Dia Yang Bernama Raudhah

Angin semilir melambai lembut. Dedaunan nyiur meliang liuk di sapa bayu petang. Suasana pantai cukup meriah. Ramai yang mengambil peluang cuti sekolah membawa keluarga beriadah sambil menikmati indahnya ciptaan Tuhan. Ketawa riang kanak-kanak berlarian menerbangkan layang-layang menerpa di pendengaran. Aku tersenyum sendirian melihat gelagat mereka umpama tiada satu pun masalah yang menganggu benak dan minda. Jari jemariku leka menekan papan kekunci komputer ribaku. Masih banyak tugasan kuliahku yang perlu segera aku rencanakan dan siapkan. Jariku laju memegang tetikus membawa anak panah berlari di setiap ruangan di komputer.

Entah mengapa mataku tertancap pada satu fail yang aku kira sudah terlalu lama tidak kubuka atau mungkin kerana aku cuba melupakan. Entahlah, jiwaku, hatiku malah segala pernafasan bagai tersekat. Memori itu kembali menerjah ingatanku, menyesakkan dadaku serta bermain di tubir pandanganku. Terketar-ketar jariku menekan simpanan fail tersebut dan segala isinya terbuka jelas di mataku. Peristiwa itu masih menghantui hidupku malah ianya mengekori setiap langkah perjalanan aku. Sampai bila aku harus dihambat mimpi malam hingga menganggu setiap lenaku yang panjang. Sungguh batinku terseksa dan jiwaku menjerit dibelenggu memori silam.

Raudhah, seindah nama seelok rupanya. Lama aku kenali susuk tubuh tinggi lampai itu. Teman karibku sejak di bangku sekolah rendah. Siapa duga, pertemuan kami sekadar seketika namun ianya membawa hingga dewasa. Wajah ayunya menyapa lembut ingatanku. Mata aku pejam kembali menagih memori semalam. Kami berdua umpama belangkas sukar benar untuk dipisahkan dimana ada Raudhah di situ ada aku dan dimana ada aku di situ jua Raudhah berada. Bapanya hanyalah seorang nelayan dan ibunya pula suri rumah sepenuh masa, tetapi kagum aku pada ibu dan ayahnya kerana berjaya mendidik Raudhah dan adik beradiknya menjadi manusia yang serba serbi sempurna.

Pernah aku mendengar betapa lantunan suara Raudhah mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran terlalu sempurna sebutannya, jelas makrajnya,tepat hukumnya. Di bangku sekolah, Raudhah murid cemerlang. Saban waktu, usai peperiksaan namanya sentiasa meniti di bibiran guru-guru kerana kecemerlangannya akademik hinggakan dia merupakan antara salah satu pelajar cemerlang di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Kami meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Impian Raudhah untuk ke menara gading tercapai. Betapa gembiranya raut wajah itu apabila diterima masuk ke sebuah universiti tempatan di selatan tanah air. Di peluknya aku kejap dan kemas sambil bibirnya menguntum senyum. Sungguh Raudhah aku tidak pernah lupakan senyuman semanis itu. Kami terpisah jarak dan waktu namun segala kemudahan di hujung jari aku gunakan sebaiknya. Berbalas mesej, aplikasi whatapps dan kadangkala telefon menjadi penghubung antara kami. Sehinggalah peristiwa hitam itu merenggut tangkai hatiku, meragut segalanya dariku. Raudhah jatuh cinta. Ya jatuh cinta pada seorang jejaka yang telah lama ditaruh rasa sukanya. Nyata cintanya berbalas. Lelaki itu benar sempurna, dari rupa parasnya dari akhlaknya. Hubungan mereka berdua rapat hinggakan ada ketika aku terasa terpinggir. Namun bagiku, cukup bahagia Raudhah, bahagiaku jua. hubungan itu direstui hingga tersarung manis cincin belah rotan di jarinya. Akulah yang paling bahagia. Namun ianya hanyalah seketika. Terlalu seketika.

Beberapa bulan selepas ikatan pertunangan, Raudhah berubah. Kepulangannya ke kampung kali ini membawa berita duka. Masih aku ingat Raudhah menghubungiku dan meminta aku mengambilnya di stesen bas. Katanya tidak mahu menyusahkan ibu bapanya. Aku yang ketika itu cuti semester tidak menolak malah aku menerimanya kerana telah terlalu lama tidak aku temuinya. Aku meminjam kereta abangku untuk menjemput Raudhah di stesen bas.

Perjalanan mengambil masa hampir dua jam dari negeri Cik Siti Wan Kembang ke negeri Penyu itu. Entah mengapa aku rasakan detak jantungku laju. Aah, persetankan perasaan itu, mungkin aku terlalu teruja untuk berjumpa Raudhah. Aku selamat tiba di destinasi. Kereta ku parkir di hujung bangunan dan segera aku meencari Raudhah. Tiba-tiba tangan di pagut, “ Aku kat sinilah”, aku segera berpaling. Wajah yang kurindu tersenyum manis menyapaku. “ Raudhah, lamanya aku tak jumpa kau, kau sihat ?” Raudhah tersenyum sambil memelukku.

Kami berjalan bersama-sama menuju ke kereta. Celoteh Raudhah benar-benar menggembirakan aku. Banyak benar ceritanya, masakan tidak hampir setengah tahun kami tidak bersua kerana kekangan jadual. “ Jom aku belanja kau makan tomyam nak?” ajakanku disambut gembira. Aku memberhentikan keretaku di sebuah restoran dan kami sama-sama keluar. Aku segera memesan makanan dan aku tahu tomyam kegemaran Raudhah. Seorang pelayan muda datang mengambil pesanan. Segera aku titipkan pesanan nasi, tomyam dan air.

Aku masih leka berbual bersama Raudhah. Kami ketawa bersama-sama dan beberapa pengunjung di situ mengerutkan dahi barangkali terganggu dengan kebisingan kami. Aku sekadar mengangkat tangan memohon maaf atas ketelanjuran bicaraku bersama Raudhah. Makanan terhidang dan kami menjamu selera menikmati keenakan rasa airtangan tukang masak yang cukup sempurna tiada cacat celanya.

Selesai mengisi perut, kami meneruskan perjalanan pulang. Aku merenung wajahnya, dapat aku lihat sedikit suram bermukim di wajah ayu itu. “ Farhan, dia putuskan ikatan pertunangan kami sebab katanya aku dan dia tidak serasi”, menunduk Raudhah memulakan bicara. Aku terpana. “ Bila? Kenapa baru hari ini kau bagitahu aku? Sedikit amarah aku lemparkan. “ Dah lebih 3 bulan, Farhan bagitahu aku dia ada cita-cita tinggi, kalau kahwin dengan aku impiannya akn lebur, aku sedih, sedih sangat”, sebak sendu suara Raudhah, Aku memberhentikan keretaku di sebuah stesen minyak. Segera aku memeluk Raudhah menenangkan jiwanya yang galau. Terhinggut-hinggut bahunya menahan tangis dan akhirnya empangan airmatanya pecah, berat seberat apa yang ditanggung jiwanya. Hampir 30 minit, azan maghrib menyedarkan aku. Segera aku tarik lengan Raudhah dan mengajaknya solat di surau. Masih ada hutang kami pada sang Pencipta. Jari jemri Raudhah masih leka memusingkan cincin yang tersarung di jarinya. Aku hanya memandang dengan pandangan kosong. Apalah yang mampu aku katakan untuk merawat hatinya yang luka. Sudahnya, aku biarkan sahaja Raudhah ditemani esak tangisnya yang kian perlahan. Aku meneruskan perjalanan.

Kami berdua selamat tiba ke destinasi. “ Kau terus hantar aku ke rumah ya, lama benar aku tak jumpa ibu dan ayah, rindu sungguh aku’, pinta Raudhah, aku mengangguk dan segera membelokkan kereta memasuki simpang. Ku kira ingin membawa ke rumahku seketika, tapi permintaan Raudhah aku rasa perlu aku penuhi. Dari kejauhan dapat aku lihat cahaya lampu kalimantang terang di beranda rumah. Jelas kelihatan rumah kayu itu.

Aku memberhentikan kereta dan segera memberi salam. Wajah tua ibu bapa Raudhah menyambut aku dengan senyuman. “ Eh, lamonya dok kelih mung, lamo dih mung dok kelik kampung? “ sapa Pak Soh. “ Ho Pok Soh, kelik cuti baru minggu lepah jah ni, cuti semester, balasku. “ Pah mari wat gapo malam-malam ni? Takdok angin, takdok ribut, ado gapo-gapo ko nok oyak?” kerutan di wajah Pak Soh aku balas dengan senyuman. “ Ni ore ( saya dalam dialek pantai timur) wat kelik Raudhah ni, Raudah telefon mintok ambil di stesen, “ lincah tanganku membuka pintu kereta. Aku tersenyum,” Raudhah dah sampai ni, jom”, aku menarik tangannya kejap, entah mengapa Raudhah tidak berganjak. Pak Soh dan Mak Leha kulihat segera menuruni tangga. Rindu agaknya pada Raudhah, anak gadis mereka. Mak Leha memeluk aku. Aku sedikit kaget. Dapat aku lihat bergenang airmata Mak Leha saat memeluk aku. Raudhah masih terpaku di tepat duduk. Pak Soh memegang kepalaku berlapikkan tudung. Entah mengapa kakiku kejang dan aku tidak sedarkan diri.

“ Alhamdulillah, sedar doh”, aku membuka mataku perlahan-lahan memandang sekitar ruangan. Ibu ayah dan adik beradikku ada di sekelingku. Pak Soh dan Mak Leha jua. Aku pelik kenapa aku terbaring di sini. “Mano Raudhah”, perlahan aku bersuara. Ibuku segera memelukku. “ Raudhah tak dok lamo doh, lamo doh Raudhah tak dok”, suara lembut ibuku menyapa telingaku. “ La takdok mano nya, ore baru jah gi ambil dio di stesen bas nuh, ado Raudhah dalam keto ( kereta) nuh, jari telunjukku menunjukka kearah kereta.

Entah mengapa serta merta hidungku menangkap bauan kemboja. Abangku menjelaskan padaku. Aku terjerit-jerit menangis. Aku masih tidak dapat menerima satu kenyataan. Serta merta ingatanku menerawang. Patutlah masa di stesen bas, orang pandang aku semacam. Di restoran pun pengunjung memandang aku seolah-olah pelik dengan tingkahku. Abangku meyerahkan sekeping keratan akhbar padaku. Wanita dirog0l dan dibunvh dengan kejam. Tanganku menggigil dan serta merta wajah Raudhah di mindaku.

Deringan telefon mengejutkan aku dari terus dibuai kisah semalam. Aku masih berada di pantai rupanya. Segera aku angkat telefon itu dan dapat aku dengar suara pemanggil itu dengan jelas. “ Jangan pernah lupakan aku “, suara itu, ya suara Raudhah. Aku kenal suara itu. Tanganku menggigil dengan telefon terhempas. Aku segera mengemaskan barangku. Dadaku berdebar kencang. Saat aku berpaling, jauh di hujung celahan batu kelibat Raudhah merenung ke arahku, tersenyum memandangku. Aku sendiri tidak mengerti mengapa aku diuji. Mungkin Allah mahu aku ketahui bahawa di bumi ini aku tidak sendiri, malah kalian juga tidak sendiri kerana mereka jua ada menemani kita di sisi.

Pengembara Jalanan
DISCLAIMER : Ia adalah coretan dari sebuah kisah benar.

Hantar kisah ada : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 6 Average: 5]
Pengembara Jalanan

4 thoughts on “Dia Yang Bernama Raudhah”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.