Assalamualaikum dan salam ukhwah kepada saudara-saudari pembaca yang tidak jemu menelaah setiap patah perkataan yang terdapat di blog ini. Saya juga ingin berterima kasih kepada admin yang menyiarkan kisah saya sebelum ini bertajuk ‘Rambang’.
Dalam hasil nukilan saya kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman yang agak ganjil bersama para pembaca tegar FS. Pernahkah anda terasa sesuatu yang berlaku di alam realiti ini pernah terjadi sebelumnya. Bak kata orang eropah, perasaan deja vu. Ya, dalam kisah kali ini, saya akan menceritakan pengalaman saya yang hanya berlaku satu dalam sejuta. Kisah ini juga saya tujukan kepada budak baju merah yang lintas jalan tak tengok kiri kanan semalam. Okay. Selamat maju jaya pembaca kesayanganku.
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Jarum jam tepat pada angka 5 menandakan hari sudah lewat petang. Jam di pergelangan tangan masih aku tatap dengan penuh kesabaran. Aku tidak tahu apa yang bakal berlaku. Perasaan itu sudah sebegitu sebaik aku membuka kelopak mata. Aku memandang ke kiri dan kanan untuk melihat reaksi manusia berhampiran. Mengapa mereka kelihatan sungguh tenang?
Tidak mahu berfikir panjang. Aku terus berjalan ke hadapan untuk melintas jalan raya yang tadinya sesak dengan kenderaan berjenama kini kosong tiada sisa. Selangkah demi selangkah aku berjalan selamba.
“Zupp…Praakk”
Pandanganku gelap. Hiruk-pikuk suasana bandar tadi bertukar menjadi sunyi sepi. Dalam sekelip mata, jiwaku kosong.
……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
Aku terjaga dari mimpi yang terasa nyata. Degupan jantung yang kencang cuba aku tenangkan. Peluh yang membasahi seluruh bajuku masih tidak dapat menggambarkan betapa seramnya pengalaman tadi.
Aku cuba untuk membuka pakaian diikat ketat nan kemas ini. Cuba untuk melonggarkan bagi pengudaraan yang lebih sempurna. Ya, aku masih mencuba. Cuba dan cuba hingga suatu suara memanggil. “Rafizi bin Saperi” Namaku dilaung bersama-sama nama ibuku.
Baruku perasan. Suasana di bilik yang sempit ini amatlah sejuk nan sunyi. Pandanganku dipenuhi kegelapan tanpa suatu cahaya. Gelap yang tak tiris. Sejuknya membungkam masuk hingga ke tulang-temulang. Aku cuba memanggil bonda dan ayah. Hanya gemaan suaraku yang terdengar kembali. Jeritan demi jeritan. Lolongan demi lolongan. Tiada yang menjawab. Suasana masih sepi.
Aku cuba memusingkan tubuh untuk melonggarkan ikatan. Benci dengan ikatan kemas dayang-dayang istana tadi. Bukankah aku sudah bersiram sesucinya? Bukankah aku sudah dijulang di bahu-bahu nara gagah perkasa? Bukankah aku sudah diberi rumah yang besar nan luas? Bukankah keluargaku menangis kegembiraan kerana kita sudah punya rumah? Marilah anakku. Marilah ibuku. Marilah isteri kesayanganku. Kita duduk di sini bersama.
……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
Para pembaca pasti sudah dapat mengagak bukan? Ya, itulah pengalamanku. Aku masih mempunyai beberapa bilik kosong buat rakan-rakan yang bakal menempah nasib yang sama. Marilah. Aku sunyi..
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Ko x pelawa pun kitorng pasti kesana jugak bro, samada cepat lambatnya je, tp sebelum tu dah siap ke bekalan utk kesana?