hanyut di tengah lautan

Terima kasih admin andai perkongsian aku kali ni dipaparkan sebab kisah aku yang ke-2 kena reject huhu, ni perkongsian aku yang pertama https://fiksyenshasha.com/__trashed-55/

Untuk pemahaman yang lebih baik, elok lah dulu baca perkongsianku yang pertama sebab kisah kali ini ada hubung kaitnya. Kisah ini adalah kisah benar dan tidak ada paksaan bagi pembaca untuk percaya atau tidak. Maaf atas penggunaan ‘aku’ dalam tulisan kali ini.

Dalam perkongsianku yang pertama, aku menceritakan mengenai pak cik aku, kali ini aku nak kongsi cerita pasal anak dia pulak iaitu sepupu aku. Aku bagi nama dia Mely. Mely dah pun berumahtangga dan mempunyai seorang anak perempuan berumur 2 tahun. Aku namakan anak dia sebagai Ana. Alhamdulillah Allah bagi lagi rezeki untuk dia mengandung anak ke-2 pulak.

Berhadapan dengan pulau Bintawlan ialah Pulau Tabawan dimana populasi pulau ini lebih banyak dari pulau Bintawlan dan sedikit moden dengen kelengkapan yang lebih baik. Jarak diantara pulau ini lebih kurang 8-9 km mengikut anggaran kasarku dan hanya melalui kenderaan laut sahaja ya. Terdapat satu kawasan antara dua pulau ni dimana arus airnya kuat dan kawasannya dalam kerana Kawasan itu merupakan laluan angin. Untuk pengetahuan pembaca juga, dibelakang dua pulau ini lah terletaknya Segi Bermuda yang ke-2 dan Mariana Trench, boleh rujuk Google untuk penerangan lanjut. Suami Mely berasal dari Tabawan, selepas kahwin, Mely dan suami menetap di Pulau ini. Kadang pakcik-ku yang datang melawat Mely dan sebaliknya.

Ceritanya bermula apabila Mely mengandungkan anaknya yang ke-2. Waktu itu bulan untuk Mely melahirkan hampir tiba. Pak cik ku datang melawat seperti biasa, dan dia mengajak Mely untuk ikut pulang bersamanya ke pulau Bintawlan supaya mak Mely boleh tolong jagakan, lagi pula, bot pak cik ku agak besar berbanding bot suami Mely yang agak kecil itu, bot pak cik ku lebih selesa serta selamat untuk keadaan Mely yang tengah sarat mengandung. Tapi Mely menolak dengan cara baik dan berhajat untuk datang bersama suami keesokan paginya pada pukul 7am. Pak cik ku cuba untuk meyakinkan anaknya kerana dia risau keadaan Mely tapi Mely tetap dengan keputusannya. Dengan hati yang berat dia pulang ke Bintawlan dengan hati yang resah. Dia pun tidak tahu kenapa hatinya resah dengan tiba-tiba.

Pada malamnya, pak cik ku semakin resah dan susah hati memikirkan anaknya. Sehingga isterinya ikut risau melihat keadaan pakcik ku. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia merasa begitu. Mungkin sebab bulan untuk Mely melahirkan suda dekat atau risau keselamatan Mely, dia merasa seolah-olah ada benda yang tidak baik akan terjadi pada Mely. Yang pasti, malam itu dia tidak mampu melelapkan mata dan terus mundar mandir. Sampaikan dia yang merupakan seorang penakut, keluar rumah malam-malam buta semata-mata untuk menenangkan diri, tidak difikirnya lagi mengenai makhluk lain.

Keesokan paginya, pak cik ku menunggu kedatangan Mely sebelum terbit matahari lagi. Namun sehingga pukul 9am, Mely dan keluarga kecilnya tak juga muncul-muncul membuatkan pak cik ku semakin risau sehinggakan tengkuknya penat meninjau ke laut untuk melihat bayang-bayang anaknya itu. Tiba-tiba datang suami Mely dari pantai dengan hanya memakai celana dalam, dalam keadaan lecun, lemah dan menangis.

“Ayahhh!! Tolong!! Mely hanyut dengan Ana Ayahhhh! Bot kami terbalik dipukul ombak di tengah laut”

Belum sempat suami Mely bertenang, pak cik ku dengan laju melompat ke dalam botnya langung menghidupkan enjin, dengan kadar kelajuan yang laju, pak cik menuju ke perairan di antara pulau Tawaban dan Bintawlan.

Pak cik ku begitu risau kerana takut anak dan cucunya hanyut di laut dalam, tambahan lagi risau akan ikan jerung yang begitu banyak di perairan itu.

Mengikut cerita suami Mely, mereka mulakan perjalan tepat pada waktunya. Namun, arus dan ombak yang kuat telah memukul bot mereka di perairan antara Tawaban dan Bintawlan sehingga bot mereka terbalik. Suami Mely sedaya upaya menyelamatkan isteri dan anaknya Ana dengan mencuba memaut tangan mereka atas bot yang terbalik itu. Bayangkanlah keadaan Mely yang sarat mengandung dengan anaknya yang berumur 2 tahun. Suami Mely mencuba banyak kali untuk menterbalikkan bot mereka namun gagal kerana dia tidak berapa mahir berenang.

“Pergilah kau berenang ke Pulau Bintawlan untuk dapatkan bantuan. Biar aku dengan Ana tunggu di sini”

Begitulah kata Mely sambil menangis dengan perasaan yang takut dan cemas. Dengan berat hati, suami Mely terpaksa turutkan cadangan Mely dengan Tawakkaltu Lillahi Taala kerana amat mustahil untuk dia membawa mereka semua ke tepi pantai dengan dirinya yang hampir tidak boleh berenang serta arus deras dan ombak yang kuat. Berbekalkan sedikit kudrat yang ada, suami Mely berusaha untuk berenang ke Pulau Bintawlan. Dia terpaksa membuka baju dan seluarnya untuk meringankan badan dan memudahkan dia berenang. Pertolongan Allah datang bila nelayan kecil menemui suami Mely yang sedang terkapai-kapai berenang. Nelayan itu membantu suami Mely ke tepi pantai dan disitu lah suami Mely berlari menuju rumah mentuanya untuk pertolongan.

Mely dan Ana yang masih hanyut di laut hanya mampu memohon dan berserah kepada Allah. Mely sudahpun tawakkal sekiranya malaikat maut menjemputnya dalam keadaan begitu. Namun hatinya tetap berzikir dan memohon pertolongan kepada Allah agar menyelamatkan anaknya Ana yang mengigil kesejukan dan ketakutan sehingga kelihatan bibir comelnya semakin pucat. Mely semakin cemas apabila dia melihat 2 sirip jerung dari jauh yang sedang menuju ke arahnya. Airmata semakin deras dek perasaan yang teramat takut dan risau akan keselamatan anaknya. 2 ekor jerung itu semakin dekat…. dan dekat…

2 ekor jerung itu akhirnya berada di depan mata. Mely melihat jerung itu cukup besar dan menakutkan. Sesiapa pun dalam keadaan Mely pasti sudah berasa takut yang amat, apatah lagi bersama anak tersayang. Nyawanya ibarat telur dihujung tanduk. Dalam keadaan takut itu Mely tidak berhenti berdoa kepada Allah untuk pertolongan. Anehnya, jerung itu hanya mengelilingi mereka, seolah-olah melindungi Mely dan Ana.

Pak cik ku terus mencari anak dan cucunya mengikut arah angin dan arus ombak. Benarlah firasatnya seorang ayah akan keselamatan anak dan cucunya pada malam semalam. Tidak dia sangka keadaan yang mencemaskan ini terjadi. Nalurinya kuat mengatakan bahawa anak dan cucunya baik-baik sahaja walaupun dia tidak berapa yakin, dan dia terus mengikut petunjuk alam untuk mencari mereka.

Mely dan anaknya suda hanyut hampir 3 jam dan 2 ekor jerung itu masih tetap setia menemani mereka. Perasaan takut Mely kepada 2 jerung itu sudah semakin pudar, mungkin kerana penat. Namun dia masih tetap berdoa dan berzikir menyebut nama Allah.

Dari kejauhan pak cik ku melihat sebuah bot yang terbalik, dia yakin itu bot menantunya. Dia menambah kuasa kelajuan botnya menuju ke situ. Semakin dekat dia dapat melihat anak dan cucunya yang berpaut. Namun dia terkejut melihat 2 ekor jerung yang mengelilingi anaknya dan mula merasa cemas takut jerung-jerung itu akan mencederakan anak dan cucunya.

Mely mendengar bunyi engin sangkut bot dari kejauhan dan melihat sebuah bot sedang mendekati mereka. Hatinya menangis dek syukur kepada Ilahi kerana masih diberi peluang untuk hidup, dia mengenali bot itu, bot ayahnya. Setelah bot pak cik ku semakin hampir, 2 ekor jerung itu pun beredar meninggalkan Mely dan Ana. Dia semakin pelik dengan haiwan 2 ekor itu. Apapun baginya, dia percaya bahawa Allah menghantar 2 ekor jerung itu untuk menjaga mereka.

Pak cik ku yang semakin hampir dengan anak dan cucunya melihat jerung itu beredar, dia hanya mampu memerhati haiwan itu pergi dan mengucap syukur atas keselamatan anak dan cucunya. Tanpa membuang masa dia menyelamatkan anak dan cucunya, kemudian menuju pulang ke rumah.

Begitu lah kisah pelik tapi benar mengenai sepupuku. Pada pendapat aku, Allah melindungi mereka sebab suami Mely ni seorang yang warak dan rajin solat. Mely dulu tak solat, lepas dia kawin, suami dia berjaya bimbing dia jadi seorang isteri yang soleh dan Muslimah. Jadi bagi aku itulah sebabnya mereka selamat atas amal ibadah, keyakinan, ketaqwaan dan kepercayaan mereka kepada Allah. Mungkin kalau aku dalam situasi Mely, pasti dah m**i lemas disebabkan pengsan ketakutan.

Tapi lain pula bagi kepercayaan pak cik ku. Dalam perkongsian ku yang pertama, ada ku jelaskan bahawa masyarakat di Bintawlan mempunyai kepercayaan animism walaupun bergama islam. Sewaktu arwah nenek aku masih hidup, pekerjaan dia hanya berkebun di Bintawlan. Suatu hari semasa nenek membakar daun kering, dia terjumpa anak ikan jerung yang difikirnya sudah m**i, jadi dia pun lontarkan ke api untuk dibakar kerana fikirannya itu hanya bangkai ikan jerung biasa. Tetapi, dia pelik apabila anak ikan jerung itu tak terbakar, tak hangus dijilat api walaupun dari api itu marak sampai reda. Oleh kerana pelik yang amat, dia memutuskan untuk membawa anak jerung itu pulang untuk ditunjukkan kepada atuk aku.

Malamnya, dia bermimpi didatangi seorang puteri yang cantik dan berkata bahawa dia dari kaum jerung dan diminta agar jangan memakan ikan jerung lagi serta simpan la dia. Sebagai balasan, dia tidak akan mencederakan keturunan dan akan membantu keturunan nenek aku dalam urusan di laut. Maksudnya, kalau kami tak makan jerung, kami tak kan sakit atau dibaham/dimakan oleh jerung. Tapi sebagai umat islam saya tidak mempercayai perkara-perkara begitu. Aku sendiri tidak pasti kalau benda itu adalah saka atau benda lain yang datang tidak diundang, apatah lagi datang kepada orang yang kurang ilmu agama seperti nenekku. Dan ya sehingga sekarang mak cik ku di kampung Bintawlan masih simpan anak ikan jerung itu. Dia diberi nama Si Puteri dan semua keluarga belah mak aku memang tak makan ikan jerung, sekiranya termakan pasti sakit kepala atau sakit perut. Mak aku cerita dia pernah nampak Si Puteri, orangnya cantik berambut ikal mayang.

Alhamdulillah Mely dah pun selesai melahirkan anak ke-2 nya dan meneruskan hidup seperti biasa. Pengajaran yang kita boleh dapat kat sini ialah, dengarlah kata ibu bapa dan sentiasa lah bertawakal kepada Allah.

Sekian, Mei.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 7 Average: 4.9]
Mey

2 thoughts on “hanyut di tengah lautan”

  1. “Maaf atas penggunaan ‘aku’ dalam tulisan kali ini”…annoying betul la aku rasa dengan jenis yg nak minta maaf sbb ni..

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.