Salam semua, saya Mat Tepos mohon ampun dan maaf sekiranya cerita tidak horror dan seram, tetapi hanya berkongsi. Tq ya admin menyiarkan cerita saya kali ini yang jauh panjang berjela. Terma kasih untuk semua yang memberi kritikan dan sokongan. Wihout flower-flower:
“Apa yang hang sedang kusutkan ni?,” aku menepuk bahu Soleh yang termanggu-manggu menghadap typewritter.
Kebelakangan ini pekerjaannya kacau-bilau, serba tidak kena dan serba tidak menjadi. Sudah hampir setengah tahun aku perhatikan gelagatnya yang berubah 360 darjah tidak seperti dahulu aktif dan riang. Soleh kerap-kali mengambil cuti panjang sehingga menjejaskan prestasinya di pejabat.
“Entahlah Mat, aku nak cakap pun serba-salah,” Soleh anak kelahiran Kampar, Perak, merupakan rakan sepejabatku semenjak aku mula bertugas di Kem Batu Gajah.
“Sementara lapang ini, cubalah hang kongsi sedikit masalah, jangan dipendam nanti melarat Soleh,” aku cuba mencuri perhatian Soleh yang masih merenung lembaran dokumen diatas meja. Jam didinding menunjukkan hampir pukul 6 petang, keadaan sunyi di kantor hanya tinggal kami berdua sahaja.
“Baiklah, begini Mat, aku rasa aku sakit,” pendek Soleh menjawab sambil memusing kerusi menghadapku. “Sakit yang bagaimana Soleh?,” ujarku kebinggungan.
“Semenjak awal tahun Mat, dada aku ini sesak sangat, khuatir melarat, aku ke Kinrara mendapatkan rawatan,” Soleh membuka ceritanya. “Kenapa?, hang ada masalah jantungkah Soleh?,” terpegun aku mendengarnya.
Soleh hanya menggelengkan kepalanya. “Tidak Mat, laporan checkup menunjukkan aku sihat, tiada langsung masalah,” Soleh memicit dahinya yang luas.
Beberapa kudis buta tampak memenuhi pangkal lehernya ketika dia melonggarkan butang baju. “Bukan itu sahaja, kadang-kala aku jadi pelupa, sehinggakan aku lupa dimana jalan ke rumahku sendiri,” ujar Soleh merenung mataku. “Hang tahu, fikiran aku terawang-awang, sampai aku lupa apa yang hendak aku tulis depan typewriter ni,” mulutnya menjuih kearah typewriter dihadapannya.
“Fikiran aku serabut, kacau, serba tidak kena Mat, mungkin minggu hadapan aku nak pulang ke kampung bercuti atas nasihat pegawai atasan kita,” Soleh menunjukkan memo daripada pegawai atasan yang memintanya bercuti atas masalah kesihatan.
“Baiklah Soleh, begini, aku pun akan pulang ke kampung minggu hadapan, kalau hang lapang, datanglah rumah aku dikampung makan angin, musim buah pun tengah rancak,”aku menyimpulkan perbualan kami petang itu.
Musim buah-buahan tahun ini betul-betul rancak dikampungku, terutamanya durian. Kemungkinan musim hujan berlalu sebelum pohon durian galak berbunga.
Berpikul-pikul durian kampung dilonggok di sepanjang jalan masuk. Meriah. Sewaktu itu masih belum ada jenis Musang King ataupun 101, yang paling famous ialah durian Tembaga sahaja. Dirumah ayah, aku dah merasa jemu dan muak sehingga dibiar sahaja tak terusik sehingga akhir dibuat gulai tempoyak ikan darat.
Sehingga suatu lewat petang di laman rumah, aku dikejutkan dengan kemunculan Soleh dan sepupunya menaiki motorkar jenis Ford 100cc. Soleh berbaju belang mendapatkan aku yang tengah membakar jerami sambil tersenyum kelat. Aku bersalaman dengan sepupunya dan dia memperkenalkan diri sebagai Fuad.
“Maaflah Mat, aku datang menyusahkan hang sekeluarga sahaja,” ujar Soleh di atas meja makan. “Hish, susah apa, sekali-sekala tukar angin di kampung aku pulak,” aku tercuit hati dengan gelagat Soleh malu-malu kucing. “Hah, langkah kanan emak aku masak gulai tempoyak ikan darat seperiuk, jemputlah, jangan malu,” aku menjemput tetamu jauh bersama makan malam.
Fuad pula hanya menghisap rokok dihujung serambi, masih lagi kenyang ujarnya. Ayah hanya tersenyum simpul dihujung meja. Seketika, “aarrghh..minta lalu..minta lalu,” tiba-tiba sahaja Soleh mencengkam leher lalu berlari keluar rumah muntah dibawah pohon rambutan galak berbunga. Buwekkk…buwekkk..buwekkk…cepat-cepat Fuad berlari mendapatkan adik sepupunya.
Berselerak kerusi bersama sedikit kesan muntah Soleh. Emak hanya termanggu-manggu dipintu dapur. Aku berlari mendapatkan air buat Soleh. Ayah? ayah buat tidak endah menyulam nasi dan ulam sambal belacan. “Hah kenapa Soleh? Kenapa?,” aku menghulurkan segelas air dingin kepadanya. Merah padam muka Soleh disuluh cahaya rembulan membasahi tanah.
Terkuap-kuap nafas Soleh sambil mengurut dadanya yang berombak. “Entahlah Mat, panas tekak aku ni, macam mencarik-carik tali perut aku,” ujar Soleh tersekat-sekat. “Mari kita papah dia masuk, mari,” aku dan Fuad segera membersihkan muntah yang melekat dibaju kemejanya.
Ayah sempat menjeling diatas meja makan. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Emak memarahi ayah kerana memperlakukan tetamu sebegitu. Namun dibalas dengan senyuman.
“Hoi!!, jangan hang uji di dalam rumah aku, di atas tanah aku, baik hang balik sebelum apa-apa terjadi,” ayah dengan suara yang keras kearah Fuad dan Soleh. “Abang?, kenapa ni?,” emak merenung tajam ke arah ayah di kerusi meja makan.
Tidak sepatutnya tetamu jauh diperlakukan sedemikian. Tidak beradab jauh santunnya sebagai tuan rumah. Sappp..sappp..sapp..sempat aku menangkap bayang-bayang hitam melintas ditepi jendela rumah. Ayah mencebik muka sambil berdiri membawa pinggan ke dapur.
Fuad dan Soleh terpingga-pingga dengan tindakan ayah. “Mak cik minta maaflah, ayah si Amin marah-marah,” emak mendapatkan Soleh yang sedikit berang dengan sikap ayah. Fuad kelihatan tidak senang duduk. “Aku pun minta maaf Soleh, entah kenapa ayah aku.
Beginilah, dah lewat malam, tidurlah disini sementara menunggu esok pulang, hang pun tak sihat,” aku merayu kawanku agar tidak terasa hati dengan percakapan ayah tadi. “Baik kami pulang Mat, nanti hang juga dapat susah,” Soleh merenungku.
Balilk! Pulang!! Suara ayah meninggi dari arah dapur. “Ini tak boleh jadi,” aku melangkah kaki ke dapur, berang dengan tindakan ayah. Aku bukanlah budak-budak lagi untuk ayah bersikap demikian.
Aku juga ada perasaan dan harga diri tambahan didepan tetamu. “Ayah, kenapa halau kawan saya?dia mai dari jauh?,” aku sedikit meninggi suara mempertahankan kawanku. Ayah menjelingku atas bawah. “Hang ni bodoh!,” sebiji bodoh terkena didahiku. “Apa yang bodoh ayah?,” aku menjegilkan mataku ke arah ayah. “Hang bawa masuk setan dalam rumah,” ayah menunjal dahiku. Haaaaaaa…setan? fikiranku bercelaru.
“Sudah aku ajarkan, jaga tipu daya setan ini,” ayah menarik cuping telingan kiriku beberapa kali. Bagaikan tersentak daripada lamunan aku bergegas ke ruang tamu. Soleh masih berada disisi emak diruang tamu, manakala Fuad entah kemana, kemungkinan menghidupkan enjin motorkar untuk bersiap pulang.
Ayah perlahan-lahan ke ruang tamu lalu mengunci pintu dari dalam. Diselak kemas kuncinya atas bawah. “Fuad masih diluar,” ujarku perlahan. Ayah hanya berdiam diri menghampiri Soleh dan emak.
“Maafkan pak cik ya Soleh, pak cik bukan marahkan hang tadi,” ayah tersenyum. Soleh hanya mengangguk faham dan gembira. Tokkk..tokkk…kedengaran pintu diketuk berulang kali. Ingin aku membuka pintu namun ditegah ayah dengan muka yang masam mencuka.
Kemungkinan Fuad yang mengetuk pintu. “Hang duduklah rumah ni sehingga pulih Soleh, InsyaAllah pakcik tengokkan,” ayah mengenggam tangan Soleh kejap. Tiba-tiba kedengaran tok..tokkk…tokkk..pintu diketuk tapi kali ini lebih kuat. “Huh, biarkan dia ketuk pintu tu,” ujar ayah, emak pula memegang ruas lenganku kemas.
“Semua itu khayalan hang sahaja Amin, “Fuad” yang hang lihat tu tak ada disini,” ayah menepuk bahuku. “Soleh datang seorang diri, tiada yang teman,” ujar ayah memberikanku segelas air dingin yang ditawar.
“Tidak syaitan itu menyertai orang-orang Muslim yang makan dengan lafaz Bismillah,” ujar ayah lembut. Itulah “Fuad” yang duduk diluar rumah sewaktu kami menjamah hidangan makan malam. Terdiam aku seketika apabila Soleh sendiri mengatakan dirinya seorang diri ke rumahku. Tidak berteman.
Keesokkan tengah hari, ketika matahari lewat segalah, ayah pulang dari kantor seperti biasa. Namun kali ini, ayah menjinjit sebungkus plastik penuh dengan limau nipis. “Amin, hang pergi ke kedai seberang belikan aku ais sebongkah dan garam kasar,” ayah mengejutkan lamunanku di serambi.
Aku hanya menuruti permintaan ayah tanpa banyak bertanya. “Assalamualaikum tuan rumah?,” Pak Long tiba-tiba muncul diperkarangan rumah menaiki basikal tua arwah atok. “Pak Long!,” hati aku gembira melihat Pak Long dan berkemungkinan besar Pak Long baru pulang dari Selatan Thailand. “Bila Pak Long balik?,” aku berjabat tangan menyambut Pak Long yang sedang menurunkan buah durian dari pelantar basikal. “Pak Long naiklah rumah dahulu, saya nak ke kampung seberang sekejap, ayah pun baru sampai,” aku cepat-cepat menghidupkan enjin motorsikal agar sempat berjmpa Pak Long dirumah. Pak Long hanya mengangguk sambil tersenyum lebar dari jauh.
“Hang duduk dalam besen ni,” ujar ayah kepada Soleh yang berkain pelikat. Soleh hanya bertindak mengikut arahan ayah tanpa sepatah soalan. Dilucutkan baju yang menutupi badannya yang kurus keding.Kasihan aku melihat tubuhnya dihinggapi kudis buta dari pangkal leher ke belakang belikat. Keceburr..keceburrr..serpihan ais menghinggapi seluruh tubuh Soleh. Sejuknya menikam tulang sum-sum.
Menggeletar Soleh sehingga tampak urat hijau didadanya. “Sejuknya Ya Allah pak cik,” ujar Soleh gugup. Pak Long hanya tersenyum sambil melulur hirisan limau nipis diseluruh ubun-ubun dan pangkal ketiak Soleh.
“Bisanya Pak Long, aduhai sakitnya,” merayu Soleh agar Pak Long berhenti melulur tubuhnya. “Hang tahan sikit Soleh,” Pak Long bagai menarik sesuatu dari lubang ketiak Soleh. “Hah, dapat,” Pak Long cepat-cepat membungkus paku karat yang muncul didalam kain perca hitam. “Sakitnya Pak Long,sakitnya Pak Long,” Soleh tidak berhenti merintih kesakitan yang ditanggung. “Huh, hang tunduk sedikit kepala, dah banyak keluar ni,” ayah menekan kepala Soleh sambil mengibas rambutnya yang basah. Bertaburan manik-manik kristal dan serpihan kaca. “Biarkan gugur jatuh dalam besan, nanti kita buang,” ujar ayah melihat Soleh kebinggungan melihat bagaimana kaca berhamburan ditengah kepalanya.
Hahahaha, kusut masai aku perhatikan rambut Soleh akibat daripada kesan limau nipis dan garam. Raut wajahnya kelihatan kembali merah segar bugar.
Serpihan kaca, paku karat, simpulan benang dan jarum ayah kumpulkan dan tanam jauh dikebun belakang rumah. “Penatnya Pak Long,” ujar Soleh terbaring diatas tilam.
“Sabarlah, sehari dua nanti baiklah nanti,” Pak Long tersengeh sambil membantu Soleh meneguk air pinang yang ditawar. Berjela-jela air liur basi kekuningan mengalir dari celahan bibir Soleh. Betul-betul meloyakan tekak aku. “Apalah nasib aku Mat,” Soleh mengeluh sambil diurut-urut Pak Long. Burppp…burpppp..angin. “Sudah biarkanlah dia tidur dahulu, hang Amin mai sini,” ujar Pak Long. “Hang pi dekat motorkar Soleh tu, hang tengokkan mana-mana bahagian motorkar yang ada kesan calit baik distereng, tombol gear, cermin atau kusyen duduknya, sekiranya ada kesan panggil aku,” ujar Pak Long memberi arahan.
Lama juga kerja aku membelek setiap bahagian motorkar Soleh. Satu kesan pun tak jumpa. “Sudahlah, tak jumpa,” aku menutup pintu motorkar dengan hampa. “Eh, apa tu?,” aku termenung melihat 4 kesan calitan hitam dipenutup pintu motorkar Soleh. Calitan berbentuk 4 jari berwarna hitam pudar. “Pak Long mari Pak Long,” aku mendapati Pak Long dan kebetulan ayah muncul disebalik perdu pisang Nangka.
“Tunggu kita usai solat Zohor dan makan tengah hari dahulu, aku bawakan sekali pucuk ulam maman buat cecah sambal belacan,” ujar ayah membersihkan kaki ditangga sulung. Usai kami bersolat jemaah, Pak Long meminta aku jangan diusik calitan di motorkar, biar dia sendiri yang uruskan. “ Hang bagaimana Soleh?,” ayah mengalih pandangan kea rah Soleh. “Alhamdulillah pak cik, terima kasih Pak Long, baru rasa ringan kepala saya ini. Makan pun sudah tak terasa pedih dihulu tekak,” Soleh melemparkan senyuman kambing. “Hahaha baru saya dapat jamah gulai ikan darat ni pak cik, sedapnya,” Soleh mengusik sambil menambah gulai tempoyak. Emak ketawa kecil apabila dipuji sebegitu.
Usai Asar, Pak Long dan aku kembali ke motorkar Soleh. Manakala Soleh diatas rumah sedang tidur. “Ambilkan aku kain buruk dan cuka Amin,” Pak Long meminta aku dapatkan didapur. Sedang aku ke dapur, sempat aku melihat Soleh tidur, basah jeruk tikar mengkuang dengan peluh Soleh.
Aku membiarkannya. “Ni Pak Long,” aku menghulurkan kain buruk dan cuka kepada Pak Long. “Hemm..ini namanya santau Amin, bukan sembarangan calit ini,” ujar Pak Long. “Dalam telahan aku, pastinya orang yang berdekatan dengan Soleh juga, kalau lambat pasti gila atau maut,” Pak Long membersihkan calitan di penutup pintu motorkar Soleh dengan cuka.
“Aku yakin, bukan disini sahaja, mungkin dirumahnya atau ditempat kerja juga ada calitan ini,” tambah Pak Long. “Jenis sihir ini, memang ditujukan khusus kepada mangsa, dan sentiasa mengekori buruannya,” Pak Long mendengus.
Makan malam dirumah, Pak Long hanya meminta disediakan nasi putih bersama air dingin sahaja,manakala hidangan lain diminta dibiarkan diatas dapur.
Ayah hanya mengangguk faham permintaan abangnya. Maka, makanlah kami beramai-ramai hanya nasi putih bersulam air dingin malam itu. Usai berjemaah Isyak, Soleh mengadu kepalanya amat berat dan meminta izin untuk tidur.
Kesemua lampu dimatikan, dan Soleh dibiarkan tidur diruang tamu. Manakala aku, ayah dan Pak Long diserambi berbual panjang berkisar pengalaman aku bekerja di bandar. Rancak sehingga kami tidak sedar sudah lewat malam.
Prannngg..prangg..bunyi periuk berlaga dan pinggan jatuh dilantai dapur. “Biarkan, dia lapar tu,” Pak Long hanya tersenyum. Ayah pun tidak endah, asyik menggulung rokok daun mengkuang.
Kami menyambung kembali perbualan walaupun hati aku tidak setenteram angin malam. Seketika, satu bayang-bayang hitam melintas dihadapan tangga. “Abang!!,” suara emak menjerit dari bilik tidur. Cepat-cepat ayah melompat ke dalam rumah.
Soleh pula sedikit tidak berganjak dari tempat tidur. Nyenyak. “Hah, kenapa Eton?,” ayah membuka lampu sambil emak memegang kayu penyapu disisi almari. “Nuu haa..ada yang mencakar atap zink tu, abang tengokkanlah diluar,” emak mencebik muka sambil menuding jari ke arah kekuda atap. “Hish, tak ada apalah tu, tidurlah balik, abang semua diluar tengokkan,” ayah memujuk emak disamping aku melemparkan senyuman kambing.
Tercuit hati melihat gelagat emak. “Marilah kita tidur, esok kesiangan pula,” Pak Long memilih merapati dinding dihujung serambi, sejuk angin malam ujarnya.
Dalam keenakkan tidur, selang seli bunyi esakkan diluar rumah. Namun aku tidak peduli, biarlah mendayu-dayu pun, baki cuti hanya tinggal 3 hari sahaja. Tidak mungkin aku mempersia-siakan masa dikampung dan esok aku bercadang hendak punggah cempedak didusun.
“Bangun Amin, sudah Subuh,” hah, rasanya baru sekejap tadi aku lelapkan mata. Soleh sudah tercegat bersama ayah dan Pak Long untuk berjemaah. “Bagaimana Soleh? sekejap lagi kita ulang mandi lulur di anak tangga menunggu matahari naik,” ujar Pak Long. “Alhamdulillah Pak Long, baiklah nanti saya bersiap-siap,” sahut Soleh lancer, tidak gugup seperti sebelum ini. Keceburr…keceburr…bunyi air mandian ais menyirami tubuh Soleh.
Melihat Soleh mandi, aku pula yang kesejukkan. Selesai mandi, Soleh dibiarkan berjemur sehingga pecah peluh di tengah laman. Wajahnya bagai udang kepanasan, merah. Kain basahan yang digunakannya juga ditanam dibawah perdu pisang tumbuh jantung. “Mari duduk disini,” ujar Pak Long meminta Soleh duduk dianak tangga rumah. “Ingat pesanan aku, banyakkan selawat ke atas nabi dan niat membersihkan diri,”ujar Pak Long ringkas. “Hulurkan besen didepannya,” ayah meminta aku menyediakan besen. Pap..pap..pap, ruas tepus sehasta hinggap dibelakang Soleh. Buwekk..buwekk..buwek..nah, segala saki baki gulai semalam berjejeran keluar dari mulut Soleh.
Apa yang aku pelik, masih elok ikan sepat seperti tidak dihadam didalam besen. Seolah-olah, ditelan terus ikan sepat tu. Bauan tidak enak menusuk hidungku. Emak pula awal-awal melarikan diri ke dapur, membersihkan periuk yang berselerak dan mengutip pinggan yang sumbing. Semuanya ayah minta buangkan, tidak boleh digunakan lagi.
Sehinggalah segalanya berakhir dirumah, Soleh kelihatan tidak seperti 3 hari lepas sewaktu mula-mula datang kerumahku. Sewaktu Soleh hendak pulang ke kampungnya, tidak putus-putus dia mengajak ayah dan Pak Long menurutinya ke Kampar.
Namun, atas sebab tertentu ayah dan Pak Long tidak dapat memenuhi undangannya. Ada juga sedikit pemberian kepada ayah dan Pak Long namun ditolak dan ketika itu Pak Long menganggap Soleh sebagai anak angkatnya.
Menangis Soleh memeluk ayah dan Pak Long kerana besar jasa mereka membantunya walaupun saling tidak mengenali. Malahan Soleh sendiri berjanji akan selalu berkunjung ke kampungku dan akan saling berhubung khabar.
Selang beberapa hari, aku pula berangkat ke bandar kerana cuti sudah tidak bersisa dan aku pula puas bercuti dikampung. Emak juga tidak lupa mengirim oleh-oleh kepada Soleh. “Assalamualaikum Mat,” Soleh berlari anak menghampiriku di tempat letak kereta. “Eh, Soleh, hang dah sihat ka?,” aku mengusik Soleh yang tampak ceria. “Mari kita ke kantin sarapan dahulu,”ujarnya mengheret lenganku.
Kejap cengkamannya, betul-betul sudah pulih. “Aku menunggu hang balik kerja, hendak aku ceritakan perkara sewaktu aku pulang ke Kampar tempoh hari,” Soleh mengeluh. “Setibanya aku dikampung, aku berpura-pura seperti biasa mengikut pesanan Pak Long,” Soleh bercerita sambil meneguk air dingin. “Sepupu aku tenat dihospital semenjak aku ke rumah hang,” sambung Soleh. “Emak aku beritahu, sudah 3 malam dia meracau-racau, habis satu kampung datang berubat dan ikhtiar terakhir kami bawakan ke hospital,” Ujar Soleh panjang lebar.
“Tidak putus-putus dia mengulangi namaku sewaktu akhir-akhir nafasnya,” Soleh berwajah sedih. “Dialah sepupu aku yang selalu menemani aku kemana jua, malahan sewaktu aku hendak ke kampung hang, sanggup dia tawarkan diri memandu, namun aku menolak,” suara Soleh semakin kedalam membendung kesedihan. “Tetapi aku tidak sangka Mat, setelah pemergiannya, barulah aku sedar kerana tanah pusaka sekangkang kera menjadi dendam kesumat,” Ujar Soleh melarikan pandangannya daripadaku.
“Rakanku dikampung menceritakan bahawa kerap-kali sepupuku mengungkit hal pemilikan tanah pusaka dihadapannya, dia berniat hendak menjualnya separuh kepada pemaju, namun dihalang atas desakan keluargaku,” Soleh mengeluh.
“Sehinggalah dia tergamak berjumpa pawang orang Asli mengenakan keluargaku, dan berfikir akulah yang menghasut orang tua aku mempertahankan tanah itu,” ungkapnya dalam nada kesal.
“Sabarlah Soleh, hang maafkanlah Fuad, semuanya sudah terjadi dan berlalu, tidak baik kita sesame Islam dan saudara bermusuhan,” ujarku menepuk bahu Soleh yang kelihatan sugul.
“Iya Mat, aku sudah maafkan Fuad, dia baik orangnya dan sepupu aku,” Ujar Soleh sambil menghabiskan baki air. Lalu aku berdiri, menghela nafas panjang. Aku belum lagi berjumpa pegawai atasan untuk melapor diri.
“Baiklah Soleh, aku ke pejabat jumpa pegawai, nanti kita sembang panjang lagi, emak aku ada kirimkan oleh-oleh,” aku meminta mengundur diri. “Sekejap!,” pantas Soleh menyambar tanganku. Matanya merenung tajam ke arahku.
“Bagaimana hang tahu nama sepupuku Fuad?,” ujar Soleh termanggu-manggu. “Hahahaha, nantilah kita sembang, aku dah lewat ni,” aku berlari anak meninggalkan Soleh dikerusi kantin.
Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
macam biasa cerita en mat tak pernah mengecewakan..sila post kisah2 yang best lagi
Best dan mudah faham.
Bukan macam lain-lain yang hantar tu sekejap dari pandangan A, sekejap dari pandangan B, ada yang sampai dari pandangan 5 orang sekaligus, last2 pembaca yang confuse siapa yang bercerita. Ajet-ajet Ramli Awang Murshid pulak.
Best cerita.
kesian pn ye.. nk kata bodoh pn ye.. orang yg mcm ni.. santau utk org bermakna diri sendiri tempah maut..
one of the best story so far…
Sebabkan tanah ja orang bole buta mata buta hati!! DALAM HATI BERPISAH TIADA DENGAN DENGKI, sapa kena sapa tahu nak hadap
Kampar Perak? tempat tinggal saya . siapa Soleh? mungkin kenal.
Ni cerita rekaan Arwah Tamar Jalis, watak tu Mat Tepos ni tukar je..Ni memamg siri bercakap dgn jin, tulisan tamar jalis…..jalan cerita sebiji. xpaham ape motif penulis masukkan cerita ni tanpa kredit Arwah Tamar Jalis.
Perghh…….ce cite lagi kisah mcm ni… Ni bru best bca crta mcm ni.
Abg M.T punya cerita semua memang best! Semoga cepat cepat post citer lain abg M.T
Best la mcm baca novel
Best sangat!
Perghh…best sangat citer ni…..
best
Cerita M.T tak pernah mengecewakan,bukan seram dicari tetapi pengajaran dalam cerita dia yg “heavy”.. Seiring itu juga,kita dapat tgok ilmu putih org dulu2..ni amalan2 org lama..kita zaman sekarang pun kena belajar penawar mcm ni dpd ayat2 quran di campur petua2 perubatan dan pastikan berguru. Menuju akhir zaman,dijangka lebih ramai lagi yg mendekati sihir dan mangsa2 sihir..penyakit akhir zaman😥.wallahualam..
Cerita Mat Tepos ni semua dia edit dari siri bercakap dgn jin, tulisan tamar jalis…..jalan cerita sebiji. xpaham ape motif penulis masukkan cerita ni tanpa kredit Arwah Tamar Jalis. xpyh tukar2 watak la, ko copy paste je cerita tu, pastu kredit la name Tamar Jalis. Nk kena saman ke? Ni plagiat namenye. Jangan sampai keturunan dia terbaca cerita ko ni..aku da khatam da cerita Tamar Jalis, ayat sebijik2 semua aku kenal.