Kehidupanku sekeluarga seperti orang lain. Sederhana dan rezeki mencukupi. Alhamdulillah, aku dikurniakan seorang suami yang baik dan penyayang. Diamanahkan Allah dengan empat orang cahaya mata. Tiga lelaki dan seorang perempuan. Mereka bagiku pelengkap hidup aku dan suami. Namun, aku diuji Allah dengan anak-anak yang diistilahkan oleh pakar perubatan sebagai “Skizofernia”. Tiga daripada anakku menghidapi penyakit ini. Manakala seorang lagi “Dyslexia”.
Din anak pertamaku. Ketika dia berumur 3 bulan, dia sudah menunjukkan ciri-ciri yang kurang menyedapkan hatiku. Apabila dia memandang ke arah kipas atau jam dia tidak akan mengalihkan pandangannya walaupun berjam-jam. Adakalanya, dia akan begelak ketawa sendiri, bunyi gelaknya betul-betul beria benar sehinggakan kadang-kadang menaikkan bulu roma sesiapa yang mendengar. Dia hanya akan diam atau berhenti melihat sehala bila kami kejut atau mengalihkan pandangannya. Pada awalnya aku sekeluarga fikir ianya perkara biasa di kalangan kanak-kanak.
Sehinggalah satu ketika..
“Mama, kawan Din ajak main kat belakang rumah tokwan”, Din meminta izin kepadaku. Aku berhenti menyapu. “Kawan? Kawan mana?” aku berbisik sendiri. Setahu aku, sekeliling rumah mak dan ayah aku ini semuanya jiran-jiran warga emas dan anak-anak serta cucu sudah berpindah ke bandar. Aku menggaru dahi. “Kawan yang mana Din?” aku bertanyakan pada Din sambil senyum padanya.
“Kawan Din yang ikut kita datang dari KL tu, yang duduk sebelah mama dalam kereta. Am namanya”
“Glurpp!” aku menelan air liur.
Dalam kereta hanya aku, suamiku dan Din. Suamiku dan Din di hadapan. Memang aku seorang sahaja di belakang. Patutlah tempoh hari, Din asyik menoleh kebelakang sambil bergelak ketawa. Dan adakalanya dia ber “shuuttt” menandakan “senyap”. Aku pula ketika tu khusyuk membaca Majalah Wanita. Hanya sekali sekala mengerling kearah Din dan suamiku.
“Boleh ya mama!” Din bersungguh. “Din, cuba tengok cuaca diluar. Redup nak hujankan? Nanti tak puas main dengan Am di luar tu. Apa kata kita main carom nak?” aku cuba mengalihkan perhatiannya dari terus melayan “Am”. Otakku mula ligat memikirkan yang bukan-bukan, tapi dalam masa yang sama aku cuba mengawal perasaanku. “Ye kan. Kejap, Din panggil Am main dengan kita sekali ya!” kata Din sambil tersenyum riang berlari ke pintu ,kononnya memanggil Am .Aku sempat menjenguk melalui tingkap ke arah Din yang sudah tercegat di muka pintu. Dia melambai-lambai ke arah sesuatu yang tidak wujud!
Ketika itu hati keibuan aku bercampur antara sebak dan seram. Apa sebenarnya yang telah terjadi pada anakku. Malam itu selesai menidurkan Din, aku menceritakan hal tersebut kepada suamiku, mak dan ayah. Suamiku mendiamkan diri. Aku tidak pasti apa yang difikirkannya. Mak dan ayah menasihatkan aku agar membawa Din berubat secara perubatan Islam. Menurut mak dan ayah kemungkinan Din “berkawan dengan jin” atau “hijabnya” terbuka. Kami berusaha untuk membawa Din berubat namun ada sahaja penghalangnya.
Kadang-kadang aku dan suamiku terlalu sibuk sehinggakan terlupa keadaan Din. Suamiku pula pada awalnya seperti tidak mahu merujuk Din kemana-mana, kemungkinan dia risau orang berpersepsi anaknya “gila”. Tidak lama kemudian, tepat umur Din 4 tahun, aku disahkan mengandung anak kedua. Aku dan suami sangat gembira. “Abang harap, dengan kehamilan Noor ni menambahkan keserian dalam keluarga kita” kata suamiku. “In shaa Allah, abang” jawabku. Suamiku juga beranggapan bahawa Din mungkin bersendirian tanpa rakan sepermainan, jadi dia berilusi sendiri. Itu tanggapan kami.
Satu malam, di rumah tinggal aku dan Din sahaja. Suamiku belum pulang lagi. Manakala Kak Yam, pembantu rumahku sudah pulang ke rumah setelah menyiapkan kerja-kerjanya. Sudah pukul 11.30 malam. Suasana rumah sunyi sepi. “Tak, tak” aku amati bunyi tersebut. Pintu bilikku masih terbuka. Din sudah tertidur selepas ku mendodoikannya. “Tak, tak” . Aku bangkit dari pembaringan menuju ke muka pintu. Bunyi itu semakin jelas. Aku berjalan lambat-lambat ke ruang tamu yang keadaanya gelap gelita.
“Tak,tak” bunyi buah carom berlanggar antara satu sama lain. Aku mula kaget. ”Siapa pula bermain?” aku tertanya-tanya. Sekilas lalu aku merasakan seperti sesuatu melintas ditepiku. Aku pasti benar itu bukan suamiku. Kalau dia balik sudah pasti dia akan menghidupkan lampu ruang tamu. Aku cuba mencapai suis lampu utama.Tiba-tiba..
“Mama, tak payah buka lampu. Am tengah main carom tu” Din menyapaku sambil menghalakan torchlight ke arah wajahnya dari bawah dagu. Aku terkejut. Hampir gugur jantungku dibuatnya. Masa bila pula Din ni tersedar. Allah… aku menarik tangan Din dan bawanya masuk ke dalam bilik semula. Din mematikan torchlight dan aku menutup rapat serta mengunci pintu. Aku melihat muka ku di cermin. Pucat kerana masih terkejut. Tangkas ku mengambil telefon dan mendail nombor suamiku.
“Mama ni kenapa? Macam takut je Din tengok” Din mengerlingku serta sinis senyumannya.
Terkejut tadi masih belum habis, Din menambahkan kegelisahan ku. Suamiku tidak menjawab panggilan telefonku. Mungkin tengah memandu.
“Hehehehe” Din tergelak sambil matanya tidak lepas memandangku. Aku mula mundar-mandir sambil terus mendail. “Mama, mama, hehehehe” Din memanggil lagi. Aku lihat Din sudah semacam. Gelaknya menyeramkan. Aku membuka MP3 di telefonku dan mencari himpunan ayat-ayat Ruqyah. Detik waktu umpama berlalu dengan lambat sekali. Telefon pula hang! Din masih dengan keadaannya. Pukul 2 pagi suamiku sampai ke rumah..
“Abang, keadaan makin teruk. “Am” yang dimaksudkan Din tu sudah berani mengganggu Noor dan rumah ini!” aku menyatakan kerisauan kepada suamiku. “Hurm” suamiku menghela nafas. “Mungkin bayangan Noor sahaja kot, jangan ikutkan perasaan. Tawakkal kepada Allah minta perlindungannya dari gangguan semua tu” kata suamiku lagi. Ketika itu hatiku ada sedikit rasa kecewa kerana menganggap suamiku seolah-olah tidak mengambil berat apa yang aku lalui malam tu. Aku menangis sendirian, sambil memujuk hati dan berusaha untuk melelapkan mata.
Keesokan hari, aku menceritakan hal tersebut kepada pembantu rumahku, Kak Yam. Dia pun bercerita, dia juga mengalami perkara menyeramkan bila hanya dia dan Din berdua di rumah. Cuma menurutnya, dia cekalkan hati dan tidak melayan sangat karenah jin dan keanehan sikap Din. Dia pernah mendengar Din bersembang rancak dengan “seseorang” di ruang tamu sambil bermain permainan kereta control. Setelah mendengar cerita Kak Yam aku tekad ingin membawa Din berubat di Pusat Rawatan Islam. Suamiku memang melarang, namun aku berkeras. Aku tidak ingin Din terus-terusan begitu.
“Anak Puan ni, terbuka hijabnya dengan izin Allah. Dan sememangnya ada jin yang mendampinginya dengan tidak sengaja” kata Ustaz tersebut. Selepas meruqyah Din, Ustaz membekalkan sebotol air zam zam dan memesan untuk mengamalkan beberapa potong ayat surah berkenaan untuk di amalkan.
“Noor, abang ada baca beberapa artikel mengenai keadaan Din. Itu semua halusinasi akibat ketidakseimbangan kimia di otaknya. Tak ada kaitan dengan jin segala bagai tu” suamiku berbicara kepadaku di suatu petang. “Habis tu Noor pun halusinasi? Kak Yam?” aku menyoalnya kembali. “Noor dan Kak Yam hanya terikut-ikut dunia halusinasi Din” jawabnya lagi. Aku hanya mendiamkan diri. Fikiran dan hati ku gusar. Kalau benar aku seperti yang dikatakan suamiku, apa makhluk yang bermain carom malam tu?
Kandunganku memasuki minggu ke 17..
“Mama, ayah cerita tak lama lagi Din nak dapat adik, betul ke?” Din bertanya pada ku. “Ya sayang, ni di sini” aku menyentuh tapak tangannya lalu meletakkan diatas perutku.Din hanya tersenyum. Kemudian matanya meliar.Dia mengalihkan tapak tangannya. “Nanti mama dah tak sayang Din kan?” dia bersuara. “Taklah sayang, mama akan sayang Din seperti sekarang, tiada kurang tiada lebih” aku memujuknya. “Takpe ,mama jagalah baby tu. Am kan ada boleh temankan Din” dia mengerling melihat perutku. Ya Allah, “Am, am, am. Sudahlah anak oiiii!” aku mula serabut dengan nama itu. Rasa tercabar kesabaranku. Berubat sudah, tapi masih dengan “Am”nya. Mungkin memang tepatlah sangkaan suamiku. Itu halusinasi dan delusinya. Aku membiarkan Din bermain sendirian di ruang tamu.
Suatu pagi Jam 3.30 pagi..
“Ya Allah, ya Allah” suami ku terbangun dan dengar jelas suaranya yang tersekat-sekat. Aku terjaga. Biasalah Mak Yong memang senang terjaga tambahan pagi-pagi buta begitu. “Abang kenapa?” aku menegur suamiku. Dia bingkas menghidupkan lampu tidur dan mencapai cermin matanya yang diletakkan di meja sisi katil. Dia memandangku, ada peluh sejuk jatuh kepipinya. Aku mengelapnya dengan tapak tanganku. Matanya masih memandangku. Penuh ketakutan. Dia baring semula dan mengusap perutku. Aku membiarkan sahaja. Namun tiada sepatahpun dia bercerita apa yang terjadi pada diri atau mimpinya. Sehinggalah aku terlena kembali.
Selesai bersarapan di pagi Ahad itu, suamiku bingkas bangun ke halaman rumah. Dia bermain bola bersama Din. Aku melihat mereka dari jauh. Gembiranya Din bila ayahnya meluangkan masa bersamanya. Aku mula berangan bahawa anak yang kukandung itu anak perempuan. Jadi Din akan bermain bola dengan ayah, sementara anakku yang aku angankan “gegirl” boleh main masak-masak atau makeup-makeup dengan ku. Oh,bahagianya diriku. Selesai bermain, suamiku datang merapatiku.
“Noor,jaga diri ya serta baby dalam tu” suamiku tersenyum. “In shaa Allah, abang. Jika rezeki kita dengannya bulan Oktober lahirlah dia. Eh,tak perasankan sama tarikh lahir dengan abang dan Din” aku tersenyum riang. Din lalu di depan kami sambil mengerling tajam. Senyumku terhenti. Malam tu seperti biasa selepas menidurkan Din aku pun bersiap sedia untuk tidur. Cuma malam tu Din meminta izin denganku untuk tidur di sebelahku. Selalunya dia akan tidur dihamparan tilam dibawah. Suamiku masih di ruang tamu menyiapkan kerjanya. Aku mula melelapkan mataku.
Dalam lelapku aku bermimpi seorang kanak-kanak lelaki kukira berusia 2 atau 3 tahun datang kepadaku. Keadannya aneh, kepala botak matanya bulat bertelanjang. Mukanya pucat. Dia merapatiku lalu mengusap perutku. Aku mulanya membiarkan. Dia memandangku serta tersenyum sinis. “Adik” dia bersuara. Telapak tangannya tidak lepas mengusap. Namun lama-kelamaan usapannya makin kasar dan pantas. Aku lihat kuku-kukunya memanjang dan runcing. Aku cuba melarikan diri namun tidak berjaya. Seolah-olah diikat dan ditahan sesuatu yang tidak kelihatan. Dia mula merobek perutku dengan kuku-kukunya. Sambil bergelak riang.
“Adikkk,adikkk!!” dia menjerit dan menyeringai. Terasa kesakitan yang amat sangat. Perutku dicakar-cakar. Menyembur darah keluar. Aku menangis semahunya. Tidak mampu melawan. Setelah puas dia merobek, dia mengambil janinku lalu dia menceraikan kepala dan badannya. Aku menjerit, tapi suara tak keluar. Hilaian keanakannya jelas terngiang-ngiang ditelingaku. Makhluk itu datang menghampiriku dengan laju lalu membaling cebisan janin. Aku menjerit sekuat-kuatnya. “Adik!!” dia mengulangi perkataan itu.
“Noor, Noor! Bangun” terdengar suara suamiku. Aku sedaya upaya membuka mata. Jiwa ragaku seperti tercabut dan kembali semula ke tubuhku. Aku berpeluh-peluh kerana terasa kesakitan di rahimku. Suami ku membuka lampu. Aku cuba bangun. Namun terasa cecair panas membasahi di cadar. Ya Allah. Darah! Suamiku bingkas menukar pakaian lalu mengejutkan Din dan membawa keperluanku.
Seperti sudah dijangka aku keguguran. Pendarahan yang begitu banyak. Sepanjang perjalanan ke hospital aku menangis semahu-mahunya. Bayangan mimpiku masih segar dalam benak fikiran. Yang menambahkan kesakitan jiwaku, Din sengaja mentertawakan kesakitanku seolah-olah gembira dengan keadaanku. Suamiku mula memasang CD Surah Yassin. Dalam hatiku, “baru kau tau, anak kau tu psiko dan berjin!”.
“Sabar ya puan, memang tak dapat diselamatkan. Puan keguguran. Berdoa pada Allah supaya diberi kekuatan dan kesembuhan.Pasti ada hikmahnya. Harini saya akan lakukan prosedur D&C(Dilation & Curretage)” kata Doktor Siti sambil menenangkanku. Aku pasrah. Sambil air mataku masih berlinangan. Aku lihat suamiku juga menitiskan air mata dan ada kesal diwajahnya. Din bermain kapal terbang kertasnya sambil beriang gembira.
Sehari aku ditahan di ward. Suamiku mendapat cuti seminggu memandangkan dia pekerja yang jarang bercuti dan atas budi bicara majikannya. Kami pulang ke kampung, dan aku berpantang di bawah jagaan Mak. Ketika di kampung ,suamiku bercerita yang pada malam dia terjaga dari tidur tu,dia bermimpi seorang kanak-kanak mencederakan kandunganku dan menceraikan janin tersebut. Lebih kurang seperti mimpiku. Dari bayangan cerita mimpi suamiku itu aku pasti dia adalah ‘makhluk’ yang sama.
Mak dan ayah sekali lagi menasihati kami pergi berubat. Kali ini suami ku nampak kesungguhannya kerana dia mula perasan kejadian ini ada kaitan dengan “Am” kawan halusinasi Din. Selain berubat secara rawatan Islam kami ada bertemu dengan pakar Psikiatrik untuk merujuk keadaan Din.
“Din, cuba din ceritakan pada doktor dengan siapa Din selalu bermain?”
“Am”
“Siapa Am?”
Din diam seketika. Sambil melihat ke arah pintu bilik doktor yang tertutup lalu matanya mengerling ke sofa di sudut bilik itu. Tajam pandangannya. “Tu” dia menuding jari ke arah sofa. Tiada siapa di sana. Doktor tersenyum.
“Am, dia adik saya dari dulu, dia baik. Tapi kesian. Mama, papa tak suka dia. Mak Yam pun sama” Din bersuara lalu ada titisan air mata di pipinya. Aku dan suami saling berpandangan. Itulah kisah anak pertamaku, Din. Pesakit Skizofernia yang pertama dalam keluarga kami.
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
kisah yang sangat menarik . kekuatan genuine@keaslian cerita menambah keunikan. gaya bahasa yang bersahaja memaku pembaca ke akhirnya .
sabar ya puan . semuga allah mengganti dengan yg lebih baik .
terus berusaha untuk mengubati din.
Sedihnya. Moga puan dan suami mampu bersabar dengan ujian ini. InshaAllah hikmahnya besar.
pn noor..mohon smbung cter.kisah pertama kes skizo di FS rasanya.tq
skizo ni ada banyak jenis. ni bukan cerita pertama pasal skizo di fs
Tu bukan skinzo le sb skinzo x dapat diubat dengan ruqyah tp yg tu boleh je ubatkan. Cuma Allah swt nak uji keimanan seseorg tu percaya ke x dengan alam ghoib ni.
rasanya..byk da cite tentang skizo kat fs ni
Allahuakbar…
Semoga Allah menguatkan iman dan fizikal mental puan sekeluarga…
Aamiin…
Kesiannya…kalau benar cerita ni, saya sangat-sangat bersimpati. Jangan jemu mencari penawar bagi segala kekusutan. Mohon Allah SWT beri petunjuk buat kalian.
Bler sambungan nye kak?
skizo aka gila
siannye..mesti ‘am’ tu yg ape2 kan kandungan tu