau kena kokak dengan beruk tu.”

Aku terus cepat-cepat mencapai segala baju, seluar dan dimasukkan ke dalam plastik. Pantas sebab aku takut blackout lagi. Tujuan aku cuma satu – aku nak keluar rumah dan menuju ke rumah Apit atau Bob.


Dalam hujan yang masih lebat dan kilat yang sabung-menyabung, aku meredah kesejukan malam merempit menghala ke rumah Bob. Malam itu aku bermalam di rumah Bob.

Tanpa disedari, aku secara rasminya telah bersetuju menerima saka itu sebagai pendamping aku…


Hidup aku jalani secara normal. Tiada sebarang kepelikan yang berlaku. Aku pun dah mula melupai mimpi-mimpi ngeri yang terjadi.

Aku langsung tak sedar akan saka yang mendampingi. Sehinggalah ada satu peristiwa yang terjadi…


Aku, Apit, Bob dengan dua orang lagi kawan sekolah aku tengah melepak kat taman permainan. Taman permainan ni memang jadi port kami melepak dan menghisap rokok selepas tamat waktu persekolahan. Biasa la budak-budak baru nak up. Poyo.

Tengah kami sedap melepak sambil menghembus asap, datang sekumpulan 6 orang budak-budak sekolah. 4 lelaki dan 2 perempuan. Semuanya bermotosikal dengan ekzos prangg. Umur lebih kurang sebaya dengan kami. Aku gelarkan dorang Geng Sakai je la senang.

Geng kami semua pakat usha panas. Dah la datang buat onar – bising tak bertempat. Dok buat style lak sembang kuat-kuat. Bila dorang perasan kami dok usha rapat, dorang makin menjadi-jadi. Makin kuat moto direm. Digelak-gelakkan kami. Takdak pasal, cari pasal.

D***h aku makin menyirap. Datang port orang dok buat style. Aku pun yakin yang kawan-kawan aku yang lagi 4 orang pun mesti hati dah panas menggelegak.

“Hoi, dok buat bising apa?! Diamlah!” Tengking Apit tiba-tiba. Aku menoleh – muka dia dah merah padam. Penumbuk dah digenggam. Perghhh! Rasanya ada yang pecah muka nanti ni. Dalam ramai-ramai kawan aku, Apit yang paling panas baran.

“Suka hati bapak aku la nak bising ke diam! Tempat ni pun bukan bapak hang yang punya!” Sahut salah seorang budak yang berbadan agak tegap. Butang bajunya dibiarkan terbuka separuh. Rokok Dunhill terselit di telinga kanan.

“Nak buat bising pi tempat lain la b**i! Jangan dok menyemak kat port orang. Bangsat! Bingai!” Kedengaran nada geram dalam gema suara Apit. “Blah sebelum muka hangpa semua pecah!”

“Wuuuu takutttt!!! Hahahahaha!”

Dorang semua ketawa memerli kata-kata Apit. Dada Apit dah berombak kencang. Nafasnya mula jelas kedengaran. Pantas. Kasar.

Apit dah mula bergerak ke hadapan. Namun dihalang oleh Bob. Dia meronta-ronta minta dilepaskan. Kata-kata makian dan simbol carutan saling berbalas.

Dalam hati aku dah boleh agak dah yang keadaan ni bakal jadi pergaduhan sebentar lagi. Tapi, tapi, tapi… aku baru ja cucuh rokok Surya kot. Baru setengah ja aku hisap. Tak puas lagi aku menghirup asap bagi memenuhi ketagihan nikotin. Aku harap dorang bertekak dulu sebelum betul-betul mula bertumbuk.

“Woi b**i! Kalau berani mai sini la! Bacoi ka?” Jerit budak berbadan tegap daripada Geng Sakai. Kedua-dua jari tengahnya dikeluarkan dan membuat gaya menggamit.

Aku tenung dan perhatikan lencana sekolahnya. Hmmm dah agak dah daripada sekolah tu. Sekolah paling ramai pelajar bermasalah kat bandar ni. Patut la dok buat gengster semacam. Perangai macam b**i menyondol.

Apit menolak tangan Bob. Dia Laju dia berjalan ke arah Geng Sakai. Bob dan lagi dua orang rakan juga turut mara dan mengekor di belakang Apit. Kepala masing-masing didongak dan ditelengkan sedikit. Baru nampak gengster!

Geng Sakai juga mulai merapatkan diri. Butir kata semakin kurang jelas kerana masing-masing menjerit memaki hamun lawan masing-masing. Kedua-dua orang perempuan turut serta menghamburkan kata kejian. Dah macam kartun aku tengok.

Aku? Aku tetap duduk bertenggek di tangga papan gelongsor. Sesekali bunyi bergemeretak hasil serbuk cengkih yang terbakar. Aku masih tenang menikmati keenakan rokok keretek keluaran Indonesia. Nak dibuang sayang. Aku bukannya berduit nak beli rokok kotak.

“Empat lawan empat. OK la tu. Kalau aku join jadi tak fair pulak. Baik aku layan hisap rokok sambil tengok filem 18SG. Hehehe. Tapi kalau dah tak boleh makan, aku kena masuk campur gak ni. Takkan nak biar dorang kena belasah dengan Geng Sakai tu!”

Dari kejauhan aku perhati dorang bergaduh. Ala budak-budak bergaduh, jarang ada yang m4ti kalau setakat bergaduh lawan tumbuk sepak ja.

Sesekali budak perempuan tu pukul curi setiap kali ada kawan aku yang terjatuh. Keji betul. Dah la bersorak suara macam keldai.

Tiba-tiba budak tegap Geng Sakai seakan memberi arahan kepada kedua-dua budak perempuan. Lantas dorang berlalu ke arah motosikal dan mengambil empat biji helmet.

“OK ni dah lebih. Hero kena selamatkan keadaan la macam ni.”

Geng Sakai mula melibas helmet secara semberono. Apit dah terkena di bahagian sisi kepalanya. Mengerekot dia di atas rumput sambil memegang kepala. Mesti bengong kepala otak dia. Sesekali budak perempuan menyepak badannya yang dah tak berdaya.

Dua orang lagi rakan aku pula dok mengusap lengan. Kesakitan hasil menahan libasan helmet yang keras. Mereka berdua pun sudah mula berundur.

“HOIII B**I!! Apahal fight pakai helmet?!” Jerkah aku pada Geng Sakai yang berperangai sangat sakai.

“Hahahahaha! Suka hati aku la nak pakai helmet! Hang jangan masuk campoq. Nanti bersepai pulak otak bila helmet ni hinggap kat kepala hang!”

Aku hanya tersenyum sinis. Langsung tak ada perasaan gentar dalam diri aku. Aku tak pasti sama ada disebabkan adrenalin yang mula merembes atau ada sebab-sebab lain.

Aku terus memecut ke arah Geng Sakai. Satu tumbukan hinggap di pipi budak tegap. Kemudian siku aku terus menyerang dada budak yang kedua. Kedua-duanya terpelanting dan tergolek-golek terkena serangan aku.

Aku rasa pergerakan aku sangat pantas dan lancar. Seolah-olah dorang semua berada dalam slow motion. Sehinggakan aku mampu berfikir untuk menumbuk bahagian mana dan melancarkan serangan kedua dalam sekelip mata.

Budak Geng Sakai yang kedua dan ketiga terus menghayunkan helmet ke arah aku. Serentak. Deras.

Dan sekali lagi aku nampak serangan dorang sangat slow. Aku sampai sempat menggaru kepala dan menenyeh mata akibat tak percaya dengan kejadian yang berlaku di depan aku.

Malas nak berfikir panjang, aku terus merampas kedua-dua helmet dorang dan melibas kedua-duanya di bahagian perut. Terpelanting dan tersenak perut kedua-dua ekor budak tu.

“Arghhhh! Haaaaa haaaaa hannnnntu!” Budak berbadan tegap kelam-kabut bangun dan berlari ke arah motosikalnya. Rakan-rakannya yang lain turut terbeliak biji mata dan mula melarikan diri.

Yang tak sempat start motosikal, terus terkocoh-kocoh menolak laju. Tersadung-sadung ketika berlari. Hampir saja tersungkur.

Salah seorang budak perempuan masih lagi terkaku dan ternganga mulutnya. Umpama menjerit tapi suara langsung tak keluar. Bila aku menggertak, terus dia terjelepok pengsan.

“Ah sudah! Takkan pengsan pulak kot? Juborlah!”

Suara mengaduh masing-masing terdengar daripada rakan-rakan aku. Aku terus menghampiri Apit sebab dia yang paling teruk kena ketuk tadi.

“Apit oi. Hang ok ka?” Soal aku pada Apit yang dah duduk bersila sambil menunduk ke bawah. Diusap berulang kali di tempat yang kena ketuk tadi.

“OK la. Takdak hal.” Jawab Apit ringkas. Sesekali dia memejamkan mata dan mengerutkan keningnya tanda menahan kesakitan. “B**i nakharam punya budak.”

“Weh budak perempuan ni macam mana? Boleh pengsan pulak.” Aku menguis-nguis kakinya. Aku tengok perut dia masih bergerak turun naik, tanda dia masih bernafas. “Tah-tah buat-buat pengsan.”

Apit tiba-tiba bingkas bangun dan menjerit, “Woi betina!” Badannya sedikit terhoyong-hayang kerana masih pening kena hentakan padu helmet tadi.

“Kita blah ja la. Biaq la pompuan ni kat sini. Pandai-pandai la dia nak hidup.” Bob bersuara memberi cadangan. Wajah bengis masih belum hilang pada wajahnya. Masih menahan marah.

“Elok gak tu. Elok humban dalam longkang ja. Biaq m4ti. Tak pasal-pasal bengkak kepala aku ni.”

“Rilek bro. Kita tak boleh tinggal dia macam ni. Kalau m4ti si musibat ni, mampos kita. Tak pasal-pasal kita makan tidoq free nanti.” Aku menyuarakan sedikit kebimbangan aku. “Sat aku pi cari ayaq.”

Mata aku melilau mencari air. Last-last aku tengok dalam longkang, jumpa kotak Peel Fresh Oren yang airnya masih berbaki.

Perlahan-lahan aku curahkan air oren ke muka budak perempuan Geng Sakai. Air pun dah berkeladak. Tah bila zaman punya. Mesti dah basi. Nak termuntah aku tengok. Meloyakan.

Kawan-kawan aku terkekek menahan ketawa melihat muka budak perempuan tu bersememeh dengan air oren basi. Ketulan-ketulan oren penuh di mukanya.

Terpisat-pisat budak perempuan tu tatkala dia mula sedarkan diri. Perlakuan seperti orang biol. Blur. Kecik besar kecik besar kelopak mata dia. Mungkin cuba memfokus minda dan penglihatan. Hodoh. Dah la muka tak semenggah, perangai pun serupa lahanat.

“Hoi, bangun!” Tegur Apit sambil menyepak-nyepak perlahan tapak kasut perempuan itu. Kami semua sekadar memerhati dan mengelilinginya.

“Aku… aku kat mana?”

“Hang kat syurga dah. Hang dah m4ti. Selamat datang ke syurga. Hehehehe,” jawab Apit selamba. Kami yang lain menekup mulut menahan ketawa.

“Hah syurga? Bila aku m4ti? Awat aku nampak tak macam syurga pun?” Budak perempuan tu mula menyapu mukanya yang penuh dengan keladak air oren basi. Kemudian diciumnya sambil hidungnya kembang-kempis cuba mengenal pasti bahan apakah yang melekat dimukanya.

“Apa ni?”

“Ohhh itu air oren dari syurga. Lebih pekat dan berkrim.”

“Awat bau busuk? Rasa pun macam dah basi ja.”

Saat ini dah tersembur-sembur air liur aku menahan ketawa. Akhirnya kami semua berderai ketawa. Bob sampai terduduk sambil memegang perutnya yang sedikit boroi. Mengalir air mata dan air hidung akibat kelucuan yang melampau.

Tiba-tiba budak perempuan tu seakan-akan mahu menangis. Jarinya dituding ke arah aku. Dia mula berundur ke belakang dan cuba menjauhkan diri dari aku.

“Weh hang apahal? Takut kena lempang dengan aku?” Aku menegurnya. Sinis.

“Aku ta ta ta takut. Wuwuwuwuwu.”

“Takut apa? Bukan aku nak rogol hang. Tengok muka hang pun dah p****g selera aku.”

“Ta ta ta ta tadi muka hang ma ma ma macam… macam… macam…”

“Macam apa?!!”

“Macam beruk! Wuwuwuwu. Muka badan, tangan semua penuh bulu hitam.”

“Hang kata aku beruk?! Tak sayang mulut betul.”

“Bu bukan. Tadi rupa bertukar beruk. Sekarang dah OK dah.”

“Hang jangan memain. Cakap betul-betul la.”

“Betul la. Sebab tu aku pengsan. Takut sangat tengok muka hang yang menakutkan tu.”

Aku sekadar terdiam mendengar penjelasan budak perempuan itu. Rakan-rakan aku yang lain semuanya memandang aku. Mungkin menunggu ayat seterusnya yang nak keluar daripada mulut aku.

“Dah lah. Hang pi blah. Hang bagitau semua kawan hang tu, jangan mai sini lagi.”

Budak perempuan itu bingkas bangun. Perlahan-lahan dia melangkah. Sedikit terhuyung-hayang. Sesekali dia menoleh ke arah kami dengan muka kerisauan – atau mungkin dia hanya memandang aku sebenarnya.


Kejadian pergaduhan tempoh hari sedikit menganggu fikiran aku. Aku sendiri tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi. Sebelum-sebelum ni pernah juga aku bergaduh. Tapi tak pernah pun jadi macam kejadian tu.

Aku turut bertanya Bob dengan Apit pasal beruk. Tapi dorang cakap tak nampak pun aku bertukar jadi beruk. Macam biasa ja. Cuma dorang puji refleks aku yang sangat cepat gila-gila. Macam The Flash. Gitewww.

Akhirnya selepas berfikir dan langsung tak mendapat jawapan, aku sendiri pun mula lupa akan kejadian tu.

Tapi ada satu kejadian yang menjentik kembali pemikiran aku tentang misteri beruk tu.


Hari persekolahan berjalan macam biasa. Aku sedikit bengang sebab dua batang rokok yang aku tertinggal semalam di bawah meja dah hilang. Aku syak budak sesi petang yang ambil sebab kelas aku ni berkongsi dua sesi persekolahan.

Tapi aku malas la nak gaduh-gaduh. Ala rokok dua batang baru berapa sen ja. Lagipun aku selalu pow rokok Bob sebab mak bapak dia orang ada-ada. Bob la selalunya menjadi tempat kami menumpang kasih dan mendambakan sebatang dua rokok.

Aku perasan sejak dari pukul 11 lebih ada seorang pelajar yang memerhatikan aku. Budak tu beberapa kali lalu di koridor tepi kelas aku dan pandangan matanya sentiasa tertancap pada aku. Aku langsung tak kenal budak tu.

Pada pandangan aku, tu budak junior. Sesi petang mungkin. Sebab muka masih kebudak-budakan. Rambut pun masih basah berminyak tandanya dia baru mandi dan baru saja sampai sekolah. Agak pelik sebab sesi persekolahan petang lambat lagi nak mula. Awal pulak budak ni sampai.

Setiap kali dia lalu, aku dapat lihat wajahnya yang terpancar kegelisahan. Kemudian dia duduk di bangku di bawah pokok tak jauh daripada kelas aku. Aku perhati ja gelagat budak tu. Sesekali dia tertunduk-tunduk berjalan mundar-mandir mengelilingi bangku.

Sewaktu sesi persekolahan pagi hampir tamat, budak tu dah tercegat di tepi pintu kelas aku. Sebaik loceng berbunyi dan cikgu pun dah keluar, aku terus capai beg nak ke kelas sebelah di mana Apit dan Bob berada.

“Bang… sekom bang… bang!”

Kedengaran suara lelaki dari arah belakang tapi aku langsung tak menghiraukan panggilan tu. Tiba-tiba aku rasa bahu dicuit beberapa kali membuatkan aku menoleh.

Kelihatan budak yang kegelisahan tadi berdiri tegak di belakang aku. Mataku memerhati seluruh wajahnya. Kelopak bawah matanya kelihatan sedikit hitam. Sembap. Bebola mata pula sedikit kemerah-merahan dengan urat mata jelas kelihatan. Mukanya sedikit pucat.

“Bang…”

“Hah ada apa? Tadi aku nampak hang dok berkawat banyak kali depan kelas aku. Apahal?”

“Saya…saya sebenarnya yang duduk tempat abang bila sekolah sesi petang.”

“Owww hang ka. Abestu? Nak kena peluk ka camna ni?”

“Salam je la bang. Peluk macam pelik sangat rasanya.”

“Ehhhh sebelum tu. Hang ka yang ambik rokok aku? Aku tertinggal semalam. Hari ni aku tengok dah takdak. Agak-agak la wei rokok berapa kupang ja pun hang nak curi!”

“Ya… iye… ya…”

“Ya iye ya iye apa kes hang ni?”

“Ya ya… Saya yang ambil rokok tu. Saya nak minta maaf bang. Saya dah terhisap semua malam tadi. Tapi hari ni saya ganti balik lebih sikit.”

Budak junior tu menghulurkan kertas buku latihan yang telah dikoyakkan dan dijadikan seperti sampul. Segera aku mengambil dan memasukkan ke dalam poket seluar belakang. Berdasarkan saiz dan berat sampul, aku sebagai ahli ‘persatuan perokok bebudak sekolah seantero dunia’ dapat mengagak ada 4 batang rokok dalam sampul tu.

“Hoi baru form two dah pandai hisap rokok!” Suara aku sedikit meninggi. Konon-konon marah. Padahal aku masa darjah 6 dah curi-curi hisap rokok walaupun terbatuk-batuk macam nak m4ti. “Tapi aku tabik Hitler kat hang sebab berani mengaku kesalahan dan pulangkan balik rokok aku. Eh! Ini bukan perangkap kan? Buatnya hang rancang baik punya dengan cikgu nak kenakan aku, naya aku weh! Aku siku hidung hang biar senget, baru hang tau!”

“Tak bang. Saya tak bagitau sapa-sapa. Cuma saya nak ganti balik rokok abang dengan minta maaf sangat-sangat. Saya merayu bang. Abang maafkan saya ye. Saya janji tak ambik barang abang atau barang orang lain lagi. Saya bersumpah!” Rayu budak junior bersungguh-sungguh. Wajahnya kelihatan bersungguh-sungguh mengharapkan kemaafan daripada aku.

“Oppp.. Oppp.. Chup! Chup!” Aku membuat gaya bersilat umpama seorang pendekar menepis serangan musuh. “Awat yang hang sungguh-sungguh sangat ni? Macam orang dah nak sampai ajal ja aku tengok hang ni. Cuba cerita betul-betul dengan aku,” ujar aku sambil menepuk-nepuk bahu kirinya.

“Tak bang. Lepas saya hisap habis rokok abang tu dengan kawan-kawan saya yang lain malam tadi. Kami semua kena sergah dengan suara garau. Bunyi memang macam bukan manusia. Bergema seluruh kawasan tempat kami lepak tu. Apa lagi, kami semua bersepah lari balik.” Cerita budak junior bersungguh-sungguh.

“Itu la jangan lepak malam-malam. Nabi dah pesan jangan keluar malam-malam. Ingat pesan abang ni ye. Tengok macam abang ni, tiap-tiap malam dok rumah ja, study…emmmm.”

“Lepas tu bang, bila saya dah sampai rumah dan nak kunci pintu, saya ternampak makhluk hitam kat pagar. Berdiri tegak pandang saya ja. Lembik lutut saya masa tu bang.”

“Hah makhluk apa? Alien? Hehehe.”

“Bukan bang. Hantu kot. Rupa macam beruk. Tapi berdiri macam kita manusia. Cuma badan dia tinggi dan tegap.”

Aku tersentak bila dia sebut pasal beruk hitam. Ni dah masuk kali kedua orang sebut pasal beruk hitam. Pengalaman yang aku alami sendiri pun dah berkali-kali. Aku mula rasa tak sedap hati.

“Lepas tu bang. Bila saya tidur malam tu, beruk tu mai dalam mimpi saya. Dia suruh pulang rokok tu dan minta maaf dengan abang. Bila saya terjaga, saya nampak beruk tu merenung saya dari luar tingkap bilik. Terus saya tak boleh tidur. Tapi bila dah nak subuh saya terlelap lagi, sekali lagi saya mimpi benda yang sama. Seram sangat bang. Saya betul-betul minta maaf bang…”

Mata budak junior tu dah mula bergenang. Bila dia tunduk, setitis dua air mata menitis ke lantai.

“Yela. Aku maafkan. Dah dah. Aku nak balik dah ni. Lapaq rokok. Chow!”

Aku terus menuju ke arah Apit dan Bob yang dah sedia menunggu aku. Bila aku menoleh ke belakang, budak junior tu masih tercegat di situ dan memandang aku dengan pandangan yang sayu. Aku sekadar membuat isyarat suruh dia balik.


Sejak dari peristiwa itu, aku mula serius memikirkan kejadian aneh yang mengelilingi aku sekarang. Aku dah mula syak ada benda atau jin yang mengekori aku. Tapi entah kenapa aku langsung tak terlintas nak terfikir pasal saka moyang aku.

Sehinggalah ada satu hari Pak Ngah datang rumah nenek. Sengaja dia menziarahi kami. Ketika itulah aku tiba-tiba baru teringat pasal saka moyang. Aku mula syak saka tu menumpang badan aku.

Aku pun ambil kesempatan nak bertanya berkenaan saka ni kat Pak Ngah. Dia pun menceritakan secara detail semua tentang saka-sakau dari A sampai Z. Aku yang bodoh pada mulanya telah menjadi lebih pandai sekarang tentang hal mistik.

“Ni yang hang berminat sangat nak tanya pasal saka sebab apa?” Tanya Pak Ngah sesudah dia menjawab segala persoalan aku pasal alam mistik. Tembakau lembab digentelnya dan digulungkan bersama daun. “Hang ada saka ka?”

“Eh, takdak Pak Ngah. Mana ada sakaaaa. Syirik semua tu!” Jawab aku cuba menafikan, walaupun dalam hati aku sudah berasa berbelah-bagi akan kewujudan makhluk misteri yang mendampingi aku.

“Arwah mak dengan bapak hang tu setahu Pak Ngah, depa memang takdak saka. Jarang dah orang zaman sekarang nak ambik saka baru. Kebanyakan yang tinggal semuanya saka keturunan zaman berzaman,” ujar Pak Ngah lagi sambil menyedut asap rokok daunnya. Asap dihembus ke sisi. Matanya dikecilkan kerana zarah-zarah asap sebahagiannya menghembus masuk ke bebola matanya.

“Pak Ngah tau ka saka moyang tu rupa bentuk macam mana?”

Pak Ngah menoleh dan merenung tepat ke muka aku. Dia terdiam beberapa detik. Aku pun tak pasti apa yang cuba dibacanya daripada wajah aku. Dahinya berkerut seumpama berusaha keras untuk membaca dari riak wajah aku. Aku pula lantas melarikan pandangan ke arah rokok daun dan berpura-pura membalut sebatang.

“Saka arwah moyang hang tu berupa beruk berbulu hitam.”

Nafas aku terhenti, rokok yang dibalut terlepas daripada pegangan. Bagaikan ada satu pukulan tepat ke dada. Aku tergamam. Tanganku mula menggeletar. Sedaya-upaya aku cuba menyembunyikan kegelisahan daripada Pak Ngah.

“Angah! Pakli! Mai minum kopi dengan cucoq jagung!” Laung nenek dari arah ruang tamu. Kelihatan kelibatnya di sebalik tingkap Nako bersama dengan Mak Ngah yang sedang sibuk menghidangkan minum petang.

“Hang Pakli, kalau ada saka moyang dok ganggu hang, bagitau Pak Ngah. Kita ikhtiar pi buang.” Tegas nada suara Pak Ngah tatkala dia mula bangun untuk masuk ke dalam rumah. “Saka ni, kena tuan dia sendiri yang rela nak buang, baru senang sikit nak buang. Kalau dipaksa, memang susah.”

Aku hanya terdiam mengangguk.

Tatkala berjalan beriringan untuk masuk ke dalam rumah, Pak Ngah bersuara lagi, “Sementara Pak Ngah dengan nenek dok hidup lagi ni, elok la pi buang. Kalau kami dah takdak nanti, sapa nak tolong hang?”

Aku terkejut dengan kata-kata Pak Ngah. Pak Ngah dah tau ka yang aku ada saka moyang? Atau dia sekadar serkap jarang?


Selepas berjumpa Pak Ngah, aku tetap mendiamkan diri tak bagitau sapa-sapa. Dalam diri aku rasa berbelah-bagi nak bagitau nenek atau tak. Setiap kali aku nak bagitau, mulut mesti rasa berat. Macam ada sesuatu yang menghalang aku untuk bercakap.

Dalam pada tu, aku selalu rasa macam diperhatikan. Sampaikan nak berak pun tak senang. Selalu ja berak tak puas. Bengang juga aku.

Tidur malam aku juga kadang-kadang terus dihantui mimpi ngeri. Makin meluat aku rasa sebab bila terjaga ja basah cadar dengan peluh.

Akhirnya sampai satu malam, saka beruk tu betul-betul munculkan diri dia dalam mimpi aku. Maksud munculkan diri tu adalah dia betul-betul tunjukkan rupa dia dengan jelas sejelas-jelasnya.

Mukanya memang berbentuk seperti beruk. Mata seperti mata kucing. Bebola mata berwarna hitam, manakala anak matanya berwarna merah. Taring panjang hingga separas dagu.

Seluruh tubuhnya dilitupi bulu berwarna hitam pekat. Badannya hibrid antara manusia dan beruk. Cara berdirinya tegak seperti manusia. Tangannya berjari lima manakala kakinya berbentuk seperti spesis beruk.

Sebelum aku terjaga daripada tidur, saka tu berkata, “Aku sedia berkhidmat bila-bila masa sahaja. Aku milik kau dan kau milik aku.”

Aku celik mata ja, aku ternampak beruk tu kat sudut bilik. Meroyan terus aku. Melompat dari katil terus terajang pintu bilik. Masuk bilik nenek – kosong. Nenek takda. Bertambah meroyan aku time tu.

Sempat aku jeling jam, pukul 6:10 pagi. Mesti nenek aku ke masjid. Selalu hari Jumaat dia akan berjemaah sebab ada orang baca kitab selepas selesai solat.

Elok ja aku pusing nak keluar dari bilik nenek, makhluk saka tu berdiri betul-betul depan muka aku. Mungkin aku m4ti seketika sebab jantung aku berhenti berdegup beberapa saat. Aku terbata beberapa saat.

Kemudian aku berundur beberapa langkah sampai tersadung kaki sendiri. Aku hilang imbangan dan mula jatuh. Dahi aku betul-betul menuju tepat ke bucu meja solek nenek.

Tiba-tiba aku rasa macam suatu kuasa yang menolak pada dada aku sehingga ke arah yang menjauhi meja solek. Agak terpelanting sebenarnya aku. Malangnya masa aku terpelanting tu, kaki aku terkena juga bucu meja solek.

Sakit memang bukan kepalang tak tau nak cakap macam mana. Tapi bila aku terpandang beruk tu masih berdiri memandang tepat, aku rasa macam nak pitam. Dunia makin gelap. Aku pengsan.


Semasa aku pengsan, aku bermimpi beruk bodoh tu datang dalam mimpi aku. Aku menangis macam orang sasau bila beruk tu makin lama makin melayang mendekati aku.

“JANGAN MENANGIS! LEMAH!”

Bergema kuat suara garau di ruang lingkup dalam mimpi aku. Aku tercari-cari arah suara itu sebab kalau nak kata beruk tu yang bercakap, mulut dia langsung tak bergerak.

“CARI APA?”

Suara garau tu bertanya. Kasar dan keras.

“Aku tengah cari siapa yang bercakap.” Aku menjawab dengan suara yang bergetar. Takut. Tapi kalau dalam dunia realiti, mesti aku langsung tak berani bersuara. Disebabkan ini adalah alam mimpi, mungkin sebab tu aku mampu berkata-kata.

“AKU YANG BERCAKAP.”

“Mana?”

“DI DEPAN MATA.”

“Eh beruk hitam. Hang ka yang dok bercakap?”

“HMMMM. YA!”

“Awat mulut tak gerak? Beruk pun dah pandai bercakap sekarang. Canggih.”

“RUPA INI HANYA MANIFESTASI DIRI AKU. KALAU AKU TUNJUKKAN RUPA YANG SEBENAR AKU, PASTI TUAN AKAN PENGSAN.”

“Ok tak payah tunjuk rupa betul. Rupa beruk makye hang tu pun dah nak pengsan aku tengok.”

“TUAN MEMANG TENGAH PENGSAN SEKARANG.”

“Hah! Betul ka? Aku nak bangun! Pengsan lama-lama boleh m4ti hang tau tak?”

“HMMM. ITU AKU TAK MAMPU LAKUKAN. TUNGGU SAMPAI TUAN TERSEDAR SENDIRI.”

“Bodo la beruk ni. Hang dah buat aku pengsan tapi hang tak mau sedarkan aku balik. Ehhhhh! Hang panggil aku tuan kan? Aku bukan tuan hang!”

“YA AKU MILIK TUAN. TUAN PEWARIS BARU AKU.”

Aku terdiam. Kelu. Berserabut fikiran aku.

“Bila masa aku terima hang? Takdak pun.”

“ADA. TUAN RELA TERIMA KEDATANGAN AKU. TUAN MASIH INGAT AYAM GORENG HITAM TEMPOH HARI?”

“Celaka! Anak haram! Bangsat! Hang trick aku dengan ayam KFC. Dasar makhluk terlaknat! %^$%$#^&^&@#*&^”

Tiba-tiba kedengaran dengusan yang sangat kuat. Bingit telinga aku. Bunyi nafas juga kedengaran bergema kuat di seluruh ruang mimpi aku. Nafas kuat macam naga. Aku rasa mungkin beruk ni marah bila aku maki dia.

“Aku takmau hang. Awat yang hang berkenan sangat dengan aku?”

“TUAN MASIH MUDA. TUAN JARANG SOLAT. AKU SUKA DENGAN TUAN.”

Tersipu-sipu aku mendengar jawapan beruk hitam tu. Memang aku sangat jarang solat. Jenuh nenek berleter. Tapi aku buat bodo ja. “Hang jangan terus-terang sangat boleh? Malu kalau orang dengar.”

“DALAM MIMPI TUAN NI HANYA ADA AKU DAN TUAN SAHAJA. TIADA ORANG LAIN.”

“Apa kelebihan yang aku dapat daripada hang sebagai pendamping?”

“TUAN INGAT BUDAK YANG CURI ROKOK TUAN?”

“Ha. Hang la ye yang menyakat budak tu sampaikan budak tu gantikan balik rokok aku. Merayu-rayu dok minta maaf dengan aku.”

“YA. TUAN MASIH INGAT PERGADUHAN TEMPOH HARI?”

“Oooooo… Hang la yang tolong aku! Patut la aku rasa macam tiba-tiba terer kung fu. Lepas tu semua Geng Sakai tu lintang-pukang lari sebab nampak hang la kan? Sampai pengsan budak perempuan sorang tu. Hahahahahahaha! Menarik… menarik…”

Beruk hitam tersenyum lebar bila aku memuji kebolehannya. Kelihatan seperti tubuh badannya semakin membesar dan tegap.

“TUAN PANGGIL SAJA AKU BILA-BILA MASA PERLU. PASTI AKU AKAN DATANG.”

Aku menganggukkan kepala. Perasaan seronok mula menjalar masuk ke dalam hati. Seronok rasanya bila dipanggil tuan. Siap ada bodyguard lagi.

“Apa pengerasnya? Maksud aku, aku nak kena jamu apa untuk bela hang? Aku takmau nak kena jamu pulut kuning la, ayam sekoq la, b**i panggang la. Itu semua menyusahkan. Dan aku pemalas.”

“TIDAK. CUKUP SEKADAR AKU HISAP D***H TUAN SEBULAN SEKALI SEMASA BULAN GELAP.”

“M4ti la aku hang hisap d***h sampai kering!”

“SEDIKIT SAJA. SEKADAR SATU CAWAN. TUAN AKU SEBELUM INI PUN TAK M4TI BILA AKU HISAP D***H DIA. BERPULUH TAHUN AKU MENDAMPINGI DIA.”

Tiba-tiba aku rasa badan aku bergoncang kuat. Muka dan badan pula rasa basah. Perlahan-lahan alam mimpi menghilang dari fikiran aku.

Bila aku buka mata, nampak nenek sedang mengejutkan aku dengan memercikkan air menggunakan balang spray untuk menggosok baju. Sesekali dia menggoncang badan aku.

Nenek bersungguh-sungguh bercakap. Namun aku langsung tak mendengar apa percakapannya. Pekak.

Aku terdengar bunyi nyaring yang membingitkan telinga. Berkerut dahi dan terpejam mata aku menahan bunyi yang menyakitkan gengendang telinga.

“PAKLI! Pakli. PAKLI! Pakli. PAKLI!”

Sayup-sayup kedengaran nama aku dipanggil. Semakin lama, semakin jelas. Berselang-seli antara suara nenek dan suara beruk hitam.

“Pakli! Bangun! Hang tidoq ka pengsan ni?” Kuat suara nenek bercakap. Balang spray terus dihalakan ke muka aku. Sesekali terasa butir-butir air memercik ke muka aku. Sejuk.

Aku terus menepis balang spray. “Pakli nak bangun la ni.”

“Hang buat apa kat bilik aku ni?”

“Emmm… Pakli nampak hantu tadi. Tu yang Pakli lari masuk bilik nenek. Tengok nenek takdak. Terus pengsan.”

“Aku pi masjid. Ni hang pi ambik minyak cap Kapak. Sapu-sapu kat kepala. Kalau rasa tak OK. Nanti kita klinik.”

“Takdak apa la nek. Pakli OK.”

“Hishhh hang ni pun satu. Penakut betul. Kita tak boleh takut kat makhluk. Kita kena takut kat Tuhan ja.”

“Haaa yela yela nek. Lepas ni Pakli tak takut lagi,” aku menjawab sambil tersenyum sinis. Lantas aku berjalan terhencut-hencut menuju ke bilik tidur aku.

“Oi Pakli! Semayang subuh dulu!” Sayup-sayup suara nenek kedengaran dari arah biliknya. Langsung aku tidak menghiraukan arahan nenek.

Aku terus membaringkan tubuh di katil. Sambil memandang kipas yang berpusing ligat, aku menyeringai. Lantas gebar ditarik menyelimuti seluruh tubuh.


Aku jadi semakin berani. Dengan selamba aku pergi bersemuka setiap kali ada orang yang cuba cari pasal. Tak perlu angkut geng, aku seorang diri pun relax ja pergi hadap.

D***h masih muda, ditambah dengan ada pendamping beruk terhebat. Makin menjadi-jadi ke-gengster-an aku. Aku umpama hero sekolah, siapa saja yang ada masalah, semua dijemput datang cari aku.

Setiap kali bergaduh, tak ada sebiji penumbuk pun yang hinggap kat tubuh aku. Semua aku dapat elak dan tepis.

Batang kayu yang besar bapak pun pernah aku tepis dengan lengan. Kalau diikutkan saiz kayu dan kuasa hayunan budak yang melibas kayu tu, orang yang tengok mesti kata lengan aku dah patah.

Tapi yang jadi adalah sebaliknya. Batang kayu tu yang patah. Lengan aku sikit pun tak lebam dan tak calar. Yang patah aku rasa tangan budak tu sebab impak yang kuat daripada tepisan aku.

Terkulai-kulai pergelangan tangan dia sambil terus berambus bersama geng-geng dia. Aku hanya ketawa terbahak-bahak sambil memberi jari tengah.

Disebabkan kehebatan aku yang dibantu oleh pendamping setia, maka aku pun akhirnya memberi nama panggilan manja untuknya. Sebelum ni aku hanya memanggilnya dengan nama Beruk. Lama-lama rasa kesian la pula dok panggil Beruk ja.

“Wahai nate Beruk… Sila datang menghadap beta,” seru aku perlahan. Risau nenek dengar. Aku suka bergurau dengan pendamping walaupun dia langsung tak pernah senyum dengan gurauan bodoh aku.

“HMMM TUAN.”

Tiba-tiba muncul Beruk di sudut bilik. Ikut suka dia ja nak muncul kat mana. Kadang-kadang melekat kat siling. Kadang-kadang atas almari. Yang paling aku tak lupa, dengar suara ja tapi cari tak jumpa. Jenuh aku cari. Rupanya dia dok bawah katil aku. Apa jadahnya muncul bawah katil. Beliau cuba nak bergurau lettew.

Aku pun dah tak takut tengok rupa Beruk yang hodoh dan bodoh-bodoh alang tu. Bila tengok lama-lama rasa macam comel pun ada. Kalau dibuang taring yang tersembul, mesti rupanya sangat menggetarkan tulang rusuk.

“Hari ni aku nak bagi nama baru untuk hang. Asyik panggil Beruk ja. Buruk nama tu. Kesian kat hang.”

Dalam samar-samar cahaya bilik, aku nampak badan Beruk bergerak-gerak. Mulut dimuncungkan ke depan, kemudian perlahan-lahan dia senyum. Sebijik macam perangai beruk dalam rancangan National Geographic.

“Olololo tenyum-tenyum. Cutenyeeee. OK mulai sekarang aku bagi nama…. Hmmm nama apa yang sesuai untuk hang… Hmmm… OK aku bagi nama Teddy Beruk. Teddy! Kahkahkahkahkah!” Aku terus gelak bagai nak gila.

Tertangkap telinga aku bunyi dengusan garau. Tapi aku tak hiraukan. Aku terus gelak guling-guling atas katil. Tiba-tiba terasa bergegar seluruh bilk aku. Perabot, kipas, botol minyak wangi semua bergegar dan bergoyang-goyang.

Aku terdiam.

“Marah lettew. Ahhh tak kira! Kalau tak suka sila berambus. Mulai saat ni, aku panggil hang Teddy,” kataku tegas namun hampir terburai kembali ketawa aku bila menyebut perkataan Teddy.


“Teddy!”

“TUAN!”

“Minggu depan dah start SPM. Hang boleh tolong aku?”

“APA?”

“Tolong bagi aku mudah faham bila study.”

“ITU AKU TAK MAMPU.”

“Alaaa… Aku malas la nak baca buku. Ataupun nanti dalam dewan, hang menyamar jadi aku. Hang kan pandai.”

“TIDAK. AKU BODOH.”

“Hang study la. Ambik semua buku ni baca bagi faham. Boleh la. Hang rajin kan?”

“UMUR AKU DAH BERATUS TAHUN. TUAN INGAT AKU RAJIN NAK BELAJAR FIZIK, KIMIA, MATEMATIK TAMBAHAN? PENDIDIKAN ISLAM LAGI. HANGUS TERBAKAR AKU NANTI TUAN!”

“Haaa yela. Aduh. Ni aku nak kena study sendiri jugak la ni? Hang takleh tolong sikit pun?”

“AKU BOLEH TEMAN TUAN BELAJAR. MASA DALAM DEWAN NANTI, AKU BOLEH BERDIRI DI SISI TUAN. SUPAYA TUAN LEBIH BERSEMANGAT.”

“Hotak hang! Aku tengok muka hang ja terus hilang ilmu aku. Dahla. Pi main jauh-jauh. Aku nak study ni.”


Usai peperiksaan SPM, aku mula mencari pekerjaan part-time sementara menunggu result keluar. Akhirnya aku mendapat pekerjaan sebagai promoter di sebuah pasaraya di bandar.

Mulanya aku bercadang nak bekerja di restoran sebagai pelayan, tapi disebabkan Apit dan Bob nak kerja dalam air-cond, aku pun menurut dorang sahaja bekerja di pasaraya. Ada geng seronok sikit nak kerja.

Setelah satu minggu bekerja, aku terserempak dengan seorang gadis cantik bak bidadari turun ke bumi. Aku rasa dia tersesat di bumi. “Pergi balik! Tempat kau bukan di sini! Sini spesis manusia hanya suka melakukan kerosakan. Di sini ku ragukan kejelitaan mu itu kan jadi debu. Nampakkk.”Ya ampun cantiknya itu mengalahkan Hannah Delisha versi baru sudah mandi, berkemban dan rambut berbau shampu.

Namanya Nadirah. Indah namanya, juga tingkahnnya. Memang menjadi bualan di sini sana.

Rupa-rupanya gadis itu bekerja di bahagian pakaian dalam wanita di pasaraya yang sama dengan aku. Sejak dari hari tu, hari-hari aku akan lalu di bahagian larangan buat kaum lelaki itu untuk menatap wajah bidadari tersesat tersebut.

Walau sekejap aku dapat menatap wajahnya, akan terasa gembira sepanjang hari-hari ku. Oh inikah yang dinamakan cinta? Indah sekali perasaan yang mengasyikkan ini. Hari-hari aku dibuai angan-angan yang aku sedang ber-couple dengan gadis tu.

Tapi aku sedar diri. Muka yang tak siap macam muka aku ni mana ada gadis nak kat aku. Akak cleaner Nepal pun tak pandang muka aku ni. Oh kejamnya dunia!

Pada suatu malam selepas pulang dari tempat kerja, aku sedang berbaring dan berangan saat-saat indah aku dan Nadirah bermain-main bersama anak-anak kami. Begitu bahagia sekali angan-angan ku. Begitulah kelaziman rutin harianku sejak aku jatuh cinta pandang pertama.

“Teddy!”

“TUAN!”

“Aku ada suka kat sorang awek ni kat tempat kerja aku.”

“AKU TAU SEMUANYA TUAN.”

“Senyap-senyap ye hang skodeng aku?”

“AKU MEMANG MENDAMPINGI TUAN SETIAP MASA. JADI AKU TAU APA YANG TUAN BUAT.”

“Hang boleh tolong aku mengorat awek tu tak?”

“ITU BUKAN BIDANG SAYA TUAN. TUAN BOLEH CUBA GUNA MINYAK PENGASIH.”

“Gila! Tak pasal-pasal jadi sasau budak tu tergila-gilakan aku. No! No! Tidak!”

“HMMMM”

“Ada tips mengorat awek tak? Hang dah hidup ratus-ratus tahun kan. Takkan takdak tips kot?”

“TAK ADA TUAN. AKU TAK PERNAH BERCINTA. AKU HANYA MENCINTAI DIRI AKU DAN TUAN AKU SAHAJA. TAPI AKU AKAN BANTU SEMAMPU AKU.”

“Jadah cinta diri sendiri? Hahaha. Hang cinta kat aku? Geli-geleman aku weh.”

“HMMMM.”


Pada suatu hari, ketika telah masuk waktu rehat tenghari, aku bergegas ke arah lif kerana telah terlewat. Perut memulas sejak pagi menyebabkan aku ke tandas untuk memerut dahulu sebaik waktu rehat bermula.

Ketika laju berjalan bersama Apit dan Bob, dengan tak sengaja aku terlanggar seseorang. Bahu aku betul-betul mengenai bahu orang tersebut.

Sakitnya boleh tahan meraung sebab kawasan terlanggar tu baru sahaja menjadi tempat hisapan d***h oleh Teddy. Lebam hasil tusukan taring Teddy masih belum sembuh.

“Adoi! Sorry tak sengaja! Saya minta maaaa…” kata-kata aku terhenti. Di hadapanku berdiri gadis pujaan hati yang ku dambakan selama ini.

Mata bertentang mata. Adakah kau pun merasa cinta kian memekar di hati kita? Kau istimewa paling utama yang satu. Betapa manisnya senyumanmu. Debaran penuh makna, kelu tidak terkata. Seringkali terjadi bila kau di sisi. Namun yang pasti membuatku jatuh hati, manisnya senyumanmu.

“Sa… sa… saya min… min… minta couple. Eh! Maaf. Minta maaf. Ya maaf. Maaf!”

Apit dan Bob dah terguling-guling gelakkan aku. Lahanat punya member. Aku rasa muka aku dah kembang, merah padam. Ni peristiwa paling memalukan hidup aku.

“Hihihihi comel la awak ni. Sorry juga sebab terlanggar,” ujar gadis pujaan ku sambil tersenyum manja. “Awak OK ke? Nampak mengaduh teruk sangat tu.”

“Saya? Saya OK. OK. Awak OK kan? Tak sakit kan?” Berkerut dahi aku cuba menahan kesakitan di bahu. Gadis pujaan di depan mata, mesti la tunjuk gagah perkasa. Lantas aku mendada sedikit supaya nampak tegap – cuba melindungi kerempengnya badan aku.

“Saya OK. Tak sakit apa pun. Saya Nadirah.”

“Dah lama tahu.”

“Eh?”

“Aaaa… Maksud saya, tu dah nampak awak kat name tag tu.”

Nadirah tergelak kecil sambil menekup mulutnya yang mulus suci murni sesuci lebaran. Saat ini, jantung aku beberapa kali terhenti melihat keayuan dan kecomelan dan keanggunan dan kemanjaan dan kecantikan permaisuri hati beta.

“Saya dah perasan awak selalu tengok saya selama ni…Hihihi. Kawan saya yang dua orang ni pun boleh perasan awak selalu tengok saya. Betul tak Fatin dengan Adila?”

Kedua-dua rakannya serentak menganggukkan kepala sambil tersenyum simpul.

“Alamak! Kantoi la selama ni? Malunya camni.”

Apit dan Bob makin menjadi-jadi hilaian tawa. Dah macam orang sewel. Suka betul ye gelakkan aku yang tengah nampak bangang di depan crush.

“OK saya dengan dua ekor budak ni nak pi lunch. Nadirah dah lunch?”

“Dah. Baru je. Kami rehat sesi pertama.”

“Kalau macam tu. Kami gerak dulu ye. By the way, nama saya Pakli. Jumpa lagi ye Nadirah. Fatin dengan Adila pun ye.”

Aku terus segera menarik tangan budak dua ekor yang masih tercungap-cungap akibat gelak berlebihan.

Sayup-sayup aku terdengar Nadirah berkata kepada kedua orang rakannya. “Hensem juga ye Pakli tu.”

Lantas aku terus menoleh ke belakang. Nadirah turut sama menoleh ke arah aku dan melepaskan lambaian ‘tata’ kepadaku. Hatiku telah berbunga mekar.

Sejak daripada itu, makan ku tak lalu. Mandi pun entah basah ke tidak. Tidur pun termimpi-mimpi Nadirah. Aku dah angau.

Dipendekkan cerita, kami pun telah ber-couple.


Aku dan Nadirah tetap terus berpasangan sampai result SPM kami keluar dan aku masuk ke universiti. Manakala Nadirah meneruskan persekolahan di tingkatan 6.

Semasa di semester pertama di universiti, kebetulan roommate aku merupakan geng usrah. Zaffran namanya. Dia pun ada ilmu sikit-sikit tentang alam mistik sebab ayahnya merupakan seorang perawat perubatan alternatif Islam. Maka sedikit sebanyak, dia juga mendapat tempias ilmu itu.

Selepas dua bulan aku duduk sebilik dengannya, Zaffran menegur yang dia tak pernah nampak aku solat. Melainkan solat Jumaat sebab aku akan membonceng dengannya ke masjid. Aku sekadar mendiamkan diri bila ditegur.

Kadang-kadang aku sound dia balik. “Ala weh, buat hal sendiri dah la. Hang pi je la usrah hang tu.”

Tapi perlahan-lahan Zaffran tetap menasihati aku. Menceritakan tentang dosa dan balasan orang yang mengingkari suruhan Allah. Tak dinafikan sesekali terjentik juga hati aku bila dia tegur macam tu. Aku pun rasa macam hati aku dah keras sejak aku menerima pendamping si Teddy.

Akhirnya pada hari terakhir kami di semester satu, iaitu pada hari Jumaat. Usai solat Jumaat dan masih di dalam masjid, Zaffran memberitahu yang dia tahu aku ada saka pendamping.

Aku nak kata terkejut pun tidak juga, sebab aku tahu dia memang ada ilmu.

“Sejak bila hang tau?” Tanya aku menunduk sambil mata aku menjeling ke arah orang yang berpusu-pusu ke arah pintu keluar masjid. Semua berlumba-lumba nak balik cepat. Tapi semasa nak datang ke masjid, semua nak dilambat-lambatkan.

“Sebulan dua lepas kita duduk sebilik. Aku terjaga waktu malam, nampak ada makhluk hitam tegap di tepi katil lau. Mengikut serba-sedikit ilmu yang aku tau, itu merupakan saka. Betul kan?”

“Hmmm… Betul. Aku pun terima secara tak sengaja.”

“Ya. Aku pun bila tanya ayah aku, dia pun kata yang tu adalah saka. Dia arahkan aku supaya membimbing dan nasihatkan kau ke arah jalan Allah secara perlahan-lahan.”

“Emmmm…”

“Saka kau masih agak baru lagi berdamping dengan kau kan? Sementara dia belum betul-betul sebati dengan hidup kau, aku sebagai sahabat kau, aku sarankan kau buang saka tu. Kita tak tau bila kita nak m4ti. Sementara kita masih sihat, eloklah dibuang saka tu. Saka yang dibuang dengan rela hati oleh tuannya ketika sihat lebih mudah berbanding dipaksa-paksa keluar ketika ajal sudah hampir menjemput.”

Aku tersentak mendengar penerangan Zaffran. Seumpama aku baru terjaga daripada lena. Aku baru mulai sedar yang aku dah semakin jauh tersesat.

Lantas aku mulai teringat kata-kata Pak Ngah dahulu. Masih terngiang-ngiang di telinga aku. “Sementara Pak Ngah dengan nenek dok hidup lagi ni, elok la pi buang. Kalau kami dah takdak nanti, sapa nak tolong hang?”

“Pakli… Aku boleh tolong bawa kau kat ayah aku. Mungkin dia boleh tolong buang saka kau tu. Kita usaha Pakli.”

“Takpa la. Aku rasa aku balik bagitau nenek aku dulu. Aku rawat kat area rumah aku. Nak pi rumah hang, jauh sangat ke selatan semenanjung. Aku ikhtiar cari tempat rawatan kat utara dulu.”

“Kalau macam tu OK jugak. Apa-apa hal roger aku. Tapi make sure sem depan dah clear saka hang tu. Jangan tangguh-tangguh.”

“OK bro.”


Sebaik memaklumkan kepada nenek tentang saka Teddy, beberapa das tempeleng hinggap di tulang belakang aku. Berjam-jam kena bebel sampai hangit gegendang telinga. Aku pasrah.

Nenek dan Pak Ngah terus memulakan operasi mencari tempat rawatan membuang saka. Beberapa tempat rawatan aku di bawa. Ada yang menolak mentah-mentah. Katanya saka tu dah tua, dah kuat.

Ada yang berjaya menghalau sekejap. Tapi lepas beberapa hari, Teddy datang kembali. Mengamuk sakan Teddy di sekeliling rumah sebab dia tak dapat masuk rumah yang dah ‘dipagar’. Habis pokok bunga raya dan pokok bendi nenek dipatah-patahkan. Merajuk sungguh Teddy si Beruk.

Sepanjang cuti semester aku selama 2 bulan setengah, kesemuanya hampir dipenuhi dengan rawatan di sini sana. Sudah 6 tempat rawatan aku pergi.

Ada yang jenis perawat bersilat dan ada yang sakit habis satu badan aku lepas selesai rawatan. Ada juga yang aku duduk relax chill ja, si perawat tu yang berborak dengan saka Teddy.

Lepas berkali-kali rawatan tapi tetap tak berjaya, aku pun dah mula putus asa. Lagipun tiap-tiap malam aku kena ganggu dengan Teddy. Marah betul dia. Mimpi jangan cakap la, semuanya mimpi ngeri gila-gila.

Dah tak ada lagi mimpi basah aku dengan Nadirah. Berganti dengan Si Teddy pula yang menghiasi malam-malam suram aku. Dah la muka hodoh. P****g stim betul.

Lepas terjaga daripada mimpi ngeri, mesti aku kena sergah dengan Teddy. Suka betul dia buat muka bengis depan muka aku. Aku pun dah malas layan dia. Aku tekup ja muka aku dengan bantal.

Berdentam-dentum bunyi dalam bilik aku. Teddy membuat tunjuk perasaan dan protes la tu sebab aku tak layan dia. Padan muka!

Tak dinafikan sesekali aku akan jadi seperti orang hilang ingatan bila saka Teddy merasuk dan menganggu badan aku. Meracau dan meraung. Neneklah yang kelam-kabut menjaga aku. Kalau pada hujung minggu, abang aku akan balik membantu.

“Pakli dah malas dah la nak pi berubat ni. Semua tak menjadi ja,” ujar aku kepada nenek sewaktu melepak di pangkin rumah. Di hadapan terhidang air kopi cap Gantang dan bahulu Mak Senah, namun semuanya tidak membangkitkan selera aku. Aku bungkam.

“Sabaq la Pakli. Sementara nak jumpa perawat yang serasi memang makan masa.” Nenek menjawab polos. Sebiji bahulu yang dicicah air kopi disuap ke mulutnya.

Pin! Pin! Pin!

Sebuah kereta Proton Saga berwarna kelabu tahi anjing perlahan melintasi hadapan pangkin. Pemandunya menekan hon sambil mengangkat tangan ke arah kami. Nenek membalas kembali sambil tersenyum.

“Amboi nek. Senyum lebar nampak. Sapa tu? Kekasih gelap? Hahahaha.”

“Mengarut la hang. Tu Wak Lebor. Dia dok kampung sebelah. Dia yang dok jual minyak atar, cincin, kayu-kayu hutan kat pasar tani. Rasanya lama dah kita tak pi pasar tani.”

“Lusa ada pasar tani, jom la kita pi la.”

“Eh! EH! EHHHHhhh! Ohoiiiii!!!”

“Awat nek ni?!! Tiba-tiba melatah!”

“Wak Lebor!”

“Awat dengan Wak Lebor?”

“Dia tu boleh membuang saka-saka ni! Awat aku tak ingat langsung pasal Wak Lebor selama ni. Rata-riti dok bawa hang berubat jauh-jauh, padahal orang kampung sebelah ja pun ada jugak yang pandai. Nyanyuk dah aku ni!”

“Hmmm… Dia pandai ka? Kalau biasa-biasa. Pakli malas la nak pi. Buang karan ja.”

“Kita ikhtiar. Esok aku panggil Pak Ngah hang mai bawa kita pi rumah Wak Lebor. Sat aku nak masuk rumah pi telefon Wak Lebor dulu. Nak buat appointment.”

“Ye lah.”


Sebaik saja melangkah ke dalam rumah Wak Lebor, badan aku terasa sekejap sejuk sekejap panas. Mata kadang-kadang berpinau, tak boleh nak fokus. Peluh mula memercik di dahi jendul aku.

Tanpa berlengah Wak Lebor terus segera memulakan rawatan sebab katanya nanti pukul 6 petang ada drama yang dia dok follow. Tepuk dahi aku dengar.

Selepas beberapa minit Wak Lebor terkumat-kamit membaca sesuatu dan diselang-selikan dengan hembusan tak diundang ke arah aku, maka muncullah si Teddy betul-betul di tengah-tengah kami.

Teddy hanya duduk bertinggung menghadap ke arah Wak Lebor. Sesekali kepalanya berpusing 180 darjah melihat ke arah aku. Kecut perut aku tengok perlakuan yang menyeramkan tu.

Nenek dan Pak Ngah seperti langsung tak menghiraukan Teddy. Mungkin dorang tak dapat melihat. Hanya aku dan Wak Lebor saja yang mampu melihat akan kehadiran Teddy.

Wak Lebor kemudian berborak dengan Teddy dalam bahasa yang langsung aku tak fahami. Aku cuba memasang telinga kot-kot ada perkataan yang aku fahami, namun sepatah haram aku tak faham. Alien benar tutur bahasa dorang.

Seketika kemudian wajah Wak Lebor kelihatan bengis. Urat-urat hijau muncul berselirat di lehernya. Kulit muka putihnya kelihatan semakin merah padam. Urat mata semakin menonjol.

Nada suara Wak Lebor semakin tinggi. Memarahi si Teddy dalam bahasa alien membuatkan aku rasa macam nak tergelak. Berkali-kali aku berdehem cuba untuk cover gelak. Nenek hanya menjegilkan mata suruh aku behave.

Seterusnya Wak Lebor memercikkan air ke arah Teddy. Berasap-asap bahagian badan Teddy yang terkena percikan tersebut. Meliang-liuk tubuh tegapnya menahan kesakitan. Suara garau memenuhi segenap ruang tamu rumah Wak Lebor.

Tangan Wak Lebor membuat gerak aksi di udara yang menarik perhatian aku. Setiap aksi tangannya menyebabkan Teddy semakin meraung-raung. Seterusnya Wak Lebor membuat aksi seperti mengilas tangan, dengan spontan tangan Teddy turut terkilas kedua-duanya di belakang badan.

Barulah aku faham yang Wak Lebor menyerang Teddy dari jauh sahaja. Seterusnya gerak aksi mencekik dilakukan. Terbatuk-batuk dan tercungap-cungap Teddy. Sesekali dia cuba meronta untuk melepaskan diri, namun gagal.

Teddy merenung sayu ke arah aku seolah-olah cuba mengharapkan pertolongan dariku. Namun aku hanya sekadar memerhatikan sahaja.

Dengan menggunakan kakinya, Wak Lebor memercikkan air jampi ke arah Teddy. Kali ini lebih banyak percikan yang menghambur. Teddy semakin meronta kuat tapi setelah beberapa minit dia semakin lemah dan kelihatan tak bermaya.

“Mana jagung rebus yang aku suruh bawak?” Tiba-tiba sahaja Wak Lebor bertanya ke arah aku. Kemudian dia beralih pandangan ke arah nenek dan Pak Ngah. Seolah-olah mengharapkan jawapan daripada salah seorang antara kami.

“Hang letak mana Pakli jagung rebus tu?” Nenek pula menyoal aku.

“Jagung rebus setongkol tu ka? Yang bawak dari rumah?” Giliran aku pula menyoal kembali sambil menggaru kepala yang tak gatal.

“Ha laaa. Jagung yang aku suruh hang rebus malam tadi tu la. Kan aku suruh hang bawak setongkol tadi. Hang letak mana?”

“Pakli tertinggal dalam kereta Pak Ngah. Sat nak pi ambik.” Aku terus bergegas keluar. Aku agak pelik apa kena mengena jagung rebus dengan rawatan saka. “Lain macam cara rawatan Wak Lebor. Entah betul ke tidak.” Bisik hati kecil ku.

Sebaik aku menyerahkan kepada Wak Lebor jagung rebus tu. Kedengaran Wak Lebor beriringan, senada dan seirama bersama Nenek dan Pak Ngah beristighfar panjang. Sambil memejamkan mata dan menggelengkan kepala. Sungguh khusyuk sekali.

“Jagung rebus yang togel ni nak buat apa?” Ada nada kelucuan dalam suara Wak Lebor. “Sepanjang hidup aku dok buat rawatan, ini la pertama kali orang bawa jagung rebus togel macam ni. Mana isi dia? Sapa makan?”

“Sa… sa… saya makan tadi Wak masa dok dalam kereta. Saya lapar sangat. Saya ingatkan jagung tu untuk buat bekal perjalanan datang sini.” Begitu ikhlas penerangan aku.

Pak Ngah dah menepuk dahi. Nenek dah mula membebel.

“Jagung ni sebagai perjanjian dengan saka hang tu. Selagi tak tumbuh menjadi pokok, selagi tu dia tak boleh balik kat hang. Faham?” Jelas Wak Lebor tegas.

“Oooooo… Baru saya tau. Sorry sorry. Saya tak sengaja termakan jagung tu. Boleh ganti benda lain tak?”

“Hang pikir la sendiri nak ganti benda apa. Cepat pikir. Otak aku dah jem dah ni nak pikir apa pun tak dapat dah. Tapi ingat! Konsep kena sama dengan jagung tu, dan benda tu mestilah hang sendiri yang buatkan. Bukan ambil daripada orang lain. Contohnya macam jagung tu, hang sendiri yang rebus kan semalam?”

“OK Wak. Sat saya pikir nak bagi apa sebagai perjanjian.”

“Cepat! Nanti terlepas balik saka hang ni.”

Setelah beberapa puluh saat aku berfikir, ditambah dengan Nenek yang sakan membebel tak berhenti-henti. Maka aku pun dapat satu idea untuk memberi sesuatu.

Tangan ku di angkat tinggi, kemudian lengan baju di selak ke paras bahu. Dengan sekali rentapan, beberapa helai bulu ketiak aku tercabut.

Lantas aku memilih bulu ketiak yang paling panjang dan paling kerinting lalu diserahkan kepada Wak Lebor.

“Nah Wak bulu ketiak saya. Bagitau kat saka tu yang selagi dia tak dapat meluruskan bulu ketiak ini, selagi itu dia jangan balik kepada saya,” ujar aku dengan wajah yang serius teramat.

Pak Ngah menepuk dahinya buat kali kedua. Nenek pula tercengang. Dah tak mampu membebel lagi. Manakala Wak Lebor terlepas juga gelak yang ditahan sejak tadi. Menyembur air liur Wak Lebor mengenai Teddy. Menggelupur lagi Teddy.

Makanya perjanjian telah dipersetujui antara aku dan Teddy melalui perantaraan Wak Lebor. Aku melihat Teddy berjalan perlahan berlalu pergi sambil jarinya berulang kali menarik-narik bulu ketiak aku agar menjadi lurus.

Apabila tiba di muka pintu, Teddy berhenti sejenak dan menoleh ke arah aku sambil membuat muka sedih. Menunduk lalu dia terus berjalan longlai dan menghilang bagaikan asap yang ditiup angin.


Hubungan aku dengan Nadirah telah putus kerana dia berkata muka aku nampak lain sangat. Macam orang lain. Dalam makna tersiratnya adalah aku tak hensem macam sebelum-sebelum ini. Rupanya baru aku tahu yang selama ni si Teddy yang memperelokkan wajah aku setiap kali Nadirah memandang aku.

Semasa aku masuk ke semester dua, Nenek mulai kerap sakit. Batuk berdarah. Sakit sendi sehingga susah untuk bergerak. Hingga akhirnya ketika cuti semester dua bermula, Nenek telah pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya.

Kira-kira 4 bulan lepas itu, Pak Ngah pula meninggal dunia. Sakit yang sama seperti yang Nenek alami. Menurut Mak Ngah, sakit Nenek dan Pak Ngah merupakan hasil gangguan daripada saka aku.

Sudah berulang kali Nenek dan Pak Ngah pergi membuat pemeriksaan di hospital dan klinik. Tapi doktor sendiri tak dapat mengesahkan jenis penyakit yang dialami. Semuanya kelihatan normal pada setiap ujian yang dijalankan.

Disebabkan saka itu terikat dengan perjanjian dan tidak bertuan, maka dia mula mengganggu Nenek dan Pak Ngah. Iaitu orang yang rapat dengan aku. Nasib baik abang aku tidak diganggu olehnya.

3 tahun selepas itu, abang aku pun berkahwin dan dia juga dah jarang-jarang balik rumah nenek. Orang dah berkeluarga, biasalah. Tinggallah aku berseorangan melalui kehidupan yang penuh liku. Hampir sebatang kara tiada tempat bergantung. Tiada tempat untuk berharap.

Bila aku dah dewasa dan matang sekarang ni, baru aku hargai setiap jerih-perih dan pengorbanan nenek aku. Kudrat tua dia tu la yang menjaga aku dan abang aku ketika kedua orang tua aku pergi menghadap Ilahi.

Garis-garis kasar di tangan dia tu la yang membanting tulang setiap hari mengusahakan sawah yang sekangkang kera. Sekarang bila nenek dah tak ada, baru nak rasa kehilangan. Baru nak meleleh air mata.

Sampai sekarang aku masih rasa menyesal akan kematian Nenek dan Pak Ngah. Aku rasa semuanya berpunca daripada aku. Kalau aku tak terima saka tu, mesti semuanya tak jadi macam tu.

Tapi aku bersyukur masih ada sahabat-sahabat yang sentiasa di sisi bila aku memerlukan. Membesar sama-sama, nakal sama-sama, susah dan senang bersama.

“Buat sahabat-sahabat ku, kalau satu hari nanti aku diam, carilah aku. Kalau aku sakit, ubatilah aku. Kalau aku m4ti, kafankanlah aku. Sesungguhnya di dunia ini, aku hanya ada hangpa sahaja. Hangpa sahajalah tempat aku menumpang kasih, tempat untuk aku bersandar.”

-pakli-

-TAMAT-

Terima kasih Fiksyen Shasha dan semua yang sudi membaca kisah yang ditulis secara santai ini. Maafkan jika ada sebarang kekurangan.

Dapatkan novel saya bertajuk SEGITIGA. Untuk keterangan pembelian, boleh lawati laman Facebook saya seperti di bawah.

https://www.facebook.com/deefen.df

Di bawah ini disenaraikan cerita saya yang pernah disiarkan di laman Fiksyen Shasha. Sudi-sudikanlah membaca cerita saya yang tak seberapa.

http://fiksyenshasha.com/deefen-mak-lampir-marathon/

#DeeFen – Sihir Berdarah: Part 2

http://fiksyenshasha.com/deefen-sihir-berdarah/

#DeeFen – Sihir Berdarah: Part 2

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

deefen

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 5 Average: 4.8]

31 thoughts on “#DeeFen – HIKAYAT LAKI-LAKI YANG TAK PUNYA APA-APA UNTUK BERSANDAR”

  1. lawak gila yg last tu haha.tp sedih part teddy buat muka sayu tu.mgkin sbb name die teddy kot.hahaa.tp mmg best cter ni wlopun pnjg.cayalahh

    Reply
  2. makcik tgh baca cita nie diam2 smbil otp dgn pkcik hg trbatuk2 dbuatnya. lawak noh. nasib xkantoi dgn pkcik hg yg mkcik nie tgh fokus dgn bca cita nie. bkn fokus dia berckp. hahaaaahaa. shutttt
    #cumel

    Reply
  3. Ya Allah.. sumpah weh best gile nak matii.. hahaha . Nk study pun tak jadi. Bhahahah bila seram, seram gile. Bila lawak terbahak2 aku gelak. Aduhh .. teddy luruskan bulu ketiak. Bhahhaha!! Jenuh tahan gelak dah la malam buta ni .

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.