Ekspedisi Mencari Teras Kayu

Assalamualaikum warga FS, lama juga aku tak hantar kisah-kisah misteri di FS. Minta maaf sebab aku jarang menulis sebab tersangkut dengan siri novel “bercakap dengan jin” oleh Tamar Jalis lepas terjumpa blog yang berkongsikan ebook novel lagenda tu. Mungkin sikit sebanyak penulisan aku akan dipengaruhi gaya penulisan Tamar Jalis hahaha. Ok tanpa membuang masa, saya akan kongsikan kisah misteri seterusnya. Siapa yang tak mengenali aku, aku kero dan pernah menulis kisah “makhluk kenit”, “bigfoot” dan “puaka burung tekukur” sebelum ni.

Kisah kali ni aku nk kongsikan tentang ekspedisi mencari teras kayu di hutan. Ade lebih kurang 5 orang yang mengikuti ekspedisi kali ini, yang diketuai oleh paklong dan anak-anak buahnya Man, Mi, Shah dan Din. Ekspedisi kali ini adalah di sebuah hutan kecil di utara tanah air dengan misi mencari teras kayu pokok “Ibul” atau “bujang galak”. Bagi yang tidak tahu apa khasiat teras-teras kayu ni saya akan kongsikan khasiatnya.

Tujuan saya menulis ni pun sebab ingin berkongsi cerita, tidak guna simpan dan rahsiakan sampai m**i. Hahaha. Teras-teras kayu ada banyak jenis bergantung pada pokok, dan dalam ekspedisi kali ini adalah misi mencari teras kayu ibul/bujang galak. Teras kayu ni khasiatnya jenis kayu “berbisa” dan boleh dibuat perubatan islam kerana jin-jin sangat takut dengan kayu jenis ini. Maka bergeraklah paklong dan anak-anak buahnya ke dalam hutan mencari jenis pokok itu.

Dalam mereka meredah hutan belantara, mata meliar mencari kelibat pokok yang mereka buru. Bunyi unggas dan ungka bersahut-sahutan dalam hutan memecah kesunyian hutan yang jarang diterokai manusia itu. Tubuh badan basah dengan keringat meredah muka bumi hutan yang tidak mudah untuk dilalui. Tanah yang tidak sekata bersama akar-akar pokok-pokok yang menjalar menyukarkan perjalanan mereka. Setelah agak lama mereka berjalan, akhirnya Paklong memberikan isyarat bahawa pokok yang mereka cari sudah dijumpai.

Di sebalik pokok-pokok hutan, terpacak gagah sepohon pokok ibul/bujang galak di bawah kanopi hutan yang tebal. Usia pokok itu dianggarkan oleh Paklong dalam 4-5 tahun kerana masih agak muda tetapi sudah elok jika nak ditebang. Man, Shah, Mi dan Din tersenyum kerana pokok yang mereka sudah ditemui dan mereka setiap seorang akan dapat bahagian masing-masing nanti. Muka Paklong berkerut, pandangan matanya minikam tepat pada sosok pohon itu dan mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu. Melihat keadaan Paklong yang sedemikian rupa, Man, Mi, Din dan shah seperti dapat mengagak ada sesuatu yang tidak kena pada pohon tersebut sehingga reaksi Paklong sedemikian rupa.

Mereka pon mengamati sosok pohon itu, dan keadaan pohon itu sememangnya aneh kerana kawasan sekitar pohon itu tidak ditumbuhi pokok-pokok renek lain dan seperti kawasan sekitar pohon itu bersih sekali tanpa sehelai daun kering pun seperti ada yang “menjaga” nya. Sememangnya hutan bukanlah kawasan yang asing dengan perkara-perkara yang aneh dan misteri. Paklong memberitahu ada “sesuatu” yang menjaga pohon tersebut kepada anak-anak buahnya. Disinilah kepakaran dan kemahiran Paklong diguna pakai untuk “menghalau” dan “memagar” pohon dan kawasan sekitar daripada jin-jin yang segaja menjadi penunggu disitu.

Menurut Paklong, sememangnya jin-jin amat takut dan gerun dengan pokok teras kayu Ibul/ bujang galak ini, tetapi jin-jin ini akan menjadi penunggu di sekitar pokok-pokok yang “istimewa” ini menunggu kehadiran manusia-manusia yang tahu akan khasiat pokok itu dan mahu mengambilnya. Tujuan jin itu jadi penunggu adalah untuk menyesatkan akidah anak Adam, dengan meminta “tumbal” atau “sajian” sebagai meminta kebenaranya untuk menebang pokok tersebut. Secara halusnya kita akan terjerumus di dalam amalan syirik tanpa kita sedari.

Tanpa mempedulikan penunggu itu, Paklong menghalau penunggu tersebut lalu memagar kawasan sekitar Supaya penunggu itu tidak dapat berbuat onar dan menganggu kerja-kerja menebang nanti. Setelah selesai memagar, Paklong menyuruh Man, Mi, Shah dan Din menebang pokok itu. Berbekalkan gergaji berantai yang dibawa bersama, Man memulakan kerja-kerja menebang pokok itu. Bunyi mesin gergaji berantai bergema ke seluruh kawasan sekitar, mata gergaji rakus meratah batang tubuh pokok itu. Baru suku sahaja mata gergaji memotong batang pokok itu, terdengar laungan seperti orang yang sedang marah. “Ooooooooooiiiiii!!!!!!” dengan nada yang sangat marah dan garau bergema. Man yang tadinya khusyuk memotong pokok itu, tercengang dan nampak peluh-peluh membasahi dahinya. Mi, Shah dan Din masing-masing tidak keruan kerana takut.

“Pedulikan itu semua, cepat p****g pokok tu” dengan tidak semena-mena Paklong bersuara. Man yang tadinya tercengang, tersentak selepas ditegur Paklong. Mereka berempat sangat menghormati Paklong sebagai seorang guru mereka. Tanpa berlengah lagi, Man meneruskan gergaji pokok itu. “Hoooooooiiiiiii!!!” suara garau dan menyeramkan itu bersuara lagi. Tapi kali ini Man persetankan suara itu dan meneruskan tugasnya. Tidak sampai beberapa minit, pokok yang tadinya tegak dan gagah tumbang menyembah bumi. Kali ini Mi, Din, Shah pula menjalankan tugas mereka dengan memotong batang pokok Ibul/bujang galak kepada bahagian – bahagian kecil supaya mudah dibawa keluar nanti.

Sungguh seronok mereka bergotong-royong memotong dan membersihkan daun-daun dan ranting-ranting daripada batang pokok itu. Teras kayu atau bahagian kayu ditengah-tengah pokok itu yang jadi buruan mereka. Daun-daun dan reranting yang kecil akan dibuang kerana tiada teras. Sangat meriah kerja memotong itu, ramai yang datang membantu. Yang tua, muda, perempuan, laki-laki datang membawa parang dan memotong dahan-dahan pokok itu. Orang-orang itu masing-masing memangkas sebahagian pokok itu lalu dibawa pulang.

Seorang demi seorang mengambil sedikit demi sedikit sehingga daun-daun dan dahan-dahan kecil habis diambil orang kampung. Man, Mi, Shah dan Din tidak endahkan kehadiran mereka dek kerana terlalu khusyuk membuat kerja masing-masing. Usai kerja memotong, mereka berempat terduduk keletihan di pangkal pokok tadi sambil melepaskan lelah bekerja. Din dan Shah membakar sebatang rokok bagi menghilangkan penat sebelum mereka sambung semula kerja mengangkut teras kayu itu keluar daripada hutan.

Sedang mereka berehat, si Din bertanya kepada Man, Mi dan shah. “mana orang-orang kampung tadi? Tadi bukan main ramai lagi”. Man, Mi dan Shah berpandangan antara satu sama lain. Mereka baru sahaja terpikir di tengah hutan belantara mana pula datangnya orang-orang kampung tadi yang turut bergotong royong memotong pokok teras kayu tadi dengan mereka. Masing-masing sudah merasa bingung dan reaksi mereka dilihat oleh Paklong yang tersenyum sinis. “Tadi tu yang datang ramai-ramai bukan orang biasa, mereka orang bunian.

Sini ade satu perkampungan bunian dan mereka menumpang rezeki kita dapat menebang pokok ibul/bujang galak ni” jelas Paklong kepada anak-anak buahnya. “sebelum ni ada penunggu, mereka tak dapat ambil pokok itu melainkan ada manusia yang mahir menghalau penunggu tu dulu sebelum menebangnya” tambah paklong lagi. Maka terjawablah segala persoalan yang berlegar-legar dalam kepala Man, Mi, Din dan Shah. Orang bunian pun tahu akan khasiat pokok tersebut sehingga daun-daun pokok itu pun licin diambil mereka sehingga tiada kesan yang sebatang pokok ditumbangkan disitu.

Selesai mereka berehat, keluar la mereka daripada hutan itu bersama teras kayu yang dibawa dan dikongsi dengan anak-anak buah paklong yang lain yang tidak dapat turut serta dalam ekspedisi kali ini. Sebenarnya berbagai jenis teras kayu yang pelbagai guna seperti teras kelor, ibul/bujang galak, bujang teruna, bertam, asam, kemuning hitam, rotan songsang, buluh tumpat, akar bahor dan lain-lain lagi. Ilmu khasiat kayu kayan ini tak semua yang tahu, dampingi lah dengan orang-orang lama, mereka lebih mengetahui kerana ilmu-ilmu yang diturunkan daripada nenek moyang terdahulu. Namun apa kan daya, dunia makin maju dan moden, semuanya sudah ditelan waktu dan zaman.

-kero-

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Kero

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 3.3]

7 thoughts on “Ekspedisi Mencari Teras Kayu”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.