Hantu Tanglung

Assalamualaikum semua. Hai, dah lama tak bercerita kisah benar.

Kali ni Panda nak ceritakan pengalaman seram yang berlaku waktu tingkatan satu.

Ramai diantara kita tahu Pesta Tanglung adalah budaya masyarakat Cina dari zaman dulu lagi. Ia diraikan pada hari kelima belas pada satu bulan yang istimewa.

Tiap tahun mereka akan meraikan BULAN istimewa tersebut. Pada hari kelima belas itu dikatakan mereka akan menyaksikan bulan penuh. Terang dan cantik menghiasi langit.

Pada zaman dulu hanya Kerabat Diraja dan bangsawan saja memiliki tanglung berhias, berbagai bentuk dan cantik pula. Rakyat biasa cuma membawa tanglung kertas.

Kisah ni bermula pada waktu saya kena buat satu tanglung untuk pertandingan. Jadi, saya kenalah bertanya dengan jiran Tee Siew Fen. Saya panggil dia Fenny.

Ibu bapa Fenny agak moden dan tidak meraikan apa-apa perayaan kecil selama kami berjiran.

Contohnya perayaan Bulan Hantu/Hungry Ghost, Pesta Tanglung dan lain-lain lagi.

Petang tu macam biasa Fenny akan main badminton di depan rumah bersama abangnya. Saya pula baru balik dengan ibu dari pasaraya.

Fenny nampak saya bawa tanglung plastik berwarna merah di tangan. Masa tu saya pilih bentuk ayam. Macam-macam bentuk ada. Nanti nak tengok apa perlu saya buat. Boleh ikut contoh di depan mata. Cuma perlu tambah sedikit kekreatifan je.

Fenny berlari datang nak pegang tanglung saya. Dia puji cantik sangat tanglung saya beli tu. Rupa-rupanya dia teringin nak minta tanglung dari mak ayah dia, sejak kecik dia cuma tengok anak orang lain main. Dia pernah minta ayahnya belikan tanglung berbentuk arnab, tapi ayahnya marah. Takut rumah terbakar kalau dia cuai.

Saya pun ceritakan yang saya kena buat tanglung untuk pertandingan. Tapi tak yakin dan tak pandai. Saya minta Fenny temankan saya buat. Dia punyalah gembira, melompat-lompat memeluk saya.

Pada malam itu saya keluar untuk mencari sekotak lilin yang tercicir dalam kereta, waktu tu dah dekat jam 11 malam. Ruang tamu kami sudah gelap sebab ahli keluarga saya dah naik ke tingkat atas. Cuma ayah masih duduk di atas sofa menghadap tv.

Keluar dari perut kereta tu saya tertoleh ke rumah uncle cina di depan rumah. Rumah tu uncle Cina sewakan kepada seorang executive kilang Hitachi berbangsa Jepun. Dia tinggal seorang di rumah itu. Macam biasa, rumah itu akan menyalakan lampu di bilik atas sahaja.

Bukan nak ceritakan tentang lelaki Jepun tu. Ada sesuatu yang menarik perhatian saya di depan rumah uncle tu. Deretan tanglung kertas berwarna merah bergantungan di sepanjang tembok bawah bumbung rumah tu.

Lama saya terpegun. Mulut pun melopong melihatkan tanglung-tanglung besar dan cantik tu. Api lilin bergerak-gerak bila tanglung berayun ditiup angin.

Wahhh!!! Ni memang real tanglung klasik ni. Selalunya saya jumpa tanglung kertas guna mentol kecik. Sah-sah pakai batri atau elektrik.

Tanglung ni memang guna lilin. Cantik sangat. Menyesal pula tak bawa turun handphone masa tu. Kalau tak, boleh la snap gambar simpan buat kenangan.

Keesokan paginya waktu saya nak ke sekolah bersama ibu dan adik-adik. Saya teringatkan tanglung di rumah depan. Rasa teruja nak tengok waktu siang. Saya pun berlari keluar rumah.

Aikk?! Tanglung dah hilang? Rasa kecewa pula tak dapat nak rakam gambar. Saya ceritakan pada ibu, ibu kata mungkin orang Jepun tu simpan dalam rumah. Bimbang kalau-kalau hujan nanti habislah lunyai tanglung tu. Betul juga kata ibu.

Saya menghantar satu pesanan Viber pada Fenny, bagitahu dia tanglung Uncle Jepun tu cantik. Klasik pulak tu. Fenny pun sama ikut teruja, dia nak intai malam nanti dari bilik atas.

Balik mengaji malam tu adik saya yang muda dua tahun tiba-tiba suruh kami jalan laju sikit. Selalunya kami naik basikal ke surau, tapi basikal adik pulak tayar pancit, kami empat beradik pakat jalan kaki.

“Jom kita lumba siapa sampai rumah dulu,” adik saya ni dia pelik sikit. Dia jarang nak bercakap. Bila dia beriya suruh buat sesuatu waktu malam kami jarang nak bantah.

Sebab kelebihan dia ni mudah nampak sesuatu yang orang tak nampak. Saya kadang-kadang dapat juga peluang-peluang tu. Tapi tak sekerap adik. Hijabnya terbuka sejak umur 7 tahun.

Tak sempat nak berfikir apa, tengok- tengok dia dah lari dulu. Hampeh betul! Sebab ada adik lelaki kecik masa tu, saya pun berlari-lari kartun di belakang.

Sampai di selekoh, adik lelaki yang tak padan dengan pendeknya terus pecut lari ikut kakak yang lain. Tinggallah saya dapat nombor 1 dari belakang. Saya jalan lenggang kangkung jelah sebab selang enam rumah dah sampai rumah kami.

Dari rumah hujung tempat saya berjalan masa tu nampak tanglung-tanglung bergantungan macam yang saya tengok semalam. Tapi kali ni ada orang berdiri di luar rumah. Seorang Amoi Cina/Jepun memegang tanglung kertas berwarna oren di luar pagar. Dia berdiri menghadap ke rumah uncle Jepun tu.

Rasa seronok dapat tengok tanglung kertas lagi malam ni. Sampai rumah nanti nak call Fenny lah. Fikir saya waktu tu.

Masa sampai di depan rumah Fenny jarak saya dan kakak cantik ni cuma tiga empat meter je. Perasaan tu nak je tegur. Nak ucap HAI pun ok juga kan? Nak tanya juga kakak dah panggil uncle Jepun ke belum? Timbul juga perasaan nak pegang tanglung tu sekejap. Punyalah excited!

Tapi rasa macam berat je mulut. Bukan sebab saya pemalu. Entah kenapa ada satu aura seram tiba-tiba datang. Malam tu berangin, bukan sepoi-sepoi tapi agak kencang. Tanda-tanda sekejap lagi hujan nak turun.

Yang peliknya tanglung-tanglung yang bergantungan tu berayun tak macam ditiup angin kencang. Tanglung di tangan kakak cantik tu pun tak bergerak langsung.

Dengan pakaian ala-ala zaman ‘Dinasti Han’ tu saya anggaplah dia berbangsa Cina. Mungkin malam ini ada Pesta Tanglung bersama pertandingan pakaian tercantik. Cuba husnuzon. Walau pun perasaan berdebar tu datang berulang kali.

Saya pun membelok ke kanan, tiba-tiba dia memalingkan muka. Dari sisi tepi dia menjeling saya dengan sebaris senyuman. Mungkin dia penat menunggu dengan pakaian tebal di badan. Mesti rimas kakak ni, fikir saya.

Senyuman dia nampak sinis, macam tak friendly. Atau dia menyampah bila saya perhatikan dia terlalu lama?

Saya balas senyumannya lalu masuk ke dalam pagar . Dalam hati debar jantung ni tak dapat nak cerita, macam bunyi enjin boat nelayan. Boleh pulak masa nak buka pintu papan tu saya bayangkan kakak tu ada di belakang saya dan nak cekik leher saya. Tak tahu kenapa saya rasakan dia bukan manusia masa tu.

Lepas bagi salam, saya pun masuk. Punyalah busybody..nak juga intai dari sliding door tu. Nak tahu kakak tu dah terbang atau masih di situ.

Ohh, lega rasa. Kakak tu masih di situ. Lampu bilik Uncle Jepun tu terpadam, saya tunggu sekejap. Yes, lampu ruang tamu pula dipasang. Betullah kakak tu tunggu Uncle Jepun.

Saya mengurut dada tanda lega. Manusia saya sangkakan hantu.

Disebabkan perasaan lega tu menenangkan hati. Saya pun lupakan tentang kakak cantik bawa tanglung. Terdengar bunyi kereta Uncle Jepun tu meninggalkan rumahnya. Mereka dah pergi ke Pesta Tanglung. Saya lupakan seketika benda mengarut di dalam otak.

Selepas siap buat homework malam tu, saya ambil handphone dan cuba berchating dengan Fenny. Rupa-rupanya Fenny dah hantar mesej dalam viber sejam yang lepas. Saya terus bawa handphone berlari naik ke bilik utama. Sebab ibu ayah dan adik-adik di ruang tamu melayan National Geographic. Cuma adik ketiga berada di bilik atas.

Fenny pesan supaya saya tak tengok ke rumah depan. Saya pun baring sambil ceritakan pengalaman saya balik mengaji tadi melalui mesej. Tapi ada sesuatu yang pelik dengan mesej Fenny. Dia bagitahu malam ni dia tidur dengan neneknya sebab dia takut. Saya cuba call Fenny tapi handphonenya sudah dimatikan.

Mesej yang dia hantar lambat saya baca. Dah tidur agaknya. Begini mesej yang Fenny hantar pada saya.

1 : Jangan tengok rumah Jepun tu. Ada hantu.

2 : I demam la. Malam ni tidur bilik nenek. Takut tidur seorang.

3 : Ingat i pesan apa, u jangan tengok luar. Nanti u demam!

Ekk elehh!! Nak takut-takutkan kita pulak. Saya balas chat tersebut dan beri tahu Fenny perempuan depan rumah Uncle Jepun tu bukan hantu. Tapi belum sempat klik hantar pesanan tu, saya nampqk luar tingkap ada kelip-kelip cahaya merah kekuningan.

Sebab ditutupi langsir jadi saya anggap itu cahaya lampu brek kereta jiran. Sambil terbaring tu saya senyum-senyum memikirkan Fenny yang mungkin demam akibat terkejut nampak ‘Hantu Tanglung’. Padahal itu adalah manusia. Cuma solekan kakak tu agak keterlaluan sikit.

Keningnya berbentuk bulan sabit dan halus lukisannya. Foundationnya tebal dan putih pucat. Bibirnya nipis bergincu merah dan berkilat. Macam nak naik pentas Opera pula saya tengok. Saya teruskan menghantar mesej kepada Fenny menceritakan apa yang kami lihat itu adalah manusia berpakaian kuno dan bersolek tebal.

Sempat saya ketawakan Fenny sebab tak sangka dia penakut rupanya. Baru nak turun katil untuk ke bilik air, pandangan mata saya tertumpu pada cahaya merah kekuningan di luar tingkap. Perasaan ingin tahu tu mematikan langkah. Kali ini cahaya itu bergerak dari arah kanan ke kiri pulak.

Alamak!!! Lampu kereta atau apa ni???

Saya berlari ke cermin tingkap, langsir saya selak ke kanan, sebab cahaya tu berada di sebelah kiri. Selak punya selakkkk….Allahuakhbar!!!! Tanglung melayang dari kiri ke kanan!! Terbeliak biji mata saya masa tu.

Sebiji bentuk tanglung Si Kakak Cantik tadi. Tak sempat nak jerit terus saya berlari ke bilik adik yang hijab terbuka tu. Tak jauh pun berlari tapi nafas saya macam baru lepas lari dikejar anjing.

Saya cuba bisik ke telinga dia. Tapi dengan gaya cool and relex dia tu, dia tanya saya,

“Nampak Hantu Tanglung eh?”

“Macam mana kau tahu?”

“Kan dia ikut kita balik mengaji.”

“Apaaaaa?????”

“Boy lari tadi DIA pun ikut larilah,”

Saya terdiam lama sambil memeluk lengan adik. Padahal adik baru darjah 5. Tapi mungkin disebabkan dia dah selalu tengok makhluk-makhluk halus sejak darjah satu, jadi macam dah tak pelik.

Malam tu saya tidur di bilik adik. Gangguan tu bukan habis di bilik ibu ayah. Lepas saya pindah ke bilik adik, cahaya tu beralih ke luar tingkap bilik adik pulak. Aduuu, seram tu tak tahu nak gambarkan. Meremang bulu tengkuk dan lengan. Terasa macam DIA nak masuk dalam bilik tunjuk tanglong dia gamaknya.

Malam tu saya baca surah Al-Fatihah sampai terlelap. Saya rasa dia nak menunjukkan diri dan tanglong dia tu sebab keinginan saya terlalu kuat untuk mengetahui lebih jelas tentang tanglung dan kisah dari zaman dulu. Anggaplah ia sekadar permainan iblis yang cuba mengganggu ketenteraman kita.

Keesokan paginya, saya juga demam. Kebetulan jumpa Fenny dan ayah dia di klinik. Kami cuma berbalas senyuman. Saling faham apa yang kami lalui bersama.

Tanglung pun tak jadi nak buat dah. Cukuplah malam tu kena ganggu. Kalau saya teruskan buat…tak tahulah DIA nak kacau macam mana lagi. Taubat tak buat dah.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 36 Average: 4.7]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.