Assalamu’alaikum reader semua. Alhamdulillah, terima kasih kepada admin kerana sudi post kan cerita yang aku akan kisah kan di bawah nanti.
By the way, aku Bruneian (dulu pernah pegang IC Malaysia sampai umur 15 tahun, ayah aku Sarawakian dan Mak aku Brunei. Aku lahir di Brunei, hihi) dan cerita ini adalah mengenai pakcik aku (cousin ayah) yg ketika itu masih budak lagi dalam lingkungan 10 tahun. Cerita mengenai pengalaman dia sewaktu ayahnya membawa masuk ke dalam hutan untuk memotong kayu. Kejadian ini berlaku di Trusan, Sarawak bersempadan dengan Daerah Temburong, Brunei. Tanpa membuang masa kita terokai dan ambil iktibar dari cerita ini. ‘AKU’ di dalam cerita ini adalah pakcik aku…..
*******
Masa ketika dulu ayah aku kerjanya disamping menjadi nelayan, dia juga mengambil kayu di hutan untuk membuat rumah atau perabot kayu. Pada waktu itu terlintas difikiran ayah untuk mengajak aku masuk ke hutan. Sudah menjadi tabiat orang lama, mengajar anak sedari kecil, melentur buluh biar dari rebungnya.
Selepas subuh ayah kejutkan aku untuk keluar ke hutan. Kami ditemani oleh seorang lagi jiran aku sebaya ayah namanya Pak Din. Ayah dan Pak Din sudah bersiap-siap membawa kelengkapan untuk ke hutan dan aku hanya membawa bekalan yang emak bekalkan untuk kami berupa kopi, nasi, ikan masin dan pizza hihihi. gurau sikit bukan pizza tapi kuih sapit. Kami pun masuklah ke dalam hutan dalam keadaan yang sedikit gelap dan sejuk. Meredah semak, duri dan ranting-ranting pokok yang berjuntaian adalah pengalaman pertama aku. Sesudah sampai di dalam hutan yang tebal itu, ayah cuma menyuruh aku duduk dan menunggu di bawah 1 pokok yang agak besar. Kemudian ayah dan Pak Din memulakan kerja mereka tidak jauh dari tempat aku duduk. aku yang masih lagi dalam keadaan letih, maklumlah pertama kali meredah hutan tebal, lalu aku pun terlelap di bawah pokok tu. tapi memang aku terasa baru saja terlelap, tiba-tiba ‘ayah’ kejutkan aku dan mengajak aku untuk balik tanpa melihatkan wajahnya dan aku sangat pasti yang itu adalah ayah kerana zahirnya, bentuk badan dan gaya percakapan yang memang ayah aku. Aku yang dalam keadaan mamai dan heran pun bertanya kepada ayah..
“ehh mana Pak Din, pa?” (Ayah, Mana Pak Din?)
“inda apa tu mulihtah kitani saja dulu.” (Takpe, kita balik je balik dulu) kata ‘ayah’.
Aku pun ikutlah ‘ayah’ yang beriya mengajak pulang. Tapi dalam perjalanan tu, aku merasa amat pelik kerana macam sudah tersedia jalan lapang dan bersih dari daun-daunan. Sedangkan pada mulanya kami datang tadi punyalah susah meredah ranting, duri dan akar pokok. Lantaklah dalam hatiku, mungkin ini jalan keluar yang lain.
Sebenarnya yang menyerupai ayah aku ni adalah hantu hutan. Memang glamour dikalangan tentera yang selalu masuk hutan terjumpa dengan hantu ni. Hantu ni memang sempurna menyerupai orang yang hantu ni nak serupai. Tapi dia cuma tiada lekuk di antara hidung dan mulut. Jadinya hantu ni memang tidak akan menunjukkan mukanya dari hadapan. Kerjanya memang hanya ingin menyesatkan orang yang masuk hutan.
Ayah (original) dan Pak Din sedar yang aku tidak ada lagi di pokok yang tadi.
“ia udah ni, kana bawa laritah ni. Baiktah kitani cakah menuntuti Din.” (Tak syak lagi. memang ‘dia’ lah yang bawa lari ni. Baik kita cepat kejar Din.)
Ayah dan Pak Din berdoa serta bertawakal dan mula menjejaki aku mengikut firasat ayah je. Kerana memang ketika itu ayah tidak terlihat kesan jejak kaki langsung.
Aku yang sedari tadi ikut berjalan di belakang ‘ayah’ ni pun berasa lapar. Aku pun katalah kat ‘ayah’….
“Pa, bulih kitani berehat skajap kah? lapar parutku sudah. makan kitani dulu yang mama batakan tadi pagi ah.” (Ayah, kita rehat kejap boleh? perut aku dah lapar, kita makan bekal yang emak bekalkan pagi tadi) kataku.
“Bah menyiringtah kitani dulu.” (ok kita rehat kat tepi ni lah) kata ‘ayah’ tanpa memandang aku.
Aku yang mula hendak duduk ni terpandang 1 pokok rendang, akarnya seakan-akan kerusi.
“ehhh pa. baik pulang duduk di sana tu, bisai ada macam kursi.” (Ayah kita duduk kat sana. senang sikit nak duduk, macam kerusi) aku mencadangkan kepada ‘ayah’.
“uiiii kenapa kau sabut tu dalam utan!! inda kuasa bah.” (hoii, kenapa awak sebut benda tu dalam hutan, tak boleh!)
Aku tersentak kerana ‘ayah’ meninggi suara kepadaku. Mungkin benar benda tu tak boleh sebut dalam hutan, bisikku yang masih mentah tentang dunia.
Aku pun mulalah menjamah makanan yang dibekalkan untuk kami. ‘Ayah’ juga memakannya, tapi dalam keadaan tu aku tidak mensyaki apa-apa walaupun ‘ayah’ tidak melihatkan wajahnya. Tak sangka jugak hantu boleh makan ikan masin, hihi. Selesai kami menikmati bekalan tadi, tanpa membuang masa, ‘ayah’ pun memberi isyarat untuk kami meneruskan perjalanan. Seperti biasa, jalan yang kami lalui begitu teratur dan bersih layaknya seperti track basikal dalam hutan.
Di situasi yang lain, ayah dan Pak Din gigih menjejaki aku yang diandaikan sudah jauh masuk ke dalam hutan, tanpa menghiraukan penat dan luka-luka akibat geseran duri dan ranting kayu. Tapi malangnya belum juga ternampak akan kelibat diriku. Ayah hanya mampu berserah kepada Allah agar aku selalu dalam lindungan Nya.
Aku merasa agak terlalu lama sudah berjalan tapi belum sampai juga keluar hutan. Aku bertanya kepada ‘ayah’ tapi ‘ayah’ hanya mendiamkan diri sambil berjalan di hadapan ku. Lama- kelamaan ‘ayah’ pun membuka mulut bertanya pula kepadaku…
“Apa yang kau pakai di tangan mu atu?.” (Apa yang awak pakai kat tangan awak tu?)
“Galang jua ni pa, yang mama bagi arahku, batah jua sudah ni ku makai. Nya mama jgn di pakai tempat kamah2 saja.” (Ini gelang yang emak bagi, lama dah ayah. Emak cuma pesan jangan pakai di tempat yg kotor) kataku ringkas.
Gelang tu cumalah gelang perak biasa, bukan tangkal, azimat atau yang sama species dengannya. Cuma gelang itu ada tertulis kalimah ‘Allah’ dalam tulisan jawi. Sebab tu emak pesan kalau masuk ke dalam tandas atau tempat kotor, aku harus membukanya dulu.
“Baiktah kau buka tu! inda baik tu dipakai. buka tia lakas!” (lepas gelang tu. Benda tu tak boleh dipakai. Cepat buka!) kata ‘ayah’ dengan nada yang agak menakutkan.
Aku turut saja apa yang ‘ayah’ suruh kepadaku. Maklumlah aku masih kecil dan jahil tentang keadaan yang aku alami ketika itu. Aku pun mencuba melepaskan gelang itu dari tanganku. Tapi pelik, gelang yang mudah aku lepaskan ketika hendak mandi atau ke tandas itu, tidak boleh aku keluarkan dari tangan sama sekali. Aku tetap terus mencuba tapi masih tersangkut di pergelangan tanganku sambil ‘ayah’ terus membebel untuk aku melepaskan gelang itu.
Di situasi ayah dan Pak din, dengan izin Allah jua, tidak jauh dari mereka berjalan, mereka ternampak aku yang berdiri di depan pokok sambil memegang tangan. Tanpa membuang masa ayah berlari tanpa memperdulikan semak semun hutan lagi. Ayah mendekatiku dari belakang dengan pantas terus menarik belakang baju ku dan memeluk. Kemudian ayah bersuara…
“antu tu yang kau ikut ah!!.” (yang awak ikut tu hantu!) tegas ayah kepadaku.
Aku tersentak seperti aku baru sahaja bangun dari mimpi. Aku melihat ‘ayah’ yang berada di depanku sudah tidak ada lagi. Aku menoleh di sekelilingku, ia kembali semak dan seperti tiada tempat untuk ku hendak berdiri. Jalan yang lapang ku lihat tadi juga hilang dari pandangan.
Selepas kejadian itu kami pun betul-betul tersesat. Hampir 3 minggu kami berada di dalam hutan. Pihak Polis Sarawak membantu mencari kami atas laporan keluarga, kami sudah lama tidak balik. Dengan kerjasama Pihak Polis Brunei, akhirnya kami dijumpai di dalam Hutan Brunei. Sungguh tidak disangka penangan hantu hutan, sampai begitu jauh kami tersasar disebabkan olehnya. Setelah itu kami pun dikembalikan ke kampung halaman oleh pihak Polis Brunei.
*******
Sebagai penutup di sini, kejadian ini benar-benar terjadi tanpa tambahan atau rekaan. Kita ambil iktibar dan pengajaran dari cerita ini. Sesungguhnya apa yang dikehendaki oleh Allah, itulah yang terjadi. Walaupun hanya secara spontan terucap perkataan ‘kursi’ (Brunei sebut kursi untuk kerusi) pun sudah cukup untuk menggentarkan syaitan. Apa lagi jika menghayati isi kandungan ‘Ayat Kursi’ yang sangat mulia. Dan mengenai gelang tadi, serius ianya bukanlah sebagai azimat. Itu hanyalah sekadar perhiasan yang sengaja di ukirkan nama ‘Allah’. Memang tidak mempunyai kuasa apa pun. Tapi dengan izin Allah jua, ia menjadi benteng terakhir untuk pakcik aku yang hampir hilang disesatkan. Hasbi Allahu Wa Niqmal Wakil, cukuplah Allah bagiku Dia lah sebaik-baik pelindung. Terima kasih kerana sudi membaca kisah ini, dan minta maaf kalau tidak seram dan gaya penulisan yang tidak memenuhi citarasa. Aku bukanlah seorang penulis yang baik. Pesanan terakhir, tengok-tengok orang di sebelah anda, takut takda lekuk kat atas bibir. hihihi. Assalamu’alaikum
HANTAR KISAH ANDA: fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI