Gurauan Gunung Baling

“Takkan tinggi ni saja?” Akim mendongak memandang gunung yang bakal kami daki tak lama lagi.

“Tinggi tu pun dah mengah dah. Nak tinggi mana lagi.” balas Syah sambil memeriksa lampu suluhnya.

Aku melihat sekeliling. Terdapat beberapa buah kereta, motosikal dan sebuah bas di kawasan parkir. Bas itu mungkin membawa pelajar-pelajar kolej.

Jam menunjukkan pukul 2:50 pagi. Kami berehat dahulu di bawah sambil membuang lenguh. Masakan tidak. Dari Kangar, Perlis ke Baling, Kedah dengan hanya menunggang motosikal. Punggungku masih lagi kebas. Aku tahu p******g orang lain turut kebas.

“Aik, mana Apit?” tanya Syah sambil matanya melilau kanan dan kiri.

“Pi toilet kot. Dari atas motor tadi duk tahan kencing.” jawab Adi.

“Weh Adi. Hang mai nak hiking atau tengok wayang?” Akim memandang Adi atas bawah. Manakan tidak. Dengan t-shirt berkolar dipadankan dengan seluar jeans slim fit. Ditambah dengan sneaker Nike kelabu.

“Mana-mana pun boleh.” jawab Adi acuh tak acuh. Syah hanya menggeleng.

Aku mendiamkan diri sambil memandang kagum gunung yang berdiri megah di hadapan kami. Pada aku, ini hanyalah bukit. Seperti yang dikatakan oleh Syah. Semua gunung dan bukit di Malaysia sudah dia tawan. Penduduk setempat memanggil gunung.

“Hangpa tunggu apa lagi? Takkan nak tunggu aku angkat hangpa naik kot.” gurau Apit setelah urusan dengan tandas selesai.

“Lega?” tanya aku.

“Tak berapa lega la. Ayaq (air) takdak. Aku basuh kencing guna ayaq mineral aku.” jawab Apit sambil gelak.

Aktiviti kami hari ini disertai seramai 5 orang iaitu Syah, selaku pencadang, penunjuk jalan dan ketua, Akim, Adi, Apit dan aku. Seorang kawan Akim dari Baling turut menyertai kami.

“Dah, jom gerak.” Syah mengepalai kami. Hati aku berdebar. Inilah kali pertama aku mendaki bukit.

Permulaan kami agak lancar. Ada yang berborak, ada yang menyanyi kecil. Aku tak dapat menangkap apa mereka borakkan. Apa yang aku dengar hanyalah,

“Wo oo. Kamu ketauan. Pacaran lagi, dengan dirinya, teman baikku…”

Masing-masing dari kami berlagak hebat apabila memintas kumpulan perempuan muda. Ada yang bergurau minta nombor telefon. Ada yang mengajak sertai kumpulan kami. Aku melihat Syah yang sejak tadi mendiamkan diri.

Apabila kami sampai kawasan bertanah merah, laluan seakan meninggi sedikit. Ditambah pula dengan tanah yang berlecak kerana hujan tengah malam tadi. Agak menyukarkan kami semua, terutamanya Adi yang memakai sneakers. Aku lihat raut wajah Adi sudah berubah. Barangkali sudah menyesal.

“Nak rehat?” Syah bersuara setelah sekian lama mendiamkan diri.

“Takyah kot. Okay lagi ni.” jawab Akim seraya memandang kami.

“Okay kita gerak lagi.” Syah meneruskan perjalanan dan kembali sepi. Begitu juga dengan yang lain-lain. Sudah hilang borak, sudah hilang nyanyian.

“Weh. Rehat sat.” Apit termengah-mengah di tepi trek. Melihat Apit duduk mengambil nafas, yang lain turut berhenti. Masing-masing mengeluarkan air minuman. Ada yang menyalakan api rokok.

“Hangpa nak pisang?” Syah mengeluarkan sebiji pisang kuning sambil tayang di depan kami.

“Takyah la. Aku bawak satu ja.” ujar Syah sambil mengoyak kulit pisang tanpa sempat kami berkata apa-apa.

Setelah hampir 5 minit berehat, kami meneruskan pendakian. Masing-masing dengan langkah yang semakin berat, mendiamkan diri. Hanya hembusan nafas yang kasar dan bunyi-bunyian cengkerik menemani kami.

Hampir 20 minit kami berjalan, sekali lagi Apit meminta untuk berhenti. Tercungap-cungap dia memegang lutut sambil menunduk.

“Trek ni penat la sikit. Nanti dah masuk hutan okay la. Hilang penat.” kata Syah sambil melihat jam di tangan.

“Aku jalan dulu.” Syah melangkah perlahan-lahan. Akim dan seorang kawannya mengikut dari belakang. Kumpulan perempuan muda tadi memintas kami.

“Macam mana Apit? Okay?” tanya Adi sambil duduk mencangkung.

“Sat. Bagi aku ambik nyawa dulu.” Apit menjawab. Nafasnya berat. Seakan baru menamatkan perlumbaan lari.

Hati aku mulai tidak sedap. Terasa seperti ada yang memerhati. Aku menyuluh sekeliling. Sekadar berjaga-jaga. Apit bangun berdiri. Menandakan dia sudah bersedia untuk meneruskan perjalanan.

Aku menyuruh Adi berjalan di depan manakala aku berada di belakang sekali. Kami berjalan dengan cermat tetapi laju sedikit. Cuba mengejar kumpulan Syah di depan.

Bulu romaku mulai merinding. Menyesal pula berjalan di belakang sekali. Terasa seperti ada yang mengikut. Aku positif. Mungkin ada pendaki lain berada di belakang. Toleh tengok? Jangan harap!

Akhirnya kumpulan Syah jauh meninggalkan kami. Kami memperlahankan langkah. Mendaki secara santai. Dalam perjalanan kami banyak bergurau. Sekadar menghilangkan rasa penat dan sunyi.

Bulu romaku masih lagi tegak berdiri. Terasa semakin dekat dengan aku. Aku memberanikan diri untuk menoleh. Dengan lafaz Bismillah, perlahan-lahan aku toleh ke belakang.

Gelap. Tiada siapa. Tiada apa. Aku menelan air liur. Tapi aku diamkan hal ini. Bila fikir balik, benda ini normal. Kami berada di tempat dia. Dalam hutan. Dan bukit. Jadi tak perlu hairan kalau ada sesuatu yang mengikut sepanjang perjalanan. Cuma sebelum masuk tu, beri la salam. Jangan berniat yang tak elok.

“Agak-agak pukul berapa kita sampai?” tanya Apit.

“Taktau la Pit. Kalau kita cepat, dan (sempat) la kita tengok matahari terbit kat puncak.” jawab aku sambil memandang langit.

Penatnya bukan main lagi. Tambah pula aku ni jenis yang jarang bersenam. Berfutsal pun kadang-kadang. Nak berhenti rehat nanti jadi lama pula. Aku gagahkan diri juga sambil meneguk air. Dalam hati aku tak henti-henti salahkan diri sendiri. Kenapalah nak sangat ikut hiking di sini. Menyesal pun ada.

Tiba-tiba daun pokok di atas kepala kami bergoyang kuat. Seakan ditiup angin. Padahal tak ada angin langsung. Ramai mendongak sambil menyuluh ke sana sini.

“Suluh apa? Burung kot tu. Jom jalan. Nanti lambat pulak nak sampai puncak.” aku cuba mengajak. Tak sanggup nak berdiri di situ lama-lama. Meremang tak payah cerita la. Habis satu badan.

Ekor mataku menangkap sesuatu. Entah kenapa kepala ni sibuk sangat nak menoleh tengok. Jantungku berdegup kencang.

Di sebalik batang-batang pokok tak jauh dari kami, aku ternampak makhluk hitam besar berbulu sedang berdiri dengan kedua tangannya meleret menyentuh tanah. Matanya berkilau memandang ke arah kami. Kalau di Indonesia, makhluk ini dipanggil genderuwo. Kalau di Malaysia, dipanggil hantu raya.

Aku melangkah tanpa mempedulikannya. Biarlah. Selagi dia tak menganggu. Yang lain masih lagi bergurau di depan. Mungkin tak nampak apa yang aku nampak.

Kami sampai di kawasan yang sedikit rata. Berhampiran situ ada sebuah batu bersaiz sederhana. Kami berehat seketika di sini.

“Assalamualaikum anak-anak.” satu suara menyapa kami di sebalik batu. Kami menoleh ke arah suara tersebut.

Muncul seorang lelaki berjanggut kelabu memakai jubah putih. Berdiri memandang kami. Wajahnya jernih. Kami menjawab salam dengan sopan.

“Anak-anak mendaki ya di sini?” lelaki itu cuba beramah dengan kami.

“Ya pakcik. Kami dari Perlis. Kawan kami dah naik dulu tadi.” Apit menjawab sambil menghampiri lelaki itu. Tangannya dihulur ingin bersalam, tapi lelaki itu tidak menyambut salam dari Apit. Dia hanya membalas dengan senyuman.

“Pakcik buat apa kat sini?” giliran aku pula menyoal.

“Pakcik selalu singgah sini. Duduk-duduk. Tengok orang-orang mendaki. Kadang-kadang solat kat sini.” jawabnya sambil menunjukkan ke satu arah.

“Pakcik nak pesan sikit. Datang sini, hati-hati. Jangan suka sangat. Niat di hati kena elok. Mulut jaga. Jangan celupar. Jangan cakap besar. Jangan cakap sebarangan. Sini rumah orang. Jaga adab.” lelaki itu menambah. Senyuman tidak lekang dari bibir.

“Baik pakcik. Kami faham.” serentak kami menjawab.

“Elok la anak-anak teruskan perjalanan. Nanti tak sempat pulak sampai ke puncak.” lelaki itu masih tersenyum manis.

“Okay pakcik. Kami gerak dulu. Assalamualaikum.” kami bergerak ke depan meninggalkan kawasan itu.

“Weh. Hangpa perasan dak? Pakcik tu kata dia singgah situ. Dia naik ikut jalan mana?” Adi mula ragu-ragu.

“Dia naik ikut jalan kita naik tadi la. Mungkin dia naik awal dari kita.” jawab Apit.

“Tapi tadi kan hujan. Kalau dia naik mesti kaki dengan jubah dia dah kotoq kena selut.” Adi memandang kami. Langkah kami terhenti. Ada betulnya juga.

Aku menoleh ke belakang, ke arah pakcik tadi. Dia masih berdiri di situ. Masih memandang kami. Masih tersenyum.

“Tu ada lagi. Kalau hantu mesti takda dah.” aku menunjuk ke arah pakcik itu berada.

“Bodoh la hang ni Man. Mulut macam pungkoq kerbau.” Apit melangkah cepat-cepat. Aku menoleh sekali lagi. Pakcik tadi sudah hilang. Aku ikut melangkah cepat-cepat.

Kali ini perjalanan kami lancar. Adi di depan menyanyi-nyanyi lagu dangdut manakala aku dan Apit berbual-bual. Langkah diatur pantas dan berhati-hati. Tanah yang licin sedikit menganggu kami. Tadi aku sudah terjatuh apabila memijak akar kayu yang licin. Yang lain hanya ketawa tanpa menolong aku.

Subuh semakin mendekat. Gelap malam semakin pudar. Terdengar seekor dua burung sedang berkicau. Kami mempercepatkan lagi langkah. Masing-masing mendiamkan diri.

“Hangpa rasa Syah dengan Akim dah sampai mana dah?” tanya Adi memecah suasana.

“Dah sampai puncak la kot. Depa kan laju.” jawab Apit. Aku bersetuju dengan Apit. Mungkin mereka sedang bersantai di puncak sekarang.

Keadaan kembali sepi. Masing-masing mula fokus pada jalan di depan. Semuanya ingin sampai ke puncak secepat yang mungkin. Nafas berat dihembus. Peluh membasahi serata tubuh.

Terdengar azan subuh sayup berkumandang di bawah. Kami melajukan lagi langkah. Sedang kami berjalan, kami dikejutkan dengan kemunculan Syah dan Akim secara tiba-tiba dari semak berhampiran kami. Riak wajah mereka seakan terkejut.

“Aik? Hangpa tunggu kami ka? Kami ingat hangpa dah sampai puncak dah.” Adi hairan.

“Nanti la kami cerita. Jom kita naik sama-sama.” ajak Syah pantas. Kami mengikut dari belakang.

Hampir 15 minit baru kami sampai ke puncak. Ramai juga orang di puncak. Kami bergerak ke depan lagi. Berhampiran sebatang pokok. Di sini kami berehat melepaskan lelah.

Seketika kemudian, matahari mula menjenguk perlahan-lahan, ditemani sang kabus. Suasananya sangat indah. Siapa yang pernah mendaki gunung ini pasti tahu pemandangannya macam mana. Aku dapat melihat puncak Gunung Pulai yang berada berhampiran. Kami berganti-ganti mengambil gambar selepas menunaikan solat subuh.

Pemandangan yang disajikan sangat indah sehingga kami tak terasa masa berlalu. Aku tarik balik kata-kata yang aku menyesal datang tadi. Baru aku tahu kenapa orang suka mendaki bukit.

“Pasai tadi tu, hangpa pi mana? Sepatutnya hangpa sampai puncak dulu la kan?” tanya Apit sambil mengunyah biskut Marie perisa kopi.

“Akim la ni. Mulut macam apa entah.” Syah membalas sambil menghembus asap rokok. Akim hanya tersengih.

“Ada ke patut dia tanya pernah kena kacau dak selama hiking kat sini. Lepas dia tanya tu terus sesat.” asap rokok dihembus lagi.


“Weh. Hang pasti jalan ni?” tanya Akim dari belakang.

“Aku rasa ni macam jalan baru. Tengok ranting-ranting patah kat tepi ni. Ada orang lalu ni.” Syah terus melangkah. Akim dan kawannya mengikut rapat dari belakang.

“Syah! Apa benda tu?” Akim dengan separa terkejut menyuluh di hadapan mereka.

Jalan yang mereka lalui itu membawa mereka ke pokok-pokok buluh. Terdapat buluh patah sehingga membentuk huruf X.

“Kita dah silap jalan dah ni. Jom patah balik.” Akim memberi cadangan. Syah pantas berjalan di hadapan.

“Hangpa tak rasa ka suasana sunyi? Sunyi lain macam ni.” kawan Akim bersuara. Mula gusar.

“Ah takda apa la. Jalan ja. Buat taktau.” Akim melangkah pantas.

“Rasanya kita dah kena main ni. Hangpa tak perasan batu besaq tu? Bila kita jalan asyik jumpa batu tu ja.” Syah menoleh ke arah mereka berdua.

“Macam mana ni weh?” Akim cuak.

“Takpa. Kita terus jalan. Lagipun dah nak azan subuh dah ni.” Syah melihat jam di tangan. Perjalanan mereka diteruskan sehingga la azan subuh dilaungkan.


“Lepas tu kami jalan, redah semak, jumpa hangpa.” Syah bangun berdiri. Merenggangkan kaki. Kami hanya mendiamkan diri.

“Atas batu tadi tu, aku nampak ada orang tua. Pakaian dia lusuh gila. Sambil dok tengok kami. Aku buat tak nampak ja la.” Akim bercerita. Mukanya serius. Sekali lagi kami mendiamkan diri.

“Dah pukul 8 lebih dah ni. Jom turun. Lambat turun nanti panas pulak. Matahari atas kepala.” Syah mula bergerak untuk turun.

Bungkusan biskut Marie yang masih ada beberapa keping lagi kami berikan kepada pendaki yang lain lalu bergerak mengikut Syah.

“Nanti aku ingat nak naik Bukit Tok Din pulak. Sapa nak ikut?” Syah menoleh ke arah kami.

“ON!” kami menjawab serentak.

–TAMAT–

HANTAR KISAH ANDA: fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]
Dikmang

2 thoughts on “Gurauan Gunung Baling”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.