Harimau Penunggu Istana Lama

Assalamualaikum pembaca FS dan juga admin. Terima kasih saya dahulukan buat kalian. Saya nak beritahu awal-awal, ini bukan kisah seram. Tetapi kisah tentang penunggu istana lama di kampung saya.

Tolak tepi intro, saya akan terus bercerita.

Saya berasal dari sebuah kampung di pedalaman Negeri Sembilan. Untuk pengetahuan pembaca, Negeri Sembilan ini merupakan negeri yang menggunakan adat perpatih. Apabila adat perpatih digunakan, maka akan ada beberapa undang luak. Undang luak ini dianggap seperti pemerintah daerah pada zaman dahulu. Maka secara tidak langsung, banyak ‘istana-istana lama’ yang sudah ditinggalkan. Jangan salah sangka. Istana-istana lama yang saya maksudkan ini tidaklah semegah istana-istana raja. Hanya binaan kayu yang senibinanya diinspirasi dari kesenian Minangkabau. Ya, indah. Tetapi apabila ditinggalkan, akan banyaklah cerita yang akan berlaku.

Salah sebuah istana yang saya maksudkan terletak betul-betul di pinggir kampung saya. Sebuah binaan kayu lama, sebesar sebuah rumah banglo mewah dengan halaman yang cukup luas untuk dibina dua buah padang bola. Tiada pemilik (jika ada pun, tiada siapa yang pernah kenal dengan pemiliknya). Namun tidak pernah terlihat sebarang kerosakan pada istana tinggal ini. Pasaknya masih rapat. Atapnya tidak berlubang. Kayunya tidak dimakan anai-anai. Tidak perlulah saya terangkan sebabnya. Mungkin para pembaca boleh agak mengapa.

Ya, setiap istana tinggal ini mempunyai penunggu mereka sendiri. Bagaimana saya tahu? Sebab semasa kecil, saya sendiri pernah beberapa kali terlihat seekor harimau jadian berlegar-legar di sekeliling istana itu. Mungkin itu cuma harimau biasa? Tidak. Saya cukup pasti bahawa sang belang itu adalah jadian kerana saiznya yang luar biasa besar. Senang cerita, lebih besar dari kerbau. Besar gila!

Cerita Dari Atuk

Sewaktu datuk saya masih kecil, pada suatu malam, pernah ada satu kejadian di mana seorang lelaki tua dihalau oleh orang kampung. Masing-masing siap berparang dan bercangkul. Orang tua yang dihalau itu rupa-rupanya seorang pawang yang cuba untuk menangkap sang harimau penjaga istana itu. Siap dengan kemenyan dan daging kijang kalau tak silap saya (maaf saya tak ingat semua barangan yang dibawanya).

Menurut atuk, si pawang ini datang dari Jambi. Datang ke Negeri Sembilan dengan niat untuk menjadikan salah seekor Harimau Minangkabau ini belaannya. Entah macam mana, semua orang kampung dapat tahu akan kehadiran pawang tersebut. Ada sesetengahnya bercerita bahawa sang harimau hadir dalam mimpi mereka pada malam itu.

Menurut cerita orang-orang tua pada zaman dahulu, sang harimau ini dahulunya sentiasa berkomunikasi dengan orang-orang kampung dengan pelbagai cara. Adakalanya untuk memberitahu sesuatu. Adakalanya untuk membantah sesuatu. Orang-orang kampung menghormati sang harimau ini, begitu juga sebaliknya.

Yang hendak saya ceritakan di sini sebenarnya adalah pengalaman kakak saya sendiri yang pernah berkomunikasi dengan harimau tersebut (zaman sekarang cukup jarang harimau itu mahu berkomunikasi dengan orang-orang kampung).

Menurut kakak saya, sewaktu dia masih kecil, sekitar umurnya tujuh tahun (saya belum lahir), dia bermain sorok-sorok bersama rakan-rakan. Salah seorang dari rakannya (Addawiyah) telah memanjat pagar kayu istana tersebut untuk menyorok dalam perkarangan istana itu. Sehingga malam rakan kakak saya ini tidak ditemui sehingga orang-orang kampung keluar untuk mencari dia. Kakak saya bersama rakan-rakan yang lain pun turut sibuk mencari (tanpa kebenaran). Salah seorang dari rakan kakak saya berpendapat bahawa Addawiyah menyorok di dalam istana lama tersebut dan mungkin tertidur. Tanpa berfikir panjang, sekumpulan kanak-kanak ini pun memanjat pagar kayu istana lama itu tanpa diketahui oleh orang-orang dewasa.

Sebaik sahaja kaki kakak saya menjejak tanah perkarang istana tersebut, seorang lelaki tua berjanggut muncul di sebalik tingkap istana itu yang terkuak. Tanpa berkata apa-apa, lelaki tua itu terjun dari tingkap itu lalu serta-merta berubah menjadi seekor harimau belang yang besar. Kakak saya terpaku. Namun, rakan-rakannya yang lain seakan-akan tidak dapat melihat harimau tersebut. Mereka terus berkeliaran di dalam perkarangan istana itu, cuba untuk mencari jalan masuk. Kakak saya cuba sedaya upaya untuk menahan mereka namun kaki kakak seakan-akan dipasak ke tanah. Harimau itu pula berjalan semakin hampir dengan kakak sehingga hujung hidung besarnya hampir bertemu dengan kepala kakak.

“Cucu nak apo?” Tanya harimau itu dengan suara garau gila. Kakak langsung tidak dapat membalas pertanyaan sang harimau.

“Jangan takuik (takut). Cucu nak apo?” Ulang harimau itu lagi.

“Ad… Add… Addawiyah…” kakak menjawab tergagap-gagap. Hanya itu sahaja yang dapat diungkapkan oleh kakak. Menurut kakak, harimau itu sekadar tersenyum dan mengangguk.

Tidak berapa lama kemudian, Addawiyah berjalan terhuyung-hayang turun dari pintu istana tersebut. Wajahnya kelihatan kosong. Seakan-akan dipukau.

“Bawak dio ini balik. Pasan pado dio samo taman-taman, jangan masuik ka dalam parkarang rumah ini lagi.” Kata harimau itu.

(Harimau itu bercakap dalam loghat Minangkabau yang pekat. Bukan loghat Negeri Sembilan ya.)

Kakak menyambar lengan Addawiyah. Menurut kakak, pagar kayu istana itu terbuka sendiri. Kakak meraung memanggil rakan-rakan yang lain macam orang kena histeria. Terkejutlah rakan-rakan yang lain. Kakak menunjuk-nunjuk ke arah pagar yang terangkat itu, tapi mereka memanjat bahagian lain pagar itu. Seakan-akan tidak nampak jalan keluar yang sudah tersedia di hadapan mereka.

Itulah kali terakhir mereka menghampiri istana lama tersebut. Addawiyah langsung tidak ingat apa yang terjadi. Puas kakak menceritakan kepada semua orang akan apa yang berlaku. Sampaikan cerita kakak dibincangkan di balairaya. Ada penduduk kampung yang percaya dengan cerita kakak, ada yang tidak. Kebanyakan yang percaya pun hanya orang-orang tua, termasuk atuk dan wan saya.

Pernah juga orang-orang muda kampung memberi cadangan untuk merobohkan istana lama tersebut, namun dibantah sekeras-kerasnya oleh golongan tua. Kata atuk, sampai bergaduh-gaduhlah waktu itu. Sampai ada yang tidak bertegur sapa selama bertahun-tahun dek kerana cerita kakak.

Kata wan pula, nenek kepada wan merupakan keturunan terakhir pewaris istana tersebut. Apabila nenek wan berkahwin dengan seorang lelaki di luar suku, istana tersebut tidak boleh diturunkan kepada ibu wan. Tapi wan pun kata, dia sendiri tidak pasti akan kesahihan cerita tu. Sebab ada juga keluarga lain yang kata merekalah pewaris istana itu dan nenek merekalah yang berkahwin dengan lelaki di luar suku itu.

Dah jadi macam perbalahan pula. Masing-masing hendak mengaku merekalah pewaris istana itu, tetapi tiada seorang pun yang berani untuk mendekati istana tersebut. Kiranya macam cerita gebanglah. Maafkan penggunaan bahasa pasar saya, ya admin.

Sehingga sekarang, apabila pulang ke kampung, apabila berjalan melalui istana itu, sengaja saya buka tingkap kereta. Kadang-kadang saya tercium bau wangi dari perkarangan istana lama itu. Kadang-kadang tercium bau busuk. Kali terakhir saya melihat kelibat harimau itu adalah sewaktu saya berusia 14 tahun. Sebulan sebelum saya masuk sekolah asrama. Apabila saya pulang ke kampung selepas itu, saya tidak dapat lagi melihat harimau tersebut. Mungkin kerana sudah akil baligh. Wallahua’lam. Tapi macam saya katakan tadi, saya masih dapat menghidu macam-macam bau datang dari perkarangan istana itu.

Saya bukanlah seorang percaya tentang benda-benda mistik. Namun, tidak dapat saya nafikan, saya percaya 100% kepada cerita kakak.

Itu sahaja yang saya nak ceritakan. Maaf kalau tak sampai. Cuma saya rasa kisah istana lama di kampung saya ini sedikit menarik. Terima kasih kerana membaca.

Kongsi kisah anda: http://fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 6 Average: 5]

41 thoughts on “Harimau Penunggu Istana Lama”

  1. Hope family hg masih lg ckp dialek minang..aku ada certains sepupu yg fasih lg..kami anak2 mix boleh faham sikit2 ja..abah aku kalau marah br keluaq bhs minang..lol

    Reply
    • Sama macam arwah atok dulu..bila marah, keluar minang dia..Unfortunately, kitaorang tak reti nk cakap dah dialek minang ni..kalau dengar orang cakap tu, boleh la kot nk faham sikit2… 🙂

      Reply
  2. 9/10 ..aku tak dapat tolak tepi intro haha..kalau dapat tolak tepi sure aku bg 10/10.. post lg story mcm ini best..

    juriFS ngan cikbambam sila la baca dengan skali napas ye.

    Reply
  3. aku sukaa sejarah sejarah begini . kat kampung aku pun ade satu istana lama . dan kampung aku sangat pedalaman , terpencil dalam sebuah pulau . ,. bukan smua orang tau tempat itu wujud . . istana tu dipanggil gedung(aku pun xtau knp panggil gedung) . tapi binaanyaa seperti bangunan lama kerana terbiar . tapi orang kampungg banyak mengatakan gedung tu ade bnyak hartaa peninggalan tapii berpenunggu dua ekor harimauu . seekor kudung , seekor tidakk . aku teringin nak mengkaji sejarahnya . tapii sukar .. sbb kebanyakkan yang tahu semua nya telah pergi menghadap ilahi ..

    Reply
  4. Best.. senang nak hadam cerita penulis ni. tapi rasa macam ketapi baca. Ke aku yang baca laju tah..
    Ayat mudah difahami. Pernah baca cerita yang aku kena scroll balik dari awal. Ada yang aku skip je sampai komen sebab tak faham… yang ni boleh bagi thumbs up..

    Reply
  5. Ada satu tempat segitiga naga..ada ratu penjaganya..tempat tu kat darat.kat dunia ni ada 10 segitiga termasuk segitiga bermuda… A x dak ka yg nak kaji..hihi

    Reply
  6. Ayah akk org nogori jugak, tp bukan minang. Kami x boleh kawin sesuku, contohnya suku 3 batu xleh kawin sama suku, kawin dgn suku yg lain seperti 3 nenek atau suku biduanda

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.