Diganggu Penghuni Pokok Besar

Aku bekerja di sebuah hotel bertaraf 5 bintang di ibu kota. Jawatan aku sekarang ini adalah ‘Public Area Supervisor’, yang bertanggungjawab untuk memastikan kawasan awam yang digunakan pelanggan hotel seperti tandas, swimming pool, kawasan merokok, dan restoran berada dalam kondisi yang bersih dan memuaskan.

Hotel tempat aku bekerja ini adalah hotel baru, yang dibina atas tapak sebuah rumah lama zaman kolonial. Di bahagian depan hotel, berhadapan dengan laluan masuk kenderaan pelanggan ada sebatang pokok besar yang aku sendiri tak pasti mengapa tidak ditebang seawal pembinaan hotel ini dahulu. Pokok itu kelihatan agak menyeramkan, lebih lebih lagi ketika waktu malam.

Pernah berlaku beberapa kali peristiwa yang dikaitkan dengan pokok besar itu, seperti kisah Amad, seorang bellman yang dilihat bercakap seorang diri dengan kuat dihadapan pokok itu. Ketika itu aku bekerja pada shift malam, rakan rakan sekerja segera memanggil aku untuk melihat keadaan Amad. Bila aku sampai di situ, rakan rakan dari department maintenance dan security turut berada disitu. Aku lihat dua orang telah cuba menarik Amad untuk beredar dari depan pokok besar itu namun gagal.

“Am, tolong tarik si Amad ni. Tak bergerak langsung kami tarik.” arah Abang Shamsul, pengawal keselamatan hotel kepadaku ketika melihat aku berjalan ke arah mereka. Aku terpandang rakan sekerja aku dari public area, Roslan dan Farhan yang hanya memerhatikan dari jauh. Aku segera memanggil mereka untuk bersama sama denganku membantu Abang Shamsul dan Ramesh, technician maintenance.

“Jomlah kita ramai ramai angkat dia ni.” kata Roslan. Amad ketika itu sedang meracau racau, kurang jelas apa yang dituturkannya. Aku hanya menangkap beberapa butir ayat sahaja.

“Kau buat apa sini?”
“Kalau berani marilah!”
“Aku tak takut…Aku tak takut…”

Amad meracau dengan tangannya menunjuk nunjuk ke arah pokok besar dihadapan kami. Aku dan yang lain melihat juga ke arah pokok besar itu namun tiada apa apa. Sungguh berat badan Amad, langsung tidak bergerak walau seinci pun. Abang Shamsul mencadangkan supaya kami mengheret Amad, namun badannya tetap tidak berganjak seolah olah telah melekat pada tempat itu.

Farhan memegang bahuku dengan tiba tiba, aku memandang ke arahnya. Dia dan Roslan memberi isyarat dengan mata mereka supaya aku melihat ke arah atas pokok besar. Walaupun gelap kerana sudah lewat malam, namun dengan pantulan cahaya lampu dari simpang jalan, dapat aku melihat satu makhluk seperti seorang wanita berbaju putih bertompok tompok merah, berambut panjang sedang terbang perlahan mengelilingi dahan dahan pokok besar itu. Aku mengalihkan pandanganku dari terus melihat makhluk itu.

“Mari kita baca Ayat Kursi ramai ramai. Minta semoga Tuhan mempermudahkan urusan kita malam ni.” kata Abang Shamsul. Aku dan yang lain mengangguk paham. Aku rasa kami semua nampak makhluk yang aku nampak terbang di atas pokok besar. Kami semua memulakan bacaan kursi secara perlahan.

Aku membaca beberapa p****g ayat yang telah diajarkan Pak Tam kepadaku sebelum ini. Seterusnya aku terus membaca Surah An Nas berulang kali. Aku dapat melihat kaki Amad sebenarnya dipegang erat oleh sepasang tulang tangan yang keluar dari tanah. Patutlah walau macamana kuat pun kami menarik badan Amad tidak bergerak, rupanya memang kakinya telah dipegang “sesuatu”.

Aku memandang tepat ke arah tulang tangan itu sambil berkata perlahan, bimbang didengar oleh rakan rakan yang lain.

“Walau apa pun kesilapan sahabat aku ini, lepaskan dia! Tiada apa apa pun yang berhak menghukum sesama makhluk melainkan dengan izinNya!.”

Dengan satu hembusan yang aku tiup ke arah kaki Amad, tulang tangan itu menghilang dan barulah kami dapat mengangkat Amad ke smoking area. Aku mengarahkan Farhan dan Roslan memaklumkan kejadian itu kepada Duty Night Manager atau Pengurus Shift Malam, sementara aku, Abang Shamsul dan Ramesh menenangkan Amad yang masih lagi dalam keaadaan terkejut dan lemah.

Ramesh memberi Amad sebotol air mineral, dia terus meneguk air itu sehingga habis. Melihat dia yang semakin tenang, Abang Shamsul bertanya kepadanya mengapa dia berada di depan pokok besar itu.

“Aku nampak ada ‘pakcik’ duduk kat situ macam bertapa.” jelas Amad. Pada mulanya Amad berasa hairan dengan kehadiran pakcik itu kerana sebelum ini tidak pernah ada sesiapa pun yang dilihat duduk di bawah pokok besar itu apatah lagi seperti bertapa. Setelah diperhatikan seperti tiada yang pelik atau bahaya, dia pun menghampiri pakcik itu dengan hajat untuk cuba meminta nombor ekor.

“Ceh, you niat tak baik.” sampuk Ramesh.

Abang Shamsul meminta Amad menyambung ceritanya. Amad berkata, setelah dia menghampiri, tiba tiba pakcik itu berdiri dan memandang tepat kearahnya dengan senyuman yang menakutkan. Wajah tua pakcik itu berubah menjadi sesuatu yang menakutkan.

“Hujung bibirnya terbelah sampai ke telinga!” kata Amad, ketika itulah Amad hendak lari dari situ tapi dia berasa kaki dan badannya tidak dapat bergerak. Aku hanya mendengar sahaja cerita yang disampaikan Amad, namun mata aku dapat menangkap satu sosok lembaga sedang berdiri di pokok besar depan hotel. Pakaiannya seperti seorang tentera, aku memberanikan diri untuk melihat wajah lembaga itu. Wajah seorang lelaki tua, matanya memandang tajam seolah olah memerhatikan kami. Mungkin itulah pakcik yang Amad jumpa, fikirku.

Aku perasan juga wanita berbaju putih berambut panjang yang aku lihat terbang di pokok besar itu tadi berada di belakang pakcik itu. Aku fikir ianya sudah tentu langsuir. Wajahnya mirip benar dengan apa yang selama ini digambarkan dalam filem filem seram. Dari celahan rambutnya yang panjang, ada sepasang mata yang merah menyala, lidahnya yang penjang keluar dari mulutnya yang dibiar terbuka. Cepat cepat aku berstighfar dan mengalihkan pandangan aku ketika mendengar Ramesh berkata.

“You kena pergi sana semula, minta maaf sama itu pokok.”

“Tak perlu, bukan kepada pokok tempat kita meminta maaf.” balas Abang Shamsul, Amad dan Ramesh mengangguk paham.

Abang Shamsul dan Ramesh meninggalkan aku dan Amad, Abang Shamsul perlu melakukan rondaan manakala Ramesh mendapat satu panggilan yang memintanya membaiki lampu di dalam kawasan dapur.

“Terima kasih Am.” kata Amad perlahan, aku yang ketika itu sedang mencucuh rokok memandang dia dengan hairan.

“Aku tahu kau baca something baru kaki aku dapat bergerak.” sambungnya lagi. Aku menerangkan bahawa aku hanya membaca surah surah pendek yang mampu semua orang hafal. Aku mengingatkan pada Amad supaya menyimpan ilmunya dan jangan bermegah, agar tidak terjadi sesuatu yang lebih buruk.

Aku tahu dari cerita beberapa orang rakan sekerja yang Amad memang suka bercakap besar. Dan aku teringat Roslan memberitahuku pernah satu hari Amad berkata yang dia tidak takut akan apa dan siapa yang menghuni pokok besar itu, di hadapan pokok besar itu.

“Dia belum pernah kacau kita, jangan kita pula yang pergi kacau dia dulu.” pesan aku. Amad menundukkan kepalanya. Aku juga meminta supaya dia berhenti dari membeli nombor ekor, Amad diam dan mengangguk paham.

Aku menghulur tangan untuk meminta maaf sekiranya ada kata kataku mengecilkan hatinya. Dia senyum dan menyatakan bahawa apa yang dinasihatkan aku itu adalah benar dan dia mengakui kesilapannya. Dia mengaku bahawa dia telah menyeru makhluk yang menghuni pokok besar itu untuk meminta nombor ekor. Dia tidak menyangka bahawa makhluk makhluk itu akan menyerangnya.

“Tikam nombor ekor itu haram bagi kita orang Islam, meminta nombor ekor dari makhluk halus lebih lagu daripada haram tahu?” kataku sambil menepuk bahunya. Aku meminta diri untuk memeriksa kerja yang dijalankan oleh Farhan dan Roslan.

Aku meninggalkan Amad untuk berehat di smoking area. Sambil berjalan masuk ke lobby hotel aku sempat melihat ke arah pokok besar, pakcik tua itu dan langsuir tadi telah tiada. Lalu aku terus masuk dan mencari rakan rakan sekerjaku untuk sambung bekerja. Malam itu aku juga telah dipanggil oleh Duty Night Manager untuk menulis laporan tentang kejadian itu. Setelah melihat ada laporan yang telah siap ditulis oleh Farhan, Roslan, Abang Shamsul dan Ramesh di atas meja, aku menyalin semula sahaja dari laporan mereka.

Dan sejak dari hari itu aku tidak lagi mendengar cerita tentang Amad bercakap besar. Namun cerita tentang gangguan dari makhluk halus di hotel itu sentiasa ada.

Nanti aku tulis lagi ya?

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 32 Average: 4.7]
A.R Qaseh

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.