Hantu Langut, Ular mulut Itik dan Tenggelung

#Nurhan: Hantu Langut

Dengan tanjak Sekelongsong Bunga kemas di kepala, melihat lipatan pun sudah tahu bahawa siapa empuya diri. Bajunya ada sulaman emas, ada dua lapis baju yang dipakai. Baju di luar seolah-olah kod tebal yang dipakai oleh orang zaman sekarang, Cuma kainnya daripada tenunan songket benang emas. Dia bukan pemuda biasa, bukan orang kebanyakan. Dia seorang putera raja. Kulitnya putih, segak wajahnya, kerana ibunya adalah orang berdarah siam yang berkahwin dengan ayahanda.

Langkahnya kemas teratur, jalan penuh gaya sambil tangan memegang keris yang kemas berada di sebelah sisinya. Sudah enam purnama dia pergi berguru di negeri jiran. Tiba-tiba sahaja dia mendapat utusan bahawa ayahanda sedang gering. Para dayang dan pegawai besar memberi hormat sebaik sahaja dia melangkah ke kamar ayahanda. Wajah bonda kelihatan gusar. Tubuh ayahanda terbaring lemah di atas peraduan. Segala pawang yang ada di pelusuk negeri datang. Semuanya berkata perkara yang sama.

“Ampun tuanku, baginda gering kerana terkena. Hanya hati mergas putih sahaja yang mampu menawarkan segala sakit dan bisa.”

Putera merenung wajah ayahanda yang sedang beradu, wajah yang berkerut menahan sakit. Hati sang anak berduka. Dalam masa tiga hari sahaja ayahanda gering, tetapi tubuhnya sudah mulai kurus kering seperti sudah lama dia menanggung beban sakit. Penawar yang di katakan oleh para pawang lansung mustahil untuk di dapati. Mergas putih, mungkin cuma dongengan sahaja. Dia sendiri tidak pernah melihat. Jika wujud sekalipun mungkin mergas itu milik alam lain.

“Ampun tuanku, patik bercadang supaya menghantar beberapa orang kita pergi mencari sang mergas putih di hutan belantara sana.”

Putera diam, memandang ke arah tingkap, nun jauh di sana terdapat hutan tua yang berusia beratus tahun lamanya. Tiada siapa pernah pergi ke sana. Hutan itu terlalu tebal, entah ke mana penghujungnya. Ada yang kata penghujung ke alam Bunian. Banyak makhluk durjana hidup di sana. Hanya yang kuat ilmunya mampu pulang dalam keadaan selamat.

“Baiklah, esok selepas subuh, bersiap sedialah orang-orang yang mahu pergi. Biar beta juga turut sekali.”

“Ampun tuanku..di sana, Hutan Belantara itu terlalu bahaya untuk tuanku.” Mamanda bersuara, tapi tergagap-gagap. Barangkali hatinya juga takut. Jika sesuatu terjadi kepada Putera. Sudah lah Raja mereka pun gering.

“Untuk apa beta belajar segala ilmu, jika tidak mampu berusaha demi ayahanda beta?”

“Anakanda, bonda bimbang kamu di apa-apa kan nanti.”

“Bonda, restuilah anakanda, demi penawar ayahanda.”

Semua pegawai dan pawang di dalam kamar diam memandang satu sama. Tidak berani membantah. Bonda pula berbelah bagi. Jika putih kata Putera maka putih lah, jika hitam katanya maka hitam lah. Tiada siapa boleh membantah.

Esoknya kokokan ayam pun berbunyi, menandakan bermulanya hari baru. Seusai subuh Putera dan pengikutnya bersiap sedia mahu pergi ke Hutan Belantara. Maka bermulalah perjalanan mereka. Dengan membawa harapan yang besar demi Raja tercinta.

Mergas-mergas bersahutan. Mawas-mawas juga sayup kedengaran. Daripada jauh kelihatan ada seorang lelaki tua menuju ke arah mereka. Lelaki itu tidak memakai baju. Cuma bercawat. Di belakangnya ada bakul yang dianyam dengan rotan. Lelaki itu berhenti di hadapan mereka. Diam tanpa kata. Merenung setiap inci wajah mereka yang ada. Kemudian berkata sesuatu dalam bahasa yang tidak di fahami. Mujurlah ada seorang pengikut Putera itu memahami bahasa orang asli itu.

“Kamu semua, ingat.. ini hutan di diami oleh makhluk-makhluk purba dan nenek moyang kami dari zaman dahulu lagi. Jangan sesuka hati menebas hutan atau m******h haiwan di sini. Jangan membuat onar. Kelak padah kamu.” Ujar orang asli dengan nada kasar, dalam bahasa yang tidak di fahami dan kemudian di terjemah oleh seorang pengikut Putera.

Orang asli itu kemudian hilang di sebalik celahan daun tanpa sempat Putera bertanya. Lalu mereka pun meneruskan perjalanan dengan berhati-hati. Sambil memandang setiap inci pokok di situ. Daun-daun milik pokok-pokok ini semuanya berwarna hijau gelap, lain benar warnanya dengan pokok-pokok di kampung, mungkin kerana tidak mendapat cahaya matahari yang cukup. Akarnya juga lebih besar daripada paha manusia, melilit dan mencengkam tanah. Sesuailah dengan usianya dari beratus tahun.

Dari atas pokok, tanpa mereka sedar ada mata sedang memerhati. Menunggu masa dan peluang sahaja. Pasti ada korban yang akan dipilih daripada 11 orang pemuda itu. Selepas beberapa lama berjalan, mereka masih gagal bertemu mergas putih. Habis badan lenguh dan letih. Maka duduklah mereka merehatkan diri. Hanya Putera masih gigih mencari. Selepas meneguk air daripada bekas buluh dia meninggalkan pengikutnya di situ. Dia berjalan ke depan.

“Tuanku..”Salah seorang pengikutnya memanggil.

“Kamu semua rehat saja, beta masih belum rasa lelah. Carilah beta di depan sana ya.” Sambil jari menunjuk ke arah depannya, lalu melangkah pergi. Hilang dari pandangan mereka.

Putera melangkah, tanpa dia sedar dia makin ke dalam, menjauh daripada kumpulannya. Dia melangut mencari mergas putih. Tiba-tiba dia terhenti. Rasa pedih di paha. Ada sedikit d***h. Rupanya paha terkena duri pokok. Tanpa sedar dia menebas pokok itu lalu melangkah pergi. Terlupa akan pantang yang disebutkan oleh orang asli tadi.

Hari berganjak malam. Mereka masih berjalan mencari. Tetapi kali ini bukan mencari mergas putih tetapi mencari Putera mereka yang menghilang. Suara mereka bergema di dalam hutan. Namun Putera masih tidak menyahut. Khuatirnya hati. Bagaimana mahu memaklumkan kepada orang istana nanti?

Setelah genap tujuh purnama

Mereka masih belum bertemu dengan Putera. Ajaibnya Raja sekelip mata terus pulih daripada penyakit selepas beberapa minggu kehilangan Putera. Raja dan permaisuri, sudah banyak kali mereka mencari putera kesayangan. Namun tetap gagal walaupun membawa bersama pawang yang hebat.

Sementara itu.

Kakinya langsung tidak penat berjalan. Langkah dan terus melangkah tanpa henti dan rehat. Wajahnya cuma melangut ke atas, tidak sekalipun dia menoleh atau memandang ke bawah. Seolah-olah boneka sahaja. Berjalan sambil melangut. Jambangnya juga memenuhi wajah. Pakaiannya tidak terurus, terkoyak sana sini kerana terkena duri. Putera kini seolah-olah dimasuki semangat jahat. Tubuhnya mungkin sudah di ambil alih sepenuhnya. Matanya berwarna putih, kosong tanpa kornea. Mana-mana mawas ataupun mergas yang terbang atau hinggap di atas pokok pasti akan lenyap hingga tertinggal tulang jika dilihat oleh mata milik Putera.

Kini tinggallah Putera di dalam Hutan Belantara menjadi salah satu makhluk mengerikan dengan gelaran hantu langut. Demi mencari penawar, akhirnya dia terkorban. Semua benda yang dilihatnya pasti akan m**i hingga tertinggal tulang sahaja.

Selepas ini sesiapa yang berada di hutan hati-hati jika berada di atas pokok, takut juga hantu langut melihat kamu. Bagaimana rupanya sekarang ini? Selepas beratus tahun menjadi hantu langut.

Cerita kedua : Tenggelung

Hujan renyai-renyai, hari sudah pun bertukar senja. Budak-budak yang bermain di luar sudah pun pulang ke rumah masing-masing. Bagi orang islam, mereka percaya ketika senja banyaklah syaitan dan jin keluar bersama keluarga mereka. Ada yang terbang dan ada yang berjalan. Berpesta dan bersuka ria, mencari makan dan mungkin juga mengusik manusia. Ludin masih degil, senja-senja lah dia akan keluar, tidak kisah dengan cerita orang-orang tua bahawa jangan keluar ketika maghrib. Dia memandang kiri dan kanan. Menunggu kelibat kawan-kawan yang masih belum sampai. Sambil itu dia meletakkan tembakau dan kemudian menggulung daun rokok di tangan. Waktu ini masih tiada lagi rokok buatan kilang yan berjenama seperti Dunhill. Semuanya jenama buatan tangan sendiri. Waktu ini juga tiada lagi budak-budak muda melepak dengan motosikal, yang kaya sikit sahaja ada basikal tua yang tinggi seat nya.

Ludin pun apa kurangnya. Dia juga diberi gelaran hantu oleh orang kampung. Gengnya pula diberi gelaran anak-anak Jemuan, gelaran untuk budak-budak nakal. Selalunya Ludin dan kawan-kawannya akan melepak di tepi jalan kampung. Di situ ada pondok kecil yang tiada dinding. Di belakangnya ada sawah terbiar milik arwah Tok Kudu. Mereka sengaja duduk di situ, kerana tahu anak-anak dara kampung akan melalui jalan itu untuk ke masjid. Saja mereka suka menyakat.

Dia mendengus. Hari ini kawan-kawannya lambat pula muncul. Tak akan percaya pula dengan cerita Mak Cik Ton tempoh hari? Kali ini sunyi pula. Hujan renyai-renyai masih belum berhenti. Angin lembut dan sejuk sesekali memeluk tubuhnya yang kering. Terketar-ketar Ludin. Mengharap haba rokoknya itu boleh memanaskan badan.

Tiba-tiba ada Ludin perasan sesuatu. Bunyi katak makin lama makin kuat. Riuh, seolah-olah katak ini sedang berpesta hujan. Tetapi makin lama bila diamati betul-betul, katak itu kedengaran seperti ketakutan. Ludin mula rasa seram. Dia memandang kiri dan kanan. Syukur tiada apa-apa muncul. Hinggalah ada bunyi seperti orang berjalan meranduk air sawah di belakangnya, di selang seli dengan bunyi katak bersahutan gelisah.

Terketar-ketar lututnya tatkala Ludin menoleh ke belakang. Ada satu cahaya jingga. Bila di amati seperti kepala orang berserta isi perut yang terburai. Benda itu menangkap katak lalu menyuap ke dalam mulutnya dengan lahap tanpa perasan dengan kehadiran Ludin.

Berlarilah Ludin tidak cukup tanah. Benarlah cerita Mak Cik Ton.

“Hati-hati ketika hujan takut kau demam dek terkejut melihat Hantu Tenggelung yang sedang mencari katak. Hantu Tenggelung asalnya orang lelaki yang tersalah menuntut ilmu.” Terngiang-ngiang suara Mak Cik Ton dalam kepalanya.

Esoknya heboh satu kampung, Ludin demam terkejut jumpa hantu tenggelung.

Cerita ketiga : Ular mulut itik

Hujan memanjang selama tiga hari. Air bah pun naik separas lutut. Habis tingkat bawah rumah Kakak saudara Pikah di tenggelam air. Nasib baiklah masih ada tingkat atas, dapatlah mereka duduk di situ sementara menunggu air bah surut. Pikah anak orang miskin, umurnya masih muda. Jika berada di zaman sekarang mungkin Pikah tengah bergelut dengan SPM Sijil Pelajaran Malaysia. Disebabkan kakak saudaranya itu baru melahirkan anak (dalam pantang), Pikah disuruh emaknya untuk menemani dan menjaga kakak saudaranya itu.

Anak dara dulu berbeza seperti zaman sekarang. Umurnya muda belasan tahun tetapi sudah pandai buat kerja dapur, sudah di wajibkan tahu semua ilmu di dapur. Selalunya ada yang sudah dinikahkan bila jumpa calon yang sesuai. Pikah pula anak yang lurus bendul. Masih tiada calon yang sesuai. Jika ada lelaki yang bertandang, pasti bertempiaran lari masuk ke dalam dapur, menyembunyikan diri.

Selesai sahaja masak, tiba-tiba sahaja perut Pikah memulas. Dia memandang ke arah tandas mereka di tepi sungai. Mujurlah tandas itu kedudukannya tinggi maka tidaklah tenggelam dengan air bah. Jika mahu ke tandas itu, Pikah perlu berjalan di titi kecil buatan abang saudaranya. Titi itu bersambung dengan tingkat dua dari rumah mereka.

Rumah dulu juga berbeza dengan zaman sekarang, tandasnya terasing jauh. Andai malam menjelma yang penakut hatinya mungkin akan menahan niatnya hingga ke esok pagi sahaja. Tapi hari itu siang. Matahari sudah memacak di kepala. Cuma sedikit suram, dek terlindung pokok hujan (awan mendung). Hujan masih ada sisa-sisa rintik.

Sedang Pikah meniti titi, kedengaran bunyi itik berbunyi. Sayup-sayup kedengaran. Dia biarkan sahaja bunyi itu. Walaupun dia pelik, dari mana itik datang, sedangkan kakaknya tidak membela itik atau ayam. Selesai Pikah melaksanakan hajatnya, dia sempat meninjau air sungai dari beranda yang bersebelahan tandas. Di situ juga ada sebatang pokok yang dahan nya mencapai lantai beranda.

Leka memandang air sungai yang mengalir deras. Bunyi itik semakin kuat mendekati. Pikah mencari di sekelilingnya namun tiada seekor itik pun kelihatan. Tiba-tiba matanya tertangkap ke arah dahan pokok. Ada seekor ular kecil bermulut itik, ular itu berbunyi sambil meniti dahan pokok, menuju ke arahnya. Tatkala sampai ke beranda, ular itu makin bising berbunyi dan mengejarnya. Berlarilah Pikah menyelamatkan diri. Mujurlah ular pelik itu tidak mengejarnya tatkala Pikah sampai ke rumah.

Tetapi sekali lagi, pada petang itu. Pikah terlelap di dalam bilik kakak saudaranya. Jendela kayu di dalam biliknya tinggi dan luas. Kerana masih awal petang Pikah membiarkan jendela itu terbuka. Sejuk sedikit bila angin masuk ke dalam. Apabila anak dara itu memandang ke luar jendela, Pikah terbangun. Telinganya mula menangkap bunyi bising yang sama ketika tengah hari tadi. Ular mulut itik duduk di atas dahan pokok berdekatan jendela bilik.

Pikah memanggil kakak saudaranya yang tidur. Namun wanita itu nyenyak tidur bersama anaknya hingga tidak dengar suara Pikah memanggil. Ular itu cuba mendekati ke arah jendela. Cepat-cepat Pikah bangun dan menutup jendela bilik.

Malam itu dia cerita segalanya kepada abang saudaranya. Abangnya Cuma tersenyum.

“Engkau itu lurus bendul, itu sebab dia pilih engkau melihatnya. Barangkali dia mahu beri kau harta.” Ujar abang saudara.

“Sayang seribu kali sayang, kau melarikan diri pula Pikah.” Kakak saudara.

Pikah diam seribu bahasa. Masih tidak percaya. Teringat cerita ibunya. Ular mulut itik, bukan ular biasa. Tapi datangnya dari alam ghaib. Menjadi pelindung kepada seekor ular yang sangat kecil yang di panggil puteri. Jika bertuah, ular itu akan memberi kekayaan kepada orang yang menjumpainya.

Apa pun, tiada apa yang mustahil di dunia ini. Banyak lagi perkara yang kita tidak tahu,. Bagi Pikah rezeki itu milik Allah dan Allah yang berhak memberi rezeki bukan makhluk lain.


Assalamualaikum aku Nurhan. Sebelum ni ada kongsi cerita pasal Hantu Pak Tonggek dan Hantu Pak Aji Makan Hidung. Segala cerita ini aku dengar dari nenek aku yang suka bercerita dekat aku masa aku kecil dulu. Sengaja nak kongsi dengan korang, dalam masa yang sama boleh tingkatkan lagi kemahiran menulis aku, mana nak tau satu hari boleh jadi penulis novel..huhuhu, berangan memanjang. Untuk hantu tenggelung tu bukan hantu penanggal. Nenek aku cakap dia orang laki yang salah tuntut ilmu, lalu bila hujan dia akan jadi tenggelung untuk cari katak. Ayah aku pun pernah jumpa, dia ada cahaya panjang warna jingga. Tapi selalunya tenggelung tak kacau orang pun. Dia kacau katak je..haha.. okey sampai disini. Moga terhibur dengan cerita ni dan maaf cerita aku ni memang tak seram. Ada hari aku tulis lagi. Sekian.

Next cerita..
-Kembar Naga
-Mambang Kuning
-Jin kelawar

#Nurhan:Hantu Langut

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

13 thoughts on “Hantu Langut, Ular mulut Itik dan Tenggelung”

  1. ayah saya pernah juga cerita pasal ular itik..sesiapa yg terjumpa dengan ular itik ni kemudian masak dan makan org tersebut akan peroleh kekayaan..sesiapa terbau akan masakan ular itik ni pon akan tempias jugak dapat kekayaan…

    x pasti kesahihan kisah ular itik ni…dongeng atau pon memang betul ada..tp org dulu2 memang percaya ayah saya cakap…

    Reply
  2. ayah sy pnh jumpa kat ladang getah 20 tahun lps…tp x pasti la spisis yg dia jumpe dia sprti yg di ceritakan d atas…ayah ckp bdn ular tu pndek je…mulut cam itik…mgkin ular betol…huhu

    Reply
  3. ular mulut itik ialah ular cinta mani. keluarga aku ade pusaka sekor ular cinta mani. dah jadi minyak. aku generasi kedua yg jaga lepas arwah ayah. tapi kami xde lah sembah atau kemenyan ular tu. sekadar letak minyak attar bagi wangi je haha. ular ni da diawet letak dalam balang. kepala die mcm bentuk itik. kulit ular ni je dan rm400 berapa cm je tah. kitorang ade sekor. agak2 bape riban leh dpt kalo aku jual yekk haha sbb xtahu guna pun. aku dan arwah ayah takut kalau ade org tersalah guna ular ni utk kepentingan diri. so kitorang decide utk biarkan je dlm almari haha. btw umur aku baru 20 tahun

    Reply
    • Waaahhh…
      Nak tengok kot ade gambar…
      Leh share kat pesbuk…
      Kot malu, leh pm pesbuk akk…
      Carik YULIE SHURIDDIN tau…
      Heheheheh…

      Reply
    • Ular tu simpan diawetkan dlm sebarang cecair atau kering gitu jer…???
      Klu kering x rosak ker klu lelame…???

      Reply
    • Betul tu dik. Ular cintamani namanye. Akak pernah baca kisah ni dalam majalah kecik seakan-akan Mastika tp memang bkn Mastika tp konsep majalah tu sama. Siap ade gambar real lg. Orang yg jumpa ular cintamani tu orang Kelantan. Masa tu lengkap dia bg alamat dan nombor telefon kalau berhajat nak berubat dgn dia.

      Reply
  4. Tak kisah la kisah dongeng ke benar ke tak. Yg penting aku terhibur dgn story ko. Asyik2 rumah berhantu, hostel angker n sihir sana sini. Sekali sekala layan story mcm ni memang best. Tak sabar tunggu next story ??????

    Reply
  5. Pernah terserempak dengan ular mulut itik…dia bergerak macam leher angsa..turun naik turun naik.

    Bunyinya mula2 seakan2 bunyi anak kucing yg sangat kuat. Lama2 bunyi cam itik.

    Dengan serta merta nya juga nampak burung warna biru bertebangan berdekatan arah ular itu pergi.

    Warnanya hijau muda..dan agak bermuncung seperti itik

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.