#ESTODANIA: Syaitan Lukhas

SELAMAT DATANG KEMBALI KE ESTODANIA. Kota manusia dan jin hidup bersama. Sebelum kita teruskan kembara, bacalah snippet penulis ni. Tak panjang.

Terima kasih kepada pembaca-pembaca yang sudi melemparkan komen dan respond. Hehehe.. to be clear, komen-komen yang diberikan sebenarnya salah satu penguat semangat saya untuk terus melakar pengembaraan Ayyan ini. Jujurnya, bukan saya mengharapkan sambutan hangat. Sebab karya Estodania ini memang tetap diusahakan siap. Cuma tanpa feedback dan komen pembaca, terasa kurang semangat sedikit. Idea pun terasa susah nak keluar. Jadi, terima kasih. Anda memudahkan saya menulis.

Sedikit info tentang Estodania ini, di dalamnya saya muatkan beberapa kisah yang ada dalam Al-Quran.. dan catatan kisah nabi-nabi yang lain. Sedikit juga daripada kisah dongeng dan mitos rakyat. Sedikit lagi daripada kisah sejarah yang ada. Kadang-kadang, sumber saya akan kongsi di ruangan page saya. Jadi, berkemungkinan fakta sedikit tersasar. Kalau ada pembaca yang perasan kesilapan saya lakukan, jangan segan-segan tegur di ruang komen. After all, Estodania ini sekadar fiksyen acah-acah epik, acah-acah thriller. Haha. Jom sambung melancong di Estodania dan Esramudra. Kali ini kita akan melancong ke satu lokasi baru dalam Archipelago Estodania.. Jom..

ESTODANIA (BAHAGIAN 3)
.
Disember 2014, Estodania

BERIRINGAN melangkah ketiga-tiga amirul Islam kota Estodania itu menuju ke kamar peraduan Farihah yang terletak di bahagian timur Istana. Konsultasi terhadap fuqaha baharu itu perlu dilakukan bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingin berlaku. Langkah mereka terhenti di lorong yang menuju ke ruangan kamar Farihah.

Medicakk sedang berdiri betul-betul di tengah lorong itu. Terketar-ketar tangannya dirapatkan. Balung panjang jin itu tergerak-gerak sangat laju menandakan dia sedang dalam kegalauan. Anak matanya tergerak-gerak ke kiri dan kanan. Mulutnya terkumat-kamit menyebut butiran kata yang tidak difahami oleh Permaisuri Isabella dan Sultan Iltizam. Kedua-dua amirul itu mengerutkan dahi masing-masing. Berbeza keadaan dengan Sultan Aminuddin, raja bangsa jin itu meleret senyuman lalu melangkah ke hadapan, menghampiri Medicakk.

“Mengapa Medicakk berdurja?” tanya Sultan Aminuddin sambil mengusap-usap balung Medicakk.

Medicakk mengangkat kepalanya memandang rajanya itu. Tiba-tiba Medicakk menangis. Meraung-raung sekuat hati lalu terduduk betul-betul di tengah lorong itu. Raungan Medicakk menyebabkan Permaisuri Isabella tidak keruan. Dengan segera dia mendekati Medicakk lalu menggendong Medicakk. Nurani keibuannya berdetik risau melihat ulah pelik Medicakk itu.

“Mengapa menangis sayang?” tanya Permaisuri Isabella.

“Fuqaha hilang. Fuqaha tiada di kamar,” ujar Medicakk.

“Bonda akan murka. Medicakk gagal jaga fuqaha…” sambung Medicakk lagi. Kepalanya dibenamkan di dada Permaisuri Isabella.

Khabar yang disampaikan oleh Medicakk itu menyebabkan ketiga-tiga amirul itu terkejut. Mereka tidak menyangka sama sekali Farihah yang mengaku demam itu akan menghilangkan diri. Padahal, belum sampai seminggu fuqaha baharu itu tiba di Estodania. Tanda tanya tentang fuqaha itu semakin memuncak. Prasangka Permaisuri Isabella kononnya Farihah kesurupan semakin menebal.

Dengan pantas Sultan Aminuddin dan Sultan Iltizam berlari ke kamar Farihah. Permaisuri Isabella menyusul lambat-lambat kerana dia ingin menenangkan Medicakk yang sedang galau. Sultan Aminuddin mengghaibkan dirinya lalu memunculkan dirinya di tengah-tengah kamar Farihah. Kunci pintu dibuka bagi memudahkan Sultan Iltizam dan Permaisuri Isabella masuk.

Pintu kamar dibuka. Muncul susuk Sultan Iltizam dari balik daun pintu. Wajahnya jelas tergambar rasa risau. Kerisauan itu dikongsi bersama oleh mereka bertiga. Masing-masing bimbang sekiranya sikap pelik Farihah itu ada kaitan dengan penampakan Mandalika di Belawai.

“Tidak ada apa-apa yang pelik berlaku. Semua terlihat normal,” beritahu Sultan Aminuddin.

Memang benar. Kamar itu tidak menampakkan apa-apa yang janggal. Bahkan, pakaian-pakaian Farihah masih tersimpan rapi di dalam almari coklat yang terletak berhampiran dengan katil. Lampu bilik juga dipadamkan. Tidak ada tanda-tanda Farihah melarikan diri. Hanya jendela kamar sahaja yang dibiarkan terbuka dengan langsir yang diikat rapi pada kisi-kisi.

“Ada kemungkinan dia keluar berjalan-jalan. Mungkin rindu dengan kerabatnya di Karimata,” teka Sultan Aminuddin.

“Hanya Allah sahaja yang tahu. Saya sendiri tidak pasti kemana fuqaha ini pergi,” ujar Sultan Iltizam pula.

Permaisuri Isabella tiba dengan Medicakk masih dalam kendongannya. Jin cilik itu masih tersedu-sedu menahan tangis. Dia berasa sangat ralat kerana tidak dapat memenuhi arahan permaisuri kesayangannya.

“Medicakk sempat bertemu dengan fuqaha tadi?,” tanya Sultan Iltizam sebaik sahaja melihat Medicakk sudah mula bertenang.

“Medicakk belum jumpa. Medicakk tiba pintu tertutup. Medicakk masuk. Fuqaha tiada.” jawab Medicakk terhenti-henti kerana sedu.

“Maksudnya Farihah memang hilang sebelum sempat Medicakk ke sini,” simpul Sultan Aminuddin selepas mendengar ujaran Medicakk.

“Ada kemungkinan dia memang tidak masuk kamar langsung. Mungkin selepas berjumpa dengan saya, dia terus menghilangkan diri,” saran Permaisuri Isabella.

“Bagaimana keadaannya ketika dinda bertemu dengannya,” tanya Sultan Iltizam.

“Badannya panas. Sangat panas. Dinda minta dia membuka niqab kerana dinda ingin melihat wajahnya. Tetapi dia enggan. Dia hanya diam membatukan diri,” jawab Permaisuri Isabella. Sultan Iltizam menggeleng-gelengkan kepalanya sambil menunduk. Tangan kirinya dicekakkan di pinggang. Sementara tangan kanannya mengusap-usap rambut belakangnya.

“Boleh jadi dia tidak selesa dengan tindakan dinda itu. Mungkin dia tidak selesa membuka niqabnya di tempat terbuka seperti pangkin istana. Apalagi pangkin itu betul-betul menghadap kota,” ujar Sultan Iltizam. Dia sedikit kesal dengan tindakan isterinya yang kedengaran mendesak Farihah menanggalkan niqab.

“Astaghfillah al-azim,” istighfar Permaisuri Isabella. Dia tersedar akan khilafnya. Rasa ingin tahunya telah menyebabkan dia hilang pertimbangan. Terbawa oleh hawa nafsu sendiri sehingga menggunakan pangkatnya untuk mendesak Farihah. Walhal, fuqaha baharu itu baru sahaja terpisah jauh daripada keluarga demi memenuhi jemputannya untuk bekerja di istana. Sepatutnya dia lebih berlembut dan tidak mendesak Farihah.

“Tidak mengapalah. Husnuzon sahaja. Mungkin dia ke kota menenangkan minda. Nanti kita arahkan pengawal istana menjejakkan di kota Estodania. Kelak dinda jangan ulangi lagi. Biar Farihah dengan rela menunjukkan seperti mana wajahnya itu,” ujar Sultan Iltizam. Resolusi mudah menenangkan suasana.

“Tapi kanda.. dinda kira ada baiknya jika kita melihat dulu bagaimana tampaknya fuqaha yang akan menyambung pengajaran Syariah Islam di Estodania ini. Supaya kita lebih mengenalinya,” ujar Permaisuri Isabella. Medicakk di tangannya hanya memandang mereka berdua. Kepalanya ditoleh-tolehkan mengikut siapa yang sedang bersuara. Perbuatan yang sama dilakukan oleh Sultan Aminuddin.

“Bagi kanda itu tidak perlu. Lagipun dia anak didik Imam Syahriyan. Tak kan dinda tidak percaya dengan utusan Imam Syahriyan? Imam itu salah satu nadi teguhnya Estodania ini. Fuqaha sebelum ini juga anak didiknya,” bantah Sultan Iltizam lembut. Dia tidak ingin melukakan hati isterinya itu.

Permaisuri Isabella melepaskan nafas keluhan. Dia kurang bersetuju dengan pendapat suaminya itu.

“Dinda cuma merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Farihah. Tingkahnya sangat tidak normal di mata dinda. Apalagi selepas mengetahui kemungkinan dia diganggu Mandalika. Jangan-jangan dia disampuk Ekrandia itu,” tuduh Permaisuri Isabella. Nadanya sedikit keras.

“Astaghfirullah.. istighfar dinda,” Sultan Iltizam tersenyum lalu mendekati isterinya itu. Tangan kanannya memeluk Permaisuri Isabella.

“Hati-hati menutur bicara, kelak terjatuh fitnah,” ujarnya. Jari telunjuknya ditekap ke bibir Permaisuri Isabella.

“Kita juga belum pasti Mandalika itu jin dari Ekrandia. Jangan tuduh melulu, sayang. Boleh jadi dia juga jin yang baik seperti sahabat-sahabat kita di sini,” sambung Sultan Iltizam sambil memandang Sultan Aminuddin. Sahabat jin mereka itu hanya tersenyum sambil menutup mulutnya. Dia berasa geli hati melihat ulah kedua-dua sahabatnya itu.

“Ada betulnya apa yang Izam ujarkan. Selagi kita belum bertemu jawapan sebenar, lebih molek jika kita tidak menjatuhkan penilaian. Jika benar Mandalika itu dari Ekrandia, in shaa Allah, kita akan cuba perangi. Itupun jika dia mula mengganggu kita,” sampuk Sultan Aminuddin.

“Betul. Kanda setuju. Selebihnya kita serahkan kepada Allah. Kelak kanda akan hubungi sahabat kita di Esramudra untuk bertanya perkembangan. Dinda bersabar ya,” ujar Sultan Iltizam pula sambil mengusap-usap bahu kiri Permaisuri Isabella.

“Baiklah. Dinda akan cuba. Sekarang, kita cari dahulu di mana keberadaan Farihah,” ujar Permaisuri Isabella akhirnya. Mereka menarik nafas lega.
.
.
Disember 2017, Esramudra.
.
AYYAN diminta duduk menanti di hadapan sebuah pintu gerbang yang diperbuat daripada terumbu karang berwarna jingga. Terumbu karang itu tampak sedikit berduri-duri, terpasak erat di lantai lautan. Terdapat dua pasak yang jaraknya lebih kurang dua meter antara satu sama lain. Kedua-dua pasak terumbu karang berduri yang berwarna jingga itu menegak ke atas. Hujung kedua-duanya melengkung dengan arah yang saling berpandangan. Di puncaknya, pasak terumbu karang itu bersatu lalu membuat satu lengkungan seperti pintu gerbang kampung halaman Ayyan. Di belakang gerbang terumbu karang itu tampak kosong. Hanya kelam lautan yang hitam memekat kelihatan. Bacaan memuji keesaan Allah masih dimainkan di dalam hati agar Ayyan tidak tenggelam dalam keindahan yang dipentaskan di hadapan matanya ketika itu. Sungguh, terlalu banyak persoalan yang berkitar di minda saat itu. Jantungnya terasa berdebar-debar menanti munculnya Pangeran Badar yang dikatakan bakal menjawab semua persoalan yang bermain di mindanya.

Delustar telah memasuki gerbang terumbu karang yang terpasak teguh di hadapannya sebelum menghilang dalam kepekatan gelap lautan. Sebagai pendatang di mukim asing itu, Ayyan hanya menurut sambil menyerahkan nasib badan pada ketentuan Allah. Sesungguhnya, setiap perkara yang Ayyan alami ketika ini adalah dengan izin Allah. Ayyan yakin bahawa Allah akan sentiasa melindunginya. Yakinlah, bahawa Allah itu Maha Penyayang dan Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya dalam kesusahan melainkan untuk menyedarkan hamba-Nya yang sedang melakukan kesilapan.

Tiba-tiba, aliran arus laut di sebalik gerbang terumbu karang mula menderas. Perlahan-lahan terlihat pusaran air di sebalik gerbang itu. Lokasi pintu gerbang yang agak jauh dari kawasan penempatan yang mereka lalui sebentar tadi menambahkan kecut hatinya. Risau kalau-kalau ada musibah baru yang mendatang. Dia sendiri belum maklum sama ada jin yang bersama dengannya ketika ini adalah jin yang menyembah Allah atau yang menyekutukan Allah. Ayyan hanya meletakkan penyerahan sepenuhnya kepada takdir Allah.

Di sebalik pusaran air itu, menjelma satu bangunan mega layak seperti istana. Muncul sedikit demi sedikit dari lantai lautan sehingga menyebabkan ketenangan laut tadi mula menggelodak. Muncul istana itu bermula dengan bucu menara yang paling tinggi lalu diikuti dengan dua puncak menara yang terletak di kiri dan kanannya. Menara yang terletak di tengah-tengah lebih besar berbanding dua yang lainnya. Kemudian, diikuti dengan timbulnya bahagian bumbung istana. Terletak di hadapan menara-menara tadi. Bumbung istana itu seperti otak manusia yang berlitar-litar. Terumbu karang yang masih berwarna jingga yang bernama diploria. Sangat besar. Separa bulatan dan bahagian bawahnya membentuk lembayung seperti cendawan. Di kiri dan kanan terumbu karang separa bulatan itu muncul jambatan lalu disambungkan dengan dua lagi terumbu karang besar berbentuk silinder. Setiap bumbung bangunan silinder itu daripada terumbu karang diploria yang sama. Hanya saiz sahaja yang berbeza. Terdongak-dongak kepala Ayyan melihat timbulnya istana terumbu karang yang mega itu. Mulutnya sedikit ternganga. Maha Suci Allah yang memiliki semua kekuasaan. Tidak pernah seumur hidup Ayyan menyaksikan fenomena magikal seperti itu.

Selesai sahaja timbulnya struktur istana terumbu karang itu, muncullah pula beranda istana, pintu dan jendela-jendela istana. Masing-masing turut diperbuat daripada terumbu karang berwarna jingga. Terlalu banyak spesies terumbu karang yang bersatu membentuk istana sebesar itu. Besarnya sehingga mencecah puncak cahaya lampu yang menerangi mukim yang diberi nama Esramudra itu. Tatkala muncul pintu utama yang selari dengan gerbang di hadapannya, terhampar pula satu permaidani hijau daripada lumut-lumut laut. Subhanallah. Memang sungguh mempersonakan. Memanglah salah satu kelebihan jin Allah kurniakan untuk bermain dengan ubah fizik seperti ini. Ayyan menjadi semakin kagum dengan kekuasaan Allah.

“Silakan masuk, Ayyan,” pelawa Delustar yang tiba-tiba muncul di sampingnya. Ayyan sedikit terkejut kerana dia tidak menyedari bila masa jin laut itu tiba. Ayyan hanya memberikan sekuntum senyuman. Lidahnya kelu untuk berkata-kata.

“Pangeran Badar sedang menantimu di ruang makan. Delustar hanya boleh menemani Ayyan setakat ini. Kelak kita akan bertemu lagi,” sambung Delustar.
Ayyan hanya menurut. Dia masih kelu. Pelahan-lahan kaki kanannya diangkat melangkah memijak lumut hijau yang mengunjur sehingga ke pintu utama istana yang baru sahaja muncul tadi. Tawakkal segera diberikan kepada Allah. Rasa takut dan ingin tahu berselang-seli hadir dalam hati. Sebaik sahaja tiba hadapan pintu masuk, pintu itu terkuak sendirinya seperti sengaja mempelawa Ayyan masuk ke dalam.

Tanpa berkata apa-apa, Ayyan hanya menurut gerak hati. Sekali lagi kaki kanan memulakan langkahnya. Sebaik sahaja seluruh jasadnya memasuki perut istana, pintu itu tertutup. Dia sempat menoleh ke belakang melihat Delustar yang sedang melambai-lambaikan tangan panjangnya kepada Ayyan. Senyuman Delustar mengiringi langkah Ayyan sehinggalah pintu istana itu tertutup rapat. Gelap. Tanpa sebarang cahaya.

‘Panggggggg!’

Satu tamparan kuat singgah di pipi kiri Ayyan. Ada tangan ghaib yang menamparnya dengan kuat dalam gelap itu. Pipi kiri Ayyan terasa kebas dek tamparan itu. Telinganya sedikit berdesing. Mujur Ayyan sempat mengimbangkan dirinya daripada terjatuh. Ayyan memegang pipi kirinya. Sakit.

“Assalamualaikum, hamba Allah,” sapa satu suara lelaki dewasa. Seiringan dengan itu, cahaya mula muncul dalam istana itu. Satu persatu bahagian istana disirami cahaya. Bermula dengan bahagian tingkat atas sebelah kanan, diikuti dengan bahagian kiri, kemudian barulah bahagian tengah istana. Ayyan kini sedang berdiri di tengah-tengah istana. Di hadapannya ada sebuah tangga yang besar menyambungkan lantai bawah dengan lantai atas. Susuk tubuh Ayyan terlihat seperti semut di tengah-tengah istana terumbu karang itu. Seluruh istana dihiasi dengan bermacam jenis hidupan laut. Berwarna jingga.

Di atas tangga, seorang lelaki yang berkaki ikan sedang berpeluk tubuh memandangnya dengan marah. Sebuah mahkota yang berwarna jingga menghiasi kepalanya. Wajah lelaki itu ditumbuhi jambang putih yang panjang sehingga mencecah lantai. Tubuhnya sedikit terapung. Anak matanya berwarna jingga. Ayyan sempat bertanya kepada dirinya, mengapa semua berwarna jingga?

“Apakah kamu sudah terlupa bagaimana ucapan salam?!” tanya lelaki itu, garang.

Ternganga-nganga Ayyan mendengar teguran pedas lelaki tersebut. Barulah dia tersedar akan khilaf dirinya. Mungkin kerana terlalu taksub melihat keajaiban yang berlaku di hadapan mata sehingga dia terlupa memberi salam. Dia leka melayan kepelikan dan rasa takut di dalam hati. Ayyan segera meminta maaf dan menjawab salam yang telah dihulurkan kepadanya.

“Tidak hairan mengapa kamu selalu tertewas sebulan yang lalu. Sikap kamu seperti ini tidak akan mampu pergi jauh. Apa benar kamu ini cucu Imam Syahriyan?!” sambung lelaki itu lagi. Jiwa Ayyan semakin kecut mendengar suaranya yang semakin meninggi.

“Ya, benar,” jawab Ayyan sepatah. Dia masih terkejut dan cuba memahami situasi yang berlaku saat itu.

“Pawana! Iringi dia ke musollah. Usai subuh iringi dia ke Balairung,” tempik lelaki itu lagi.
Pawana? Angin? Terdetik soalan di hati Ayyan. Tidak semena-mena tubuhnya ditolak ke atas sehingga dia terapung-apung di tengah istana. Tubuhnya ditolak lagi memasuki satu lorong jingga yang terletak di tingkat dua istana itu. Dia dimasukkan ke dalam satu kamar yang luas. Dalam kamar itu, tersusun rapi sejadah-sejadah. Terdapat kubah kecil diletakkan di ruang hadapan. Mimbar. Apungan tubuh Ayyan dihentikan di situ.

‘Subhaanallaahi Wa Bihamdihi Subhaanallaahil ‘Adzim’. Zikir puji-pujian kepada Allah
dilantunkan kembali. Saat ini jiwanya semakin berkecamuk. Sangkaannya apabila dia masuk ke dalam istana, dia akan bertemu dengan Pangeran Badar untuk menjawab semua persoalan yang sedang berlegar di mindanya. Malangnya, sebaik memasuki istana terumbu karang itu, lebih banyak persoalan baharu yang mengitari minda. Siapa lelaki separa ikan tadi? Adakah dia Pangeran Badar? Jika benar, apa makna tamparan kuat yang diberikan tadi? Ayyan buntu memikirkannya sehingga dia berasa hendak menangis. Sendiri dalam perantauan yang penuh misteri seperti itu, hati lelakinya sendiri tidak kuat.

“Bantulah hamba-Mu ini, Ya Allah. Berikan aku petunjuk,” doa Ayyan di dalam hati.

Tiba-tiba, kedengaran azan Subuh dilaungkan. Gemersik dan mendayu-dayu sehingga membuatkan Ayyan menangis seorang diri. Rindunya pada kampung halaman mula bersemi dan semakin kuat. Ingin rasanya dia meraung sekuat hati. Namun, bunyi raungan itu hanya mampu dilemparkan jauh ke dalam relung hati. Hanya esakan yang dikeluarkan. Ayyan terduduk seorang diri di tengah-tengah rumah Allah itu. Menangis memeluk lutut sambil kepala ditundukkan di kepala lututnya. Esakan diteruskan.

Bahunya disentuh seseorang. Ayyan mengangkat kepalanya. Di sebelah kanannya, berdiri seorang lelaki tua yang memiliki janggut putih panjang sehingga mencecah tanah. Lelaki tua itu tersenyum kepadanya.

“Mari kita solat. Subuh sudah menjelang,” ujar lelaki tua itu diikuti dengan senyuman. Tiba-tiba, rumah Allah itu dipenuhi dengan jemaah. Entah dari mana mereka muncul. Masing-masing lengkap mengenakan jubah dan serban putih. Setiap satunya memiliki pelbagai kelainan wajah. Sungguhpun begitu, semua tampak suci dan bersih tanda pengabdian kepada illahi.

“Pergilah berwuduk, lajur kita jemaah,” sambung lelaki tua itu. Senyuman masih tidak lekang di bibirnya. Ayyan turut tersenyum. Kelat. Air matanya diseka perlahan-lahan. Dia sedikit malu menangis di hadapan lelaki tua itu.
.
.
Disember 2014, 35000 kaki di atas Laut China Selatan.
.
NILAKENDRA terbang membelah tiupan angin dan kepulan awan. Kepaknya terkuak-kuak menahan pukulan angin itu. Beberapa minit yang lalu, dia berjaya mengeluarkan diri dari lingkungan sempadan sakti Estodania. Tubuh Farihah dibiarkan terpunduk di bangku putih berhampiran laluan masuk ke Estodania. Dia pasti, fuqaha Estodania itu akan ditemukan oleh pengawal-pengawal istana. Kemudian, dia mengubah wujudnya menjadi seekor helang berparuh merah. Terbang tinggi menyelamatkan diri sebelum dia terkojol.

Tujahan sayapnya diperlahankan apabila dia melihat sebongkah batu putih yang di atasnya ditumbuhi rumput hijau. Terkuak-kuak kepaknya memperlahankan kelajuannya. Kemudian, Nilakendra menukar arah terbangnya tegak menujah langit sebelum mula menjunam ke bawah. Paruhnya terasa sedikit panas kerana bergeser dengan angin-angin yang memenuhi ruang langit.

Nilakendra menujah-nujah lapisan awan sehingga akhirnya dia melihat mukim bangsanya. Ekrandia. Sebuah pulau terapung yang betul-betul di atas Laut China Selatan. Pada mata kasar manusia, pulau ini tidak akan kelihatan kerana diselindung dengan hijab. Hanya gumpalan awan yang akan ditunjukkan. Ekrandia terdiri daripada tiga untaian pulau dominan dan beberapa kelompok pulau kecil. Setiap pulau disambungkan dengan pokok-pokok yang menjalar. Pulau yang paling besar terletak di bahagian tengah. Terdapat gunung berapi yang tinggi menjulang langit di pusatnya. Junaman Nilakendra semakin dilajukan menuju ke dalam kawah gunung berapi itu. Semakin lama semakin laju sehingga akhirnya dia terjunam menembusi lahar berapi. Habis seluruh tubuh helangnya disaluti lahar.

Junaman Nilakendra terhenti sebaik sahaja dia mencecah tanah. Tubuhnya hancur lebur lalu cair. Cairan lahar itu kemudiannya mula berubah bentuk. Perlahan-lahan menggelumbung lalu menjadi sekujur tubuh perempuan yang sedang sujud. Nilakendra. Dalam wujudnya alterego utamanya. Masih seperti seorang perempuan yang bermuka hodoh. Kuku runcing dan rambut yang mengurai. Tubuhnya dilitupi dengan pakaian ketat yang diperbuat daripada batuan gunung berapi. Ada lahar yang mengalir dari arah bahunya ke bawah.

“Man ahabba syaian fahuwa abduhu…” ujar Nilakendra sebaik sahaja tubuhnya dihadapkan ke tirai lahar gunung berapi yang berada di belakangnya.

“Zalamaka… zalamaka… zalamaka.. ghailah syarrul bariyyah!” sambung Nilakendra lagi. Kali ini jampi terkutuk itu dibaca dengan kuat. Tempikannya dilaungkan semaksima mungkin.

Tidak semena-mena, tabir lahar di hadapannya itu terbuka sehingga menampakkan satu lohong gelap yang hanya diterangi dengan cahaya lahar yang kemerah-merahan. Di hujung lohong itu, tersedia satu singgahsana yang sangat besar. Bersemayam di atasnya satu sosok tubuh durjana. Tergambar kebengisan pada wajahnya. Berderam-deram makhluk terkutuk itu di dalam gelap.

Nilakendra menapak masuk dan mula menundukkan dirinya menyembah tanah tatkala berhadapan dengan makhluk besar di hadapannya itu. Dahinya dirapatkan ke lantai dan tangannya dihalakan ke hadapan sehingga hanya bahagian pinggulnya sahaja dihalakan ke atas.

“Zalamaka… zalamaka… zalamaka.. ghailah syarrul bariyyah!” ujar Nilakendra.

“Bangkit pejuang bangsa! Tunjukkan wajah perkasa mu,” ujar makhluk di hadapan Nilakendra. Suaranya terdengar sangat halus tetapi memenuhi segenap ruang gelap itu. Suaranya seperti berlari-lari mengelilingi dinding. Terdengar sekejap di kiri kemudian ke kanan. Halus seperti dibisik-bisik.

“Cucu Imam Syahriyan itu ampuh nuraninya. Kami gagal menentang nuraninya,” adu Nilakendra sebaik sahaja kepalanya diangkat mendongak ke atas. Hanya ada sepasang mata merah yang besar kelihatan.

“Apa kamu mengatakan dia lebih perkasa berbanding kami?!” kasar kedengaran suara makhluk itu. Nilakendra sedikit menikus. Risau kepalanya dipenggal patah jika murka raja di hadapannya memuncak. Dia harus bijak memilih kata bagi menyejukkan hati rajanya kembali.

“Selagi bintang merah terang, Bentara Lakhus perkasa seorang. Tiada dua, tiada tiga. Hanya Lakhus seorang,” ujar Nilakendra, bijak. Pujian melangit dihadiahkan kepada raja di hadapannya. Dia adalah Bentara Lakhus. Pemimpin Ekrandia. Kesatuan jin dan manusia yang memusuhi kota Estodania dan juga sekutu-sekutunya. Kerajaan ghaib dari hijab manusia yang sudah berabad lama wujudnya sebelum nabi sulung muncul di dunia.

“Hanya kami yang terkeji hilang pedoman menjadi budak dek kepalsuan ajaran Imam Syahriyan,” Nilakendra meneruskan ujarannya. Otak jahatnya sedang ligat memikirkan ayat yang sesuai untuk memuji-muji Raja Ekrandia.

“Apa pedoman ingin diperkenan?” tanya Bentara Lakhus. Kali ini suara kembali kedengaran halus. Nilakendra menarik nafas lega mendengar perubahan suara rajanya itu.

“Kami dipinjamkan kesaktian menundukkan iman mahamiy Imam Syahriyan,” jawab Nilakendra berterus-terang. Kemudian, suasana senyap. Sepi tanpa sebarang balasan. Nilakendra tersenyum puas. Sepi seperti ini, membawa erti permintaannya diperkenan.

Dalam kesenyapan itu, terdengar bunyi udara dibilah dari atas. Seperti ada benda yang sedang terjatuh. Memang benar, satu kiriman daripada alam ghaib sedang dihantar ke ruangan itu. Satu kotak hitam jatuh terjelupuk di hadapan Nilakendra.

“Pandora lambang kuasa. Ada shanun di dalamnya. Hendaklah kamu tanamkan di laman istana. Kesaktian muncullah!” kedengaran suara Bentara Lukhas mengitari segenap ruang.
Selesai sahaja ujaran Bentara Lukhas itu, tubuh Nilakendra terpelanting ke belakang seperti ditolak sesuatu. Tubuhnya terseret ke belakang sehingga terkeluar dari lohong-lohong gunung berapi itu. Dia kembali terduduk di hadapan tabir lahar berapi. Kotak Pandora hitam yang terpelanting bersamanya terbuka menampakkan isi perutnya.

Nilakendra mencapai isi pandora tersebut. Ada sekuntum bunga berbentuk daun dengan warna putih kebiru-biruan. Tangkai bunga tersebut berduri-duri dan ditumbuhi sebiji benih berwarna merah. Nilakendra tersenyum. Dia memahami maksud yang ingin disampaikan oleh Bentara Lukhas. Bantuan yang diberikan oleh rajanya itu bukan calang-calang. Satu perancangan baharu untuk menghancurkan kerajaan Estodania akan dimulakan. Jika rancangan ini berjaya, mereka bukan sahaja dapat meranapkan kemegahan Estodania itu, bahkan dapat melenyapkan Islam dari bumi Nusantara.

“Gharqad!” ujar Nilakendra. Dia masih tersenyum memikirkan kejayaan yang akan mereka kecapi. Dia akan kembali ke Estodania. Kali ini dia pasti mampu menumpaskan kekuatan nurani fuqaha muda itu. Nilakendra tertawa sepuas hati. Mindanya sudah dapat membayangkan kejayaan Ekrandia tidak lama lagi.

———————– Sedikit selingan: bacaan-bacaan yang diujarkan oleh Nilakendra di Ekrandia itu bermaksud…—————-
“Man ahabba syaian fahuwa abduhu…” (Barang siapa yang mencintai sesuatu, pasti akan diperbudakkan olehnya.”
“Zalamaka” = Dzhalamaka = menyesatkanmu
“Ghailah” = celakalah
“Syarrul Bariyyah” = Sejahat-jahat manusia.

Wallahu’alam. Jika ada kesalahan.. boleh betulkan di ruang komen. Kita belajar. Hehehe. Jangan risau.. jampi-jampi yang dimasukkan dalam cerita ni secara tidak langsung akan menghina syaitan.. dan mengingatkan kita memilih nama anak kelak…

Lukhas? Salah satu jenis Syaitan. Apa tugas dia? Teruskanlah baca cerita ni.. in shaa Allah akan diterangkan kemudian…. Jom sambung melancong di Ekrandia.
—————————————
NILAKENDRA tidak segera meninggalkan tanah leluhurnya itu. Sebaik sahaja meninggalkan tempat persemayaman Bentara Lukhas, dia menerbangkan dirinya ke kaki gunung berapi. Gunung Ekrandia. Di kaki gunung tersebut, terbinanya satu mahligai yang digunakan untuk menempatkan pejuang-pejuang bangsa Ekrandia sepertinya. Dia ingin melawat sahabatnya yang pernah dicederakan dalam pertarungan beberapa tahun yang lalu.

NILAKENDRA melalui sebuah kolam. Dia tersengih melihat pemandangan yang disaksikannya di situ. Sahabatnya sedang melayan kehendak seorang lagi tentera kanan Ekrandia. Lelaki manusia itu sedang asyik melayan keserakahan sendiri yang dipentaskan oleh sahabatnya. Anyahaffaf melambai-lambaikan tangan kanan tanda mengalu-alukannya. Sementara tangan kirinya masih rancak melayan keserakahan lelaki yang sedang berendam di dalam kolam air terjun itu.

“Asyik sekali kamu bermain dengan Benayat wahai Haffaf,” tegur Nilakendra. Anyahaffaf tergelak mendengar ujaran sahabat lamanya itu.

“Sekadar berbasa-basi menurut perintah Bentara,” balas Anyahaffaf.

“Kendra ingin bertemu Niyang?” tanya Anyahaffaf. Nilakendra mengangguk.

“Niyang masih tidur. Sudah dua puluh tahun lamanya,” sambung Anyahaffaf. Ada wajah sayu pada wajahnya.

Nilakendra faham, Anyahaffaf juga sepertinya. Merindukan saat gemilang sahabatnya yang paling sulung itu. Dulu mereka bertiga selalu bertanding siapa yang lebih jaguh mewujudkan kekacauan yang bumi Nusantara. Tetapi, sahabat sulungnya itu hampir terbunuh saat pertarungannya menentang ketokohan imam kampung penghujung Kepulauan Karimata. Kampung Pagung. Nilakendra menarik nafas dalam-dalam. Sakit hatinya dibungkamkan.

“Jangan risau, Haffaf. Sikit masa lagi Niyang pasti bangun. Kamu persiapkan Benayat selengkap mungkin. Supaya dia tidak gagal lagi. Aku pergi dulu menjenguk Niyang,” ujar Nilakendra lalu melambaikan tangan kepada sahabatnya itu. Kemudian langkahnya diatur memasuki satu kamar yang terletak di celah-celahan batu.

Niyang Ropek sedang terbaring kaku di atas para beratar. Bunga-bunga pelbagai rupa yang tidak lazim mengelilingi para itu. Wangi menerawang. Wajah Niyang Ropek masih kelihatan lebam. Biru menggelap seluruh badan. Sungguh sahabatnya itu hampir menemui ajal dalam pertarungan dua dekad yang lalu.

Kotak Pandora dikeluarkan dan dibuka. Nilakendra mematahkan duri bunga putih yang terdapat di dalam pandora tersebut. Kemudian duri itu dicucuk pada dahi Niyang Ropek. Ada darah hitam mengalir keluar. Berbau hanyir. Tetapi bagi Nilakendra, hanyir itu sudah sebati dan tidak mengganggunya sama sekali. Duri di dahi Niyang Ropek tersedut masuk ke dalam dahinya lalu menghilang.

“Bangkitlah Niyang dengan kesaktian, keramat Bentara jadi sandaran,” ujar Nilakendra. Dahi Niyang Ropek dikecup. Dia sudah melaksanakan salah satu arahan yang tertulis dalam kotak Pandora itu, hanya berbaki empat lagi. Kemudian, kemenangan akan berpihak kepada mereka. Estodania akan hancur!.

Nilakendra mengghaibkan dirinya dari kamar itu, lalu memunculkan dirinya semula di pulau kecil paling hujung Ekrandia. Pulau kecil itu hanya menempatkan satu air terjun yang dighaibkan dari dunia manusia lalu diangkat ke langit. Kemudiannya, disambungkan dengan pulau-pulau Kerajaan Ekrandia sebagai tanda penguasaan Ekrandia. Air terjun di dalam pulau ini menjadi idaman semua makhluk yang ada di muka bumi. Ekrandia bertuah kerana memiliki raja perkasa seperti Bentara Lukhas kerana tanpa kekuasaannya, air terjun keramat ini tidak mungkin dapat dinikmati oleh bangsa Ekrandia. Air terjun yang dapat memberikan kehidupan abadi. Ainul Hayat!.
.
.
Disember 2017, Esramudra.
.
“KAMU masih lemah, Ayyan. Belum cukup bersedia,” ujar Pangeran Badar. Mata pangeran itu memandang tepat ke anak mata Ayyan. Ayyan hanya mendiamkan diri. Sekali lagi lidah terkelu. Dia terkesima mendengar dakwaan pangeran yang baru dikenalinya itu.

Sebentar tadi, selesai sahaja melaksanakan Subuh berjemaah dengan penduduk-penduduk Esramudra, dia dipanggil duduk oleh imam solat subuh itu. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Pangeran Badar. Janggutnya berwarna putih dan sangat panjang sehingga mencecah lantai. Saat ini, hanya mereka berdua sahaja yang masih duduk di dalam Masjid Esramudra. Para Jemaah telah kembali ke kediaman masing-masing selesai sahaja kuliah Subuh.

“Mengapa Pangeran berkata sedemikian?” tanya Ayyan meminta kepastian.

Dia sedikit terkilan apabila dikatakan lemah. Sepanjang kembara solonya setakat ini, berhempas-pulas dia mempertahankan diri dan menewaskan setiap halangan yang menimpanya. Memang payah dan susah. Mujurlah dia dibekalkan dengan Kapsul Estodania. Satu-satunya teknologi canggih Estodania yang masih berfungsi. Jelmaan-jelmaan kapsul itulah yang banyak membantunya bertahan dalam kembara setakat ini. Pelbagai jenis senjata dan kesaktian yang diwujudkan daripada kapsul itu.

“Mengapa kamu meninggalkan Kampung Pagung? Sedangkan kamu tahu kudrat kamu sekuat mana?” tanya Pangeran Badar lagi tanpa menjawab soalan Ayyan.

“Maaf Pangeran. Saya cuma ingin menjejaki Faris. Lagipun, almarhum datuk mewasiatkan agar Ayyan bermusafir menyelamatkan Faris,” jawab Ayyan dengan suara rendah. Dalam diam, dia mengakui dakwaan Pangeran Badar itu.

“Kamu mengira kamu sudah cukup kuat?” asak Pangeran Badar lagi. Nada suaranya masih kedengaran tegas. Tatapan matanya masih dihalakan kepada Ayyan. Tanpa kelipan mata langsung.

“Lahaula Wala Quwata Illa Billahil Aliyil Adzim. Jujurnya saya memang tidak kuat. Cuma almarhum mewasiatkan saya ke Tanah Emas bertemu Tok Kandek. Kelak Tok Kandek akan membantu saya,” jawab Ayyan. Pangeran Badar menarik nafas panjang. Tangan kanannya memegang bahu kanan Ayyan.

“Kamu yakin Faris masih hidup? Petaka menimpa Estodania itu bukan kecil. Bahananya terlalu kuat sehingga seluruh Nusantara terasa sekarat. Ramai yang berpergian dan menjadi pelarian menyelamatkan diri. Masing-masing menjauh dari Estodania,” tanya Pangeran Badar lagi. Bahu Ayyan ditepuk-tepuk.

“In shaa Allah, Pangeran. Allah akan menjaga Faris. Saya yakin dia masih hidup,” jawab Ayyan dengan yakin. Keyakinan kepada Allah melebihi segalanya. Selagi dia belum menemui mayat Faris, selagi itu dia menganggap sahabatnya itu masih hidup. Faris bukan calang-calang orang. Dia jauh lebih kuat berbanding Ayyan. Ilmu pengetahuannya juga jauh lebih dalam berbanding Ayyan. Sudah pasti sahabatnya itu mampu menyelamatkan diri daripada petaka Estodania.

“Farihah? Bukankah dia kakak kamu?” tanya Pangeran Badar lagi. Bahu Ayyan dilepaskan.

“Apakah Farihah masih hidup? Utusan Diraja Estodania mengatakan dia telah selamat dikebumikan di makam diraja. Maka saya tidak perlu mencarinya lagi Pangeran. Sudah tiga tahun saya redha dengan takdir Allah itu,” jawab Ayyan. Ada nada sendu pada suaranya.
Pangeran Badar menarik nafas panjang. Pandangannya dilemparkan ke arah kanan Masjid. Memandang rak-rak yang kosong tanpa senaskah Al-Quran. Hanya ada rihal-rihal yang disusun rapi.

“Kamu juga sudah tertipu Ayyan. Bukan hanya kamu. Seluruh Nusantara telah terpedaya dengan muslihat Ekrandia,” jawab Pangeran Badar. Wajahnya yang tadi tegas mula kelihatan sugul.
Mindanya segera mengimbau kembali petaka yang menimpa Estodania sehingga kerajaan Islam yang gagah itu akhirnya musnah. Terlalu berat ujian yang Allah hadirkan saat ini kepada seluruh Nusantara. Mereka sama sekali tidak menyangka akhirnya Ekrandia berjaya membutakan hati mereka. Amirul-amirul Islam Estodania juga tidak menduga kelicikan Ekrandia yang berlaku di bawah hidung mereka sendiri.

“Apa yang berlaku kepada Estodania sebenarnya, Pangeran? Adakah kesaktian Pawang Benayat terlalu tinggi sehingga akhirnya kita hidup dalam poranda seperti ini?” tanya Ayyan. Sebenarnya dia masih belum pasti kejadian sebenar yang menimpa Estodania. Di Kampung Pagung, mereka hanya dimaklumkan Estodania ditimpa musibah. Berita kehancuran Estodania itu disusuli dengan kegagalan semua teknologi canggih yang dikurniakan oleh Estodania.

“Benayat itu hanya watak kecil dalam kisah sebenar, Ayyan. Manusia seperti kamu juga mampu menewaskannya,” jawab Pangeran Badar.

“Niyang Ropek?” tebak Ayyan lagi.

“Niyang juga watak kecil yang lain,” jawab Pengeran Badar.

“Lalu? Peran siapa yang menjadi asbab hancurnya Estodania?!” laju Ayyan memintas kata-kata Pangeran Badar. Darah mudanya mula tidak sabar dengan sikap misteri Pangeran Badar.

“Kemudian.. kamu akan dimaklumkan kisah itu. Sekarang dengarkan ini,” ujar Pangeran Badar. Pandangannya kembali dihalakan kepada Ayyan. Kedua belah tangannya diletakkan di atas lutut.

“Faris masih hidup. Itu yang pasti. Di mana keberadaannya masih misteri. Tidak ada sesiapa yang tahu dia kini di mana. Mungkin di Estodania, mungkin bukan. Farihah? Saya yakin dia masih hidup. In shaa Allah. Kali terakhir saya melihatnya, dia diarak masuk ke dasar istana. Atas dasar apa? Maaf, tiada khabar tentangnya,” berita yang disampaikan oleh Pangeran Badar itu menggembirakan hatinya. Maksudnya, jika ditakdirkan Allah, dia akan bertemu dengan Faris dan Farihah. Dengan bantuan Tok Kandek, pasti dia mampu menemui mereka berdua.

“Jadi, Farihah masih hidup?” pantas Ayyan mengajukan soalan.

“Allahu’alam. Saya tidak pasti. Kita berdoa kepada Allah semoga dia dipanjangkan usia,” jawab Pangeran Badar. Sedikit menghampakan hati Ayyan.

“Untuk menyelamatkan Faris, kamu perlu memikul satu tugas yang sangat berat, Ayyan,” ujar Pangeran Badar, serius. Kali ini, tangan kanannya kembali diletakkan di pundak Ayyan.

“Maksud pangeran?” tanya Ayyan. Kembali persoalan terbit di mindanya. Jantung mula berdegup kencang. Hati manusianya dapat menjangka tugas yang bakal diamanahkan melebihi kemampuannya.

“Kali terakhir, Faris dikatakan telah menyelamatkan Nadi Estodania. Kini dia sedang menjadi buruan Ekrandia. Nadi Estodania yang sekarang dalam jagaan Faris in shaa Allah akan dapat mengembalikan kegemilangan Estodania. Jadi, jika benar kamu ingin menyelamatkan Faris, kamu juga perlu menyelamatkan Estodania. Memerangi kebatilan. Menghancurkan Ekrandia!” ujar Pangeran Badar panjang lebar. Pundak Ayyan ditepuk berkali-kali.

Melopong Ayyan mendengar ujaran Pangeran Badar itu. Dia tidak menyangka sama sekali bahawa Faris kini memegang amanah yang sangat berat. Kini, amanah itu akan dikongsi bersama dengannya. Tubuh Ayyan mula menggeletar apabila dia memikirkan bahawa dia perlu berhadapan dengan tentera-tentera Ekrandia yang sangat ampuh ilmu sihir mereka. Sedangkan perlawanan terakhir di Belawai hampir meragut nyawanya, inikan pula menentang kesemua tentera Ekrandia.

“Tetapi Pangeran, Kapsul Estodania hanya berbaki tujuh. Mana mampu saya bertahan..” belum sempat Ayyan menghabiskan ayatnya, satu tamparan kuat singgah di pipi kanannya. Terpempan wajah Ayyan menerima tamparan keduanya itu.

“Sakit?” tanya Pangeran Badar sambil tersenyum. Ayyan mengangguk. Fahamlah dia bahawa dia telah melakukan kesalahan sekali lagi.

“Kamu terlalu mencintai teknologi! Menganggap diri kamu tidak mampu hidup tanpanya. Segala kebergantungan kamu sandarkan kepada kecanggihan mesin semata-mata. Bukan Allah! Istighfar anak muda!” bebel Pangeran Badar dengan suara yang keras.

Barulah Ayyan menyedari khilaf yang dia lakukan sejak awal musafirnya lagi. Setiap musibah yang melanda dirinya, dia hanya bergantung harap kepada kapsul-kapsul Estodania. Kebergantungan kepada Allah hanya dizahirkan pada lidahnya sahaja. Sedangkan hatinya masih mengharap kecanggihan Estodania yang akan menyelamatkannya.

Astaghfirullah! Dalam tidak sedar, Ayyan telah meragukan kuasa Allah. Mendekati asas-asas syirik dengan menganggap teknologi moden jauh lebih ampuh menyelamatkannya. Segera Ayyan beristighfar. Hatinya terasa bergetar. Mengakui dosa yang dia lakukan. Fahamlah dia erti setiap tamparan yang dilayangkan oleh Pangeran Badar kepadanya sejak kali pertama melangkah ke dalam istana Esramudra ini.

“Jangan diulangi khilafnya bangsa Estodania. Memanglah Allah sentiasa lekat di hati. Cumanya ibadahnya sahaja sedikit canggung. Semuanya usaha disandarkan pada mesin. Pada kecanggihan ciptaan makhluk semata! Sehingga ibadah yang dilakukan hilang manisnya mengikut sunnah Rasulullah. Lihat saja pada Al-Quran. Ke mana menghilang? Semua telah didigitalkan! Dimuatkan dalam komputer dan tablet pintar. Dilayangkan ke langit tanpa sebarang hafazan. Hanya sibuk memburu khadam ayat. Bencana ini satu peringatan daripada Allah kerana kita sudah berlebihan mengangkat kemodenan,” panjang lebar Pangeran Badar membebal.

Dia langsung tidak mempedulikan titisan air mata yang perlahan-lahan mengalir di hujung matanya. Dia juga turut kesal atas kelalaian yang bangsanya pernah lakukan. Bekerjasama dengan bangsa manusia. Kononnya hendak menjaga dan mengangkat tamadun Islam mengatasi tamadun-tamadun yang lain. Tanpa sedar, merekalah yang telah menghancurkan Islam sehingga mereka terpaksa hidup dalam darurat seperti ini.

Berkali-kali Ayyan beristighfar. Mindanya galak kembali mengimbas kembali tindak-tanduk penduduk-penduduk kampungnya. Memang benar ujaran Pangeran Badar itu, pasca kegemilangan Estodania, hampir semua kegiatan manusia dan jin dimudahkan dengan kewujudan teknologi-teknologi canggih. Bahkan pengajian tarekat juga didigitalkan. Para fuqaha kampungnya juga hanya menurunkan ilmu berdasarkan paparan maya. Manakala mahamiy-mahamiy sepertinya hanya membaca dan mendengar bacaan para fuqaha.

“Apa yang perlu saya lakukan, Pangeran?” terketar-ketar Ayyan menuturkan soalan itu. Kali ini dia berharap jawapan Pangeran Badar dapat memecahkan kebuntuannya.

“Kamu adalah cucu Imam Syahriyan. Anak jati Pagung warisan langsung dari susur galur Imam Ediris. Jati dalam diri kamu tidak dimiliki oleh sesiapa. Kami percaya, Imam Ediris pasti meninggalkan warisan yang bukan biasa,” ujaran baharu Pangeran Badar itu menerbitkan persoalan-persoalan baharu di mindanya.

Memang benar dia merupakan cucu Imam Syahriyan. Itu hakikat yang tidak boleh dinafikan. Tetapi bukan dia seorang, Farihah juga sepertinya. Paling utama, ada apa dengan almarhum datuk kesayangannya itu? Mengapa namanya dikenali di tanah bawah laut Esramudra ini? Siapa Imam Ediris? Dia tidak pernah mendengar nama itu sepanjang hidupnya.

“Maaf, Pangeran. Saya tidak mengerti,” ujar Ayyan, akhirnya. Pangeran Badar melepaskan keluhan nafas. Matanya sedikit layu menggambarkan kehampaan.

“Bagaimana kamu hendak ke Tanah Emas dengan selamat kalau masih banyak lagi kamu belum ketahui, wahai anak muda. Kasihan sekali kamu,” keluh Pangeran Badar. Ayyan masih tidak memahami inti butiran pangeran alam jin itu.

“Beginilah… kamu tangguhkan seketika musafir kamu. Kita bersama membongkar hijab yang ditinggalkan Imam Ediris untuk kamu,” cadang Pangeran Badar. Ayyan hanya memandangnya dengan pandangan kosong. Jelas, terlalu banyak rahsia yang masih tersembunyi di balik hijab anak muda itu.

“Pertama, buangkan semua kapsul Estodania yang kamu miliki. Teknologi itu akan menjadi kunci kamu dijejaki Ekrandia. Seluruh teknologi Estodania kini jatuh di tangan mereka. Lagipun, Rasulullah dan para sahabat menegakkan syiar Islam dahulu tanpa bantuan kemodenan canggih seperti ini. Mereka hanya ada Allah yang menguatkan semangat juang. Jihad Fisabillah!” ujar Pangeran Badar memulakan pengajaran.

Bermula detik ini, tafakur dan iktikaf Ayyan di bumi asing Esramudra itu dimulakan. Ayyan mengharapkan, setiap persoalan yang terkitar-kitar di kotak mindanya akan terjawab di Esramudra ini.

Paling penting, dia akan lebih bersedia menjejaki sahabatnya, Faris. Sekali gus, melunaskan amanah baharu yang digalasnya. Mengembalikan kegemilangan Islam memang besar ganjaran, tetapi meraih ganjaran sehebat Syurga itu tidak mudah jika hatinya masih ragu dengan Esanya Allah. Ayyan perlu bersedia. Musafirnya yang sebenar bukan bermula sebulan yang lalu, tetapi bermula sebaik sahaja dia meninggalkan bumi Esramudra. Tiadalah kudratnya sebagai manusia biasa jika tanpa bantuan daripada Allah Yang Maha Kuasa. Sesungguhnya, tipu daya Syaitan dan sekutunya wujud dalam bermacam cara, sebagai hamba Allah, dia cuma perlu bijak menepisnya.

“Allahumma yassir wala tu’assir. Rabbi tammim bilkhoir. Birohmatikaya Arhamarrohimin.”

“Rabbi yassir wa la tu assir…”
———————————————
dah subuh.. kelak kita sambung jalan-jalan di Archipelago Estodania ni… soon.
Kalau rasa cerita ni bermanfaat, silakan dikongsi.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Lawati laman facebook penulis: https://www.facebook.com/estodania.page/

dhaifullahazzayyani
Hi, saya baru nak menulis. ini page saya... dijemput singgah. https://www.facebook.com/estodania.page/

12 comments

  1. tamparan itu , dirasai saya ..
    hahaha ! tetiba gosok pipi , perit !

    pape pun ,
    jalan penceritaan yang bagus !
    dari episod pertama hingga yang ini .

    harapnya , penceritaan episod seterusnya tidak akan tersasar seperti beberapa kisah di FS sebelum ini .

    part yang teknologi tu , memang terkena batang hidung sendiri !
    huhu , betul lah teknologi sekarang semakin kuat mengambil alih kehidupan manusia sampai kita lupa ‘ sesuatu ‘ .

    ok lah , tertunggu tunggu episod baru !
    terbaik , penulis . ☺😁😉

  2. Cerita best sangat2..cuma nak bg cadangan boleh tak letak nombor ‘part’ dekat tajuk terus? contoh ‘Estodania Part 3’. Sebab agak susah nak cari sambungannya.

  3. wau terbaik cerita ni.syabas penulis. khusyuk saya membacanya sampai rasa diri sendiri termasuk dalam cerita sekali.hahaha penulis cepat2 cari ilham untuk sambung lagi.tak sabar nak tahu apa akan terjadi nanti 😀

  4. You try to remind us on how it will be when Doomsday is near.. On how people nowdays depending on technology. near that time all technologies will be destroy and we will have to fight back with our own hand. Thanks a lot…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *