Dorm Hotel Surabaya

Assalamualaikum dan salam sejahtera to all readers. Seperti biasa terima kasih admins di atas kesudian menerbitkan kisah-kisah aku. Semua approved tanpa reject.

Alhamdulillah. Ni ada lagi satu yang aku berasa nak share dengan anda semua. Panas lagi, baru angkat dari dapur.

Dulu zaman muda aku tak berpeluang nak berjalan makan angin sangat. Maklumlah kerja biasa-biasa, gaji ciput, cukup makan nak belanja untuk sara hidup ja. Lagipun dulu-dulu fikiran tak terbuka macam sekarang. Belum ada media sosial bagai, jadi tak terfikir pun nak berjalan ke tempat orang. Kalau ada target pun setakat nak buat haji ja.

Sejak 12 tahun yang lepas aku dah tukar profession kepada jurugambar sepenuh masa. Atas sebab aku membangkang bos aku yang suka suruh aku buat kerja haram, aku bagi surat resign 24jam dan terus berkerja sendiri hingga kini. Sekarang ni nak kata senang pun tak juga, tapi still survive.

Genre yang paling aku minat dalam fotografi ni pertamanya adalah nature, merakamkan keindahan alam ciptaan Tuhan. Kedua, gambar makanan. Aku pernah terlibat secara langsung dengan projek-projek kulinari seorang celebrity chef sehingga kami jadi business partner. Ketiga, genre potret…cuma aku jarang ambil job wedding. Setakat shoot potret anak-anak ja untuk disimpan buat kenangan.

Hobi terbaru aku….atau lebih tepat lagi sedang menuju ke arah satu cabang perniagaan ialah mendaki gunung serta merakamkan keindahan bumi Indonesia. Lokasi favourite aku ke sana adalah kawasan pergunungan Bromo.

Baru-baru ni, dalam tahun ni juga, aku menerima satu tugas untuk memandu arah 5 orang gadis dari Malaysia untuk masuk ke daerah Bromo. Bromo ni letaknya di negeri Surabaya. Salah satu lokasi perlancungan terkenal di Jawa Timur. Hang kena naik flight ke Surabaya dan cari transport menuju ke kawasan gunung.

Gadis berlima ni dah sedia menunggu aku di Kota Batu, sebuah desa wisata(perlancungan) yang terletak di selatan Kota Malang. Perjalanan dengan bas dari Bandar Surabaya ke Kota Malang ni sangatlah malang. Jem krem 5 jam baq hampa. Jarak dia tak jauh pun, dalam 60km ja. Tapi jalannya macet(jem) om! Bas Indonesia pula hampa tau la macam mana dia punya driver. Jenis beranak kat litar lumba. Mujur kebetulan nasib aku cemerlang hari tu, ada cewek cun duduk tepi aku. Mesra dan ramah. Dan mujur jugalah beliau bukan jawa pekat. Asal Melayu dari Sumatera. Boleh la sembang-sembang untuk hilangkan jemu.

Dipendekkan cerita, setelah bertemu dengan 5 gadis client aku tu, kami pun berangkat menuju ke Bromo. Daerah Bromo berkedudukan lebih dari 2000 meter dari paras laut. Suasana atas tu sangat dingin tambah lagi kalau musim kemarau. Suhu boleh turun ke 8 darjah celsius pada waktu malam. Yang menarik di sini adalah pemandangan indahnya yang ala-ala Eropah. Dengan gunung ganang bukit bukau yang indah terpahat di sekeliling tanah tinggi itu pasti memukau mata yang memandang. Yang paling popular adalah kawah Bromo yang masih aktif dengan aktiviti volcanic, sentiasa keluar asap berkepul-kepul. Dan selanjutnya adalah Gunung Semeru, puncak tertinggi di kepulauan jawa dengan ketinggian 3676mdpl. Aku dah panjat gunung tu tahun lepas. Sesiapa nak try boleh la aku bawa ke sana. Tapi aku tunggu kat camp site ja, ampa pi la naik. Aku dah serik. Kekejamannya akan buat hang berasa nak pencen mendaki seumur hidup.

Setelah 2 malam tidur di Bromo, kami berenam pun check out dan pulang ke Kota Surabaya. Setibanya di kota, 5 orang gadis ni tak mahu bermalam di hotel dah. Depa nak bergelandangan di Airport ja sampai esok pagi. Flight ke KLIA jam 6pagi esok harinya. Jenuh nak mereput kat situ lebih dari 15 jam. Aku pula bukan jenis kaki mereput layan handphone 24 jam. Mesti mau jalan-jalan atau paling tidak pun tidur. Jadi, aku bagitau kat depa yang aku nak pi ronda sat. Jumpa esok pagi. Terus aku order grab dan menuju ke pusat bandar. Boleh la juga dapat bahan gambar untuk stock photo aku nanti.

Setelah penat pusing-pusing keliling bandar, aku nampak satu hotel berkonsepkan dorm yang letaknya tak jauh dari airport. Best ni. Aku tak pernah lagi merasa tidur hotel macam ni. Lalu aku masuk dan check in. Murah gila bro. 1 malam RM36 ja siap breakfast dan penghantaran percuma ke airport. Hotel bersih dan wangi. Layanan pun gred A. Aku bagi 4 bintang. Takmau nak mention nama hotel kat sini nanti kena saman.

Waktu aku check in, jam dah menunjukkan pukul 5 petang waktu Indonesia Barat. Ertinya Magrib dah masuk, siang dah melabuhkan tirai. Hotel ni ada 3 level. Aku dapat level paling atas sebab level 2 dah fully occupied. Level 1 lobby sahaja. Selesai urusan check in aku pun menapak naik tangga menuju ke tingkat 3. Hotel ni tak ada lift ya. Sesiapa yang sakit lutut kronik tolong jangan menginap di sini.

Bila sampai atas, aku tergamam sikit. Aku sorang ja?? Ayoyoyo….

Rupa bentuk dorm hotel ni memanjang dari pintu bilik menuju ke tingkap hotel. Macam koridor yang kiri kanannya tersedia katil dua tingkat bertutup dengan tirai. Ada lebih kurang 30 katil kalau tak silap aku. Semua katil tu gelap. Yang cerah cuma lampu di siling dorm. Tandas dan bilik mandi terletak di tepi tangga dan dipisahkan dengan pintu kaca. Bila dah nama pun dorm hotel, bilik mandi pun konsep sharing macam tandas awam. Tapi sangat bersih dan terjaga. Memang berbaloi dengan RM36 aku tu.

Lalu aku pun menuju ke cube aku bernombor 11. Letaknya di tengah-tengah koridor. Aku menyelit masuk dalam cube, tutup tirai dan pasang lampu. Fuh…best. Tilam dia wangi dan empuk. Ni kalau aku tak beringat mau terlepas flight esok pagi. Dah masuk dalam tu, aku pun salin kain baju dan tukar kain tuala. Nak pi test bilik mandi pula. Sebelum tinggalkan cube, aku pastikan barang-barang aku tersimpan dengan selamat dalam locker kat bawah katil. Tirai ditutup tetapi lampu sengaja aku biar terbuka. Senang nak kenal cube aku nanti sebab aku sorang ja kat level tu.

Aku pun melangkah menuju ke bilik mandi. Kalau hampa tanya aku berasa seram tak waktu tu? Sumpah tak langsung. Rasa enjoy happy go lucky macam nak mandi dengan bini. Selamba ja aku berjalan dengan selipar jepun kelepek kelepek kelepek merentas koridor hotel yang malap diiringi suara radio yang berkumandang halus dari tingkat bawah. Sesekali terdengar mat saleh kat level 2 sedang bergurau senda. Macam nak join depa, tapi nanti-nanti lah. Mandi dulu.

Dalam compound rest room tu ada 3 bilik mandi dan 2 tandas. Aku pilih bilik mandi yang paling depan. Walaupun tak takut, tapi aku tetap beringat. Sebab biasanya kejadian tak diingini sering berlaku kat tempat paling hujung…kan?? Ni semua gara-gara terlampau banyak baca cerita kat Fiksyen Shasa, terpengaruh la juga jiwa aku ni. Hampeh.
Dah masuk dalam bilik mandi….aku pun buka paip dan air turun mencurah-curah dari shower. Punya la laju macam hujan di musim tengkujuh. Lama aku duduk dalam tu melayan perasaan. Kejap terfikir tentang awek dalam bas, kejap terfikir bini kat rumah, kejap teringat kat ayam penyek. Lebih kurang setengah jam berangan dalam tu, aku pun keluar menuju ke cube.

Lagi sekali selipar jepun aku berbunyi kelepet kelepet kelepet memecah keheningan dorm. Mata aku tercari-cari cube aku..nombor 11. Dari pintu masuk dorm ke cube aku jaraknya lebih kurang 20 kaki. Dan selang beberapa katil dari cube aku, iaitu cube yang berdepan dengan surau, aku nampak ada kelibat kaki ditarik masuk ke dalam cube. Ini tandanya ada tetamu lain baru check in. Bagus, tak da la berasa lonely sangat. Terus aku berjalan menuju ke cube…tapi terlajak.

“Aik…ni cube 18 dah. Mana katil aku?” Begitu aku mengomel sorang-sorang di tengah koridor. Lalu aku patah balik dan jumpa cube aku bernombor 11. Yang peliknya, lampu tertutup. Tu pasal aku terlajak tadi. Aku masih berfikiran positif. Hotel ni agak canggih sebab dia guna sensor pada lampu. Kalau tak ada orang dia off sendiri. Aku pun menyusup masuk ke dalam dan tukar pakaian. Dah setle, aku keluar semula menuju ke surau untuk jama’ magrib dan isya’ siap-siap. Sat lagi boleh lena terus. Kat luar pula tengah rancak hujan. Konpom aku tak sedar diri sat lagi nih.

Dah usai solat, waktu nak keluar surau aku berlalih tengok ke katil yang tadi aku nampak ada penghuni tu. Tirai terbuka dan tak ada orang. Aku tengok pula ke cube paling hujung. Sama. Gelap, tirai terbuka dan tidak ada tetamu. Kiri tak ada kanan pun tak ada. Lalu aku jalan terus balik ke cube aku sambil melihat kiri kanan. Kosong. Ternyata hanya aku seorang kat level tu. Tadi tu kaki siapa? Dan aku masih cuba takmau fikir bukan-bukan. Mungkin tetamu tadi turun bawah masa aku solat. Aku ni bukan jenis percaya bulat-bulat pada benda yang aku tak pasti. Mesti ada alasan kukuh selagi aku tak nampak secara realiti.

Aku pun tukar seluar dan bergerak menuju ke pintu dorm. Lampu cube aku biarkan terbuka macam tadi. Dari sejak mandi tadi aku dah pasang niat nak melantak nasi ayam penyek kat restoran di bawah hotel. Dah 5 hari kat negeri orang dengan telan nasi putih berlauk megi. Mana boleh tahan. Dan ya…2 pinggan nasi ayam penyek aku bedal malam tu. Seronok tak terkira dapat makan ayam penyek kat tempat asal dia.

Dah siap makan, aku lepak luar restoran jap dan buat video call kat bini. Nak habaq kata tadi laki dia makan sedap. Lepas bercinta sekejap di telefon dan melepas kerinduan kat anak-anak, aku melangkah menuju ke pintu hotel. Sambil tu, mata aku mendongak ke tingkat 3 hotel, tingkat yang aku nak stay malam ni.

Dari tingkap di tingkat 3 tu aku nampak ada satu tubuh wanita berbaju merah sedang berdiri memandang ke jalan raya. Oh…confirm ada orang. Aku pun masuk ke hotel terus menuju ke level aku. Sampai di atas….kosong dan sunyi. Terus aku menuju ke tingkap dan check tiap-tiap cube yang ada di level tu. Kosong, gelap dan tirai terbuka. Tak ada tanda-tanda ia berpenghuni. Yang cerah hanya cube aku. Aik? Tadi dia off sendiri. Sekarang takmau off pula.

Kat sini aku masih berusaha untuk positif lagi. Aku tak mudah percaya dengan apa yang aku nampak. Jadi aku twistkan fikiran bahawa yang aku nampak tadi mungkin staff hotel. Tema uniform depa warna merah dan hitam. Masih ada lojik di situ….walaupun tengkok aku dah sedikit mengembang.

Aku ambil keputusan untuk turun ke lobby dan tanya pada reception demi nak memuaskan hati sendiri. Tiba di lobby, seorang staff perempuan menyambut aku di kaunter. Tadi siang staff lelaki 2 orang. Sekarang ni dah bertukar shift barangkali.

“Adik…di level atas sekali itu saya seorang saja atau ada tenant lain?”
“Sekejap ya pak…saya check dulu” Jawabnya sambil menekan keyboard di computer.
“Iya…pak satu orang sahaja di situ. Gak apa kah?” ujarnya lembut dalam slang Indo yang aku mudah faham.
“Di level 2 udah penuh ya?” Tanya aku lagi.
“Iya pak. Maaf udah penuh. Ada grup wisata udah booking dari semalam.” Jawabnya dengan senyuman manis melekat di bibir…lalu jatuh ke hati aku. Cantik juga orangnya. Berkebaya merah bersanggul simpul. Orang kerja hotel ni malam buta pun kena lawa ya? Di dadanya ada name tag bertulis P.Anggeriani. Nama pun unik.

“Ok lah. Gak apa-apa.Terima kasih ya” Ujar aku sambil memandang mukanya. Kali ni dia diam dan hanya senyuman yang terlirik di bibir. Allahu…indahnya ciptaan makhluk yang seorang ni. Di bawah sinaran lampu kuning kelihatan keningnya yang tipis, matanya yang lembut bundar dihiasi alis mata yang tebal. Hidungnya mancung tirus bagai minta dicubit-cubit. Nak saja aku selfie dan hantar gambar kat bini. Inilah calon madu awak! Tapi itu tak berlaku. Terbayang-bayang bini aku menunggu aku pulang dengan batu lesung di tangan beliau. Seram siot.

Aku pun kembali ke tangga untuk menuju ke atas. Di situ aku terserempak dengan seorang staff lelaki sedang keluar dari office sambil membawa sehelai kertas di tangan. Dia tegur aku.

“Ya pak…ada apa bisa saya bantu?”
“Gak apa mas. Terima kasih ya.”

Terus aku menapak ke tingkat atas, masuk dalam cube dan tarik tirai turun rapat ke lantai katil. Cube ni bukan mavam cube kat KLIA tu, yang jenis tutup macam keranda. Cube sini cuma bertutup dengan tirai. Jadi kalau nak tengok apa-apa kat luar boleh main selak ja. Maka aku pun rebahkan badan dan tidur. Takmau layan perasaan bukan-bukan. Esok jam 4 pagi dah kena gerak ke airport.

Tetapi tidur aku tak lama. Aku terbangun jam 2.30 pagi sebab berasa nak pi kencing. Lalu aku bukakan tirai dan melangkah menuju ke toilet. Sedang aku berurusan dalam tu, aku dengar ada orang masuk kat bilik mandi sebelah toilet aku. Airnya dibuka laju dan dengar dengan jelas kawan tu tengah mandi. Ni mesti tenant bawah yang naik mandi kat atas atau ada orang baru check in. Aku tak peduli sangat hingga urusan aku selesai. Bila keluar toilet, aku pandang ke bilik mandi tu….pintu terbuka, air terpasang dengan laju tetapi tak ada orang.

Oh no! Bermula dari sini perasaan cuak aku pelan-pelan datang. Sedangkan tadi aku dengar jelas ada orang melangkah masuk, buka pintu dan buka paip air. Lalu aku tutup air tu dan terus balik ke dorm nak sambug tidur. Sebaik masuk ke dorm, sekali lagi aku nampak satu tubuh sedang duduk di birai katil, di cube yang sama aku nampak kaki ditarik masuk siang petang tadi. Dia cuma duduk di situ dan memandang ke luar tingkap. Tubuhnya basah mengalirkan air ke lantai macam baru lepas mandi. Aku tak nampak rupa parasnya sebab keadaan dalam tu gelap. Cube aku ja yang berlampu dan dibantu sedikit cahaya dari siling dorm.

Aku pun berjalan menuju ke katil macam biasa, takmau tunjuk yang aku sedang berperang dalam dada. Benda tu masih duduk memandang luar tingkap. Fikiran aku pula masih menolak bahawa yang itu bukan manusia. Itu adalah tetamu yang baru check in. Terus aku menyelinap masuk ke dalam cube dan tutup tirai. Mata aku dipejam rapat-rapat supaya cepat tidur dan tak mahu terawang-awang dengan hal bukan-bukan.

Selang beberapa minit, aku masih tak lena. Cuma mata tertutup rapat. Tak semena-mena tirai cube aku bagai disentuh dari luar.

‘Gedebuk….’
Bergoyang-goyang dia bagai cuba ditarik naik. Aku pun bingkas duduk dan tolak sedikit tirai tu untuk mengintai keadaan di luar. Aku intai ke pintu dorm…tak ada apa. Aku intai pula ke tingkap…pun kosong. Mungkin angin kot. Waktu nak tidur balik, aku perasan yang tirai aku terangkat sikit sampai boleh nampak lantai koridor. Aku pun cuba tarik balik tirai tu ke bawah nak rapatkan ke lantai katil. Tirai ni jenis nak rapatkan dia, hang kena tolak naik sikit baru tarik turun bawah. Masa tolak naik tu lah aku terpandang sepasang kaki manusia sedang tergantung di awangan tak jejak ke bumi….betul-betul menghadap ke katil aku. Dari kaki tu menitis air tumpah ke lantai macam baru sudah mandi. Pernah tengok movie The Eye yang seram banget tu? Ada satu scene hantu apek terawang dalam lift…kan? Scene itulah yang terjadi kat aku sekarang ni. Kaki tu hanya diam terawang-awang bagai batang tubuh tuan dia tergantung di sebalik tirai katil. Di saat tu aku tersentak.

“Allahu..” Tu ja yang terkeluar dari bibir aku. Cepat-cepat aku tarik balik tirai tu rapat ke katil dan sembam muka ke bantal. Mulut aku kumat-kamit membacakan kalimah suci yang aku ingat. Aku tenangkan diri dan baca ayatul kursiy berulang-ulang. Waktu tu nak kata takut tak juga. Cuma berasa terganggu.

Di luar pula, di balik tirai katil aku dengar suara bedengung…
“Unnngggghhh….unggghhhh” Tak dapat aku nak gambarkan dengan taip kat sini. Bunyi dia macam orang bercakap tapi sengau.

“Bangsat lo brengsek…aku mahu tidur. Nanti mau pulang ke Malaysia. Jangan diganggu aku om. Kita kan serumpun!” Secara tiba-tiba dialog tu keluar dari mulut aku. Harapan aku waktu tu moga dia faham. Kalau aku balon cakap Penang, taboh cirit, himbau semua tu satgi langsung dia buka tirai sebab tak faham apa aku cakap…lagi la haru.

Setelah beberapa lama…keadaan jadi sunyi. Tiada lagi bunyi dengung. Tapi aku masih tak boleh lena. Keadaan dalam cube bertukar jadi suam sebab aku dah berpeluh. Aku terus membatukan diri dalam tu sampai lebih kurang dekat satu jam.

Tepat jam 3.30pagi, jam ditangan aku vibrate. Tandanya aku kena siap-siap nak ke airport. Jam 5 pagi dah kena boarding. Dalam masa yang sama, aku masih ragu-ragu nak keluar dari cube ke tidak? Kang dia tunggu aku kat luar ajak mandi sekali, mau berguling aku sampai ke tingkat bawah. Lepas berkira-kira, mahu tak mahu kena la bangun juga. Buatnya terlepas flight, merempat aku kat Surabaya.

Lalu aku pun bangun dan rentap tirai dengan kuat. Terpampang depan mata aku ruang koridor yang kosong. Makhluk tadi dah hilang entah ke mana. Fuhhh….
Cepat-cepat aku kemas barang, dengan muka tak basuh aku lari turun bawah menuju ke lobby. Sekali langkah 5 anak tangga aku bedal. Sama macam aku lari masa kena sakat dalam story ‘SENYUMAN LILY’.

Tiba di lobby, staff tadi yang aku jumpa kat tangga sambut aku dengan mata kuyu. Tengah lena juga gamaknya.

“Ya pak? Mau ke airport ya?” Sapanya sebaik nampak aku berjalan laju menuju ke kaunter.
“Ya mas…transport udah siap ya?” Jawab aku.
“Siap pak…nanti ya saya panggil supirnya” Lalu dia maju ke ofis dan panggil pemandu keluar.
Sedang menguruskan urusan check out, aku lihat-lihat sekeliling lobby, tak ada apa yang pelik dengan hotel ni. Semuanya elok. Nice looking good. Tak sangka aku kena juga kat sini.

“Seorang mas? Mana Anggeriani?” Tanya aku pada staff yang bernama Fendi tu. Dia pandang aku semacam.

“Siapa pak?”
“Anggeriani. Semalam kan dia ada di sini. Saya ada ngomong dengan dia semalam.” Kata aku beria-ria. Dalam hati nak bagi lambaian terkahir sama kat gadis Surabaya tu.

“Tiada yang nama Anggeriani pak. Lagi pun yang malam ini staffnya cuma bertiga. Semua cowok pak. Gak ada cewek.” Ujarnya sambil menghulurkan return deposit ke tangan aku.

“Gitu ya? Kamu pasti?” Aku ulang tanya sebab tak puas hati.
“Iya pak confirm.” Katanya lagi.
“Ok lah. Terima kasih ya.” Ujar aku dengan mata terkebil-kebil.
“Siap pak. Selamat jalan ya” Balasnya dengan senyuman yang ada bibit-bibit hairan. Aku pun melangkah keluar hotel menuju ke Innova yang telah sedia menunggung di parkir. Innova tu pun bergerak perlahan keluar dari halaman hotel. Aku yang masih ligat berfikir tentang kejadian semalam, makin serabut dengan kejadian extra pagi ni. Waktu kenderaan tu kona buat uturn kat jalan besar, sekali lagi aku pandang ke hotel angker tu. Dari tingkat paling atas, kat tingkap yang aku nampak kelibat berbaju merah semalam…kosong. Lalu aku pandang ke pintu utama hotel….ternampak sebentuk tubuh memakai kebaya merah sedang berdiri di sebalik cermin lobby. Dia memandang aku dengan senyuman tanda selamat jalan. Nanti datang lagi.

Siapa Anggeriani? Entah…dah sebulan aku balik Malaysia tapi belum dapat jawapan. Namun, sesiapa yang ingin merasai dan melihat sendiri keajaiban bumi Bromo, boleh la contact aku di whatssap 0184629426. Siapa yang wasap, aku akan bagi identity aku di FB sebagai salam perkenalan. Terima kasih atas sokongan anda selama ini. Tq admins…tumpang iklan ye.

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 3.8]
Edi Saratongga

10 thoughts on “Dorm Hotel Surabaya”

  1. Haha. Bas kat Indonesia memang laju macam pelesit. Kadang kadang penumpang mintak turun tepi jalan sebab bas hampir berlanggar dengan kenderaan lain walaupun tak sampai destinasi lagi. Pemandu bas kat sini elok lagilah pemanduannya.

    Reply
    • Bukan bas je.. Naik prebet sapu kt sna pun mcm tu.. Diaorg bwak mmg laju mcm nk berlumba.. Laju org sbelah dia, lg dia tekan mnyak..

      Reply
  2. Aki tau hotel tu, kt loby dia ada patung semar / wayang kulit kan? Kami family kena game kt sana. Kepala paip buka sendiri pukul 3pagi, bukan 1x tapi 5x dia main kepala paip. 🤣🤣🤣

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.