Dendam Penghuni Laut – Episod 4

IV – Dendam

Assalamualaikum dan salam sejahtera pembuka bicara buat pembaca setia Fiksyen Shasha. Terima Kasih tetap setia menanti kesinambungan kisah hidup aku. Aku minta maaf sebab lambat share memandang keadaan tidak mengizinkan.

Kepada yang baru mengikuti kisah aku ni, silalah baca dari episod susunan dibawah :-
1) Sihir (2ep) – 2017
2) Lagenda Nyi Roro Kidul (6ep) – 2017
3) Dendam Penghuni Laut (5ep) – 2020

Utk pengetahuan pembaca kisah terkini aku share ia berlaku disepanjang tahun 2018 hingga 2019. Oleh kerana kisah aku agak panjang .. jadi aku singkatkan dan hanya menceritakan peristiwa yang berlaku dalam keluarga aku sahaja. Tak termasuk kisah insan-insan lain yang berjumpa dengan kami untuk meminta bantuan yang turut mengalami gangguan.

* * * * *

Seingat aku kejadian ini berlaku dipertengahan bulan October 2018, dimana setelah beberapa bulan berlalu dari peristiwa Hasz menjadi mangsa buruan Tisha, aku masih dihantui dengan amarah Tisha yang membenci keluarga kami. Sedangkan itulah pertama kali dalam hidup aku berjumpa dengan dia, dan aku tahu dari pandangan matanya penuh dengan dendam kesumat untuk menghancurkan aku.

Aku cuba mendapatkan informasi dari Mamy tentang salah silah keluarga kami, namun hanya suku sahaja yang Mamy tahu, itupun dari arwah nenek terdahulu. Aku ceritakan pada Mamy tentang Tisha yang keturunan nya membenci kami, dan setakat yang Mamy tahu, sejarah keluarga kami memang banyak musuh kiri kanan kerana kelebihan yang ada pada setiap anak kedua perempuan dianggap satu bala atau sumpahan (Ada diceritakan di episod SIHIR) pada suatu masa dahulu.

Sesiapa yang memiliki kelebihan ini, akan dianggap anak sumpahan dan hanya membebankan dan memalukan keluarga kami dan lebih teruk tidak ada yang ingin memperisterikan wanita yang memiliki kelebihan tersebut. Dari penceritaan Mamy, keturunan asal kami dahulu dari kalimantan barat. Oleh kerana kelebihan ini hanya dimiliki anak perempuan, setiap keturunan kami agak sukar di cari dan diketahui siapa yang akan memiliki nya. Kerana pada waktu tersebut orang-orang luar dari negara lain masuk ke Kalimantan Barat memperisterikan wanita disana dan dibawa ke tanah melayu. Ada juga wanita yang dijual kepada orang tanah melayu, Jepun dan Bristish.

Untuk aku mengetahui mana satu moyang aku yang buat onar dengan keluarga Tisha agak tipis. Tapi itu tidak membuat aku untuk berhenti mencari salah silah keluarga kami yang miliki kelebihan ini. Aku membuat keputusan untuk berjumpa dengan Ibu Raisha, memandangkan Ibu telah lama mengenali keluarga aku. (Macam mana pertemuan Ibu dengan moyang aku ada di ceritakan di episod NYI RORO KIDUL).

* * * * *

Embun pagi diperkampungan Ibu Raisha sememangnya jauh berbeza dari suasana bandar perumahan aku dan cuaca Malaysia yang menyengat. Apabila berada di situ, masa berlalu agak lambat, jam tangan dan peralatan elektronik tidak berguna sekiranya aku bawa ke kampung Ibu. Maklumlah, TM mana mampu masuk hutan nak pasang unifi sini. (Gurau-gurau).

Di sini, aku menuntut ilmu bela diri (Silat) dengan Ibu Raisha dan dibantu oleh anak murid didiknya iaitu Misra dan Ain. Mereke berdualah yang sering membantu aku dalam mendalami ilmu bela diri dan batin. Disini, kehidupan mereka seperti kita juga, makan, minum,mandi, cuma suasana di sini lebih kepada seperti zaman dulu kala.

Petang itu, aku duduk bertemankan Ibu Raisha dan Azil di suatu lapangan di mana tempat pertemuan kali pertama antara aku dan Azil. Kami berdua juga sering berlatih bersama-sama untuk memastikan kerasian antara kami kekal berhubung dalam menghindari aku dalam keadaan berbahaya. Aku bertanyakan kepada Ibu Raisha mengenai moyang aku yang dikenalinya, kerana aku masih tertanya-tanya tentang sejarah dendam keturunan Tisha dengan kami. Dan sepertimana yang aku harapkan, Ibu tahu tentang sejarah itu dan melalui nya dengan moyang aku.

Moyang aku tersebut bernama Dahlia, (orang zaman dulu-dulu suka bagi nama anak perempuan ikut nama bunga.) Merupakan anak perempuan kedua yang diberikan kelebihan tersebut. Pada waktu tersebut, zaman mungkin mencecah pada tahun 40-an dan Dahlia merupakan pewaris ke-3 yang memiliki kelebihan ini. Sejak moyang aku yang terdahulu berjumpa dengan Ibu Raisha, setiap pewaris yang memiliki kelebihan ini akan disuruh untuk berjumpa dengan Ibu untuk memudahkan kami mengetahui salah-silah perjuangan wirawati nenek moyang kami. Walaupun kami bukanlah dari d***h yang sama kerana memiliki ayah yang berlainan, namun kami tetap Bersatu dengan d***h wirawati sebelah Ibu.

Ingatan Ibu Raisha memang tak boleh aku nak sangkalkan lagi, setiap butiran cerita nya sangat terperinci membuatkan aku dan Azil tekun mendengar cerita dari Ibu. Kisah nya bermula sewaktu Dahlia mencecah umur 14tahun dimana kelebihan tersebut mula meresap kepada Dahlia. Dan pada tahun tersebut tanah melayu masih lagi dalam era peperangan. Wanita masih menjadi buruan penjajah untuk melunaskan nafsu serakah mereka dan mencari perempuan yang baru mencecah umur bahligh.

Oleh kerana pada saat itu, Ibu Dahlia memutuskan untuk menyelamatkan Dahlia dengan menghantar dia kepada Ibu Raisha, Dahlia membawa rakannya yang bernama Kemboja. Kerana tidak mempunyai cukup masa, Ibu Raisha menerima kehadiran kedua-dua anak perempuan tersebut untuk dijadikan anak didik nya untuk dijaga dan disayangi.

Disini, mereka berdua di didik mengikut cara hidup keluarga Ibu. Mereka hampir lupa akan peperangan yang tercetus di alam yang satu lagi dan hampir melupakan kehidupan asal mereka. Disini jugalah menjadi suatu kesalan Ibu Raisha, kerana terlalu menyayangi mereka berdua dan mengagap mereka berdua seperti anak nya sendiri dan lupa akan perubahan waktu dan asal usul mereka.

Dan disini jugalah berputiknya cintanya antara Dahlia dan seorang jejaka bernama Jantan, yang sedang berburu dihutan berdekatan dengan perkampungan Ibu Raisha. Petermuan mereka adalah suatu perkara yang telah ditentukan oleh yang satu tanpa perlukan penjelasan kerana pada Ibu Raisha, jarang sekali mana-mana manusia yang mampu memasuki alam mereka tanpa ada kurnian tersendiri.

Sejak itu, Jantan ingin mengahwini Dahlia apabila telah jatuh cinta terhadap keayuan Dahlia dan membuat Kemboja iri hati dan ingin turut memiliki Jantan. Oleh kerana Dahlia amat kasih pada Kemboja, Dahlia meminta kepada Jantan untuk memperisterikan kedua-dua mereka.

Apabila ke dua-dua mereka dibawa keluar dari perkampungan Ibu Raisha, mereka sangatlah terkejut dengan perkembangan luar dimana Tanah melayu telah pun maju dan tidak ada penjajah. Bagi Jantan, mungkin kerana mereka dibesarkan di dalam pelusuk hutan dan jauh dari perkembangan teknologi tidak hairanlah sekiranya mereka ibarat “Rusa Masuk Kampung”.

Beberapa tahun berlalu, Dahlia dikurniakan 2orang puteri yang sangat cantik paras rupanya bernama Siti dan Nur. Manakala, Kemboja memiliki seorang anak lelaki bernama Man. Dan pada waktu tersebut anak lelaki amatlah disanjung sebagai penerus generasi Jantan. Namun, itu tidak mengurangkan walau sedikit rasa kasih sayang jantan terhadap anak gadisnya. Itulah yang membuatkan Kemboja membenci Dahlia, apalah keistimewaan nya Dahlia sehinggakan membuat Jantan melebihkan Dahlia daripada dirinya.

Zaman berganti zaman, kelebihan yang dimiliki Dahlia kini turun kepada Nur – Pewaris ke-5 (Nur merupakan moyang aku – kiranya nenek kepada Mamy – Pewaris ke-6 dan aku – Pewaris ke-7.) Ini menyebabkan Nur mula melihat kelibat-kelibat yang tidak sepatutnya dilihat oleh mata kasar. Pada saat Nur mengalami trauma dan demam berlarutan, Dahlia memujuk Jantan untuk membawa Dahlia berjumpa dengan Ibu Raisha untuk membantu Nur. Namun Jantan tidak mempercayai tentang kelebihan yang dimiliki keluarga Nur dan mengganggap itu semuanya tahyul dan khurafat.

Didalam keadaan Dahlia dan Jantan semakin renggang, Kemboja mengambil kesempatan untuk bermesra dengan Jantan dan bercerita buruk tentang diri Dahlia. Mengatakan Dahlia sengaja mencari perhatian Jantan kepada anak perempuan nya agar Jantan membuang dia dan Man. Pelbagai penipuan Kemboja ceritakan kepada Jantan, sehinggakan Jantan memakan segala hasutan dari Kemboja. Manakala Dahlia semakin buntu melihat Nur menjadi tidak keruan kerana sering melihat kelibat yang tak diingini nya dan semakin hari keadaan Nur semakin parah.
Keadaan dirinya tidak terurus, memandangkan Nur baru mencecah akil baligh, kelebihan tersebut secara automatic nya akan turun kepada pewaris wanita anak ke-2. Dahlia membuat keputusan membawa Nur berjumpa dengan Ibu. Meminta bantuan Ibu untuk menutup kelebihan yang ada pada Nur kerana dirinya agak lemah untuk menerima kelebihan yang ada pada dirinya.

Setelah Indera ke-6 Nur ditutup, kehidupan mereka Kembali aman dan Bahagia seperti dulu kala membuat Kemboja semakin membenci Dahlia dan anak-anak nya. Pada saat itu lah, Kemboja berjumpa dengan dukun disebuah kampung yang dikenali sebagai Pak Wokjoyo. Disana, Kemboja menuntut ilmu kecantikkan (susuk/nasi kangkang/buluh perindu dan pelbagai lagi.) Saat ilmu nya semakin meninggi, Kasih Jantan dengan Kemboja amatlah dalam melebihi sesiapa, namun itu tidak membuat Dahlia berkecil hati, baginya kebahagian Jantan dan Kemboja, itulah kebahagian nya. Sedikit pun tidak ada iri hati terselit pada Kemboja, walaupun Jantan sudah tidak menyentuh nya berbulan-bulan lama nya. Dahlia tetap melayan Jantan dan Kemboja dengan baik, itu membuat Kemboja semakin membenci Dahlia, apa diingininya ialah melihat Dahlia menangis dan menderita. Tidak cukup dengan itu, Kemboja memujuk Jantan untuk menceraikan Dahlia.

Saat itulah, Dahlia menitiskan air matanya disaat Jantan menyatakan hasratnya untuk melepaskan Dahlia. Namun, bibir jantan yang berkata-kata tidak sama dengan riak wajah nya yang menangis saat ingin melepaskan Dahlia membuat Dahlia yakin itu bukan lah kemahuannya Jantan.

Pada suatu malam, Dahlia menghampiri sebuah perigi buta di dalam hutan tebal, oleh kerana patah hati ditinggal Jantan, Dahlia membawa diri merasa tidak disayangi. Saat itu, seluruh tubuh nya didatangi lipan dan ular besar mengigit kesekluruh tubuhnya Dahlia sebelum tubuhnya rebah jatuh masuk ke dalam perigi. Nur yang melihat dari kejauhan perbuatan ibu nya menjerit histeria

“ Mmmmaaaaaaaaakkkkkkkkkk !!!!” – Jeritan Nur bergema membuatkan Siti dan Dahlia berlari dari kamar mereka menuju ke kamar Nur. Dahlia lantas memeluk Nur, Nur menangis teresak-esak mengingatkan mimpi ngerinya tidak sanggup akan kehilangan Emak kesayangan nya selepas perpisahan antara Bapa dan Emak nya.

Keesokan harinya, Nur menceritakan tentang mimpi nya kepada Dahlia dan mereka memutuskan untuk berjumpa dengan Ibu Raisha untuk meminta bantuan sekiranya ada benda yang tidak elok akan berlaku terhadap Dahlia. Saat itu, Indera ke-6 Nur dibuka semula demi untuk melihat siapa dalangnya yang cuba memecah-belahkan keluarga mereka. Pada waktu itu jugalah, Nur menuntut ilmu dengan Ibu Raisha apabila dia merasakan dia perlu menjaga Emak dan Kakak nya selepas ditinggalkan oleh Bapanya.

Disuatu hari, setelah tidak lama bersua dengan Kemboja, Dahlia menyambut ramah kedatangan Kemboja kerumahnya walaupun saat itu, Kemboja membawa surat penceraian Jantan dan Dahlia hanya untuk menyakiti hati Dahlia. Nur yang melihat Kemboja dari dapur mampu melihat disebalik wajahnya Kemboja dipenuhi ulat dan buruk bahkan ada seekor beruk sedang bertenggeng di atas kepala nya. Nur siap memasang pagar diri dan Kawasan rumahnya, tidak sampai beberapa saat Kemboja mula berpeluh dan kepanasan. Tidak senang duduk dan memaksa Dahlia secepatnya menandatangani surat penceraian itu. Namun Nur sempat melarang Dahlia dan meminta Kemboja untuk datang semula esok. Oleh kerana tidak tahan akan panasnay membara, Kemboja berlari keluar dari rumah mereka serta Beruk peliharanya turut menjerit-jerit berlari keluar dari Kawasan perumahan mereka.

Malam tersebut, Nur didatangi Mehrun (Singa putihnya,rakan seperjuanganNya seperti Azil.) Mehrun memberitahu akan ada yang mendatangi mereka pada malam itu. Nur bersiap sedia menanti Kemboja. Suasana agak suram, detik 12 pagi semakin hampir. Ketukan pintu rumah mereka diketuk. Nur siap menerjah, Dihadapannya seekor Beruk cuba menerkam Nur namun dihalang oleh Mehrun.

Kelibat nenek kebayan di belakang beruk itu, ketawa mengilai memerhati Nur. Mencabar ilmunya yang tinggi. Namun nenek kebayan tersebut tidak tahu akan asalnya Nur sudah mampu menandingi ilmu yang dimilikinya.

Dengan izinNya yang Maha Esa, setiap orang yang cuba menandingi kuasanya dengan menduakanNya pasti akan kecundang. Begitu jugalah dengan Kemboja. Pada pagi harinya anak Kemboja, Man menemukan mayat Kemboja terlantar busuk didalam bilik store atas padungan rumah mereka. Saat itu, tubuhnya Kemboja sudahpun reput seperti telah lama terbiar, ulat memakan isi tubuhnya, wajahnya sahaja sudah tidak kelihatan. Disaat pengebumian, tanah tidak menerima mayatnya Kemboja, ular memenuhi setiap ruang liang lahad. Oleh dek kerana masa telah lama mencuba pelbagai cara untuk menyelesaikan pemakaman Kemboja, mereka hanya menanam tubuh Kemboja Bersama-sama ular,kala jengking,lipan dan segala serangga yang berbisa.

Pada saat itu jugalah, Jantan yang telah pun menjadi hamba cintanya Kemboja mula menjadi gila. Tidak terurus, tidak mengenali sesiapa hanya Kemboja di ingatan nya, telah banyak cara mereka cuba untuk mengubati nya Jantan namun tidak Berjaya. Mereka meminta bantuan Man untuk mengubati Bapa mereka. Man tidak mempercayai bahawa Emaknya sanggup mempelajari ilmu hitam semata-mata untuk mendapatkan Bapa mereka dan cuba merosakkan hubungan kekeluargaan Dahlia.

Namun penafian Man tidak dapat menandingi bukti yang ditemui oleh Nenek mereka (Emak Jantan) didalam sebuah peti besi diatas pandungan dimana mayat Kemboja ditemui. Didalam kotak tersebut pelbagai barangan untuk jamuan dan ritual ilmu hitam yang dipelajarinya dari Pak Wokjoyo.
Didalam sebuah buku itu penuh dengan gambarnya keluarga Dahlia dengan jarum diikat kain kuning untuk membuat Dahlia sakit. Rambut Jantan beserta gambarnya didalam botol kaca serta kain putih yang dilumuri d***h haidnya Kemboja.

Mereka cuba untuk menghubungi Pak Wokjoyo untuk meminta bantuan menarik semula ilmu pengasih yang telah Kemboja turunkan kepada Jantan, namun orang-orang kampung yang mengenalinya memberitahu bahawa Pak Wokjoyo sudah pulang ke kampung nya di Indonesia, dan telah pun terlambat untuk mencari Pak Wojoyo, Jantan telahpun pergi setelah beberapa bulan menderita oleh ilmunya Kemboja dan pada waktu tersebut, agak sukar untuk berhubung dengan orang terutamanya apabila melibatkan perantauan antarabangsa. Man yang amat malu dan tidak dapat menerima hakikat tersebut membawa diri dengan meninggalkan satu surat bahawa dia akan membalas dendam terhadap keluarga Dahlia kerana menjadi punca Emaknya sanggup mempelajari ilmu hitam hanya untuk menghancurkan keluarga Dahlia. Kerana Dahlialah puncanya kini dia menjadi anak yatim piatu.

Setelah aku tahu akan kisah moyang aku, aku mula lebih berwaspada kerana saat ini, aku mampu merasakan sesuatu yang lebih berat akan menimpa keluarga kami. Hampir setiap malam aku akan bermimpi didatangi ular dan lipan berbisa cuba untuk mematuk aku. Oleh itu, aku meminta izin Ibu untuk kembali kepada keluarga aku kerana sering menerima amaran bahwa akan ada yang cuba untuk mencederakan keluarga aku.

Dan pada waktu inilah, sebuah dugaan yang tak mampu aku hadapi apabila aku kehilangan seorang insan yang aku hormati dan sayangi. Perginya Kakak demi melindungi anaknya, dan pada saat inilah aku mula tersungkur rebah dan tak mampu untuk melawan takdirnya. Sungguh-sungguh aku tak mampu menghadapi dugaan yang Allah S.W.T berikan kepada keluarga kami. Demi permintaan Kakak, aku kongsikan pada mata dunia bahawa masih ada yang imannya lemah dengan dugaan duniawi dan meminta aku untuk menyambung semula penulisan aku untuk menyedarkan kita umat Islam sudah jauh terpesong dan hanya menunggu waktu untuk direbahkan.

Semoga aku masih punya kekuatan untuk berkongsi cerita dengan para pembaca dan sebarkan pada mata dunia bahawa Iblis Jin Syaitan telah menguasai minda kita.
Sekian.

Liza.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]
Liza

3 thoughts on “Dendam Penghuni Laut – Episod 4”

  1. Assalamualaikum. Terima kasih Liza sudi share cerita yg sgt byk manfaatnya. best sgt tulisan takdir Allah ni👍🏽👍🏽 Moga Allah mudahkn perjalanan hidup awak sekeluarga. Tp tu la, sy cari2 episod 5 (smbungan yg ni) smpai ke sudah xjumpak2… belum ada smbungan ya ni?? harap akan dismbung,, jgn ganting cerita pls🙏🏽

    Reply
  2. Assalamualaikum. Terima kasih Liza sudi share cerita yg sgt byk manfaatnya. best sgt tulisan takdir Allah ni👍🏽👍🏽 Moga Allah mudahkn perjalanan hidup awak sekeluarga. Tp tu la, sy cari2 episod 5 (smbungan yg ni) smpai ke sudah xjumpak2… belum ada smbungan ya ni?? harap akan dismbung,, jgn ganting cerita pls🙏🏽

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.