Einzelganger (End)

“Assalamualaikum.” Lelaki itu memberi salam. Kasut sekolah ditanggalkan, disusun rapi di rak. Dia melangkah masuk berhati-hati. Memandang sekeliling.

Kosong. Rumah kayu itu, ruang tamunya tersusun beberapa kerusi rotan berkusyen – coraknya pudar. Televisyen kecil lama tergeletak di sudut rumah. Di tengah ruangan kerusi rotan, ada satu meja kecil, di alas dengan hasil ‘crochet’ berwarna putih kekuningan.

Ruang itu kosong.

Lelaki itu menarik nafas lega. Pantas, dia berjalan menuju ke biliknya.

“Wafiey.”
Wafiey termengkelan. Pantas, dia berpusing.

“Ibu.”

Ibunya diam. Berdiri di balik langsir tingkap yang membuai, bersembunyi dalam bayang-bayang tingkap.

“Kenapa Fifi balik lambat sangat?”

“Ada pemilihan kelab, ibu.”

“Oh? Kokurikulum ya?” Wanita itu masih berdiri di balik tingkap.

“Ya, Ibu.”

“Kelab apa?”

“Kelab Sukan.”

“Iya? Fifi masuk kelab mana?”

Wafiey menelan air liur.

“Kelab… Kelab memanah.”

Ibunya mengeraskan diri. Diam. Langsir itu terbuai-buai, berkibar, menampakkan susuk wajah dengan mata yang merah menyala.

“Kelab memanah? Fifi. Itu kelelakian sangat, nak.” Tiba-tiba suara ibunya bertukar, lemah lembut.

“Wafiey tahu Ibu. Tapi kelab lain dah tak ada –“

“JANGAN – SEBUT – NAMA – WAFIEYYYY!” Perempuan itu meraung garau. Wafiey termengkelan. Dia menapak ke belakang.

“FIFI! TU NAMA KAU! NAMA KAU FIFI!” Ibunya menempik, menepis langsir yang berkibas. Sekali imbas, wajah perempuan itu seakan panjang, ditumbuhi muncung anjing yang menyeringai tajam. Dia melangkah, menuju ke arah Wafiey dengan mata membulat.

“APA KAU BUAT DI SEKOLAH TADI?”

“Wa- Fifi sertai Kelab Memanah. Itu sahaja.” Ujar Wafiey, menunduk ke bawah.

Perempuan itu, dalam amarah menggilanya, mendekatkan wajahnya ke wajah anak lelakinya. Sangat dekat, hingga dahi mereka bertemu. Matanya terbeliak memandang Wafiey. Wafiey masih lagi menunduk. Menarik nafas dalam.

PANG!

Wafiey tersungkur. Kepalanya terhantuk bucu kerusi rotan.

Bagai mengangkat anak patung, dengan sebelah tangan sahaja – Ibunya mengangkat Wafiey, mencekup kolar baju sekolahnya. Di wajah lelaki muda itu kini ada lima cakaran dalam. Darahnya berjejeran membasahi uniform putihnya.

“Jangan sebut nama tu.”

Wafiey mengangguk, memalingkan wajahnya dari Ibu. Luka di wajahnya itu, dengan perlahan bertakup kembali, lansung tidak meninggalkan apa-apa kesan. Wafiey diletakkan kembali.

“Macam itulah anak perempuan Ibu. Tengok ni, tengok Ibu jahitkan baju baru Fifi. Cantik tak?” Ibu tiba-tiba berubah. Hilang wajah menyeringai garangnya, bertukar pada wanita polos, berkulit cerah, bermata sepet seperti Wafiey. Dia menarik anak lelakinya ke mesin jahit di dalam biliknya.

“Tengok? Cantikkan?” Ibu mengibarkan ‘dress’ biru gelap. Wafiey mengangguk. Tiada reaksi.

“Mari, ibu pakaikan.”

“Baik ibu.”

Wafiey, cuma membiarkan Ibu memakaikannya baju. Dia dibogelkan, dipakaikan baju, ibarat anak patung. Dipakaikan riben. Ditatarias wajah. Ibunya menyanyi-nyanyi lagu La Vie en Rose perlahan, seronok.
Dia cuma mendiamkan diri. Seperti apa yang dia selalu lakukan.

===================

“Abang Izzat!” Kau dengar suara gemersik memanggil kau. Kau baru bersiap mahu balik.

“Kuna! Kenapa tak balik lagi?”

Gadis bermata coklat cair itu memandang kau dengan muka cemberut. “Kuna? Diyana la abang. Macam kunang-kunang je nama tu.”
Kau tergelak.

“Yalah. Kenapa Diyana?”

“Abang nampakkan Wafiey tadi?”

Kau terdiam. Kau sudah agak, Kuna/Diyana mahu bertanya hal itu. Kau merenung susuk tubuh kecil gadis di hadapan kau yang sedang menggalas beg, memandang kau dengan wajah gusar.

“Nampak.”

“Puas saya tanya dia, tapi dia tak mahu jawab. Dia diam.” Ujar Kuna.

Kau menarik nafas. Ya, kau nampak betapa Diyana berusaha bercakap dengan Wafiey. Anehnya, Wafiey cuma diam.

“Saya mahu sertai Kelab Memanah.” Kau dengar Wafiey berkata selepas sekian lama disoal Diyana. Gadis itu akhirnya mengeluh, dan menghulurkan borang keahlian.

Sungguh, kau pun bingung.

“Abang Izzat sahaja nampak. Orang lain tak. Trust me, if this happened to my friend, I wouldn’t trust them either. Kecualilah, saya lihat dengan mata saya sendiri.”

Kau garu kepala.

“Habis itu, apa Ku… err. Diyana mahu sekarang ini?”

Gadis itu memiringkan kepala. Memandang kau dengan penuh minat.

“Jawapan.” Ujarnya yakin.

Manakala kau, kau terus tersenyum mendengar jawapan Diyana. Gadis itu memandang kau dengan penuh bersemangat, dengan kedua tangannya menggenggam tali beg sekolah yang disandang – lagaknya seperti mahu mengajak kau membuat kerja sekolah bersama-sama.

Namun, ini bukan sesenang menulis nota Sejarah Tingkatan Lima.

“Diyana, SPM dah nak dekat.”

“Saya yakin saya boleh kendalikan hal itu di kemudian hari. Lagi pun, saya sudah bersedia untuk peperiksaan SPM sebaik sahaja PMR tamat.” Ujar Diyana dengan yakin dan bersahaja.

Kau menggeleng kepala sambil tersenyum. Gigih!

“Apa cita-cita awak sebenarnya, Diyana?”

“Saya tak pasti apa relevan soalan Abang Izzat dengan topik yang kita bincangkan, tetapi cita-cita saya adalah veterinar. Saya ada satu rancangan untuk mendekati Wafiey.” Ujar Diyana. Kau mengangkat kening, menahan letusan mahu ketawa. Skema betul budak ini.

“Rancangan?”

“Ya. Minggu depan akan diadakan rombakan ahli jawatankuasa kelab. Semua ahli diwajibkan datang untuk undian ahli jawatankuasa kelab sesi tahun depan. Cadangnya, saya mahu mendekati Wafiey waktu itu.” ujarnya panjang lebar.
Kau mengangguk.

“Diyana!” kau dengar laungan dari belakang. Kau berpaling, dan kau lihat sekumpulan pelajar perempuan lain sedang melambai ke arah Diyana. Masing-masing menuntun basikal.

“Saya balik dulu. Assalamualaikum.” Ujar Diyana pada kau sopan. Kau menjawab.

Kau merenung Diyana yang menunggang basikal bersama rakan-rakannya yang lain. Perlahan, mereka menghilang di selekoh jalan.

Kau mengenggam tangan kau.

Kau berpura tenang di hadapan Diyana. Kau tak mahu dia turut panik. Hanya Allah yang tahu betapa menggelabah kau sekarang. Ya, kau menggelabah! Ini sepatutnya cerita mengenai kau si biseksual. Bukannya kisah superhuman!

Eh.

Lupakan itu dahulu. Kau mundar-mandir di koridor. Agaknya kau tak perasan? Agaknya Wafiey ada kembar? Agaknya apa sekarang ini? Kau pun tak tahu.

Kau menyeluk poket, buntu.

Tangan kau tersentuh sesuatu. Ah, apa ini? Kau keluarkan.

Gula-gula Cadbury.

Teacher Noriah! Pantas, kau meluru ke blok pejabat. Menaiki tangga yang berpalang besi hitam terukir dedaun. Blok pejabat sahaja yang memiliki palang itu, mungkin kerana blok pejabat ini belum pernah diubah suai.

“Teacher Noriah!” Kau menyerbu ke dalam bilik guru.

“Astaghfirullah, Izzat. Terkejut saya. Kenapa ni?” wanita itu sedang duduk menaip di komputer. Guru –guru lain menjenguk. Terkejut dengan kau yang tiba-tiba menyerbu masuk.

Ah, baguslah. Sekarang apa? Kau terkulat-kulat. Kau selalu macam ini. Bertindak tanpa berfikir.

“May I… speak to you in private?” kau berbisik.

Teacher Noriah mengangkat keningnya dingin.

“Well. It’s about… the boy.”

“Oh!” Teacher Noriah bingkas bangun. “I see. Mari Izzat. Ikut saya.” Ujarnya. Kau ikut perempuan setengah abad berjilbab labuh itu, ke pantri bilik guru. Kau terkebil-kebil. Merangka apa patut ditanya.

“Duduklah.” Wanita itu berkata ringkas. Kau menurut. Teacher Noriah membuka peti sejuk satu pintu, mengisi jus oren ke dalam cawan. Dihulurkan kepada kau.

“Yes. Tell me Izzat. Ada apa dengan ‘dia’?”

Kau mengerutkan kening. Merenung meja.

“Sebenarnya teacher, saya nak tinjau rumah dia. Kot, dia ada masalah keluarga?”

Teacher Noriah mengangguk.

“Good idea Izzat. Tapi saya tak boleh dedahkan maklumat peribadi pelajar saya.” Dia menghela nafas. Ah. Macam biasalah Teacher Noriah. Etika kerja dahulu.

“Tetapi, mungkin kamu boleh tanya Kak Ros. Dia tinggal di kawasan kejiranan Wafiey.” Teacher Noriah mengenyit mata.

Kau tersenyum.

Lantas, selepas kau dipaksa menghabiskan jus oren di dalam cawan; (juga kau dilarang membasuh cawan itu, Teacher Noriah mula memandang kau dingin bila kau berkeras mahu membasuh juga), kau meluru ke bilik ‘cleaner’ selalu berehat. Dahulunya bilik itu adalah stor. Biasanya, kakak-kakak cleaner ini akan rehat-rehat dulu, berbual sebelum pulang. Harapnya, Kak Ros adalah lagi.

Kau menjenguk bilik itu. Ada sekumpulan wanita sedang sibuk menelek katalog Avon. Yang lelaki sedang berbual rancak. Kau nampak pakcik kau sedang duduk menghisap rokok di sudut bilik.

Bingo. Kak Ros ada.

Kau melangkah masuk dengan muka bersahaja. Tetapi kau menggelabah sebenarnya. Bagaimana mahu bertanya – tanpa menimbulkan persoalan?

Kau menuju ke beg yang kau simpan. Pura-pura mengemas mahu balik.

Kau berdehem. Mahu mulakan ayat.

“Teruk ya budak Fifi tu kena belasah dua tiga hari lepas. Kau ada kan masa tu, Izzat?” Pakcik kau tiba-tiba bersuara.

Kau memandang pakcik kau dengan pandangan berterima kasih. Pakcik kau, yang tak tahu menahu agenda kau – memandang kau aneh.

“Kau dah kenapa?”

“Tak ada apa-apa. Ya, memang teruk. Yang buli dia tu budak Tingkatan Lima.”

Kali ini bilik itu semua memandang kau dan Pak Long.

“Fifi tu tak kacau orang pun. Apalah yang di dengki sangat dengan dia?” Celah seorang cleaner lain.

“Sebab dia pondan.” Ujar pekebun, geli geleman. “Tengok la beg dia.” Sambungnya lagi. Letusan ketawa kedengaran di meja lelaki.

“Itu bukan sebab untuk dibuli. Kasihan budak itu. Sopan budaknya. Cuma dia diam.” Kak Ros mencelah.
Yes! Ini peluang!

“Macam mana ya dia kat rumah? Rasa-rasanya mak ayah dia tahu tak?” kau bertanya dengan muka bersahaja. Sedangkan kau sedang mengawal rasa teruja kau yang bergelut ganas di sanubari!

Kak Ros mengerutkan dahi. Katalog Avon yang terpapar coli di letak.

“Dia tu, duduk berdua dengan Ibu dia. Ayah dia, Kak Ros tak pernah nampak.”

“Orang ada-ada ke Ros?” Sampuk kakak ‘cleaner’ yang mencapai katalog Avon yang tergeletak di meja.

“Ish, taklah. Rumah dia tu, rumah orang tinggal. Baru pertengahan tahun ini dia duduk di situ.” Kak Ros terdiam seketika. Kelihatan teragak-agak.

“Orang kata, mak dia tu tak betul. Gila. Gila apa, Ros tak tahu. Tapi dia tak pernah keluar rumah.”

“Kau tak pernah jenguk ke Ros?”

“Ish tak nak lah. Rumah dia tu sebelah sungai. Itu satu je rumah di kawasan tu. Situ, ada banyak anjing liar. Sekali tengok macam serigala besarnya. Eee seram.” Kak Ros menggeleng kepala. Alah Kak Ros ini, dengan kucing pun dia takut. Kau tersenyum sendiri.

Sebelah sungai, ya?

Jadi malam itu, kau keluar ‘ngeteh’ bersama rakan-rakan kau. Biasa kau tak keluar kerana penat. Kali ini kau hiraukan penat kau, kau sengaja ajak mereka ke kedai tomyam berdekatan sungai. Kau sengaja. Ada agenda tersendiri!

Selesai kau menghirup kopi kosong panas – kau membawa motor kapcai kau ke sungai. Setahu kau, satu-satunya rumah yang ada di sebelah sungai adalah berdekatan jambatan.

Motor kapcai kau, kau parkir di sisi jalan. Yang ada kini adalah jalan tanah, muat-muat untuk sebiji kereta. Kiri kanan jalan adalah semak samun, tumbuh meliar setinggi kau.

Bunyi cengkerik sahut menyahut. Kau berjalan terjenguk-jenguk. Dari kejauhan, kau nampak ada sebuah rumah kayu kecil, lampu luarnya malap, terbuai-buai ditiup angin malam.

Kau memicingkan mata. Takkanlah Wafiey tinggal disini. Rumah ini betul-betul terasing dari orang lain. Dalam semak samun pula tu. Kau menggaru kepala yang tidak gatal.

Kau menapak lagi, mendekati. Sesekali kau menampar lengan, m******h nyamuk betina yang kekenyangan.

Rumah itu kecil sahaja, tidak dicat. Ada satu para kasut diluar. Kau perhati.

Ya, ada sepasang kasut sekolah.

Betullah kot, ini rumah Wafiey.

Tiba-tiba, kau dengar bunyi menderam. Kau terpana, mencari punca bunyi tersebut.

Dan dalam kegelapan, di balik semak samun – kau nampak sepasang mata bersinar, seakan sepasang delima merah yang berkilau dipanah matahari.

Kau tergamam, menapak perlahan ke belakang.

Pemilik mata itu melolong seperti serigala. Dalam. Garang.

Anjing liar! Segera, kau melarikan diri. Kau dengar anjing itu mengejar, menyalak ganas. Kau berpaling.

Ya Allah, serigala!

Apa kau lihat di belakang kau, adalah serigala yang terbiasa kau tonton di saluran NatGeo. Berbulu lebat, kelabu dan putih. Besar. Bermata merah!

Tapi tak mungkin. Malaysia tiada serigala!

Persetankan itu semua. Kau masih berlari pantas dengan serigala itu mengejar kau. Sekarang ini, kau menyumpah-nyumpah kenapa kau memarkir motor kau terlalu jauh.

Kau tersandung.

Jatuh di jalan tanah memerah, berdebu.

Kau berpaling. Serigala itu kini berhenti mengejar. Makhluk itu menderam, mempamerkan barisan gigi tajam. Ia menghampiri kau yang tercungap-cungap, memegang kaki yang terseliuh.

Ia tidak menerkam. Ia cuma mengelilingi kau, menderam garang, merenung kau yang sedang menggeletar hebat. Tak mampu bersuara.

Serigala itu kemudiannya – duduk dalam posisi mahu menerkam. Kau menjerit. Menutup mata.

Kau menunggu saat ia menerkam tengkuk kau, merobek isi-isinya ganas, tapi tiada.

Kau terdengar bunyi pergelutan, dan kau buka mata.

Seekor serigala lain yang tidak kurang sama besar, dengan serigala yang mengejar kau itu – sedang bergomol dengannya. Serigala yang baru muncul itu hitam, bermata coklat cair.

Kau tergamam. Serigala putih kelabu itu melepaskan cengkaman serigala hitam – mahu menerkam kau. Si Hitam menarik badan si Putih garang, membalingnya jauh.

Kau masih kaku. Melihat si Hitam yang merenung kau garang. Si Putih yang dibaling berdengking-dengking perlahan, merintih sakit.

Kau mengensot ke belakang. Si Hitam itu menyeringai, merenung kau. Dia tidak menyerang. Cuma diam. Kau mengambil peluang itu untuk bangun, terincut-incut ke motor kau.

Kau berpaling lagi. Serigala hitam itu cuma memerhati. Diam memandang kau yang kesakitan.

Si Putih, dari kejauhan – kau nampak bangkit. Ia melolong garang. Si Hitam meleraikan pandangannya dari kau – dan meluru ke Putih. Mereka bergelut ganas.

Kau cepat-cepat menghidupkan motor. Bergerak jauh dari situ. Dari balam cahaya lampu belakang motor kau, serigala-serigala itu masih bergomol, berguling di atas tanah merah berdebu.

Apa yang telah berlaku? Kau tak tahu. Itu serigalakah? Atau asalnya haiwan peliharaan manusia tidak bertanggungjawab?

Esoknya, kau ambil MC. Kau terincut-incut sekeliling rumah dengan kaki berbalut. Menyesal pun ada.

“Izzat. Ada orang datang jenguk kau tu.” ujar umi kau. Kau hairan. Siapa? Kau belum beritahu kecederaan kau pada sesiapa. Yang tahu cuma pakcik kau dan pihak majikan. Kau termangu-mangu. Keluar berdengkot-dengkot ke beranda.

Susuk tubuh seorang lelaki muda, berambut kusut bergaya sedang duduk diam di kerusi. Memerhati kau.

“Wafiey?”

“Abang Izzat.”

Kau duduk. Berhadapan Wafiey yang menyarungkan baju t shirt putih berlengan panjang, dan seluar jeans biru gelap.

“Wafiey tak sekolah ke?” kau bertanya. Baru pukul 10 pagi.

Wafiey mengangkat bahu.

“Bukan belajar pun.” dalam suaranya menjawab.

“Wafiey datang ada apa?”

Wafiey diam. Umi kau datang menghidang air milo dan roti bakar. Kau dengar dia menggumam terima kasih kepada umi kau. Waktu umi berlalu, dia kembali merenung kau.

“Jemput makan, Wafiey.”

“Kaki abang okay?”

“Sakit sikit-sikit. Tapi tak patah pun doktor cak – eh mana tahu rumah abang kat mana? Mana tahu abang sakit kaki?”

Wafiey diam. Menguis-nguis roti bakar berinti sekaya yang berasap nipis. Roti bakar dicubit. Bau sekaya cair menyerbu rongga hidung.

“Kenapa abang datang rumah saya semalam?”

Kau tergamam.

“Wafiey perasan abang datang?”

Wafiey mengangguk.

“Kawasan tu banyak anjing liar. Bahaya Wafiey dan ibu tinggal di situ.” ujar kau. Mengenangkan anjing berupa serigala yang menyerang kau semalam. Kau tuang air milo suam, kau hulur kepada Wafiey.

“Abang dah banyak nampak.”

“Nampak apa?”

“Kejadian di sekolah. Anak panah dan kucing. Abang ingat?”

Kau terdiam. Memandang Wafiey yang kelihatan tenang.

“Serigala semalam itu, saya dan ibu. Saya minta maaf. Ibu saya tak suka orang luar.” ujarnya bersahaja.

Kau tertawa.

“Wafiey melawak kan?”

“Tak.”

“Wafiey. Seriuslah.”

Wafiey tersenyum. Sekelip mata, kau nampak bulu-bulu halus hitam pekat, seakan tumbuh perlahan dari wajah Wafiey. Mulutnya memanjang, membentuk muncung. Telinganya meruncing!

Dan dihadapan kau kini, adalah susuk yang mengingatkan kau pada Anubis. Manusia berkepala serigala hitam, bermata coklat cair. Kau ternganga.

“Nak tambah lagi ke milo? Roti bakar?” Umi kau menjenguk, berkata mesra.

Hampir sahaja kau menjerit.

“Terima kasih makcik. Dah cukup.” Wafiey yang kini berkepala manusia menjawab ramah. Umi kau tersenyum, berlalu pergi. Kau ternganga-nganga.

“Macam mana… Tak. Tak mungkin…” kau tergagap.

“Abang dah percaya?”

Kau terdiam. Merenung Wafiey tidak berkelip. Kaki kau cubit. Kau mengaduh sakit.

“Saya dan ibu saya merupakan yang terakhir dalam kaum kami.” kau dengar Wafiey menggumam.

“Sebab itu, Ibu mahukan anak perempuan. Untuk memastikan kesinambungan kaum kami. Ibu sangat berbangga dengan susur galurnya. Sebaliknya, ibu dapat saya.” Wafiey tersenyum sedih.

Kau hilang kata-kata.

“Kami datang bersama pedagang Parsi, walaupun asal kami adalah dari Turki. Sejak itu kaum Kurtadam – menetap di Tanah Melayu.”

“Kurtadam?”

“Serigala jadian.”

Kau sambung terdiam. Wafiey kelihatan tenang-tenang mengunyah roti sekaya.

“Saya akui, saya tersilap langkah di hadapan Diyana. Saya nak menunjuk. Saya tak nak dia – fikir saya lembik. Seperti orang lain fikir.” ujar Wafiey. Gayanya kelihatan sepuluh tahun lebih tua dari usia sebenarnya.

“Jadi… Serigala putih semalam tu…?”

“Ibu saya.”

“Dia okay?” kau bertanya teragak.

“Okay. Luka kami cepat sembuh.”

Kau mengangguk. Masih hilang kata-kata.

“Saya akan berpindah minggu depan.”

“Hah? Kenapa?”

“Ibu dah halau saya.”

Kau menelan air liur.

“Abang minta maaf.”

“Tak apa. Saya boleh merayau dalam tubuh serigala saya untuk mencari makan.”

“Kau baru berumur 16 tahun, Wafiey.” kau membantah.

“16 tahun merupakan umur yang sangat matang, bagi serigala.” Wafiey menjawab tenang. Kau terdiam sekali lagi.

“Sampaikan salam saya kepada Diyana.” dia bangun. Tangannya dihulur kepada kau. Kau sambut.

“Semoga kita berjumpa lagi.” ujarnya. Kau mengangguk. Masih tergamam. Kau perhatikan susuk tubuhnya menuruni tangga. Menyeberangi jalan hadapan rumah kau. Dan tatkala dia melalui pokok bunga raya umi kau yang merimbun, susuk yang keluar – adalah seekor serigala hitam besar.

Ia berpaling ke arah kau. Mengangguk sedikit.

Kau mengangkat tangan.

Dengan lincah, ia menyusup keluar. Hilang dari pandangan.

Di sekolah, kecoh mengenai kehilangan Wafiey. Apabila ibunya tidak dapat dihubungi, mereka ke rumah Wafiey.

Kosong. Ibu Wafiey juga tiada.

Kau tidak sampai hati mahu memberitahu Diyana kiriman salam Wafiey. Kau tak nak dia berfikir macam-macam. Apatah lagi, dia bakal menduduki peperiksaan SPM. Diyana cuba mengorek dari kau – tapi hampa.

Dan kau, pada tahun hadapannya, kau menerima panggilan kerja. Kian lama, tahun berganti tahun, kau kian lupa.

Hinggalah kini.

Kau kini, sudah berkahwin. Kau berjaya melawan nafsu biseksual kau. Syabas. Kau membawa anak kucing peliharaan anak kau ke sebuah klinik veterinar yang baru dibuka.

Kau menunggu di dalam klinik yang lengang. Mungkin kerana baru dibuka, barangkali? Anak kucing anak kau mengiau bising. Dia berkurap. Jadi kau mahu ubati kurapnya. Nanti berjangkit dengan anak kau.

“Encik Izzat.” nama kau dipanggil. Kau menurut. Membimbit raga berisi anak kucing.

“Diyana?!” kau terperanjat. Wajah itu tidak salah. Itu Diyana!

Doktor veterinar itu tergamam. Awalnya dia kelihatan hairan. Kemudiannya – wajahnya berubah mesra.

“Ni… Abang Izzat ya?”

Kau mengangguk teruja.

“Dah lama tak jumpa. Berjaya juga awak jadi veterinar ya.”

Diyana tertawa.

“Mari, letakkan kucing tu ke sini.”

Kau mengikut. Raga kau letak.

Dan kau rasa, kaki kau dicuit.

Kau menunduk, dan disapa susuk serigala hitam bermata coklat cair. Hampir kau menjerit!

“Sammy! Bad boy! Pergi masuk balik!” bebel si Diyana. Kau memegang dada kau yang berdegup kencang.

“Sam… Sammy?”

“Ya. Maaf abang Izzat. Dia anjing saya jaga. Biasanya dia tak dekat dengan orang. Entah kenapa hari ini dia buat perangai. Sammy, go!”

Sammy menurut. Berdiri di tepi dinding,memerhati kau.

“Anjing kamu?“

Diyana merenung Sammy.

“Panjang ceritanya.”

“Bela dari kecil?”

“Tak. Tiba-tiba dia muncul hari tu di hadapan klinik. Sayang. Baka kacuk serigala. Tuan dia lepas kot? Tapi jangan bimbang. Saya dah daftar lesen dia.” Diyana tersenyum.

Kau memandang ‘Sammy’ penuh makna. Dia merenung kau kembali, mengangguk sedikit ke arah kau.

Kau tersenyum.

TAMAT

================

Hai. Aku Zero.

Terus-terang aku katakan, aku tak sangka sambutan terhadap karya aku okay. Terima kasih pada admin FS, terutamanya.

Juga kalian, terima kasih kerana membenarkan Wafiey bertapak dalam hati kalian. Serius, aku sangat-sangat berterima kasih.

Maaf andai karya aku tak menepati cita rasa kamu semua. Sungguh, aku masih bertatih.

Terima kasih sekali lagi!

Ah, sebaklah.

-Zero-

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Karasu

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 4]

122 thoughts on “Einzelganger (End)”

  1. Best lah Raven..
    Sebelum ni aku bayang muka Wafiey macam Edward Cullen,
    Masuk second part ni terus berubah jadi Jacob Black.haha

    Twilight Melayu ni
    Tapi nak tanya Wafiey ni Serigala ke anjing? kalau serigala tulen tak perlu sertu,haha

    Btw, nice way to write a story.
    By using second person-POV, buat pembaca jadi protagonist. Very fresh.
    Iras karya Ahmad Rushdi.

    Tapi banyak lagi boleh improve. Keep it up bro/sis Raven.

    Rate: 9.2/10 ( 0.2 markah extra)

    Reply
  2. aku x de banyak nak komen .. just nak bgtau.. this is brilliant bro.. imaginasi aku seakan masuk ke dalam story berlatarkan filem twilight..

    10/10

    Reply
  3. Assalam Raven.

    Jangan lah sebak. You are good. I love the way you write. Good writing skill and good imagination.
    Kadang2 macam siri Twilight. Gittew.
    Keep writing.
    Keep sending your story.

    Sincerely,
    DeluStar.

    Reply
  4. Ho Ho Hooo…susunan plot perfect ! ending the best ! Mohon sambung lagi cerita ni. Ibu wafiey return ka…White wolf revenge ka…Sammy the dog wolf reveal kaa.. Izzat adventure with sammy kaa… cadangan je..sebab sangap lak cerita dr kau ni bro ! 1000000/10

    Reply
  5. Admin, post la byk sikit cerita. Tgh demam ni bosan tak buat apa. Sambil baring2, muntah2, ceri beri boleh baca cite seram. Nak tgk tv, asik jual barang aje (saya takde astro). Tq admin

    Reply
  6. Thumbs up utk writer.. Rasa mcm diri sdri ada dlm story tu.. Good writing skill, da boleh jadi Ahmad Rushdi junior da ni…
    Keep it up..

    Reply
    • Amin Sapuan.

      KAU tu adalah point of view (POV) writer. Which is.. dalam cerita ni, writer bercerita tentang apa yg dia pandang yang menjuruskan ke arah seseorang iaitu KAU.

      Reply
    • Termengkelan itu, kalau menurut dewan bahasa dan pustaka – adalah bermaksud tersangkut di kerongkong. Kalau ikut konteks ayat, ia seumpama kita terkejut akan sesuatu; dan nafas ditarik pendek, namun pantas.

      Kalau dalam bahasa inggeris, ia dipanggil ‘gasp’. Haa.

      Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.