DIA

DIA

Aku berumur lewat 20an, bekerjaya dan boleh dikatakan mempunyai rupa yang manis. Namun, malangnya sejak beberapa bulan yang lepas aku mula mengalami depresi dan tidur aku mula terganggu. Dengan adanya social media, manusia semakin berlumba-lumba menunjukkan sisi terbaik mereka antaranya relationship goals, kahwin muda dan travelogue ke tempat-tempat menarik namun tidak semua indah seperti yang disangka. Namun tanpa aku sedari, aku turut tenggelam dalam misi aku untuk keep updated dengan gaya hidup yang terkini dan menarik hingga membawa kepada situasi aku yang sekarang. Siapa sangka aku yang pada zahirnya nampak normal dan gembira berubah secara total pabila malam tiba dan DIA datang menjelma…

Dengan berbekalkan jubah kelabu yang sedikit lusuh dan rambut ikal mayang separas pinggang, DIA hanya datang menjengukku setiap sepurnama. Setiap kali DIA muncul di dalam mimpiku aku akan terbangun tepat pada pukul tiga pagi dan seterusnya akan murung sepanjang hari. Walaupun kami telah “berkawan” buat seketika aku tidak pernah lagi mendengar suaranya apatah lagi melihat mukanya secara jelas kerana selalunya rambut ikal mayang DIA akan menutupi mukanya. Mimpi bersama DIA jauh daripada mimpi indah malahan boleh dikatakan ini adalah salah satu punca aku semakin depresi.

Dalam mimpiku DIA akan membawa ku berjalan melihat hidup warga kota yang kadang dipenuhi dengan maksiat dan kemungkaran. Dan setiap kali itu juga, mimpi itu akan bertukar ngeri sekelip mata dimana setiap individu yang aku lihat akan d*****h kejam dan aku akan terus terjaga dari mimpi tersebut.

Jelas di dalam ingatan ku tentang mimpi yang baru berlaku malam kelmarin. Bilik kecil di ibu kota, dindingnya sudah kekuningan dan berkopak-kopak, tilam nipis diletak disisi bilik, lampu neon cuba menerangi namun bilik itu tetap nampak suram. DIA berdiri di sisi kanan bilik kecil tersebut sambil menunjukkan ke seorang lelaki separuh abad yang sedang duduk bersila di atas tilam nipis tersebut sambil leka mengira duit.
Di suara latarnya kedengaran seorang budak perempuan sedang menangis sendu sambil minta dilepaskan. “Ah, bapa ayam rupanya” aku bermonolog sendiri walaupun aku sendiri tidak tahu dari mana aku dapat konklusi itu.

Tiba-tiba pintu bilik tersebut diketuk, lelaki tersebut bermalas -malasan membukanya lalu lelaki itu berkata dengan gaya gatalnya “apa kau nak?” ke orang misteri di sebalik pintu tersebut. Sebelum aku sempat melangkah kedepan untuk melihat siapakah gerangan orang misteri tersebut lelaki separuh abad itu menjerit nyaring sebelum memegang lehernya yang telah ditoreh dan menampakkan isi di dalam nya. D***h membuak buak keluar sebelum lelaki tersebut jatuh menyembah bumi. Tamat.
Aku terbangun.

Itu adalah antara mimpi yang paling ngeri yang aku ingat.
Aku telah bertemu dengan beberapa pakar sakit jiwa untuk mengubati masalah mimpi ngeriku ini namun sehingga kini tiada seorang pun yang mampu membantuku.
Sudah tiga hari aku tidak dapat tidur lena dan hanya dapat melelapkan mata setelah azan subuh berkumandang. Kesihatan semakin terjejas, prestasi kerja turun mendadak dan badan ku cengkung seperti jerangkung. Aku semakin hanyut dengan cerita-cerita yang dipertontonkan DIA tanpa relaku..

31 Januari 2018
Aku bercadang untuk berjumpa dengan ibuku pada esok hari untuk meluahkan segala masalah yang aku pendam sejak sekian lama. Malam ini, aku akan cuba untuk paksa diri untuk tidur, kataku dalam hati. Aku berjaya tidur dan bermulalah mimpi ngeri untuk sekalian kalinya.

Hujan renyai menemani perjalanan melalui lorong kecil menuju ke rumah papan biru muda di hujung kampung. Pintu kayu berwarna cokelat tua terbuka dari dalam, melihatkan wanita dengan sepasang mata redup melihatku sambil tersenyum manis menyambut kedatanganku. Aku kenal muka ini, tapi siapa ya? Kataku dalam hati. Tidak semena-menanya, aku melihat wanita tersebut seperti terkejut, sebelum rebah dan d***h likat terus mengalir keluar dari dadanya lalu membasahi segenap ruangan tamu sederhana besar itu.. Beberapa ketika kemudian aku baru tersedar yang wanita tersebut telah ditikam dan sekelip mata sahaja wanita tersebut sedang bertarung dengan maut.. Aku semakin terkesima saat melihat DIA di sudut ruang tamu tertawa riang bagaikan kanak-kanak mendapat jajan sambil memperlihatkan wajahnya yang persis…seperti aku.

Jam menunjukkan pukul tiga pagi, peluh ku membasahi bajuku dan cepat-cepat aku bangun untuk menunaikan solat tahajjud bagi meng-neutralkan balik mimpi yang semakin samar-samar dalam ingatanku. Itu semua mainan syaitan kataku sendiri. Esoknya, aku menuju ke kampung dengan hati yang girang namun tibanya di kampung aku telah dikejutkan dengan kehadiran orang ramai di rumah. Aku terus berlari ke dalam dan melihat ibuku terjelepok di depan pintu rumah sambil bajunya basah dipenuhi d***h. Ya, wanita tua yang sama di dalam mimpiku itu adalah ibuku sendiri. Aku meraung sambil memeluk ibuku sambil diperhatikan khalayak ramai sebelum dunia aku menjadi gelap.

12 Februari 2018
Keratan akhbar Berita Harian “Seorang wanita maut ditikam 27 kali oleh anaknya sendiri”
Aku didiagnosis dengan ‘homicidal sleepwalking’ dimana seseorang itu melakukan perbuatan m******h semasa episod sleepwalking. Ada beberapa kes di Negara barat di mana pembunuh tersebut dilepaskan dengan menggunakan defense tersebut. Namun aku, telah dijatuhkan hukuman penjara 21 tahun di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan di atas kesalahan m******h tanpa niat.
Sejak itu juga, DIA tidak pernah datang mengunjungi aku lagi.

-Aquarius-

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Aquarius

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

9 thoughts on “DIA”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.