Diikuti Sejak Kecil

TAJUK: Angah – Diikuti Sejak Kecil

Dari kecil, aku sudah belajar satu perkara – tidak semua yang memanggil nama kita perlu disahut. Dan kadang-kadang, apa yang mengejar kita… tidak berhenti walau bertahun berlalu.

Bab 1: Suara dari Tandas
Pagi itu, aku berumur tujuh tahun. Matahari masih malu-malu muncul di sebalik bumbung rumah. Di luar rumah, mak sedang berbual dengan jiran. Aku bersendirian di dalam, sedang bersiap ke sekolah.

“Angah…”

Aku tersentak. Suara lembut seorang perempuan memanggil. Aku ingatkan mak. Tapi pelik… suara itu datang dari arah dalam rumah, bukan dari luar.

“Angah… Angah…”

Tiga kali. Jelas. Aku mula rasa tak sedap hati. Satu demi satu bilik aku jelajah. Tiada siapa. Hujung sekali, aku buka pintu tandas. Kosong. Tapi saat aku pusing, satu suara kuat bergema di telinga:

“Nama penuh aku!”

Aku menjerit dan lari keluar rumah.

Itu kali pertama.

Bab 2: Tingkat 21
Umur aku 18. Cuti semester. Aku pulang ke hostel dari kampung, tapi sampai saja di sana, keluar pengumuman ,cuti ditambah seminggu. Marah? Sudah tentu. Tiket bas bukan murah.

Tinggal aku seorang di tingkat 21. Seluruh aras hanya rumah kami yang berpenghuni. Yang lain sunyi. Gelap. Hanya suara angin dan salakan anjing dari bawah bangunan.

Malam itu, lepas Maghrib, aku layan filem di laptop. Jam 10 malam, aku baring menghadap dinding. Pintu bilik terbuka ,cahaya dari ruang tamu sedikit sebanyak menghilangkan rasa sunyi.

KRRAAAKKK.

Bunyi kerusi diseret di ruang tamu. Kuat. Jantung aku berdegup laju. Bila aku kalih, bunyi itu berhenti. Bila aku pejam semula, ia datang lagi ,makin kuat, makin dekat.

Aku cuba baca surah… tapi lidah kelu. Ayat pun tak keluar. Akhirnya, aku capai telefon dan hubungi ayah. Dia bacakan Yasin.

Selepas itu, seminggu aku tak tidur malam. Hanya lelap lepas Subuh.

Bab 3: Diikuti
Umur aku 24. Baru mula bekerja di sebuah kolej swasta di Kajang. Aku pindah ke rumah sewa baru – lebih dekat dengan tempat kerja. Tapi sejak itu, aku mula alami mimpi-mimpi pelik.

Mimpi aku mengandung. Bersalin. Bahkan… bermimpi bersama seseorang. Rasa mimpi itu terlalu nyata.

Benda itu datang hampir setiap malam.

Aku mula takut untuk tidur. Bila aku ceritakan pada keluarga, mereka bawa aku berubat. Tapi tempat rawatan pertama buat aku rasa lebih takut dari tenang. Si perawat menyentuh aku tanpa berlapik, dan paksa aku minum susu segar campur air kelapa – aku yang memang tak tahan bau susu hampir muntah.

Dia kata, “Benda tu suka kau. Tapi dia tak boleh dekat bila kau dengan keluarga.”

Aku nekad berhenti rawatan di situ.

Gangguan makin teruk. Sampai satu malam aku kena tindih – tak boleh gerak, tak boleh jerit. Nafas macam dicekik. Mataku terbuka, tapi tubuhku lumpuh.

Masa raya, aku balik kampung dan kami cuba berubat dengan seorang pakcik. Dia minta nama penuh aku, dan air mineral besar. Lepas dia baca sesuatu, dia kata:

“Ada orang cuba test ilmu dia kat kau. Tapi dia baru belajar… tak cukup kuat nak ambil kau.”

Pesan terakhir pakcik tu buat aku sedar:

“Solat jangan tinggal. Itu benteng paling besar.”

Sekarang aku sudah berkahwin. Umur 30. Dan aku dikurniakan dua orang anak yang comel-comel, penyejuk hati dan peneman jiwa. Tapi kadang-kadang… aku masih rasa diperhati. Masih terdengar bunyi aneh saat malam larut. Kadang, mimpi-mimpi lama itu… datang kembali.

Benda itu… mungkin belum pergi. Mungkin masih menunggu aku kembali bersendirian. Atau mungkin… ia tak pernah tinggalkan aku sejak hari pertama.

Kalau cerita aku ni dipublish, aku akan sambung kisah ini di bahagian lain, sebab gangguan tak terhenti di sini.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Angah
Rating Pembaca
[Total: 27 Average: 4.6]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.